Januari 2020.
Yasmin mengangkat bakul keluar rumah untuk menjemur pakaian. Bakul merah itu diletakkan di tepi ampaian. Ameena dan Darwish sudah ke sekolah, sementara Yasmin pula bekerja syif petang. Baru beberapa helai baju dijemur, sebuah kereta Honda Civic berhenti di depan rumah. Dua orang lelaki keluar dari kereta itu.
"Assalamualaikum," salah seorang daripada mereka memberi salam.
"Waalaikumussalam," sahut Yasmin dengan wajah hairan. Siapakah dua lelaki ini?
"Kami nak cari Cik Yasmin Afifah binti Kamarudin," kata lelaki itu.
"Ya, saya Yasmin Afifah. Ada urusan apa, ya?" soal Yasmin dari dalam pagar.
"Kami datang nak tuntut hutang Aidil. Dia cakap Cik Yasmin boleh bayarkan hutang dia."
Menyirap darah Yasmin mendengar kata-kata itu. Dia masuk ke dalam rumah, kemudian keluar membawa sebilah golok.
"Sapa yang hutang hampa? Kenapa pulak aku nak kena bayar? Hampa ada akal dak?" jerkah Yasmin melengking. Hilang sudah sabarnya. Tergamak Along buat begini!
"Sabar, kak, sabar," ucap salah seorang lelaki, cuba menenangkan Yasmin.
"Kami cuma buat kerja kami. Aidil yang cakap macam ni. Dah setahun lebih dia lari tak bayar hutang," tambah lelaki itu lagi.
"Kalau macam tu, hampa pi rumah dia, bukan mai rumah aku yang tak dak kena-mengena!" Yasmin menjerit seperti orang hilang akal.
"Sebelum bagi duit, kenapa tak siasat dulu? Dia kerja ke, dak?" jerit Yasmin, emosinya memuncak. Golok itu ditakik ke pagar, berdenting bunyinya, meninggalkan kesan lekuk pada pagar.
Arman yang kebetulan memandu dari jauh memperlahankan keretanya. Dia nampak sebuah kereta berhenti di depan rumah Yasmin, dengan dua orang lelaki berdiri di depan pagar.
"Astaghfirullahalazim," Arman beristighfar, terkejut melihat Yasmin sedang mengamuk sambil menakik pagar dengan golok. Dia segera memarkir keretanya di tepi jalan dan berlari ke arah pagar.
"Ada apa ni, Yasmin?" soal Arman dengan nada cemas. Dua lelaki itu menoleh serentak ke arah Arman.
"Ni, depa ni nak kutip hutang Along! Along yang berhutang, tapi mai mintak dari orang yang tak ada kena-mengena buat apa?" jerkah Yasmin, suaranya bergetar.
"Abang, abang balik dulu. Ni, ambil kad saya. Nanti abang call saya," kata Arman cemas sambil menghulurkan kad dari dompetnya kepada salah seorang lelaki itu. Mereka segera masuk ke dalam kereta dan beredar dari situ.
"Awak letak dulu golok tu. Buka kunci pagar ni," suruh Arman dengan lembut. Yasmin terdiam, dadanya naik turun menahan marah.
"Awak letak dulu golok tu," pujuk Arman lagi. Yasmin perlahan-lahan meletakkan golok di atas simen, menghembus nafas kasar.
"Awak baliklah," tutur Yasmin, tidak mahu Arman melihat keadaannya begitu.
"Saya tak boleh tinggalkan awak sekarang. Awak tak okay," balas Arman. Mata Yasmin berkaca, air matanya mula turun ke pipi.
"Saya letih... Saya dah tak larat," ucap Yasmin.
"Saya tahu. Tapi saya kan ada," pujuk Arman.
"Wardah, Melur, Alang, dan Ziyad semua dah pergi. Dah terbang tinggi. Tinggal saya seorang kat sini," luah Yasmin lagi, air matanya semakin deras mengalir. Sudah sebulan berlalu sejak perkahwinan Wardah dan Melur. Emosi Yasmin terasa lesu, letih menanggung tanggungjawab yang tidak pernah surut. Pemergian adik-beradiknya seorang demi seorang memberi impak besar kepadanya. Dia merasa keseorangan, seolah-olah ditinggalkan.
Arman duduk di tepi pagar.
"Wardah dan Melur dah sampai jodoh mereka. Rezeki, jodoh, dan ajal semua Allah yang tentukan," katanya lembut.
"Saya tahu, tapi saya letih. Saya kehilangan teman, pembantu, dan rakan seperjuangan," ujar Yasmin perlahan. Dia menyeka air mata dengan jari.
"Saya akan jadi pembantu awak dan teman seperjuangan awak. Tapi awak kena berhenti bina jurang antara kita. Awak kena buka pintu hati awak," balas Arman.
"Awak selalu tak nak menyusahkan orang lain. Jadi awak tanggung semuanya sendiri. Awak kena belajar berkongsi masalah awak, barulah orang boleh tolong." Arman menghela nafas. Setiap perkataan disusun lembut.
