Isyarat Cinta Encik Arman

Romance Series 16692

Yasmin membetulkan tudung yang dipakai di depan cermin besar dalam tandas. Dia membasahkan tisu lalu mengelap matanya yang bengkak dan sembap. Matanya terasa pedih kerana terlalu banyak menangis.

Sudah dua hari Umi pergi menghadap Ilahi. Yasmin, Ziyad, dan Melur terpaksa kembali ke Sungai Petani untuk bekerja. Mereka hanya diberikan cuti ihsan selama dua hari. Yasmin menarik nafas, cuba mencari kekuatan emosi yang sudah dua hari rapuh. Hampir pukul 8.30 pagi, barulah Yasmin masuk ke bilik jumpsuit.

“Waktu ni orang tak ramai,” fikir Yasmin. Setelah pintu dibuka, Yasmin nampak Arman sedang memakai jumpsuit. Arman agak terkejut melihat Yasmin di depan matanya. Seperti yang dia agak, pasti Yasmin banyak menangis kerana matanya bengkak. Wajah Yasmin sugul. Yasmin terus memakai jumpsuit tanpa mempedulikan Arman. Dia segan diperhatikan Arman dalam keadaan begitu.

Yasmin juga takut kalau-kalau ada rakan sekerja yang bertanya tentang Umi. Pasti dia akan menangis lagi kerana emosinya tidak kuat sekarang ini. Arman dan Yasmin masuk ke dalam vacuum room. Bau minyak wangi Arman yang segar menusuk hidung Yasmin.

“Encik Arman ni suka sungguh pakai minyak wangi,” fikir Yasmin dalam hati. Arman mencuri pandang Yasmin yang kelihatan tidak tentu arah. Tiba-tiba Arman mengangkat tangan mahu menolak pintu. Yasmin, yang duduk di depan pintu, segera mengelak ke tepi.

“Dah kenapa Encik Arman ni,” bebel Yasmin di dalam hati. Arman memberi isyarat agar Yasmin keluar dulu. Rupa-rupanya Arman mahu membuka pintu untuk Yasmin.

“Terima kasih,” ucap Yasmin, masih kehairanan dengan tindakan Arman.

“Aku pun ada tangan nak buka pintu,” rungut Yasmin. Setelah keluar dari vacuum room, Yasmin terus masuk ke bilik QA.

----

Nisa dan Yulia menghampiri Yasmin yang sedang memeriksa barang di mesin A1. Tanpa sedar, Yasmin sudah berada dalam pelukan Nisa. Tiada pertanyaan dari Nisa dan Yulia; hanya pelukan memberi semangat. Air mata mula bergenang di kelopak mata Yasmin, pantas dilap oleh Nisa dengan jarinya.

"Awat hang mai kerja?" soal Nisa dengan loghat campurannya.

"Cuti kilang bagi dua hari ja," jawab Yasmin sambil mengeluarkan tisu dari poket jumpsuit lalu mengesat air mata yang bersisa.

"Yasmin," panggil Abang Lan, ketua penyelia bahagian produksi dari meja depan. Yasmin bergegas menuju ke arah Abang Lan.

"Ya, Abang Lan."

"Ni Abang Lan nak bagi hasil kutipan derma untuk hang ni." Abang Lan menghulurkan sekeping sampul berwarna coklat kepada Yasmin.

"Terima kasih, Abang Lan."

"Ni ada lagi satu. Ada orang misteri bagi." Abang Lan menghulurkan lagi satu sampul berwarna coklat.

"Yang ni sumbangan individu," tambah Abang Lan lagi.

"Siapa yang bagi ni, Abang Lan?" soal Yasmin.

"Ishhh... hang ni, nama pun pemberi misteri. Mana boleh bagitahu," seloroh Abang Lan separuh memekik. Suara Abang Lan memang terkenal kuat dan nyaring. Yasmin tergelak kecil.

"Beritahu orang tu, terima kasih banyak-banyak," balas Yasmin. Kedua-dua sampul disimpan di dalam poket jumpsuit.

----

Arman mengetuk-ngetuk meja dengan pen. Kertas nota kecil direnyuk lalu dibuang ke dalam tong sampah. Dia duduk bersandar di kerusi.

"Apa yang aku patut tulis?" bisik Arman kepada dirinya sendiri. Dia mahu meluahkan perasaannya pada Yasmin. Arman buntu. Dia tahu masa sekarang mungkin tidak sesuai kerana ibu Yasmin baru meninggal. Namun, Arman mahu membantu Yasmin mengharungi saat-saat sukar ini sebagai seseorang yang penting dalam hidupnya. Tidak seperti sekarang, untuk bercakap dengan Yasmin pun susah.

"Hang dok tulis apa tu?" sergah Abang Lan dari luar pintu bilik jurutera yang terbuka luas. Cepat-cepat Arman menyembunyikan buku notanya.

"Tak tulis apa pun, Abang Lan. Tengah buat nota sikit." Abang Lan ketawa geli hati.

"Hang ingat aku bodoh sangat ka? Hang nak aku tolong bagitahu kat Yasmin ka yang hang suka kat dia, hang nak jadi boyfriend dia," kata Abang Lan kuat. Kelam-kabut Arman bangun dari kerusi dan menghampiri Abang Lan.

"shush... shush... Abang Lan, cakap la pelan-pelan. Bilik ni sebelah bilik QA," Arman berbisik.

"Ya Allah, patutlah sampai hari ni hang tak menikah. Harap muka ja lawa,nak mengorat pun tak berani," usik Abang Lan.

"Nanti Yasmin dengar, dia marah pulak." Abang Lan tergelak besar mendengar kata-kata Arman.

"Payah sungguh la," rungut Abang Lan sebelum berlalu pergi.

----

Melur meluru ke arah Along yang sedang duduk di meja makan.

"Along, hang dah jual van Abi, kan?" soal Melur, geram. Dia terdengar perbualan Along dengan kawannya melalui telefon sebentar tadi.

"Ya. Aku dah jual van Abi. Apa masalah hang? Aku yang jaga van tu selama ni," tinggi nada suara Along sambil bangun dari duduk.

"Jaga apanya? Hang asyik minta duit dekat Umi saja. Kami yang kerja teruk-teruk bagi duit dekat Umi. Sepatutnya, pasal van tu hang kena bincang dulu dengan kami. Tu harta peninggalan arwah Abi," jerit Melur lagi, terlampau marah dengan perbuatan Along. Sudahlah hal Along lambat balik kampung semasa Umi meninggal pun Melur tak boleh lupa lagi.

"Aku peduli apa. Hampa semua dengki kat aku, tak boleh tengok aku senang," pekik Along sambil menghayun topi keledar yang dicapainya dari atas meja makan ke arah Melur. Melur sempat mengelak, namun jarinya tercedera kerana menepis topi keledar yang dihayun Along tadi. Ziyad yang baru pulang dari kerja terus menerpa masuk apabila mendengar bunyi bising dari dalam rumah.

"Ada apa, Melur?" soal Ziyad kepada Melur yang sudah menangis geram.

"Ni, hang tau dak, Abang Yad, Along dah jual van Abi."

"Betul ka, Along? Hang dah jual van Abi?" soal Ziyad kepada Along, mahukan kepastian.

"Aku yang jaga van tu selama ni. Kenapa hampa kalut sangat?"

"Semua benda hang nak jual. Dah tu, duit jual van tu mana? Tu van peninggalan Abi, bukan harta hang sorang," jerkah Ziyad, naik angin.

"Gila hampa ni," maki Along sambil menghayun topi keledar ke arah Ziyad. Ziyad menahan topi keledar itu dengan kedua belah tangannya lalu menolak Along dengan sekuat tenaga. Along jatuh tersandar ke dinding.

"Hang tak rasa malu ka dok pukul adik perempuan hang?" Ziyad melirik ke arah jari Melur yang berdarah.

"Hampa semua bangsat," pekik Along lalu masuk ke dalam bilik mengambil dompetnya. "Prangg...!" Along menendang pintu biliknya hingga berlubang. Dia memakai helmet lalu keluar dari rumah.

Yasmin yang kebetulan baru pulang dari kerja terpinga-pinga. Dia masuk melihat Melur yang sedang menangis.

"Kenapa, Melur?"

"Along dah jual van Abi, Kak Min." Yasmin terdiam. Tiada kata yang mampu dia ucapkan. Yasmin menghempaskan tubuh ke atas kusyen.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience