Bab 36

Other Completed 3855

Seperti biasa pagi itu Doktor Farhana akan pergi melihat keadaan pesakit-pesakitnya sama ada yang kritikal atau tidak. Begitulah rutinnya setiap hari bermula jam lapan pagi. Dia perlu melakukan persediaan awal agar dapat memberi perkembangan selanjutnya kepada keluarga pesakit yang datang melawat. Tiba di wad hujung, dia membuka pintu bilik. ‘Subhanallah’ terdetik dalam hatinya tatkala melihat Alya Maisara yang masih lagi dalam keadaan terbuka matanya. Dia amat kasihan dan simpati. Dia tidak boleh memaksa Alya Maisara untuk menggerakkan matanya sendiri. Dia sendiri tidak pasti sama ada Alya Maisara boleh mendengar suaranya atau tidak. Sesungguhnya, apa yang berlaku ke atas Alya Maisara merupakan satu kejutan besar dalam hidupnya. Memang benar kata beberapa jururawat yang bertugas, Alya Maisara seperti mayat hidup. Pernah juga isu Alya Maisara di bawa berbincang ke bilik mesyuarat. Ada beberapa doktor pakar berpendapat alat sokongan hayat yang diberikan kepada Alya Maisara perlu ditanggalkan kerana melihatkan tiada sebarang respon yang ditunjukkan. Seandainya alat sokongan hayat itu ditanggalkan maka harapan untuk Alya Maisara untuk terus hidup akan musnah. Hanya dia satu-satunya yang membangkang dan tidak bersetuju dengan cadangan itu. Baginya, selagi masih ada cara dan usaha, tidak salah untuk memberi peluang kepada pesakit untuk terus menggunakan alat sokongan hayat itu. Lagipun, Doktor Farhana sendiri tidak sanggup membiarkan pesakitnya menderita atau mati dengan cara begitu. Dia masih punya hati dan perasaan. Baginya, ajal, maut dan jodoh semua ketentuan Allah SWT.  Doktor Farhana mendekati Alya Maisara sambil melihat keputusan laporan yang dicatat oleh jururawat setiap masa. Ternyata, belum ada perkembangan selanjutnya yang ditunjuk oleh Alya Maisara. Dia mengusap dahi Alya Maisara dengan lembut. Dia berbisik di telinga Alya Maisara.

“Alya Maisara, seandainya awak dengar tentang apa yang ingin saya katakan, Alhamdulillah”.

Tiada sebarang respon diberi. Alya Maisara masih kaku. Doktor Farhana memperbetulkan selimut Alya Maisara. Sudah lama benar Alya Maisara ditempatkan di unit itu dan Doktor Farhana sudah menganggap Alya Maisara sebagai adiknya sendiri. Tidak hairanlah walau Alya Maisara dalam keadaan koma sekalipun, Doktor Farhana akan cuba untuk berbual dengannya. Adakalanya perbualan yang kerap sebegitu sedikit sebanyak dapat memberi peransang terhadap pesakit.

“Semua yang berlaku atas kehendak Allah SWT. Berdoa dalam hati dan minta kepadaNya agar dipermudahkan segalanya. Dari Dia kita datang dan dari Dia jualah kita akan kembali. Minta pada Allah, InsyaAllah Dia Maha Mendengar. Subhanallah… Alhamdulillah…Allahuakbar” tiga kalimah zikir Fatimah diucap oleh Doktor Farhana sambil tersenyum ke arah Alya Maisara. Doktor Farhana tahu hanya kalimah zikir mampu memberi kekuatan kepada seseorang.

‘Sara dengar tapi Sara tak boleh bercakap. Mulut Sara berat. Badan Sara masih tak dapat bergerak. Sara nak cepat sembuh. Sara tak mahu hidup macam ni’ sekali lagi hatiku menjerit dan meronta. Sejenak, air mataku bergenang.

Melihatkan air mata pesakitnya yang tiba-tiba mengalir ke pipi, Doktor Farhana sedikit tersentak. Genggaman tangan dilepaskan. Dia begitu terkejut melihatkan sedikit perubahan yang ditunjukkan oleh Alya Maisara. Ya Allah, sungguh besar kuasaMu.

‘Agaknya, dia dapat dengar apa yang aku katakan sebentar tadi’ bisik hati Doktor Farhana. Dia menyaka lembut manik jernih yang mengalir di pipi gadis malang itu.

