Bab 42

Other Completed 3853

Kini November hampir melabuhkan tirai dan sejak akhir-akhir ini cuaca kerap mendung serta hujan renyai-renyai sentiasa mengiringi waktu pagi. Syukurlah apartment yang aku sewa ini berhampiran dengan universiti dan hanya mengambil masa selama lima belas minit sahaja seandainya berjalan kaki. Malah terdapat banyak kedai berhampiran dengan tempat tinggalku dan ini amat memudahkan kami membeli barang-barang keperluan seharian. Suasana yang dingin sebegini di Bolton menguatkan lagi rasa rinduku pada mereka di Malaysia. Sedar tidak sedar sudah hampir tiga tahun aku di negara orang dan boleh dikatakan hampir saban hari aku tidak lupa menghubungi keluargaku. Aku rindu ibu dan ayah. Adam juga sudah mencecah lima tahun dan semakin cerdik. Kadang-kadang aku terkekek sendiri mendengar pelat Adam semasa bercakap di telefon. Rayyan memberitahu bahawa Adam sudah mula bersekolah di tadika. Awalnya, sukar untuk Adam berpisah daripadanya namun dengan bantuan ibu dan ayahku, Adam kini mula seronok ke sekolah. Mendengar cerita mereka sahaja membuat hatiku melonjak tidak sabar untuk kembali. Entah bila aku dapat bertemu mereka. Semenjak aku memulakan pengajian di sini, belum pernah aku pulang ke Malaysia. Aku perlu berjimat dari segi kewangan. Adakalanya aku bekerja separuh masa untuk menampung kehidupanku di kotaraya serba mewah ini. Aku tidak mahu membebankan ibu dan ayah dengan menghantar wang kepadaku. Kadang-kadang aku turut mengirim wang dan cenderahati kepada mereka sebagai tanda kenangan serta pengubat rindu. Tak ternilai pengorbanan mereka selama ini buatku. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas pengorbanan mereka.

Di samping itu, aku turut bersyukur mempunyai teman-teman yang banyak membantu terutamanya dari segi agama. Mereka tidak pernah lokek ilmu. Setiap minggu kami sering mengadakan usrah dan beberapa aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di kampus. Dosa silam lalu mengajarku tentang banyak perkara dan aku tidak mahu terjerumus lagi.

Surah AlHujurat. Ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

“Hari ni takde training Badminton ke, Sara?” Suzana, teman sebilikku menegur. Sebenarnya, di universitiku terdapat pelbagai aktiviti sukan dan riadah seperti water sports, bola keranjang, badminton, bootcamp blast, boxercise dan banyak lagi untuk para pelajar merehatkan minda setelah seharian bertungkus lumus belajar. Kalau diikutkan semua jenis sukan aku suka tetapi memandangkan keadaan fizikalku yang tidak lagi kuat seperti dulu, aku hanya memilih Badminton. Adakalanya juga setiap hujung minggu aku bersama teman-teman yang lain menghabiskan masa menyartai park run, ia merupakan sejenis larian seperti marathon yang sering diadakan di kampus kami.

“Takde, Zana” senyumku kepadanya lalu kembali menyambung tugasan yang diberi oleh pensyarah. Suzana merupakan teman bilikku di apartment yang kami sewa ini. Dialah antara salah seorang teman-temanku yang tidak jemu membantuku dalam mengenal Islam kembali. Segala kisah lalu kuceritakan kepadanya. Katanya, apa yang aku lalui selama ini adalah ujian besar dariNya dan aku perlu kuat untuk bersabar dan bermohon agar segalanya dipermudahkan.

“Hujan-hujan macam ni mesti best tidur” Suzana terus merebahkan badannya di katil sambal menggeliat malas. Aku tersenyum kecil lalu menggelengkan kepala. Pandangan kualihkan ke luar jendela. Keadaan dan cuaca di luar masih basah dan sejuk. ‘Suatu hari nanti Sara akan bawa mak dan ayah ke sini. Sara janji’ azamku di dalam hati.

Tinggal sebulan lagi pengajianku bakal berakhir. Aku sering berangan untuk membawa keluargaku terutamanya ayah dan ibu ke sini. Kali ini, perasaan berjauhan daripada keluarga begitu perit kurasakan. Kalau dahulu, berjauhan daripada merekalah merupakan perkara yang membuat aku gembira tetapi kini jauh sama sekali. Kuakui, setiap kali aku menghubungi keluargaku, linangan air mata mengalir laju. Aku rindu. Aku sebak. Aku mahu cepat-cepat pulang ke pangkuan mereka. Selang seketika ingatanku menerpa terhadap Rayyan. Masih terngiang ucapannya dan harapannya untuk menjadikan aku teman istimewa namun saat itu kutolak dengan baik. Aku belum bersedia sepenuhnya. Aku tahu sedikit sebanyak Rayyan agak terasa dengan penjelasanku namun dia sungguh tenang menghadapinya. Itulah salah satu keistimewaan lelaki itu. Cukup sabar dan tenang dalam apa jua keadaan.

Peperiksaan tahun akhir kutempuh dengan tenang walaupun jiwaku diamuk rindu terhadap keluargaku. Setiap masa kufokuskan dengan mentelaah pelajaran dan aku juga banyak menghabiskan masa di perpustakaan. Lebih menarik perkhidmatan di perpustakaan universiti ini dibuka sehingga 24 jam. Maka tidak sukar untuk aku terus-menerus mengulangkaji bersama teman-teman di sana. Seperti yang telah aku janjikan, aku tidak mahu lagi mengecewakan harapan keluargaku terutama ayah dan ibu. Aku akan berusaha mengikut kemampuanku, selebihnya kuhanya berserah dan bertawakal kepadaNya.

“Sara, kau rasa kita boleh score straight A’s, tak?” soal Zana sambil ligat mengemas pakaian dan memasukkannya di dalam luggage  beg.

“InsyaAllah, Zana” senyumku. “Apa yang penting, kita dah berusaha. Selebihnya kita bertawakal saja” jawabku kembali dengan perasaan yang sungguh tenang. Tenang kerana usaha, pengorbanan dan penantian selama tiga tahun di tempat orang kini berakhir. Hari itu, kami amat sibuk mengemas segala pakaian dan beberapa barangan kerana lusa kami akan kembali ke tanah air tercinta, Malaysia. Mujurlah tidak banyak pakaian selama aku di England, kalau tidak sudah tentu aku terpaksa mengangkut beberapa buah beg. Perasan rindu untuk meninggalkan tempat ini tetap ada, namun aku berjanji untuk akan kembali lagi dengan membawa keluargaku bersama apabila menghadiri konvokesyan nanti. InsyaAllah dengan izinNya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience