Bab 18

Other Completed 3853

“Awak dah cakap dengan Sara?” Encik Hadi mula bersuara sambil menikmati hidangan petang itu dan mula membelek suratkhabarnya.

“Tak sempat saya nak cakap tadi. Tapi, saya sudah selalu ingatkan dia. Katanya, dia dah besar dan dia tahu apa perlu dilakukan” balas Puan Salmah.

“Besar atau tidak bukan itu persoalannya. Tanggungjawab terhadap Tuhan itu yang paling utama. Semasa dia sekolah dulu pun susah benar saya nak tengok dia solat bersama dengan kita. Sekarang ni tak payah cakaplah. Balik rumah pun dah lewat. Tak habis-habis sibuk itu ini. Saya pun dulu pernah bekerja dan sibuk juga tapi solat tetap yang utama. Yang saya risaukan, umurnya makin meningkat tapi tak pernah bersyukur atas apa apa yang diberi. Bukan saya tak tahu, setiap kali saya menasihatinya tentang solat, doa dan zikir, dia akan memalingkan mukanya. Sebagai ketua keluarga dan seorang ayah, saya takut andai suatu hari nanti anak awak tu tersungkur. Setakat ni, dia boleh berbangga kerana usahanya sentiasa berhasil” panjang berjela Encik Hadi meluahkan rasa hati yang terpendam selama ini.

“Bukan anak saya seorang saja, dia pun anak awak juga, anak kita bersama” Puan Salmah mula berasa tidak selesa seolah-olah dia dipersalahkan kerana tidak membimbing dan menasihati Alya Maisara.

“Hari ni dia balik lambat lagi? Biar saya bercakap sendiri dengannya” Encik Hadi mula perasan yang riak wajah Puan Salmah sedikit berubah, barangkali terasa dipersalahkan.

“Belum pasti lagi” jawab Puan Salmah ringkas sambil berlalu ke dapur, lebih tenang rasanya apabila di dapur daripada bersama suaminya. Bimbang nanti kerana hal Alya Maisara, dia tidak dapat mengawal emosi dan mula bertengkar dengan suaminya. Sebagai ibu, mustahil aku tidak risau tentang hal anakku. Setahu aku, belum pernah lagi Alya Maisara melakukan sesuatu di luar batasan apatah lagi berkasar kepadaku tetapi Allahu’alam, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui sebaliknya. Memang benar kata suamiku, Sara agak liat sedikit apabila berbicara tentang hal-hal agama. Mudah benar mukanya dipalingkan. Ada sahaja jawapannya jika dinasihati tentang bab-bab solat. Dia muda lagi, lah. Masih banyak masa, lah. Tunggulah. Itulah, inilah. Kalau ditakdirkan aku mati esok lusa, siapa yang akan mendoakanku di sana? Sebagai seorang wanita juga, aku turut khuatir andainya sesuatu yang buruk berlaku terhadap anakku. Dia punya rupa dan kerjaya. Sesiapa yang melihatnya akan teruja untuk mendampinginya. Setahu aku, Sara belum punya kekasih hati kerana Sara tidak pernah menceritakan hal itu kepadanya. Cuma, sejambak ros merah yang menjadi tanda tanya siapa gerangan pemberinya. Aku tidak pernah menghalang Sara untuk berkawan dengan sesiapa kerana aku sedar suatu hari nanti aku juga terpaksa melepaskan Sara apabila tibanya saat itu. Tetapi, aku bimbang seandainya ada mana-mana lelaki yang ingin mengambil kesempatan ke atasnya. Kadangkala terdetik juga perasaan yang tidak baik menjengah hatiku namun lekas-lekas kulontar jauh. Biarpun kata orang naluri seorang ibu begitu kuat namun aku tidak mahu mempercayai sepenuhnya kerana aku tidak ingin menaruh wasangka terhadap anakku.

Ya Allah, Kau lindungilah anakku setiap masa walau di mana dia berada. Seandainya dia melampaui batas, Kau kembalikanlah dia ke jalan yang sebenar. Seandainya dia alpa untuk bersujud kepadaMu, Kau bukakanlah pintu hatinya. Sesungguhnya kepada Engkau tempat aku memohon, Ya Rabbi.

Surah Ali-Imran, ayat 8 (mereka berdoa): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia).”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience