Bab 30

Other Completed 3855

Kini telah genap enam bulan aku tinggal bersama Dania dan Noreen. Selama aku menyawa bersama teman-temanku sedikit sebanyak kesunyianku terubat. Siang malam bergelak ketawa dan bebas ke sana ke mari. Walaupun siang hari agak letih, namun aktiviti malamku tetap berterusan seperti biasa. Ya, aktiviti ‘clubbing’ ku semakin ligat. Hampir seluruh kelab yang ada di bandaraya ini telah kami jejaki malah beberapa tauke kelab tersebut sudah mula mengenali kami. Adakalanya kami minum di bar hingga ke pagi dan bebas melayan keinginan beberapa lelaki yang tidak dikenali. Aku puas dan gembira dengan cara hidup yang aku pilih ini. Tiada siapa yang berhak menentukan hidup dan masa depanku. Aku sendiri yang berkuasa ke atas kehidupanku. Aku juga telah mula berjinak-jinak dengan rokok. Semuanya kerana ingin mencuba sesuatu yang baru. Aku tidak kisah semua itu.

“Babe, kau rasa abang Rashidi tu handsome ke?” soal Noreen dalam keadaan separuh mabuk.

“Aku tak rasa dia lagi. Ha…ha…” jawabku sambil meneguk sisa vodka yang masih lagi berbaki.

“Dia syok kat kau tu. Kau trylah dulu. Lepas kau try then kau bagitau aku erk” jawab Noreen sambil matanya pejam celik. Minah ni kalau dah minum memang tak ingat dunia. Ada sahaja cerita yang terpacul keluar secara automatik dari mulutnya. Sekejap cerita skandalnya, alih-alih abang Rashidi pun boleh dijadikan cerita.

Sebenarnya, sejak akhir-akhir ini aku juga mula perasan yang abang Rashidi kerap berbual denganku. Jika dahulu, dia gemar bersendirian dan bercakap apabila perlu. Namun, sejak peristiwa ‘penghantaran pizza’ tempoh hari, kini hampir setiap hari dia gemar bercakap mengusikku. Aku selesa dan senang dengannya walaupun usia kami jauh berbeza. Walaupun di usia empat puluhan, abang Rashidi tetap kelihatan muda. Ada satu perkara yang membuat aku begitu selesa apabila berbual bersama abang Rashidi. Dia seorang pendengar yang setia dan sering memberi pendapatnya sendiri. Biarpun adakalanya pendapat kami bercanggah, namun rasa rendah dirinya itu membuat aku hormat kepadanya. Tidak hairanlah jika teman-teman sepejabat yang lain juga amat menyanangi abang Rashidi. Seperkara lagi, abang Rashidi gemar menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja. Ringan sahaja tangannya untuk menderma dan menolong. Itu juga antara perkara yang membuatkan aku mengagumi abang Rashidi.

Sepanjang malam itu aku tidak lena untuk tidur. Walaupun bergelas minuman haram itu kutelan namun sedikit pun tidak memberi kesan pada mataku. Kepala otakku ligat memikirkan abang Rashidi. Entah betul atau tidak apa yang Noreen katakan semasa mereka di bar. Jika benar abang Rashidi menaruh hati padanya, rasanya sukar untuk percaya kerana abang Rashidi seorang suami yang setia dan ayah yang penyayang. Lagipun, abang Rashidi punya prinsip dan pendirian yang tegas. Andainya abang Rashidi melayannya dengan baik tidak semestinya abang Rashidi menaruh hati padanya. Mungkin layanan seperti itu tidak lebih dari teman sekerja.

“Sara…jomlah! Dah lambat ni tau” suara Noreen mengejutkanku. Kulihat dia telah pun siap berpakaian dan berhias. Aik? Bukan malam tadi dia begitu mabuk dan kini telah terpacak betul-betul di depanku. Kulihat jam di telefon, hampir jam sebelas pagi. Awal lagi ni, aku menekup mukaku dengan bantal. Haruman yang dipakai oleh Noreen betul-betul buat hidungku tersumbat. Entah minyak atar mana yang dirembatnya.

Sebenarnya hari ini Noreen akan memperkenalkan aku dan Dania kepada teman yang baru dikenali dari laman Fac. Aku merasakan agak malas untuk ke mana-mana apatah lagi benda sama juga yang akan dilakukan lagi. Apa lagi kalau bukan makan, menonton wayang atau bermain snooker. Sakit yang mencengkam kepalaku dari malam tadi pun belum hilang.

“Aku malaslah, sakit kepala” aku menggeliat malas sambil meletakkan tangan di kepala.

“Alah….tak sporting la kau ni, Sara. Janji nak pergi sama. Aku takde kawanlah gini” masam mencuka wajah Dania.

“Suka hati koranglah. Aku tak nak pergi. Aku nak tidur puas-puas” kutarik selimut dan kututup telinga. Malas mendengar bebelan mereka berdua. Tidak habis-habis memaksa orang.   

“Dah la tu, Dania. Jom blah. Rugi Sara kalau kau tak join kitorang malam ni. Manalah tahu dia bawa kawannya sama” usaha terakhir Noreen untuk cuba memujukku.

“Takpe. Kalau dia bawa sedozen kawannya, kau bagi je kat Dania tu” senyumku sinis.

“Ishhhh!!!! Kitorang gerak dulu” Noreen menghentakkan kaki sambil berlalu pergi.

Serentak kemudian, aku terus ketawa. Memang janggal kalau kami bertiga tidak bersama. Maka tidak hairanlah jika Noreen dan Dania sanggup menggunakan apa cara untuk mengajakku bersama. Pernah suatu masa dahulu aku tidak ingin mengikuti ajakan mereka. Berhari jugalah si Dania tidak menegurku, mengalahkan pasangan kekasih! Noreen pula berbeza, dia sanggup untuk membelanja makan sehingga aku kenyang sepuasnya. Kali ini aku tidak minta apa-apa, kepalaku benar-benar sakit dan aku ingin rehat di rumah sahaja. Sedang aku asyik dibuai mimpi, telefon bimbitku berdering. Aku membiarkan sahaja kerana kuagak Noreen atau Dania yang menghubungiku. Andainya mereka datang mengheretku sekalipun, aku tetap tidak mahu berganjak dari tempat tidur. Kali ini telefonku menjerit lagi minta dijawab. Hish!! Siapa lagi ni? dengusku sendiri sambil melihat skrin. Tiada nama pemanggil.

“Hello, cari siapa?”.

“Cari Sara” serta merta mataku terbuntang seraya mendengar suara di talian.

“Siapa ni?” aku melihat lagi skrin telefon untuk memastikan nombor yang tertera.

“Sara, ni abang Rashidi la”.

“Ohh…ingat siapa tadi. Mana abang dapat nombor Sara ni?” terkejut beruk juga aku tiba-tiba sahaja abang Rashidi menghubungi malam sebegini. Setahu aku, memang tidak pernah aku memberi nombor telefonku kepadanya.

“Sorry sebab abang call mengejut macam ni. Abang minta nombor Sara daripada kak Sherry petang semalam. Kebetulan masa tu Sara dah takde jadi abang terus tanya dia”

“Macam tu rupanya. Sorry Sara pulang awal semalam sebab sakit kepala. Ada apa hal ni, bang? Macam urgent je bunyinya”.

“Isnin depan abang kena pergi booth dengan beberapa staf dari bahagian pemasaran. Jadi abang nak minta tolong sikit kat Sara ni”.

“Laa…Isnin depan ke booth kita tu? Sara terlupa la bang” aku menepuk dahi berkali. Memang aku benar-benar terlupa tentang booth. Sebenarnya memang setiap bulan kami akan membuka booth atau gerai bagi mempromosikan produk-produk bank. Biasanya setiap orang daripada kami diberi giliran. Dua bulan lepas giliranku bersama Yati dan Zue dari bahagian call centre. Dua hari jugalah kami berkampung di pusat membeli belah bagi mempromosikan produk bank.

“Ehh..apa tadi tu? Abang nak minta tolong kat Sara?”.

“Ha’ah…cik adik. Ada beberapa fail customer yang ada kat meja abang. Jadi abang nak minta tolong sangat kat Sara untuk proses kesemua fail tu sebab kak Sherry minta submit Selasa ni. Abang kan kat booth jadi susah sikit nak rush pergi office”.

“Ohh…tu je ke? Ingatkan apa tadi. berdebar Sara tau. Isnin nanti Sara cuba proses, lepas siap Sara terus hantar dengan kak Sherry”.

“Terima kasih banyak, Sara. Abang pun tak tahu dah nak minta tolong kat siapa. Di kepala ni cuma terlintas Sara je. Entah ubat guna-guna apa yang Sara pakai ni”  gurau abang Rashidi.

“Ish…orang tak mainlah guna-guna ni. Sara ni original tau” balasku sambil tersenyum, sedikit bangga.

“Ya, Sara memang original, satu dalam berjuta. Eh, tadi Sara cakap sakit kepala kan? Macam mana sekarang, dah okey? Dah pergi klinik? Dah makan ubat?” ujar abang Rashidi sebelum kami menamatkan perbualan.

Alahai abang Rashidi ni, bertubi-tubi soalan yang ditujukan. Satu soalan pun belum terjawab lagi. “Sara makan panadol je. Malas nak pergi klinik”.

“Nak abang tolong hantarkan pergi klinik?”.

“Eh…tak payah susah-susah. Sara nak rehat je ni”.

“Jangan macam tu, Sara. Nanti makin melarat susah pula. Mana Dania dan Noreen? Minta tolong mereka bawa Sara pergi klinik sekarang”.

“Mereka dah keluar tadi. Sara malas nak ikut mereka keluar”.

“Okey, kalau macam tu Sara bersiap sekarang. Kita pergi klinik. Bagi alamat Sara dan tunggu abang situ” arah abang Rashidi dan aku ternganga seketika mendengar arahannya.

“Takpe, bang. Sara masih kuat lagi. Sara dah makan ubat” makin sakit pula rasanya apabila berdebat dengan abang Rashidi gara-gara untuk ke klinik sahaja. Pendek kata, sesiapa yang berdebat memang kalah dibuatnya. Akhirnya, aku bersetuju untuk diambil. Entah-entah sampai esok pun tak selesai berdebat jika masing-masing tak mahu mengalah. Lebih kurang satu jam menunggu, kelihatan kereta abang Rashidi di luar pagar rumah. Kekok juga aku saat menghampiri dan melangkah ke keretanya. Memanglah selama ini aku bebas mengikut lelaki yang tidak dikenali ke hulu ke hilir tetapi apabila berdepan dengan abang Rashidi, lututku hampir longlai. Serta merta perasaan segan datang bertandang. Aku cuma mampu tercegat di sisi keretanya.

“Masuklah, Sara” pelawa abang Rashidi sambil menurunkan cermin keretanya. ‘Ish, nak masuk ke tak ni? Dia dah sampai sini, takkan aku nak cakap tak payah pergi klinik pula…aku berteka-teki sendiri.

“Sara okey ke ni? Panas tu Sara, cepat masuk nanti tak pasal-pasal pengsan pula kat situ”. Aku sedikit kaget dan agak terkial-kial membuka pintu kereta apabila abang Rashidi melihatku masih tidak berganjak. Abng Rashidi hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum melihat keletahku yang serba tak kena.

“Sara jangan takut dan segan. Abang cuma nak hantar Sara ke klinik. Tak baik dibiarkan sakit tu begitu. Lagipun takde sesiapa di rumah, nanti kalau jadi apa-apa kat Sara, susah kan tu” masih sempat lagi abang Rashidi memberi nasihat apabila aku hanya membatu sejak tadi. Peliklah kau ni Sara, takkan kau syok sendiri kot…lelaki lain kau boleh handle, ni setakat abang Rashidi, takkan kau dah tersungkur. Dia bukan hebat sangat pun. Nampak sangat dia tu bapa dan suami mithali. Takkan kerana tu pun kau dah kaku macam batu.

Setibanya di klinik, abang Rashidi menguruskan segala-galanya termasuk pendaftaranku. Aku hanya mengikut dan menurutinya sahaja. Bukan aku yang terhegeh-hegeh hendak ke klinik, dia yang beria-ia mahu menghantar. Jadi memang patut jika dia menguruskan segalanya. Mahu ketawa juga rasanya apabila jururawat menyangka aku isteri abang Rashidi. Tambah melucukan apabila mereka menyangka aku ingin membuat pregnancy test. Buat pun tidak, macam mana boleh mengandung. Haa…ha.…haa.. Selesai membayar bil dan mengambil ubat, kami ke sebuah kedai makan yang berhampiran. Abang Rashidi tidak ingin melihatku lemah dan perutku kosong.

“Abang, terima kasih bawa Sara pergi klinik” ucapku sambil menyuap nasi berlaukkan ayam masak merah kegemaranku. Sudah lama aku tidak menjamah nasi. Sejak tidak tinggal bersama keluarga, makan minumku sudah tidak teratur. Apa sahaja kumakan, tidak kira halal haram. Seketika, aku teringatkan kata-kata ayah yang bimbang akan hal makan minum dan kehidupanku sekiranya aku tinggal di luar. Hatiku sedikit sebak namun cepat-cepat kulupakan kerana aku ingin membuktikan kepada ayah dan ibu bahawa aku mampu hidup sediri walaupun tanpa mereka. Mereka yang patut meminta maaf dariku. Egoku masih keras. Degilku masih menggunung.

“Tak perlu berterima kasih, Sara. Dah memang tanggungjawab abang”.

“Err…tapi Sara bukan tanggungjawab abang”.

“Tanggungjawab sebagai seorang kawan, Sara. Selama ni pun abang pernah tolong kawan-kawan pejabat juga. Bantu mengikut kemampuan. Hari ni mereka susah. Mana tahu esok lusa giliran abang pula”. Betul juga cakap abang Rashidi tu. Eh, kenapa buruk sangat sangkaan aku. Membantu tak semestinya mengharapkan balasan.  

“Abang pun nak ucap terima kasih sebab Sara sudi tolong uruskan fail-fail tu nanti. Abang betul-betul tak tahu Sara sakit kepala masa tu. Kalau tidak, abang boleh minta tolong orang lain. Macam menyusahkan Sara pula”.

“Ehh…takpe bang. Sara akan buat. Kita kan sama-sama menolong” senyumku kepadanya. Rasa senang dan tenang hati ini apabila berbual dengan abang Rashidi.

Tiba hari yang dinantikan, aku menjalankan amanah yang telah diberikan untukku. Kesemua fail yang berlonggok di meja abang Rashidi segera kuselesaikan. Patutlah abang Rashidi bersungguh benar mahukan pertolongannya. Mana mungkin

dia dapat menghabiskan kesemua fail yang ada dalam masa sehari jika dirinya sibuk dengan booth di luar sana.

“Sara, ada call” kak Waheeda menghulurkan telefon kepadaku lantas segera kusambut panggilan itu.

“Sara, terima kasih banyak-banyak tolong abang” kedengaran suara abang Rashidi di talian.

“No problem. Benda kecil je pun, bukan suruh naik gunung pun kan” aku mengukir senyum.

“Kalau abang suruh naik gunung, sanggup ke?” Dah mula orang tua ni nak bawa bergurau. Buatnya aku ketawa berdekah-dekah kat sini, tak ke malu satu Malaya pelik tengok aku. “Ish, apa abang ni. jangan main-mainlah”.

“Apa pula gurau. Jom la hujung tahun kita naik gunung Kinabalu. Cantik pemandangan atas gunung tu”.

“Err…takpe la bang. Terima kasih daun keladi, bila-bila masa pun saya takkan pergi”.

“Haa…haa…pandainya Sara berpantun. Abang kan ada, nanti abang dukung Sara dari bawah sampai ke puncak”.

“Ehemm” kak Waheeda berdehem kecil sambil tangannya ligat menaip. Aku mengerling sekilas ke arahnya.

“Err…bang, Sara buat kerja dululah. Ada lagi kerja Sara yang tertangguh ni. Kita borak lagi nanti erk” aku cepat-cepat mengakhiri perbualan itu. Bimbang dengan kak Waheeda sebenarnya. Kalau kak Waheeda sudah berdehem, itu maknanya dia tidak berapa suka dan selesa sesiapa bertenggek lama melayan panggilan telefon yang berada di mejanya.

“Okey, Sara. See you later” aku segera meletakkan telefon dan kembali ke mejaku. Alangkah senang dan privacy kalau abang Rashidi menghubungi telefonnya sendiri dari menggunakan telefon pejabat. Nak bersenda gurau pun susah kalau berdepan dengan orang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience