Ziyad

Romance Series 16692

Perut Yasmin sudah berkeriuk tanda lapar. Pagi tadi, Yasmin hanya makan sebungkus mihun goreng di tempat kerja. Kupon makannya juga sudah habis kerana Yasmin sering menggunakan kupon itu untuk membungkus makanan buat dibawa balik ke rumah. Setelah sampai di bawah flat, Yasmin memarkir motosikalnya di tempat biasa. Rasa lemah lutut Yasmin mahu mendaki tangga sehingga ke tingkat dua.

"Hang ni dah kenapa?" Yasmin yang baru pulang dari kerja terdengar pekikan dari luar. Dari pintu yang terbuka luas, Yasmin nampak Ziyad, yang berusia lima belas tahun, sedang bergelut dengan Rayyan yang berusia sembilan tahun. Ziyad agresif menghenyak adiknya itu.

"Hampa ni dah kenapa?" jerit Yasmin sambil merentap kasar tangan Ziyad dari tubuh Rayyan.

"Ziyad ni dok kacau orang buat kerja sekolah," Rayyan meraung, tidak puas hati.

"Hang dok kacau dia buat kerja sekolah dah kenapa? Dah la hang tu tak mau pi sekolah!" bentak Yasmin, geram. Sejak Abi meninggal, Ziyad memang selalu ponteng sekolah. Sudah dua minggu dia tidak hadir ke sekolah, dan cikgu telah memanggil Umi sebanyak dua kali.

"Arghhhh... hang sibuk apa?" tempik Ziyad kasar kepada Yasmin.

"Hang nak jadi apa bila besar nanti? Hang ingat orang nak ambik hang kerja ka kalau hang tak sekolah? Dah la dok kat rumah buat perangai macam apa lagi!" Yasmin menjerit kuat, melepaskan rasa geram yang sudah lama terpendam terhadap Ziyad.

"Hang kalut apa?" Jerit Ziyad histeria, lalu menghayun buku lima ke tingkap nako di ruang tamu. Panggg! Tingkap nako itu pecah empat. Serpihannya mencederakan penumbuk Ziyad, dan darah deras mengalir dari lukanya. Yasmin pantas mendekati Ziyad untuk menghentikan darah yang keluar.

"Mai Kak Min tengok," pinta Yasmin dengan nada tegas, jelas riak cemas di wajahnya.

"Hang tak payah dok kalut. Jangan ambil tahu hal aku. Ingat hang bagus sangat ka?" jerit Ziyad kepada Yasmin sambil menghayun tangannya kasar. Hati Yasmin terasa bagai dicarik-carik mendengar kata-kata Ziyad. Selama ini, belum pernah ada adik-adik yang berani bersikap kurang ajar terhadapnya, apatah lagi mengeluarkan kata-kata sebegitu.

Air mata bertakung di kelopak mata Yasmin. Dia mendongak dan menarik nafas, cuba menghalang air mata daripada mengalir. Hati Yasmin sakit. Akhirnya, air matanya gugur juga. Dia berpaling dari Ziyad dan masuk ke dalam bilik.

Umi yang baru selesai solat keluar dari bilik kerana mendengar suara anak-anaknya bergaduh di ruang tamu. Mahu saja disebat anak-anaknya itu, namun keadaan bertukar cemas apabila Ziyad tercedera. Umi segera menghubungi Along untuk membawa Ziyad ke klinik. Malam itu, Yasmin tidak keluar untuk makan malam; dia hanya berkurung di dalam bilik.

Yasmin merenung kosong siling bilik kecilnya itu. Bilik itu terasa sunyi tanpa Wardah. Wardah sudah pergi mengikut kawannya bekerja di Pulau Pinang pada pertengahan Januari, awal tahun ini. Wardah tinggal di asrama. Sesekali Wardah balik menjenguk mereka di Sungai Petani.

Kata-kata Ziyad tadi membuatkan Yasmin sedih. Selepas Abi meninggal, Yasmin, Alang, dan Wardahlah yang bertungkus-lumus mencari rezeki untuk menyekolahkan adik-adik. Yasmin memperuntukkan hampir lapan puluh peratus gajinya untuk belanjawan keluarga.

Alang dan Wardah masih berpeluang membeli barang yang mereka mahu, tetapi Yasmin tidak. Wardah boleh pergi bekerja di Pulau Pinang, tapi Yasmin tidak mampu membuat keputusan seperti itu. Dia tidak mahu membiarkan Umi terkial-kial sendiri.

Umi tidak pandai menguruskan hal sekolah adik-adik dan urusan luar yang lain. Umi tidak tahu membaca. Umi hanya tahu menulis singkatan namanya, ‘NOOR’, untuk tanda tangan. Umi pandai mengira duit, tetapi tidak tahu menulis nombor.

Umi juga mengalami kesukaran untuk berjalan kerana menghidap arthritis. Jika keluar rumah, Umi akan membawa payung untuk dijadikan tongkat. Yasmin bangun dan duduk di tepi katil. Dia mengambil sekeping gambar dari dompetnya – gambar Abi memakai kopiah, dengan janggut lebatnya, Abi sentiasa tersenyum dalam setiap gambar. Yasmin rindu Abi. Tanggungjawab ini terasa berat untuk dipikul. Along pula tidak boleh diharap, bukannya dia bekerja pun. Siang tidur, malam keluar entah ke mana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience