Bab 40

Other Completed 3855

Malam itu kami mengadakan BBQ. Mudah dan ringkas. Dengan cuaca yang sejuk dan berkabus begitu memang seronok berbual sambil memanggang BBQ. Terpancar kegembiraan di wajah ibu dan ayah lebih-lebih lagi dapat bermesra bersama Adam, anak kepada Rayyan Firdaus. Rayyan? Wajahnya dan namanya membuat aku seperti pernah mengenalinya namun aku sendiri tidak pasti bila dan di mana. Tidak banyak yang mampu kuingati tentang perkara lepas. Adakalanya apabila aku cuba untuk mengingati setiap apa yang berlaku kepalaku akan berdenyut sakit. Atas sebab itulah aku tidak mampu memaksa fikiranku mengingati seseorang.

Namun aku tetap bersyukur Allah SWT masih memberi peluang untuk aku bernafas kembali. Aku akui yang aku telah lupa bagaimana untuk solat dan melakukan ibadah yang lain sebagai tanda mengagungkan kebesaranNya namun ibu dan ayah sentiasa membantuku untuk bangkit kembali mengenal Tuhanku. Sesungguhnya aku malu dan merendah diri terhadapMu, Ya Allah. Setelah apa yang kulalui sebelum ini, Kau masih ingin memberiku ruang dan peluang untuk kubertaubat kepadaMu. Aku takut siksaanMu, Ya Allah. Sesungguhnya Kau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sedikit demi sedikit ingatanku menerjah kembali pada peristiwa beberapa hari lepas.

“Mak” sapaku ringkas. Ibu yang sedang asyik membaca buku Nota Dari Madinah hasil karya Roza Roslan dan Muhd Kamil Ibrahim itu segera meletakkan kaca matanya lalu memandangku. “Ada apa, Sara?”.

“Mak, Sara nak minta tolong boleh?” Ibu terus mendekatiku dan menganggukkan kepalanya.

“Sara nak solat tapi Sara tak tahu, maksud Sara…Sara dah lupa, Sara langsung tak boleh ingat, mak” aku menekup muka. Ibu yang seakan faham akan niatku segera memelukku.

“Kita solat sama-sama, sayang. InsyaAllah semuanya akan pulih”. Sepanjang hari itu aku mengikut ibu bersolat. Apabila ayah pulang kami berjemaah bersama. Sebelah malamnya ibu mengajar aku mengaji. Aku gagap dalam setiap bacaan malah kekok dalam bersolat. Hampir setiap pergerakanku terbatas namun sudah kuniat di dalam hati bahawa aku mesti berubah dan bertaubat kepadaNya. Aku hampir menitiskan air mata kerana dengan sekelip mata aku boleh lupa segalanya. Aku ibarat anak kecil yang baru sahaja ingin mengenal dunia. Hidupku seakan kosong dek tersasar jauh dalam dunia kegelapan dan kejahilan suatu ketika dahulu.

Dengan perlahan Allah SWT menarik balik nikmatNya yang dipinjamkan sementara kepadaku. Aku manusia bodoh lagi hina yang tidak pernah bersujud mengaku keesaanNya. Aku bongkak dan takbur atas segala yang diberikanNya kepadaku. Aku lupa bahawa setiap apa yang kumiliki hanya bersifat sementara. Ya Allah, bantulah hambaMu kembali ke jalan yang diredhaiMu. Teguhkanlah hatiku serta tetapkanlah iman dan pendirianku. Sesungguhnya aku mengaku Kau Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu itu.

Surah Al-Baqarah ayat 117: “Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah! Maka jadilah ia”.

“Assalamualaikum” lamunanku terhenti apabila Rayyan memberi salam. Cepat-cepat aku membetulkan tudungku yang ditiup hening angin malam.

“Maaflah saya mengganggu Sara. Saya tengok Sara merenung jauh. Sedang memikirkan sesuatu?”. Aku menggelengkan kepala. Sekali lagi rasa segan menyalinap di segenap ruang hatiku. Agaknya Rayyan perasan yang aku sedang mengelamun. Penuh sabar lelaki di hadapanku ini. Sepanjang hari ini sahaja, setiap pertanyaannya kujawab dengan sekadar anggukan dan gelengan. Tidak patut juga aku melayannya sedemikian rupa. Orang berbudi kita berbahasa.

“Rayyan, err…” aku mati kata. Rayyan memandangku sambil tangannya masih ligat memanggang segala jenis perapan yang telah kami sediakan siang tadi.

“Ada apa Sara?”.

“Mana mak dan ayah?” segera kuteringatkan ayah dan ibu sambil mataku ligat memandang sekeliling mencari mereka.

Rayyan tersenyum. “Pakcik dan makcik dah bawa Adam masuk. Lagipun angin malam tak baik untuk Adam, nanti badannya cepat sejuk dan senang masuk angin”.

“Comel Adam, kan? Dia sentiasa aktif dan ceria” aku terbayangkan kecomelan anak kecil itu. Aku bukanlah seorang yang mesra dengan kanak-kanak. Mungkin kerana jarak aku dan Aiman juga begitu jauh maka aku jarang menggemari anak kecil. Tetapi, apabila bersama Adam, hatiku seakan terpaut dan terpanggil untuk melayani karenah anak kecil itu. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Mujur juga Adam senang mesra apabila bersama dengan sesiapa sahaja.

“Adam memang sentiasa aktif. Kadang-kadang tak cukup tangan juga dibuatnya” keluh Rayyan mengenangkan permata hatinya itu. Namun, kepada Adam sahajalah tempat dia mencurahkan rasa kasih dan sayang walaupun anak kecil itu belum memahami segalanya. Dia bertekad akan menjaga dan membesarkan Adam sebaik mungkin kerana itulah janjinya terhadap arwah isterinya.

“Rayyan, saya macam pernah lihat awak sebelum ni. Maksud saya sebelum awak jadi penghantar murtabak sardin”. Aku cuba untuk memberanikan diri berbual dengannya. Tambahan pula persoalan ini kerap bermain di benak fikiranku. Entah kenapa aku asyik terfikirkan Rayyan. Seolah-olah ada sesuatu di antara kami. Rayyan ketawa dan aku tercengang kehairanan. Rasanya, ayat aku memang betul.

“Di mana lagi awak pernah lihat saya” kali ini Rayyan mula senyum.

“Maaf, saya tak ingat. Saya tak boleh ingat apa pun. Saya cuba tapi tak dapat” aku memegang kepalaku bimbang ia berdenyut kembali.

Rayyan menghampiriku. Ada riak cemas dan gusar di wajahnya. “ Awak okey ke Sara? Saya minta maaf, saya tak berniat nak persendakan awak”.

“Takpe, saya dah biasa macam ni. Kadang-kadang sakit kepala tu datang bila saya paksa diri” terangku agar dapat meleraikan kegusarannya.

“Memang benar awak pernah melihat saya. Itu pun masa zaman persekolahan awak dulu” dengan tenang Rayyan memulakan bicara.

“Apa maksud awak?”.

“Awak seorang pelajar pintar dan cemerlang. Awak rajin membantu kawan-kawan dalam pelajaran. Semua guru memuji awak termasuklah saya”. Serta-merta aku memandang tepat ke wajah Rayyan. “Err…jadi awak ni cik..guu” dengan secara automatik aku jadi gagap!

“Ya, saya cikgu awak, Sara”. Sekali lagi aku mati kata dan mati akal. Sungguh aku tidak menyangka sama sekali bahawa lelaki di hadapanku ini adalah guru sekolahku suatu masa dahulu. Guru yang banyak membantu kami dalam pelajaran. Seorang guru yang berdedikasi dan komited. Sentiasa meluangkan masa mendengar permasalahan setiap pelajarnya. Maka, tidak hairanlah mengapa aku terasa di antara kami punya sesuatu. Rupanya, Rayyan Firdaus adalah guru itu.

“Itu cerita lama, Sara. Kebanyakan kawan-kawan awak telah pun berkeluarga. Awak masih ada menghubungi mereka?”. Aku menggeleng. Tunduk. Sekali lagi aku tidak mampu untuk mengingat sejauh itu.

“Err…saya minta maaf. Tak patut saya bertanya awak begitu. Elok awak masuk dulu. Biar saya dan Aiman saja yang kemaskan semua ni”. Cepat-cepat Rayyan meminta maaf setelah sedar riak wajahku sedikit berubah.

“Baiklah” jawabku ringkas sambil berlalu meninggalkan Rayyan. Sekelumit perasaan marah langsung tiada di dalam hatiku. Ikutkan hati aku mahu berbual lagi. Aku ingin tahu tentang peristiwa lampau. Aku ingin tahu apa yang berlaku. Namun semua itu perlukan masa. Masa untuk aku mengingat kembali.

Malam itu aku tidak lena tidur. Hening angin malam di daerah Kundasang tidak mampu membuat aku lena apatah lagi kepalaku masih ligat memikirkan semua yang berlaku. Apa yang berlaku? Ya, sesetengah perkara yang berlaku yang tidak tercapai oleh akalku. Kucapai telefon bimbit dan kubuka aplikasi himpunan surah dan zikir yang baru dimuat turun siang tadi. Itupun Aiman yang
mencadangkan. Kupilih beberapa zikir untuk dibaca agar fikiranku tidak terus-menerus memikirkan persoalan lalu. Air mataku bergenang setiap kali kalimah Allah SWT lahir dari mulutku. Mulutku yang suatu masa dahulu penuh lancang menghina Tuhanku tetapi kini diberikan kemudahan dan kesenangan olehNya untuk memujiNya. Ya Allah, betapa berdosanya aku terhadapMu! Dalam kalimah zikir itu akhinya aku tertidur.

“Sara, bangun solat Subuh, nak” kudengar suara ibu di telefon yang mengejutkanku untuk solat Subuh.

“Dah pukul berapa ni, mak?” soalku sambil menggosok mata yang masih lagi mengantuk. Aku kurang pasti bila waktunya aku terlena sendiri malam tadi.

“Nak dekat enam pagi, sayang. Sara nak mak temankan Sara di bilik?”.

“Ehh, tak apalah mak. InsyaAllah Sara cuba belajar sendiri. Terima kasih sebab kejutkan Sara”.

“Kalau Sara nak apa-apa, mak ada di bilik sebelah ni, ya. Adam pun masih tidur lagi ni”.

“Adam tidur dengan mak? Mana Rayyan?” mataku sedikit bulat. Mana tidaknya, satu kejutan untukku apabila ayah dan ibu tidur bersama Adam.

“Biarlah Rayyan berehat. Dia pun dah penat memandu kelmarin. Kamu solat dulu. Lepas tu kita sarapan bersama”.

“Baik, mak” telefon kuletakkan. Kepalaku sedikit pening akibat kurang tidur malam tadi. Namun, aku mesti bersolat dalam
keadaan apa sekali pun. Aku cuba untuk mengingat niat solat Subuh dan setiap bacaannya. Sungguh sukar namun kubertekad untuk tidak mengalah. Betapa naif dan bodoh diriku ini di saat memuji Tuhanku. Hari itu, setelah bersarapan kami melawat ke beberapa tempat menarik seperti Poring Hot Spring, Desa Dairy Farm, Taman Kinabalu dan pekan Kundasang. Kami bermalam di Kundasang selama dua hari atas cadangan ayah. Kata ayah sudah agak lama keluarga kami tidak bercuti bersama begitu juga dengan Rayyan. Walaupun agak letih namun jauh di sudut hati aku sangat bahagia apabila bersama keluarga. Seakan terasa seperti barang yang hilang kini telah kembali. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani, masih memberiku peluang mengecapi kebahagiaan bersama mereka yang aku sayang. Sungguh besar nikmatMu Ya Allah.

“Sara” Rayyan menghulurkan sekuntum ros kuning kepadaku.

“Untuk Sara?” aku menyambut baik ros kuning itu lalu menciumnya. Terlalu cantik. Rayyan mengangguk tersenyum.   

“Saya beli di pekan Kundasang. Saya harap Sara sukakannya”.

“Amat cantik tapi apa makna di sebalik warna kuning ni? Kenapa bukan merah?” aku teruja ingin tahu.

“Sebagai tanda persahabatan dan permulaan pada sesuatu yang baru. Saya harap Sara sudi bersahabat dengan saya, si penghantar murtabak sardin” ujar Rayyan lalu kami sama-sama ketawa. Penghantar murtabak sardin, gelaran yang sering membuat aku tersenyum sendiri.

“Hmm…maaf Rayyan, Sara tak berapa arif sangat pasal ni” aku tunduk. Malu juga rasanya sebab Rayyan lebih arif mengenai warna bunga berbanding diriku.

“Tak kisahlah, Sara. Yang penting Sara sukakannya”. Semenjak pulang dari bercuti di Kundasang, hubunganku dengan Rayyan semakin baik. Hubungan sekadar teman dan sahabat. Rayyan banyak membantuku dalam mendalami soal agama. Jika dahulu aku amat keberatan dan sangsi terhadapnya namun perasaan itu beransur hilang sedikit demi sedikit. Rayyan juga turut membelikanku beberapa jenis tudung. Kini, aku mulai berhijab sepenuhnya. Bukan kerana Rayyan tetapi kerana Dia. Aku takut akan azab siksaNya. Aku tidak sanggup menanggung azab siksa Allah SWT sewaktu aku terlantar koma dahulu. Bayangan aku disiksa itu akan tetap kekal di dalam benak fikiranku. Cukuplah hanya aku sahaja yang tahu.

Selama mengenali dan bersahabat dengan Rayyan, dia banyak bercerita tentang dirinya, Adam dan arwah isterinya. Kuakui, memang sukar untuk Rayyan menempuh segalanya sendiri namun berkat usaha dan tawakal kepada Allah SWT, Rayyan mampu menjaga Adam dengan baik. Tambahan pula setelah mengenali keluargaku hidup Rayyan seperti ada sedikit perubahan. Dia tidak lagi murung dan bersendiri seperti dahulu. Sedikit sebanyak aku mula mengerti bagaimana Rayyan begitu mesra dengan keluargaku.

Petang itu, aku meminta izin daripada ayah dan ibu untuk keluar bersama Rayyan bagi membeli beberapa barang keperluan Adam. Lagipun sudah lama benar aku tidak melihat dunia luar selain dari Kundasang. Menurut kata doktor aku perlu berehat secukupnya kerana bimbang sakit kepalaku akan menular kembali. Setelah membeli barang-barang Adam, Rayyan membawaku makan. Sekali-sekala aku terhibur melihat gelagat Rayyan yang riuh mencari keperluan Adam. Sempat juga Rayyan menelefon ibuku bertanyakan jenis dan saiz pakaian untuk Adam. Maklumlah ibu lebih expert dalam hal-hal sebegini.

“Rayyan, kalau tak keberatan, boleh Sara tanya?” aku memulakan perbualan. Kali ini aku lebih yakin berbanding dahulu.

“Okey, tanyalah” jawab Rayyan sambil mulutnya penuh mengunyah mee goreng mamak special.

“Tentang arwah isteri Rayyan, Suraya” Rayyan terhenti seketika. Matanya tepat memandangku.

“Maaf kalau Sara tanya pasal tu” aku mula tidak senang hati. Manalah tahu kalau-kalau Rayyan terasa atau belum bersedia tentang itu tetapi aku sudah pun mula menyoalnya. Spesis macam aku ni pula jenis yang sentiasa melulu dan meluru menyoal itu ini. Ishh! Bongoknya aku! Tak kena timing.

Dengan wajah tenang Rayyan senyum. “Pasal tu ke Sara nak tahu?”. Aku mengangguk perlahan. Sebenarnya aku saja-saja nak tahu tetapi andainya Rayyan tidak ingin memberitahu dan jika tidak ada sebab kukuh untuk aku perlu tahu rasanya itu tidak menjadi masalah.

“Suraya pergi mengadap Illahi sewaktu Adam berusia dua tahun. Dia accident. Dah setahun berlalu dan sedar tak sedar kini Adam dah tiga tahun. Saya melalui semuanya dalam keadaan yang serba tak tentu arah. Saya hampir hilang punca dan arah tuju. Saya amat menyayangi Suraya. Saya berjanji dengannya untuk tidak sia-siakan Adam walau dalam keadaan apa sekalipun. Dalam hidup ni, saya cuma ada arwah isteri saya dan Adam” Rayyan terdiam seketika. Peristiwa lalu menggamitnya kembali. Mana mungkin dia boleh lupakan peristiwa malang itu. Semuanya sudah tersurat untukknya dan dia perlu redha dan pasrah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Saya tak sempat berjumpa dengannya. Sebelum kejadian, Suraya menelefon saya. Katanya dia ada kejutan buat saya. Saya tak sangka kejadian itu merupakan kejutan terakhir daripadanya” manik jernih bergenang di kelopak mata Rayyan namun segera dia menyaka bimbang Sara akan menyadarinya.

“Tentu Adam tercarikan ibunya, kan?” celahku untuk cuba mententeramkan sedikit perasaan Rayyan ketika itu. Siapa pun akan bersedih jika kehilangan orang yang tersayang. Rupanya, aku masih bernasib baik kerana diberi kesempatan olehNya untuk hidup kali kedua agar aku dapat memohon keampunan dan kemaafan daripada mereka yang pernah aku sakiti suatu ketika dahulu.

“Setiap masa Adam mencari mummynya.  Pernah suatu malam Adam merengek dan tidak dapat tidur, mungkin teringatkan Suraya. Setiap malam Suraya akan dodoikan Adam dengan lagu-lagu kegemaran Adam. Masa tu saya langsung tak tahu nak buat apa. Saya menangis dan peluk Adam” kali ini aku dapat rasakan suara Rayyan sedikit bergetar. Perasaan sebak mula menguasai diriku.

“Rayyan, Sara minta maaf sebab buat Rayyan sedih. Sara tak bermaksud apa-apa” aku mula gusar.

“Bukan salah Sara lagipun Sara berhak tahu. Saya terima semua ni dengan hati yang terbuka” tutur Rayyan perlahan walaupun emosinya masih lagi tersentuh.

“Err…dah lewat petang ni. Rasanya elok kita balik sekarang. Nanti mak dan ayah Sara risau” cepat-cepat aku mengubah topik perbualan. Nanti tak pasal-pasal dengan aku sekali banjir air mata. Dalam diam aku kagumi Rayyan. Cintanya terhadap Suraya dan kehidupannya membesarkan Adam sungguh menyayat hati. Walaupun dia seorang lelaki dan dari segi luaran dia tampak tenang namun jauh di sudut hati dia seorang yang penyadih. Dalam dunia ini manakan mungkin ada begitu ramai lelaki seperti Rayyan. Yang sanggup berkorban dan mendahulukan keluarganya daripada dirinya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience