Bab 34

Other Completed 3853

Aku cuba untuk membuka mata dengan perlahan. Ternyata begitu berat dan amat payah sekali. Keadaanku masih lagi tenat dan lemah.  Seluruh tubuh badanku masih lagi kaku dan keras. Aku cuba untuk menggerakkan kaki namun gagal. Pelbagai jenis wayar disambung di seluruh tubuhku. Di manakah aku kini? Aku tidak ubah umpama mayat hidup yang terbaring lemah, pucat dan lesu. Segala-galanya kurasakan tidak bermakna dan kosong. Aku tidak berupaya untuk membuat sebarang pergerakan. Aku hanya mampu melihat bebayang beberapa manusia, yang entah siapa gerangannya namun dari suara-suara itu, dapat kuagak sebahagian daripada mereka ialah ibu dan ayahku. Saat ini, aku mula terfikirkan ayah dan ibu. Aku rindukan pelukan dan kasih sayang mereka. Jauh di sudut hati terbit rasa kesal kerana aku telah banyak berdosa kepada mereka. Aku seringkali melawan dan mengingkari mereka. Aku telah mencabar takdir Tuhan sekalian alam. Ya Allah, beri aku ruang kesempatan untuk mengucup kedua tangan ibu bapaku dan berlutut memohon keampunan di atas segala dosa-dosaku yang telah lalu. Adakah aku akan berpeluang untuk sembuh seperti sediakala, Ya Allah? Aku tidak mahu terseksa dan mati sebegini, Ya Allah.  Adakah ibu dan ayah akan mengampunkan dosaku? Adakah mereka masih mahu mengaku dan menerimaku sebagai anak walaupun aku telah menderhaka kepada mereka? Masihkah ada kesempatan itu, Ya Allah?

Adakah Allah SWT akan mengasihaniku yang dalam keadaan lemah sebegini? Selama ini, bibirku tidak pernah menyabut nama Allah SWT, aku terlalu ego dan bongkak untuk mengakui kebesaranNya. Hatiku bagaikan sudah gelap dan tertutup untuk menyabut nama Maha Pencipta langit dan bumi itu. Aku bangga dengan apa sahaja yang aku miliki. Aku punya wang, kerjaya, rupa dan segalanya yang tidak ada tolok bandingnya. Semua orang sentiasa memburu dan memuji kecantikanku. Namun aku semakin ego dan alpa yang apa sahaja yang aku miliki. Aku lupa bahawa setiap itu adalah pinjaman sementara untukku di dunia dan ia milik kekal Allah Taala. Dan kini, aku hanya mampu terbaring tanpa mampu berbuat apa-apa. Aku akur akan semua kesalahan dan dosa-dosaku. Aku cuma mampu pasrah dan redha atas setiap pembalasanNya. Ya Allah, ampunkanlah hambaMu yang hina ini!

“Sara, mak datang, sayang” bisik ibu sambil menggenggam erat jemariku. Air mata ibu menyantuh jemariku, hangat sekali. Kucuba untuk bergerak namun ternyata sia-sia. Tubuh badanku masih keras, sejuk dan kaku. Bibirku berat dan kelu tanpa kata. Hatiku menjerit ingin berbicara dengan ayah dan ibu.

‘Ampunkan Sara, mak…ayah…’ kumat kamit bibirku ingin memohon ampun daripada kedua orang tuaku namun sepatah kata langsung tidak berupaya terucap dari bibirku.

‘Sara kotor, mak… Sara tak suci lagi. Ayah, Sara derhaka kepada ayah!! Tolong Sara!!’ jerit hati kecilku.

Andainya bicara hati ini boleh didengari, sudah tentu ayah dan ibu akan mendengar setiap rintihanku. Aku betul-betul menyasal akan setiap perlakuan hinaku pada masa lampau. Aku telah kecewakan harapan kedua orang tuaku. Walaupun aku berkerjaya, punya wang dan segala namun hidupku tidak tenang mengabaikan setiap suruhan Allah SWT dan lebih teruk lagi aku sering sahaja melawan kata ibu dan ayahku sehinggakan ibu pernah menitiskan air matanya kerana aku. Aku selalu mendambakan kebahagiaan namun semakin lama aku dambakannya, semakin jauh kebahagiaan itu sukar kugapai. Kebahagiaan hakiki berlandaskan jalan yang benar datang dari Allah SWT. Kebahagiaan yang aku peroleh selama ini hanyalah kebahagiaan sementara, yang pergi dan datangnya tidak pasti. Aku lupa untuk kembali kepada Maha Pencipta. Aku enggan bersujud kepadaNya.

Setiap kisah silam yang membuatkan aku lupa kepada diri, Tuhan dan keluarga kuimbas. Hampir saban hari diri dan hidupku bergelumah penuh dengan dosa. Dosa terhadap ibu bapaku, dosa terhadap diriku malah aku turut berdosa kepada Allah SWT! Aku jauh tenggelam dari haluan sebenar. Kuketepikan keluarga dan Allah SWT semata-mata menurut nafsu dan keinginanku. Aku inginkan kebahagian namun kebahagiaan yang aku peroleh melalaikan aku dari mengingati Allah SWT dan juga keluarga. Allah SWT Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu yang hidup di muka bumi. Mungkin inilah balasan Tuhan terhadapku kerana keenggananku untuk bersujud kepadaNya dan mengaku kebesaranNya.

Surah An-Nisa’, ayat 36: “Dan sembahlah Allah dan janganlah menyakutukanNya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan dirinya”.

“Sabar, puan. Anak puan baru sahaja sedar dari koma. Dia perlu berehat sepenuhnya” Doktor Farhana cuba untuk memujuk Puan Salbiah yang masih lagi meratap di sisi anak perempuan kesayangannya..

“Bila dia akan pulih sepenuhnya, doktor?”.

“Saya tak berapa pasti Encik Hadi namun pihak kami akan terus berusaha untuk memulihkan anak encik” jawab Doktor Farhana yang masih lagi terkejut dengan perubahan Alya Maisara yang baru sahaja sedar dari koma hampir lima bulan lamanya. Walaupun Alya Maisara tidak berupaya untuk menggerakkan tubuh badannya namun Doktor Farhana yakin dengan sedikit respon yang ditunjuk oleh Alya Maisara, sedikit sebanyak akan memberi perubahan yang besar kelak.

“Encik Hadi dan Puan Salbiah boleh pulang dahulu. Jika ada apa-apa perkembangan positif, saya akan maklumkan kelak” ujar Doktor Farhana lagi.

“Anak saya tak mati, kan doktor???”

“Astaghfirullahalazim Salbiah, bawa bersabar. Ingat Allah SWT, kita berdoa dan berserah kepadaNya” Encik Hadi memeluk Puan Salbiah yang masih lagi teresak-esak mengenangkan nasib Alya Maisara. Encik Hadi turut merasa sebak namun dia harus kuat dan tabah. Apa yang berlaku dia akan tetap menerimanya dengan hati yang tenang. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mudah-mudahan hikmah yang diberikan oleh Allah SWT membawa kebaikan dalam keluarganya. Bapa mana yang sanggup melihat penderitaan seorang anak yang terbaring lesu. Tanpa makan dan minum, hanya bergantung semata-mata kepada ubat-ubatan. Dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berdoa untuk kesihatan anaknya itu. Dia kesal kerana gagal medidik anak perempuannya dengan baik dan akhirnya anaknya ditimpa penyakit luar biasa.

“Doktor, tolong maklumkan saya dengan segera tentang perkembangan anak saya” pinta Encik Hadi sebelum beredar.

“Baiklah, Encik Hadi” doktor tersebut mengangguk perlahan. Doktor pakar itu menghantar Encik Hadi dan Puan Salbiah ke luar. Dia amat faham akan perasaan mereka berdua. Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak mereka menderita kesakitan. Tetapi, apa yang berlaku ke atas Alya Maisara benar-benar mengejutkannya. Selama hayatnya menjadi seorang doktor, belum pernah ada pesakit yang menghidap penyakit tibi otak menunjukkan kesan positif apatah lagi setelah koma berbulan lamanya. Seperti yang dia tahu, kebanyakan pesakit yang menghidap tibi otak akan mengalami kegagalan fungsi saraf dan otak. Pesakit tidak akan menujukkan sebarang tindak balas walaupun pelbagai alat bantuan sokongan telah diberikan. Tubuh badan pesakit juga akan mula susut dari hari ke hari. Pandangan pesakit juga akan mula menjadi kabur dan adakalanya mata menjadi juling. Pesakit juga tidak akan berupaya untuk bertahan lebih lama.

Doktor Farhana masih ingat lagi bagaimana dia mula memberi rawatan kepada gadis itu. Alya Maisara telah jatuh pengsan di kelab malam dan terus dikejarkan ke hospital. Mujur pada ketika itu teman-teman Alya Maisara ada bersamanya. Setibanya di hospital, seluruh tubuh badan Alya Maisara menggigil, sejuk dan kejang. Dia cuba untuk membuat diagnosis dengan mengambil sampel darah Alya Maisara. Hasil analisisnya, ternyata Alya Maisara menghidap penyakit tibi otak. Doktor Farhana cuba untuk mendapatkan maklumat tentang Alya Maisara daripada Encik Hadi dan Puan Salbiah. Menurut mereka sudah agak lama Alya Maisara tidak pulang ke rumah. Tambah mereka lagi, Alya Maisara telah menetap dengan teman sekerjanya dan tidak pulang ke rumah mereka lagi selepas itu. Dia memandang tepat ke wajah Alya Maisara yang masih lagi membuka matanya dari tadi. Dari raut wajah, Doktor Farhana percaya Alya Maisara seorang gadis yang cantik dan menawan. Alya Maisara juga datang dari keluarga yang baik-baik tetapi nasib malang telah menimpa gadis itu. Walaupun koma dalam keadaan yang lama, namun Alya Maisara telah memberi kejutan untuknya pada hari ini. Dia bergegas ke wad Alya Maisara apabila mendapat tahu Alya Maisara telah membuka mata. Dia melihat skrin monitor, ternyata bahagian otaknya sudah hampir berfungsi sedikit. Dia cuba untuk bercakap dengan Alya Maisara namun bibir Alya Maisara tetap membisu.

Hanya air mata yang mengalir lembut di pipi gadis itu. Doktor Farhana tersentak. Ketika itulah dia memberitahu Encik Hadi dan Puan Salbiah akan perubahan anak mereka. Sebenarnya apa yang berlaku hari ini sedikit sebanyak membuat dia begitu kagum dengan kebesaran Allah SWT. Doktor Farhana lekas-lekas beristighfar dan beredar dari situ.

Surah Al-Imran, ayat 26 dan 27: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

Di bilik itu, aku masih lagi tidak mampu untuk menggerakkan tubuh badanku. Keras dan kaku yang amat. Kudengar suara ayah dan ibu ketika mereka datang melawatku namun aku tidak berupaya menyabut nama mereka. Aku umpama bangkai bernyawa yang menunggu masa untuk reput. Walaupun aku sudah dapat membuka mata namun aku masih tidak mampu menggerakkan bebola mataku. Apatah lagi untuk mengelipkan mata. Ya Allah, sungguh berat siksaanMu ini. Kurasakan sudah lama benar aku di pembaringan.

Agaknya begitu lama aku tidur dan pada masa yang sama tidurku bertemankan segala mimpi yang menakutkan. Tetapi, adakah aku benar-benar tidur atau Allah SWT telah mencabut nyawaku? Mimpi-mimpi itu sering memenuhi ruang fikiranku. Mimpi yang mengerikan di mana begitu banyak kala jengking dan ular berbisa datang membelitku. Tidak cukup itu, aku turut didatangi oleh lembaga yang menakutkan yang cuba untuk mengheretku untuk dibakar dalam api yang besar. Dalam mimpi itu juga, aku dapat merasa kehangatan api malah sebahagian kulitku melecur dek api yang membara itu. Aku juga dapat melihat diriku tergantung dalam keadaan rambut dan kepalaku yang mendidih. Aku menjerit kesakitan namun tiada siapa datang membantuku. Lebih mengerikan, aku turut memakan dagingku dan meminum darahku sendiri. Aku menjerit meminta tolong namun tiada siapa yang mempedulikan jeritanku. Saat itu kumelihat ayah dan ibu hanya diam membisu. Tiada lagi kata-kata yang keluar dari mulut mereka.

Surah Az-Zumar, ayat 16: “Bagi mereka lapisan-lapisan dari api di atas mereka dan di bawah mereka pun lapisan-lapisan (dari api). Demikian Allah Subhanahu wata’ala mempertakutkan hamba-hambaNya dengan azab itu. Maka bertakwalah kepadaKu hai hamba-hambaKu.”

Aku cuba menutup mata untuk tidak lagi dibayangi oleh kesemua mimpi yang menggerunkan itu namun aku gagal. Kelopak mataku sedikit pun tidak tergerak olehku walaupun sedaya upaya aku cuba untuk pejam. Rasanya sejak dari siang tadi mataku hanya terbuka tanpa kelip. Sebenarnya aku sendiri tidak pasti sudah selama mana aku dalam keadaan sebegini. Walaupun aku kaku namun hatiku masih mampu untuk berkata-kata dan menyabut namaNya. Ternyata Allah SWT masih sayang kepadaku. Dia tidak mematikan hatiku untuk menyabut namaNya yang Agung walaupun bibirku terkunci. Ya Allah Ya Rabbi, ampunkan segala dosa dan setiap kesalahanku. Sungguh azab siksaanMu di dunia ini. Aku tidak mampu untuk menahan segala siksaan ini, Ya Allah. Namun, andainya pembalasan ini merupakan suatu keampunan untukku, aku redha atas segalanya. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa wahai Tuhan sekalian alam. Aku telah menzalimi diriku sendiri. Aku menderhaka kepada orang tuaku. Aku berkasar terhadap mereka. Aku berdosa tidak memelihara kehormatanku sehingga membunuh benih yang tidak berdosa. Aku berhias untuk orang lain sehingga lupa pada auratku, Ya Allah. Ampunkan aku, Ya Allah Ya Rahman. Berilah aku peluang untuk bersujud kepadaMu. Berilah aku peluang membasahkan lidahku dengan menyabut dan memujiMu. Terimalah taubatku wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Aku akur dengan kebesaranMu Ya Rabbi. Sesungguhnya aku lalai dari menurut perintahMu dan aku jauh terpesong dari jalanMu, Ya Allah. Berilah aku petunjuk dan hidayahMu. Pimpinlah aku ke jalanMu, Ya Allah. Seandainya aku ditakdirkan untuk mati, aku ingin mati dalam keadaan beriman dan berjihad ke jalanMu, Ya Allah.

Surah Az-Zumar, ayat 53: “Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience