Bab 27

Other Completed 3855

Suasana di persisiran pantai itu sungguh tenang sekali. Kuberjalan di gigi air dan menikmati hembusan angin lembut yang menyantuh wajahku. Begitu nyaman. Aku sengaja mengambil peluang untuk bersiar seorang diri pada hari minggu itu. Aku tidak mahu sesiapa menemaniku. Entah mengapa. Aku berasa lebih tenang tanpa sesiapa. Satu persatu peristiwa yang pernah wujud dalam hidupku memenuhi ruang fikiranku. Aku bertanya kepada diri sendiri, mengapa aku sukar untuk mendapatkan kebahagiaan? Mengapa begitu susah untuk seseorang hadir dalam hidupku? Mengapa begitu rumit untuk aku mendapatkan semua itu? Adakah aku bersalah? Berdosa terhadap ibu dan ayahku? Atau berdosa terhadap Tuhan? Adakah ini sebahagian daripada hukuman Tuhan?

‘Gugurkan kandungan you’, masih terpahat erat kata-kata itu di benakku saat aku memberitahu Karl bahawa aku mengandung tujuh minggu. Saat itu, amat berat untuk aku melakukan apa yang diarah oleh Karl. Aku tahu Karl tidak mahu untuk bertanggungjawab bimbang reputasinya akan terjejas malah lebih teruk lagi semua orang akan tahu termasuklah keluargaku dan tunangnya, Farra. Maka, Karl mencari jalan mudah dengan menyuruh aku menggugurkan sahaja kandungan tersebut. Berkali-kali aku cuba memujuk Karl untuk bertanggungjawab di atas perbuatannya namun katanya, dengan cara itu hidup kami berdua tidak akan susah. Tanpa berfikir panjang, aku menuruti sahaja katanya tanpa memikirkan dosa pahala. Di kala itu, sakit yang aku rasakan maha hebat seolah-olah bahagian peranakanku berat dan hampir jatuh. Beberapa pil yang diberikan oleh Karl kutelan semuanya. Menurut Karl, pil itu tidak merbahaya malah ia merupakan salah satu pil perancang. Entah ya atau tidak, aku sendiri tidak pasti. Yang aku tahu hanyalah mahu lekas-lekas membuang janin itu. Lebih kurang dalam enam jam setelah aku menelan kesemua pil, terasa senak dan seperti senggugut di bahagiat perutku. Saat itu, sakitnya mula menular di bahagian peranakanku. Aku berguling ke sana ke mari menahan pedih dan sakit itu. Benar kata orang, menggugurkan kandungan adalah lebih sakit daripada bersalin walaupun aku sendiri tidak pernah melalui alam bersalin itu tetapi sakitnya seakan-akan mahu tercabut seluruh kaki dan betisku. Setelah penat bertarung menahan kesakitan, aku terbaring lemah. Dalam pada itu, aku dapat merasakan banyak darah keluar dari bahagian peranakanku. Aku perhatikan darah merah pekat itu. Mataku tertumpu pada suatu benda kecil yang saiznya lebih kurang wang syiling lima sen. Kuangkat perlahan dan kuamati benda kecil itu. Ia adalah janinku sendiri! Tanpa kusedari air mataku gugur. Aku menangis mengenangkan perkara bodoh yang telah aku buat. Lebih memilukan, keadaan janinku seakan-akan turut menahan kesakitan apabila bahagian otaknya terkeluar. Dapat kulihat bentuk jari tangan dan kakinya yang halus dan lembut.

Sehingga hari ini, mana mungkin aku mampu melupakan peristiwa itu. Janin yang tidak berdosa digugurkan begitu sahaja atas kerana kebodohanku dan cinta buta. Aku sedar satu demi satu dosa aku lakukan sepanjang hidup ini. Dosa berzina, menggugurkan kandungan, meminum minuman keras dan meninggalkan solat. Namun tiada sedikit pun perasaan bersalah dalam diriku. Yang aku tahu, aku perlu mencari arah diri kerana aku seakan-akan terumbang ambing tanpa haluan. Aku perlukan seseorang yang mampu menemani aku selamanya dan dapat membahagiakan aku. Itu sahaja yang aku mahu. Aku tidak menginginkan kekayaan atau wang ringgit kerana aku sendiri mampu memilinya atas daya usahaku sendiri. Tidak perlu meminta pada sesiapa.

Tentang Tuhan, aku tahu kewujudanNya dan kebesaranNya namun
sikap malas yang menyaluti tubuh badanku membuatkan aku semakin alpa dan leka. Pernah sekali aku terfikir untuk bersolat namun jauh di sudut hati, nantilah dulu…tunggulah dulu…esok masih ada…tak perlu terburu-buru. Aku teringat akan pesan Ustazah Nurain semasa di bangku sekolah dahulu tentang dosa meninggalkan solat. Kata ustazah, jika seseorang meninggalkan solat subuh, ia akan dimasukkan ke dalam neraka selama 30 tahun yang bersamaan dengan 60000 tahun di dunia. Manakala, mereka yang meninggalkan solat zuhur pula sama seperti membunuh seribu orang umat Islam. Sambung ustazah lagi, jika tidak menunaikan solat Asar, dosanya seperti meruntuhkan ka’bah dan jika tidak melakukan solat Maghrib, ia sama seperti berzina dengan orang tuanya. Lebih teruk lagi jika tidak melakukan solat Isyak, ia tidak diredhai oleh Allh SWT untuk tinggal di bumi atau di bawah langit malah Allah SWT juga tidak meredhai nikmat makan dan minumnya. Sebaik sahaja mendengar pesanan Ustazah Nurain, serta merta berdiri bulu romaku menahan gerun akan dosa meninggalkan solat lima waktu. Itu belum lagi ustazah menerangkan beberapa siksaan di dunia bagi mereka yang meninggalkan solat fardhu. Namun, dari pembacaanku, antara beberapa siksaannya ialah Allah SWT akan mengurangkan keberkatan umur seseorang, disulitkan rezekinya, dihilangkan nur dari wajahnya, tiada tempatnya di dalam Islam, doanya tidak dimakbulkan malah segala amal kebaikan yang pernah dilakukan tidak mendapat pahala dari Allah SWT.

Lihat, aku masih lagi mengingati akan semua pesanan ustazah suatu masa dahulu malah setiap azab dan dosa aku turut menyadarinya. Namun, aku tidak mampu menahan gejolak nafsu yang sentiasa datang menggodaku setiap waktu. Bagiku, sampai masanya nanti, aku akan bertaubat juga. Aku akan meminta ampun dari Tuhan juga cuma masanya bukanlah sekarang. Aku belum puas mengecapi nikmat hidup ini. Selagi aku belum mendapat apa yang aku inginkan, selagi itulah aku akan terus mencari tanpa putus asa.

“Assalamualaikum, kak. Maaf menggangu. Saya dari Madrasah Cahaya. Sudilah kiranya kakak memberi sedikit sumbangan” satu suara mengejutkan khayalanku. Kulihat seorang anak kecil dalam lingkungan sembilan tahun sedang menghulurkan surah Yasin yang agak kecil bentuknya. Mesti nak minta derma lah tu, getusku dalam hati. Senang betul kerja mereka ni. Ke sana ke mari hidup dengan meminta derma, tidak payah susah-susah cari kerja. Dengan selamba aku menjawab, “Maaf dik, akak tak ada duit. Pergi minta dekat orang lain!”bentakku kasar dan anak kecil itu hanya memandangku tanpa suara. Setelah beberapa saat menyapi, dia menganggukkan kepala lalu berlalu pergi. Aku hanya menghantarnya dengan pandangan yang bersahaja, tiada sedikit pun perasaan belas. Buat apa mahu kasihan, kalau aku tidak mahu memberi derma, bukankah ada banyak lagi manusia lain yang boleh menderma? Spoil terus mood aku. Orang nak tenangkan fikiran, dia sibuk nak minta derma itu ini. Dekat pantai macam ni pun ada juga orang nak minta derma juga ke? Dari jauh, anak kecil itu sempat menoleh ke arahku. Tiada sedikit pun riak marah atau benci di wajahnya. Perlahan-lahan anak kecil itu menghilang di sebalik orang ramai. Lepas ni entah siapa pula yang ingin mengganggu ketenanganku berehat di tepi pantai ini. Tadi, budak peminta derma. Sekejap lagi, makcik jual goreng pisang, kot. Aku tersenyum di dalam hati. Dunia, dunia…macam-macam hal sungguh. Jam tangan Galliano yang melekap kemas di pergelangan tanganku telah menunjukkan lima belas minit lagi jam enam. Ah, masih terlalu awal untuk pulang. Alang-alang aku di sini, dapat juga aku melihat keindahan matahari terbenam. Lagipun aku tidak mempunyai apa-apa perancangan, maka adalah lebih baik jika aku duduk sahaja di pantai itu.

‘Sara, pulang sebelum Maghrib, sayang’, serta merta aku teringat pesan ibu agar pulang sebelum senja. Ibu selalu sahaja menasihatiku dan Aiman agar pulang awal, seelok-eloknya sebelum waktu Maghrib. Kata ibu, pada waktu itulah syaitan banyak berkeliaran. Kini aku semakin dewasa dan hampir kesemua nasihat ibu kuabaikan sahaja. Bukan aku tidak menghargainya tetapi kurasakan nasihat itu hanyalah sesuai untuk anak-anak kecil sahaja dan bukan untuk seorang yang dewasa seperti aku. Hampir sehari suntuk aku menghabiskan masa seorang diri bersendirian di pantai itu. Aku sengaja mematikan telefon bimbitku agar tiada orang menggangguku. Orang yang paling gemar menggangguku ialah Karl. Ada sahaja kemahuannya. Hari ini, hari untu aku berehat. Lagipun esok sudah mula kerja. Tentang Karl, biarpun kami masih lagi berhubung namun untuk bertemu tidaklah sekerap seperti yang dulu. Aku dengar-dengar yang Farra sudah pun berbadan dua namun bila kuajukan kepada Karl, dia pantas mengelak. Kadang-kadang dia semacam acuh tidak acuh menjawab pertanyaanku. Hai, bini mengandung pun tetap nak berahsia denganku juga? Karl…kau memang lelaki yang tiada pendirian. Sebelum pulang, aku sempat membeli keropok lekor dan jambu air buat peneman di dalam kereta. Memang agak sesak jalan raya pada hujung minggu, kalau jammed atau lambat sampai ke rumah bolehlah aku mengunyah makanan yang dibeli tadi. Tidaklah terasa bosan sangat.

Baru sahaja aku ingin memesan keropok lekor, terasa pinggangku dicuit seseorang. Ish…! Siapa lagilah nak minta derma ni? Takkan anak kecil tadi? Apa, dia tidak mengecam lagi wajahku atau sembarang sahaja dia mencuit sesiapa untuk minta belas kasihan? Budak-budak, apalah yang mereka tahu sangat, keluhku. Kutoleh ke arah gerangan yang baru sahaja mencuit pinggangku dan aku hampir tergamam? Tak mungkin dia! Tapi, berani juga dia mencuit pinggangku sedemikian rupa. Setahu aku, dia ni amat payah untuk dibawa bergurau sebegitu. Bab cuit mencuit ni memang tidak pernah ada dalam pergaulannya bersama teman-teman perempuan tetapi perlakuannya kali ini benar-benar membuat aku tertunduk malu dan agak terperanjat.

“Hai, Sara. Beli keropok lekor, je?” tegur abang Rashidi. Aku yang masih lagi terperanjat hanya sekadar menganggukkan kepala.

“Seorang, je?” soalnya lagi. Aku mengangguk lagi tanpa kata. Dah terang-terang nampak aku seorang saja di sini itu pun nak tanya lagi, getusku sendiri.

“Manalah tahu datang berdua. Sara terperanjat, ya? Sorry, abang cuit Sara tadi. Saja nak surprise” abang Rashidi tersengih lalu membayar keropok lekor yang baru kupesan sebentar tadi. Alamak…dia boleh dengar ke apa aku cakap dalam hati? Magic juga mamat ni.

“Eh…tak apa. Sara boleh bayar” aku menolak tangannya dari membayar namun tangannya lebih pantas daripadaku. Akhirnya, aku mengalah.

“Abang datang dengan siapa, ni?”

“Dengan keluarga abang, lah. Tu isteri abang dan anak-anak abang” jawab abang Rashidi sambil tangannya menunjuk ke arah seorang wanita yang sedang melayan lima orang anak-anaknya. Kulihat isteri abang Rashidi seakan sebaya dengannya, barangkali dalam lingkungan umur empat puluhan. Anak-anaknya juga masih kecil, kuagak yang sulung berusia sepuluh tahun manakala yang bongsu seakan-akan dalam empat tahun. Mungkin jarak umur antara mereka agak dekat, aku berteka-teki sendiri.

“Syoknya abang datang dengan family” aku tersenyum sambil melihat ke arah isteri dan anak-anaknya yang sedang berselera menikmati hidangan masing-masing.

“Biasalah, Sara. Abang memang bawa mereka ni pergi pantai kalau hari ahad macam ni. Mereka tu suka sangat mandi pantai. Err…kenapa Sara bersendirian saja di pantai ni? Frust dengan kekasih hati, ke?” Aku hampir tergelak mendengar kata-kata abang Rashidi. Frust dengan kekasih hati? Mungkin iya dan mungkin tidak. Kalau frust dengan kekasih hati, sudah tentu si dia sanggup datang memujuk.

“Tak adalah, bang. Saja Sara nak rehatkan diri di pantai, tenang tengok air laut. Sambil tu dapat tengok sunset”.

“Romantik juga Sara ni”.

“Ish...tak ada la” aku memuncungkan mulut pura-pura tidak setuju lantas abang Rashidi tertawa melihat gelagatku.

“Okey, Sara. Abang pergi dulu. Kan tak pasal-pasal cemburu pula kakak nanti. Jumpa di pejabat esok” sempat lagi abang Rashidi bergurau sebelum dia berlalu. Aku melihat abang Rashidi berlalu pergi mendapatkan keluarganya. Bertamu rasa cemburu di sudut hati melihatkan kemesraan mereka sekeluarga. Abang Rashidi benar-benar seorang lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab. Dari caranya melayan anak-anak mereka  membuatkan aku yakin bahawa abang Rashidi bukanlah seseorang yang suka mengabaikan keluarga sendiri. Tidak seperti sesetengah lelaki lain, jarang benar hendak meluangkan masa bersama keluarga walaupun sentiasa sibuk dengan kerja. Itu abang Rashidi tetapi aku masih kekal di sini, keseorangan dan kesunyian melayan perasaan. Aku mempercepatkan langkah menuju ke kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience