Bab 38

Other Completed 3855

“Haa…Rayyan, jemput masuk” Encik Hadi mempersilakanku masuk sambil Puan Salbiah menghulur tangan ke arah anakku, Adam. Bukan main mesra lagi kulihat Adam didukung oleh Puan Salbiah. Cepat benar anak kecil itu mesra dengan orang yang dikenalinya, tak ubah seperti mummynya, aku terkenang memori lalu sendirian.

“Duduklah dulu Rayyan, biar makcik kamu ke dapur dulu. Adam, mari dekat atuk, sayang”, suara Encik Hadi segera mematikan memoriku yang lalu.

“Adam, jangan kacau atuk” aku mengemas barang-barang mainan Adam yang bertaburan di lantai.

“Biarlah, Rayyan, budak-budak manalah faham. Biarkan dia bermain. Lagipun rumah ni sunyi sangat. Si Aiman pun dah besar. Sekejap di rumah, sekejap keluar dengan kawan” Encik Hadi terus melayan karenah anak kecil itu.

“Err…Aiman??” aku sedikit bingung, belum pernah lagi Encik Hadi menyabut nama itu apabila bersembang.

“Aiman tu anak bongsu pakcik. Dia masih belajar lagi. Kami ni ada dua orang anak je, Rayyan. Bila dua-dua takde di rumah, macam ni la sunyinya. Pakcik dan makcik je la yang bercerita sesama sendiri” terang Encik Hadi.

“Sekarang bila dah ada kamu dan Adam ni, ceria sikit hidup kami. Ada juga peneman. Abang, ajak Rayyan makan. Biar saya yang tengokkan si Adam tu” sampuk Puan Salbiah sambil menghidangkan mihun goreng ala Singapore, kuih muih dan minuman di meja makan.

“Kuat semangat kamu membesarkan Adam ni, Rayyan” Puan Salbiah mengusap lembut rambut anak kecil itu. Hati wanitanya tersentuh kerana anak kecil itu telah kehilangan ibu di usia yang begitu muda dan tidak mengerti apa-apa.

“Kalau saya tak kuat, Adam pun tak akan kuat. Saya buat segalanya untuk Adam, makcik, pakcik” aku menundukkan kepala, perasaan sebak mula bertandang di hati.

“Beginilah Rayyan. Kamu bawalah  Adam ke sini selalu. Sekurang-kurangnya terubat juga rindu kami terhadap Sara. Adam pun tidaklah tercari-cari ibunya selalu” aku memandang Encik Hadi meminta kepastian. Bimbang juga takut menyusahkan mereka berdua nanti. Sudahlah mereka perlu ke hospital selalu untuk menjaga Sara, kini Adam pula. Sekarang pun aku terpaksa mencarikan nursery untuk Adam. Ibuku tidak dapat menjaga Adam begitu lama kerana terpaksa pulang ke Kuala Lumpur. Setiap hari selepas habis waktu kerja, aku akan segera bergegas untuk mengambil Adam di nursery. Aku jugalah yang menguruskan segala keperluan Adam di rumah. Kalau dahulu kami bertiga tetapi kini hanya tinggal aku dan Adam.

“Tak menyusahkan kami pun, Rayyan. Kamu tu penat kerja. Kalau kamu outstation, kami boleh tolong jagakan Adam. Lagipun, kami dah anggap yang Adam cucu kami sendiri. Bila-bila kamu ingin ke sini, bawalah Adam sekali” Encik Hadi senyum, seolah-olah mengerti apa yang bersarang di hatiku.

“Err…terima kasih, pakcik. Hanya Allah SWT saja yang mampu membalas budi pakcik sekeluarga. Saya bersyukur kerana dapat mengenali keluarga pakcik” aku gugup namun di sudut hati aku gembira dan bersyukur untuk Adam. Setidaknya-tidaknya, Adam tidak sunyi lagi selepas ini. Petang itu kami menghabiskan masa bercerita dan bersembang tentang semua perkara. Aku lega kerana dapat berkongsi cerita dan rasa terhadap Encik Hadi dan Puan Salbiah. Ternyata mereka berdua amat baik hati dan punya sikap mengambil berat antara satu sama lain. Namun, aku hairan mengapa Alya Maisara sanggup lupa diri dan mengetepikan mereka. Peristiwa yang terjadi terhadap gadis itu masih menghantui diriku. Semoga ada kesudahan yang baik buat Alya Maisara, doaku di dalam hati.

Hampir saban hari Encik Hadi dan Puan Salbiah tidak jemu-jemu melayan gelagat Adam. Terpancar sedikit keceriaan di wajah keibuan Puan Salbiah sejak kehadiran anak kecil itu. Adakalanya Adam akan bermalam di rumah mereka. Aku sebagai ayah amat terhutang budi kepada Encik Hadi. Ternyata ada rahmat di sebalik semua yang berlalu. Mulanya aku bingung dan buntu untuk menguruskan Adam tanpa isteri tercinta di sisi. Semua kulakukan seorang diri. Aku cuba belajar untuk menjadi ayah dan tauladan yang baik buat anakku. Aku tidak mahu anakku membesar dengan kekurangan kasih sayang walaupun ibunya telah tiada. Aku tidak mahu Adam kesunyian. Aku akan lakukan yang terbaik untuk Adam.

Tentang Alya Maisara, kami membuat giliran untuk bergilir-gilir menjaganya. Mujur juga aku masih punya cuti tahunan yang berbaki. Kuguna cuti yang ada untuk membantu Encik Hadi menjaga gadis itu. Hari demi hari, Alya Maisara berjaya menunjukkan sedikit perubahan namun dia masih belum pulih sepenuhnya. Menurut Dr. Farhana, badan Alya Maisara telah mula menerima air yang dimasukkan melalui wayar di hidungnya. Jika sebelum ini, badannya menolak sebarang bentuk cecair dan pepejal yang cuba dimasukkan namun kini tidak lagi. Doktor muda tersebut terus sabar dan cekal merawat gadis dalam jagaannya itu. Alya Maisara didudukkan untuk diberi air dan sedikit bubur agar badannya mempunyai tenaga. Sudah agak lama gadis itu tidak menjamah apa-apa namun atas kekuasaanNya, gadis itu masih bernyawa sehingga ke hari ini. Dr. Farhana turut mengajar kami cara memberi makan dan minum yang betul kepada Alya Maisara.

“Alya Maisara, saya bawa bubur untuk awak. Mak awak yang masakkan” dengan penuh hati-hati aku memasukkan sedikit demi sedikit bubur ke dalam wayar yang bersambung di dalam hidungnya dengan menggunakan picagari. Kasihan aku melihat keadaan Alya Maisara ketika itu namun aku amat bersyukur kerana dia masih diberi kesempatan untuk mengecapi baki hidup ini. Semangkuk bubur yang kubawa tadi sudah habis dimakan. Aku juga turut memberinya air agar organ-organ dalaman dapat berfungsi dengan baik. Nampaknya, badan Alya Maisara sudah mula memberi respon yang baik. Dr. Farhana turut mencatat perkembangan Alya Maisara dari hari ke hari. Mengikut kata para doktor, jika badan Alya Maisara mula menunjukkan kesan postif, gadis itu tidak memerlukan alat sokongan hayat lagi. Kata-kata ini telah memberi semangat baru buat keluarga Encik Hadi termasuklah Rayyan Firdaus sendiri. Perlu ada kesabaran, kecekalan dan ketabahan untuk menjaga gadis malang itu. Setelah selesai memberi makan, aku merapati Alya Maisara. Moga-moga dia dapat mendengar, pintaku di dalam hati. Aku mula bercerita tentang zaman persekolahannya dahulu. Tentang sikap dan kelakuannya yang peramah serta ceria.

“Awak pelajar yang baik dan pintar, Sara. Awak rajin membantu guru-guru di sekolah” aku tersenyum ke arahnya. “Awak seorang yang kuat semangat”.

Alya Maisara masih kaku seperti selalu. Matanya tidak pernah tertutup mahupun berkelip sedikit pun. “Mak dan ayah awak tak pernah berhenti mendoakan awak supaya cepat sembuh. Mereka terlalu sayangkan awak, Sara”. Kata-kataku mati di situ. Aku tidak sanggup untuk meneruskan kata-kata, pilu melihat gadis yang berada di hadapanku sekarang. Sekiranya Alya Maisara dapat melihat wajahnya kini, dia mungkin tidak mahu percaya apa yang dilihat. Hanya kulit yang membaluti setiap rangka tubuh badannya. Dia tidak berisi dan tidak berseri seperti dahulu.

“Makk…” satu suara halus kedengaran membuatkan aku hampir terkejut. Kuamati suara itu dan kulihat Alya Maisara yang masih lagi kaku di kedudukannya.

“Makkk…” setitik air mata mengalir di pipi Alya Maisara. Aku merapatkan diriku ke arah Alya Maisara.

“Sara..! Awak bercakap, Sara?” aku tergamam lalu memegang lengannya seakan tidak percaya dan tanpa mempedulikan apa-apa, aku segera berlari keluar memanggil Dr. Farhana. Beberapa minit kemudian, Dr. Farhana datang bersama beberapa doktor pakar yang lain.

“Betul doktor, saya dengar dia bercakap” aku cuba meyakinkan Dr. Farhana. Dalam pada itu, aku turut menghubungi Encik Hadi tentang apa yang berlaku kepada Alya Maisara sebentar tadi.

“Alhamdulillah…InsyaAllah, pakcik akan ke sana sebentar nanti” Encik Hadi tidak putus-putus mengucapkan syukur dan mengakhiri perbualannya setelah mendapat berita tentang anaknya itu. Dr. Farhana membaringkan Alya Maisara dan membuat pemeriksaan ke atas gadis itu. Mata, hidung dan mulut diperiksa satu persatu. Setiap pemeriksaan dicatat secara terperinci di dalam rekodnya. Tekanan darah, sel saraf, paru-paru, buah pinggang dan jantung sedang mula berfungsi secara stabil dan menunjukkan kesan positif. Dr. Farhana seakan tidak percaya apabila semua ini berlaku. Dia memberi isyarat dan mengangukkan kepala kepada beberapa doktor yang ada di situ. Kelihatan doktor-doktor tersebut turut mempersetujuinya.

“Doktor, tolong beritahu, apa yang berlaku?” aku tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku kepada Alya Maisara. Perasaan takut, gelisah semuanya bercampur baur di sudut hati.

“Bertenang, nampaknya Alya Maisara tidak lagi memerlukan alat sokongan hayat itu” Dr. Farhana mengukir senyum penuh makna.

“Apa maksud doktor? Sa..saya tak faham, tolong jelaskan doktor” pintaku bertalu-talu.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang ialah setiap sel dan organnya menunjukkan perkembangan positif dan sudah mula stabil. InsyaAllah dalam beberapa hari kemungkinan Alya Maisara akan beransur pulih. Kita doakan yang terbaik untuknya” Dr. Farhana berlalu meninggalkanku yang masih lagi terkejut.

Kudekati Alya Maisara yang sedang baring. Matanya kini tertutup dan seakan sedang tidur lena. Apakah ini yang dimaksudkan oleh Dr. Farhana sebentar tadi bahawa Alya Maisara akan stabil? Maknanya Alya Maisara akan pulih sepenuhnya dan tidak lagi bergantung dengan alat sokongan hayat itu? Jika semua ini benar, ternyata Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku mengucapkan syukur di dalam hati.

Mulai dari hari itu Alya Maisara kerap menunjukkan perubahan positif. Hari demi hari dia telah mula mencuba untuk berdiri mahu pun menggerakkan anggota tubuh badannya. Beberapa staf fisioterapi juga turut membantu Alya Maisara meregangkan ototnya. Sebagai permulaan, Alya Maisara terpaksa menggunakan kerusi roda dan tongkat bagi mengimbangi pergerakannya. Dia tidak ubah seperti anak kecil yang baru belajar untuk berjalan. Segalanya begitu payah, sukar, rumit dan berat baginya. Namun, dia perlu kuatkan semangat dan gagahi semuanya. Dia perlu membina kembali hidupnya yang suatu masa dulu punah dan musnah dek kealpaan dirinya. Dia tidak mahu lagi dibayangi dunia gelap yang memakan dirinya sendiri. Dia ingin melupakan dunia itu. Dunia yang mengubah dirinya yang sebenar dan yang membuatnya tersasar jauh. Dia ingin kembali pada kehidupan yang bahagia dan tenang bersama keluarganya. Dia tidak mahu lagi menyakiti hati ibu dan ayahnya. Dia ingin bersujud memohon keampunan atas setiap perkara keji yang pernah dilakukannya suatu masa dulu.

Surah Ar Rum ayat 54: “Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience