Balik Kampung

Romance Series 16692

"Arghhhh... Ikmal... Ikmal." Cemas, Arman memanggil sahabatnya itu. Pantas Ikmal memegang batang besi barbell seberat 30 kilogram yang sedang diangkat Arman lalu diletakkan kembali di atas rak. Arman yang dalam posisi berbaring bangun dan duduk di atas bangku Bench Press. Dia mengerutkan wajah, menahan sakit, sambil memegang bahunya.

"Tergeliat tadi ka?" soal Ikmal.

"Bahu aku memang sakit masa buat kerja semalam."

"Lah... dah tahu bahu tu sakit, kenapa hang angkat barbell ni lagi?" bebel Ikmal.

"Tadi tak rasa sakit sangat," Arman menjawab sambil memicit bahunya untuk mengurangkan kesakitan.

"Kenapalah hang nak pi kerja kat kilang tu. Pi balik Johor kerja dekat syarikat hartanah abah hang. Buat apa nak buat kerja teruk-teruk kat Kedah ni," Ikmal menyambung bebelannya. Lelaki tinggi lampai berkulit sawo matang itu meneguk air mineral yang diambil dari dalam begnya. Sebotol dihulurkan kepada Arman.

"Aku introvert. Aku malu nak jumpa orang yang aku tak kenal. Macam mana nak jadi ejen hartanah? Kerja aku sekarang ni aku repair mesin sorang-sorang. Tak ada sapa kacau."

Ikmal tergelak kecil. "Introvert? Hang ni introvert?" sindir Ikmal, masih tersengih. Arman malas mahu melayan sindiran Ikmal, lalu dia meneguk air mineral yang diberikan tadi. Botol itu kemudian dimasukkan ke dalam beg galas Adidas berwarna hitam.

"Aku nak balik. Nak pergi klinik."

"Ha, okay. Esok badminton? Tak jadi?" soal Ikmal. Arman menepuk-nepuk bahunya, dan Ikmal tersengih tanda mengerti. Ikmal meneruskan aktiviti angkat beratnya menggunakan dumbell pula.

----

Khadijah yang sedang sibuk memasak di dapur terdengar bunyi enjin kereta Arman dari luar. Seketika kemudian, Arman masuk lalu duduk tersandar di sofa.

"Eh... selalu kalau pergi gim, petang baru balik. Pergi lepak mamak dulu lah, apa lah," tegur Khadijah.

"Sakit bahu, kak. Ni baru balik dari klinik ambil ubat." Arman mengeluarkan sebungkus plastik ubat dari beg galasnya.

"Sakit bahu je pun. Selalunya sakit ke, demam ke, merangkak nak pergi kerja jugak. Nak tengok ‘secret admirer’ kat tempat kerja," ejek Khadijah sambil ke dapur untuk mengambil air buat Arman.

"Yasmin tak ada. Cuti. Mak dia masuk hospital," beritahu Arman. Khadijah meletakkan segelas besar air sejuk di atas meja kecil di depan sofa tempat Arman duduk.

"Kau tak pergi melawat mak dia kat hospital ke?"

"Kitorang tak rapat pun, kak. Dah nama pun peminat rahsia. Manalah dia tahu Arman ni suka kat dia," balas Arman pula.

"Cakaplah dekat dia yang Arman ni sukakan dia. Satu syif kan? Mesti selalu jumpa," saran Khadijah.

"Tak beranilah, kak. Dia garang. Muka pun serius je." Tergelak besar Khadijah mendengar kata-kata Arman.

----

Setelah enam belas hari Umi dirawat di hospital, akhirnya Umi dibenarkan pulang ke rumah. Yasmin mengemas barang-barang Umi lalu dimasukkan ke dalam beg. Termos, botol air, sudu, garfu, dan bekas makanan disusun ke dalam raga. Melur membantu Umi menukar pakaian dengan pakaian yang mereka bawa dari rumah.

Along dan Ziyad pergi membayar bil dan mengambil ubat di farmasi. Mujurlah, surat pelepasan dan surat rujukan lain sudah siap ketika mereka datang melawat Umi di hospital. Setelah selesai membayar bil dan mengambil ubat, Along dan Ziyad naik semula ke wad Kenanga Lapan. Mereka berdua membantu Umi duduk di atas kerusi roda.

Yasmin tidak pasti mengapa Umi dibenarkan keluar wad sedangkan keadaan Umi kelihatan semakin teruk. Umi tidak lagi mampu menguruskan dirinya sendiri, bahkan tidak boleh makan dan minum seperti dahulu.

Mereka terpaksa memberi Umi minum menggunakan sudu atau straw dalam kuantiti yang sedikit. Umi juga mudah tersedak dan batuk apabila makan apa-apa makanan yang diberikan.

Yasmin berasa risau, memikirkan bagaimana mereka akan memberi Umi makan. Dia bimbang Umi lapar kerana tidak dapat makan. Setelah tiba di lobi hospital, Yasmin dan Melur menunggu bersama Umi sementara Along dan Ziyad pergi mengambil van.

----

Ketika Umi, Along, Yasmin, Ziyad, dan Melur sampai di rumah, Pak Cik Hashim baru tiba dari kampung. Pak Cik Hashim terkejut melihat keadaan kakaknya yang hanya terbaring di atas katil. Dia memikirkan bagaimanakah anak-anak saudaranya ini akan menguruskan Umi mereka yang kini memerlukan penjagaan rapi.

“Pak Cik nak bawa Umi balik kampung. Jaga Umi di kampung. Opah pun mesti nak tengok Umi,” Pak Cik Hashim memulakan bicara.

“Tak boleh, Pak Cik. Biarlah kami yang jaga Umi, lagipun adik-adik sekolah, kami pun kena kerja,” kata Yasmin tegas.

“Kalau bawa balik kampung susahlah kami nak tengok Umi. Nak balik Gerik dah ambil masa hampir dua jam. Jika jadi apa-apa, kami tak mahu menyesal di kemudian hari,” sampuk Wardah pula, yang kebetulan pulang bercuti dari kerja.

Wardah bekerja empat hari, kemudian cuti pula selama dua hari mengikut giliran shif. Tambahan lagi, jarak Sungai Petani ke Pulau Pinang tidaklah begitu jauh.

“Hampa pandai ka jaga Umi? Makan minum Umi, tahu ka nak buat macam mana? Umi sekarang dah tak macam dulu lagi. Perlukan penjagaan rapi. Kena beli susu, lampin pakai buang, dengan adik-adik nak sekolah lagi. Cuba fikir betul-betul,” pujuk Pak Cik Hashim.

“Cuba fikirkan perasaan Opah, Opah tu ibu Umi. Opah risau bila tahu Umi sakit. Opah tak tahu Umi sakit terlantar macam ni,” sambung Pak Cik Hashim lagi. Along, Yasmin, Wardah, Ziyad, dan Melur terdiam.

“Tunggu kejap, Pak Cik. Kami nak bincang dulu,” kata Yasmin. Along, Yasmin, Wardah, Ziyad, dan Melur pergi berbincang di dapur. Dahlia yang berada di dapur sedang menyediakan minuman untuk dijamu kepada mereka semua. Hasil perbincangan mereka berenam, mereka bersetuju untuk membenarkan Pak Cik Hashim membawa Umi balik kampung untuk dijaga di sana.

“Kami setuju. Tapi Wardah, Dahlia, Rayyan, Darwish, dan Ameena akan ikut sama,” kata Wardah menyampaikan keputusan mereka.

“Bukan Wardah kerja ka? Adik-adik sekolah?” soal Pak Cik Hashim.

“Wardah akan berhenti kerja untuk jaga Umi. Adik-adik dah lama tak jumpa Umi. Untuk minggu ni, biarlah depa balik kampung dengan Umi. Kita nak puasa pun berapa hari ja lagi. Depa nak puasa dengan Umi,” jelas Wardah panjang.

“Hmmm... okay, kalau macam tu, pergilah bersiap sekarang. Ni pun dah petang. Nanti sampai Gerik malam.” kata Pak Cik Hashim.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience