Bab 14

Other Completed 3855

Kini, sedar tidak sedar, sudah hampir lima bulan aku berada di Paradigm Bank. Aku semakin memahami tugas dan prosedur kerjaku. Adakalanya, aku juga dikehendaki untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peminjam. Jika dahulu, aku berasa sedikit kekok dan malu untuk berhadapan dengan peminjam tetapi kini tidak lagi. Aku juga telah mampu memiliki kereta sendiri. Jadi tidak perlu lagi ayah bersusah payah menghantar dan menjemputku pulang. Aku juga bebas pergi ke mana sahaja yang aku inginkan. Jika dahulu waktu hujung minggu aku luangkan masa bersama keluarga tetapi kini aku banyak bersama dengan Dania dan beberapa teman sekerja yang lain. Adakalanya kami ke karaoke, bermain bowling atau apa sahaja aktiviti yang boleh menghilangkan stress bekerja.

“Sara, kau ingat lagi tak Mr. Chang yang kontraktor tu” soal Dania sambil merapatiku yang sibuk menyiapkan fail.

“Mr. Chang yang mana lagi ni? Banyak kontraktor nama macam tu” jawabku sambil tidak mengendahkan Dania.

“Ala…kau ni. Mr. Chang yang selalu tanyakan kau tu la. Asal je dia datang sini, mesti dia tanya pasal kau. Aku rasa dia syok dengan kau la” Dania mula ingin menarik perhatianku.

“Biarlah dia tu. Lagipun dia lagi tua dari ayah aku. Mungkin dia saja-saja tanya pasal aku ataupun ambil berat” ringkas sahaja jawapanku.

“Kalau Mr. Chang saja-saja tanya, takkan la dia tanya aku yang kau ni dah ada boyfriend ke belum, dah kahwin ke belum. Lepas tu siap minta nombor telefon lagi tapi aku tak bagi la kat dia. Aku takut kau marah” balas Dania lagi.

“Haa…eloklah tu, jangan sesekali bagi nombor aku dekat dia atau siapa-siapa, ya. Aku tak mahu jadi kaunter pertanyaan. Jawab itu ini” tegasku.

“Ye la…ye la…. Sara, bukan sahaja Mr. Chang, ramai lagi yang tanya pasal kau. Memang kau ni banyak peminatlah. Kalah-kalah aku yang dah kerja lama kat sini” usik Dania sambil mencuit pinggangku. Aku turut akui kata-kata Dania sebentar tadi. Bukan sahaja Mr. Chang, kontraktor tua yang jauh lebih tua daripada ayahku malah ada beberapa peminjam lain

yang cuba-cuba untuk merapatiku. Biarlah semua itu yang penting fokusku kini hanya untuk kerjaya. Aku ingin menjadi orang yang berjaya, dalam cita mahupun cinta. Sedang aku begitu asyik menguruskan beberapa fail, telefon berdering di hadapanku dan segera kucapai.   

“Hello, bahagian kredit, siapa di sana?” aku mula menyoal si pemanggil tetapi mataku tetap khusyuk menghadap skrin komputer.

“Saya ni, Zulkarnaen. Saya nak tanya tentang status permohonan pinjaman Encik Idham. Bila kena approve tu?” soal Zulkarnaen kembali. Zulkarnaen? Eh, bukankah dia bahagian mortgage. Kenapa dia sibuk nak tahu pasal status orang lain? Lagipun dia bukan dari bahagian kredit, aku mula berfikir tentang pertanyaan Zulkarnaen sebentar tadi.

“Kenapa awak nak tahu?” soalku tanpa menjawab pertanyaannya.

“Dia kawan saya. Jadi dia nak tahu bila bahagian kamu akan buat disbursement. Dia dah memohon tiga hari yang lepas” Zulkarnaen menerangkan kepadaku. Bukan apa, aku pun tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat sesuka hati.  “Ohh…tak perlu risau. Esok juga kami akan kreditkan wang pinjaman itu di akaunnya” jelasku selepas menyemak data dan status Encik Idham.

“Okey, terima kasih Sara” Zulkarnaen meletakkan gagang telefon.

“Siapa yang call tu Sara?” kak Waheeda tiba-tiba bersuara.

“Zulkarnaen, kak. Dia cuma nak tahu status pinjaman kawannya tu, Encik Idham” jawabku sambil meneruskan kerja yang terhenti sebentar tadi.

“Ehh…Idham Razali ke? tanya Kak Waheeda kembali.

“Ye, kak. Kenapa?”.

“Setahu akak, yang buat fail Idham tu si Noreen. Lagipun, Noreen dah hubungi Idham tu kelmarin” aku tidak jadi meneruskan kerja seraya mendengar penjelasan Kak Waheeda.

“Tapi, tadi…” belum sempat aku menghabiskan kata-kata, Dania terus menyampuk. “Dia saja nak pancing kau la tu. Saja nak bercakap dengan kau. Maklumlah, setakat nak tanya dah makan ke belum, macam tak logik juga. Jadi, dia pura-puralah call nak tanya status. Tapi memang betul Idham tu kawannya” dengan panjang lebar Dania menjelaskan. Hishh! Sabar sajalah. Jika betul kata Dania, ada juga spesis macam ni yang sanggup membuat panggilan semata-mata ingin bercakap denganku.

“Sara, kau free tak lepas kerja ni?” Ammar menyoalku setelah selesai menyiapkan kerjanya.

“Kenapa?” balasku ringkas sambil memandangnya.

“Jom kita main badminton then lepas tu kita pergi minum la” jawabnya tersenyum. Ish, ada sahaja benda yang si Ammar ni nak buat. Hari itu, bersungguh benar dia mengajakku menonton wayang, katanya bukan pergi berdua tetapi dengan rakan-rakan lain. Aku menolak. Tetapi, kali ini, dia mengajak aku untuk bermain badminton pula. Apa sudah tiada kerja lain lagi ke yang hendak dibuat olehnya. Aku bukan tidak suka beraktiviti tetapi memang aku tidak berapa selesa jika keluar bersama Ammar. Antara sebabnya, kata-katanya yang bersahaja dan selamba membuatkan aku berasa kadang-kadang malu. Sebagai perempuan, aku tetap punya rasa malu.

“Tak nak la, Ammar. Aku nak balik rehat. Lagipun, aku penat sangat ni”.

“Eleh…sombong sangat kau ni. Taulah kau tu lawa, mentang-mentanglah aku ni gemuk dan pendek, kau tak nak keluar, ye” kedengaran Ammar seperti berjauh hati ketika aku menolak pelawaannya untuk keluar bersama.

“Ish…ke situ pula kau ni. Aku berkawan dengan semua orang, tak kira warna kulit atau rupa. Yang penting ikhlas dan jujur, cukuplah”.

“Betul ke Sara? Wah, kalau begitu, ada harapanlah untuk aku tackle kau kan” Ammar berseloroh membuatkan aku hilang kata-kata lagi.

“Dah la Ammar. Malas aku nak layan kau ni. Memang takkan menang dibuatnya kalau bercakap dengan kau tanpa henti” aku terus tidak mempedulikan Ammar. Aku mengemas mejaku dan menyusun segala fail yang berselerak. Aku ingin segera pulang petang ini. Sudah dua minggu aku pulang lewat gara-gara ingin menyiapkan kerja serta merta. Aku jenis yang tidak suka kerja bertangguh.

Sambil menuju ke ruang letak kereta, dari jauh kulihat Zulkarnaen yang sedang berbual bersama teman-temannya. Kereta kami hanya bersebelahan sahaja. Tiba-tiba  mereka sempat menoleh ke arahku dan saat itu kurasakan jantungku berhenti berdegup untuk seketika. Langkahku kian lemah dan lututku menggeletar. Mana tidaknya, mata mereka tidak lepas-lepas memandangku yang seakan-akan ingin menerkamku.

“Awal pulang hari ni” sapa seorang teman Zulkarnaen yang tidak kuketahui namanya tetapi orangnya memang sudah biasa kulihat memandangkan dia kerap ke bahagian kredit. Aku hanya mampu mengangguk dan tersenyum.

“Awak Alya Maisara, kan” tegur seorang lagi teman, berkumis nipis dan berkulit hitam manis.

“Ye” aku mula bersuara, bimbang dicop sombong. Lagipun mereka sering kelihatan di bahagianku jadi aku perlu menunjukkan keramahan.

“Sara, Karl kirim salam. Dia nak berkenalan” ujar  pemuda berkumis nipis itu lagi.

“Woiii…! Kau ni buat malu aku je la” tiba-tiba Zulkarnaen menepuk bahu temannya yang berkumis itu.

“Apa pula, betul la kan yang kau kirim salam. Joe, kau pun dengar juga kan yang si Karl ni asyik bercerita pasal dia juga” balas temannya itu.

“Karl…? Siapa tu?” aku menyoal mereka dan serentak itu mereka bertiga berpaling ke arahku.

“Ohh…Karl a.k.a. Zulkarnaen” seorang lagi teman yang dipanggil Joe itu segera memberitahuku sambil ketawa menahan perut.

“Salam diterima and thanks” aku segera masuk ke dalam kereta sambil berlalu menampakkan lesung pipit. Sepanjang perjalanan pulang, aku teringat akan telatah Zulkarnaen sebentar tadi. Biarpun usianya kini lewat 30an, tetapi raut wajahnya langsung tidak menampakkan dia dalam lingkungan umur sebegitu. Orangnya berkulit putih dan tidak begitu tinggi. Tetapi, perawakannya memang tetap menarik dan kemas. Maklumlah, dia ditempatkan di bahagian mortgage jadi setiap masa dia perlu kelihatan kemas untuk keluar berurusan. Namun itu bukan persoalannya mengapa tiba-tiba aku terfikirkannya. Ah! Mainan perasaan lagi. Entah-entah aku yang gila bayang. Pulang petang itu, aku sempat singgah di pasaraya untuk membeli barang keperluan. Sejak akhir-akhir ini, aku teramat sibuk dan langsung tiada masa membeli barang keperluan. Jadi, hari ini aku perlu membeli barang-barang untuk dibuat stok. Manalah tahu kalau-kalau esok lusa aku pulang lewat jadi ibu tidak perlu susah-susah mengirim pada ayah untuk membelinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience