Arman mengesat peluh di muka dengan kolar baju t-shirt yang dipakai. Peluhnya hampir masuk ke mulut. Masin! Hampir sepuluh kali dia berjoging mengelilingi tasik Taman Rekreasi Darulaman Perdana yang berjarak 2.2 kilometer itu.
Arman berhenti dan duduk berehat di atas kerusi batu di tepi tasik. Banyak ikan keli berenang di permukaan tasik. Pantulan cahaya matahari menyentuh lembut permukaan air, menghasilkan kilauan indah. Baru hendak bersandar di kerusi batu itu, Arman perasan kelibat seorang gadis bersendirian di tepi tasik.
Pelik. Selalunya, pada waktu pagi begini jarang ada orang luar datang melihat ikan, apatah lagi pada hari bekerja. Petang-petang, penuhlah orang dari luar dan taman itu sendiri datang beriadah. Pagi-pagi begini, orang datang berjoging dan bersenam. Itupun bila matahari sudah naik, mereka pun balik, tidak tahan panas.
"Ini dah pukul 10 pagi, buat apa sorang-sorang tengok ikan?" Arman bertanya sendiri, padahal dia sendiri masih berjoging di bawah panas mentari pagi. Dia maju ke depan sedikit, mahu melihat dengan lebih jelas. Nampak gadis itu seperti sedang menangis. Sesekali, gadis itu menyeka air mata yang jatuh ke pipi. Dia putus cinta atau ada masalah keluarga? Arman mula memikirkan yang bukan-bukan. Gadis itu bergerak sedikit ke tepi tasik.
"Allahu Akbar. Dia nak bunuh diri ke?" Arman berlari selaju mungkin ke arah gadis itu.
"Hoi!" jerkah Arman, cuba menghentikan gadis itu daripada apa saja yang cuba dilakukannya.
"Makk!" Gadis itu menjerit, terperanjat dari lamunannya. Kaki kirinya tergelincir, dia hampir terjatuh ke dalam tasik. Arman sempat menarik tangan gadis itu, lalu gadis itu jatuh tersembam ke atas rumput. Bibirnya luka dan sedikit berdarah.
"Hang gila ka?" jerit gadis itu marah. Dia bangun dan duduk di atas rumput. Tangan kanannya menyentuh bibir yang luka.
"Maaf... maaf! Maaf sangat, okay. Saya nak selamatkan awak. Tapi awak terkejut pula. Jangan buat macam ni, Cik. Awak orang Islam. Berdosa kalau cuba bunuh diri." Lembut nada suara Arman, cuba memberikan penjelasan. Wajah gadis itu nampak keliru dengan penjelasan Arman. Dia bangun berdiri sambil memegang beg galasnya.
"Encik ingat saya nak terjun ka tadi? Saya tak ada niat macam tulah. Saya datang sini cuma nak tenangkan diri," jelas gadis itu, sedikit marah. Dia turut menggunakan loghat selatan setelah mendengar Arman bercakap dengan loghat dari sana.
Arman terdiam seketika. Dia memerhatikan gadis itu. Matanya bengkak kerana menangis. Wajahnya nampak kusut. Pasti gadis ini ada masalah. Takkan dia biarkan gadis ini duduk seorang diri di sini.
"Baiklah. Cik baliklah, ya. Sekarang dah panas, tak sesuai nak tengok ikan. Kalau Cik nak duduk lagi, kita duduk kat taman permainan tu. Saya tunggu sampai Cik okay, boleh?" soal Arman lembut, meminta kerjasama gadis itu.
"Saya tak kenal Encik. Encik lelaki dan saya perempuan. Takpalah, lebih baik saya balik," balas gadis itu tegas. Dia cuba melangkah, tetapi tiba-tiba kakinya terasa lembik lalu rebah di depan Arman.
"Allahu Akbar! Awak okay tak ni?" Arman terkejut. Gadis itu terduduk bersimpuh di atas rumput, nampak lemah. Tangan kanannya cuba menongkat badan supaya tidak terbalik.
"Saya pening, saya lapar. Dari tengah hari semalam saya tak makan," tutur gadis itu lemah.
"Arrr...kejap, saya belikan awak makanan." Arman sedikit cemas. Dia nampak tangan gadis itu menggeletar. Timbul rasa kasihan di hati Arman.
"Sat... sat... kejap... ambil dompet dalam beg saya. Ambil duit," gadis itu menuding jari ke arah beg galasnya. Terkeluar loghat Kedahnya.
"Takpa, saya guna duit saya," balas Arman.
"Tak payah... tak payah. Ambil duit dalam beg saya," suruh gadis itu tegas. Arman akur. Dia mencapai beg galas gadis itu, diselongkar lalu diambil dompetnya. Dompet dibuka. Dia nampak kad pengenalan gadis itu, Yasmin Afifah binti Kamarudin. Arman mengambil sekeping note RM10 dari dalam dompet dan menyerahkan beg galas berwarna biru kepada Yasmin.
"Tunggu sekejap. Nanti saya datang balik." Arman berjalan menuju ke arah rumah-rumah mewah yang berada di situ.
"Ada kedai ka kat situ?" Yasmin bertanya sendiri. Badannya terasa begitu lemah kerana kekurangan gula. Sejak dari tengah hari semalam di tempat kerja, dia tidak makan. Sewaktu balik rumah pun dia tidak makan kerana ada konflik dengan Ziyad. Hari ini dia cuti. Pagi-pagi lagi dia sudah keluar dari rumah.
Yasmin mengumpulkan segala kekuatan yang ada untuk bangun dan berjalan ke arah taman permainan yang hanya beberapa kaki dari situ. Dia duduk di kerusi batu. Setelah menunggu hampir dua puluh minit, Yasmin nampak seorang wanita separuh usia datang berjalan menuju ke arahnya. Wanita itu memakai t-shirt hijau dan berkain batik. Kepalanya ditutup dengan tuala kecil. Wanita itu membawa sebungkus plastik berwarna merah.
"Maaf, saya terlambat," sapa wanita itu sambil melemparkan senyuman lembut pada Yasmin. Kedengaran seperti orang Indonesia, tetapi lenggok bahasanya sudah bercampur dengan Bahasa Melayu. Dia menghulurkan plastik merah itu kepada Yasmin.
"Encik Arman yang kasi. Makan ya, dek." Yasmin mengambil bungkusan plastik itu lalu dibuka. Ada tiga air kotak berperisa coklat dan tiga bungkus roti Gardenia berperisa jagung, vanila, dan coklat.
"Terima kasih, kak," balas Yasmin sambil cuba mengukir senyuman. Dia mengoyak plastik penyedut minuman lalu dicucuk ke dalam kotak minuman. Rakus dia menyedut air berperisa coklat itu. Bungkusan roti berperisa jagung dibuka. Dia mencubit roti sedikit demi sedikit lalu dimakan.
Terasa sedap sungguh air kotak dan roti berperisa jagung itu. Wanita Indonesia tadi hanya duduk di sebelah, menunggu Yasmin makan hingga selesai.
"Udah kuat kan, dek?" tanya wanita itu.
"Ya. Terima kasih," balas Yasmin, masih ragu-ragu mahu membahasakan wanita itu kakak atau puan. Wanita itu menghulurkan sampul surat berwarna coklat kepada Yasmin.
"Sampul apa ni, kak?" soal Yasmin. Wanita itu meletakkan sampul itu di tangan Yasmin.
"Ambiklah. Encik Arman kasi. Encik pesan jangan lama-lama di sini. Lekas pulang ya, dek. Kakak balik dulu ya. Nak masak nasi. Nanti puan balik." Wanita itu bingkas bangun, lalu berjalan ke arah rumah-rumah mewah itu semula. Yasmin membuka sampul surat berwarna coklat itu. Ada note RM200 di dalamnya. Yasmin sebak. Tidak sangka Allah hadiahkan rezeki buat mereka sekeluarga melalui lelaki itu. Air matanya berkaca lalu gugur ke pipi.
"Terima kasih, orang baik," bisik Yasmin perlahan. Duit dalam dompet Yasmin memang hanya tinggal RM15. Sekeping note RM10 sudah diambil Arman tadi. Tinggal lima helai note RM1 yang berbaki untuk Yasmin isi minyak motor.
----
Beg tangan berjenama Michael Kors diletakkan di atas sofa. Khadijah terus menaiki anak tangga menuju ke bilik Arman setelah melihat kereta Arman diparkir diluar tadi. Pintu bilik diketuk. Setelah menunggu seketika, Khadijah masuk. Arman sedang duduk di atas katil menghadap komputer riba.
" Bila kau sampai?" soal Khadijah sambil melabuhkan punggung di birai katil.
" Pagi tadi, dalam pukul 7.30 pagi."
"Bibik ada WhatsApp bagitahu kau jumpa orang nak terjun tasik, betul ke?" Terkedu Arman. Cepat betul informasi sampai ke telinga Khadijah sedangkan dia baru sampai ke rumah Khadijah pagi tadi dari Johor. Khadijah juga sudah keluar bekerja.
"Dia bukan nak terjun tasik, dia nak release tension. Orang ingat dia nak bunuh diri, jadi orang sergah dia. Dia terkejut, lepas tu tergelincir. Nasib baik orang sempat tarik tangan dia," jelas Arman bersungguh-sungguh.
"Ya Allah, kau ni... Nasib baik dia tak jatuh lemas. Suka serkap jarang," bebel Khadijah.
"Dia tengah menangis, kak. Itu yang orang salah faham. Yang lagi kesian, masa dia nak balik, tiba-tiba dia rebah depan orang."
"Ya Allah, kenapa?"
"Dia lapar. Tangan pun menggigil."
"Allahu Akbar, kesiannya dia. Lepas tu kau belikan makanan tak?" tanya Khadijah, ingin tahu.
"Orang suruh Bibik bawa air kotak dengan roti Gardenia."
"Ya Allah..." Khadijah meraup wajahnya dengan tapak tangan kanan, kesal dengan tindakan adiknya yang dirasakan kurang empati.
"Kenapa kau tak belikan nasi? Orang kelaparan kot."
"Lambatlah, kak, kalau orang keluar beli nasi, kedai makan dekat Anggerik. Bibik pun belum masak lagi," jelas Arman lagi dengan suara mendatar. Dia pasti Khadijah tetap akan memarahinya jika tahu dia tinggalkan gadis itu begitu sahaja.
"Tak apalah. Kau hantar dia balik rumah tak? Takut dia pengsan kat tengah jalan nanti." Arman tersengih. Dah agak dah, mesti Khadijah akan bertanya begitu.
"Tak... dia nampak tak selesa dengan lelaki, sebab tu orang suruh Bibik pergi. Orang juga suruh Bibik bagi RM200 sebab masa dia suruh ambil duit beli roti, dalam dompet dia cuma ada RM15."
"Kau... tergamak kau ambil duit dia yang tinggal lima belas ringgit tu pun." berkerut wajah Khadijah, tangannya acah-acah cuba memukul kepala Arman. Arman sempat memegang tangan Khadijah.
"Dia paksa orang. Orang tak nak ambil pun." tutur Arman dengan nada merajuk.
Share this novel