Syukur Alhamdulillah” Doktor Farhana memanjatkan rasa syukur apabila terlihat air mata Alya Maisara. Dia yakin bahawa Alya Maisara masih boleh mendengar cuma memerlukan masa untuk tubuh badannya pulih seperti sediakala. Fungsi otaknya juga menunjukkan suatu tanda yang baik. Seandainya fungsi otak Alya Maisara sudah lumpuh, mustahil untuk dirinya menitiskan air mata. Jika dari kelmarin Alya Maisara sudah mula menunjukkan sedikit respon dan hari ini juga begitu, tidak mustahil Alya Maisara akan pulih sepenuhnya. Doktor Farhana begitu yakin. Dia juga tidak putus-putus berdoa untuk semua pesakitnya agar sembuh seperti sediakala. Dia yakin akan kuasa dan ketentuan Allah SWT. Dia juga percaya apa sahaja kemudaratan dan musibah yang menimpa manusia, semua itu untuk adalah untuk membersihkan jiwa manusia dan terdapat hikmah di penghujungnya. Dia teringat kata-kata Saidatina Aisyah yang dipetik dari sebuah hadis bahawa Rasulullah bersabda, tidaklah musibah yang menimpa kepada orang Islam melainkan Allah akan menghapus dosanya sekalipun musibah itu hanya tertusuk duri.

Di antara pesakitnya yang dia rawati hanya Alya Maisara yang membuatkan dirinya berasa sedikit teruja dan adakalanya menguji kesabarannya. Mana tidaknya, dalam keadaan koma yang begitu lama akhirnya Alya Maisara kembali sedar. Lebih dari itu, pesakitnya itu juga mula menunjukkan perubahan walaupun hanya sekadar linangan air mata. Baginya, perubahan itu sudah cukup besar. Amat sukar dan mustahil untuk pesakit yang menghidap penyakit kritikal seperti tibi otak bertahan begitu lama. Tetapi tidak untuk Alya Maisara. Dia yakin Alya Maisara punya semangat yang kuat di samping masih diberi peluang untuk hidup walau dalam keadaan kritikal seperti itu. Bibirnya tidak lekang mengucapkan rasa syukur. Dia tahu ini merupakan salah satu tanda kebesaran Allah SWT.

Kedengaran pintu wad dibuka dan ada derapan langkah menuju ke arah Doktor Farhana. Dia seraya memalingkan muka dan di hadapannya berdiri seorang lelaki yang agaknya dalam lingkungan tiga puluh lima tahun. Rasanya, aku tak pernah lihat dia melawat pesakit ni, takkan ahli keluarga Alya Maisara. Setahu aku cuma ayah dan ibunya sahaja yang selalu datang melawat, kata hati kecil Doktor Farhana.

“Assalamualakum, doktor” lelaki itu memberi salam.

“Waalaikumsalam” Doktor Farhana tetap menjawab salam walaupun dia sendiri dalam kebingungan memikirkan gerangan lelaki itu.

“Maaf, doktor. Saya Rayyan Firdaus. Err…boleh saya tau nama pesakit ni Alya Maisara ke?” lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Rayyan Firdaus mula bertanya tentang nama pesakitnya.

“Ada apa, encik?” ujar Doktor Farhana masih ragu-ragu. Semestinya dia bimbang melihatkan lelaki itu yang tiba-tiba datang ke bilik pesakitnya dan mula bertanyakan nama pesakitnya itu. Selama Alya Maisara berada di unit itu hampir lima bulan, tidak pernah pun dia ternampak lelaki itu. Bagaimana dia tahu Alya Maisara ditempatkan di unit itu?

“Sebenarnya, saya bekas guru sekolahnya suatu ketika dahulu. Saya melawat ibu saudara saya yang juga ditempatkan di unit ini jadi apabila terlihat senarai nama pesakit, saya berasa terkejut kerana nama Alya Maisara Hadi ada tertera di situ. Jadi, saya cuba untuk melihat sama ada pesakit ini bekas pelajar saya atau bukan. Saya minta maaf kerana mengejutkan doktor” panjang lebar ulasan dari Rayyan Firdaus itu. Sepatah ditanya berjela dijawabnya.

“Ohhh…begitu. Pesakit ini memang Alya Maisara Hadi. Kelmarin dia sudah mula sedar dari koma” lega sikit perasaan Doktor Farhana apabila Rayyan Firdaus menerangkan keadaan sebenarnya.

Rayyan amat terperanjat apabila doktor pakar itu menerangkan yang Alya Maisara baru sedar dari koma. “Berapa lama dia koma, doktor?”.

“Hampir lima bulan. Alhamdulillah, sudah ada perubahan positif. Saya harap dia lekas sembuh” Doktor Farhana melihat skrin monitor sambil mencatat sesuatu di laporannya.

“Saya keluar dahulu, Encik Rayyan” ujar Doktor Farhana setelah selesai mencatat laporan perkembangan Alya Maisara.

Rayyan Firdaus terdiam. Dia sendiri tidak menduga nasib yang menimpa bekas pelajarnya itu. Apa yang dia tahu semasa di alam persekolahan, Alya Maisara tidak menghidap apa-apa penyakit kritikal. Dia seorang pelajar terbaik, lincah dan ceria walaupun jauh di sudut hati dia mengakui kecantikan wajah gadis itu. Bagai ada sesuatu yang membuat dia tertarik kepada gadis itu. Dia sedar pada masa itu Alya Maisara merupakan pelajarnya. Mana mungkin seorang guru sanggup meluahkan rasa hati dan bercinta dengan anak murid sendiri. Tak gila namanya tu! Tetapi hari ini telah berubah sama sekali. Di hadapannya kini hanya ada tubuh cengkung yang pucat dan dalam keadaan wajah yang tidak terurus. Tiada lagi seri keindahan dan kecantikan seperti dahulu. Segala wayar disambungkan di badan gadis itu. Terdapat juga alat sokongan hayat di kepalanya. Entah apa nasib yang menimpa bekas pelajarnya itu, keluh Rayyan Firdaus sendirian.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Rayyan Firdaus masih lagi memikirkan Alya Maisara. Sayu hatinya apabila melihat mata Alya Maisara yang sentiasa terbuka. Ingin sahaja dia memeluk gadis itu namun dia masih lagi waras. Masih tahu hukum hakam. Mahu sahaja dia menjaga gadis itu siang dan malam namun dia juga tetap ada tanggungjawab yag lebih utama. Adam Haqeem amat memerlukannya. Anak kecil yang baru berusia dua tahun itu masih tidak mengerti apa-apa. Hanya dirinya tempat Adam Haqeem berteduh kasih setelah ketiadaan ibunya, Suraya yang juga isterinya. Suraya meninggal beberapa bulan yang lalu akibat dirempuh sebuah lori tangki. Sewaktu itu, isterinya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan hujan amat lebat. Keadaan jalan juga tidak berapa baik. Sempat juga Suraya menelefonnya. Serta-merta dia terimbas kembali perbualan terakhir bersama isterinya.

“Assalamualaikum, bang”.

“Waalaikumsalam. Sayang di mana ni?”.

“Sayang masih lagi dalam perjalanan ni. Terkandas kejap sebab hujan lebat. Cuaca pun gelap ni, susah nak nampak jalan. Abang di mana dah?”.

“Abang baru sampai rumah. Abang dah ambil Adam tadi. Hati-hati memandu, sayang”.

“Abang tunggu sayang, okey. Kalau hujan lebat berterusan macam ni, sayang tak nak baliklah. Tidur di jalan saja” Suraya ketawa kecil. Suka benar dia menyakat suaminya walaupun dalam keadaan sebegitu. Untuk menghilangkan rasa bosan memandu. Kalau tidak, memang sah mengantuk lebih-lebih lagi dalam keadaan hujan yang amat lebat tu.

“Ish…apa pula tak balik. Sayang tak payah masak hari ni. Kita makan di luar saja”.

“Sayang nak buat surprise untuk abang nanti. Sayang tak nak bagitau, biar abang tertunggu-tunggu”.

Sebenarnya, Suraya sudah pun membelikan hadiah sempena ulangtahun kelahiran suaminya. Dia membeli awal kerana bimbang akan terlupa kerana sejak akhir-akhir ini dia begitu sibuk dengan urusan di pejabat. Tahun lepas pun dia hampir terlupa dan terpaksa mencari hadiah saat akhir. Dia tahu Rayyan Firdaus bukanlah seseorang yang mementingkan kebendaan namun dia sangat bersyukur kerana dianugerahkan seorang suami seperti Rayyan Firdaus yang baik, jujur dan bertanggungjawab. Seandainya dia tidak sempat untuk memasak atau membuat kerja rumah, suaminya itulah yang akan membantunya. Suaminya tidak kisah untuk turun ke dapur apatah lagi untuk membersihkan rumah. Sedikit pun suaminya tidak pernah membebel. Mereka berdua amat saling memahami. Anugerah yang paling indah adalah kehadiran Adam Haqeem yang membawa keceriaan dalam hidup mereka berdua. Dalam diam, Suraya tersenyum sendiri.

“Sayang…hello…sayang, kenapa senyap ni?”.

“Ohh…abang, sorry. Line tak berapa clear tadi” aku mengelamun rupanya, bisik Suraya sendiri.

“Sayang ni buat abang risau,la. Sayang memandulah dulu, apa-apa hal nanti call abang” Rayyan Firdaus menggosok dadanya seketika.

“Okey…sayang tak nak call abang. Biar orang lain yang tolong call. He…he…” gurau Suraya lagi.

“Take care, dear. Abang and Adam will wait for you” Rayyan Firdaus menutup telefonnya.

Dalam perjalanan, Suraya masih lagi memikirkan Adam dan Rayyan Firdaus. Dia amat merindui suami dan anaknya itu. Setiap kali pulang, dia akan mencium dan memeluk anak lelakinya yang penuh keletah itu. Keletihannya akan segera hilang apabila melihat Adam yang cukup aktif. Terdetik di hati Suraya bagaimanakah agaknya jika dirinya terlebih dahulu meninggalkan mereka? Keadaan masih lagi gelap dan berkabus. Suraya begitu berhati-hati memandu dalam keadaan buruk seperti itu. Adakalanya tayar keretanya termasuk ke dalam lubang, mujur tidak termasuk dalam parit. Kalau tidak, naya nanti. Beberapa lampu kenderaan yang lain juga amat sukar untuk dilihat. Dia cuba untuk menjarakkan kenderaannya seberapa boleh agar mudah baginya untuk menganggar jarak di hadapan. Ketika itu dia hanya mampu bergerak perlahan-lahan sambil matanya berhati-hati melihat ke hadapan.

DUMMMMMMM…!!!! Satu dentuman kuat melanggar kereta Suraya. Dalam keadaan yang samar itu, Suraya dapat melihat sebuah lori tangki menghentam keretanya menyababkan dia hilang kawalan. Dia panik namun stereng cuba dikawalnya. Keretanya berpusing-pusing dan akhirnya Suraya tidak berupaya untuk mengawal keretanya lalu melanggar beberapa buah kenderaan lain sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu jalan. Keretanya terbalik dan terbakar.   

Rayyan Firdaus melihat jam di dinding. Sudah hampir tiga jam Suraya belum sampai di rumah. Dia menjenguk ke luar tingkap, hujan masih lagi lebat. Tiada petunjuk untuk berhenti. Dilihatnya Adam yang sedang leka bermain. Sekali sekala Adam menyabut mummy. Dia memberitahu anak kecil itu mummy akan pulang sebentar lagi. Sebenarnya, dia sendiri tidak betah untuk menunggu isterinya yang belum kunjung tiba. Tidak pernah isterinya akan lewat sebegini walaupun dalam keadaan hujan lebat. Suraya pun tidak pula menelefonnya. Mungkin sedang memandu, fikirnya. Rayyan Firdaus mencapai telefon bimbitnya dan terus menghubungi Suraya namun gagal. Agaknya, betul kata Suraya tadi, talian tidak berapa bagus. Maklumlah dalam keadaan hujan lebat sebegitu adakalanya memang sukar untuk berhubung. Baru sahaja dia ingin meletakkan kembali telefon bimbitnya, deringan telefon menjerit memanggilnya. Dengan pantas dia terus bersuara “Hello, sayang. Kenapa tak sampai lagi ni???”

“Ini Encik Rayyan Firdaus?” Rayyan Firdaus sedikit kaget. Disangkanya panggilan daripada Suraya namun ternyata bukan. Dia cuba melihat nombor yang tertera, begitu pelik. Pejabat mana yang menelefonnya waktu sebegini?

“Saya bercakap. Siapa ni? Ada apa?”.

“Puan Suraya isteri encik?” soal suara itu lagi.

“Kenapa dengan Suraya??!” Rayyan Firdaus mula tidak sedap hati.

“Maaf, Encik. Saya dari Suria Medical Centre  bahagian Unit Rawatan Rapi. Puan Suraya mengalami kecederaan serius di kepala dan tulang belakangnya patah. Saya harap encik datang segera ke sini”.

Rayyan Firdaus terduduk lalu menekup mukanya. Dia beristighfar dan cuba untuk menenangkan diri. Sungguh sama sekali dia tidak menyangka gurauan itu merupakan mimpi ngeri dalam hidupnya. Dia terkedu saat menerima berita bahawa Suraya sudah tidak ada lagi di dunia. Didakapnya Adam Haqeem dan dia menangis sepuasnya. Anak kecil yang baru berusia lapan bulan itu hanya melihat keadannya yang berjurai air mata. Saat itu Rayyan Firdaus benar-benar merasakan bahawa tiada guna lagi untuknya terus hidup namun sebaik sahaja melihat permata hati mereka, Adam Haqeem, serta merta Rayyan Firdaus bingkas sedar dan mengingati Allah SWT. Apa yang telah berlaku telah pun tersurat. Dia berjanji untuk menjaga dan mendidik Adam Haqeem dengan sebaik-baiknya seperti yang dipesan oleh arwah isterinya. Kenangan bersama Suraya akan disemat kemas dalam sanubarinya.

Kini, apabila terlihatkan Alya Maisara, nasib gadis itu tidaklah semalang bernafas tetapi tidak untuk isterinya yang pergi tanpa kata kembali menemui Sang Pencipta. Dia juga percaya dan yakin bahawa suatu masa nanti Alya Maisara akan pulih sepenuhnya. Dia yakin akan ada harapan buat Alya Maisara. Niatnya cuma satu, hanya Allah SWT sahaja yang tahu apa yang tersirat di hati kecilnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience