Bab 8

Other Completed 3853

Hari demi hari berlalu dan akhirnya, midterm exam telah pun selesai. Nampaknya, aku telah berjaya merentasi halangan selama seminggu ini. Seminggu bagaikan setahun lamanya. Seminggu jugalah aku terpaksa berenggang seketika daripada Firhad. Selama itu juga aku terpaksa menahan segala rasa rindu dan inginku. Aku perlu kembali semula kepada Firhad. Itu janjiku kepadanya. Aku tahu bahawa keputusanku ini sekali lagi melukakan perasaan Ain dan Nadia namun rasa rindu dan cintaku yang menggunung terhadap Firhad amat sukar digoyahkan. Aku tetap akan kembali semula ke hostel dan itu pun seandainya ada perkara penting seperti peperiksaan. Kadangkala terdetik juga di hati, hostel kubuat umpama rumah tumpangan. Jika ada perkara penting sahaja aku perlu datang dan jika tidak, sudah semestinya aku ke rumah Firhad. Petang itu juga setelah selesai mengemas beberapa barang di hostel, Firhad datang menjemputku. Katanya, dia ingin membawaku bersiar-siar sambil menikmati makan malam. Firhad tahu yang aku begitu letih sepanjang minggu lepas.

“Cukup ke semua ni Sara? If tak cukup, Firhad tolong beli lagi” soal Firhad leka membelek beberapa helai pakaian yang ada di butik itu.

“Dah la tu Fir…okey dah ni. Next time boleh beli lagi” aku merapati Firhad.

“Fir suka if Sara pakai macam ni. Nampak menarik dan seksi je” Firhad menghulurkan sehelai cut out dress berwarna krim kepadaku. Ya, aku akui gaun itu sungguh menarik, seksi, nipis dan singkat. Itulah citarasa Firhad. Apa sahaja yang cantik di matanya, dia akan membelikanku.

“If Fir suka, Sara okey je” senyumku manis ke arah Firhad.

“Okey dear, just take it” balas Firhad sambil mengarahkan jurujual untuk mengambilnya lalu membuat pembayaran. Sebenarnya, dari tadi lagi aku perasan yang jurujual itu sering memerhatikan kami. Agaknya cemburu melihat kemesraan kami berdua. Manakan tidak cemburu, Firhad tampan, aku pula menawan, senyumku dalam hati. Malam itu kami makan di luar. Tidak seperti selalu, aku akan memasak di rumah Firhad. Kurasa sedikit lega kerana peperiksaan pertengahan tahun baru sahaja selesai. Aku ingin rehat dan makan sepuas-puasnya malam ini. Mahu membalas kepenatan menghadapi peperiksaan, bisik hati kecilku. Ah! Baru sahaja peperiksaan pertengahan tahun, bukannya akhir tahun! Firhad membawaku ke medan selera di Pasar Filipina. Sebenarnya, medan selera tersebut merupakan pasar yang menjual pelbagai jenis makanan. Terdapat banyak gerai yang menjual hidangan makanan laut yang segar. Aku sendiri pun jarang ke situ memandangkan keluargaku lebih suka memasak dan makan di rumah.

“Kenyangnya…best betul makan kat sini” kataku sambil mengunyah sotong bakar kegemaranku. Di hadapanku, masih terhidang ikan bakar, lokan, kerabu rumpai laut dan udang bakar. Seakan-akan mahu kulahap semuanya serentak.

“Fir memang suka makan kat sini. Lepak dengan member pun memang sini la port nya” balas Firhad meneguk jus tembikainya. Suasana di pasar Filipina pada malam itu sungguh meriah sekali. Mana tidaknya, terdapat ramai pengunjung yang menikmati hidangan makanan laut. Ada yang datang bersama keluarga, teman-teman malahan ada yang datang berseorangan. Beberapa pelancong asing turut kelihatan di situ. Jelas Firhad lagi, tempat tersebut sering menjadi tumpuan pelancong. Harga makanan yang murah beserta hidangan yang segar, menambahkan lagi bilangan pengunjungnya.

“Sara…kalau Fir cakap sesuatu, Sara janji jangan marah Fir” aku memandang ke arah Firhad lantas tersenyum.

“Buat apa la Sara nak marah, yang penting Fir bagitau Sara pun kira okey dah tu” balasku, mengenyitkan mata. Firhad membetulkan posisi lalu menggenggam tanganku erat. “Minggu lepas, Fir terjumpa Sofea” tutur Firhad perlahan.

Firhad pernah menjelaskan kepadaku siapa gadis bernama Sofea. Dia merupakan bekas kekasih merangkap bekas tunang Firhad suatu masa dahulu. Perhubungan mereka hanya bertahan selama 2 tahun sahaja. Hubungan Firhad dan Sofea terputus di tengah jalan gara-gara orang ketiga. Mengikut cerita Firhad, Sofea seorang perempuan yang gemar bersosial dan amat sukar untuk dikawal. Dia juga seorang yang penuh gaya. Pernah suatu ketika kami terserempak dengan Sofea di salah sebuah pusat membeli-belah. Sofea yang menegur kami terlebih dahulu. Orangnya genit dan manja, berkulit putih dan penampilannya agak berani. Tidak hairanlah kalau Firhad menggelarnya gadis yang suka bersosial. Aku masih ingat bagaimana tingkahlaku dan gaya Sofea sewaktu menegur kami dahulu. Memang jelas gedik dan mengada-ngada. Sofea juga turut memujiku di hadapan Firhad. Katanya, kecantikanku tidak seperti wanita biasa tetapi ada yang kurang padaku. Aku perlu mengubah penampilanku. Satu pujian yang berbaur sindiran. Bagiku, itu cerita lepas dan tidak ada apa-apa yang perlu aku risaukan kerana kejujuran Firhad membuktikan segalanya.

“Ohh...Sofea...Kenapa dengan dia?” soalku kembali sambil terus meratah ikan bakar yang terhidang di hadapanku. Firhad masih membisu. Matanya tidak lepas-lepas dari memandang ke arahku. Aku hairan dengan sikap Firhad yang tiba-tiba berubah. Siang tadi, Firhad begitu galak bercerita dan ketawa. Ketika makan tadi pun Firhad tidak menunjukkan perubahan tetapi sekarang, riak wajah Firhad seakan-akan rungsing memikirkan sesuatu.

“Fir kenapa ni? Ada masalah?” soalanku mengejutkan Firhad.

“Err…Sara, Fir minta maaf sangat-sangat. Fir pun tak sangka yang benda tu boleh jadi sampai macam tu. Fir tak sedar pun” Firhad menjawab perlahan, gugup. Jelas suaranya bergetar saat itu. Aku sedikit kebingungan.

“Benda apa lagi? Tadi Sofea. Sekarang benda pula” aku memandang Firhad meminta penjelasan.

“Okey...minggu lepas Fir terserempak dengan Sofea. Kami lepak di Ice Bar. Masa tu, Fir banyak sangat minum jadi Fir tak dapat kawal diri. Sofea yang tolong hantar Fir pulang so…” belum sempat Firhad menghabiskan kata-katanya, aku terus mencelah.

“So what?” aku memintas kata-katanya. Hatiku mula berasa tidak senang. Pelbagai tanggapan muncul di benakku. Aku cuba mengawal perasaan.

“Err...ka…kami terlanjur. Sorry Sara, maa…masa tu Fir betul-betul tak sedar. Lagipun makanan dah ada depan mata so Fir tak tahan tengok Sofea. Sara pun tahu kan yang kami pernah bersama dulu” jelas Firhad gugup. Aku tersentap sebaik sahaja Firhad selesai memberi penjelasan. Begitu mudah baginya. Kepalaku panas seolah-olah otakku mendidih. Segala macam yang kumakan tadi ingin kumuntahkan kembali. Hatiku luluh, perit dan hancur malam itu. Aku hilang kata-kata. Perkara yang tidak sama sekali aku sangkakan terjadi akhirnya memakan diriku sekali lagi. Ya, untuk ke sekian kalinya, aku terkena lagi. Lebih memeritkan apabila Firhad umpamakan Sofea ibarat ‘makanan’ yang sudah ada di depan mata. Hanya menunggu masa untuk ‘menikmatinya’.

“Sara, kenapa diam ni? Say something, please” rayu Firhad setelah menyedari yang aku hanya diam dari tadi. Firhad menggenggam jemariku lantas kulepaskan serta merta. Reaksi apa yang perlu tunjukkan kepada Firhad? Meraung? Menangis? Merayu? Ketawa? Senyum? Apa nanti keadaan akan berubah andainya aku boleh terima semua seadanya? Sepanjang perjalanan pulang, aku membatu. Lidahku kelu. Tubuh badanku seakan-akan lumpuh dan kaku. Tiada kata yang mampu aku luahkan di kala itu. Apa yang aku rasakan, cintaku tidak dihargai. Kebahagiaan yang Firhad beri seolah-olah meracun seluruh hidupku. Aku benar-benar mengharapkan kebahagiaan datang daripada Firhad kerana aku mempercayainya tetapi sebaliknya, kurasakan seperti aku dan Sofea berkongsi Firhad.

“Sara, Fir betul-betul tak sengaja. Fir tak sedar” berulang kali Firhad mengucapkan kata-kata maaf sehingga setibanya di rumah, Firhad masih cuba memujukku. Jemariku tidak lepas dari genggamannya.

“Fir...terima kasih sebab jujur dengan Sara. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Sara okey ni” Aku tersenyum ke arahnya. Senyum tanpa makna. Hambar dan kosong. Selagi aku tidak bersuara, selagi itulah Firhad akan mendesakku untuk bercakap. Rimas dan lemas.

“Sara janji tak marah Fir kan? Sara jangan pergi jauh daripada Fir, okey. Fir janji benda tu takkan berulang lagi” Firhad masih cuba meyakinkanku. Aku menganggukkan kepala lantas Firhad memelukku erat. Terasa jelek dan kotor apabila Firhad memelukku.

Firhad umpama menjilat ludah sendiri, sudah dibuang sanggup dikutip kembali. Entah apa yang membuat Sofea sanggup melakukan sedemikian rupa. Ucapan janji yang dilafazkan oleh Firhad membuatkan aku betul-betul muak dan jelak. Aku bosan dengan ucapan sedemikian. Kerana janji itulah, aku termakan diri sendiri. Dahulu, Izzarif juga pernah berjanji untuk sehidup semati denganku. Tetapi, akhirnya, dia yang hidup dan aku yang mati keseorangan. Kini, janji itu muncul lagi dalam perhubunganku kali ini. Sepanjang malam itu, mataku sukar lelap. Masih berlegar di kotak fikiranku segala pengakuan Firhad sewaktu kami menikmati makan malam. Tidak hairanlah jika kau tersungkur depan Sofea, dia amat hebat bermadah dan lenggok tubuhnya pun boleh membuat kau sesak nafas, Firhad. Setiap saat kuperhatikan Firhad yang sedang lena dibuai mimpi. Jari jemariku membelai lembut rambut Firhad. Aku kagum dengan kejujuranmu Firhad tapi sayang, kejujuranmu amat mengecewakanku. Kejujuranmu itu jugalah yang membuatkan hatiku patah. Namun, kerana kejujuran itulah aku harus bangun dan meneruskan langkah. Jiwaku perlu kental.

Firhad…bila aku dekat, kau sedaplah peluk aku. Bila aku tiada, begitu nikmat kau peluk orang sana sini. Begitu hangat kau dalam dakapan orang lain. Begitu leka kau bersamanya. Begitu mudah kau melupakan aku seketika. Begitu mudah kau ucap maaf. Dan aku? Separuh mati menahan rindu dan keinginan yang menggila. Sejak dari peristiwa itu, Firhad semakin kuat mengongkong dan menyekat kebebasanku. Katanya, dia takut seandainya aku ingin membalas dendam terhadap kejadian tempoh hari. Firhad beranggapan bahawa aku akan meniduri lelaki lain semata-mata untuk membalas perbuatannya. Aku teringat suatu waktu dahulu bahawa Firhad menginginkanku untuk menjadi seorang jururawat. Aku tidak berminat menjadi jururawat kerana aku bercita-cita untuk menceburi bidang perniagaan. Aku pun hairan mengapa Firhad beria-iya benar menyuruhku menjadi jururawat. Adakah kerana Sofea juga seorang jururawat? Semua yang ada pada Sofea, Firhad ingin terapkan dalam diriku. Aku tidak mahu menjadi acuan sesiapa. Aku adalah aku. Biarpun wajah aku dan Sofea kelihatan seiras, namu aku tetap ada pendirian.

“Sara nak pergi mana, ni?” Firhad menyoalku, kehairanan apabila melihat aku hendak keluar dalam keadaan tergesa-gesa.

“Nak balik hostel kejap” ujarku ringkas sambil membetulkan cardigan berwarna ungu dan seluar jeansku. Malas hendak memandang wajah Firhad ketika itu. kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja aku lompat terjun dari tingkap untuk keluar dari bersemuka dengan Firhad. Entah mengapa hatiku sudah mula tawar untuk bersamanya.

“Kenapa tak bagitau Fir awal-awal, Fir kan boleh hantar Sara” Firhad mendekatiku.

“Lupa nak bagitau. Baru terfikir pagi tadi. Lagipun Nadia call kejap tadi suruh Sara balik ke hostel segera. Ada aktiviti wajib di hostel. Mesti kena ikut sebab warden cek nama”.

“Selama ni, ada aktiviti wajib pun Sara tak pernah pun balik hostel?”.

“Sara dah kena warning jadi kali ni mesti tunjuk muka”.

“Tapi malam ni kan kita dah janji untuk masak sama-sama” Firhad mengingatkanku.

“Ohh...alamak…lupa la…sorry Fir, esok pun boleh masak sama, kan. Okaylah, Sara takut lambat ni. Sara pergi dulu” aku bergegas ke pintu dan meninggalkan Firhad yang terpinga-pinga. “Sara…..!!!” Panggilan Firhad langsung tidak kuendah. Pedulikan dia, jerit hati kecilku.

Kenapa lain benar Alya Maisara hari ini? Selalunya, kalau ada apa-apa, dia akan beritahuku segera. Adakah kerana dia masih marah tentang Sofea? Ah, perempuan mana yang tidak marah jika kekasihnya bersama perempuan lain. Aku sendiri pun tidak mampu untuk menahan keinginan bersama Sofea. Lagipun Sofea kan merupakan bekas tunangku lebih-lebih lagi Sofea bijak melayanku jadi amat sukar untukku menjauhkan diri darinya. Aku pun dah minta maaf dari Alya Maisara dan dia telah memaafkanku, jadi apa lagi? Firhad berfikir sendirian. Hari itu, aku menaiki teksi untuk pulang ke hostel. Aku tekad. Aku sanggup berhabis duit menaiki teksi daripada membiarkan Firhad menghantarku. Aku masih terasa dengan apa yang telah Firhad lakukan kepadaku. Sekali orang mendustaiku, selamanya ia akan tersemat di hatiku. Walaupun kemaafan hanya di bibir namun belum tentu hatiku ini sudi memaafkan Firhad seikhlasnya.

Hari demi hari, aku mulai muak dengan sikap Firhad. Aku tahu, setiap apa yang dia lakukan adalah untuk kami bersama. Namun, segalanya berubah gara-gara kejadian hitam yang berlaku di antara Sofea dan Firhad. Pernah suatu ketika Firhad sanggup mengupah teman-temannya untuk mengekoriku ke mana sahaja aku pergi. Aku rimas diperlakukan sedemikian rupa. Keinginan dan nafsu Firhad semakin menjadi-jadi. Adakalanya, aku terpaksa melayannya sepenuh masa. Firhad berbeza dari yang dahulu. Alasannya, dia ingin memberi sepenuh kasih sayang dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepadaku agar aku puas bersamanya.

“Sara…Tunggu Fir!!! Laung Firhad dari jauh. Aku tersentak. Kulihat kelibat Firhad sedang bersesak bersama pelajar-pelajar lain yang ada di kafeteria itu. Firhad memang sentiasa menungguku di kafeteria kerana amat mudah baginya mengesanku. Aku mempercepatkan langkah untuk mengelak daripadanya.

“Ehh…tu Firhad, kan? Sara, kenapa kau lari dari dia? Dia tunggu kau tu” jelas Nadia tercungap-cungap mengejarku.

‘Ish…apa hal dia lari dari aku?’ gerutu Firhad tidak puas hati. Firhad mematikan langkahnya dari terus mengejar Alya Maisara. Begitu pantas Alya Maisara beredar. Agak sukar untuknya mendapatkan Alya Maisara di saat bersesak dengan pelajar lain. Dia cuba untuk menghubungi telefon Alya Maisara tetapi gagal. Firhad pulang dalam keadaan yang serabut memikirkan sikap Alya Maisara yang tiba-tiba berubah.

“Nantilah aku cerita” aku meneruskan perjalanan dan langsung tidak mengendahkan Nadia. Apa yang penting, aku tidak ingin bersemuka dengannya lagi. Sesampainya di bilik, aku dan Nadia kepenatan. Ain hairan memandang kami seolah-olah dikejar hantu. Nadia memberitahu Ain mengapa kami begitu kepenatan dan tercungap-cungap. Malam itu, aku membuka segala cerita di antara aku dan Firhad. Beberapa kali Ain mengurut dadanya. Nadia pula berkerut dahi. Setiap apa yang berlaku kuberitahu mereka. Aku tahu memang tidak patut untukku menceritakan semua tetapi aku tiada pilihan. Aku perlu tempat mengadu. Aku inginkan ketenangan namun sehingga kini, aku belum mengecapi ketenangan yang hakiki. Sehingga kini, aku masih terus menanti seseorang yang sudi memberi kebahagiaan dalam hidupku. Aku benar-benar mandambakannya. Hari sabtu itu aku bangun agak lewat sedikit. Aku ingin rehat sepuas-puasnya dan ingin melupakan apa yang berlaku kelmarin. Masih jelas berlegar di fikiran bagaimana Firhad mengejarku. Aku tidak ingin kembali ke rumah itu apatah lagi kembali kepadanya.

“Assalamualaikum, Sara...” kedengaran satu suara memberi salam di luar pintu. Rasanya, macam suara kak Nora, jiran sebelah bilikku.

“Waalaikumsalam…kejap kak” aku melompat dari katil dan bergegas untuk membuka pintu. Ain dan Nadia masih lagi lena di katil masing-masing.

“Ada apa kak?” aku menyoalnya kehairanan.   

“Err…Sara, tadi masa akak buang sampah di bawah tu, ada seorang lelaki nak berjumpa dengan Sara sekarang. Katanya ada hal penting. Dia ada di bawah tu” tutur kak Nora perlahan, bimbang takut didengari oleh pelajar lain.

“Haa…ada orang nak jumpa saya? Hmm…ye lah, saya turun sekarang. Terima kasih kak”.

“Sara kenal lelaki tu?”.

“Kenal, kawan Sara” ringkas sahaja jawapanku.

“Ohh…baiklah” kak Nora berlalu pergi selepas menyampaikan pesanan yang kuagak daripada Firhad. Sungguh tidak kusangka Firhad sanggup datang ke hostelku semata-mata ingin berjumpa dan bercakap denganku gara-gara aku tidak pulang ke rumahnya. Apa pun yang berlaku, aku mesti tegas. Aku tidak ingin perkara lama berulang kembali. Kulihat Firhad sedang menantiku di perkarangan hostel, tempat kebiasaan para pelajar menerima pelawat yang datang berkunjung. Langkahku agak malas dan perlahan ketika aku mendekatinya.

“Sara, kenapa tidak balik rumah? Semalaman Fir tunggu, risau tau” soal Firhad sejurus aku berdiri di hadapannya.

“Rumah mana?” aku pura-pura tidak tahu. Pandangan kualih ke tempat lain. Bosan melihat wajahnya itu.

“Kenapa Sara ni? Salah apa lagi yang Fir buat pada Sara sampai Sara tak nak balik rumah?”

“Ohh…rumah Fir. Maklumlah, Sara pun ada rumah lain juga. Rumah mak bapak Sara” dengan selamba aku menjawab pertanyaannya.

“Kenapa Sara jadi macam ni?”.

“Jadi apa pula? Masih lagi jadi orang, belum berubah jadi hulk” selamba aku menjawab kata-katanya.

“Whatever Sara. Yang penting Fir datang sini untuk ambil Sara. Tolonglah Sara. Ikut Fir balik sekarang juga. Pergi kemas pakaian Sara sekarang. Fir tunggu” arah Firhad.

“Maaf, Fir. Sara tidak akan ikut Fir balik atau ke mana-mana lagi” aku berterus terang kepada Firhad. Aku menjarakkan diri jauh sedikit daripada Firhad. Kupaling wajah ke tempat lain, bosan memandang Firhad.

“Kenapa Sara degil sangat ni!” Firhad menarik lenganku lantas kulepaskan.

“Jangan tarik la, sakit tau! Apa nak paksa orang ni, kalau Sara cakap tak nak, tak nak la!” Bentakku keras.Firhad agak kaget dan tidak menyangka bahawa aku sanggup melawannya. Mujur masih awal pagi. Belum ada kelibat pelajar lain yang ada di sekitar hostel itu. Kalau ada, tentu mereka dapat menyaksikan adegan drama yang berlaku antara aku dan Firhad.

“Cuba bagitau Fir apa sebenarnya yang tak kena?” suara Firhad mula meninggi.

“Mulai sekarang kita dah tiada apa-apa hubungan lagi. Tanya la dengan diri sendiri tu” aku membalas kembali.

“Kenapa celupar sangat mulut tu?” tutur Firhad perlahan namun masih jelas tegasnya. Aku memandang ke wajah Firhad. Aku perlukan kekuatan untuk berterus-terang. Aku sudah penat bermain dengan teka-teki atau pun perasaan sendiri.

“Siapa celupar? Sara? Memang Sara celupar, Fir yang ajar Sara jadi celupar macam ni!” bentakku.

“Tolonglah, jangan merepek entah apa-apa lagi ni” Firhad cuba untuk mengawal emosi. Dia tahu amat sukar untuknya mengawal emosi diri apatah lagi untuk memujuk Alya Maisara di saat-saat ini.

“Nothing much to say, Fir. Selepas kejadian hitam yang berlaku antara Fir dan Sofea tu membuatkan Sara kurang percaya pada Fir namun Sara tetap kuatkan hati untuk memberi peluang kepada Fir menebus kesilapan. Sara buat semua tu kerana rasa sayang pada Fir masih kuat. Tetapi, kepercayaan Sara mulai luntur apabila Sara terbaca mesej Sofea yang membuatkan Sara betul-betul terluka. Fir masih berhubung dengan Sofea, bukan?” aku menutur satu persatu. Aku juga cuba untuk mengawal emosiku agar tidak bertindak di luar kawalan. Ikutkan hati, mahu sahaja kutumbuk Firhad berkali-kali.

“Sofea cuma minta tolong, itu sahaja” Firhad menjawab ringkas. Dapat kukesan riak wajah Firhad mula berubah. Jika tadi wajahnya masam mencuka, kini kelat dan pahit umpama jering.

“Usah tipu Sara, Fir. Sara sendiri yang baca semua mesej tu” kini, kuhampir mendapat sedikit keberanian untuk menewaskannya.

“Lupakan semua tu. Sofea memang begitu. Suka mengganggu kebahagian orang” Firhad cuba memegang tanganku.

“Kalau dah tahu Sofea begitu, kenapa Fir masih lagi melayannya sampai berjanji untuk keluar bersama? Kalau Fir sendiri yang tak melayannya, lambat laun Sofea akan berhenti juga. Geli Sara baca semua mesej Sofea tu. Memang dasar kegatalan!” aku mula merenung wajah Firhad. Aku masih ingat setiap mesej antara Firhad dan Sofea. Betul-betul membuatkan aku menyampah dan sakit hati.

“Okey Sara…Fir akui yang kami masih lagi berhubung tapi itu tidak semestinya yang kami mempunyai apa-apa hubungan istimewa. Maafkan Fir sekali lagi, sayang” rayu Firhad agar aku memahaminya dan memberi peluang kedua untuknya.

“Maaf…maaf…maaf, bosan tau dengar perkataan tu banyak kali. Fir, Sara juga punya prinsip seperti Fir. Sekali Sara dilukai, tidak mudah untuk Sara melupakannya begitu sahaja lebih-lebih lagi ke atas apa yang pernah berlaku antara Fir dan Sofea. Sara serik dan takut, Fir. Sara tidak kuat untuk meneruskan kehidupan seandainya perkara sama berulang kembali. Lagipun, cinta dan kasih Sara hanya satu. Hanya satu buat yang benar-benar menghargai Sara” aku menjawab lemah. Tidak sanggup rasanya untuk meneruskan kata-kata. Terus terang, aku sendiri tidak mampu untuk berjauhan apatah lagi melepaskan Firhad setelah apa yang kami lalui bersama. Sebahagian dari diri dan hidupku ada padanya. Namun aku perlu belajar untuk berdikari dan mulakan kehidupan yang baru.

“Kita putus” kataku kepada Firhad. Bibirku terasa begitu berat sekali saat melafazkan ayat keramat itu namun aku tiada pilihan.

“What?? Damn!!, what you were saying just now?” Firhad bersuara keras, terkejut dengan permintaanku yang seakan-akan mencabarnya. Pekak badak mamat ni. Aku minta putus pun sedap ja mulut kau memaki macam tu. Aku guna loud speaker baru tahu, biar semua alam tahu apa yang aku nak dari kau. Baru betul kau malu depan semua orang, gerutuku.

“Macam-macam aku bagi kau tapi begini kau balas?! Apa? Tak cukup lagi semua ni?” Firhad mula membara.

“Lebih dari cukup! Okey, jangan paksa, Sara. mulai hari ini, Sara bukan milik Fir lagi. Fir boleh kembali kepada Sofea. Sofea lebih memerlukan Fir. Jangan risau pasal Sara. I am okay” satu-persatu ayat kututur agar Firhad jelas dengan permintaanku.

“Tapi Sara, kitakan dah melalui semua bersama. Sampai hati Sara nak tinggalkan Fir macam tu?” Firhad mula merayu tanpa jemu. Aku nak tinggalkan dia, dia cakap sampai hati. Yang dia berseronok sakan dengan Sofea tak sampai hati ke buat aku macam tu? Ada dia fikir perasaan aku masa tu?

“Sara nak Fir bahagia. Sara tahu Fir masih tak dapat lupakan Sofea so go get her. She needs you, really need you” emosiku kini kian stabil. Entah mengapa aku boleh tenang apabila menyebut nama perempuan yang mengganggu kebahagiaan aku. Perlukah aku menyebutnya perempuan? Atau betina? Atau jalang?

“Tapi Sara, Fir masih sayangkan Sara. Fir tak sanggup bila Sara tiada. Fir tak boleh hidup tanpa Sara” jelas getar suara Firhad. Main drama lagi si Firhad ni. Setiap ayat yang dilafazkannya betul-betul dari skrip drama. Memang tak jemu-jemu pujuk aku. Kau sayang aku tapi cinta kau untuk Sofea, bukan aku. Aku pun tak ingin bertarik rambut gara-gara berebutkan seorang lelaki. Kau jagalah Firhad tu Sofea. Kau layanlah dia 24 jam!

“Okey, Fir. Enough for now. Mulai sekarang Sara bukan milik Fir lagi. Titik” Akhirnya, aku nekad membuat keputusan. Aku perlu mengakhiri semuanya biarpun Firhad yang memulakannya. Aku tidak mampu lagi untuk terus hidup bersama Firhad. Perasaanku terhadap Firhad kini bukan lagi seperti dahulu yang disulami bebunga cinta. Aku sendiri tidak mengerti akan perasaanku. Yang pasti aku perlu terus mencari cinta yang menghargai diriku juga perasaanku. Aku tahu Firhad banyak membantuku. Begitu sukar Firhad menerima keputusanku untuk berpisah dengannya. Bagiku, kenangan bersama Firhad sudah cukup mengajarku erti hidup yang sebenar.

“Aku tak rugi sesen pun kalau kau nak putus! Aku dah dapat apa yang aku nak dari kau! Bukan setakat aku, malah kawan aku sendiri pun dah dapat tubuh kau cuma kau tu yang tak tahu apa-apa!” bentak Firhad kasar berlalu meninggalkanku sendirian di situ. Dari jauh kudengar deruman motor Firhad yang menggila. Biarlah, aku sudah penat melayan karenah Firhad apatah lagi karenah Sofea yang tidak pernah jemu mengganggu hubungan kami. Walaupun pahit dan pedih kini aku sudah bebas dari Firhad secara mutlak. Sesungguhnya dalam sesebuah perhubungan nasib belum lagi berpihak kepadaku. Kini, aku tersungkur untuk ke sekian kalinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience