Bab 39

Other Completed 3853

Pelangi senja di dada langit terus memancarkan seri keindahannya. Sang unggas turut berkicauan melagukan melodi alam. Suasana yang hening dan damai membuatkan jiwaku begitu tenteram. Kuamati setiap keindahan alam yang terbentang luas di mataku. Masya Allah, tidak pernah aku mengecapi kedamaian dan ketenteraman yang sedemikian rupa. Bibirku tidak henti-henti memuji kebesaran Ilahi. Sungguh gah Kau menciptakan alam ini. Terasa kerdil dan hina diriku ini jika dibandingkan dengan keindahan alam yang tiada tandingannya. Aku manusia yang dikurnia akal fikiran tetapi bodoh dalam membuat percaturan hidup. Aku seorang yang bijak pandai tetapi tewas dalam permasalahan dunia. Aku seorang penata gaya namun gagal menghias pekerti dan peribadi. Ternyata, aku hanyalah seorang insan lemah dan tidak sekali-kali dapat menandingi kehebatan Tuhan sekalian alam. KeranaMu, aku masih bernafas dan wujud di saat ini. KeranaMu juga, aku diberi kesempatan hidup kali kedua di atas segala perbuatan terkutuk yang pernah aku lakukan suatu ketika dahulu. Kini, keranaMu Ya Allah, aku memperhambakan diriku sepenuhnya. Berilah aku petunjuk dan hidayahMu. Tunjukkanlah aku jalan yang lurus lagi benar. Bantulah aku dan bimbinglah aku untuk mengenaliMu dengan lebih mendalam. Sesungguhnya aku teramat rindu kepadaMu Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosaku dan terimalah taubatku.

Ada benarnya kata orang. Tidak mudah untuk kita melupakan setiap perkara yang berlaku di dalam hidup sama ada baik atau buruk. Yang berlalu tetap jua akan berlalu. Apa yang penting kini adalah masa hadapan yang baru. Usaha dan keyakinan perlu dibina kembali. Doa dan tawakal sentiasa perlu untuk mengiringi perjalanan hidup. Biarpun ada rasa kesal yang terpalit di sudut hati namun hidup perlu diteruskan. Ya Allah, ada kalanya aku sendiri tidak mampu untuk memaafkan diri sendiri. Aku malu. Malu kepadaMu kerana keegoanku. Malu kepada ibu dan ayahku kerana kelantanganku.

“Assalamualaikum, Sara”.

“Waalaikumsalam. Err…maaf, saya tak ingat awak” aku tunduk malu. Hanya itu yang mampu aku ungkapkan. Aku tidak mampu mengingati nama lelaki itu tetapi raut wajahnya seakan-akan pernah kulihat suatu masa dahulu.

“Saya faham. InsyaAllah lambat-laun nanti awak akan ingat” ujar Rayyan Firdaus sambil menghulurkan bungkusan makanan kepadaku.

“Apa ni?” aku terus mengambil dan membelek bungkusan itu. Semerbak bau makanan itu menerjah hidungku.

“Murtabak sardin je, Sara. Saya singgah beli tadi dan kebetulan niat saya nak bagi dengan pakcik. Pakcik asyik menyabut murtabak sardin dari minggu lepas. Alang-alang saya ke kedai tu jadi saya belilah untuknya”.

“Ohh…ter…terima kasih. Err…ayah dah ke surau tu” tak semena-mena aku hampir gagap. Serta- merta rasa segan menyalinap ruang hatiku. Entah kenapa.

“Dah senja ni Sara. Tak elok duduk kat luar ni. Saya pun nak solat Maghrib di surau taman perumahan depan sana tu. Kirim salam dengan pakcik dan makcik nanti. Assalamualaikum”. Aku memerhatikan lelaki itu berlalu sehingga kelibatnya hilang dari pandanganku. Ada sesuatu tentang lelaki itu yang membuat aku ingin tahu. Bagaimana dia mengenaliku? Bagaimana dia mengetahui tentang ayah dan ibuku? Apa yang aku tahu, dia sentiasa datang bersama ibu dan ayah ketika melawatku di hospital suata masa dahulu.

Selesai solat Isyak Encik Hadi terus pulang ke rumah. Sudah menjadi kelaziman bagi Encik Hadi menunaikan solat Magrib dan Isyak bersama jemaah yang lain. Dia lebih gemar mendengar ceramah agama setelah selesai solat Maghrib. Baginya, setiap ilmu yang disampaikan amatlah bermakna buat dirinya yang masih merasakan kurang amalan akhirat. Dia masih ingat saat anaknya Alya Maisara terlantar beberapa bulan di hospital. Setiap malam Jumaat keluarganya akan menghantar makanan ke surau sebagai tanda sedekah. Dia juga tidak henti-henti mengadakan kenduri doa selamat agar seluruh ahli keluarganya sentiasa di bawah naungan Allah SWT. Kini, doanya telah dimakbulkan. Anak sulungnya telah kembali kepada mereka. Kembali membawa sinar baru. Kembali membawa harapan dan kehidupan baru. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

“Ayah, Sara nak tanya sikit boleh?”.

“Ada apa, nak?” Encik Hadi menghirup kopi sambil menikmati murtabak sardin yang diberi oleh lelaki tadi. Aku terus memerhatikan ayah menikmati murtabak tersebut. Seolah-olah ayah pernah dan selalu menikmatinya sebelum ini.

Ayah yang sedar dirinya diperhatikan segera berhenti makan dan memandangku. “Sara..? Ada apa? Sara masih rasa tak sihat lagi?”

“Errr…taklah. Sara nak tanya pasal murtabak tu. Macam sedap sangat ayah makan. Ayah dah pernah makan ke sebelum ni?” ujarku dengan wajah serius.

Tiba-tiba ayah ketawa. Ibu yang sedang melipat pakaian turut tersenyum melihatku. Aku kehairanan. Mana tidaknya, kerana murtabak sardin tu ayah boleh gelak besar.

“Sara, murtabak ni memang kesukaan ayah dari dulu lagi. Sara yang selalu belikan untuk ayah. Sara tak ingat?”. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Masa bila aku pernah belikan ayah murtabak sardin.

“Mak, Sara pernah beli ke?” aku meminta kepastian daripada ibu.

“Abang, bagi Sara masa untuk ingat semua” ibu memandang ayah sambil mendekatiku.

“Sara, betul cakap ayah tu. Dulu, Sara yang selalu belikan ayah murtabak ni. Bukan saja ayah, Sara pun suka murtabak ni. Kadang-kadang kamu berdua tak pernah cukup makan murtabak sardin tu”. Aku makin bingung. Seingat aku, tidak pernah aku merasa apatah lagi membeli murtabak itu.

“Err…siapa lelaki yang hantar murtabak tu? Tadi dia kirim salam dekat mak dan ayah” aku mula ingin tahu siapa gerangan lelaki itu yang kelihatan mesra bersama keluargaku.

“Sara tak ingat dia?” ayah dan ibu serentak memandangku.

“Tak ingat sangatlah tapi rupa dia macam familiar” aku cuba mengingati pertemuan senja tadi.

“Namanya Rayyan Firdaus. Dia guru Sara masa di sekolah menengah dahulu. Masa Sara sakit, dia banyak bantu mak dan ayah. Kadang-kadang dia yang selalu temankan Sara di hospital. Dia pernah beritahu ayah yang Sara merupakan pelajar yang pintar dan cemerlang di sekolah. Ayah simpati melihat keadaannya yang hidup berdua dengan anaknya tapi dia sungguh cekal. Dia banyak menasihati ayah sewaktu ayah hampir kehilangan Sara dahulu” ayah menerangkan secara terperinci tentang lelaki itu namun otakku masih lambat untuk mencerna dan mengingati apa yang pernah terjadi dahulu.

“Tapi ayah…” belum sempat aku meneruskan kata, ayah segera menenangkanku.   

“Sara berehatlah dulu. Ada masa nanti ayah akan jemput dia ke rumah kita. Bolehlah Sara bertanya lanjut tentangnya”.

Persoalan tentang Rayyan Firdaus benar-benar membuatkanku sentiasa terfikirkannya. Aku sendiri pun tidak tahu apa sebabnya. Apa yang pasti setiap kali berdepan dengannya pasti rasa segan akan terus menyalubungi diri. Hatiku melonjak ingin berbual dengannya namun perasaan malu dan segan sentiasa bertandang. Aku hampir kehilangan kata-kata setiap kali kami bersua. Aku menjadi tidak petah. Begitu banyak yang ingin kuajukan namun aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk memulakan.

Nampaknya, Sara masih belum mengenaliku sepenuhnya namun aku tetap bersyukur dia masih ingin berbual denganku walaupun hanya sepatah dua kata, keluhku sendirian. Memang benar, bukan mudah untuk Alya Maisara mengingati setiap perkara yang berlaku di dalam hidupnya setelah koma dalam beberapa bulan. Aku akan berusaha untuk memulihkan sedikit ingatan Alya Maisara setakat yang termampu.

    Hujung minggu itu, Encik Hadi mempelawaku untuk bercuti bersama keluarganya di Kundasang, sebuah tempat peranginan yang sejuk dan menarik. Sebenarnya, suatu ketika dahulu aku memang sentiasa ke sana bersama arwah isteriku, Suraya. Baginya, itu adalah tempat yang sesuai untuk merehatkan diri dan melapangkan fikiran. Suasana yang aman, tenteram dan nyaman mampu meleraikan segala kekusutan. Pelawaan daripada Encik Hadi kuterima dengan baik. Lagipun, kurasakan sudah lama benar aku tidak membawa Adam pergi bercuti dek kesibukan yang memanjang.

“Adam ikut nenek, ya sayang” Puan Salbiah segera mendukung mesra anakku dan mereka mula masuk ke kereta. Encik Hadi hanya tersengih. Aku sedikit kehairanan melihat telatah spontan Puan Salbiah.

“Tak menyusahkan makcik dan pakcik ke? Adam tu kalau dah bosan mulalah buat perangai. Nanti terganggu Sara” soalku sambil memandang Sara yang hanya tercegat dari tadi memerhatikan kami memasukkan beg pakaian dan barang-barang di kereta. Agaknya Sara masih pelik memikirkan aku yang sentiasa bersama keluarganya.

“Ish, apa pula mengganggu. Sara kan ikut kereta kamu” Encik Hadi menjawab bersahaja.

“Ayahhh!! Sara nak ikut ayah. Sara tak kenal lelaki ni” Alya Maisara cuba untuk meminta simpati daripada ayahnya.

“Lepas kamu ikut nanti kamu kenal la siapa lelaki ni. Dia kan penghantar murtabak sardin hari tu. Kalau kamu nak tanya, dialah orang paling sesuai untuk menjawab soalan kamu tu” Encik Hadi berseloroh lagi. Aku sudah mula tidak senang duduk sebaik mendengar apa yang baru sahaja diperkatakan oleh Encik Hadi sebentar tadi. Aikk?? Sara tanya pasal aku ke?

“Err…pakcik, kalau Sara tak selesa, dia boleh ikut pakcik. Saya dah biasa drive seorang ni” terangku jujur.

“Kalau kamu semua ni nak bercerita, agaknya bilalah kita nak bertolak ni ya. Mak tak sabar dah nak pergi Kundasang. Kalau kita bertolak sekarang, kita boleh sampai awal nanti” sampuk Puan Salbiah mematikan perbualan kami. Encik Hadi memberi isyarat kepada Alya Maisara untuk mengikutku sahaja. Kulihat Alya Maisara memasamkan mukanya dan hanya mampu tunduk saat dia melangkah ke keretaku.

Sepanjang perjalanan kami hanya diam. Maklumlah, aku hanyalah “penghantar murtabak sardin”. Mana mungkin Alya Maisara mahu mengetahui perihal diriku dengan lebih lanjut. Walaupun Alya Maisara kelihatan agak berbeza dari dahulu namun dia tetap manis. Selendang merah jambu yang dipakainya menyarlahkan lagi keayuan dirinya itu.

“Ehemm…awak tak lapar?” aku cuba memulakan perbualan. Alya Maisara menggelengkan kepala tanpa sepatah kata.

“Kalau lapar, ada air kotak dan makanan ringan di belakang tu. Awak ambil je nanti, jangan segan-segan”. Aku pula yang naik segan bercakap seorang dari tadi.

“Awak mengantuk? Kalau mengantuk tidurlah dulu. Dah sampai nanti saya kejutkan awak”. Dia menggeleng lagi. Aku senyum. Mungkin dia belum bersedia untuk berbual denganku. Kulihat jam di tangan, lebih kurang dalam sejam lagi kami akan sampai di Kundasang. Syukur juga Encik Hadi sudah pun membuat tempahan awal kerana hampir setiap hotel dan tempat penginapan sudah penuh. Menurut Encik Hadi, kami akan menginap di Pine Resort, sebuah chalet yang menarik. Sepanjang perjalanan kami hanya mendengar lagu. Dapat juga menghilangkan rasa segan dan bimbang di hati ini. Telatah penyampai radio cukup menghibur hati. Adakalanya aku sempat terlihat Alya Maisara tersenyum sendiri.

“Awak ni siapa?” hampir sahaja aku terlompat dari tempat duduk apabila disoal oleh Alya Maisara dengan tiba-tiba.

“Saya penghantar murtabak sardin seperti yang diberitahu oleh pakcik” hampir tertawa juga aku menjawab pertanyaannya.

“Itu saya tahu tapi siapa nama awak? Macam mana awak boleh kenal family saya?” Alya Maisara seakan tidak berpuas hati.

“Okey, saya Rayyan Firdaus. Panggil saja Rayyan. Anak saya, Adam Haqeem” aku menjawab ringkas sambil berharap dia mampu mengingat satu-persatu.

“Oohh”.

“Ada apa-apa lagi awak nak tanya, cik Sara?”. Dia menggelengkan kepala lagi untuk kali yang ke berapa pun aku tak pasti.  

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience