Yasmin terdiam. Sukar untuk dia meluahkan kata-kata. Dia tunduk memandang lantai. Jari-jarinya ditaut erat, cuba mencari sedikit kekuatan ketika ini.
"Betul ka hang nak ambik cuti?" soal Abang Lan lagi. Dahi lelaki itu berkerut.
"Ya," pendek sahaja jawapan Yasmin.
"Berapa hari?"
"Sebulan," jawab Yasmin.
Abang Lan menghela nafas panjang. "Bukan Abang Lan tak mau bagi, tapi tak boleh ambik cuti lama-lama," katanya lembut, penuh rasa serba salah.
Air mata Yasmin mula gugur ke pipi. Abang Lan mula tidak keruan melihat Yasmin menangis.
"Saya nak ambik cuti jugak, Abang Lan. Saya tak boleh dah buat kerja sekarang ni. Bila dok depan komputer ka, check barang ka, saya asyik menangis. Kadang-kadang bila bawak motor nak mai kerja, saya tak boleh nak masuk kerja. Saya jadi tak bersemangat nak kerja," luah Yasmin dengan suara tersekat-sekat. Dia sendiri tidak faham mengapa dia sudah tidak mampu bekerja seperti dulu. Semakin hari, semangatnya terasa semakin pudar.
"Abang Lan tau, hang tertekan la ni. Kalau hang ambik cuti lama-lama, nanti gaji tak dak. Kena potong gaji. Adik-adik hang macam mana? Kilang mana pun tak bagi cuti lama sampai sebulan," pujuk Abang Lan.
"Tapi saya betul dah tak boleh buat kerja macam dulu." Semakin laju air mata Yasmin mengalir, membasahi facemask yang dipakainya.
"La ni macam ni. Hang mai kerja macam biasa. Buatlah kerja setakat yang hang mampu. Tak pa. Abang Lan, Mr. Tan, kami semua faham situasi hang. Boleh?" pujuk Abang Lan lagi.
Yasmin hanya mengangguk, tunduk memandang lantai.
"Terima kasih, Abang Lan."
Yasmin meluru keluar dari bilik grinding. Cepat-cepat dia menanggalkan jumpsuit, lalu terus ke bilik air.
Arman, yang sedang menggunakan komputer di bilik jurutera bersebelahan bilik QA, mendengar semua perbualan mereka. Dia terkesima.
Hari ini adalah hari terakhir Arman bekerja. Esok, dia bersama dua belas orang pekerja lain akan bertolak ke Jepun untuk berkursus selama tiga bulan.
"Arghh..." Arman meraup wajah dengan kedua-dua tapak tangannya. Fikirannya kusut. Bagaimana dia hendak meninggalkan Yasmin dalam keadaan begini?
"Susahnya mencintai awak dalam diam macam ni," Arman bermonolog sendiri.
---
Ziyad sudah selesai mengemas beg pakaiannya. Segala dokumen penting dimasukkan ke dalam fail dan disimpan di dalam beg galas. Wardah pula sudah siap memakai tudung. Dialah yang akan menghantar Ziyad ke stesen bas UTC di Pekan Lama.
"Siap. Jomlah, Kak Wardah. Satgi lambat pulak," ajak Ziyad.
Dia tidak dapat menunggu Yasmin yang bekerja syif pagi kerana basnya dijadualkan berlepas pada pukul 7.30 malam, manakala Yasmin hanya akan pulang dari kerja pada pukul 8.30 malam. Mereka berdua turun ke tempat parkir motosikal. Ziyad meletakkan beg pakaian ke dalam raga motor. Wardah, yang membonceng di belakang, menggalas beg galas Ziyad.
Enjin motosikal dihidupkan, lalu mereka meluncur laju menuju destinasi. Selepas kira-kira dua puluh minit, mereka tiba di stesen bas UTC, Pekan Lama Sungai Petani. Ziyad mengambil beg pakaian dari dalam raga motor. Wardah menyerahkan beg galas kepadanya.
"Kak Wardah baliklah. Tak payah tunggu," ujar Ziyad.
"Ha, okay. Nanti dah sampai sana, WhatsApp Kak Wardah," pesan Wardah. Ziyad bersalam dengan Wardah. Tangan kakaknya itu dicium.
Wardah menghidupkan enjin motosikal dan berlalu pergi. Ziyad masuk ke dalam stesen bas. Setelah bertanya di kaunter tiket, dia duduk menunggu di kerusi yang disediakan.
Selepas menunggu selama tiga puluh minit, bas pun tiba. Ziyad masuk ke dalam bas. Dua puluh minit kemudian, barulah bas memulakan perjalanan menuju ke Johor Bahru. Hawa dingin dari penghawa dingin bas terasa menusuk kulit Ziyad. Ziyad membuka zip beg galasnya untuk mengambil baju sejuk lalu terus dipakai. Dia bersandar ke kerusi sambil membuang pandangan ke luar tingkap menikmati pemandangan Pekan Sungai Petani di waktu malam yang di penuhi cahaya lampu berwarna warni.
----
Wardah menghampiri Yasmin yang sedang duduk di kusyen. Dia melabuhkan punggung, duduk berhadapan dengan Yasmin. Ada sesuatu yang ingin dibincangkannya.
"Kak Min, Wardah nak cakap sesuatu ni," Wardah memulakan bicara.
Yasmin meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Dia menumpukan perhatian kepada Wardah.
"Ada apa? Cakaplah."
"Lepas Raya Haji ni, Hazrul nak masuk meminang. Macam mana? Boleh ka?" Wardah memandang tepat ke wajah Yasmin, menanti jawapan kakaknya itu. Dadanya terasa berdebar.
Yasmin terdiam. Dia memandang adiknya yang berusia dua puluh lima tahun itu.
"Mai lah. Bila dia nak mai? Berapa hari bulan?" soal Yasmin. Riak wajahnya bersahaja menyembunyikan seribu satu rasa.
"Tak tahu lagi. Nanti Wardah update balik dengan Kak Min."
"Boleh. Kena bagitahu awal-awal. Sebab nak masak, nak buat persiapan. Duit untuk kenduri masa majlis meminang tu Wardah ada simpan ka? Kak Min tak ada duit nak buat kenduri."
"Ada. Nanti Wardah bagi."
"Kalau macam tu, nanti kita bincang lagi dengan Melur. Melur pun ada bagitahu yang Ashraf nak hantar rombongan meminang."
"La, iya ka? Tak sangka pula serentak macam ni. Boleh jugak. Tunggu Melur balik, kita bincang lagi," kata Wardah ceria.
Yasmin bangun dan masuk ke dalam bilik. Dia merebahkan tubuhnya di atas katil. Tubuhnya terasa lemah dan tidak bersemangat. Yasmin memandang kosong ke arah siling bilik. Anehnya, ada air mata bergenang di tubir matanya. Entah bila, Yasmin akhirnya tertidur.
----
Sinar mentari yang masuk melalui tingkap nako mula menyinari wajah Yasmin yang sedang tidur. Yasmin tersentak dan terjaga. Biliknya sudah cerah. Wardah sudah tiada. Yasmin mencapai telefon bimbit di tepi bantal.
“Allahu Akbar,” ucap Yasmin. Kelam-kabut dia bangun dari tempat tidur.
Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Sudah berapa kali dia tidak terjaga pada waktu sepatutnya. Yasmin sepatutnya bangun pada pukul 5.30 pagi untuk mandi dan solat Subuh. Dia juga bekerja syif pagi. Selain itu, Dahlia, Rayyan, Darwish, dan Ameena perlu dihantar ke sekolah.
Yasmin keluar dari bilik. Dia menjenguk ke bilik adik-adiknya. Kosong. Tiada sesiapa di rumah. Semuanya sudah ke sekolah dan tempat kerja. Hanya Yasmin yang masih tertidur.
Yasmin duduk bersandar di tepi pintu bilik Umi. Fikirannya terasa kosong. Kepalanya sakit. Migrain, barangkali, kerana tidurnya sering terganggu kebelakangan ini. Dia memicit-micit dahi.
“Kenapa dengan aku ni?” Yasmin bertanya pada dirinya sendiri.
Badannya terasa sangat lemah. Yasmin merebahkan tubuhnya ke atas lantai. Kerja? Dia tidak lagi berdaya untuk memikirkan soal kerja. Yasmin teringat perbualannya dengan Wardah semalam. Dia tersenyum hambar.
"Wardah dan Melur dah nak bertunang," bisik Yasmin. Ada perasaan sedih muncul di hatinya.
"Kedua-dua tangan kanan dan kiri aku sudah boleh terbang tinggi. Ya Allah, ikhlaskanlah hatiku ini untuk melepaskan adik-adikku pergi," gumam Yasmin. Dia tersenyum kelat. Perasaan gembira dan sedih bercampur-baur. Matanya terasa berat. Dia tertidur semula di tepi pintu bilik tidur Umi.
Share this novel