Bab 9

Other Completed 3867

Satu demi satu lelaki yang muncul dalam hidupku namun antara mereka tiada seorang pun yang mampu memberiku kebahagiaan. Aku teramat letih bermain dengan perasaan sejak dari Izzarif sehinggalah Firhad. Aku tak mampu untuk bertahan lagi. Kukorbankan jiwa dan raga semata-mata untuk cinta bersama mereka. Akhirnya, tiada apa yang kudapat melainkan penat dan sia-sia. Aku umpama pencinta yang setia namun mereka tetap melakukan sesuatu yang amat sukar untuk aku terima. Inikah balasan yang harus kuterima untuk segala kesetiaan? Bodohkah aku dalam mengenal erti cinta? Bodohkah aku kerana begitu setia? Bodohkah aku kerana menyerahkan segala-galanya?

Berulang kali aku disakiti dan dikhianati. Aku cuma mahu mereka tahu yang hatiku ini bukan untuk disakiti. Aku akui betapa beratnya meninggalkan mereka yang pernah aku cintai dan sayangi suatu masa dahulu namun hanya inilah jalan terbaik yang harus aku lakukan. Maafkan aku kerana terpaksa melupakan cinta yang pernah wujud di hati. Aku hanyut dan leka dalam cinta seorang lelaki. Biarpun aku tidak lagi punyai apa-apa, namun aku harus teruskan langkah untuk hidup. Biarpun aku gagal dalam cinta namun aku tidak gagal dalam hidup. Apa yang pasti, aku harus mencari cinta yang sejati. Kini, aku sudah tidak mula untuk serius dengan mana-mana lelaki kerana ada atau tiada ia tetap sama. Tidak seperti dulu aku tetap mencari, mengharap dan menghargai seseorang bernama lelaki. Bukan kerana membenci tetapi aku disakiti. Aku mahukan cinta yang membuatkan aku berasa tenang dan damai tetapi di manakah cinta itu? Siapakah gerangan yang mampu membuatkan aku berasa selamat dalam cinta? Ah! Aku sendiri tidak pasti.

Ain dan Nadia juga mulai sedar akan perubahanku namun mereka tidak banyak bertanya. Sejak dari peristiwa itu, aku tidak lagi pulang ke rumah Firhad. Aku kembali ke hostel seperti sediakala. Namun, aku tetap punya rasa malu terhadap Ain dan Nadia. Berulangkali mereka menasihatiku tanpa jemu agar berhati-hati namun semuanya tidak kuendah. Bagiku, kekasih hati adalah nyawa dan nadiku. Tanpa kekasih, hidupku tidak bermakna. Aku malu, teramat malu! Kupandang Ain dan Nadia. Mereka tidak punya salah apa-apa. Mereka sentiasa ada di sisiku sewaktu gembira dan duka. Mereka menerima diriku seadanya. Perhubunganku bersama mereka juga semakin baik dan akrab. Kadangkala aku terfikir, kerana kebodohan dan keinginanku untuk bersama kekasih hati, aku sanggup ketepikan teman-temanku. Memang benar kata orang, darah muda sukar dikawal. Nafsu di jiwa kian menggila. Kini, aku juga makin kerap mengulangkaji pelajaran bersama Ain dan Nadia. Kami juga telah mula keluar bersama seperti dahulu. Perhubungan yang seakan-akan hambar suatu masa dahulu kini kembali dijernihkan. Aku akui semua kesilapanku namun aku tak berdaya menolak segala keinginan dan perasaanku.

“Eh, korang tak stay up ke nanti?” tuturku seraya melihat Ain dan Nadia sedang leka membelek majalah kegemaran mereka, Cosmopolitan. Ain memandangkanku tersenyum.

“Why? Want to join us?” celah Nadia menjawap pertanyaanku.

“Kalau boleh, aku nak stay up juga. Lagipun aku nak score dean list untuk final exam ni” balasku.

“Sara, walau apa pun yang berlaku, kami tak pernah pun ketepikan kau” ujar Nadia lagi. Ain hanya mengangguk. “Thanks” tuturku sambil mendakap erat Ain dan Nadia.

Semester ini merupakan semester akhir aku berada di universiti ini. Aku tekad untuk lulus dengan cemerlang dalam pelajaranku. Biarpun aku jarang pulang ke rumah keluarga, aku tetap tidak lupa untuk menghubungi mereka. Aku rindu ibu, ayah dan adik. Aku bertekad untuk menghabiskan pengajian demi keluargaku. Di hatiku kini hanya ada mereka. ‘Ingat pesan mak, Sara. Hati-hati bila berkawan tu. Jaga perangai tu elok-elok tempat orang. Kamu tu perempuan’ Masih kuingat kata-kata ibu sewaktu mula-mula menghantarku ke kampus suatu masa dahulu. Ayah turut mengingatkanku agar sabar dan tabah kerana aku sudah meningkat dewasa. Di kala itu, kulihat mata ayah dan ibuku penuh harapan. Mereka tentunya amat berbangga kerana aku berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Tidak seperti ibu yang hanya lulusan maktab dan ayahku pula hanya lepasan SPM. Namun aku tetap bahagia kerana mereka sentiasa menyayangiku lebih daripada segalanya. Aku tersenyum mengimbas detik manis dahulu.Mak, ayah… Sara berjanji akan belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat pengajian. Tapi, maafkan Sara kerana Sara tidak seperti dahulu. Sara bukan seorang perempuan yang suci lagi. Sepanjang malam air mataku terus mengalir, entah bila aku terlena pun tidak pasti. Hujung minggu itu aku, Ain dan Nadia keluar ke pusat membeli belah untuk melepaskan tekanan setelah seharian penat mengulangkaji pelajaran. Kami menonton wayang dan menghabiskan masa bersama. Selepas itu, kami ke Tanjung Aru Beach, sekadar ingin merasa angin pantai.

“Nanti lepas grad, kau nak buat apa Sara?” soal Nadia sambil menghabiskan mayonese corn kesukaannya.

“Aku rasa nak kerja la. Lagipun aku nak cari duit untuk bantu family aku. Eh…kau tak nak sambung Master ke?” balasku kembali.

“Tak lah. Jem dah otak aku nak kena study lagi ni.  Aku pun nak kerja juga. Tapi dekat syarikat daddy aku tu la. Tolong-tolong dia sikit” ujar Nadia mengelap cebisan mayonese di mulutnya.

“Untung la kau. Ada family business. Tak susah-susah cari kerja” senyumku.

“Tak juga macam tu Sara. Daddy mahu kami adik-beradik berdikari. Dia  nak kami belajar dari bawah dan faham tentang cara menguruskan syarikat. Daddy aku tu lain sikit. Kalau kami buat salah, dia akan marah. Macam abang aku dulu la. Dia praktikal kat syarikat daddy aku. Abang aku lupa nak nak buat report, so apa lagi daddy aku marah dia depan semua staf pula tu. Bukan apa, daddy aku tu tak mahu orang lain anggap yang dia berat sebelah” jelas Nadia panjang lebar.

“Apa Sara dan Nadia bualkan tu?” tiba-tiba muncul Ain sambil menepuk bahu kami berdua. Nadia hampir melatah dan aku hampir melompat. Mana tidaknya, Ain tiba-tiba menyampuk dan menepuk bahu kami.

“Kau ni Ain, terbang tinggi semangat aku tau” ujar Nadia yang masih lagi menggosok dadanya.

“Sara pun terkejut Ain tiba-tiba tegur. Ingat hantu tadi. Lembut dan halus je suara tu” senyumku ke arah Ain. Ain masih seperti dahulu. Lemah lembut, pemalu dan pendiam. Pandai menjaga hati dan perasaan temannya. Begitu juga Nadia, masih sarcastic dan tegas. Aku yang banyak berubah dan tidak lagi seperti dahulu. Hatiku makin kosong, jauh dan kabur.

“Kami story pasal lepas grad. Kami nak kerja. Ain pula?” soal Nadia bersahaja.

“Ain nak balik kampung dulu la. Lepas tu baru fikir nak kerja atau sambung study” tutur Ain perlahan. Aku dan Nadia faham benar perangai Ain yang terlalu merindukan kampungnya. Agaknya, Ain akan mencari kerja di kampungnya juga. Begitu sukar baginya untuk terus berjauhan daripada keluarga. Hari itu aku merasa sedikit tenang dan lapang. Bukan kerana seronok berjalan-jalan dan membeli belah tetapi aku bebas dari memikirkan hati dan perasaan. Aku gembira begini. Tiada lagi hati yang perlu dijaga atau perasaan yang perlu dikasihani.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience