Tujuh tahun kemudian.
Arman mengenakan kemeja lengan panjang berwarna biru berjenama Ralph Lauren bersama seluar slack hitam. Hari ini merupakan hari pertamanya bekerja. Arman mendapat tawaran kerja dari sebuah kilang elektronik, Saidai Industry Malaysia Sdn. Bhd., yang terletak di kawasan perindustrian Sungai Petani, Kedah.
Setelah menamatkan ijazah dalam Kejuruteraan Mekanikal dari sebuah universiti di Jepun, Arman mendapat tawaran menjalani latihan praktikal di sebuah kilang elektronik di Jepun dan terus bekerja di sana selama lima tahun. Awal tahun ini, Arman membuat keputusan untuk pulang bekerja di Malaysia agar lebih dekat dengan keluarganya.
Dia mengambil kunci kereta lalu turun ke bawah. Kakaknya, Khadijah, yang bekerja sebagai guru, sudah berada di dalam kereta untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah. Bibik pula sedang menyidai pakaian di luar.
Terdapat beberapa bungkus nasi lemak dan kuih-muih di atas meja makan. Pasti Khadijah yang membelinya kerana mahu bertukar selera dari masakan Bibik. Tak lalu pula tekak Arman untuk makan pagi-pagi begini, apatah lagi seorang diri. Abang Muiz, suami Kak Khadijah, belum pulang dari kerja di hospital sejak semalam.
"On-call lagi agaknya," fikir Arman.
Arman menghidupkan enjin kereta Honda Civic RS miliknya lalu memandu keluar dari taman perumahan mewah Darulaman Perdana. Baru sahaja tiba di Amanjaya Bukit, yang hanya satu kilometer dari rumah, dia sudah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Pagi-pagi begini memang banyak kenderaan di atas jalan.
Dua puluh minit kemudian, Arman sampai di kilang elektronik Saidai Industry. Dia disambut oleh Encik Fakhirin, pengurus kilang tersebut. Arman dijemput masuk ke dalam bilik mesyuarat untuk sesi penerangan sebelum dibawa ke bahagian Production.
Setelah sesi pengenalan dan penerangan selesai, seorang wanita datang mengajak Arman dan Encik Fakhirin ke bilik menyimpan pakaian. Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Kak Huda dari bahagian Sumber Manusia. Arman diberikan dua pasang uniform kilang berwarna biru muda dan dua pasang jumpsuit ESD berwarna biru muda untuk dipakai di dalam clean room nanti.
"Kamu pakai jumpsuit ini dulu. Nanti bila jumpsuit biru gelap dah ada stok, Kak Huda tukar balik. Sepatutnya jurutera kena pakai jumpsuit warna biru gelap," jelas Kak Huda. Dia juga memberikan sebuah loker kepada Arman untuk menyimpan pakaian dan barang-barangnya.
Kak Huda kemudian menunjukkan tempat letak kasut dan bilik menukar pakaian. Suasana dalam kilang itu tertutup dan bersih. Memang setahu Arman, orang Jepun sangat mementingkan kebersihan, memandangkan pihak pengurusan tertinggi kilang itu terdiri daripada orang Jepun.
Encik Fakhirin melihat jam di tangannya, menunjukkan pukul 12.03 tengah hari.
"Sudah sampai waktu rehat. Jomlah kita makan dulu sebelum kita masuk ke clean room," ajak Encik Fakhirin.
"Boleh... boleh," setuju Arman. Memang dia pun sudah lapar. Mereka berjalan menuju ke kantin yang terletak di kawasan terbuka dalam kilang itu. Banyak kerusi dan meja disusun di situ. Tray disediakan untuk mereka mengambil makanan.
Kilang itu menggunakan sistem kupon makan untuk pekerja. Arman mengambil tray, lalu mencedok nasi dan lauk-pauk yang diinginkannya. Dia kemudian mengambil gelas dan mengisi air sejuk dari mesin penapis air Coway yang disediakan oleh pihak kilang.
----
Yasmin kalut memakai jumpsuit. Dia sudah terlambat kerana pergi ke tandas selepas makan di kantin tadi. Mujur Yasmin rehat sesi kedua, jadi dia tidak perlu menunggu untuk menggunakan 'Vacuum Room' sebelum masuk ke clean room. Yasmin sempat memakai face mask dan glove sebelum keluar dari 'Vacuum Room'.
Yasmin mengambil fail dan buku catatan di meja. Semua mesin sudah beroperasi seperti biasa. Tugas Yasmin ialah memastikan kualiti barang di setiap mesin berada dalam keadaan terbaik. Dia perlu membuat rondaan dan memeriksa kualiti setiap barang, lalu mencatatnya ke dalam buku. Ada beberapa ujian yang perlu dilakukannya untuk memeriksa kualiti barang menggunakan alat tertentu.
Dari jauh, Yasmin nampak mesin B8 sudah beroperasi seperti biasa. Sebelum keluar tadi, Yasmin dimaklumkan bahawa ada jurutera yang akan memperbaiki mesin itu. Yasmin bergegas ke arah mesin B8. Dia mengambil sampel barang di atas rak lalu memeriksanya di bawah lampu. Ada 'Reject' yang dipanggil "dented" pada permukaan barang itu.
"You yang jaga mesin B8, ya?" soal Yasmin kepada lelaki yang sedang berdiri berhampiran mesin B8. Terkebil kebil mata lelaki itu mendengar soalan Yasmin, yang bertanya dengan lenggok bahasa seolah-olah bercakap dengan orang asing.
"I yang jaga mesin ni," balas lelaki itu mengikut rentak Yasmin. Dia melihat 'Badge' yang tergantung di poket jumpsuit Yasmin. Nampak gambar dan nama "Yasmin Afifah" tertera di situ.
"Nama you Arman, kan? You kena buat 'dressing' la. Barang tak okay ni," kata Yasmin, mengagak bahawa Arman ialah pekerja dari Bangladesh. Tambahan pula, Arman memakai jumpsuit berwarna biru muda seperti mereka. Jumpsuit itu dipakai oleh operator dan leader sahaja, tetapi jumpsuit untuk leader ada garisan hitam di bahagian lengan.
Arman pergi semula ke belakang mesin, memulakan semula proses 'dressing' di mesin CNC Grinding itu.
Setengah jam kemudian, dia pergi memanggil Yasmin di bilik QA untuk memeriksa barang di mesin B8. Kukk... kukk! Pintu cermin diketuk dari luar. Yasmin nampak Arman di sebalik pintu.
"Mesin dah jalan ka?" tanya Yasmin, masih menggunakan lenggok bahasa yang sama.
"Sudah. You cuba check. I takut ada dented lagi," kata Arman sambil tersenyum di sebalik face mask yang di pakai. Yasmin mengambil sampel lalu memeriksanya di bawah lampu yang disediakan.
Arman hanya memerhatikan Yasmin dari tepi. Dia dapat mengecam Yasmin sebagai gadis yang pernah diselamatkannya di tepi Tasik Darulaman Perdana tujuh tahun lalu. Entah kenapa, jantung Arman berdegup kencang ketika ini. Dia rasa gembira dapat bertemu Yasmin lagi.
Share this novel