Mimpi dan realiti 2

Romance Series 16692

Seperti biasa, Arman akan menunggu di ruangan khas untuk merokok yang terletak berdekatan pintu masuk kilang untuk melihat Yasmin. Lima minit lagi akan tiba pukul 8.30 pagi, namun kelibat Yasmin masih belum kelihatan. Arman bangun dan terus masuk ke dalam bilik jumpsuit.

Arman mencapai jumpsuit biru gelapnya dari rak. Seketika kemudian, Mr. Tan, penyelia bahagian QA, masuk ke bilik jumpsuit.

"Arman...bagitahu Ina, mak Yasmin sudah meninggal. Suruh mereka buka tabung untuk Yasmin." Terkejut Arman menerima berita itu. Wajah sugul Yasmin tujuh tahun lalu kembali bermain di fikirannya.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Mamaknya Yasmin udah meninggal?" Nisa mengusap dadanya.

"Ayahnya pun udah nngak ada, kan? udah sembilan tahun ayahnya meninggal. Adik-adiknya masih kecil-kecil," sampuk Desi pula, simpati dengan Yasmin. Dia sering bekerja dengan Yasmin walaupun bukan satu kumpulan.

"Masa aku jumpa dia di tepi tasik dulu, ayah dia dah meninggal" gumam Arman. Setelah lengkap mengenakan jumpsuit, Arman masuk ke dalam vacuum room. Keluar dari situ, dia masuk ke bilik jurutera dan duduk di mejanya. Dia bersandar di kerusi, fikirannya terasa kusut. Mahu saja dia pergi melihat Yasmin sekarang. Arman bangun keluar dari bilik jurutera setelah teringat pesanan Mr. Tan tadi.

"Kak Ina," panggil Arman setelah melihat wanita empat puluhan itu sedang menulis di whiteboard.

"Mak Yasmin dah meninggal."

"Kak Ina dah tahu. Desi dengan Nisa bagitahu tadi. Kak Ina dah suruh depa keluarkan tabung untuk kutip derma," beritahu Kak Ina.

"Kak Ina tahu kampung Yasmin dekat mana?" soal Arman.

"Dia balik Gerik. Jauh, Arman. Kalau dekat, bolehlah keluar sekejap pergi tengok mak dia," balas Kak Ina kesal. Biasanya, jika ada kematian melibatkan ahli keluarga pekerja di kilang itu, Yamamoto-San akan membenarkan pekerja lain yang ingin melawat pergi secara berperingkat.

----

Pak Cik Hashim, Ziyad, Rayyan, dan Darwish mengangkat jenazah Umi dari atas pangkin lalu diletakkan di atas tempat mandi jenazah yang dipinjam dari masjid. Kemudian, mereka keluar menunggu di luar. Mak Long dan Mak Lang masuk ke dalam bilik untuk memandikan jenazah Umi. Bilik yang Umi duduk semasa sakit digunakan sebagai tempat mandi jenazah.

“Kak Min, Wardah ajak adik-adik masuk bagi mandi Umi,” arah Mak Long. Yasmin, Wardah, Melur, Dahlia, dan Ameena masuk ke dalam bilik. Mak Long yang mengetuai proses mandi jenazah Umi menghampar sehelai kain sebagai kain basahan sebelum menarik kain batik panjang yang menutupi jenazah Umi.

Mak Long dan Mak Lang memandikan jenazah Umi dengan cermat. Mak Long menyuruh Yasmin dan adik-adiknya membantu menggosok dan membersihkan badan Umi. Yasmin hanya mampu menggosok badan Umi dua kali sebelum berdiri kaku di sudut bilik.

“Adakah ini semua mimpi, ya Allah,” bisik Yasmin dalam juraian air mata. Setelah selesai, jenazah Umi dikafankan menggunakan lima helai kain, dengan bahagian muka dibiarkan terbuka.

“Mari semua cium Umi dulu,” panggil Mak Long. Seorang demi seorang adik-beradik Yasmin memberikan ciuman terakhir untuk Umi.

“Along mana? Tak balik ka?” tanya Pak Cik Hashim yang sejak tadi tidak nampak kelibat Along.

“Tak tahulah, Pak Cik. Yasmin dah call dia banyak kali, tapi tak dapat,” beritahu Yasmin.

“Alang tak sampai lagi dari Johor?” soal Mak Long pula.

“Tak sampai lagi, Kak Jah. Tutup lah jenazah Kak Mah tu. Tak payah tunggu dah,” ujar Pak Cik Hashim. Wajah Umi ditutup dan diikat dengan kain kafan. Jenazah Umi diletakkan di ruang tamu untuk disolatkan.

----

Alang memarkir kereta di tepi jalan besar di hadapan rumah Opah. Di halaman rumah Opah, sudah ada banyak kereta dan ramai orang. Alang, isterinya, dan anak-anaknya turun dari kereta lalu bersalaman dengan beberapa tetamu yang hadir.

Setelah masuk ke dalam rumah, ramai orang sudah berbaris dalam saf untuk solat jenazah. Alang keluar semula untuk mengambil wuduk di paip air di luar rumah. Kemudian, dia masuk dan berbaris dalam saf. Jenazah Umi diletakkan di hadapan imam. Kepala jenazah Umi menghadap ke kanan imam, dan imam berdiri setentang, menghadap tengah jenazah Umi. Setiap laungan takbir dan bacaan mencuit rasa sebak di hati Alang. Selesai solat, Alang mendekati jenazah Umi. Dia mengusap wajah Umi di sebalik kain kafan, berharap dapat menatap wajah Umi buat kali terakhir.

Mak Long, yang memahami bahasa tubuh Alang, membuka semula ikatan di bahagian kepala Umi. Wajah Umi nampak tenang, seperti sedang tidur. Alang mengesat air mata yang mula bergenang di tubir mata. Setelah puas menatap dan mencium wajah Umi, Alang mengangguk perlahan, memberi isyarat bahawa sudah selesai. Mak Long mengemaskan ikatan kain kafan di wajah Umi kembali.

Jenazah Umi dimasukkan ke dalam keranda lalu diangkat ke dalam van jenazah. Yasmin dan adik-beradiknya turut serta mengiringi jenazah Umi ke tanah perkuburan.

Sepuluh minit kemudian, mereka tiba di tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan masjid. Lubang kubur sudah siap dikorek. Pak Long, Pak Cik Hashim, Alang, dan Ziyad turut sama membantu menurunkan jenazah Umi. Jenazah Umi dimasukkan ke dalam liang lahad, dibaringkan disisi kanan menghadap kiblat. Kemudian, Pak Cik Hashim menyendal jenazah Umi dengan papan lalu mula menimbus tanah ke dalam kubur.

Dari jauh, Yasmin nampak Along berjalan laju ke arah mereka. Along terus ke tepi kubur dan membantu menimbus tanah ke dalam kubur Umi. Setelah proses pengkebumian Umi selesai, mereka semua duduk bersila di atas tikar. Imam membacakan talkin dengan suara lantang. Yasmin terasa sebak ketika nama Umi disebut dalam bacaan talkin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience