Bi... bip... bi... bip! Bunyi mesin-mesin di hospital menangkap telinga Yasmin. Dia membuka mata perlahan-lahan. Yasmin tidak pengsan sepenuhnya, tetapi pandangannya masih kabur dan samar. Dia kini berada di hospital. Beberapa pegawai perubatan kelihatan sibuk merawatnya. Seluar jeans Yasmin telah dikoyakkan dan ditanggalkan, sementara tubuhnya diselimutkan dengan kain hospital. Bahagian kaki kirinya dibiarkan terbuka hingga paras paha. Tudungnya pula hilang entah ke mana. Yasmin terketar-ketar menahan sakit yang amat sangat.
“Yasmin...”
Dia dapat melihat sosok Arman berdiri di hujung katil, di bahagian kakinya. Wajah Arman jelas menunjukkan kebimbangan.
“Ameena?” soal Yasmin dengan suara yang lemah.
“Ameena ada kat luar dengan Melur dan Darwish,” jawab Arman sambil melangkah mendekati Yasmin. Dia berdiri di sisi katil, menatap wajah Yasmin dengan riak risau. Yasmin, yang masih di awangan, tidak menyedari dirinya tidak bertudung. Rambutnya kusut berserabut.
“Macam mana dengan kaki dia, doktor?” tanya Arman kepada salah seorang pegawai perubatan yang berdiri di tepi katil Yasmin.
“Kena x-ray dulu. Mungkin patah.”
“Patah...” Air mata Yasmin bertakung di kelopak matanya.
“Sakit ke?” soal Arman prihatin.
“Kalau kaki saya patah, macam mana saya nak kerja? Adik-adik saya macam mana?” Air mata Yasmin semakin deras mengalir. Dia boleh menahan sakit, tetapi tidak mampu menahan tangisan apabila memikirkan nasib dirinya yang tidak boleh bekerja.
“Saya kan ada,” pujuk Arman. Dia menyesal membiarkan Yasmin bekerja jauh dari rumah. Perkara beginilah yang dia risaukan, tetapi Yasmin berkeras mahu bekerja juga.
“Encik, tolong tunggu di luar, ya,” arah salah seorang pegawai perubatan kepada Arman.
“Saya tunggu kat luar,” bisik Arman perlahan di telinga Yasmin sebelum melangkah keluar dari wad kecemasan.
Di luar, Arman duduk di atas kerusi besi, menunggu bersama Melur, Darwish, dan Ameena. Dia meraup wajah, kesal.
Kemudian, Yasmin dibawa ke bilik x-ray untuk memeriksa sama ada terdapat tulang kaki kirinya yang patah. Luka sepanjang satu inci di bahagian buku lali dijahit dengan rapi. Bahagian atas lutut kirinya pula lebam dan bengkak teruk. Kaki Yasmin membengkak hampir dua kali ganda daripada saiz asal.
Pada pukul 2.20 pagi, Yasmin dibenarkan pulang kerana tiada tulang yang patah. Dia dirawat sebagai pesakit luar. Arman dan Darwish memapah Yasmin ke kerusi roda kerana dia tidak dapat berjalan sendiri. Yasmin dibenarkan pulang dengan masih memakai kain uniform hospital.
Setelah menghantar Yasmin dan adik-adiknya pulang ke rumah, Arman terus pulang ke rumahnya sendiri. Walaupun dia risau dengan keadaan Yasmin, dia tidak dapat menunggu lebih lama di sana memandangkan sudah pukul 3.30 pagi. Tambahan pula, mereka tiada hubungan rasmi.
Setibanya di rumah, Arman terus ke dapur. Dia mengambil sebotol air sejuk dari dalam peti sejuk dan menuangnya ke dalam cawan.
“How’s Kak Yasmin?” soal Zulaikha, yang baru turun dari tingkat atas. Dia terjaga dari tidur apabila mendengar bunyi enjin kereta Arman.
“She’s back home. The ligament above her knee is injured. Her leg is swollen, and she can’t walk. She is still feeling dizzy due to the impact on her head.”
“I’m planning to visit her tomorrow morning. Ziyad pun risau tu.” Zulaikha mengambil cawan Arman, meneguk sedikit air, kemudian naik semula ke tingkat atas untuk tidur. Esok pagi, dia bercadang untuk ke rumah Yasmin.
----
Sebuah kereta Chevrolet Camaro berwarna merah diparkir di luar pagar rumah Yasmin. Zulaikha masuk ke dalam kerana pintu pagar tidak berkunci.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.” Suara Yasmin kedengaran lemah. Segera Zulaikha masuk ke dalam rumah. Ruang tamu kosong. Tiada sesiapa di rumah. Hanya bunyi kipas siling bedecit kedengaran di ruang tamu. Darwish dan Ameena sudah ke sekolah. Melur sudah keluar bekerja. Zulaikha nampak Yasmin terbaring lemah di depan pintu bilik mandi.
“Kak Yasmin!” Riak muka Zulaikha bertukar cemas. Dia duduk melutut di tepi Yasmin.
“Awak siapa?” soal Yasmin lemah. Wajahnya pucat. Zulaikha memeluk Yasmin, cuba mengangkatnya, namun gagal. Yasmin mengecam rambut blonde Zulaikha.
Sepupu Arman, fikir Yasmin sebelum dia tertidur di situ. Zulaikha panik. Kelam-kabut dia mahu mengambil telefon dari dalam tas tangannya.
“Ika...” Kedengaran suara Arman memanggil Zulaikha dari luar. Arman memarkir keretanya di belakang kereta Zulaikha.
“Abang! Kak Yasmin pengsan ni!” laung Zulaikha dari dapur. Pantas Arman berlari masuk ke dalam rumah. Yasmin, dengan wajah pucat, terbaring di depan pintu bilik mandi. Arman mengangkat Yasmin lalu diletakkan di atas katil dalam bilik bawah. Zulaikha mengambil sebesen kecil air paip dan sehelai t-shirt yang tergantung di dalam bilik. Dia membasahkan t-shirt lalu diperah sebelum mengelap muka dan badan Yasmin. Arman berdiri di muka pintu bilik, memandang Yasmin dengan wajah bimbang.
“Abang, please step outside. I'm helping her right now.” arah Zulaikha. Arman masih berdiri kaku.
“Please leave. I need to do my work,” ulang Zulaikha dengan nada suara sedikit tinggi. Arman akur. Dia melabuhkan punggung di atas kusyen, menunggu Yasmin sedar. Arman menghela nafas panjang. Fikirannya risau dan berserabut.
"Aku tak boleh biarkan dia terus begini." Gumam Arman.
Setelah siap mengelap badan Yasmin, Zulaikha menuam paha dan lutut Yasmin dengan ais yang dibalut dengan kain. Ais diambil dari peti sejuk Yasmin. Kaki Yasmin membengkak besar dan lebam. Zulaikha memicit-micit kaki Yasmin, terhenti di bahagian atas betis yang lebam kebiruan.
“Ini hematoma.” Zulaikha menuam bahagian itu pula. Selesai menuam kaki Yasmin, Zulaikha turut duduk di atas kusyen.
“Adik-adik Kak Yasmin balik pukul berapa?”
“Pukul satu lebih. Macam mana Yasmin? Nak bawa pergi klinik ke?” soal Arman risau.
“Painkiller doktor dah bagi semalam, kan? Kaki Kak Yasmin tu kena tuam dengan ais. Buat masa sekarang, susah la dia nak bergerak.”
“Headache and dizziness tu ambil masa beberapa hari juga nak hilang,” terang Zulaikha panjang lebar. Zulaikha pernah menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan di India sebelum menukar jurusan undang-undang antarabangsa di New Zealand kerana tidak tahan tekanan menjadi seorang doktor.
----
"Wuishhh... kereta siapa tu?" tanya Ashraf, tunang Melur, teruja melihat dua buah kereta mewah yang diparkir di hadapan rumah Melur.
"Yang belakang tu kereta abang Arman. Yang depan tu tak pernah nampak pun," jawab Melur.
Ashraf memarkir kereta Wajanya di tepi jalan bertentangan rumah Melur. Mereka turun dari kereta lalu masuk ke dalam pagar.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam," jawab Arman dari dalam rumah.
Melur nampak Arman duduk di sofa bersama seorang wanita berambut blonde. Wanita itu memakai blaus hitam ketat yang mengikut bentuk badannya serta skirt separas lutut bercorak bunga kecil. Melur masuk bersalaman dengan wanita itu, sementara Ashraf bersalaman dengan Arman. Arman mengerling jam di dinding. Baru pukul 11 pagi.
"Melur mintak balik awal sebab risaukan keadaan Kak Min. Pagi tadi Melur terpaksa ke butik jugak sebab stok tudung nak sampai. Melur yang in charge," jelas Melur.
"Tak apa. Kak Yasmin tengah tidur tu," ujar Arman.
"Kejap, Melur pergi dapur bancuh air."
"Tak payah. Kami dah minum tadi," sampuk Zulaikha.
Mereka berpandangan. Melur tersenyum kekok. Siapakah gerangan wanita itu? Penampilannya nampak elegan dan mewah.
"Ni sepupu abang, Kak Ika," tutur Arman, memperkenalkan Zulaikha kepada Melur dan Ashraf.
"Melur," kedengaran suara Yasmin memanggil dari dalam bilik. Yasmin sudah terjaga dari tidur.
Melur masuk ke dalam bilik. Yasmin terbaring lemah di atas katil dengan wajah pucat.
"Nak air," pinta Yasmin.
Yasmin gagahkan diri untuk duduk. Zulaikha masuk lalu berdiri di hujung katil. Yasmin tergamam. Sepupu Arman! Jadi betullah apa yang dilihatnya tadi. Dia ingat dia bermimpi.
Melur keluar mengambil air. Zulaikha duduk di birai katil menghadap Yasmin. Zulaikha membaringkan Yasmin semula dengan perlahan.
"Kak Yasmin baring dulu. Nanti pening," ujar Zulaikha lembut.
Yasmin membatu. Bau minyak wangi Zulaikha menusuk hidungnya. Wanginya. Mesti minyak wangi mahal.
Share this novel