Ziyad mengambil telefon bimbitnya yang terletak di atas kabinet TV. Sejak tadi, ketika sedang mandi, telefon itu sudah beberapa kali berbunyi. Tertera di skrin, 10 miss calls daripada Arman.
"Sampai 10 miss calls? Ada apa abang Arman ni? Tadi baru saja balik dari sini, kan?" Ziyad bercakap sendiri. Dia bercadang mahu terus tidur selepas mandi. Esok pagi, dia akan naik bas balik ke Johor. Namun, belum sempat Ziyad mendail semula, Arman sudah menelefonnya untuk kali ke sebelas.
"Hello, abang?"
"Ziyad. Aku nak jumpa kau sekarang. Aku tunggu dekat kedai nasi kandar Hameed." Belum sempat Ziyad membalas, panggilan sudah ditamatkan. Ziyad terpinga-pinga.
"Nampaknya tak jadilah aku nak tidur awal," bebel Ziyad. Dia memakai t-shirt berkolar berwarna kuning dan seluar jeans lusuh berwarna biru. Setelah keluar dari rumah, dia mencapai topi keledar lalu menghidupkan enjin motosikalnya. Motosikalnya dipandu ke Restoran Nasi Kandar Hameed di Taman Ria. Kepalanya penuh dengan tanda tanya memikirkan perangai pelik Arman.
"Ziyad!" panggil Arman separuh menjerit apabila melihat Ziyad sedang memarkir motosikal di tepi kedai nasi kandar itu. Ziyad berjalan ke arah Arman lalu duduk di kerusi bertentangan. Seorang pekerja restoran datang untuk mengambil pesanan.
"Kopi O panas dua," pesan Arman ringkas. Mulut Ziyad ternganga kerana dia belum sempat berkata apa-apa. Terpaksalah dia minum Kopi O panas yang dipesan Arman.
"Ada apa, abang? Macam urgent sangat dah ni," ujar Ziyad.
"Aku nak nombor telefon kakak kau," kata Arman berterus terang.
"Kakak yang mana?"
"Yasmin Afifah." Ziyad terkedu. Rasanya tak pernah pula dia memberitahu Arman nama penuh Yasmin.
"Abang kenal Kak Min ke?"
"Kami rakan sekerja sebelum ni."
"Oh... tapi tadi Kak Min buat tak tahu je. Macam tak kenal."
"Pernah ke kakak kau bersembang dengan mana-mana lelaki sebarangan?" soal Arman kembali.
"Tak pernah... tapi saya tak boleh bagi nombor telefon Kak Min. Dia marah nanti."
"Ziyad, tolonglah... Aku dah jatuh cinta dengan Yasmin selama tujuh tahun. Masa dia berhenti kerja, aku ada di Jepun. Bila balik sini, aku cari dia dekat rumah lama korang, tapi dia dah pindah. Dua bulan aku cari macam orang gila. Aku nak nombor telefon Yasmin. Aku nak bagitahu dia aku sukakan dia." Riak wajah Arman serius. Ziyad terdiam mendengar pengakuan itu. Dia tahu bukan senang bagi Arman untuk mengeluarkan kata-kata seperti itu, selama dia mengenali Arman, Arman tidak pandai bercakap dengan perempuan. Dia tidak pandai menyusun kata-kata romantis untuk mengorat perempuan.
"Patutlah abang nampak happy sangat kat rumah saya tadi." Ziyad mengeluarkan telefon bimbit dari beg galasnya. Zitt... zitt... Telefon bimbit Arman yang berada di atas meja berbunyi. Tertera pesanan daripada Ziyad. Arman membuka aplikasi WhatsApp. Ziyad telah menghantar nombor telefon Yasmin. Arman segera menyimpan nombor itu dalam senarai kenalannya.
"Terima kasih," ucap Arman dengan nada lega.
----
Suasana di stesen bas UTC pada pukul 9.30 pagi itu agak lengang. Ziyad bersalaman dan mencium tangan Yasmin.
"Pi dulu, Kak Min. Assalamualaikum," ucap Ziyad.
"Waalaikumsalam," balas Yasmin sambil menghidupkan enjin motosikal. Setelah kelibat Ziyad menghilang di dalam stesen bas UTC, Yasmin terus memandu motosikalnya keluar dari situ.
Dua puluh minit kemudian, Yasmin tiba di rumah. Setelah masuk ke dalam rumah, dia mencampakkan beg galasnya ke atas kusyen.
Zitt... zitt... Ada pesanan WhatsApp masuk. Yasmin mengambil telefon dari dalam beg galas. Tertera di skrin nombor baharu yang tiada dalam senarai kenalannya.
"Assalamualaikum Yasmin. Apa khabar? Saya Arman, ingat lagi tak?"
"Waalaikumsalam. Ya, Encik Arman, saya masih ingat. Ada apa Encik Arman WhatsApp saya?" pantas Yasmin membalas.
"Saya bukan orang atasan awak lagi. Panggil Arman. Biar saya berterus terang. Saya nak berkawan dengan awak."
Arman duduk bersandar di meja tulis dalam biliknya. Dia mengetuk-ngetuk jari tangan kanannya di atas meja sementara menunggu balasan Yasmin.
"Berkawan?" balas Yasmin, pura-pura kurang faham. Sebenarnya, dia kehilangan kata-kata. Inilah kali pertama ada lelaki meluahkan perasaan padanya. Yasmin jadi gementar.
"Saya nak jadikan awak teman wanita saya. Boleh?" Arman di hujung talian sana cemas. Terasa mahu luruh jantung saat dia menuturkan perkataan-perkataan itu.
"Saya tak pernah bercinta. Buat masa sekarang saya tak mahu. Saya rasa lebih baik awak cari orang lain."
" Saya pun tak pandai nak berkawan serius dengan perempuan. Kalau macam tu, kita berkawan saja dulu. Saya akan tunggu sampai awak sudi," balas Arman.
Yasmin terdiam lama. Tidak tahu apa yang patut dibalas. Dia menyimpan semula telefon ke dalam beg. Bunyi WhatsApp masuk diabaikan. Yasmin mengemas rumah dan memasak sementara menunggu pukul 1. Dia perlu menjemput Ameena dari sekolah.
----
Arman membuka aplikasi WhatsApp sekali lagi. Jam di skrin telefon sudah menunjukkan pukul 5 petang. Ternyata semua pesanannya sudah dibaca Yasmin. Bertanda blue double tick. Namun, Yasmin tidak membalas semua pesanannya.
Arman menarik laci meja tulis. Sebuah beg kertas dikeluarkan dari laci itu. Dia berfikir sejenak sebelum mendail nombor Yasmin.
"Hello?" Kedengaran suara Yasmin di talian.
"Saya nak pergi rumah awak sekejap. Ada sesuatu saya nak bagi," ucap Arman.
"Tak payahlah mai sini," balas Yasmin, suaranya dingin.
Namun, kali ini Arman sudah nekad.
"Lagi 15 minit saya sampai," katanya, lalu mematikan talian.
Yasmin terpinga-pinga. Namun, dia yakin Arman hanya menggertaknya. Yasmin terus merebahkan tubuh di atas katil sambil bermain telefon. Dua puluh minit kemudian Yasmin hampir terlelap di atas katil namun dia terkejut mendengar ketukan dari pintu.
"Kak Min... Kak Min! Kawan Kak Min mai," panggil Rayyan dari luar pintu bilik Yasmin.
"Kawan? Kawan Kak Min yang mana?" soal Yasmin.
"Kawan lelaki."
Yasmin panik. Dia mula rasa gementar. Telefon bimbit di tepi katil dicapai. Aplikasi WhatsApp dibuka.
"Awak buat apa kat sini?" soal Yasmin sambil menambah simbol tanda soal berwarna merah.
"Saya dah cakap tadi, saya nak bagi sesuatu dekat awak."
"Saya tak mau. Pi lah balik," balas Yasmin geram. Dia terasa seperti dipaksa.
"Awak keluar lah ambil. Sekejap je, lepas tu saya balik. Saya beli masa kat Jepun hari tu. Memang beli untuk awak," pujuk Arman.
Yasmin tidak membalas pesanan itu. Seketika kemudian, dia sudah tercegat di depan pagar. Yasmin memakai baju T-shirt lengan panjang berwarna ungu, seluar tracksuit hitam, dan tudung sarung hitam.
Yasmin membuang pandangan ke arah jalan. Arman memandang tepat ke wajah Yasmin. Ternyata Yasmin semakin kurus. Semalam dia tidak dapat memerhatikan Yasmin dengan betul kerana Yasmin sibuk di dapur.
Arman menghulurkan beg kertas itu kepada Yasmin. Yasmin mengambilnya tanpa memandang Arman. Dia malu. Arman menelan liur. Sebenarnya dia pun malu! Tetapi dia lelaki, dia perlu lakukan sesuatu, dia sudah penat menunggu hampir tujuh tahun.
Arman mencuri-curi menatap gadis setinggi paras dadanya itu puas-puas sebelum Yasmin sedar dia diperhatikan. Masing-masing terdiam. Terasa susah benar mahu mencari perkataan yang sesuai untuk diucapkan berbanding ketika bersembang menggunakan WhatsApp. Semasa menggunakan aplikasi WhatApps boleh pula mereka berbual seperti biasa.
Share this novel