"Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. La ilaha illallah huwallahu Akbar. Allahu Akbar walillahilhamd..." Air mata Yasmin jatuh membasahi pipi. Cepat-cepat dia mengesat air matanya. Yasmin bangun untuk merapatkan saf sambil memperbetulkan telekung. Perasaan sayu dan hiba menghimpit dadanya. Syawal tanpa kelibat Abi dan Umi terasa tiada makna, namun dia tetap perlu merayakan Syawal demi adik-adiknya.
Selesai solat Aidilfitri, mereka semua pulang ke rumah. Juadah hari raya yang telah dipanaskan semula dihidangkan di atas meja makan. Ada gulai daging, rendang ayam, dan ketupat. Kuih raya yang dimasukkan ke dalam balang disusun kemas di atas meja kecil di ruang tamu.
"Lepas makan ni kita balik Gerik, kan?" soal Rayyan.
"Ha’ah. Nak tengok kubur Umi dengan Abi," balas Darwish.
"Abang Yad sewa kereta apa?" tanya Dahlia pula.
"Semalam Abang Yad kata dia sewa Alza," sampuk Rayyan.
"Nak bawa baju tak, Kak Min?" tanya Dahlia lagi.
"Bawa lah baju ganti untuk mandi. Kita tak tidur sana. Tuala pun bawa sekali. Takkan satu hari nak pakai baju raya ni," ujar Yasmin sambil melangkah masuk ke bilik untuk mengemas pakaian ganti.
Ameena yang sedang makan ketupat bangun untuk membasuh tangan.
"Eh..." Baru Ameena teringat yang dia lupa memakai barang kemas yang diberikan oleh Yasmin semalam. Kalut dia berlari ke bilik Yasmin.
"Kak Min, Meena lupa nak pakai rantai emas yang Kak Min bagi semalam," kata Ameena cemas. Yasmin tersenyum mendengar perkataan emas.
"Mari sini, Kak Min pakaikan," ujar Yasmin. Dia bangun mengambil kotak berisi barang kemas Korea milik Ameena di atas rak buku. Pagi tadi, dia telah memberikan jam tangan kepada Rayyan dan Darwish. Ameena menghulurkan tangannya sambil tersenyum-senyum.
"Assalamualaikum." Kedengaran suara Ziyad memberi salam. Dia sudah pulang selepas mengambil kereta sewa.
"Yay... Abang Yad dah balik!" pekik Darwish, tidak sabar untuk naik kereta Alza dan balik kampung.
"Best. Kereta baru lagi," kata Ziyad kepada Darwish.
"Nak pergi dah ke, Abang Yad?" soal Darwish.
"Sat... sat... tunggu Abang Yad makan dulu. Lapar ni. Sapa yang dah siap makan, pi la bersiap apa yang patut. Lepas Abang Yad makan, terus kita bertolak balik Gerik," jawab Ziyad sambil mengambil pinggan di dapur.
Dia duduk di meja makan lalu mencedok gulai daging. Ketupat bersaiz besar diambilnya, dibuka, dan dicobek sedikit sebelum dicicah ke dalam gulai. Rayyan dan Darwish pula memberikan pakaian ganti mereka kepada Dahlia untuk dimasukkan ke dalam beg yang telah disediakan.
----
Kereta Alza diparkir di perkarangan surau. Tanah Perkuburan Islam Kampung Plang terletak bersebelahan surau. Yasmin, Wardah, Ziyad, Melur, Dahlia, Rayyan, Darwish, dan Ameena turun dari kereta. Mereka mengenakan pakaian raya sedondon berwarna hijau muda. Langkah mereka diatur menuju ke kubur Umi yang terletak di tepi jalan tanah merah. Mereka mencari nama Umi di batu nisan. Noor Hazimah binti Saudah. Tertera nama Umi dalam tulisan Jawi.
“Jumpa dah. Sini,” spontan Melur memanggil adik-beradiknya. Mereka semua berkumpul di kubur Umi. Masing-masing membacakan surah dan doa.
"Assalamualaikum, Umi," bisik Yasmin di dalam hati. Air mata sudah bergenang di tubir mata. Mata mereka merah menahan sebak.
Kemudian, mereka bergerak ke arah kubur Abi yang berada di tengah kawasan perkuburan. Setelah mencari hampir sepuluh minit, barulah mereka menjumpai kubur Abi. Tulisan nama Abi di batu nisan sudah kelabu. Rumput di situ nampak seperti baru saja dipotong.
"Assalamualaikum, Abi." bisik Yasmin lagi. Air mata yang sudah bergenang di kelopak mata ditahan dari jatuh ke pipi. Adik-adiknya ada yang mengelap air mata dengan tangan dan tisu. Masing-masing cuba menahan perasaan sedih yang berombak di dada.
Setelah selesai menziarahi kubur Abi dan Umi, mereka menuju ke rumah Opah pula.
----
"Shizuka ni sora ni kaeru anata no sugata wo, namida ga kareru made zutto mitsumete ita..."
iPhone 11 milik Arman yang sedang dicas di bilik tidurnya berdering lagu Redemption nyanyian penyanyi Jepun, Gackt. Najmi, anak saudara Arman yang berusia tiga belas tahun, mengambil telefon bimbit itu lalu turun ke bawah.
"Pak Su, ada call." Najmi menyerahkan telefon bimbit itu kepada Pak Su-nya yang sedang duduk di sofa. Tertera nama Ziyad di skrin telefon.
"Ya, Ziyad?" jawab Arman.
"Abang, saya setuju nak pi kerja di Johor. Bila saya boleh mula?" soal Ziyad dengan bersemangat.
"Secepat mungkin. Kau hantar surat berhenti kerja di tempat kau kerja sekarang. Kena bagi notis sebulan, kan?"
"Ha'ah. Saya kena bagi notis sebulan."
"Kalau macam tu, kau kena naik bas datang sini. Masa tu abang dah tak ada di Malaysia. Minggu depan abang dah nak ke Jepun."
"Okay, boleh. Kerja apa yang abang nak bagi tu?"
"Kau kena datang sini dulu, nanti tahulah kerja apa. Abah yang tawarkan kerja ni. Kena bincang dengan Abah."
"Ha, okay, boleh. Oh... abang ucapkan selamat hari raya dekat Mak Cik dan Pak Cik."
Ziyad memutuskan panggilan. Dato' Adnan memandang ke arah Arman, menanti jawapan.
"Ziyad dah setuju dengan tawaran kerja Abah," kata Arman.
"Alhamdulillah. Ada juga orang yang Abah boleh harapkan untuk bantu Ika nanti." Dato' Adnan tersenyum puas.
Share this novel