Bab 17

Other Completed 3855

Pagi itu aku awal ke pejabat untuk menyiapkan beberapa perkara. Aku memberitahu ayah dan ibu yang aku akan bersarapan sahaja di pejabat. Selesai bersalam dengan kedua ibu bapaku, aku meminta diri untuk pergi. Hari itu juga, akan berlangsungnya raptai persembahan sempena annual dinner itu nanti. Sempat juga aku memilih lagu yang kurasakan sesuai untuk persembahan itu nanti. Yang penting malam itu kuingin persembahanku kelihatan catchy dan bersahaja. Setibanya di pejabat, baru sahaja aku hendak duduk telefon bimbitku berbunyi. Aku tersenyum lagi. Karl menelefonku.

“Hai, Karl” aku mula menyapanya.

“Hai, Sara. Jom kita sarapan, nak? Lagipun hari ini Sara sampai awal, kan”? jawab Karl.

“Eh, macam mana Karl tau Sara sampai awal?” aku sedikit terkejut apabila Karl mendapat tahu yang aku terlebih awal hari ini. Adakah dia juga mengupah orang seperti yang pernah dilakukan oleh Firhad suatu masa dahulu?

“Itulah, Sara. Jalan pun pandang depan sahaja. Tak toleh kiri kanan. Karl nampak Sara di tempat parking tadi tapi Karl tak sempat kejar Sara. Laju sangat jalan” jelas Karl. Sedikit sebanyak hatiku lega dengan penjelasan Karl. Aku sudah serik diekori dan diburu.

“Okey, kita sarapan sama. Karl tunggu Sara di bawah, ye. Sekejap lagi Sara turun”. Pagi itu kami cuma bersarapan di restoran yang berdekatan sahaja. Kami memilih roti canai dan teh tarik madras, cukuplah sekadar untuk mengalas perut.

“Petang ini kita ada rehearsal, kan? Sara dah sedia?” soalan Karl benar-benar membuat aku terkedu. Mana tidaknya, aku risau kalau-kalau Karl sanggup pulang lewat semata-mata untuk melihat raptai penuh itu. Setahu aku, Karl tidak terlibat dengan mana-mana acara untuk malam annual dinner itu.

“Err…sedia sikit-sikit sahaja. Sara pun tak tahu nak pilih lagu apa. Yang penting perform sahajalah” jawabku sedikit gugup.

“Karl tak dapat stay back petang ni sebab ada latihan futsal. Kalau tidak, mahu juga Karl tengok Sara buat raptai tu” Karl menghirup teh tarik madrasnya.

“Tak payahlah Karl tengok. Lagipun cuma rehearsal sahaja. Karl tengok yang real punya, ye. Masa itu, baru happening” aku cuba untuk memujuk Karl agar tidak menyaksikan raptai itu. Aku malu, tersangat-sangat malu andainya waktu raptai itu nanti aku tidak mampu membuat yang terbaik. Manalah tahu andainya suaraku sumbang atau aku terkehel waktu itu. Agaknya tentu kepalaku besar seperti belon dek kerana malu itu. Sara…ini baru sahaja raptai, bukan yang sebenar pun. Buat apalah kau perlu fikirkan itu ini atau perasaan malu itu. Sepatutnya, yang perlu kau gusarkan apabila tibanya malam persembahan itu nanti dan bukannya raptai petang ini. Aku memujuk hati kecilku sendiri.

"Karl, terima kasih untuk ros merah itu" aku memberanikan diri membuka bicara tentang bunga indah itu.

"Itu sahaja yang mampu Karl beri sebagai tanda permulaan perkenalan kita. Terima kasih juga untuk Sara sebab sudi berkawan dengan Karl. Sara suka bunga ros itu?".

"Sara sangat suka lebih-lebih lagi ros merah kerana ia bunga indah dan melambangkan sebuah perasan yang tulus ikhlas serta keberanian" bersungguh-sungguh aku menerangkan kepada Karl. Kulihat Karl hanya tersenyum.

"Tapi, bagi Karl...Sara lebih indah dari ros merah itu. Keindahan itu jugalah yang membuatkan Karl sedikit berani untuk mendekati Sara" spontan sahaja Karl mengucapkan kata-kata itu dan aku terdiam membatu. Serta merta kurasakan wajahku berona merah, semerah ros itu, malu dek kata-kata Karl sebentar tadi.

"Eh, Karl. Dah nak dekat jam 8 pagi ni. Jom kita balik ke pejabat. Lagipun Sara nak jumpa Kak Sherry" sengaja aku mencari alasan. Makin lama kubersama Karl, makin merah jugalah wajahku nanti oleh pujian Karl. "Jom" Karl hanya mengangguk bersetuju. Setelah selesai bersarapan, kami terus kembali ke pejabat. Kulihat Dania sudah berada di tempatnya sambil mengusai rambut dan membetulkan mekapnya.

"Kau pergi sarapan ye tadi. Tak tunggu aku pun, sampai hati" soal Dania memuncungkan mulutnya.

“Ha’ah. Aku sampai awal tadi. Kebetulan Karl pun awal jadi kami pun sarapan bersama. Lagipun aku perlu menyiapkan segala kerja sebab petang ni kan ada rehearsal sempena annual dinner tu nanti” jelasku kepada Dania.

“Eh, hampir terlupa aku yang petang ni raptai. Lagu apa kau bawa nanti, Sara?” Dania segera kelihatan berminat untuk mengetahui lagu apa yang bakal aku persembahkan nanti.

“Lagu Cok-Cok Kendong” selorohku sambil ketawa.

“Jangan berlawak la, Sara. Aku serius ni” sekali lagi Dania muncung.

“Aku gurau, Dania. Beginilah, kalau kau nak tau sangat lagu apa, kau tunggu saja malam tu nanti, ye” aku mengenyitkan mata kepadanya sambil berlalu meninggalkannya yang terpinga-pinga. Hari itu merupakan hari yang amat sibuk untukku. Mana tidaknya, aku perlu menyiapkan segala kerja dan fail-fail yang bertimbun sebelum aku menghadiri raptai petang itu nanti. Aku tidak mahu dicop sebagai seorang yang suka menangguhkan kerja. Tengahari itu juga aku tidak keluar untuk makan. Cukuplah sekadar memakan roti sahaja. Aku kurang berselera hari itu dek kesibukan kerja dan ditambah lagi dengan raptai pada petang itu. Masa berlalu begitu pantas. Tanpa kusedari jam di tanganku sudah menunjukkan pukul 4.50 petang. Tinggal sepuluh minit lagi sebelum pukul lima. Aku menarik nafas panjang, akhirnya selesai juga kesemua fail yang membukit di hadapanku. Tepat jam lima, aku terus ke dewan kecil yang terletak di tingkat 5 bangunan untuk menghadiri raptai sempena annual dinner itu. Kulihat beberapa staf lain yang terlibat pada acara malam itu turut bergegas ke dewan sambil membawa beberapa peralatan. Gugupku datang lagi tatkala melihat sesetengah daripada mereka yang giat berlatih. Tentu mereka akan menjanjikan persembahan yang hebat pada malam itu. Mana tidaknya, kulihat mereka sudah cukup bersedia sambil siap membuat gaya dan menghayati persembahan masing-masing. Cuma aku yang memang langsung tiada sangat persediaan. Ah! Biarlah yang penting aku buat sekadar termampu.

Setelah mendengar taklimat ringkas yang diberikan oleh jawatankuasa persembahan, kami perlu menentukan giliran untuk membuat persembahan. Terdapat lima buah persembahan termasuk nyanyian, tarian dan lakonan spontan yang akan dipersembahkan pada malam itu nanti. Undian telah pun dibuat dan giliranku adalah yang kedua. Bagiku, memang terlampau awal tetapi biarlah. Bak kata orang, lagi awal lagi elok. Tidak perlu menunggu hingga resah berpanjangan. Kuakui agak letih hari itu. Mana tidaknya, terkejar-kejar dengan kerja yang bertimbun dan kemudian dengan raptai yang hampir ke malam cukup membuatkan badanku menjadi lesu. Setibanya di rumah, aku terus ke bilik untuk membersihkan diri. Entah jam berapa aku mula tertidur aku sendiri pun tidak pasti. Makan malam langsung tidak kujamah gara-gara kepenatan. Berkali-kali juga ibu mengejutkanku untuk makan tetapi aku menjawab acuh tidak acuh.

“Macam mana raptai semalam? Mak tengok kamu letih sangat sampai tak turun makan malam” tanya ibu kepadaku.

“Semua macam biasa, mak. Cuma Sara penat sangat sebab sibuk dengan kerja kemudian terpaksa bergegas untuk ke raptai tu. Ingatkan lepas giliran Sara nak terus balik tapi tak boleh sebab kena tunggu lagi” jawabku sambil mengunyah roti sardin. Ikutkan hati mahu sahaja aku emergency leave hari ni tapi bila fikirkan kerja, terus tertangguh niatku.

“Kenapa, mak?” soalku kembali apabila terlihat ibu dari tadi asyik memandangku seolah-olah ada sesuatu yang ingin dikatakannya.

“Tiada apa-apa, Sara. Habiskanlah roti sardin ni. Ada lagi mak simpan untuk adik kamu tu. Petang ni kamu balik lambat lagi?”.

“Tak pasti lagi. Kalau lambat nanti Sara bagitau mak” tuturku sambil menghabiskan kopi di cawanku dan bergegas bersalaman dengan ibu untuk ke pejabat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience