Bab 21

Other Completed 3855

Pagi itu, aku berasa ingin segera terus ke pejabat. Bimbang nanti kalau terserempak dengan ayah, soalan yang sama akan ditanya, “Dah solat?”. Naik muak aku dengar soalan itu. Takkanlah bila aku solat tiba-tiba muncul terus lelaki idaman depan mata atau aku bertukar seperti puteri kayangan!

Saat kumelangkah keluar ke garaj kereta, aku ternampak kelibat ibu memasuki dapur. “Mak, Sara pergi dulu, ye!” laungku tanpa bersalam terlebih dahulu dengannya. Nanti ingin terlepas daripada ayah, tidak semena-mena pula ibu pula ‘mencuci’ telingaku. Ada baiknya kupura-pura tergesa ke pejabat, kononnya ada proses audit awal pagi ini.

Sempat juga kulihat ibu dari cermin pandang belakang yang seakan mengah dan tercegat berdiri di muka pintu. Barangkali ingin menghantarku ke muka pintu seperti selalu. Terdetik suatu perasaan yang sukar untuk aku gambarkan. Perasaan sedih dan pilu. Jika dahulu, tangan ayah dan ibu tidak pernah lekang untukku bersalam. Sesibuk manapun, aku tetap mencari mereka untuk bersalam walaupun ada ketikanya aku terlewat ke pejabat. Namun kini, sedikit demi sedikit semuanya hampir hilang. Hilang dek kerana perubahanku. Aku sendiri bingung, keliru, kosong, tidak tenteram dan adakalanya aku lupa siapa Alya Maisara. Aku inginkan sesuatu namun aku tidak tahu apakah sesuatu itu. Pada siapa untuk aku minta sesuatu itu? Sesuatu yang boleh membuat aku bahagia dan tenang, malah tidak sunyi lagi.

“Eh, Sara! Apa termenung pagi-pagi ni?” suara Kak Waheeda mengejutkan aku. Nasib aku tidak melatah, kalau tidak tentu malu besar nanti.

“Tiada apa-apa, kak” jawabku tersenyum. Tak perlulah aku bercerita kepada sesiapa tentang apa yang aku alami dan rasai ini. Cukuplah hanya aku sahaja yang mengetahui.

“Akak dengar ramai yang puji persembahan Sara malam tu, ya”.

“Ada yang puji ke, kak? Sara buat yang termampu sebab tak banyak persediaan. Yang penting department kita ada wakil”, balasku lagi.

“Ramai sangat yang puji, Sara. Sampaikan yang kamu dah pulang malam tu pun, masih ada orang lagi yang nak berjumpa dan bergambar dengan kamu. Wah, macam artis pula ye”.

“Oppss…segan pula Sara dibuatnya, kak”, aku tunduk malu.

“Biasalah tu. Di sini, kalau sekali kamu sudah menonjol dan trampil, selamanya orang akan ingat dan perhatikan kamu”.

Aku menoleh ke arah Kak Waheeda dan bertanya, “Sampai begitu sekali?”. Kak Waheeda mengangguk kecil. Nampaknya, selepas ini ramai lagilah mata yang memerhatikan gerak geriku. Sejujurnya, aku rimas dan lemas. Aku ingin menjadi seperti manusia lain yang biasa namun apakan daya, personaliti diriku ini masih menarik minat mereka yang lain.

“Sara…!!” dari jauh kedengaran suara Noreen dan Dania. Habislah aku!

“Hari ni kau tidak pergi sarapan ke cik Sara?” soal Dania sambil tersengih. Aku faham benar maksudnya itu. Selalunya dahulu setiap pagi aku akan bersarapan dengan Karl namun sebelum menjelangnya raptai annual dinner hinggalah hari ini, batang hidung Karl pun aku tak nampak. Ingin juga aku bertanya kepada teman-teman yang lain namun kupendamkan sahaja, bimbang mereka menaruh wasangka yang bukan-bukan. Pernah juga aku menghantar pesanan ringkas kepada Karl beberapa kali namun tiada jawapan.

“Malas aku nak sarapan. Banyak kerja lagi nak dibuat ni” balasku bersahaja. Sebenarnya, bukan kerana isu Karl yang membuatkan aku malas melayan Dania tetapi apabila kedua-dua mereka si Noreen dan Dania yang memaksaku meneguk air setan malam itu.

Noreen berbisik kecil di telingaku, “Sara, kau free malam ni? Jom kita lepak?”.

“Tak nak lah, Noreen. Lain kali, ya” jawabku sambil jariku pantas menekan keyboard computer. Noreen memasamkan muka.

“Kau ni Noreen, masih tak faham-faham lagi, lah. Kan aku dah cakap, dia nak milo ais je tu” sekali lagi Dania mengenakanku. Aku menjeling tajam ke arahnya.

“Apa ni milo ais pagi-pagi?? Tak elok untuk perut kalau minum ais pagi-pagi ni” Kak Waheeda mencelah. Serentak kemudian, Dania dan Noreen ketawa bagai nak rak. Dan aku, hanya diam membatu. Suasana hari itu betul-betul membuatkan aku tiada mood untuk membuat kerja. Di pejabat, aku terpaksa melihat wajah Noreen dan Dania. Di rumah pula, terbayang wajah ayah dan ibu. Aku tersepit dan dalam dilema. Memang benar aku sudah dewasa dan kebebasan mutlak ada di tanganku tetapi bukan kebebasan seperti yang ditawarkan oleh Dania dan Noreen. Sampai bila aku harus begini? Sepanjang hari aku tidak banyak bercakap. Mungkin menyedari akan sedikit perubahanku itu membuatkan Dania dan Noreen lekas-lekas menjauhkan diri daripadaku. Seleraku untuk makan tengahari itu juga tiada. Kalau boleh, aku ingin terus pulang ke rumah dan tidur. Aku tidak mahu memikirkan apa-apa lagi. Lambat  benar rasanya waktu hari itu berputar. Sedang aku mengemaskan beberapa dokumen di bilik stor sebelum pulang, tanpa kusedari Kak Waheeda datang menghampiriku.

“Sara tak sihat?” soalnya sambil memandangku. Ikutkan hatiku, mahu sahaja aku menjerkah agar jangan menggangguku waktu itu tetapi tidak sampai hati pula rasanya.

“Sara sihat ni” aku menjawab malas.

Kak Waheeda menggosok belakangku dan berkata, “Ambil wudhu dan solat, InsyaAllah Sara akan tenteram. Mintalah apa-apa dariNya. Sesungguhnya Dia Maha Mengerti tentang apa yang tersirat dalam hati hambaNya”. Ahh! Sekali lagi aku dengar perkataan itu untuk hari ini dari mulut Kak Waheeda sendiri. Aku tahulah apa yang aku perlu buat. Tidak payah susahkan diri untuk menasihatiku. Baru sahaja aku hendak menoleh ke arah Kak Waheeda, aku hampir terperanjat kerana sepantas kilat Kak Waheeda sudah tiada di belakangku. Hatiku mula tidak keruan dan resah. Kulihat jam di tangan sudah menunjukkan 5.45 petang. Apabila aku keluar dari bilik stor simpanan dokumen, kulihat semua staf sudah pulang. Tapi tadi Kak Waheeda baru sahaja menegurku di bilik stor. Tanpa berlengah lagi, aku segera mengambil beg dan bergegas pulang.  Malam itu aku tidak berselera untuk makan. Hanya beberapa suap nasi sahaja kujamah itupun kerana terpaksa. Bimbang kalau-kalau sakit gastrik menyerangku. Ayah dan ibu pun tidak banyak berbual denganku. Selesai sahaja makan malam, aku terus masuk ke bilik dan merebahkan diri di katil. Peristiwa petang tadi di pejabat masih menerawang di kotak fikiranku. Takkanlah hantu datang ingin menasihatiku tentang solat? Tapi, kalau betul Kak Waheeda kenapa tidak sampai beberapa saat begitu cepat dia berlalu? Kerana keletihan memikirkan tentang peristiwa itu, aku sendiri tidak sedar jam berapa aku terlelap sehinggalah bunyi telefon mengejutkanku.

“Hello, Sara” satu suara yang amat kukenali mengejutkanku. Kuamati nama pemanggil di skrin. Dia?? Karl???? Sekarang baru hendak cari aku?

“Hello” geram juga hatiku apabila mengenangkan Karl. Sekejap ada, sekejap tiada.

“Im so sorry, Sara. Lama sangat Karl tak hubungi Sara. Lagipun Karl sibuk sangat sampai tak sempat nak balas mesej Sara” terangnya tanpa pintaku.

“Karl resign ke? Sebab dah lama Sara tak mampak Karl di pejabat”.

“Ish…tidaklah. Karl masih wujud lagi di pejabat kita tu cuma seperti yang Karl katakan tadi yang Karl sibuk sikit”.

“Okey”.

“Sebenarnya Sara, Karl telefon ni sebab nak jumpa Sara malam ni. Ada hal yang Karl ingin beritahu Sara”.

“Cakap je la kat telefon. Bukan ada sesiapa dengar pun. Atau di pejabat pun boleh kan?”.

“Please Sara. Karl nak sangat jumpa Sara sekarang. Betul-betul penting. Karl takut tak sempat bagitahu Sara nanti. Tolong ya Sara, kita jumpa sekarang di tempat biasa” bersungguh-sungguh keinginan Karl untuk berjumpa denganku pada malam itu. Entah apa yang penting sangat sehinggakan tidak dapat bercakap di telefon mahupun di pejabat esok hari sahaja. Ikutkan hatiku malas benar aku ingin berjumpa dengannya, entahlah mengapa. Sudahlah lewat tengah malam, nanti bising lagi kedua ibu bapaku apabila melihat aku keluar di waktu begini. Selepas bersiap ala kadar, aku terus mencapai kunci kereta dan sebelum keluar, aku sempat memberitahu adikku, Aiman untuk keluar sekejap. Sepanjang perjalanan itu, aku terfikirkan Karl. Apa yang membuatkan dia begitu terdesak untuk bertemu denganku saat itu. Apa maksudnya takut tidak sempat memberitahuku? Dalam 15 minit perjalanan, aku tiba di sebuah tempat seperti yang dijanjikan oleh Karl. Kulihat dia sudah sedia menunggu namun riak wajahnya tidak menunjukkan keceriaan. Sebaik sahaja aku melangkah keluar dari kereta, Karl segera mendapatkanku. “Sorry Sara sebab ganggu malam-malam ni” ujarnya dengan nafas yang seperti tercungap-cungap. Macam dikejar hantu!

“Slowly, Karl. Sebenarnya ada apa ni?” aku cuba menenangkannya. Tanpa kata, Karl menghulurkan sesuatu kepadaku, sepucuk sampul biru. Kusambut sampul biru itu dan mengamatinya, sungguh cantik rekaan berbentuk hati itu. Di luar sampul itu, siap sedia tertera namaku ‘Alya Maisara’. Dalam debaran, kubuka sampul biru itu dengan perlahan, sebuah kad undangan terselit kemas. Kucuba untuk bertahan dan tabah saat mataku membaca undangan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung di antara Zulkarnaen dan Farra, ya sebuah majlis antara Karl dan pasangannya. Selesai membaca, kulipat kemas dan kucuba untuk tersenyum walaupun aku tahu senyuman aku di kala itu seperti hempedu. Aku memandang Karl dan seketika air mataku bergenang. Aku bukan menangisi Karl yang akan bakal berkahwin tetapi aku sedih, kecewa dan hampa atas nasib yang berulangkali menimpa diriku.

“Sara, Karl tiada niat untuk lukakan hati Sara cuma Karl takut kalau Sara terlalu berharap”. Aku diam dan membiarkan Karl terus berkata-kata.

“Karl memang silap. Dulu Karl pernah mengaku kepada Sara yang Karl belum berpunya. Tetapi sebenarnya, Karl sudah bertunang sejak setahun yang lepas. Tapi, Karl nak sangat berkawan dengan Sara. Karl tak nak kita berakhir begitu sahaja”. Manik jernih di mataku meluncur laju namun aku masih lagi bertahan untuk tersenyum.

“Tahniah Karl. Semoga bahagia selamanya. Terima kasih kerana mengundang Sara ke majlis bahagia Karl nanti” itu sahaja yang mampu kuucap di kala itu. Rupa-rupanya, barulah aku mengerti yang selama ini Karl jarang lekat di pejabat kerana sibuk menguruskan hari bahagianya yang bakal berlangsung. Namun tiada siapa yang memaklumkanku. Barangkali juga rakan sepejabat tidak mengetahui status dirinya. Seketika, ingatanku kembali menjelma saat Mamat si polis bantuan menegur kami saat aku baru bekerja di situ. Patutlah Mamat kehairanan dan bertanya adakah aku ini partner barunya? Mungkin juga Mamat pernah melihat tunangan Karl datang di pejabat itu suatu masa dahulu. Sepanjang hari ini bermacam-macam dugaan aku lalui. Bermula dengan siang tadi di pejabat apabila Noreen dan Dania yang sering mengenakanku, ditambah lagi dengan peristiwa di bilik stor bersama Kak Waheeda dan kini Karl sendiri datang membawa berita yang mengejutkanku. Apa lagi yang boleh aku lakukan selain mencuba untuk bertahan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience