Bab 22

Other Completed 3855

“Bagaimana semua persiapan? Sudah selesai?” soalku kepada Karl saat kami berdua di dalam kereta.

“Hampir selesai cuma lepas ni nak pergi ambil baju lagi” jawab Karl yang meneruskan pemanduannya.

“Jadi sekarang kita ke butik pengantin tu?” soalku kembali. Karl hanya mengangguk.

Dalam hatiku, barangkali belum pernah ada manusia sepertiku yang sanggup meneman seseorang ke hulu ke hilir sebegini untuk membeli persiapan perkahwinan melainkan jika orang itu adalah pasangan sendiri. Tetapi aku lain, aku sanggup menemani Karl, itupun atas permintaannya sendiri. Lagipun Karl menginginkan yang hubungan kami diteruskan seperti biasa. Maka kerana itulah aku dan Karl bersama-sama menguruskan segala persiapan walaupun itu merupakan majlis yang bersejarah dalam hidupnya. Setibanya di butik pengantin, Karl segera mendapatkan pembantu kedai dan bertanyakan sesuatu. Seketika kemudian, pembantu kedai itu keluar dan membawa sepasang tuxedo putih untuk Karl mencubanya. Sementara menunggu Karl, aku melihat banyak gaun pengantin yang menarik dan indah buatannya. Alangkah bahagianya jika aku dapat menyarungkan salah satu gaun tersebut.

“Excuse me, miss. Don’t you want to try one of our gowns here?” tiba-tiba kedengaran satu suara mempelawaku. Rupanya si pembantu kedai sebentar tadi. Pucuk dicita ulam mendatang, bisikku. Namun aku masih sedar siapa diriku ini lalu aku hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala ke arahnya.

Kenapalah aku sanggup menjadi orang bodoh sedangkan aku sendiri tahu bahawa Karl bakal menjadi milik orang yang sah? Kenapa aku masih lagi setia menurutinya sedangkan aku sendiri tahu bahawa tiada lagi harapan untukku? Kenapa aku sendiri bebal dan degil untuk rela diperlakukan sebegini? Kenapa aku semakin lemah dan kenapa hari demi hari aku semakin diuji?

“Sara, how do I look?” suara Karl sekali lagi mengejutkan lamunanku. Dia kelihatan begitu tampan dan segak apabila mengenakan tuxedo berwarna putih itu. Hampir membuatkan jantungku luruh namun berjaya kukawal perasaanku.

“You look great, Karl” pujiku ikhlas.

“Thanks, dear” balas Karl sambil mengucup tanganku. Untuk apa kucupannya itu? Langsung tidak memberi apa-apa makna dalam diriku malah langsung tidak mampu mengubah apa yang bakal terjadi nanti. Selepas urusan pakaian di butik pengantin tersebut telah selesai, kami singgah sebentar untuk makan. Hampir sehari suntuk menguruskan segala persiapan perkahwinan Karl. Yang peliknya, mengapa Karl tidak membawa Farra untuk menguruskannya bersama-sama? Bukankah mereka bakal disatukan nanti? Mengapa aku yang dibawa umpama lembu dicucuk hidung?

“Thanks again, Sara” Karl memulakan perbualan sementara menunggu makanan yang dipesan tiba.

“For what?” jawabku ringkas, malas berbasa-basi.

“Temankan Karl uruskan semua ni. Karl tahu Sara susah untuk terima semua ni tapi Karl gembira sangat sebab Sara masih sudi lagi bersama dengan Karl” dia menggenggam erat jemariku dan kubiarkan sahaja perlakuannya itu. Aku sudah penat menghadapi semua ini, ya benda yang sama aku hadapi setiap kali aku mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki. Selalu sahaja aku tewas di penghujungnya. Di mana silapnya? Tentang Karl, biarlah masa yang menentukan. Aku dan Karl akan terus bersama seperti biasa biarpun Karl bakal bergelar suami kepada Farra. Dengan kata lain, aku merupakan skandal atau lebih tepat lagi kekasih gelap kepada Karl. Biarlah, tiada siapa pun yang akan rugi. Aku pun tidak mengharapkan apa-apa dari Karl biarpun dia pernah berjanji untuk membahagiakanku.

Seperti yang pernah aku katakan suatu masa dahulu, janji boleh dimungkiri. Mungkin kelainannya sekarang aku menjadi lebih tabah malah lebih sukar untuk mengalirkan air mata.

“Apa yang Sara fikirkan lagi tu?”.

“Oh…tiada apa, Karl. Sara okey ni cuma penat sikit” aku mencuba memberi jawapan selamat.

“Even Karl dah kahwin nanti, kalau Sara nak jumpa Karl just bagitahu saja, ya. Karl akan luangkan masa untuk Sara. Karl janji untuk tidak abaikan Sara sampai bila-bila” sekali lagi kudengar lafaz ‘janji’ yang ditutur dari mulut Karl sendiri. Janji yang tidak pasti lagi kebenarannya.

Aku mengubah topik perbualan, “Ramai ke yang Karl jemput ke majlis itu nanti?”.

“Tidaklah semua. Hanya saudara mara dan kawan terdekat sahaja. Tapi Sara mesti datang tau”.

“Sure, I will come”. Jangan risau, Karl. Aku tetap akan datang ke majlis bersejarahmu. Biarpun aku sakit dan perit untuk menerima semua ini namun tidak sekali-kali aku akan memperlihatkanmu kesedihan yang aku tanggung ini. Aku mahu kelihatan kuat dan tabah di matamu. Akan kubuktikan kepadamu yang sedikitpun aku tidak goyah atas keputusan yang engkau lakukan ini. Tapi, mampukah aku?   

“Apa hadiah yang ingin Sara beri untuk Karl nanti?”. Ikutkan hati, aku nak kau rasa apa yang aku rasa. Itulah hadiah yang sebaik-baiknya untukmu, Karl.

“Surprise, Karl. Mana boleh beritahu sekarang” senyumku manja, ya manja yang dibuat-buat.

“Sara mesti bagi Karl hadiah yang takkan boleh Karl lupa sepanjang hidup Karl, okey sayang” pintanya lagi.

Kalau aku ni bini kau, sudah semestinya aku bagi hadiah paling istimewa yang sepatutnya seorang isteri berikan buat sang suami. Namun aku hanya perempuan simpanan. Hanya seorang kekasih gelap dan juga skandal yang tiada punya apa-apa kepentingan. Andainya aku mampu memberimu segunung emas sekalipun, aku tetap tidak dipilih untuk menjadi suri dalam hidupmu.

“Lepas makan ni Karl hantar Sara pulang, okey. Lagipun, Karl perlu berjumpa Farra untuk uruskan beberapa perkara lagi. Boleh kan sayang” ujar Karl.

“Okey” senyumku lagi. Kalau aku cakap tidak boleh macam mana? Andainya aku suruh melutut sekalipun kau tetap akan kembali pada bakal isterimu, Farra. Dia yang lagi berhak ke atasmu, Karl dan bukan aku. Aku sekadar penemanmu di luar sahaja. Kadangkala aku berasa amat bersalah terhadap Farra. Biarpun aku tidak mengenalinya degan dekat namun aku tahu perasaannya sebagai seorang perempuan apatah lagi jika di saat menjelangnya hari bahagia ada orang ketiga seperti aku yang bakal mengganggu rumah tangganya. Apalah makna sebuah rumah tangga jika awal-awal lagi sudah ada ujian yang bakal dia tempuh. Maafkan aku, Farra. Bukan ini yang aku inginkan. Bukan niatku untuk merampas Karl apatah lagi untuk menghancurkan rumah tanggamu namun aku juga perlukan seorang teman di sisi dan kurasa saat ini, hanya Karl merupakan sebaik-baik teman yang aku ada setakat ini. Usah kau bimbang Farra. Aku juga wanita seperti kau. Aku juga faham erti kecewa dan sedih. Tidak sekali-kali aku akan merampas tempatmu sebagai suri hidup Karl biarpun aku tahu Karl juga perlukan aku. Seperti yang dimaklumkan oleh Karl, dia telah mengambil cuti selama seminggu untuk persiapan akhir sebelum menjelang hari persandingannya. Dan selama itulah aku langsung tidak menghubunginya kerana aku faham Farra bersama dengannya.

“Sara, Karl nak kahwin kan? Kau tau ke pasal tu? Kau pergi majlis kahwinnya nanti?” bertubi-tubi soalan Dania kepadaku.

“Ya, aku memang pergi. Lagipun kami kawan. Lain jugakan kalau aku tak pergi”.

“Tapi dulu aku tengok kamu berdua bukan lagi rapat malah intim, tup tup dia nak kahwin dengan orang lain. Apa cerita ni, Sara?” Dania cuba mencungkil rahsia daripadaku.

“Dania, rapat atau intim tak bermakna kami ni istimewa atau kekasih. Dia tak lebih dari kawan, macam Ammar dan teman-teman yang lain”.

“Tapi kau ingat tak dulu dia ada bagi ros merah tu? Kalau kawan bukan ros merah” sekali lagi Dania seakan-akan tidak berpuas hati dengan jawapanku.

“Lelaki ni mana kenal erti warna. Dah dia rasa warna merah tu common so dia bagi la yang tu”.

“Tapi hari tu…” belum sempat Dania menghabiskan kata-katanya, aku terlebih dahulu membidasnya, “Sudahlah, biarlah dia tu. Aku banyak kerja ni nak dibuat. Lepas ni aku nak ambil leave, nak berehat”. Serentak kemudian, Dania menggelengkan kepala dan meninggalkanku sendirian.

Seminggu telah berlalu. Hari bahagia dan bersejarah yang dinanti-nantikan oleh Karl dan Farra telah tiba. Aku, Noreen dan Dania bersama-sama ke majlis itu yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di bandaraya. Setibanya di sana, kelihatan beberapa tetamu sudah sedia menunggu. Namun kebanyakan antara mereka tidak kami kenali. Mungkin juga kenalan bakal isteri Karl, lagipun Karl sudah memberitahuku bahawa tidak semua orang dijemput ke majlisnya.

Sementara menunggu majlis resepsi bermula, aku mengamati rekaan dan hiasan di setiap ruang ballroom itu. Seluruh sudut dihiasi dengan bunga-bungaan, mana tidaknya Karl sendiri pernah memberitahuku yang tema majlisnya adalah wedding garden. Sudah semestinya majlis ini tampak hebat, bisik hatiku. Dengar-dengar cerita juga busana pengantin perempuan direka khas dari pereka terkenal tanahair. Patutlah Karl seorang sahaja yang memilih pakaian pengantin seorang diri tanpa ditemani pasangannya itu, rupa-rupanya Farra memang sudah menempah pereka terkenal untuk majlisnya nanti. Bertuah sungguh kau Karl memiliki Farra yang punya citarasa bukan sembarangan, kaya, bergaya dan tidak kurang cantik juga orangnya. Hanya aku sahajalah yang begini, selalu sahaja malang dalam setiap perhubungan, bebelku sendiri.

Lima belas minit kemudian, kedengaran pengumuman ketibaan masuk kedua mempelai dan serentak itu para tetamu semua diminta berdiri sebagai tanda hormat. Lensa kamera dan tepukan gemuruh para tetamu mengiringi kedua mempelai ke pelamin. Sungguh segak dan kacak kulihat Karl pada malam itu lebih-lebih lagi Farra di sebelahnya yang kelihatan anggun dan jelita. Untung kau Farra kerana dia memilihmu, sekali lagi hatiku berdetik. Kedua-dua pengantin diminta untuk membuat ucapan dan setibanya giliran Karl, hatiku tiba-tiba menjadi sebak. Aku dapat rasakan air mata mula bergenang di kolam mataku namun kutahan agar tidak mengalir. Ikutkan hati, aku tidak ingin sesekali menghadiri majlis itu namun demi permintaan Karl dan untuk mengelak agar sesiapa tidak mengetahui hubungan kami, aku gagahkan diri untuk hadir. Betapa besar pengorbanan aku untukmu, Karl. Walaupun aku sedar yang aku sekadar di pinggiran di mana penghujungnya nanti aku juga turut dibuang.

“Ehem…awak okey?” salah seorang polis bantuan yang pernah kukenal suatu masa dahulu tiba-tiba berbisik kepadaku.

“Err…saya okey” jawabku kepada Mamat sambil cuba mengumpul kekuatan.

“Saya harap awak tabah dan bersabar. Mungkin bukan jodoh awak” sambungnya lagi.

“Untuk apa? Saya memang okey la” aku memandangnya. Tanpa jawapan, Mamat hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum. Ish Mamat ni, takkanlah dia pun boleh menghidu perhubungan kami selama ini? Seolah-olah dia mengerti situasi dan perasaanku pada masa itu. Ah, yang penting aku harus berpura-pura seperti tiada apa-apa. Itu janjiku kepada Karl. Sebelum majlis berakhir, aku meminta diri untuk pulang. Alasanku untuk mengambil adikku dari rumah kawan. Hati siapalah sanggup terpacak di situ sampai majlis berakhir demi melihatkan orang yang dikasihi bergembira dan berhibur bersama teman baru? Aku tidak rela untuk terus berasa sakit di situ menyaksikan kebahagiaan Karl bersama isterinya, Farra. Lagipun, aku juga kurang selesa apabila Mamat sentiasa bertanyakan itu ini tentang Karl. Adalah lebih baik untuk aku pulang segera daripada terus tercongok di situ. Baru sahaja aku hendak mengangkat punggung, Mamat menahanku. Apa lagilah yang Mamat ni nak lagi? Tak habis-habislah!

“Nak balik dah ke? Awal lagi ni” tegurnya.

“Saya kena balik sekarang. Ada hal lagi lepas ni hendak diurus” aku menjawab acuh tidak acuh tanpa menoleh kepadanya. Makin aku melayan makin lama lagilah sesi bersoal jawab dengan Mamat ni.

Aku bergegas keluar meninggalkan ballroom itu. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku meraung di situ dan menghentak kepala di dinding. Tetapi, aku perlu bersabar. Aku tidak boleh meroyan tidak tentu hala. Lagipun tiada siapa akan peduli tentang diriku. Takkanlah aku hendak mengamuk dengan mengatakan kepada semua orang bahawa Karl milikku dan dia sudah pun meniduriku? Atau aku perlu heboh ke sana ke mari mencanang bahawa kami berskandal? Mustahil untuk aku melakukan sedemikian. Akalku masih waras. Aku perlu bertahan, ya bertahan selama mana yang aku mampu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience