Butik Pengantin

Romance Series 17886

Mata Yasmin meliar memandang ke segenap penjuru butik pengantin. Dia melihat dengan teliti baju yang digantung di atas dan juga yang di pemerkan di bawah.

“Yang merah tu cantik juga!” Yasmin menunjukkan ke arah pakaian pengantin yang tersarung di patung. Pantas, pekerja butik pengantin itu menanggalkan busana pengantin tersebut dari patung.

“Cantik baju ni, Kak Min,” ujar Ameena, matanya bersinar-sinar melihat pakaian itu.

Baju pengantin diserahkan kepada Yasmin dan Arman. Mereka masuk ke dalam fitting room untuk mencuba baju. Seketika kemudian, Yasmin keluar dari fitting room mengenakan gaun pengantin merah dengan hiasan manik-manik yang berkilauan. Gaun itu pas di tubuhnya; walaupun hiasan manik dan renda (lace)-nya sederhana, ia tetap kelihatan elegan.

“Kak Min! Cantiknya!” seru Ameena dengan penuh semangat. Baginya, pakaian itu seperti pakaian seorang puteri.

Arman keluar tidak lama selepas itu, mengenakan sepasang baju Melayu merah yang senada dengan gaun Yasmin. Penampilannya tampak gagah dan elegan, namun ekspresi wajahnya sedikit canggung. Dia melirik ke arah Yasmin, dan sejenak terdiam.

“Macam mana? Sesuai tak?” tanya Yasmin sambil memutar badannya perlahan, memperlihatkan keseluruhan gaun. Tangannya mencekak pinggangnya yang ramping.

Arman tersenyum kecil, cuba menyembunyikan rasa kagumnya. “Cantik. Sangat sesuai dengan awak,” jawabnya pendek.

Pegawai butik mendekati mereka sambil tersenyum lebar. “Warna merah sesuai dengan Encik Arman dan Cik Yasmin. Baju ni tak banyak layer sesuai dengan pengantin perempuan yang agak rendah. Kalau setuju, boleh terus bayar duit booking hari ini.”

Yasmin memandang Arman, meminta pendapat. “Nak cuba baju lain tak?”

Arman menggelengkan kepala sambil tersenyum tipis. “Yang ini dah okay.”

“Baiklah, saya rasa kita ambil yang ini,” ujar Yasmin, membuat keputusan.

Pegawai butik mencatat pesanan mereka. Kemudian, mereka bertiga duduk di sofa di penjuru butik pengantin itu. Tiga buah album diletakkan di atas meja. Mereka mahu memilih set pelamin dan meja pengantin, katering, menu makanan, serta jurufoto. Semuanya termasuk dalam pakej yang disediakan.

“Awak, yang ni okay kan?” Yasmin menunjukkan salah satu set pelamin yang ada di dalam album.

“Ambillah apa yang awak suka,” ujar Arman.

“Kita pilihlah sama-sama. Saya saja pilih dari tadi.” Yasmin merenung wajah Arman.

“Tak apa, saya suka apa saja pilihan awak,” balas Arman sambil tersenyum.

Begitulah selalunya. Semuanya dipilih oleh Yasmin, dan Arman hanya menurut. Dia lebih suka melihat Yasmin seronok memilih persiapan perkahwinan mereka. Semua pilihan yang mereka buat hari ini untuk majlis perkahwinan di rumah pengantin perempuan. Sementara majlis resepsi sebelah pengantin lelaki diuruskan oleh mama Arman, Puan Raudhah.

Yasmin membelek helaian album seterusnya, kali ini memaparkan senarai jurufoto yang termasuk dalam pakej. Pelbagai contoh hasil kerja dipamerkan dengan foto-foto pengantin tersenyum manis di atas pelamin atau dalam sesi fotografi outdoor.

"Awak rasa yang mana bagus? Yang ni macam cantik hasil kerjanya," Yasmin menunjuk pada satu portfolio yang menampilkan gambar pengantin di tepi pantai dengan pencahayaan lembut dan warna yang tampak natural.

Arman mengerling sekilas ke arah album. "Kalau awak rasa hasilnya cantik, ambil yang itu saja."

Yasmin menghela nafas kecil. "Awak tengok betul-betul la. Kita kena pastikan jurufoto ni pandai ambil gambar masa majlis nanti. Kenangan ni penting, tau."

Arman tersenyum sedikit, lalu menunduk meneliti album. "Baiklah. Hmm... yang ini nampak menarik juga. Cara dia ambil gambar malam nampak terang dan jelas." Dia menunjuk pada satu portfolio lain yang menampilkan sesi resepsi malam.

"Betul juga. Nanti waktu malam kan ada outdoor photoshoot," Yasmin mengangguk setuju. "Okay, kita ambil yang ni." Dia menandakan pilihan mereka pada katalog.

Setelah itu, mereka beralih ke album menu katering. Yasmin tampak lebih bersemangat kali ini, membolak-balik halaman sambil tersenyum lebar. "Tengok ni, ada nasi minyak, lauk ayam masak merah, daging kurma, dan acar timun. Nampak sedap, kan?"

Ameena, yang sejak tadi hanya memerhati, tiba-tiba mencelah. "Kak Min, ada aiskrim!"

"Ada pencuci mulut, aiskrim dengan bubur kacang, ambik yang ni okay tak?" Yasmin bertanya pada Arman.

Arman hanya mengangguk. "Okay boleh. Awak tambah la, menu macam laksa atau kuih muih. Ada tetamu yang tak makan ayam, daging boleh makan laksa atau kuih muih," saran Arman.

Yasmin menyelak helaian lain, mencari senarai menu tambahan. "Baiklah. Kita pilih set nasi minyak ni, pencuci mulut aiskrim dan bubur kacang. Add on laksa dan kuih muih."

Pegawai butik yang berada di sisi mereka mencatat setiap pilihan dengan teliti. "Terima kasih, nanti kami akan call semula untuk food test." Yasmin mengangguk. "Okay, baik."

"Alhamdulillah, dah selesai banyak hal penting. Tinggal tunggu harinya saja." ucap Arman, tersenyum sambil memandang Yasmin. Tidak sabar rasanya mahu menunggu hari bahagia mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience