Bab 10

Other Completed 3855

Minggu itu merupakan minggu yang amat memenatkan. Sepanjang minggu itu, aku, Nadia dan Ain begitu sibuk mentelaah dan mengulangkaji pelajaran. Kami perlu menumpukan sepenuh perhatian kerana ini merupakan peperiksaan akhir yang perlu kami tempuhi. Dalam kesibukan itu, aku tetap gusar dan bimbang seandainya nasibku tidak begitu baik dan aku gagal. Tentu ayah dan ibu kecewa. Ah! Yang penting sekarang, aku berusaha. Ini semua hasil usahaku sendiri. Akhirnya, saat yang dinanti tiba. Peperiksaan semester akhir telah pun selesai. Sebaik sahaja keluar dari dewan peperiksaan, kami bersorak keriangan. Selepas ini, tidak perlu lagi bersusah payah berjaga sampai lewat malam menghafal semua nota. Tiada lagi assignment atau kerja kursus yang menunggu. Tiada kedengaran lagi suara dan bebelan pensyarah yang menghiasi hari kami. Kini, kami hampir mengecapi kebebasan sepenuhnya. Saat hari terakhir aku bersama Ain dan Nadia, terasa begitu sayu dan sedih. Mana tidaknya, tiga tahun kami melalui segalanya bersama. Suka duka, pahit manis, gurau senda dan tangis hiba menjadi melodi dalam persahabatan kami. Biarpun kami berbeza negeri, namun keakraban tidak pernah menjadi benteng untuk kami berkawan. Masih jelas tergambar di fikiran saat perpisahan antara aku dan teman-temanku. Ain memelukku erat beserta tangisannya. Dia akan terus pulang ke kampung dan akan mencari pekerjaan di sana. Begitu juga Nadia yang akan mula bekerja di syarikat milik keluarganya. Terlalu banyak kenangan terindah saat bersama dahulu. Selepas ini, amat sukar untuk kami berjumpa lagi. Sedang aku mengimbau kenangan bersama teman-teman sekampusku dahulu, muncul ibu sambil menatang dulang di tangan, membawa minum petang. “Ingat siapa tu Sara” soal ibu sambil menghidangkan kopi dan ubi goreng kegemaranku.

“Tiba-tiba teringat kat Ain dan Nadia je. Dulu, bila dengan diorang, bising dan kecoh betul. Sekarang ni masing-masing bawa haluan. Cepat sungguh masa berlalu. Sara rasa macam baru minggu lepas Sara mula masuk UiTM tu” jelasku kepada ibu sambil membantunya menuang kopi di cawan.

“Biasalah tu, Sara. Semua tu pengalaman buat kita. Ada pahit dan manis. Esok-esok nanti bila Sara dah mula kerja, dapat juga kawan baru” terang ibu lagi.

“Tapi Sara suka kawan dengan diorang. Diorang suka nasihatkan Sara lebih-lebih lagi Ain yang penuh emosi tu” terangku.

“Sara, siapa pun kawan kita, Sara kena hormatkan diorang. Kamu tu untung ada kawan yang sebegitu. Tengok macam budak lain. Berkawan dengan orang yang entah apa-apa. Buat benda tak elok dan bukan-bukan. Memalukan keluarga je” bebel ibu. Buat benda bukan-bukan? Benda tak elok? Memalukan keluarga? Hampir kutersedak dengan kata-kata ibu.

“Hmm...Mak tak kisah ke kalau Sara apply apa-apa kerja?” aku mula mengubah topik perbualan lalu merenung wajah ibu.

“Mak tak kisah Sara nak kerja apa pun. Yang penting kerja tu baik dan halal. Sara pun kena usaha lebih cari kerja bagus”.

“Erm…sebenarnya, Sara dah apply kerja di bank. Sara suka kerja bank, mak” jelasku pada ibu, berharap ibu mengerti kehendakku untuk bekerja di sektor perbankan.

“Sara, mak tak kisah kalau Sara nak kerja bank pun. Cuma hati-hati jaga diri. Alam pekerjaan ni banyak cabarannya, bukan macam zaman belajar dulu. Kita kena kuat dan tabah. Jangan terlalu sensitif”.

