Usaha dan Harapan

Romance Series 16692

Ziyad berdiri bersandar di dinding luar butik pakaian Belle. Dari luar cermin, Ziyad nampak Zulaikha sakan memilih beberapa helai pakaian, lalu diacu ke badan. Tutt... tutt... telefon dalam poket seluar Ziyad berbunyi. Dia segera mengangkat telefon. Ada panggilan daripada Arman.

"Hello! Ziyad. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Ya, abang?"

"Aku nak nombor telefon Wardah," pinta Arman.

"Nak buat apa?" soal Ziyad, hairan.

"Yasmin block aku. Dah empat hari aku tak boleh contact dia," jawab Arman. Ziyad mendesah, sudah mengagak perkara sebegini akan berlaku.

"Saya tak boleh bagi. Hari tu saya kena marah dengan Kak Min sebab bagi nombor telefon dia dekat abang. Kenapa Kak Min block abang?"

"Dia cakap dia tak nak bagi harapan dekat aku."

Berdekah Ziyad ketawa. "Ziyad..." panggil Arman, mendesak.

"Saya tak berani nak bagi. Nanti Kak Wardah pun marah saya sebab bagi nombor telefon dia dekat orang."

"Hmmm... okaylah. Aku cuba cara lain nanti. Assalamualaikum." Talian dimatikan. Arman memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket jumpsuit.

"Telefon marka ka?" sergah Abang Lan berseloroh. Dia sudah tercegat di depan pintu bilik jurutera.

"Adalah..." ucap Arman sambil tersenyum.

"Lain macam hang la ni, no. Dok renyih sedia. Hang nak kahwin ka?"

"Haishhh... mana ada."

"Ada ni. Mesti ada marka dah ni." Tepat tekaan Abang Lan.

"Tak jadi marka lagi. Baru dok try ngorat, Abang Lan." Arman mengajuk lorat utara Abang Lan.

"Amboih... hang dah lain la ni. Baguih la. Lelaki kena la berani. Takkan la orang perempuan nak ngorat kita, kan? Kira hang dah boleh lupakan Yasmin la ni?" soal Abang Lan sambil menepuk kuat bahu Arman.

"Yasmin lah yang saya tengah ngorat ni," Arman tersengih.

"Hah... hari tu kata dia dah pindah?"

"Rupanya kawan saya, adik Yasmin. Adik-beradik diorang bertunang. Saya pergi rumah diorang. Terserempaklah dengan Yasmin," cerita Arman.

"Alhamdulillah. Jodoh panjang la tu. Allah permudah."

"Insya-Allah, Abang Lan."

Abang Lan keluar menuju ke meja leader yang terletak di depan untuk mesyuarat pagi dengan Kak Ina dan para operator. Arman mengemas mejanya. Lagi sepuluh minit syif malam tamat.

----

Arman memandu menuju rumah Yasmin. Setibanya di sana, Arman nampak Ameena sedang mengayuh basikal bersama beberapa orang kawannya. Dia memberhentikan kereta di hadapan rumah Yasmin.

"Ameena!" panggil Arman dari dalam kereta.

Ameena memberhentikan basikalnya dan mengayuh mendekati kereta Arman. Dia mengenali Arman sebagai kawan Yasmin.

"Kak Min tak dak. Dia keluar pi beli barang," kata Ameena.

Arman keluar dari kereta, lalu mengambil kotak aiskrim Magnum dari tempat duduk belakang.

"Tak pa. Abang nak bagi aiskrim ni saja," kata Arman sambil menghulurkan kotak aiskrim.

"Wow, aiskrim Magnum! Banyaknya abang beli," Ameena teruja.

"Ameena suka aiskrim ni?"

"Suka sangat!"

"Ameena suka makan apa lagi? Nanti abang belikan."

"Ayam goreng, nasi ayam, air Milo... banyak lagi!" jawab Ameena malu-malu. Arman tersenyum melihat keletah Ameena.

"Lambat lagi ke Kak Yasmin nak balik?" soal Arman.

"Tak tau. Tapi Kak Min keluar lama dah," beritahu Ameena polos.

"Kalau macam tu, abang tunggu dalam kereta sampai Kak Yasmin balik."

Arman masuk ke dalam kereta. Ameena pula mengangkat kotak aiskrim masuk ke dalam rumah dengan wajah ceria.

Hampir dua puluh minit menunggu, Arman nampak Yasmin memandu motosikal pulang ke rumah. Dahlia membonceng di belakang. Ada beg plastik besar dalam raga motor dan di tangan Dahlia.

Yasmin terus masuk memarkir motor di tempat parkir kerana pintu pagar sudah dibuka Ameena tadi. Arman keluar dari kereta. Yasmin menanggalkan topi keledar lalu diletakkan di atas motor. Dahlia membawa kedua-dua bungkusan masuk ke dalam rumah.

"Saya nak cakap sikit," pinta Arman mendekati pintu pagar rumah Yasmin.

"Ada apa?" riak wajah Yasmin kosong.

"Kenapa awak block saya?"

"Kan saya dah cakap. Saya tak mau bagi harapan. Jadi sebelum jadi apa-apa, baik saya block. Hari tu saya pergi jugak jogging dengan awak sebab saya rasa bersalah awak dok tunggu lama dekat tasik tu."

"Kan saya dah bagitahu, kita kawan dulu."

"Kawan apa macam tu. Belum apa-apa awak dah ajak saya jogging lah, apa lah. Tak pernah dibuat dek orang" ucap Yasmin, kurang senang. Jika boleh dia mahu cepat-cepat memutuskan apa saja hubungannya dengan Arman sekarang ini.

"Saya ajak awak jogging tu sebagai seorang kawan. Awak dan adik-beradik awak pun memang selalu pergi situ, kan? Awak boleh bawa adik-beradik awak kalau awak tak nak pergi sorang-sorang. Saya tak kisah pun. Saya cuma nak tengok awak. Kalau itu buat awak tak selesa, saya tak akan buat lagi, okay," jelas Arman.

Yasmin diam. Hilang kata-kata. Entah apa mahu dibalasnya kepada lelaki itu. Dia sendiri tidak faham dengan perasaannya ketika ini. Seronok bila pertama kali mengetahui ada seseorang yang menyukainya dalam diam. Namun, dalam masa yang sama dia takut, takut dipermainkan lelaki yang pernah menjadi rakan sekerjanya ini. Tidak pernah Yasmin terfikir dia juga akan mempunyai teman lelaki suatu hari nanti.

"Kenapa awak tak cari perempuan lain? Kan banyak yang lagi bagus, lagi cantik," ujar Yasmin.

"Saya suka awak. Tak pernah terfikir pulak nak berkawan dengan orang lain." tutur Arman jujur. Yasmin terdiam mendengar kata-kata Arman. Pandangannya dibuang ke jalan tar depan rumah. Arman memandang wajah Yasmin yang nampak tidak tentu arah.

Walaupun Yasmin seperti menolak perasaan Arman, Arman tahu Yasmin masih menghormatinya kerana Yasmin menggunakan kata ganti nama awak dan saya ketika mereka berbual. Yasmin juga cuba meneutralkan loghat Kedahnya kerana khawatir Arman tidak faham atau terasa dengan loghat utara yang berbunyi kasar.

"Saya balik dulu. Malam ni saya WhatsApp awak, boleh?" soal Arman mahukan kepastian. Dia memandang tepat ke mata Yasmin mengharapkan jawapan positif.

"Hmmm... boleh," ucap Yasmin perlahan. Arman senyum. Dia masuk ke dalam kereta. Sempat dia bertentang mata dengan Yasmin sebelum menghilang dari pandangan gadis itu. Yasmin masih berdiri di depan pagar. Keliru dengan jawapan yang keluar dari bibirnya sendiri.

Yasmin masuk ke dalam bilik. Telefon bimbit dikeluarkan dari beg galas. Aplikasi WhatsApp dibuka. Lama dia menatap icon WhatApps yang berwarna hijau itu sebelum menyahsekat nombor Arman semula. Zitt... zitt... ada pesanan baru masuk daripada Arman. Dia menghantar gambar sepinggan nasi putih seolah-olah memberitahu dia sedang makan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience