Bab 43

Other Completed 3855

Begitu ramai orang di KLIA pada hari itu dan menyukarkan aku untuk melihat serta mencari kelibat keluargaku. Jam di tangan menunjukkan 9.45 malam. Sedang aku menoleh sana sini, tiba-tiba namaku dipanggil oleh satu suara yang amat kukenali. Rayyan!! Hampir-hampir aku melonjak keriangan apabila terlihat dia di suatu sudut. “Assalamualaikum, Sara. Dah lama sampai?” tegurnya sambil menawar diri untuk membawa beg dan baranganku. “Waalaikumsalam. Dalam sepuluh minit Sara sampai tadi, itu pun terpaksa menunggu luggage sebab ramai orang” jawabku sedikit segan. Entah kenapa perasaan segan  bertandang serta-merta. Kalau dahulu, akulah yang paling galak apabila berbual dengannya tetapi hari itu aku berubah menjadi pemalu. “Eh, mana mak dan ayah?” matak mula lagi mencari ayah dan ibu. “Ohh…pakcik dan makcik tak dapat ikut. Mereka wakilkan saya untuk ambil Sara. Lagipun Adam tak nak pergi mana-mana”. Adam? Aku sugguh rindu anak kecil itu. Tidak sabar rasanya untuk mendakap dan memeluknya. Agaknya Adam masih kenal diriku? Maklumlah sudah tiga tahun berlalu. Kami berjalan menuju ke kereta Rayyan. Menurut Rayyan susah untuk dapat parking hari itu jadi dia hanya meletakkan keretanya secara double park sahaja. Lebih mudah.

Setibanya di kereta Rayyan aku sedikit terkejut dan hampir tergamam. Kelihatan seorang gadis bertudung sedang berdiri di sebelah kereta Rayyan. Sungguh manis dan lembut orangnya. Sekali pandang wajahnya tidak ubah seperti Hanez Suraya. Patutlah Rayyan tidak kisah untuk meletakkan keretanya secara double park sahaja. Rupa-rupanya ada yang menanti. “Hani, kenapa tak tunggu dalam kereta?” soal Rayyan kepada gadis itu. Cepat-cepat gadis itu membantu Rayyan mengangkat begku dan memasukkan ke dalam bonet kereta. Aku hanya tercegat dan membatu dari tadi melihat gelagat mereka. Siapakah dia?

“Sara, jom la masuk” Rayyan mempelawaku untuk masuk ke dalam keretanya.

“Ya Allah!! Lupa pula. Sara, saya minta maaf sangat-sangat. Lupa nak kenalkan. Sara, ni Hani” Rayyan mula memperkenalkan gadis yang bernama Hani itu kepadaku. Kucuba ukir senyuman namun terasa hambar dan tawar. Entah mengapa.

“Hai Hani, saya Sara” ringkas sahaja jawapanku lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Hani menyambut tanganku lalu mencium. Apa kena budak ni? Kenal pun tidak, ada hati nak cium tangan orang, getus hati kecilku. Serta-merta kuteringat nasihat yang tidak elok berprasangka buruk sesama manusia lalu dengan segera kuleraikan perasaan syak wasangka itu.

“Ya, kak Sara. Saya kenal akak” Hani mengangguk senyum menambahkan lagi kehairanan dalam diriku. “Abang Rayyan selalu bercerita tentang akak” jelas Hani seolah-olah mengerti yang aku sedang meminta penjelasan.

“Jom masuk kereta dulu. Apa-apa borak dalam kereta” celah Rayyan dan aku hanya menurut sahaja. Tidak banyak yang aku bualkan bersama mereka. Mujur mereka mengerti yang aku masih berasa penat dengan penerbangan yang lama tambahan pula penerbanganku delay selama sejam. Entah kenapa aku berubah personaliti tiba-tiba. Tadi bukan main happy apabila melihat Rayyan namun semuanya menjadi berubah setelah aku diperkenalkan kepada Hani.

Setibanya di rumah, aku mencium dan memeluk ibu dan ayah. Adikku sedang melayan Adam yang tengah bermain lego barunya itu. Adam kupeluk erat. Hatiku sedikit sebak. Sukar untuk aku tafsirkan apakah sebabnya. Kulihat ibu dan Hani sedang menyiapkan makan malam, mesra sungguh mereka berdua umpama sudah kenal bertahun lamanya. Di sudut ruang tamu, ayah dan Rayyan sedang berbual.

“Kak Sara okey?” soal Aiman apabila melihat aku tidak banyak cakap malam itu.

“Err, akak okey cuma penat sikitla” jawabku sambil memerhatikan Adam yang sedang leka dengan mainannya yang baru kubeli itu.

“Kak, kak Hani tu baik betullah” Aiman seolah-olah mengerti apa yang sedang bermain di benak fikiranku.

“Eh, kenapa pula tiba-tiba cakap pasal Hani?” aku cuba untuk menyambunyikan perasaanku. Perasaan yang dari tadi membelenggu jiwaku. Adakah aku marah? Tidak juga. Benci? Jauh sekali.

“Betullah dia baik. Selama akak kat England tu, kak Hani selalu datang rumah kita. Abang Rayyan yang bawa. Aiman ingat dia tu sombong. Maklumlah orang cantik ni semuanya sombong. Tapi bila dah kenal dengan kak Hani, Aiman selesa sangat dengan dia” Aiman mengenyitkan mata. Ikutkan hati mahu sahaja kubaling bantal kepada Aiman tetapi aku tetap cuba untuk mengawal perasaan yang aku sendiri masih kabur.

“Kak, dengar-dengar kak Hani tu tunang abang Rayyan” kata-kata Aiman buat aku melopong dan buntu seketika. Terasa aliran darahku tidak sampai ke kepala. Hampir terputus jantungku apabila Aiman berkata begitu. Aiman masih lagi senyum melihatku. Saat itu hatiku seakan luluh.

Suasana sedikit riuh sewaktu makan malam itu. Mereka menyambut girang akan kepulanganku. Wajah ibu dan ayah sungguh ceria, begitu juga Rayyan dan Hani. Aku cuba untuk menjadi ceria, gembira dan girang namun aku tahu semua itu adalah paksaan. Aku tidak mahu sesiapa tahu akan perasaanku ketika itu. Rayyan seperti selalu dengan usikannya namun sedikit pun aku tidak terhibur. Hani banyak bertanyakanku tentang keadaan di England. Katanya dia punya niat untuk berbulan madu di sana suatu hari nanti. Hampir sahaja nasi tersembur dari mulutku. Ikutkan hati, mahu sahaja aku cuci tangan dan terus masuk ke bilik namun demi hormatkan tetamu, kubiarkan sahaja perasaanku berkubur di situ. Lagipun mereka tidak membuat apa-apa salah denganku dan kenapa aku harus berperasaan sebegitu, pujuk hati kecilku. Selesai makan malam, ibu membancuh minuman panas seperti biasa dan ibu meminta pertolongan Hani untuk dihidangkan kepada kami. Aku ingin membantu ibu di dapur mengemas segala pinggan mangkuk namun ibu bertegas dan menyuruhku berehat di luar. Katanya aku masih penat dan perlu berehat. Aku lebih suka terperap di dapur menghadap segala pinggan mangkuk dari bersemuka dengan mereka di luar.

“Kenapa Sara kat luar ni? Tak sejuk ke?” aku hampir terkejut apabila Rayyan menyapaku. Kenapa dia nak menyibuk pasal aku, baik dia menyibuk dengan Hani, tunangnya tu. Sekali lagi aku cuba untuk mengawal perasaan.

“Malam ni panas sikitlah. Kalau kat England, sekarang ni musim hujan” jawabku dengan bersahaja.

“Ooo, kat Malaysia sekarang musim panas” Rayyan membalas dengan senyuman. Aduh! Senyumannya itu mengingatkan kembali ketika dia banyak menemaniku suatu masa dahulu. Tetapi itu semua dahulu yang tidak mungkin datang kembali.

“Untung sesiapa yang dapat Hani, kan” aku mula duduk di buaian setelah lama berdiri tadi.

Rayyan angguk dan senyum, seakan bersetuju dengan kata-kataku. “Memang untung. Baik budi, sopan santun dan pandai masak lagi. Rupa pun tak kurang hebatnya” . Mahu sahaja aku mengerakkan buaian itu selaju-lajunya tatkala mendengar Rayyan memberi pendapatnya tentang Hani. Ya Allah, kuatkanlah perasaanku. Hujung minggu itu Rayyan mempelawaku menemaninya dan Hani untuk pergi ke shopping mall yang baru dibuka. Katanya sekadar berjalan-jalan memandangkan sudah lama aku tidak ke mall. Lagipun bak kata Rayyan, darah orang bertunang ni manis, maka setiap pergerakan perlu dijaga dan perlu ditemani setiap masa. Adam juga turut mengikut kami. Kulihat setiap masa Adam sentiasa berdamping dengan Hani. Kalau sudah ada Adam, ada baiknya mereka pergi bertiga. Buat apa susah-susah mengajak aku.

“Mummy, Adam nak tu” rengek Adam sambil menunjukkan sesuatu yang diidamkannya. Mummy?? “Jom ikut mummy” Hani segera membawa Adam membeli barang yang dihajatinya. Aku terpacak di situ. Selama tiga tahun aku meninggalkan mereka, Adam sudah mula memanggil Hani ‘mummy’? Jika dahulu, Adam belum begitu fasih untuk bertutur tetapi kini lancar kata-katanya memanggil Hani ‘mummy’. Perasaan cemburu sudah mula meresapi jiwaku.

“Manja sangat Adam dengan mummynya tu” Rayyan mula bersuara setelah melihat aku terdiam seketika. “Bila Sara pergi, Adam takde kawan bermain. Mujur ada Hani. Dialah yang selalu temankan Adam”. Hani..Hani..Hani!!!!! jerit hati kecilku. Kalau semua mahukan Hani, bawa Hani sahajalah hari itu.

“Eloklah tu. Belajar awal-awal panggil ‘mummy’, nanti tak kekok lagi” kata-kataku penuh sindiran.

“Boleh Rayyan tanya sesuatu?”.

Aku mengangkat kening dan menjawab ringkas. “Tanyalah”.

“Sejak Sara balik dari England tu, Rayyan tengok Sara banyak diam. Sara tak macam dulu”.

“Dulu pun macam ni juga cuma Rayyan je tak nampak”.  Slurp…slurppp, kusedut minuman Tealive sepuasnya. Rayyan tersenyum melihat gelagat Sara.

Sejak Sara pulang, tidak banyak yang dibualkan oleh gadis itu dengannya. Kalau dahulu, apa sahaja berita dan perkembangan, dialah orang pertama yang Sara cari. Tetapi, kebelakangan ini sikap gadis itu sedikit berubah. Hakikatnya, dia rindu gelak ketawa dan gelagat Sara seperti dahulu. Kini, Sara seakan-akan cuba untuk menyambunyikan sesuatu. Dia ingin tahu dan mahu tahu namun dia belum berani untuk bertanya selanjutnya. Sara tidak seperti gadis lain. Sara seorang yang kuat semangat, serius dan comel apatah lagi dalam keadaan marah atau merajuk. Aku tahu Sara merajuk tetapi kerana apa? Setahu aku, Sara tidak akan bersikap dingin andai tiada apa-apa berlaku. Aku akui, perasaan rindu dan sayang terhadap Sara mula bercambah saat dia ke England tiga tahun lalu. Aku hormati keputusan dan pendiriannya yang belum bersedia untuk hubungan yang serius. Dia takut aku kecewa kalau-kalau dia tidak mampu untuk membahagiakanku. Namun aku tetap akan terus menunggu.

“Lamanya Hani dan Adam ni” getus Sara mematikan lamunanku.

“Biarlah Hani jalan-jalan dengan Adam. Kita duduk dan dating je kat sini” kurenung Sara sambil mengenyitkan mata. Sengaja aku ingin mengusiknya.

‘Apa kena mamat ni. Dah bertunang buatlah cara bertunang. Memang betullah, semua lelaki sama dan tidak pernah cukup dengan satu’ gerutu Sara sambil menjeling tajam.

“Ehh, tajamnya renungan tu. Tertusuk ke dalam hati hamba” sekali lagi Rayyan cuba mengusiknya. Dia ingin melihat Sara tersenyum namun percubaannya tetap gagal. Sara betul-betul marah tetapi tidak pula dinyatakan sebabnya.

“Awak marah saya, ke?” soalku setelah melihat seolah-olah ada sesuatu yang menganggu perasaan gadis itu. Geleng tidak, angguk pun tidak. Kena juga psikologi ni untuk selidik lebih.

“Awak suka saya, ke?”. Gadis itu memandangku sekilas dan mendengus. Aik?? Marah pun tidak, suka pun tidak. Beginilah kalau namanya perempuan, ditanya salah, tak ditanya pun salah. “Saya tahu awak marah tapi saya tak tahu apa sebab awak marah” aku tunduk cuba meminta simpati.

“Kalau dah bertunang buat carrr…” kata-katanya mati di situ setelah melihat Hani dan Adam muncul. Aku mula menangkap maksud yang Sara ingin cuba katakan sebentar tadi. Ishh, cepat sangat Hani bawa Adam membeli barang. Aku ingin meluangkan sedikit masa untuk berbual dengan Sara tetapi aku sedar sejak akhir-akhir ini gadis itu sentiasa keberatan menerima pelawaannya untuk keluar bersama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience