Hati Arman yang galau hanya Allah saja yang tahu. Dia menghempaskan tubuh ke atas tilam empuknya. Wajahnya disembamkan ke bantal. Dia menyesal. Menyesal kerana tidak menyatakan perasaannya kepada Yasmin lebih awal.
"Awak pindah ke mana ni, Yasmin? Call pun tak dapat." Arman bercakap sendiri. Dia berguling di atas tilam, terasa putus asa.
"Pak Su!" Tiba-tiba Najmi sudah tersembul di muka pintu.
"Ya Allah, terkejut Pak Su!" Arman mengurut dada.
"Mama panggil makan." Najmi menutup pintu semula. Arman bangun dari katil lalu mengekori Najmi turun ke meja makan.
"Ya Allah, kenapa dengan adik aku ni? Berserabut betul rupa kau ni, adik." Khadijah tersengih. Tangannya mencedok nasi ke dalam pinggan di atas meja makan lalu membahagikannya kepada anak-anaknya. Arman duduk dengan malas di atas kerusi. Dia menyandar tubuh ke kerusi.
"Orang dah putus cinta ni." Ucap Arman perlahan.
"Putus cinta? Kau dah bagitahu Yasmin yang kau sukakan dia, pastu dia tolak? Ha... ha!" Khadijah tergelak terkekeh.
"Tak pun. Dia pindah, tak tahu ke mana. Dia dah berhenti kerja." Ucap Arman dengan nada kecewa.
"Ha... ha... ha... hi... hi... hi..." Khadijah mengilai ketawa. Kelakar sungguh rasanya mendengar kata-kata Arman.
"Kak, please lah. Orang serius ni." Rajuk Arman.
"Aku tahu lah kau serius, tapi kelakar kot. Crush punya lama sampai orang pun dah pindah." Khadijah menyambung tawa.
"Sampai bila lah kau tak kahwin kalau macam ni. Umur kau dah tiga puluh tahun, bukan muda lagi." Sambung Khadijah lagi.
"Bukan nak bagi sokongan moral ke, apa ke. Gelakkan lagi adalah."
"Itulah kau... Mana ada orang crush lama-lama macam kau. Aku pun tak tahu nak tolong macam mana dah," bebel Khadijah.
----
Yasmin duduk di atas bangku batu di tepi padang permainan Taman Tasik Darulaman Perdana. Mentari pagi mula membahang, memanaskan kulitnya. Dia bangun perlahan, melangkah ke sebuah kerusi di bawah teduhan pokok. Earphone di telinganya memainkan alunan lagu kegemarannya. Pandangannya terarah jauh ke permukaan tasik yang tenang.
Kini, Yasmin dan adik-adiknya sudah berpindah ke sebuah rumah berhampiran taman tasik itu. Mereka menyewa sebuah rumah teres dua tingkat. Mujur Ziyad memberikan RM1,100 sebagai wang deposit untuk rumah tersebut.
Sudah dua bulan Yasmin berhenti kerja. Hari ini, dia keluar untuk mengisi beberapa borang permohonan kerja di kilang-kilang sekitar kawasan itu. Sebelum ini, Yasmin telah memohon pelbagai jenis pekerjaan, tetapi masih belum menerima sebarang panggilan.
Sejak Umi meninggal dunia, perlahan-lahan Yasmin berubah. Dia tidak lagi seceria dahulu. Yasmin lebih suka mengurung diri di dalam bilik. Dia kerap sakit kepala kerana sukar melelapkan mata pada waktu malam. Semangatnya tidak lagi setegar dulu.
Bulan depan, pertengahan bulan, Wardah dan Melur akan bertunang dengan jejaka pilihan hati masing-masing. Ziyad pula kini bekerja di Johor. Along, seperti biasa, tidak henti-henti melakukan perkara di luar jangkaan. Yasmin terasa sendirian, seolah-olah tiada tempat untuk berpaut.
"Umi... macam mana Min nak buat ni? Min rasa tak berdaya," bisiknya perlahan.
----
Zitt... zitt... Ada pesanan WhatsApp masuk ke telefon Arman. Dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja kecil di tepi katil. Pesanan itu daripada Ziyad.
"Assalamualaikum Abang Arman. Saya dengan rendah diri menjemput Abang Arman dan Kak Khadijah sekeluarga ke majlis pertunangan kakak dan adik saya pada hari Ahad, 9 Disember 2018, pukul 2 petang."
"Aku kerja hari tu. Tak dapat hadir," balas Arman ringkas.
"Kak Khadijah?"
"Tak pasti, sebab di sini hari Ahad hari persekolahan."
"Abang balik kerja pukul berapa?"
"Pukul 8.30 malam baru balik. Shift pagi," jawab Arman sambil bangun daripada posisi baring dan bersandar di kepala katil.
"Abang mai lah selepas balik kerja. Saya minta kakak simpankan lauk," balas Ziyad. Dia tetap berusaha memujuk Arman untuk hadir.
"Seganlah. Majlis dah habis. Susahkan kakak kau je," balas Arman lagi.
"Tak apa, bang. Mai lah rumah. Saya duduk di Johor ni, mak dan abah abang banyak tolong saya. Zulaikha pula sanggup jadi cikgu untuk saya. Pak Cik dan Mak Cik tak dapat datang. Abang dengan Kak Khadijah la yang kena jadi wakil ganti," Ziyad terus memujuk.
"Kau dapat balik sini tak?" tanya Arman.
"Saya balik Sungai Petani 17 haribulan."
"Hmmm... ok lah. Lepas balik dari kerja aku pergi rumah kau," akhirnya Arman mengalah.
"Ha... ha... terima kasih, bang."
"Ya. Terima kasih atas jemputan."
"Tapi rumah saya kecik ja, bang. Tak sebesaq rumah abang."
"Aku nak pergi makan kenduri, bukan nak inspect rumah orang," marah Arman. Ziyad tersengih membaca WhatsApp Arman itu. Arman meletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja kecil di tepi katil, kemudian menutup lampu tidur.
Dia menarik selimut di hujung kaki hingga ke dada lalu merebahkan badan di atas tilam. Di luar, hujan lebat membuatkan suasana bilik itu dingin walaupun penghawa dingin tidak dihidupkan. Tidak lama kemudian, Arman pun terlelap.
Share this novel