Aku akui kata-kata ibu memang benar. Waktu ibu bekerja dahulu, ibu seorang yang kuat bekerja dan teliti. Baginya, kerja merupakan salah satu tanggungjawab. Kini, sudah hampir 6 tahun ibu bersara sebagai seorang guru. Kadangkala, aku berasa kasihan melihat ibu sewaktu dia bekerja dahulu. Walaupun ibu begitu sibuk dengan kerja namun ibu bijak menguruskan rumahtangga dan kami adik beradik. Aku ingin jadi setabah dan sekuat ibu. Walau apapun cabaran yang mendatang, aku perlu keras biarpun aku hanya seorang perempuan. Namun, cabaran yang ibu hadapi berbeza denganku. Ibu seorang wanita yang mulia, baik dan penyayang. Ibu tak mudah menyerah kalah dengan segala dugaan. Tapi aku? Dalam usia yang masih muda, aku sudah menyerahkan harga diriku kepada lelaki yang bukan suamiku. Aku bebas ke sana sini dengan lelaki. Aku bebas untuk tidur dan hidup seperti suami isteri sedangkan kami bukan muhrim. Aku tidak segan silu mencium dan memeluk lelaki depan mata umum. Biarpun aku bergelar mahasiswa, bijak dan pintar namun masih bodoh dan mentah dalam menilai erti hidup. Hampir saban hari aku membeli suratkhabar untuk mencari peluang pekerjaan. Tidak cukup dengan itu, aku cuba memohon pekerjaan secara online di Jobstreet. Sambil menunggu panggilan kerja, aku banyak membantu ibu menguruskan hal-hal rumah. Sedih hatiku melihat ibu terkulat-kulat membuat sarapan dan segalanya seorang diri. Pernah ibu menyuruhku berehat sahaja namun kedegilanku untuk membantu ibu membuatkan ibu tersenyum. Sekurang-kurangnya apabila aku menyibukkan diri membuat kerja-kerja rumah dapat membantuku melupakan segala kejadian silam yang melukakan hatiku.

“Mak, mana ayah?” aku bertanya ibu tentang ayah yang tidak kelihatan sejak awal pagi tadi.

“Ayah kamu tu ada program di kompleks belia. Sebab tu dia keluar awal pagi lagi. Kamu tau je la kan ayah kamu tu memanjang je sibuknya. Macam-macam organisasi dia ikut. Kadang-kadang mak pun pening dengan ayah kamu tu. Kejap ada kejap takde” terang ibu sambil memasak.

“Ohh...ayah memang macam tu dari dulu kan mak. Tapi yang penting ayah tetap sayang mak” jawabku tersenyum.

“Ish...kamu ni, ada-ada je. Tua-tua pun bersayang-sayang lagi ke? Dah, pergi cuci segala pinggan mangkuk yang dalam sinki tu” arah ibu membuatkan kuketawa.

Petang itu aku perlu mengambil adikku di kolejnya. Biasanya, ayah akan mengambil adikku pulang dari kolej tetapi memandangkan ayah sibuk, maka aku perlu menggantikan tugas ayah. Aku perlu bergerak awal kerana apabila lewat petang, keadaan jalan raya akan bertambah sesak. Semasa aku di UiTM dahulu, aku tidak perlu untuk memandu kerana jarak rumah dan kampusku begitu dekat dan dalam 10 minit sahaja masa perjalanan. Oleh sebab itulah aku jarang pulang ke rumah biarpun dekat. Teman-temanku agak hairan kerana aku seakan-akan malas pulang ke rumah. Bagi mereka, sekiranya rumah dan kampus berdekatan, tidak perlu untuk susah-susah tinggal di hostel. Tapi, aku tidak begitu. Aku lebih suka berdikari biarpun segalanya dekat. Aku tidak ingin dicop sebagai ‘anak manja’. Sambil aku menunggu adikku, Aiman keluar daripada perkarangan kolejnya, Tiba-tiba aku mendapat satu panggilan telefon. Kuamati nombor yang terpampang di skrin telefonku, hmm..nombor pelik. Lantas kujawab panggilan itu.

“Good Evening. May I speak to Miss Alya Maisara?” kedengaran suara seorang perempuan di talian.

“Ya, speaking” aku menjawab berhati-hati sambil sedikit berdebar.

“We are calling from Paradigm Bank. Actually, we receiced your application and we would like to invite you to attend the interview session. Can you come on tomorrow morning at 10am?” balas suara itu lagi.

“Ohh..ya..ya..sure I will come” aku gagap seketika. “Okay, don’t forget to bring the resume and original certificates. See you tomorrow” balas suara perempuan itu mengakhiri perbualan. Alamak...! Aku dapat job interview esok tapi lupa pula bertanyakan nama pemanggil tadi. Gugup punya pasal, semua benda aku lupa...hishh...getus hatiku.  Pulang dari mengambil Aiman, aku terus memaklumkan kepada ibu dan ayahku tentang panggilan temuduga yang akan menantiku esok hari. Mereka seakan-akan gembira kerana baru seminggu aku berehat di rumah, sudah ada panggilan temuduga untukku. Tetapi, ini baru temuduga. Entah dapat entah tidak. Yang penting, aku perlu menunjukkan imej yang baik dan berkeyakinan semasa temuduga itu nanti. Malam itu, aku mempersiapkan resume dan sijil untuk temuduga esok. Baju kebaya berwarna merah jambu menjadi pilihanku. Harapanku cuma satu. Untuk kelihatan menarik di mata mereka. Biarpun imejku ringkas dengan hanya berbaju kebaya namun aku perlu kelihatan kemas. Sukar untuk aku melelapkan mata malam itu. Perasaanku bercampur baur. Gembira, resah dan takut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience