Bab 13

Other Completed 3855

Hari yang dinanti telah tiba. Aku begitu bersemangat pagi Isnin itu, tidak seperti hari yang kulalui semasa panggilan temuduga itu. Aku ingin tiba awal. Ingin menunjukkan contoh yang baik lebih-lebih lagi pada hari pertama aku mula bekerja. Seperti biasa, ayah tetap menghantarku. Aku bertekad untuk mengumpul wang gajiku demi memiliki sebuah kereta. Setibanya di pejabat, aku terus ke bahagian kaunter hadapan. Kulihat Watie, receptionist tempoh hari ada di tempat duduknya. Segera kudapatkan Watie untuk bertemu dengan Puan Sherry.

“Selamat pagi, saya Alya Maisara. Saya ingin berjumpa dengan Puan Sherry” tuturku kepada Watie.

“Oh, cik Alya Maisara. Hari ini merupakan hari pertama awak mula bekerja, kan? Puan Sherry sudah maklumkan kepada saya. Sila ikut saya ke biliknya” jawabnya kembali sambil aku menurutinya dari belakang. Besar juga pejabat ini, ya. Kiri dan kanan terdapat pelbagai bahagian. Masing-masing sedang tekun membuat kerja. Tidak kurang pula ada yang berbisik-bisik sesama sendiri apabila terlihat aku dan Watie menuju ke bilik Puan Sherry. Tentunya, mereka sudah agak yang ada pekerja baru hari ini.

“Alya Maisara, ini bilik Puan Sherry” Watie menunjukkan bilik Puan Sherry kepadaku. Di luar pintu bilik, tertera nama Shariffah Razali. Hmm, tentu Sherry nama panggilannya.

“Terima kasih” ucapku kepada Watie. Dia mengangguk dan tersenyum sambil kembali ke tempatnya semula. Aku mengetuk pintu beberapa kali dan kedengaran suara Puan Sherry menyuruhku masuk. Kenapa la aku perlu melapor diri kepada perempuan ini. Dialah satu-satunya panel perempuan yang langsung tidak menyoalku apatah lagi memandangku semacam semasa temuduga tempoh hari. Kini, aku terpaksa berhadapan dengannya, keluh hatiku sendiri.

“Selamat datang ke Paradigm Bank dan tahniah sekali lagi, Alya Maisara. Saya Shariffah tetapi mereka di sini memanggil saya sebagai Sherry sahaja. Lebih mudah dan simple” terangnya. “Terima kasih, puan”.

“Tak perlu berpuan-puan dengan saya. Panggil kak Sherry pun cukuplah. Macam tua pula bila dipanggil puan” selorohnya lagi sambil mempersilakanku duduk. Nampaknya Puan Sherry atau dengan lebih tepat lagi, kak Sherry ni peramah orangnya. Biarpun memegang jawatan sebagai pengurus kredit dan raut wajahnya kelihatan garang dan sombong, tetapi dia begitu mudah mesra dengan semua orang. Cuma, semasa temuduga tempoh hari dia tidak mempamerkan sikapnya yang sebenar.

Kak Sherry memberi taklimat tentang tugas-tugas yang perlu aku jalankan mulai hari ini. Aku ditempatkan di bahagian kredit sebagai loan officer, iaitu di bawah pengurusan kak Sherry. Setelah selesai taklimat, aku dibawa olehnya untuk berkenalan dengan kakitangan bahagian kredit dan dia juga telah menunjukkan meja dan tempat dudukku. Terdapat empat orang kakitangan di bahagian kredit ini. Ada juga yang hampir sebaya denganku. Kesemua mereka peramah dan sudi menghulurkan bantuan. Kini, aku mula berasa semakin selesa di sini.

“Sebelum ini, awak bekerja di mana?” soal teman baruku, Dania.

“Saya baru sahaja tamat belajar. Jadi, belum ada pengalaman kerja di mana-mana lagi” tuturku. Kadang-kadang aku berasa malu juga kerana hanya aku sahaja yang fresh graduate di bahagian kredit itu. Kesemua mereka mempunya pengalaman bertahun-tahun biarpun ada sebahagian daripadanya tidak melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Ohh…fresh grad la ni, ya. It’s okay, kalau ada apa-apa yang Sara tak tahu, saya boleh bantu” ujar Dania lagi. Dania seorang gadis manis dan lincah. Dia juga peramah dan itulah antara sebab yang membuatkan aku tidak kekok pada hari pertama bekerja. Kata Dania lagi, dia hanya lepasan SPM sahaja dan sebelum ini dia bekerja di beberapa buah bank terkemuka di bandaraya. Disebabkan pengalaman itulah Dania diterima bekerja di Paradigm Bank. Mengikut cerita Dania lagi, amat sukar untuk mereka diterima bekerja di Paradigm Bank kerana reputasinya yang tinggi. Paradigm Bank hanya menerima orang yang benar-benar layak dan sesuai untuk diambil bekerja. Bagi Dania lagi, nasibku agak baik kerana biarpun tidak memiliki pengalaman bekerja namun aku tetap diterima. Lihat, nasib sentiasa menyelebahiku. Hari pertama bekerja membuatkan aku tidak sedar akan masa berlalu. Segala maklumat tentang tugas dan bahagian aku fahami sebaik mungkin. Aku juga turut bertanya rakan-rakan sekerja lain sekiranya terdapat sesuatu yang sukar aku fahami. Aku tidak ingin dicop bodoh sombong atau berlagak. Aku ingin membina reputasi yang baik dalam kerjaya. Tugas sebagai loan officer amat mencabar. Aku perlu cepat dan tekun dalam menguruskan segala dokumen dan maklumat. Setiap fail atau dokumen yang kuterima, harus diselesaikan dengan segera pada hari itu juga. Aku juga perlu memastikan segala maklumat yang diberikan oleh peminjam haruslah tepat. Kak Sherry pernah memberitahuku bahawa apa sahaja yang kami buat, dia akan melakukan semakan kali kedua agar dapat mengelakkan sebarang masalah.

“Sara, lepas ni ada fail lagi yang perlu kita proses. Tapi, kita buat lepas makan tengahari la” ujar Dania sambil mengemas beberapa longgokan fail di dalam kotak.

“Baiklah. Aku nak siapkan yang ada ni dulu jadi tak perlu kita bertangguh untuk siapkan fail yang baru diregister tu” balasku sambil jemariku ligat menaip.

“Rajin betul kau ni walaupun baru hari pertama bekerja. Cepat betul kau faham dan sekarang banyak fail yang kau dah boleh siapkan” puji Ammar yang sempat singgah bertenggek di mejaku.

“Dah tanggungjawab lagipun aku tak suka kerja bertangguh ni. Selagi boleh siapkan hari ni, kita selesaikanlah” jawabku kembali lalu tersenyum memandangnya.

“Aduh…aduhhh!” tiba-tiba Ammar bersuara seolah-olah mengerang kesakitan. Aku panik sebentar lalu berhenti membuat kerja.

“Kenapa kau ni, Ammar? Kau sakit ke?” aku mula risau.

“Sa…Sara…tiba-tiba sakit aku datang apabila terlihat senyumanmu yang manis umpama madu. Aku jatuh hati seketika” balas Ammar sambil mengenyitkan mata. Dania dan teman-teman lain mula mencebik bibir melihat telatah Ammar.

“Jangan dilayan sangat budak Ammar tu, Sara. Kita yang sakit tengok perangai dia tu” celah Kak Waheeda membuatkan aku hilang kata-kata. Aku kembali meneruskan kerja tanpa mempedulikan Ammar. Kalau ikutkan hati, aku cekik-cekik Ammar ni tau, tengah-tengah orang sibuk buat kerja, di sana juga dia sempat nak buat lawak antarabangsanya itu, dengusku sendirian.

“Ala…korang ni, tak sporting la. Aku baru nak ramah mesra dengan Sara tapi korang dah potong line. Tapi, memang betul la Sara. Kau manis dan lawa, la” bersahaja Ammar membalas tanpa segan silu lalu kembali ke tempat duduknya.

“Woii…Ammar, cepat siapkan fail kau tu. Dari pagi sampailah nak dekat tengahari, baru tiga buah fail yang berjaya kau buat? Kau tengok kami ni, hampir sepuluh fail dah tau. Nanti bising lagi kakak kesayangan kau tu” Noreen yang diam sahaja dari tadi mula menyampuk. Walaupun hanya kami berlima sahaja di bahagian kredit ini, namun suasana tetap bingit. Adakalanya Noreen dan Kak Waheeda gemar mengenakan Ammar, satu-satunya ahli tunggal kami di bahagian kredit ini. Dania pula hanya berkata-kata apabila perlu. Walaupun mereka saling membidas kata antara satu sama lain tetapi hubungan di antara mereka amat rapat seperti adik beradik. Aku juga berasa selesa apabila telah mula mengenali rakan-rakan sekerjaku. Ternyata, mereka semua juga agak peramah dan tidak sombong melayanku. Tengahari itu, kami berlima keluar makan bersama di Grace Point. Kata Noreen, walaupun tempat itu agak jauh dari pejabat namun suasananya begitu selesa dan ia turut dipenuhi dengan pelbagai gerai yang menjual pelbagai jenis makanan. Terdapat gerai Nasi Lemak, Etnik Sabah, Korean food, Indian Food, House of Rice, House of Noodle, Kebab, Baba Nyonya, Indonesian food dan banyak lagi. Tengahari itu, aku hanya memakan fried dim sum sahaja. Aku belum berselera sepenuhnya memandangkan hari ini merupakan hari pertamaku bekerja. Atau mungkin juga kehadiran Ammar membuatkan aku rasa kurang selesa. Mana tidaknya, dari mula makan sehinggalah kami ingin beredar pulang, dia masih tetap menyakatku yang hampir-hampir membuat aku meluat dengan gayanya.

“Sara, kau jangan ambil hati sangat dengan si Ammar tu. Dia memang macam tu. Sebab tu kadang-kadang Kak Sherry sendiri pun tak tahan dengan perangai Ammar” Dania mula bersuara saat kami berdua berada di dalam kereta. Boleh tahan juga Dania ni, muda-muda lagi dah mampu beli kereta. Aku ni entahlah bila, bisik hati kecilku.

“Sara, kenapa kau diam? Kau marah, ya?” soal Dania.

“Eh…sorry, aku tak dengar apa kau cakap tadi. Pasal Ammar, kan? Kenapa, ya?” aku mula berkhayal ketika Dania memberitahuku tentang Ammar. Itulah, orang cakap tak nak fokus, sekarang dah menggelabah.

“Ye, pasal Ammar. Buat tak tahu la. Tengahari macam ni pun kau boleh berangan, Sara” Dania menjawab selamba dan meneruskan pemanduan untuk kembali ke pejabat. Aku Cuma mampu tersenyum dan menganggukkan kepala.

Lewat petang itu, aku berjaya menyiapkan segala fail yang perlu diserahkan kepada Kak Sherry pada esok hari untuk semakan. Aku sudah memaklumkan kepada ayah agar mengambilku lewat sedikit kerana aku perlu menyiapkan kerja terlebih dahulu. Pinggangku mula terasa lenguh-lenguh akibat hampir seharian menghadap komputer. Mataku juga letih. Apabila kerja telah siap, baru terasa kpenatannya. Apa sahaja cabaran dan dugaan dalam pekerjaan baruku ini akan kuharungi dengan cekal. Bak kata ibu, aku perlu matang dan bersikap terbuka apabila sudah mula bekerja. Selepas makan malam bersama keluarga, seperti biasa aku menolong ibu mengemas dan mencuci pinggan di dapur. Aku betul-betul keletihan, maklumlah hari inikan hari pertama untukku bekerja. Sepanjang hari kulalui dengan kesibukan menyiapkan segala fail dan dokumen.

“Teruk sangat ke kerja kamu tu Sara sampai mak tengok kamu ni slow sangat mencuci pinggan tu” soal ibu kehairanan melihatkan aku yang tidak banyak bercakap dan perlahan sahaja membuat kerja dapur.

“Tak lah teruk, mak. Sara nak kejar semua fail yang ada supaya esok tak lah banyak sangat nak dibuat” aku menjawab lemah.

“Semua kerja pun sama penat, Sara. Tiada kerja yang mudah dalam dunia ni. Kamu sabar dan tahan sajalah. Lagipun zaman sekarang ni susah nak dapat kerja. Dah elok-elok ada kerja ni, buatlah yang terbaik” terang ibu.

“Baiklah, mak” spontan sahaja jawapan yang terpacul dari mulutku.

“Mak, lepas ni Sara nak tidur. Esok nak kena bangun pagi lagi” aku memberitahu ibu untuk masuk ke bilik dan berehat. “Ya lah” jawab ibu sambil kembali meneruskan kerja di dapur. Malam itu aku betul-betul keletihan dan tidur lena. Setibanya aku di kamar, aku terus merebahkan diri ke katil. Pakaian untuk diseterika esok sahajalah aku memilihnya. Yang penting, badan dan mataku harus mendapat rehat yang cukup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience