Dari jauh, Arman nampak Yasmin berjalan seorang diri ke kantin. Rakan-rakan Yasmin sudah berehat pada sesi pertama tadi. Hari ini, Arman sengaja memilih untuk berehat pada sesi kedua. Dia mahu melihat Yasmin.
Yasmin mengambil tray lalu mencedok makanan yang diinginkannya. Dia juga membeli segelas teh ais. Yasmin duduk di sudut kantin, menghadap dinding.
Sudah seminggu Arman bekerja di situ, tetapi Yasmin langsung tidak mengecamnya. Bagi Yasmin, Arman hanyalah seorang pekerja Bangladesh ketika berada di dalam clean room. Apatah lagi, mereka perlu memakai jumpsuit dan face mask yang hanya menampakkan sepasang mata sahaja.
"Min baru rehat ka?" Kak Huda menepuk lembut bahu Yasmin dari belakang.
"Ya, Kak Huda. Kak Huda tak makan ka?"
"Kak Huda dah rehat tadi. Ni nak bagi jumpsuit kat engineer baru hampa tu lah." Kak Huda menuding jari ke arah Arman, yang kebetulan sedang memandang ke arah mereka. Kak Huda yang berbadan besar duduk di sebelah Yasmin.
"Arman, mai sini sat. Kak Huda tak larat dah nak pi sana." Arman bangun lalu duduk di kerusi berhadapan dengan Kak Huda dan Yasmin.
"Arman?" bisik Yasmin perlahan, agak keliru. Lelaki tinggi lampai berkulit cerah itu melemparkan senyuman pada Yasmin dan Kak Huda. Memang Yasmin ada terserempak dengan lelaki itu beberapa kali di kantin dan di bilik meeting.
"Ni ha, baju engineer ni dah ada stok. Nanti baju jumpsuit hari tu kalau dah basuh, bagi balik dekat Kak Huda," terang Kak Huda bersungguh.
"Okay, Kak Huda. Saya boh softlan bagi wangi," seloroh Arman.
"Ala, jumpsuit tu hang pakai seminggu ja pun, tak boh softlan pun wangi lagi," balas Kak Huda pula. Yasmin mula memahami situasi di hadapannya. Baru dia tahu, Arman inilah yang disangkanya pekerja dari Bangladesh itu. Engineer baru yang handsome dan boleh berbahasa Jepun! Yasmin termalu sendiri.
Yasmin yang sudah selesai makan bangun lalu menyimpan tray. Selepas itu, dia terus masuk ke tempat kerjanya semula. Arman masih bersembang dengan Kak Huda.
----
"Huargggghhhh." Yasmin menutup mulut dengan tapak tangan kanan. Mengantuk sungguh rasanya apabila terpaksa menghadap skrin komputer terlalu lama. Dia bersandar di kerusi sambil memusingkan kerusi beroda itu ke kiri dan ke kanan untuk menghilangkan rasa mengantuk.
"Ya Allah!" Yasmin hampir terjatuh dari kerusi kerana terkejut melihat kelibat Arman di sebalik pintu cermin bilik QA.
"Tolong check mesin B5," Arman membuka pintu sedikit.
"Hah... okay... okay," Yasmin tergugup-gugup. Dia tidak dapat berbual seperti biasa setelah mengetahui bahawa Arman adalah orang atasannya. Arman tersenyum di sebalik face mask, melihat kelakuan Yasmin.
Yasmin mengambil sampel di atas rak lalu memeriksanya di bawah lampu yang disediakan di setiap meja berhampiran mesin.
"Okay dah, Encik Arman."
"Kalau dah okay, nanti awak bagitahu Mansur supaya dia jalan balik mesin ni," Arman memberi arahan. Walaupun dia kurang selesa dipanggil 'Encik' oleh Yasmin, malu pula Arman hendak bersuara. Semua pekerja lain memang memanggil dia dan jurutera lain dengan panggilan 'Encik' atau 'San'. 'San' bermaksud Encik atau Cik dalam bahasa Jepun.
----
"Bayya, nak tanya, Yasmin dah kerja sini lama ke?" Arman memulakan perbualan dengan seorang pekerja Bangladesh yang sedang mengendalikan mesin A1. Mesin A1 dan B1 terletak berhampiran bilik QA.
"Sudah lama, Encik Arman. Dia dah kerja sembilan tahun, sama macam saya."
"Sembilan tahun? Lamanya. You tahu rumah dia dekat mana?" soal Arman lagi.
"Dia duduk di Flat Paya Nahu dengan mak dan adik-beradik dia. Adik dia ramai, masih kecil-kecil, sekolah lagi," cerita Mohamed bersungguh-sungguh. Arman mendengar dengan penuh minat. Terasa segar matanya walaupun bekerja shift malam.
Arman pergi menjenguk Yasmin di bilik QA. Yasmin tertidur di meja QA, face mask-nya ditarik ke dagu menampakkan wajahnya. Skrin komputer masih terbuka, Yasmin sedang mengemas kini data-data berkaitan kerjanya sebelum terlelap di situ.
" Tengah tidur pun cantik." fikir Arman sendiri. Arman mengambil buku catatan Yasmin. Dia duduk di meja sebelah lalu membuka komputer. Fail QA dibuka, dan dia membantu Yasmin mengemas kini data-data serta menyalin semula maklumat yang ada di dalam buku catatan Yasmin ke dalam komputer.
Yasmin kelihatan nyenyak tidur, Wajahnya nampak keletihan. Yasmin jarang tersenyum dan tidak banyak bercakap. Arman hanya ada kesempatan untuk bercakap dengan Yasmin ketika kerja. Arman membuka fail yang tertulis 'ENG' pula dan mengemas kini data-data berkaitan kerjanya.
Hampir satu jam setengah Yasmin tertidur. Dia terjaga dari tidur, jam di sudut skrin komputer sudah menunjukkan pukul 4.37 pagi. Yasmin terkejut melihat Arman yang sedang menggunakan komputer di meja sebelah. Dia risau dimarahi Arman atau lelaki itu mungkin akan melaporkan kejadian itu kepada penyelianya, Mr Tan.
"Habislah," fikir Yasmin sendiri. Dia mengambil fail dan buku catatannya lalu segera keluar dari bilik QA. Dia perlu membuat rondaan sekali lagi. Arman memandang Yasmin dari belakang.
Share this novel