Bab 20

Other Completed 3855

Aku mula menyeka mata saat sinaran mentari memenuhi ruang bilikku. Kulihat jam menunjukkan ke angka 10.30 pagi. Mujur jugalah hari itu hari minggu. Kalaulah hari bekerja, sudah pasti aku terlewat gara-gara kepeningan akibat hal malam tadi. Aku memegang dahi dan badanku, tidak sepanas malam tadi. Aku bergegas ke bilik mandi untuk mebersihkan diri kerana malam tadi aku tidak mampu berbuat apa-apa. Setibanya sahaja di rumah, aku terus menuju ke bilik dan terus tertidur. Aku menjejakkan kaki turun ke bawah. Kulihat ayah sedang menonton televisyen. Ibu pula barangkali di dapur kerana kedengaran beberapa pinggan mangkuk berbunyi. Terasa sedikit gugup jantungku kerana mereka tidak mengetahui bila aku pulang ke rumah. Sedang aku perlahan menuruni tangga, suara ibu dari belakang mengejutkanku.

"Ha, Sara...baru bangun?" sapa ibu dan aku hanya mampu mengangguk, bimbang andainya kedapatan atas apa yang berlaku semalam. Ayah sempat menoleh ke arahku namun dia terus menyambung membaca surat khabar itu. Nasib ayah tidak bertanya apa-apa.

Sambil aku menuang kopi yang sedia terhidang itu, ibu datang menghampiriku dan berbisik. “Ayah nak bercakap dengan Sara tu” sambil mata ibu mengerling ke arah yang masih lagi khusyuk membaca.

“Tapi, ayah tengah baca suratkhabar tu. Dia tak panggil Sara pun” ujarku yang turut melihat ayah.

Sambil menghampiriku ibu sempat berbisik, “Hari ni tak perlulah keluar ke mana-mana. Duduk saja di rumah”. Aku mengerti kata-kata ibu. Agaknya angin ayah tidak berapa baik kebelakangan ini. Lagipun hari ini aku ingin berehat sepenuhnya di rumah. Kalau boleh aku ingin tidur sepuas-puasnya tanpa gangguan. Hari itu aku banyak membantu ibu di rumah. Bukan sahaja bab memasak malah segala pakaian kutolong cucikan dan bilikku yang bersepah umpama kapal pecah itu pun kukemas. Semenjak aku mula bekerja, memang jarang aku lekat di rumah pada hujung minggu. Sibuk menguruskan booth untuk promosi produk-produk kami dan adakalanya perlu ke pejabat untuk menguruskan beberapa hal walaupun cuti hujung minggu. Mungkin, kerana itulah ayah dan ibuku tidak berapa senang melihatkan keadaanku sekarang yang sibuk memanjang.

Tengahari itu, aku sendiri yang menjadi chef di dapur. Kusuruh sahaja ibu berehat dan biarku sendiri yang menguruskan makanan tengahari. Aku ingin mencuba kemahiranku memasak gulai lemak ikan patin dengan tempoyak dan ayam goreng berempah. Biarpun ini percubaan pertamaku namun aku yakin aku mampu memasak dengan baik. Ibuku sedikit cerewet dalam bab masakan lebih-lebih lagi kalau bab memilih ikan. Baginya, hanya ikan yang sederhana besar yang akan dijamahnya. Andainya ikan besar-besar mahupun yang pelik-pelik dihidang, walau dipaksa pun ibu tetap tidak mahu memakannya.

“Betul Sara boleh buat seorang?” tanya ibu apabila melihat aku terkial-kial membersihkan ikan patin itu.

“Boleh…lagipun isi perutnya dah dibuang cuma nak potong menjadi bahagian-bahagian kecil, je” jawabku yang sedang asyik membersihkan ikan tersebut.

“Lagipun mana mak nak sentuh ikan ni sebab pelik, kan? Lainlah kalau ikan tongkol ke, kembong ke, dah sah-sah mak laju je menyiang” balasku sengaja menyakat ibu.

“Tau pun kamu. Siapa suruh kamu beli ikan tu”.

“Sara teringin la mak. Asyik-asyik makan tongkol, kembong dan cencaru. Nak juga rasa patin ni. Sedap ni kalau masak dengan tempoyak, baru ada umphhh”.

“Mana-manalah, Sara. Jangan lama sangat memasak. Kamu tu kalau di dapur berjam-jam. Mak suruh kamu bersihkan beras pun dekat setengah jam hari tu. Sebab tu mak malas panggil kamu tolong. Baik mak buat sorang, lagi cepat” ibu memulangkan paku buah keras kepadaku.

Tepat jam 1.15 tengahari, segala lauk siap dimasak dan terus kuhidang di meja makan. Hari itu kami berkumpul makan tengahari bersama. Bukan selalu dapat berkumpul begini sejak aku bekerja. Selera benar ayah dan adikku, Aiman menikmati gulai ikan patin masak tempoyak itu. Barangkali sudah lama benar tidak pekena tempoyak. Sekali kena, pasti makan pun betambah. Ibu hanya menjamah sedikit. Itupun dicubit bahagian isi yang lembut. Aku hanya tersengih melihat gelagat ibu yang berhati-hati benar memilih isi ikan patin. Selesai makan, aku dan Aiman menolong ibu mengemas meja makan dan pinggan mangkuk yang kotor. Kusengaja memaksa adikku untuk membantu sama kerana sehari suntuk dia menghadap komputernya itu. Aku yang melihat pun sudah naik rimas. Dia yang sanggup menghadap komputer 24 jam langsung tidak berasa penat. Habis sahaja mengemas, Aiman terus berlari ke atas untuk menyambung ‘aktiviti’ komputernya itu dan aku hanya mampu menggeleng kepala melihatnya.

“Cerita apa ni, mak?” soalku apabila mataku tertumpu pada cerita menarik terpampang di skrin tv lebih-lebih lagi ada pelakon kegemaranku, Fasha Sandha.

“Entahlah. Mak pun tak paham. Mula-mula tengok Fasha ni baik, lepas tu berubah jadi tak baik pula” berkerut-kerut ibu untuk cuba memahami.

“Chinta. Cerita ni selalu ulang siar” ayah menyampuk tiba-tiba membuatkan aku sedikit terkejut. Wah, boleh tahan juga ayah pun kenal Fasha Sandha dan masih ingat tajuk ceritanya. Aku hanya tersenyum sumbing.

“Sara, ayah nak bercakap sikit dengan Sara” ayah membetulkan tempat duduknya lalu memandangku. Kulihat ibu seolah pura-pura tidak mendengar dan menuju ke luar untuk mengangkat pakaian di ampaian. Hatiku berdetak kencang dan terasa seakan peluh dingin mula melekat di wajahku.

“Ya, ayah. Pasal apa tu?” seakan formal pula perbualanku dengan ayah kali ini, tidak seperti selalu. Ayah bukanlah jenis yang suka bercakap, dia akan bercakap sekiranya perkara itu penting atau seandainya dia ingin menasihati kami adik-beradik. Namun sudah dapat kuagak mesti ada sesuatu yang ingin ayah katakan.

“Kamu dah jarang lekat di rumah sejak bekerja di bank tu” ayah memulakan perbualan dan aku sedikit kebingungan. Apa yang perlu aku lakukan? Takkan tersengih macam kerang busuk?

“Sara banyak kerja di pejabat. Kadang-kadang hujung minggu pun terpaksa pergi pejabat untuk uruskan beberapa perkara” itulah sebaik-baik jawapan yang mampu aku berikan. Lagipun memang benar aku sibuk. Apa boleh buat kalau sudah keperluan pejabat.

“Ayah tak pernah lihat Sara bersolat” Zaaasss!!!! Umpama panah yang terkena tepat di kepalaku saat ayah menutur perkatan itu.

“Err…Sara tak boleh solat” kucuba cari jawapan yang selamat.

“Kalau tidak boleh solat, masih boleh berzikir” jawab ayah kembali yang hampir membuatkan aku hilang kata-kata. Kali ini aku tidak boleh terlepas lagi. Ayah menyambung lagi, “Ayah tau Sara dah besar dan tahu menilai baik buruk. Sara seorang perempuan dan ayah risau lihat Sara pulang lewat tengah malam, kemudian hujung minggu pun jarang bersama keluarga” luah ayah yang selama ini hanya dipendamkannya dalam hati. Aku tidak tahu untuk berkata apa-apa dan hanya mampu diam membatu seribu bahasa.

“Walau di mana Sara berada, sesibuk mana pun kamu ni, jangan sesekali tinggal solat. Ingat tu, solat yang boleh membimbing kita. Ayah tahu yang selama ini Sara kuat berusaha dan hampir kesemua usaha Sara tidak pernah gagal. Sara tahu siapa yang bagi urusan Sara lancar dan berjaya? Dia yang Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu, Allah SWT. Sujud dan bersyukurlah kepadaNya, Sara. Ayah takut kalau-kalau suatu hari nanti dek keegoan Sara untuk bersujud kepadaNya, Dia akan menarik balik semua nikmat yang diberikan sekelip mata” ayah memandangku bersungguh-sungguh.

“Sara tahu semua tu tapi…” belum sempat aku menghabiskan kata-kata, ayah terus memotong cakapku.

“Tiada alasan untuk semua itu, Sara. Sementara ada peluang dan ruang untuk mendekatkan diri padaNya, Sara rebutlah peluang itu. Dia menyukai hambaNya yang selalu mengingatiNya. InsyaAllah, rezeki Sara akan lebih murah jika Sara rajin mendekatkan diri padaNya. Ayah minta maaf kalau nasihat ayah ni membuat Sara terasa tapi sebagai seorang ayah, ayah wajib untuk menasihati Sara. Selagi Sara masih belum bersuami, selagi itulah soal dosa pahala Sara di bawah tanggungjawab ayah”, jelas ayah dan aku terpaksa akur akan kebenaran kata-katanya. Tidak lama selepas itu, ayah memberitahu ibu untuk keluar berjumpa kawannya. Aku masih lagi termangu di ruang tamu dek penangan kata-kata ayah sebentar tadi. Cerita di tv langsung tidak kuamati. Minatku untuk melihat Fasha Sandha segera mati. Yang bermain di fikiranku hanya kata-kata ayah. Aku tahu yang aku telah jauh berubah. Berubah dari segi sikap, perwatakan mahupun penampilan. Jika dahulu, aku tidak pernah melawan atau menjawab apa sahaja yang ibu dan ayah katakan namun sejak mula melangkah  ke alam dewasa, ditambah lagi dengan pergaulan bersama teman-teman yang suka bersosial membuatkan aku makin jauh dari dunia sebenar.

Penampilanku turut berubah. Warna rambutku yang sedia asal keperangan, kucelup lagi dengan warna garang. Aku juga telah mula mengenal pengilat kuku dan kini terdapat hampir lebih 20 botol koleksi pengilat kuku. Pernah juga beberapa temanku mencadangkanku untuk membuat suntikan di wajah agar bertambah menarik namun aku belum berani melakukannya, bimbang akan kesan sampingan pada masa akan datang. Bukan sahaja itu, malah kini aku lebih berani untuk menanam bulu mata agar kekal cantik dan tidak perlu aku susah-susah untuk menata riasnya. Pendek kata, perubahanku memang ketara. Maka tidak hairanlah ayah ingin bercakap denganku mengenai perubahan yang mendadak itu. Aku faham setiap apa yang ayah maksudkan. Sedikit pun aku tidak ambil hati atau marah dengan ayah. Ayan memang betul. Bukan sahaja ayah malah ibu sendiri turut akur melihat aku yang seumpama melampaui batas. Naluri orang tua ada banyak betulnya. Mereka risau dan marah bersebab. Lagipun aku anak sulung dan seorang perempuan. Mana mungkin ibu dan ayahku sanggup melihat aku kecundang dan tewas di tengah jalan. Tetapi pernahkah ibu dan ayah tahu yang hidupku kosong? Aku inginkan teman hidup di sisi yang sentiasa bersamaku setiap waktu merempuhi apa sahaja. Segala nasihat yang ayah dan ibu berikan hanya sekadar kata-kata yang tidak mampu mengisi kekosongan hatiku. Benda yang sama mereka sering katakan, hanya solat dan itupun sudah cukup membuatkan aku ingin menutup telinga. Aku mahu peneman di sisi dan bukannya disuruh solat, doa dan entah apa-apa lagi!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience