Bab 29

Other Completed 3855

“Kau sakit ke, Sara?” tegur Dania saat aku melabuhkan punggung di kerusi.

“Ha’ah…senggugut” ringkas sahaja jawapanku. Aku mengemas beberapa fail yang berlambak di meja. Baru sehari aku tidak datang, bertimbun terus fail di meja. Agaknya kalau aku cuti seminggu, entah-entah meja dan kerusi pun boleh tenggelam dek fail-fail yang ada ini.

“Rugi kau tak datang kelmarin” sampuk Noreen yang tiba-tiba sahaja muncul.

“Ada apa? Artis k-pop datang sini ke?” sengaja aku berkata begitu. Noreen memang hantu Korea! Semua perkembangan tentang artis Korea dia tahu. Semua lagu dan drama sudah pun dihafalnya. Imejnya kini pun digayakan seperti artis Korea. Korea celup!!

“Kalau artis k-pop datang sini, takdenya kau nampak aku tercongok sini. Dah lama aku ikut dorang balik Korea” jeling Noreen tajam. Geli hati aku mendengar dia berkata begitu.

“Okey…okey…sorry. Ada apa tu kelmarin?” aku kembali serius pada topik yang dibincangkan.

“Abb…” baru sahaja Noreen hendak menerangkan, Dania terlebih dahulu memotong kata-katanya.

“Abang Rashidi belanja kami semua. Dia dapat durian runtuh so dia belanja department kita ni. Tapi sayanglah kau tak datang kelmarin. Melepaslah kau” ujar Dania panjang lebar. Ohh…kes abang Rashidi belanja je rupanya. Ingatkan kes apa tadi…

“Wahhh….untunglah korang makan free, ya. Di mana korang pergi makan?” balasku.

“Pizza Hut, jerrr” kali ini giliran Noreen pula memberitahu sambil membuat gaya mengadanya. Dalam diam aku mengkagumi abang Rashidi. Bukan sahaja dia penyayang dan bertanggungjawab terhadap keluarganya malah dengan teman-teman pejabat pun dia begitu bermurah hati untuk membelanja mereka. Biarlah mereka, asalkan hati bahagia. Bak luncai terjun dengan labu-labunya. Bagiku, aku tetap dengan caraku seperti selalu. Pagi ke tempat kerja, pulang terus ke rumah dan apabila malam bersantai di kelab. Pendek kata, begitulah rutin hidupku kini semenjak aku mula rapat dengan Dania dan Noreen. Aku sudah semakin hilang pegangan dan semakin jauh dari kehidupan sebenar.

“Maafkan saya. Boleh saya tahu siapa cik Alya Maisara Hadi? Ada pesanan makanan untuknya” satu suara mengejutkanku. Betul-betul di hadapanku kini berdiri seorang lelaki yang sedang memegang satu bungkusan plastik di tangannya. Kulihat uniformnya tertera Pizza Hut. Sah budak penghantar pizza! Tapi aku tak order pun. Entah-entah silap order kot.

“Saya Alya Maisara Hadi” budak itu segera menghulurkan bungkusan makanan itu dan berlalu pergi. Aku yang masih lagi terkejut hanya melihat bungkusan makanan itu. Siapa getangan yang bagi. Kalau iya pun nak bagi, takkan tak boleh bagitahu siapa orangnya. Entah-entah ada jampi tak dalam pizza ni? Zaman sekarang bukan boleh percaya sangat. Tak dapat cara kasar, cara halus pun orang sanggup lakukannya. Aku membiarkan sahaja makanan itu di sudut meja. Malas hendak menjamahnya sekarang. Kerjaku yang bertimbun harus kusiapkan segera. Tengah hari itu aku tidak keluar makan bersama Noreen dan Dania. Kukatakan pada mereka yang perutku masih lagi meragam. Walaupun tidak keluar makan, nasibku agak baik kerana hari itu ada bungkusan pizza untukku. Sedang aku asyik membuat kerja, deringan telefon menggangguku. Tadi nak hantar pizza, sekarang entah apa lagi ni, gerutuku sendiri.

“Credit department, cari siapa?” aku menjawab panggilan itu sambil tanganku ligat menaip.

“Sara, abang ni” jawab suara di talian.

“Abang mana lagi ni? Saya takde abang la” hishh…orang tengah sibuk, nak berabang-abang pula masa ni.

“Abang Rashidi la, Sara. Haa…haa..maaf abang kacau Sara. Nasib juga Sara yang jawab tadi. Ingat Noreen tadi”.

“Kenapa, cari Noreen ke? Dia keluar makan dengan Dania”.

“Aik?? Sara tak keluar ke?”.

“Taklah, takde mood. Kerja berlambak ni”.

“Takde mood ke atau dah dapat pizza?”. Aku tersentak. Kualihkan pandanganku ke bungkusan tadi. Macam mana abang Rashidi tahu? Pasang spy juga ke?

“Abang nak terus terang. Sebenarnya abang yang pesankan pizza tu untuk Sara. Kelmarin abang belanja mereka makan tapi Sara pula tak ada. Jadi hari ni abang belanja Sara pula. Tak baik pula biarkan begitu sebab Sara pun salah seorang staf bahagian pinjaman juga” penerangan yang sungguh padat dan kukuh dari abang Rashidi.

“Ohh…dari abang rupanya. Ingat salah hantar tadi sebab Sara tak order pizza pun hari ni. Nasib tak pulangkan tadi” balasku.

“Haa…haa…haaa!! Sara ni luculah orangnya. Akhirnya, abang Rashidi tertawa mendengarkan aku berkata begitu. Apa yang lucu? Aku bukan buat lawak pun. Agaknya, kalau aku masuk Raja Lawak sudah tentu jadi juara. Tapi, memang aku cakap betul pun. Kalau salah hantar, patut dipulangkan sahaja.

“Baiknya hati Sara nak pulangkan balik, ya. Kalau abang tu, dah sah abang telan je. Haa…haaa…”

“Thanks for the pizza” ucapku perlahan bercampur sayu. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku menjadi seorang yang sentimental dan penyadih. Barangkali apa yang telah terjadi di antara aku dan Karl membuatkan perasaanku dirundung pilu.

“No problem. Itu sahaja yang mampu abang belanja. Sara makanlah nanti, ya. Lagipun Sara tak keluar lunch, kan”

“Okey, nanti Sara makan. Thanks again” aku meletakkan gagang telefon. Kupandang sekali lagi pizza yang diberi oleh abang Rashidi untukku. Begitu baik hatinya. Karl pun tidak pernah menghantar makanan walau sesibuk mana pun aku. Karl??? Bukankah aku sudah berjanji untuk melupakan lelaki itu? Bukankah aku telah memadam semua mesejnya? Dia sudah bahagia, Sara. dia pergi dengan membawa kebahagiaan itu.

Hari-hari yang kulalui semakin lama semakin kosong. Kadang-kadang aku sendiri tidak pasti untuk apa aku hidup. Bukanlah aku bermaksud hendak membunuh diri tetapi aku rasakan yang hidupku seakan sepi dan tiada makna. Aku punya keluarga namun aku sendiri yang jauh dari mereka. Aku punya Tuhan untuk mengadu namun ahh…aku masih boleh berusaha sendiri. Lagipun seringkali aku katakan yang aku akan bertaubat apabila tiba waktunya. Aku belum puas mengecapi kehidupan ini. Selagi kebahagiaan belum tercapai maka selagi itulah aku akan terus mencarinya. Dari siapa harus aku dapatkan kebahagiaan itu?

Sebenarnya, terdetik di hatiku untuk tinggal menyawa bersama teman. Bingit sudah telingaku mendengar bebelan ayah setiap hari. Ibu lebih suka memilih untuk diam dari bersuara. Asal sahaja aku pulang lewat, ayah akan memberi ceramah agamanya sehinggakan aku sudah mula hafal tentang apa yang ingin diperkatakan oleh ayah. Bosan sungguh! Kalau aku tinggal bersama teman, lebih mudah untuk aku dapatkan kebahagiaan abadi. Di rumah mana ada kebahagiaan andai dimarah setiap kali pulang lewat. Aku bukan budak kecil lagi. Aku punya kebebasan hidup. Aku akan suarakan juga keinginanku untuk tinggal di luar. Walau ayah dan ibu menghalang sekalipun, aku akan tetap keluar dari rumah itu. Tak ubah macam hostel, balik lambat kena marah. Lepas tu kena bangun awal pagi untuk solat. Hey…aku tahulah apa yang terbaik untuk diriku. Tak payah susah-susah untuk tentukan masa depan orang. Kubur lain-lain juga.

Malam itu ayah memanggilku untuk berbincang. Fuhh…macam di pejabat pula rasanya sampai siap untuk dibawa berbincang. Aku tahu tujuan ayah memanggilku. Ibu sudah memberitahu ayah akan niatku untuk tinggal menyawa di luar.

“Betul kamu nak tinggal di luar?” pandangan ayah mengena tepat ke mataku. Seakan-akan ayah tidak berapa setuju dengan keputusanku.

“Ya” sepatah kata keluar dari mulutku.

“Kenapa?” sepatah juga soalan yang diajukan oleh ayah.

“Senang sebab dekat dengan pejabat. Lagipun save duit minyak. Kawan-kawan Sara pun kerja tempat sama” terangku. Sebenarnya, sudah lama Noreen dan Dania mengajakku untuk tinggal bersama mereka namun aku sering memberi alasan tidak bersedia. Kadang-kadang malu juga tinggal dengan keluarga sendiri walaupun sudah besar panjang. Pada mulanya, Noreen dan Dania tidak tinggal bersama tetapi dalam beberapa bulan yang lepas, teman serumah Noreen berpindah ke tempat lain jadi kebetulan pula Noreen mengajak Dania untuk tinggal bersama menemaninya. Sehingga ke hari ini, hanya mereka berdua sahaja menyawa di rumah Noreen. Oleh kerana bosan berdua maka mereka telah mengajakku sekali.

“Ayah rasa baik kamu tinggal dengan kami. Makan minum pun terjaga. Lagipun kamu tu perempuan. Tak elok rasanya tinggal di luar sana”

“Sara dah besar, ayah. Lagipun Sara nak kebebasan sendiri. Sara pun ada hak tentukan masa depan sendiri” sedikit tinggi kata-kataku membuatkan ayah sedikit tersentak. Sudah aku katakan, aku bukan budak kecil lagi. Aku nak kebebasan!!

“Ayah tak benarkan, Sara. Kesian mak kamu nanti. Tiada siapa yang membantunya membuat kerja” ayah cuba menasihatiku lagi.

“Aiman kan ada. Lagipun Sara bukan selalu ada kat rumah. Kadang-kadang terpaksa stay di pejabat untuk siapkan kerja” aku cuba untuk berdalih.

“Kenapa kamu ni? Ayah tengok dari hari ke hari kamu dah melampau. Apa yang ayah dan mak nasihatkan, semuanya tak masuk di telinga kamu. Kamu tu makin lama makin berusia. Matanglah sikit”.

“Sebab Sara matanglah Sara ambil keputusan untuk berdikari. Sara tak nak hidup di bawah kongkongan keluarga”.

“Astaghfirullahalazim Sara. Ingat Allah SWT, nak. Apa yang merasuk kamu sampai lupa diri begini?!”.

“Sara tak peduli. Sara nak tinggal dengan kawan juga!” bentakku keras.

“Lagi senang jaga kambing sekandang dari jaga anak perempuan seorang!”.

“Kalau macam tu, bila Sara keluar, ayah belalah kambing!”.

PANGGGGGGG!!!!! Satu tamparan hinggap di pipi kananku. Terasa hangat tamparan itu membuatkan aku terpana seketika. Memang benar kata ayah tadi, entah setan mana yang merasuk pun tidak kuketahui. Laju dan lancang sahaja mulutku menjawab kata-kata ayah. Seumur hidupku belum pernah aku meninggikan suara apatah lagi melawan cakap ayah. Hari ini merubah segalanya. Dek kerana darah muda yang menggila, aku lupa diri dan aku lupa dengan siapa aku bercakap sebentar tadi.

“Sara tak nak tinggal di rumah ni lagi!!!” aku berlari menuju ke bilik. Kukunci bilik dan menangis sepuasnya. Ini yang dikatakan bahagia? Aku benar-benar tidak bahagia dengan keluarga sendiri. Keinginanku dihalang gara-gara kerisauan ayah terhadap diriku.

“Ya Allah, bang. Apa dah jadi ni?” ibu segera mendapatkan ayah yang terduduk di sofa.

“Anak kita dah melampau, Sal” ayah tunduk sambil mengeluh hampa.

“Sal dah cuba cakap dengan Sara tapi dia berkeras juga”.

“Sara dah banyak berubah. Semakin dia menginjak dewasa, semakin kuat dia melawan” ayah menekup mukanya.

“Sal cuba pujuk dia dulu, bang. Manalah tahu kalau-kalau lembut hatinya lepas ni” ibu mententeramkan ayah. Sejurus kemudian, ibu naik ke atas untuk cuba memujukku. Kudengar ibu mengetuk pintu bilik berkali-kali namun aku langsung tidak mengendahkan panggilan ibu.

“Jangan kacau aku laaaaaaaaaaaa!!!!” aku menjerit lalu menghumban telefon ke pintu. Ibu yang berada di luar pintu amat terkejut mendengarkan bunyi yang kuat lalu mengurut dada. Serentak kemudian, air mata ibu menitis. Aiman yang menyaksikan drama sebabak itu segera mendapatkan ibu. “Mak, kenapa ni? Jangan nangis, mak. Aiman kan ada” Aiman berusaha memujuk ibu.

Ibu tidak dapat menahan sebak lalu memeluk Aiman. “Aiman jangan tinggalkan mak, nak”.

“Taklah, Aiman akan jaga mak dan ayah. Aiman kan anak lelaki” balas Aiman lagi. “Kak, kalau kakak nak pergi, pergilah. Jangan buat mak menangis lagi. Aiman akan jaga mereka” dapat kudengar suara Aiman dari luar bilikku. Aku terdiam. Salahkah tindakanku tadi?

Apa pelik sangat la ibu dan ayahku ni?? Aku cuma nak tinggal dengan kawan, itu pun nak risau tak tentu pasal ke? Agaknya kalau aku nak berhijrah ke negara orang, barangkali meroyan tak tentu hala kot! Dengusku sendiri. Segera kuhubungi Noreen memberitahunya yang aku akan berpindah segera ke rumah mereka hari itu juga. Makin lama aku di rumah ni, makin panas hati dibuatnya. Sebaik sahaja menghubungi Noreen, aku terus mengemas pakaianku. Semua pakaian kerja kubawa bersama. Beberapa pakaian harian juga turut kubawa dan sengaja kutinggalkan beberapa helai di almari. Malas hendak membawa semua, buat berat beg sahaja. Selesai sahaja mengemas, aku terus mengusung beg untuk dimasukkan ke dalam kereta. Aku sedar ayah, ibu dan Aiman memerhatikanku namun pandangan mereka langsung tidak kuendahkan. Aku terus masuk ke dalam kereta dan membetulkan cermin pandang sisi. Mereka bertiga masih lagi tercegat di situ dan membisu sejak tadi. Sedikit kata-kata tidak terucap dari mulut mereka bertiga. Tidak ada sekelumit perasaan kasihan, sedih atau menyasal menyalubungi diriku apabila melihat mereka. Alah, apa yang nak dikisahkan sangat, bukannya aku pergi mati pun. Bisik hati kecilku sambil kakiku laju menekan pedal minyak agar segera meninggalkan rumah itu.

Akhirnya, aku tiba juga di rumah Noreen. Payah juga hendak mencari rumah Noreen walaupun berpandukan alamat yang diberi. Dalam masa empat puluh minit, akhirnya aku tiba di rumah teres dua tingkat, boleh tahan juga mereka tinggal berdua di dalam rumah yang agak besar itu. Dari jauh kulihat Dania tersenyum girang menyambut kedatanganku. Noreen pula sedang sibuk mengangkat kain di jemuran. Aku tersenyum geli hati tatkala melihat Noreen mengangkat kain satu persatu lalu dimasukkan ke dalam bakul. Bukannya apa, di pejabat bukan main over lagi minah k-pop ni. bak diva katakana tetapi tak sangka pula apabila di rumah boleh diharap jadi bibik. Bibik ala k-pop!!

“Wei…lambat juga kau sampai, Sara. Merewang lagi ke tadi?” Dania membantuku mengeluarkan beberapa beg dari dalam kereta.

“Payah sangatlah nak cari. Pakai waze pun failed, babe. Terpaksa tanya-tanya orang tepi jalan” keluhku. Memang benar pun, kadangkala aku bukannya percaya sangat dengan waze tu. Boleh tersesat dibuatnya.

“Kau dah makan? Kalau tak, kitorang boleh tolong masakkan” Noreen mengelap peluh di dahi.

“Aku tak makan lagi. Takde mood. Alah, aku tahu sangat perangai korang dua ni, nak masak konon. Masak kat kedai adalah. Agaknya kiamat dunia kalau korang masak. Blueekkkk…!” aku mencebikkan bibir ke arah Noreen.

Belum sempat Noreen membalas ejekanku, Dania sempat mencelah terlebih dahulu. “Dah la tu korang. Aku panas ni. Jom masuk dalam sambung story”.

“Betul betul betul” aku mengiyakan kata-kata Dania sambil mengajuk gaya animasi Upin Ipin.

Keadaan di ruang tamu sunyi sepi. Aiman hanya diam dan tunduk membisu. Dia sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk menjernihkan kembali keadaan keluarga mereka seperti sediakala. Ayahnya diam tanpa kata. Matanya dilirikkan kepada ibunya, Puan Salbiah. Ibunya masih lagi tersedu. Bukan sekali dua kakaknya telah menyakiti hati ibu mereka. Sebagai adik, dia juga berhak untuk menegur kesilapan kakaknya namun dia sedar kakaknya terlalu degil untuk berubah. Pernah juga dia menasihati kakaknya, Alya Maisara untuk berubah namun kakaknya hanya berkata dia masih terlalu muda dan mentah untuk memahami erti hidup. Dia tahu kakaknya inginkan kebahagiaan. Apa tidak cukup lagikah kebahagiaan yang ada dalam keluarga mereka ini? Bagi Aiman, keluarganya cukup sempurna walau hidup sederhana. Ibu dan ayahnya langsung tidak pernah mengabaikan keperluan mereka apatah lagi untuk membeza-bezakan kasih sayang di antara mereka. Pelajaran agama juga turut diperlengkapkan kepada mereka berdua tetapi yang hampanya, kakaknya telah jauh tersasar dari landasan.

“Kita redha sahajalah, Sal. Abang pun tak tahu nak buat apa lagi. Berkeras pun salah, berlembut pun dia tak dengar juga” kedengaran satu keluhan dilepaskan oleh Encik Hadi.

“Kita gagal mendidik anak ke, bang?” Puan Salbiah memandang tepat ke arah suaminya. Encik Hadi diam. Tidak tahu lagi apa hendak diperkatakan.

“Mak, ayah” Aiman bersuara perlahan. Serta merta ayah dan ibunya berpaling membuatkan Aiman sedikit gugup. Dia tahu bahawa dia masih muda untuk masuk campur di dalam urusan keluarga namun perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan atau dipandang lewa. Sebagai anak, dia juga merasakan untuk patut bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

“Aiman tahu mak dan ayah kecewa dengan sikap kakak. Kita berdoa sahajalah semoga suatu hari nanti kakak pulang ke pangkuan kita” hanya itu kata-kata yang mampu terucap dari bibir Aiman. Dia perlu kuat biarpun dia hanyalah seorang lelaki yang muda dan mentah. Apa yang dia tahu, dia tidak ingin melihat kedua ibu bapanya kecewa. Cukuplah dengan apa yang dilakukan oleh kakaknya selama ini.

“Aiman” Encik Hadi mendekati anak bongsunya itu. Diusapnya belakang Aiman dengan perlahan.

“Betul cakap Aiman. Kita kena redha dan berdoa agar kakak pulang ke pangkuan kita nanti” anak lelakinya itu dipeluk. Puan Salbiah hanya memandang gelagat mereka berdua dan kini air matanya mula menitis lagi.

“Dasyat juga kau ni, Sara. Sampai macam tu sekali kau buat?” soal Dania.   

“Yalah, takkan aku nak tipu. Dah lama sangat aku tahan dan pendam. Sampai masa meletup juga. Kau bayangkanlah kalau hari-hari kena soal siasat pergi mana, dengan siapa, buat apa, mengapa, bagaimana, untuk apa…ahh!! macam-macam hal lagilah, bengkak gak hati aku” dengusku sambil menceritakan peristiwa yang berlaku siang tadi.

“Jadi, apa respon mak bapak kau?” giliran Noreen pula bertanya.

“Takde respon langsung. Memang diam habis” jawabku selamba sambil mengunyah sandwich tuna yang dibeli sebentar tadi.

“Err…kau tak takut ke?”.

“Nak takut apa, Noreen?”.

“Tak takut Tuhan marah ke?”.

“Ooo…hmm, sejak bila ni kau mula takut Tuhan? Selama ni kau bukan main lagi havoc ke sana ke mari, buat itu ini, sikit pun kau tak kisah dosa pahala. Ni, apa hal pula kau nak tanya aku macam tu?” kurenung Noreen dengan tajam.

“Rileks, Sara. Aku saja tanya. Kau ni cepat sangat sentap” Noreen cuba untuk meredakan sedikit ketegangan.

“Banyak sangat masalah timbul dalam hidup aku. Makin hari makin bertimbun. Family matters la, personal lagi la. Entahlah, memang aku sedikit emo dan cepat sentap sekarang. Aku pun serabut nak fikir semua benda. Kan bagus kalau aku mati. Tak payah fikir apa-apa”.

“Choiiiiiiiiiii….!!! Mulut tu jangan masin sangat, Sara. Hidup mati kena fikir juga. Aku tak nak mati sekarang. Belum cukup amal pahala aku ni” Dania menyampuk tiba-tiba.

‘Aku cakap je, bukan nak mati betul-betul pun’ gerutuku dalam hati.

Malam itu kami tidak keluar ke mana-mana. Hanya memesan pizza melalui telefon sahaja. Aku pun malas untuk keluar dalam keadaan hati dan kepala yang berserabut ini. Dari hari ke hari, aku semakin sukar untuk mengerti tentang apa yang aku ingini. Memang benar aku inginkan kebahagiaan, kegembiraan, kesenangan tetapi kesemua itu membuat aku makin sukar untuk mengecapinya. Seketika ingatanku melayang terhadap mak, ayah dan adik. Apa mereka sedang buat sekarang? Perlukah aku menghubungi mereka? Perlukah aku meminta maaf? Ah, aku bukan membuat salah jadi mengapa aku perlu meminta maaf.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience