Bab 45

Other Completed 3855

Dua minggu telah pun berlalu dan masih segar di ingatan Alya Maisara akan detik bersejarah buat si pengantin baru itu. Selama itu jugalah mereka tidak bertandang ke rumah keluarga Encik Hadi. Khabarnya setelah selesai majlis resepsi tempoh hari, kedua-dua pasangan pengantin baru itu sedang berbulan madu di Singapura.  Walaupun sedang berbulan madu, Hani tetap tidak lupa untuk menghubungi Puan Salbiah dan Encik Hadi untuk mengucapkan terima kasih di atas segala bantuan dan curahan tenaga di hari perkahwinan mereka. Ternyata jelas tergambar kebahagiaan pada pasangan pengantin itu.

    “Sara, tengok siapa datang ni!” ibu memanggilku dari bawah dan aku bergegas medapatkan ibu. ‘Siapa pula yang datang ni?’ aku berteka-teki sendiri.

    Aku hampir terkejut melihat Hani duduk tersenyum di ruang tamu. Di pangkuannya kelihatan Adam yang masih lagi menyusu walaupun sudah mencecah umur lima tahun. Aduh! Bukan aku tidak suka akan kedatangan Hani ke rumah kami tetapi entahlah. Seperti yang aku katakan, aku sendiri tidak faham apa yang berlaku dengan diriku sehingga aku sendiri begitu sukar untuk mengungkapkan setiap rasa yang aku alami.

    “Assalamualaikum, kak” Hani bersalaman denganku begitu juga Adam. Anak kecil itu bisa membuatkan hatiku dirundung kerinduan yang amat. Aku begitu merindukan saat-saat kami bersama suatu masa dahulu.

    “Waalaikumsalam. Dengar-dengar Hani pergi honeymoon ke Singapore, kan? Bila balik sini?” aku memujuk Adam untuk duduk bersamaku dan anak kecil itu memang mudah mesra. Pipi montelnya kukucup dan aku memeluknya erat seperti mana seorang ibu melepaskan kerinduan setelah lama tidak berjumpa dengan anak kesayangannya. Hani tersenyum memerhatikan gelagatku.

    “Dua hari lepas balik sini. Itu pun Hani rasa bersalah sangat sebab tak sempat melayan akak sekeluarga waktu hari perkahwinan tu”.

    “Eh, tak perlu rasa bersalah, Hani. Kami faham dengan keadaan sebegitu. Yang penting kami dapat membantu keluarga Hani pun kami sudah bersyukur” sampuk ibu sambil menghidangkan minuman.

    “Kamu datang seorang saja, Hani?” tanya ayah.

    “Takdelah, pakcik. Hani datang dengan suami Hani, la. Entah mana dia tak masuk-masuk lagi ni. Tadi dia mengemas bonet kereta, itu yang dia suruh Hani masuk dalam dulu”.

    Hatiku mula tidak keruan lagi. Ish! Apa kena perasaanku sekarang? Semakin aku cuba untuk melupakan semakin kuat perasaan tersebut bertandang.

    “Haa…itu pun Abang Rayyan” Hani menyapa Rayyan yang muncul di pintu. Waktu itu aku membelakangi Rayyan dan seboleh-bolehnya aku cuba untuk menguatkan perasaanku kerana aku tidak mahu menoleh ke arahnya.

    “Kak Sara, Hani nak kenalkan suami Hani” tutur Hani. Buat apa lagi nak kenalkan Rayyan dengan aku? Bukan selama ni kami memang sudah kenal? Gerutuku sendiri di dalam hati.

    “Sara” Rayyan mula mendekatiku. Kali ini aku perlu lebih kuat. Kalau hendak diikutkan, mahu sahaja aku pejam mata sekuat-kuatnya dan berlari dari situ. Dengan lemah, aku menoleh ke arah Rayyan.

“Inilah suami Hani” ucap Rayyan sambil memperkenalkan seorang lelaki yang berada di sebelahnya. Lelaki itu mengangguk.

“Apa khabar, kak Sara? Saya Mikail” lelaki yang bernama Mikail itu tersenyum kepadaku.

“Apa semua ni?” aku menjadi semakin keliru dan tidak faham. Bukankah Hani dan Rayyan bertunang lagi pun Aiman pernah memberitahuku bahawa Rayyan kerap membawa Hani ke rumah kami semasa aku di England dahulu. Aku memandang Aiman
dengan geram. Aiman serba salah lalu pandangannya dialihkan kepada Hani. Hani seakan tidak mengerti lalu memandang kembali Rayyan dan ketika itulah kulihat Rayyan senyum lebar. Saat itu kami hanya berpandangan sesama sendiri. Hairan dan pelik.

“Buat pengetahuan awak, bukan saya yang bertunang dan berkahwin dengan Hani” jawapan Rayyan cukup bersahaja dan tenang.

“Apa? Hani bertunang? Berkahwin dengan abang?” Hani menepuk dahi dan kini dia mula faham akan situasi yang berlaku di hadapannya sekarang.

“Tapi Aiman cakap …” belum sempat kuhabiskan kata-kata, Aiman terlebih dahulu berlari ke dapur untuk mengelak ‘serangan’ yang bakal berlaku antara aku dan dia.

“Dia nak kenakan kamu la tu” ujar ayah yang hanya memerhati dari tadi. Kulihat ibu hanya mampu tersenyum. Dan Rayyan pula seolah-olah sedang menahan ketawa.

“Sebenarnya kak, Mikail yang kahwin dengan Hani, bukan abang ni. Tak baiklah abang buat macam ni” Hani memegang tanganku sambil mencebik mulutnya  ke arah Rayyan.

Aku terduduk  dan sepatah kata langsung tidak terbit dari bibirku. Jadi selama ni aku hanya menjadi ‘bahan’ untuk dikenakan? Rasa malu yang amat sangat mula bertandang dalam diri ini. Apa tidaknya, macam-macam sindiran aku tujukan untuk Rayyan tentang hal ‘nikah kahwin’nya namun dia tetap tenang menghadapi sindiranku. Menyadari yang aku langsung tidak memberikan sebarang respon, ibu memberi isyarat agar meninggalkan kami berdua di situ.

“Saya minta maaf andainya perkara sebegini buat awak marah” Rayyan mula duduk di sebelahku. Aku hanya memandangnya tanpa kata. Dia tunduk. Ternyata rasa sesal mula menyalubungi dirinya.

“Sebenarnya, saya nak uji awak, je”.

“Saya ni ‘bahan’ untuk dibuat ujikaji, ke? soalku acuh tidak acuh. Sebenarnya, dek kerana malu aku terpaksa tebalkan muka berhadapan dengannya.

“Dari mula lagi saya faham semua yang Sara maksudkan. Aiman pun ada memberitahu saya yang Sara sering bertanyakan tentang saya. Jadi, saya dan Aiman berpakat untuk ……”

“Untuk mengenakan saya? Untuk mempermainkan perasaan saya?”.

“Sara…bukan begitu maksud saya”.

“Jadi?” aku merenung Rayyan dengan pandangan yang tajam.

Rayyan tunduk sambil menggenggam jemarinya. “Sebenarnya, saya ingin mengetahui perasaan Sara”.

“Awak masih punya perasaan terhadap saya?” satu jawapan yang berbalas dengan soalan. Sengaja aku menggunakan kaedah reverse psychology. Rayyan sedikit kaget dan dengan perlahan dia mengangguk. Lalu cepat-cepat dia menundukkan wajahnya. Barangkali dia tidak menyangka dan segan apabila aku cuba ‘memerangkap’nya begitu.

“Rayyan, apa yang awak rasa, saya pun turut merasakannya. Cuma saya tak yakin dengan diri saya. Seperti yang awak tahu, saya banyak kekurangan” aku sendiri tidak tahu entah dari mana datang semangat yang membuatkan aku berupaya menutur sedemikian rupa. Aku tidak mahu lagi membendung perasaan ini apatah lagi melihatkan kesungguhan dan keikhlasan Rayyan yang begitu sabar menantiku sekian lamanya. Walaupun pelbagai alasan kuberi namun Rayyan tetap sabar menunggu.

“Jadi, saya masih punya peluang?” wajah Rayyan sedikit bercahaya apabila aku menyatakan perasaanku. Aku mengangguk tersenyum. Segala beban perasaan yang bersarang di dalam hati ini mula beransur hilang. “InsyaAllah, Sara. Saya akan cuba yang terbaik untuk menjaga dan membimbing awak. Terima kasih kerana sudi memberi peluang dan ruang untuk menerima saya dan Adam”.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience