Along

Romance Series 16692

Yasmin memandang kosong ke arah jalan tar di depan rumah. Di jalan tar itulah dia dan adik-beradiknya selalu bermain badminton. Yasmin mengayun buaian besi yang didudukinya dengan kaki. Ameena yang lena di atas riba ditepuk-tepuk perlahan agar tidak terjaga.

"Solla alaikallah hu ya adnani, ya musthofa ya saf watar rohmani, Alhamdulillah hillazi a'thoni, hazzal ghulamat thoyyibal ardhani..." Yasmin menyanyikan lagu nasyid dari kumpulan Nada Murni, lagu yang selalu Abi nyanyikan kepada mereka ketika kecil. Sudah tiga bulan Abi pergi, namun perasaan rindu tidak pernah padam pada sosok Abi yang berjanggut tebal. Abi selalu memakai kopiah. Badan Abi agak gempal, dan beliau sentiasa tersenyum. Baju kemeja hijau Abi yang sudah lusuh Yasmin simpan di dalam almari. Pernah satu ketika Yasmin menegur Abi, baju Abi koyak di ketiak. Abi hanya tersenyum. Rupanya, sudah banyak kesan jahitan di baju itu. Yasmin sempat membelikan baju kemeja baru berwarna ungu, tetapi Abi hanya sempat memakainya beberapa kali.

Dulu, setiap pagi, Abi akan bangun awal untuk mandi, membaca al-Quran, dan solat Subuh. Suara Abi yang berzikir mendayu-dayu bagaikan jam penggera untuk Yasmin dan adik-beradiknya. Kemudian, Abi akan duduk di meja makan sambil bersembang dengan Umi yang sedang memasak. Jika Ameena bangun, Abi akan mendodoi sehingga Ameena tidur semula. Suara Abi sedap. Sekarang, Yasmin sering nampak Umi termenung sendiri di meja makan. Sesekali, Yasmin melihat Umi menyeka air matanya. Pasti Umi rindu pada Abi. Selama dua puluh tiga tahun Umi dan Abi tidak pernah hidup berjauhan.

Proses pengeluaran duit simpanan KWSP arwah Abi berjalan lancar. Amanah Raya sudah pun membahagikan bahagian waris yang berhak mengikut hukum syarak. Kedua ibu bapa Abi, Tok Gayah dan Tok Wan Saleh juga sudah menerima bahagian mereka. Sebahagian daripada wang KWSP yang Umi dapat, Umi gunakan untuk membayar hutang-hutang arwah Abi.

Alonglah yang akan menjadi pemandu jika Umi hendak pergi ke mana-mana. Along juga membawa Umi ke pejabat Perkeso untuk tuntutan pencen ilat. Mujurlah Umi dapat membuat tuntutan pencen ilat, bolehlah digunakan untuk menyara anak-anak yang masih bersekolah. Yasmin, Wardah, dan Alang pun sudah bekerja, jadi dapatlah mereka membantu Umi dari segi kewangan, sedikit sebanyak.

----

"Along tak kerja dah ka?" soal Wardah kepada Yasmin. Dia hairan melihat Along yang sentiasa ada di rumah.

"Dah lama Along berhenti kerja, Kak Wardah. Sebelum Abi meninggal lagi," sampuk Rayyan yang sedang menonton televisyen.

"Hmmm... Patutlah. Sekarang Umi banyak duit, tu yang rajin teman Umi pi sana sini," ucap Wardah sinis. Yasmin dan Wardah memang sakit hati dengan sikap Along. Sejak dulu, dia tidak pernah bekerja tetap di satu-satu tempat. Ada sahaja isu yang ditimbulkannya di tempat kerja. Segala tanggungjawab keluarga diletakkan atas bahu Yasmin, Wardah, dan Alang. Jika ada imbuhan, barulah Along mahu membantu.

"Pi kerja pun dok bergaduh kat tempat kerja, pukul orang. Orang minta ganti rugi, Umi juga yang kena bayar," sambung Wardah lagi. Dia mendengus geram. Along ada lesen GDL dan sijil kemahiran komputer rangkaian. Tawaran kerja yang Along terima semuanya bagus-bagus, namun semuanya ditolak. Entah apa yang difikirkannya. Bila tiada duit, dia meminta daripada Umi. Tidak hairanlah Yasmin dan Wardah marah.

Umi pula terlalu lembut hati dengan Along. Setiap kali Along meminta duit, Umi akan memberinya selagi ada, sedangkan Yasmin dan Wardah kadang-kadang terpaksa berjimat cermat di tempat kerja. Tidak tergamak Yasmin dan Wardah hendak meminta daripada Umi pula.
l "Hang perasan tak Along beli telefon baru?" tanya Yasmin kepada Wardah.

"Ha, tengok dah semalam. Telefon yang Wardah beli bagi kat Umi tu pun, Umi bagi dekat Along. Along minta nak guna sebab tak dak telefon, katanya. Rupanya, dia pi trade-in telefon Wardah ambil telefon baru. Umi jugak yang tambah duit," kata Wardah dengan wajah kecewa. Wardah sendiri, nak beli telefon bimbit pun terpaksa membayar secara ansuran di kedai. Itupun selepas habis bayar baru boleh ambil telefon.

Yasmin pula hanya menggunakan telefon bimbit model lama pemberian Alang. Duit gaji Yasmin banyak dihabiskan untuk menyara keluarga, terutamanya sepanjang tempoh Abi sakit. Sekarang Abi sudah tiada. Yasmin, Wardah, dan Alang terpaksa mengambil alih tugas arwah Abi mencari rezeki.

"Oh, kalau macam ni, melampau la. Asyik minta duit dekat Umi. Kita yang bagi duit dekat Umi, dia habiskan," keras suara Wardah, geram. Dia menggetap gigi.

"Shushhhh..." Pantas Yasmin menekup mulut Wardah, risau kalau Umi terdengar perbualan mereka. Umi pasti akan berkecil hati.

----

Panggg! Berderai bunyi kaca pecah dari arah dapur. Yasmin yang sedang mandi segera menyalin kain basah dengan kain batik. Berkemban. Kain basah disidai di atas daun pintu bilik mandi.

"Apa ni bising-bising?" tempik Yasmin. Along dan Alang sedang mengelilingi meja makan di dapur. Dapur berselerak. Alang tidak berbaju. Bahu adik ketiganya yang berusia sembilan belas tahun itu luka. Bibir Alang pecah dan berdarah. Along memegang kayu penggiling tepung di tangannya. Pasti kayu itu digunakan untuk mencederakan Alang. Tidak pasti apakah punca pergaduhan mereka.

"Hang dah gila ka, Along?" jerkah Yasmin kuat.

"Hang jangan masuk campur, Min," sahut Along pula, memberi amaran. Nada suaranya meninggi. Along cuba untuk memukul Alang lagi. Pantas Yasmin menghadang Along dengan badannya. Mereka tolak-menolak sambil mengelilingi meja makan.

"Sudahlah. Hang tak puas buat dia lagi ka?" jerkah Yasmin lagi. Suara Yasmin melengking. Nafasnya turun naik menahan marah. Yasmin mencapai jag berisi air oren di atas meja lalu disimbah ke muka Along. Along tergamam.

"Hang gila ka?" jerkah Along, mencerlung. Along semakin marah, mahu mencederakan Yasmin pula.

"Ha... buatlah. Buat... buat...!" ugut Yasmin kuat dan tegas. Dia mencekak pinggang. Tidak takut dengan Along. Selalunya, bila ada pergaduhan dengan Along, Yasminlah yang akan masuk campur cuba melindungi adik-adiknya daripada Along.

"Apa ni? Asyik bergaduh saja kerja hampa ni," tempik Umi kuat. Entah bila Umi masuk ke dapur. Tadi, Umi duduk bersembang di luar dengan jiran mereka, Mak Su Syida.

"Hampa tak malu kat orang ka? Nah, ambik parang seorang satu, pi bergaduh kat luar!" Umi menjerit histeria.

"Abi baru ja meninggal. Hampa pula buat perangai. Tak boleh ka hampa buat perangai bagi Umi tak susah hati." Tempik Umi lagi. Ada riak kecewa di wajah Umi. Letih dengan perangai anak-anaknya yang sering bergaduh sesama sendiri. Tiada siapa berani membuka suara. Along dan Alang segera beredar dari situ. Tinggal Umi dan Yasmin saja di dapur. Yasmin mahu mengemas semula dapur yang berselerak. Dia mengambil penyapu dan penyodok yang terletak di sudut dapur.

"Kenapa tak panggil Umi masa depa gaduh tadi?" tanya Umi pada Yasmin, marah kerana menganggap Yasmin tidak bertindak sewajarnya.

"Min tengah mandi tadi," ujar Yasmin perlahan. Baru Umi perasan anak keduanya itu hanya memakai kain batik separas dada.

"Pergi la pakai baju dulu. Satgi Umi kemas semua ni," suruh Umi sambil mengambil penyapu dan penyodok dari tangan Yasmin. Yasmin masuk ke biliknya manakala Umi menyapu kaca-kaca yang pecah tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience