Kereta Mercedes Benz G 350 dipandu mengejut keluar ke bahu jalan. Mujur Dato' Adnan sempat menekan brek sebelum kereta itu terus masuk ke dalam semak.
"Allah...!" Dato' Adnan menekan dadanya dengan tangan kanan. Terasa dadanya bagai ditusuk-tusuk. Datin Raudhah pasti suaminya diserang penyakit jantung.
"Allahu Akbar. Apa saya nak buat ni, abang?" Datin Raudhah panik. Tiba-tiba otaknya jadi buntu, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kukk...kukk! Cermin kereta diketuk. Datin Raudhah menurunkan tingkap. Seorang lelaki muda berdiri berdekatan dengan tingkap kereta.
"Ada apa, mak cik? Terbabas ka?" soal Ziyad yang dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum dia nampak sebuah kereta terbabas ke bahu jalan.
"Pak cik diserang heart attack!" Datin Raudhah hampir menangis. Pantas Ziyad mendail 999 sebelum disambungkan ke talian kecemasan berdekatan. Setelah memberi maklumat dan lokasi mereka, Ziyad duduk menunggu di tepi jalan. Lima belas minit kemudian, kedengaran siren ambulans dari jauh. Ziyad melambai tangan.
Dato' Adnan dibaringkan di atas stretcher. Pasukan perubatan segera memeriksa tanda-tanda vital Dato' Adnan seperti denyut nadi, tekanan darah, dan tahap oksigen untuk menilai keadaan jantung serta peredaran darah.
Alat bantuan pernafasan dipasang pada Dato' Adnan. Beliau kemudian diangkat masuk ke dalam ambulans. Datin Raudhah mahu turut serta masuk ke dalam ambulans, namun langkahnya terhenti apabila memikirkan keretanya yang ditinggalkan di tepi jalan. Kunci ada dalam kereta. Dia bercadang mahu menghubungi anaknya ketika berada dalam ambulans nanti.
"Kereta mak cik nanti saya tolong hantarkan ke hospital," Ziyad menawarkan diri untuk membantu melihat Datin Raudhah yang kelihatan tidak tentu arah. Dalam keadaan panik seperti itu, Datin Raudhah akur dengan tawaran Ziyad. Dia pun masuk ke dalam ambulans.
Setelah ambulans berlalu pergi, Ziyad masuk mengambil kunci kereta Dato' Adnan. Kereta dikunci sementara Ziyad menghantar motosikalnya balik ke rumah dahulu. Kejadian itu berlaku tidak jauh dari rumah Ziyad. Setelah memarkir motosikal di bawah flat, Ziyad berjalan kaki semula ke kereta Dato' Adnan.
Ziyad memandu kereta Mercedes Benz G 350 itu ke Hospital Sultan Abdul Halim. Setelah memarkir kereta, Ziyad menuju ke bahagian kecemasan untuk mencari Datin Raudhah dan menyerahkan kunci kereta.
"Mak cik?" tegur Ziyad. Wanita itu berpaling. Ada seorang pemuda bertubuh tinggi di sebelah wanita awal enam puluhan itu. Wanita itu cuba mengukir senyuman pada Ziyad. Ziyad menghulurkan kunci kereta kepada Datin Raudhah.
"Terima kasih, adik, sebab tolong mak cik. Mak cik panik tadi, tak boleh fikir nak buat apa dah," kata Datin Raudhah dengan wajah susah hati.
"Tak apa, mak cik. Saya kebetulan nak pergi ke tempat kerja. Rumah saya dekat situ saja," jelas Ziyad.
"Terima kasih banyak-banyak sebab tolong abah saya," pemuda bertubuh tinggi itu memegang bahu Ziyad. Dia merasa sangat terhutang budi kepada Ziyad kerana tindakan pantasnya berjaya menyelamatkan nyawa abahnya.
"Tak apa, bang. Kebetulan semua tu. Saya tolong ikhlas. Saya balik dulu, ya. Kereta pak cik saya letak berdekatan kawasan tempat letak kereta di depan lobi tu," Ziyad meminta diri.
"Adik nak balik macam mana ni? Tadi bawa kereta pak cik, kan?" soal Datin Raudhah.
"Saya call kawan saya datang ambil, mak cik," beritahu Ziyad.
"Eh! Tak payahlah. Arman, tolong hantarkan adik ni balik," cadang Datin Raudhah.
"Tak apa... tak apa, mak cik. Saya boleh balik dengan kawan saya. Pak cik masih dalam zon merah, nanti kalau ada apa-apa, susah pula doktor nak panggil."
"Ya Allah. Terima kasih, adik. Susahkan kamu saja. Arman, ambil nombor telefon adik ni. Insya-Allah, kalau pak cik dah sihat, kami akan pergi rumah," kata Datin Raudhah.
Setelah bertukar nombor telefon, Ziyad keluar menunggu rakannya di lobi.
----
Ziyad duduk di atas kusyen di ruang tamu setelah pulang dari hospital. Tiba-tiba, pintu depan dibuka. Yasmin baru pulang dari kedai, menjinjit dua bungkusan plastik besar dengan kedua-dua tangannya. Rayyan, yang mengikut Yasmin ke kedai, memeluk sekampit beras sepuluh kilogram. Terdapat mihun, roti, telur, mi segera, dan macam macam lagi barang dapur. Pasti Yasmin baru dapat gaji.
Ameena, yang baru keluar dari bilik Umi, terus menerpa ke arah Yasmin.
"Kak Min ada beli untuk Meena tak?"
"Ada, ni ha." Yasmin menghulurkan dua batang aiskrim kacang merah kepada Ameena.
"Satu lagi untuk Umi, tau," pesan Yasmin.
"Tahu dah." Ameena berlari anak masuk ke bilik. Datang pula Darwish menuntut aiskrimnya. Rayyan juga mengambil sebatang lalu memakannya. Tinggal lagi dua batang aiskrim untuk Dahlia dan Melur yang tidak ada di rumah ketika itu. Yasmin menyimpan aiskrim tersebut di dalam peti sejuk.
Ziyad hanya memerhatikan gelagat adik-beradiknya itu dari jauh. Seperti biasa, untuk Ziyad, Yasmin tidak beli apa-apa. Jujur, Ziyad terasa sedih. Kalau boleh, dia mahu Yasmin melayannya seperti dulu. Selepas Abi meninggal, Wardah pergi bekerja di Pulau Pinang dan Alang pergi bekerja ke Johor dan mendirikan rumahtangga di sana. Selama tujuh tahun ini, Yasminlah yang menguruskan segala urusan keluarga.
Sejak konflik tujuh tahun lalu, Yasmin dan Ziyad tidak bertegur sapa. Ziyad takut dan malu untuk meminta maaf daripada Yasmin. Yasmin pula melayan Ziyad seperti dia tidak lagi wujud. Ziyad tahu Yasmin tidak akan menyentuh makanan atau apa-apa barang yang dia beli.
Sakit! Melihat kakaknya yang begitu lembut dan penyayang berubah menjadi dingin seperti salju. Apa yang perlu Ziyad lakukan untuk menjernihkan hubungan mereka seperti dulu? Ziyad sudah pun berusia dua puluh tiga tahun. Dia sudah boleh berkongsi beban dengan Yasmin.
Pernah sekali motosikal Yasmin rosak, dia berjalan kaki ke tempat kerja, padahal boleh saja dia meminta Ziyad menghantarnya. Ziyad ada di rumah ketika itu. Ziyad kesal. Kesal dengan kata-kata yang pernah diucapkannya sehingga melukai hati Yasmin.
Share this novel