"Awak boleh ceritakan apa saja masalah awak pada saya. Saya nak tahu, saya nak dengar. Tapi selama setahun kita bercinta, awak tak pernah kongsi masalah dengan saya. Selalunya adik-adik awak yang beritahu saya."
"Saya tak mahu susahkan awak," balas Yasmin.
"Saya lelaki, bakal suami awak. Memang kerja awak susahkan saya," Yasmin tersenyum, sedikit lega mendengar kata-kata itu. Arman lega melihat Yasmin mula tersenyum. Air matanya sudah mula surut.
"Awak nak Ameena dan Darwish membesar jadi orang yang serius, stres, dan negatif ke? Perwatakan mereka akan dipengaruhi oleh orang sekeliling mereka, terutama awak," kata Arman lagi, matanya menatap Yasmin penuh harapan.
"Awak kena berubah. Jadi lebih positif. Ramai orang boleh bantu awak, jangan simpan semuanya seorang diri."
Yasmin hanya diam membisu. Ada kebenaran pada kata-kata Arman itu. Dia tidak mahu Ameena dan Darwish membesar menjadi seperti dirinya yang selalu serius dan negatif. Dia mahu Ameena menjadi gadis yang ceria dan penuh keyakinan diri. Dia mahu Darwish membesar sebagai lelaki yang baik dan berfikiran positif.
Namun, masalah yang tidak henti-henti datang menghalang niatnya. Macam mana aku nak jadi positif? Yasmin bermonolog sendiri.
----
Arman memarkir kereta di bawah flat. Yasmin, Darwish, dan Ameena keluar bersama, mengekori langkah Arman ke tingkat dua. Yasmin membuka beg sandang, mengeluarkan kunci rumah lamanya.
Dia membuka grill dan pintu depan. Namun, sebaik sahaja pintu dikuak, mereka tergamam.
Dalam rumah itu berselerak. Bau tengik dan busuk menerpa, menusuk hidung. Sampah bertaburan di lantai—tin kosong, plastik, dan surat khabar lama bercampur-aduk, seperti tiada siapa pernah mengemas rumah ini. Mereka terpaksa masuk dengan memakai kasut.
“Ya Allah... macam mana Along boleh duduk dalam keadaan macam ni?” Darwish mula membebel, memandang sekeliling dengan wajah penuh rasa tak percaya.
“Jalan hati-hati. Tengok bawah takut terpijak benda tajam,” pesan Arman sambil menyuluh lantai dengan lampu telefon. Lantai yang berdebu dan bersampah menambah rasa ingin tahu mereka. Darwish memetik suis untuk membuka lampu, tetapi lampu tidak menyala.
" Bekalan elektrik pun kena potong ka?" tanya Ameena.
" Along tak bayar bil elektrik lah tu." sahut Darwish.
Yasmin menghela nafas panjang. “Kita kena cari dokumen hutang Along.” Dia melangkah ke bilik utama, hatinya tertanya tanya mengapa hidup Along sampai jadi begini.
Mereka bertiga menyertai Yasmin. Darwish memandang almari pakaian Along yang hampir roboh. “Apa dia buat sampai almari pun jadi macam ni?” katanya, masih membebel. Ameena, yang berdiri di sebelah, mula menyelongkar laci almari.
Yasmin menarik fail hitam dari tepi tilam. Dia membelek isinya satu demi satu. “Awak, cuba tengok kertas yang berselerak tu. Mana tahu ada dokumen penting.”
Arman mengutip beberapa helai kertas dari lantai. Dia membaca sepintas lalu, sebelum mengerutkan dahi. “Rajin betul Along awak menulis. Tapi... tulisan dia ni merapu. Tengok ni.” Dia menyerahkan helaian itu pada Yasmin.
Yasmin membaca. “Dianiaya keluarga. Harta dirampas. Semua berpakat jatuhkan aku...” Dia terhenti. “Sejak bila pulak keluarga kita ada banyak harta?”
Darwish, yang duduk bersila di lantai, menunjukkan helaian lain. “Kak Min tengok ni. Along tulis dia nak pi luar negara. Katanya tak tahan orang dengki kat dia.”
Yasmin menyimpan helaian itu ke dalam beg sandang. Hatinya terasa berat membaca catatan Along yang semakin tidak masuk akal.
Ameena pula mengeluarkan sampul dari laci. “Kak Min, ni surat apa?” Dia menyerahkan sampul itu pada Yasmin.
Yasmin membuka sampul itu dengan hati-hati. Dua helai kertas dikeluarkan. Surat perjanjian hutang Along. “Betullah ni,” katanya sambil menunjukkan dokumen itu pada Arman.
“Terima kasih, Ameena. Nanti abang belanja ayam goreng,” ujar Arman sambil tersenyum. Ameena membalas senyuman itu dengan riang.
Mereka keluar dari rumah itu, menutup dan mengunci grill semula. Dalam kereta, Yasmin memandang dokumen di tangannya. Alamat peminjam hutang Along tertera jelas.
Kereta meluncur perlahan menuju ke destinasi. Yasmin mengalihkan pandangan ke luar tingkap, tetapi hatinya terus bergolak. Kenapa Along jadi macam ni? Soalan itu berulang-ulang dalam fikirannya.
Share this novel