Bab 24

Other Completed 3853

Pagi itu aku terlewat bangun. Mulanya amat payah untuk aku lelapkan mata namun akhirnya kuterlelap jua. Itupun tidak kusedari jam berapa aku mula terlelap dek kerana terlampau banyak berfikir tentang bisikan aneh dan entah apa-apa lagi. Makin aku fikirkan makin gila nanti, ujarku dalam hati. Aku melangkah malas menuju bilik air untuk membersihkan diri dan perlu bersiap segera ke pejabat. Ikutkan hati mahu sahaja aku mengambil cuti namun kerana terfikirkan janji temu bersama peminjam serta banyak kerja yang bertimbun di meja pejabat, kupaksa diri juga.

Baru sahaja aku aku ingin mencapai stiletto merah di rak, ibu menegurku. “Lambat kamu ke pejabat hari ni”.

“Ya, mak. Sara terlambat bangun. Sara pergi dulu” balasku acuh tidak acuh.

“Hati-hati, nak. Jangan pandu laju-laju” nasihat ibu lagi dan aku langsung tidak mengendahkan ibu lalu berlalu menuju ke kereta. Aku bukan tidak mahu melayan ibu tetapi kepalaku berserabut dan fikiranku berkecamuk. Aku tidak ingin fikirkan apa-apa lagi. semua ni salah Karl! Kalau kami tidak bertelagah, sudah tentunya aku tidak serabut begini, dengusku dalam hati menyalahkan Karl.

Di pejabat, aku meneruskan kerja seperti biasa. Sekilas aku terpandang Kak Waheeda yang sedang khusyuk membuat beberapa fail. Ingin kutegurnya mengenai perkara yang berlaku tempoh hari namun aku perlu mencari masa yang sesuai. Kalau tidak, sudah tentu si Ammar, Noreen mahu pun Dania akan kecoh. Entah-entah mereka akan cakap aku ni gila. Aku tidak mahu sesiapa pun tahu akan hal yang berlaku kepadaku.

“Perhatian semua, kenalkan Rashidi, staf dari microfinance department yang dipindahkan ke department kita” tiba-tiba suara Kak Sherry mencelah mengumumkan sesuatu. Lelaki yang diperkenalkan sebagai Rashidi itu senyum dan mengangkat tangan kepada kami.

“Rashidi, ini tempat you. Anything you just cari I dalam office tu” Kak Sherry menunjukkan tempat duduk Rashidi yang bersebelahan dengan Ammar. Nampaknya Ammar ada kawan berceritalah selepas ni. Tidak perlulah lagi dia ke sana ke mari dari meja ke meja meluahkan perasaannya itu. Sejurus kemudian Kak Sherry berlalu, Noreen yang kaki penyibuk itu segera mendapatkan Rashidi.

“Bang…kenapa abang kena transfer kat department kitorang ni?” melulu sahaja pertanyaan Noreen namun sempat kukerling yang Rashidi hanya tersenyum simpul.

“Saja nak dekat dengan Noreen” jawab Rashidi cuba menyakat Noreen.

“Ish, abang ni. orang tanya serius, lah. Noreen lihat ramai sangat staf dari microfinance kena move sejak akhir-akhir ni” ujar Noreen tidak berpuas hati.

“Memang pun. Bos cakap nak close down department tu so kami semua pun kena transfer la. Mulanya mereka nak transfer abang di bahagian pemasaran tapi entah kenapa saat akhir mereka letak abang di bahagian pinjaman ni” panjang lebar Rashidi atau abah Rashidi member penerangan. Kulihat Dania, Ammar dan Kak Waheeda hampir terlopong mendengar cerita abang Rashidi itu.

“Agaknya nanti bahagian kita ni pun kena transfer juga, ke?” celah Ammar menunjukkan kegusarannya.

"Rasanya tidak sebab bahagian pinjaman ni dah dikira kuat berbanding department abang yang dulu. Department kami tu baru 3 bulan wujud tapi macam tak dapat survive la” ulas abang Rashidi lagi.

"Syukurlah kalau begitu. Tak dapat akak bayangkan kalau bahagian kita menerima nasib yang sama seperti mereka" tambah Kak Waheeda.

Aku sendiri pun hampir terkejut mendengar cerita abang Rashidi. Tidak sangka pula sampai begini keadannya hingga ada yang terpaksa ditukarkan ke bahagian lain. Silap-silap haribulan, ada pula yang bertukar ke cawangan lain. Kulihat abang Rashidi seakan-akan muda orangnya walaupun sudah berusia 40an. Tambahan pula abang Rashidi sudah pun berkahwin dan beranak lima. Isterinya juga merupakan salah seorang kakitangan Paradigm Bank yang bertempat di cawangan lain. Walaupun sudah bergelar senior staf yang berkhidmat hampir 15 tahun di bank tersebut namun sedikit pun abang Rashidi tidak berlagak sombong. Dia juga rajin bertanya sekiranya ada perkara yang sukar difahami malah jarang benar kulihat abang

Rashidi bersembang kosong. Ingin juga aku menegurnya dan bersembang namun aku belum seberani itu.

“Pssttt…Sara, hensem kan abang Rashidi” tiba-tiba Noreen menyiku lenganku saat kami berdua berjalan di kafeteria. Di sudut jauh sana, dapat kulihat abang Rashidi sedang berbual dengan teman-temannya sambil minum petang. Memang hensem tapi sayang, dah pun berkahwin. Ada anak lagi tu, jawab hati kecilku.

“Ishh…Sara, kau dengar tak ni?” ulang Noreen sekali lagi apabila melihatku seakan-akan tiada respon.

“Macam tu kau cakap hensem? Dia dah ada anak bini la, mana ada hensem lagi” balasku sambil memilih kuih kegemaranku. Dalam hati, memang benar kata Noreen itu. Masih tampan dan segak walaupun sudah beranak lima.

“Ya la. Hensem lagi abang Karl kau tu” dengus Noreen lantas membuatkan aku sedikit kaget. Nasib baik kuih-kuih yang aku pilih sebentar tadi tidak melambung. Mahu sahaja aku menyumbat kuih ke dalam mulut Noreen agar memperlahankan suaranya. Maklumlah, si kaki penyibuk merangkap penyampai berita yang lagi cepat daripada media massa!

“Apalah kau ni Noreen, diam sikit boleh tak? Tiba-tiba pula pasal Karl” aku menjeling tajam ke arah Noreen. Sejujurnya aku masih menanti dan mengharapkan Karl agar menghubungiku seperti selalu. Namun semenjak kami bertengkar pada malam itu sehinggalah ke hari ini, Karl langsung tidak menghubungiku. Selalunya, tidak kiralah siapa-siapa yang mulakan pertengkaran, Karl lebih rela mengalah dan memujuk tetapi hari demi hari Karl semakin jauh. Jauh dari hatiku. Takkanlah aku yang perlu menghubunginya? Buatnya si Farra tahu tak naya aku nanti? Lagipun aku sudah berjanji dengan Karl untuk bersetuju tentang setiap syarat yang ditetapkannya.

Setelah membayar harga minuman dan makanan yang dipesan, kami mencari dan memilih sudut di hujung. Ikutkan aku, mahu sahaja aku tapau kuih-kuih ini dan makan di pejabat namun ikutkan nafsu makan si Noreen ni, terpaksa kuturuti juga. Tidak kusangka juga yang abang Rashidi pun sedang minum petang di kafeteria. Aku sendiri pun tidak perasaan bila abang Rashidi keluar, maklumlah aku asyik menghadap komputer 24 jam.

“Babe…jom la lepak malam ni. Tak sporting la kau ni, Sara” ujar Noreen sambil menghirup teh tarik panasnya.

Aku merenung tepat wajah Noreen dan dia menyedari kuperhatikan sedemikian rupa. “Alaa…aku janji tak sakat kau dah. Sorry la, babe” balasnya. Bukan aku tak ingin keluar dengan teman-temanku namun adakalanya gurauan mereka amat keterlaluan. Itu yang membuatkan aku sedikit terasa dan mudah berjauh hati. Saat pertama kali masuk ke kelab dulu pun hampir membuatkan aku serik. Seboleh-bolehnya mereka menderaku dan aku masih ingat lagi topik ‘milo ais’ itu.

“Malaslah aku, sikit-sikit nanti kau dan Dania asyik sebut milo ais”.

“Sara, janganlah ambil hati sangat. Kitorang hanya gurau saja, la. Jom la Sara. Malam ni, ya. Ladies night tau. Lagi happening”.

“Tengoklah dulu”.

“La…nak tengok apa? Bulan mengambang? Tunggu bulan mengambang baru kau nak keluar? Serigala jadian ke kau ni, Sara?”.

Aku tumbuk mulut minah ni baru dia diam agaknya. Dengan wajah selamba dan bersahaja aku menjawab, “Serigala jadian apa class…aku kan vampire, mana boleh sembarang keluar”. Kata-kataku membuatkan Noreen memuncungkan sedikit mulutnya.

“Vampire konon, perasan”.

“Ye…aku ni macam vampire macam dalam cerita Twilight tu la. Siapa tu, si Bella, kan? Menjadi idaman setiap makhluk yang ada” dengan sedikit lagak aku bercekak pinggang.

“Suka hati kau la Sara nak jadi apa pun. So, macam mana? Mahu ke tidak? Kalau mahu aku beritahu Dania nanti”.

“Kali ni ke mana pula?”. Wajah Noreen seumpama bercahaya, seakan-akan aku bersetuju mengikutnya berhibur malam ini.

“Tempat malam ni istimewa sikit. Bukan calang-calang tempat dan bukan sembarangan orang yang boleh masuk. Tempat ni eksklusif dan private tau” Noreen mengangkat keningnya.

“Okey, kau ambil aku la malam ni. Malas aku nak drive”.

“My pleasure, thanks again Sara! Yahuuuu!”.

“Cepatlah makan kuih tu. Aku ada banyak kerja lagi nak buat ni sebelum balik”.

Malam itu aku bersiap sedikit berbeza daripada sebelum ini. Aku mengenakan solekan dramatik di wajah dan mengenakan bareback satin dress yang agak seksi dan terdedah. Gaya rambut kubiar terurai dengan sedikit berombak di hujungnya agar wajahku tampak lebih menyerlah sesuai dengan solekan. Aku tidak ingin lagi ditertawakan oleh Noreen dan Dania hanya kerana ‘milo ais’ itu maka kerana itulah penampilanku begitu jauh berbeza malam ini. Seketika kemudian, Noreen menghubungiku. Katanya dia sedang dalam perjalanan dan meminta aku supaya bersedia. Dalam pada itu, getar hatiku masih ada, bimbang kalau-kalau ayah atau ibu belum tidur. Sudah tentunya aku akan disuruh tukar pakaian atau lebih buruk lagi dilarang keluar. Sehingga kini, mereka langsung tidak mengetahui bahawa aku sudah pun menjejakkan kaki ke kelab malah sudah berani meneguk minuman keras.

“Sara, kau dah siap? Aku kat luar rumah ni, cepatlah. Nanti lambat pula kita sampai”.

“Kejap, aku nak keluar la ni” aku memperlahankan suara saat menjawab panggilan Noreen. Aku tidak mahu ahli keluargaku tahu aku berpakaian begini dan keluar pada tengah malam buta. Aku membuka pintu pagar perlahan-lahan lalu menguncinya kembali. Aku tidak perlu risau kerana aku selalu membawa kunci pendua ke mana sahaja aku pergi. Itulah untungnya. Aku membuka pintu kereta dan Noreen terlopong memandangku. “Apa lagi, cepatlah jalan. Tadi cakap takut lambat” aku memperbetulkan kerusi kereta.

“Lain benar wajah kau Sara. Memang betul-betul macam vampire. Sexy vampire” akhirnya Noreen bersuara juga setelah lama berdiam.

“Kau cakap tempat yang kita nak pergi malam ni istimewa dan eksklusif, kan? Jadi aku bersoleklah sewaktu dengannya. Kalau aku pakai baju kurung nanti kau perli pula”.

“Betul, Sara. Kau nampak berbeza malam ni. Bila kau pakai macam ni teringat aku dengan Catherine Zeta Jones, memang samalah” tak habis-habis Noreen memujiku. Di hati, terselit kuntuman bangga dan aku tersenyum.

“Okey, teruskan drving, Noreen. Jangan asyik sangat pandang aku ni. Kan tak pasal-pasal ke tempat lain pula kita ni”.

Dalam setengah jam perjalanan, kami tiba di tempat seperti yang Noreen katakan siang tadi. Memang betul-betul eksklusif dan private. Seperti tempat berhibur golongan berada mahupun berpengaruh. Rupanya Dania sudah lama menunggu kami. Seperti Noreen, Dania juga terlopong dan membulat biji matanya.

“Kenapalah korang berdua buat aku tak selesa? Aku tak sukalah korang pandang aku macam tu” aku menegur Dania yang langsung tidak berkata apa-apa setelah kami mendapatkannya.

“You looks georgeous, babe” Dania melahirkan rasa kagum saat melihat penampilanku pada malam itu.

“Habis tu selama ni aku tak georgeous, lah?” sengaja kumemancing Dania.

“Ehh…tak…bukan macam tu, hari-hari pun kau georgeous dan vogue tapi malam ni kau memang ‘panas’ la, babe” akhirnya ketawa kami memecah hening malam lantas kami berjalan masuk menuju ke dalam kelab itu.

Suasana kelab eksklusif itu jelas ketara berbeza dari kelab yang pernah kupergi sebelum ini. Maklum sahajalah, tempat eksklusif, semuanya serba terjaga, teratur malah pengunjungnya pun bukan calang-calang. Kalau tidak salah penglihatanku, terdapat beberapa tokoh korporat dan datuk-datuk yang pernah terpampang wajah mereka di dada-dada akhbar. Rupa-rupanya, di kelab ini tempat mereka bersantai dan berhibur. Kami memesan beberapa minuman. Kali ini lebih mahal malah jauh lebih hebat dari yang dahulu. Beberapa jenama minuman keras terhidang di meja kami. Sambil bercerita dan bergelak ketawa, kami juga turut menari. Sesiapa pun bebas mencari teman menari. Tiada had dan halangannya. Mulanya aku agak kekok untuk menari bersama teman yang tidak dikenali lebih-lebih lagi lelaki mat salleh namun atas paksaan Dania dan sebagai menghormati teman itu, akhirnya kumengalah jua. Sambil mengikut rentak alunan muzik, aku dipeluk erat oleh lelaki berbangsa asing itu. Seketika, tangannya mula menjalar ke pinggangku dan seterusnya ke bahagian punggungku. Aku sedikit terkejut dan kucuba untuk leraikannya namun lelaki itu lebih pantas bertindak dengan mengucup bibirku. Begitu kasar dan gelojoh kucupannya. Aku tahu di kala itu dia mabuk dan aku teringat akan kata-kata Noreen agar jangan melawan seandainya orang itu sudah terlalu mabuk. Kubiarkan sahaja perlakuannya lagipun bukan aku tidak pernah melalui semua ini. Setiap sudut wajahku malah badanku dikucupnya dalam suasana gelap itu. Siapa pun tidak peduli akan perlakuan kami. Dania dan Noreen entah ke mana hilangnya.

Selepas menari, lelaki asing itu membawa aku ke sebuah bilik yang memang sudah tersedia di kelab mewah itu. Aku masih lagi dalam dakapannya dan dalam pada itu, aku turut merasa sedikit nikmatnya. Maklum sahajalah, semenjak Karl sudah berkahwin, jarang sekali dia ingin bersamaku. Jika berjumpa pun hanya bercerita sahaja. Tiada lagi kemesraan dan keintiman yang ditunjukkan oleh Karl. Jadi, malam itu kurelakan sesiapa sahaja yang ingin menyentuhku. Aku ingin dibelai, dimanja dan disayang seperti waktu lalu namun pada siapa harus aku meminta semua itu? Peluang yang ada malam ini takkan kusia-siakan. Aku sudah tidak mahu peduli betul atau salah, baik atau buruk, dosa atau pahala. Yang penting aku puas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience