Yasmin baru pulang dari kerja. Van Nissan Vanette berwarna putih milik Abi tiada di tempat parkir. Rumah mereka sunyi. Pasti Umi, Along, dan adik-adiknya sudah pergi melawat Abi di hospital. Yasmin mengambil kunci rumah dari dalam kasut di rak kasut lalu membuka pintu.
"Semuanya dah pi hospital," rungut Yasmin sendiri. Dia agak kecewa kerana Umi dan Along tidak menunggunya untuk ke hospital bersama-sama. Yasmin juga mahu melawat Abi di hospital.
Bungkusan plastik berisi suplemen kesihatan yang dibelinya daripada kawannya untuk Abi diletakkan di atas meja makan. Yasmin masuk ke dalam bilik untuk menukar pakaian dan mandi. Setelah selesai mandi dan mengenakan pakaian, Yasmin menuju ke dapur. Dia membuka tudung periuk di atas dapur.
Umi masak kari ayam campur ubi kentang. Yasmin mengambil pinggan dari rak pinggan, mencedok nasi dan kari ayam dari dalam periuk lalu duduk di meja makan. Dia membuka tudung saji dan meletakkannya di atas kerusi. Ada sepinggan ikan goreng dan sepiring kecil sambal tempoyak di atas meja. Kecur liur Yasmin dibuatnya.
Yasmin mengambil seekor ikan goreng dan mencedok sedikit sambal tempoyak. Dia makan dengan penuh selera. Yasmin memang cukup gemarkan sambal tempoyak. Setelah selesai makan dan membasuh pinggan, Yasmin masuk ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi solat Maghrib. Dia mengambil telekung yang tersidai di rak lalu memakainya. Sejadah dihampar menghadap kiblat.
Hampir pukul 8 malam, barulah Umi dan semua balik dari hospital. Yasmin terus menerpa Umi yang baru masuk dari pintu depan. Dia sudah tidak sabar mahu bertanya khabar tentang Abi.
"Abi macam mana, Umi?" soal Yasmin, risau memikirkan keadaan kesihatan Abi.
"Alhamdulillah. Abi dah ada selera makan. Abi nampak sihat sikit tadi. Insya-Allah, esok mungkin Abi boleh balik." Jelas kelihatan riak lega di wajah Umi. Umi terus masuk ke bilik untuk menukar pakaian, mandi, dan solat Maghrib.
Malam itu, mereka tidur awal. Masing-masing keletihan kerana sebelum ini mereka berulang-alik ke kampung untuk merawat Abi secara tradisional. Ketika pulang dari kampung tengah hari semalam, Abi sesak nafas dan terus dikejarkan ke hospital.
---
Kuk... kuk...! Kuk... kuk...! Yasmin terjaga dari tidur, terkejut mendengar pintu biliknya diketuk bertalu-talu.
"Kak Min... Kak Min... bangun. Kita kena pergi hospital. Abi dah tak dak ni." Suara Umi kedengaran cemas. Yasmin tersentak. Degupan jantungnya berdebar kencang. Dia mencapai telefon bimbit di tepi tilam. Pukul 1.40 pagi.
"Wardah... bangun... Wardah..." Yasmin menggoncang tubuh adiknya sehingga Wardah terkebil-kebil bangun.
"Abi dah tak dak. Jom bersiap pergi hospital."
----
Yasmin, Along, dan adik-adiknya berdiri menghadap katil. Tubuh dan wajah Abi ditutup dengan selimut putih. Umi berdiri di sisi katil sambil mendukung adik bongsu mereka, Cempaka Ameena, yang berusia sepuluh bulan. Petugas hospital membuka sedikit selimut yang menutupi wajah Abi. Wajah Abi seperti sedang tidur; tenang dan nampak seperti tersenyum sedikit.
Air mata Umi laju mengalir membasahi pipi. Dia mengelap air matanya dengan tudung labuh yang dipakai, tetapi tudung itu semakin basah. Mata Along merah. Adik-adik Yasmin sudah menangis teresak-esak. Air mata Yasmin masih bergenang di kelopak mata. Dadanya bagai ditumbuk, tidak dapat menerima bahawa Abi sudah tiada.
Petugas hospital meminta Along ke kaunter di lobi untuk membayar bil dan sewa ambulans sementara mereka menyiapkan proses dokumentasi. Umi dan Along membuat keputusan untuk menguburkan Abi di kampung mereka di Gerik, Perak setelah berbincang dengan Pak Teh dan Pak Cik melalui telefon.
Setengah jam kemudian, Pak Teh tiba di hospital. Jenazah Abi sudah dimasukkan ke dalam keranda dan dibawa naik ke atas ambulans. Yasmin dan Alang menemani jenazah Abi di dalam ambulans. Sewaktu dalam perjalanan, air mata Yasmin laju membasahi pipi. Semuanya mula terasa seperti realiti. Abi sudah tiada! Sukar Yasmin hendak menerima kenyataan ini.
" Abi...Kak Min ni..." Panggil Yasmin perlahan.
----
Sampai di kampung, Abi dibaringkan di atas katil. Pak Cik Hashim menggunting baju Abi, sendi-sendi Abi disapu minyak supaya tidak kaku untuk urusan pengurusan jenazah nanti. Pak Cik Hashim menqiyamkan tangan Abi, tubuh serta wajah Abi diselimutkan dengan kain batik panjang.
Yasmin membuka sedikit selimut di bahagian wajah Abi. Wajah itu disentuh lembut. Terasa sejuk. Yasmin, Wardah, dan Dahlia duduk bersandar di dinding bilik. Masing-masing mengambil senaskah Yasin yang kecil lalu membacanya. Sesekali bacaan mereka terhenti kerana air mata yang menuruni pipi. Mereka pantas mengelap air mata dengan hujung tudung masing-masing lalu menyambung bacaan.
Umi duduk di sudut ruang tamu sambil meriba Ameena. Along dan Alang mengikut Pak Teh ke balai polis untuk membuat laporan kematian. Jam di dinding rumah Opah menunjukkan pukul 6.04 pagi. Bunyi ayam berkokok silih berganti memecahkan keheningan pagi. Azan Subuh sayup-sayup kedengaran dari masjid berdekatan rumah Opah.
Setelah selesai solat Subuh, ahli jemaah masjid dan orang kampung mula datang ke rumah Opah. Mak Long yang tinggal di Sitiawan dan Mak Lang dari Taiping juga sudah tiba. Mak Long bersama beberapa wanita kampung sibuk menyiapkan perkakas mandian jenazah untuk Abi. Baldi, sabun, dan daun bidara diletakkan di sudut ruang tamu. Mak Lang, Mak Teh, dan beberapa orang kampung duduk di ruang tamu merincik daun-daun pandan ke dalam besen. Bau daun pandan yang dirincik mula memenuhi ruang tamu. Harum. Umi masih duduk bersandar di dinding di penjuru ruang tamu sambil meriba Ameena yang masih tidur.
"Kak Mah solat Subuh dak lagi?" tanya Mak Lang.
"Dah," jawab Umi sambil mengangguk dan menyeka air mata yang mengalir di tubir matanya. Mata Umi kelihatan bengkak dan merah. Wajahnya nampak lesu.
"Kak Mah makan dak lagi?" tanya Mak Lang lagi, suaranya lembut.
"Dak lagi," jawab Umi perlahan.
"Kak Mah pergilah makan. Berserak (sarapan) dulu. Letak Ameena dalam buai," saran Mak Lang kepada kakaknya itu.
"Sat lagi Kak Mah makan. Tak rasa nak makan lagi."
Mak Lang akur dengan jawapan Umi. Dia bangun lalu ke dapur untuk membantu Mak Su. Sebesen daun pandan sudah habis dirincik dan diletakkan di tepi dinding. Suara bacaan Yasin kedengaran dari kumpulan wanita di ruang tamu, manakala kumpulan lelaki membaca Yasin di ruang tamu tambahan di depan.
----
Selesai mandi dan dikafankan, jenazah Abi kemudian disolatkan di ruang tamu. Selesai solat jenazah, Along dan Alang mengangkat keranda bersama beberapa orang kampung lalu dimasukkan ke dalam van jenazah. Mereka mengiringi jenazah Abi ke tanah perkuburan.
Tanah perkuburan Kampung Plang, Gerik, Perak tampak sepi. Pokok-pokok besar yang memayungi kawasan kubur menjadikan suasana redup. Ketika tiba masanya jenazah Abi diturunkan ke liang lahad, Along melangkah perlahan ke dalam liang lahad, membantu meletakkan tubuh Abi dalam posisi menghadap kiblat. Pak Teh membisikkan syahadah ke telinga Along, memberi panduan supaya posisi jenazah tepat.
“Bismillahi wa 'ala millati Rasulillah...” suara Pak Cik Hashim bergema ketika jenazah Abi disempurnakan.
Tanah mula ditimbus perlahan-lahan. Yasmin tidak dapat menahan lagi air matanya. Kali ini dia membiarkan sahaja air matanya turun membasahi pipi dan tudung, sama seperti Wardah dan Dahlia di sebelahnya.
Setelah tanah diratakan, orang kampung dan ahli keluarga membaca doa tahlil. Yasmin menunduk sepanjang doa dibacakan. Hatinya seakan tidak mahu menerima kenyataan bahawa Abi kini hanya tinggal kenangan. Namun, dia tahu, dia perlu kuat. Demi Umi, adik-adiknya, dan dirinya sendiri.
Ketika mereka berjalan menuju ke van Abi, Yasmin menatap langit yang cerah. Matahari sudah membahang kerana sudah hampir pukul 12 tengah hari, namun hati Yasmin terasa kelam sehitam warna malam.
Share this novel