Dua set barang hantaran pertunangan disusun di atas lantai dalam bilik di tingkat atas. Wardah dan Melur sedang disolek oleh rakan mereka di dalam bilik. Wardah mengenakan sepasang baju kurung moden berwarna hijau muda, manakala Melur memakai baju kebaya moden berwarna merah jambu. Masing-masing memadankan tudung dengan warna yang sama seperti baju yang mereka pakai.
Makanan disusun dan dihidangkan secara bufet di atas meja yang diletakkan di tempat parkir di depan rumah. Nasi dan lauk-pauk disediakan oleh Mak Long dan Mak Lang dari rumah mereka. Yasmin memasak bihun sup dan kek coklat. Rayyan menggantung cawan, mangkuk, dan pinggan pakai buang di tepi tembok bersebelahan dengan meja bufet. Sudu plastik dimasukkan ke dalam bekas sebelum diletakkan di atas meja.
Pak Long, Pak Lang, dan Pak Cik Hashim duduk bersembang di ruang tamu sementara menunggu rombongan anak teruna tiba. Rayyan dan Darwish menghampar dua gulung tikar plastik di tempat parkir kereta yang sudah dicuci bersih.
"Kak Min, tisu ada beli tak?" tanya Dahlia.
"Ada, dalam almari. Tisu gulung." Dahlia membuka pintu almari dapur, mengambil tisu, lalu ke luar.
Mak Long membancuh air oren Sunquick di dalam water dispenser bersaiz 25 liter. Kemudian, Mak Long mencedok ais kiub yang dibeli oleh Ziyad ke dalam air oren. Baki ais kiub disimpan semula ke dalam tong polistirena berwarna putih.
"Pukul berapa anak teruna nak sampai ni?" soal Pak Lang dengan dialek Bota-nya.
"Nak sampai dah, Pak Lang. Tengah cari rumah," jawab Ziyad.
Beberapa minit kemudian, lima biji kereta berhenti di depan rumah mereka.
"Ha, tu dah sampai dah."
Pak Long, Pak Lang, Pak Cik Hashim, dan Ziyad bangun lalu keluar untuk menyambut tetamu.
----
"Saya ulang semula semua point tadi. Duit mas kahwin RM1,500, duit belanja hangus RM8,500. Kedua-dua pasangan sama. Majlis perkahwinan akan dibuat hujung tahun depan. Setuju?" soal Pak Long sambil memandang wajah Pak Cik Hassan dan Haji Ibrahim.
"Saya setuju," ujar Pak Cik Hassan, ayah Ashraf, tunangan Melur.
"Kami pun setuju. Apa-apa pun, nanti kita update balik jika ada perubahan," sampuk Haji Ibrahim pula, walid Hazrul.
"Alhamdulillah. Bab duit belanja hantaran tu biarlah anak dara dengan anak teruna yang bincang sama-sama. Sebab depa yang nak simpan duit. Satgi kita letak tinggi sangat, depa tak boleh nak simpan sebanyak tu, nak kahwin jadi susah. Saya bagi anggaran saja. Nanti terpulanglah. Kira balik bajet nak kahwin tu nanti," jelas Pak Long panjang lebar.
"Alhamdulillah. Terima kasih sebab memahami keadaan kami," ucap Pak Cik Hassan.
"Kami pun ada anak teruna juga. Jadi fahamlah situasi Abang Hassan dengan Haji. Kalau tak ada apa-apa yang nak dibincangkan lagi, kita baca doa dulu, ya. Perut pun mula dok menyanyi dah ni," seloroh Pak Long, disambut tawa kecil tetamu yang hadir.
Selesai berdoa, Mak Long menyuruh Yasmin memanggil Wardah dan Melur yang berada di bilik atas untuk acara menyarung cincin. Hampir pukul 4 petang, barulah mereka dapat makan setelah perbincangan selesai.
----
Sudah beberapa kali Arman memandu mengelilingi kawasan taman perumahan teres dua tingkat itu, namun dia masih belum menemui rumah Ziyad. Sebenarnya, jarak rumah baru Ziyad dari rumah Kak Khadijah tidak sampai dua kilometer. Taman Tasik Darulaman Perdana merupakan kawasan perumahan mewah yang tidak jauh dari Taman Anggerik Desa, sebuah kawasan perumahan kos rendah dan sederhana.
Arman memberhentikan kereta di tepi jalan. Dia mengambil telefon bimbit dari beg galasnya, membuka aplikasi WhatsApp, dan mencari nama Ziyad.
"Rumah kau yang mana satu ni?" taip Arman, lalu dihantar kepada Ziyad.
"Rumah nombor A215. Kalau jumpa 210, belok kiri."
"Ada 'A' ke? Patutlah cari tak jumpa. A215? Ha, okay, aku cari balik." balas Arman.
"Kalau tak jumpa jugak, abang tunggu je lah kat mana-mana. Saya pi ambik," balas Ziyad pula.
Arman memandu keretanya perlahan, berpusing mengelilingi kawasan perumahan itu sekali lagi. Setelah ternampak rumah bernombor 210, dia membelok ke kiri seperti yang diarahkan Ziyad. Akhirnya, dia nampak rumah bernombor A215, sebelah rumah end lot di hujung Jalan Anggerik 11. Arman memarkir keretanya di depan pagar rumah Ziyad.
Ziyad keluar menyambut Arman dengan wajah gembira.
"Sampai jugak abang ke rumah saya. Jom masuk," ajak Ziyad.
Arman mengekori Ziyad masuk ke dalam rumah. Dia melabuhkan punggung ke atas kusyen yang span di dalamnya sudah kempis. Sebuah kabinet TV usang diletakkan di tengah-tengah ruang tamu dan dapur sebagai pemisah kedua-dua ruangan itu. Cermin pintu kabinet TV itu sudah pecah, menampakkan set pinggan mangkuk dan gelas-gelas yang disimpan di dalamnya.
"Abang duduklah dulu, saya nak panggil Kakak," kata Ziyad sambil naik ke tingkat atas untuk memanggil Yasmin.
"Kak Min, ni kawan Yad dah mai ni," panggil Ziyad dari sebalik pintu.
Bukan Ziyad tidak boleh melayan tetamunya sendiri, tetapi dia menghormati Yasmin sebagai orang yang paling tua di rumah itu. Jika ada kawan kawannya yang datang berkunjung dia pasti akan memaklumkan pada Yasmin terlebih dahulu.
"Sat, satgi Kak Min turun," jawab Yasmin.
Dia memakai tudung, menurunkan seluar trek yang dilipat hingga paras lutut, dan membetulkan lengan baju panjang yang disinsing hingga ke siku. Kemudian, Yasmin turun ke bawah. Dia menjenguk dari tepi dinding di sebelah tangga untuk melihat berapa ramai tetamu yang hadir.
Arman, yang ingin melihat susuk tubuh kakak Ziyad, turut memandang ke arah tangga. Pandangan mereka bertemu.
"Yasmin?" bisik hati Arman, seperti tidak percaya. Sebuah senyuman terukir di wajahnya. Yasmin pula mengerutkan kening dengan riak wajah serius seperti biasa. Dia terus ke dapur, memanaskan kuah sup dan ayam masak merah.
Arman memandang Ziyad pula, seperti tidak percaya. "Rupanya Ziyad ni adik Yasmin?" fikirnya. Sesekali, ekor matanya melirik ke arah Yasmin yang berada di dapur.
"Dah lama ke Kakak kau pindah sini?" tanya Arman.
"Baru dua bulan lebih."
"Kenapa pindah? Dulu korang duduk flat, kan?"
"Ada masalah keluarga sikit. Terpaksa pindah," jawab Ziyad, berkias.
"Oh. Ramai ke adik-beradik kau ni?" Baru hari ini Arman terasa berminat untuk bertanya tentang keluarga Ziyad. Tiba-tiba semuanya terasa menarik.
"10 orang. Kak Wardah, Melur, Rayyan, dan Darwish keluar dengan tunang Kak Wardah pergi CMart. Dahlia dan Ameena dah tidur kat atas. Alang dah kahwin, duduk Johor, tak balik sebab tak dapat cuti," cerita Ziyad.
"Yang kat dapur tu?"
"Yang tu Kak Min. Nombor dua."
Seketika kemudian, Yasmin datang menghidangkan air oren, bihun sup, kek coklat, ayam masak merah, dan nasi tomato.
"Banyaknya makanan. Siapa masak semua ni?" tanya Arman.
"Bihun sup dengan kek coklat Kak Min yang buat. Nasi tomato dan ayam masak merah Mak Long saya yang masak," jawab Ziyad.
Arman mengambil mangkuk, mahu mencuba masakan Yasmin terlebih dahulu. Dia memasukkan bihun, bawang goreng, lobak masin, dan sambal hitam ke dalam mangkuk. Ziyad pula menolong mencedok sup daging ke dalam mangkuk Arman.
Arman menyuap bihun sup beberapa kali ke dalam mulut. "Sedap," puji Arman.
Setelah menghabiskan semangkuk bihun sup, Arman makan kek coklat pula. Dia tersenyum sendiri.
"Abang nampak happy je hari ni?" soal Ziyad, yang dari tadi memerhatikan gelagat Arman.
"Hah? Ishhh... mana ada," kata Arman sambil cuba mengawal emosinya yang ketara nampak gembira.
Share this novel