Bab 16

Other Completed 3853

Tengahari itu, Karl mengajak aku makan tengahari bersama. Kulihat Dania dan Noreen tersengih-sengih umpama kerang busuk. Ammar pula menjuihkan bibirnya, barangkali merajuk kerana sehingga hari ini aku masih menolak pelawaannya untuk keluar bersama.

“Eh, Sara. Beraninya si Karl datang ke bahagian kita untuk ajak kau pergi lunch. Gentleman betul, I like…” Noreen yang kaki penyibuk itu mula ingin membuka cerita.

“Makan tengahari saja pun. Bukan pergi big event” dengan selamba aku membalas kenyataanya.

“Okey la tu. Selama aku hidup di sini, belum ada seorang pun yang nak bawa aku pergi lunch” Noreen membuat muka monyok, pura-pura merajuk.

“Tu ada Ammar….bawalah dia pergi lunch” aku membuat lawak mengenakannya.

“Ammar tu? Pandang aku pun dia tak sudi. Apatah lagi nak pergi makan sama-sama. Jangan haraplah” ujar Noreen lagi. Aku tahu Noreen menyukai Ammar namun dia tidak pernah meluahkannya. Bagi Noreen, biarlah dia memendam perasaan lagipun dia selesa berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Ammar takut dengan kau tu sebab kau banyak sangat cakap. Kalau korang keluar berdua, nanti sepanjang masa kau non stop bercakap. Kalahlah dia. Lagipun, di bahagian kita ni hanya kau dan Ammar saja yang kuat sangat berceloteh” balasku tersenyum.

“Noreen, hari ni aku tak dapat joint korang lunch, okey” aku mengingatkan Noreen.

“Ya, aku faham. Kau tak bagitahu pun, aku tetap faham. Enjoy your lunch” ujar Noreen bersahaja lagi. Tepat jam 12.30 tengahari, Karl menelefonku dan dia menungguku di bawah. Banyak juga mata-mata yang memerhati apabila kami berjalan beriringan. Aku sudah biasa dengan keadaan sebegitu. Dari zaman persekolahan hingga kini, memang setiap mata tidak lekang dari memerhatikanku. Entah-entah mereka cemburukan Karl kerana keluar denganku.

“Wah, Karl. Hari ni keluar dengan partner lain pula ke?” soal Mamat, salah seorang polis bantuan yang bekerja di bank itu.

“Kau ni, Mat. Ni Sara, la. Kawan satu pejabat juga” balas Karl, mungkin sedikit segan apabila Mamat menegurnya. Takkanlah setiap hari Karl keluar dengan orang yang berbeza? Boleh tahan juga, bisik hatiku. Aku tersenyum ke arah Mamat dan menganggukkan kepala. Tengahari itu, Karl membawaku ke restoran nasi kandar yang terletak tidak jauh dari pejabat kami. Berselera sungguh kami menikmatinya. Pelbagai topik kami bualkan sepanjang makan bersama.

“Dengar-dengar, Sara akan buat persembahan malam annual dinner tu nanti, betul ke?” soal Karl bertanya tentang malam itu nanti.

“Ye, Sara buat persembahan. Sara pun terkejut bila tengok nama Sara dalam senarai tu” jawabku lemah. “Aik…kenapa terkejut?” Karl kehairanan.

“Macam mana tak terkejut kalau orang lain yang cadangkan nama Sara. Semua tu hasil kerja si Noreen dan Dania. Mereka yang beriya-iya inginkan Sara buat persembahan. Kata mereka, Sara orang baru dan perlu sumbangkan sesuatu untuk malam itu nanti” terangku kepada Karl. Tidak semena-mena Karl ketawa dan aku hampir terperanjat. Kita beritahu dia yang benar, boleh pula dia ketawa.

“Mereka hantar nama Sara senyap-senyap la ni, kan? Noreen dan Dania tu suka kenakan orang. Nampak saja mereka macam skema tapi kalau bab mengenakan orang, serah pada mereka” balas Karl lagi sambil ketawa.

“Jadi, Sara terkena la?” soalku.

“Yuppp…tapi biasalah tu, bukan kerja berat pun. Setakat menyanyi saja, kan. Dalam 3 minit macam tu siaplah” aku menganggukkan kepala. Selesai makan dan membayar bil, kami perlu segera pulang ke pejabat. Banyak benda yang perlu kami siapkan pada hari itu juga. Karl mengucapkan terima kasih kepadaku kerana sudi meluangkan masa untuk makan tengahari bersamanya. Aku juga selesa apabila berbual dengannya.

Setiap kali aku terserempak atau berselisih dengan Karl, debaran itu semakin kuat. Satu debaran dan perasaan yang membuatkan aku sering teringatkannya. Debaran yang sama seperti yang aku alami suatu masa dahulu. Aku tidak mahu terburu-buru. Biarlah masa yang menentukan. Lagipun, aku tidak mahu bertepuk sebelah tangan. Aku akui yang memang begitu sunyi hidup tanpa seorang lelaki. Jika suatu masa dahulu aku sering sahaja dibelai oleh insan bergelar lelaki namun kini tiada lagi. Dahulu, apa sahaja kehendak dan keinginanku selalu sahaja mereka penuhi. Sehingga kini aku masih lagi mendambakan kasih sayang dan cinta seorang kekasih hati. Bagiku, amat sukar melalui hidup tanpa cinta seorang lelaki. Aku kesunyian dan ketandusan kasih sayang. Biarpun aku punya keluarga dan teman-teman yang mampu menceriakan hariku namun bukan itu yang aku inginkan. Aku tetap perlukan cinta. Cinta seorang lelaki dan aku tidak boleh hidup tanpa cinta itu.

Kadangkala hatiku tergerak untuk memulakan langkah mendekati Karl namun aku bukanlah seperti perigi yang mencari timba. Aku masih perlu menjaga kelakuan dan statusku. Perempuan seperti aku yang sering menjadi tumpuan setiap mata dan igauan para jejaka harus menjaga kelakuannya. Mana mungkin aku boleh terhegeh-hegeh mendekati seseorang seandainya aku sendiri pun tidak mengetahui isi hatinya. Pernah juga aku terfikir untuk ‘mengumpan’ Karl untuk menjadi kekasih hatiku namun keinginanku tersekat dek kerana reaksi Karl yang bersahaja. Bimbang pula seandainya Karl menggelarku ‘syok sendiri’ ataupun ‘perasan’. Kenyataannya, amat sukar untuk aku mengawal perasaan setiap kali berjumpa dengannya. Kalau hendak diikutkan, mahu sahaja aku menerkam ke arah Karl dan mendakap tubuh sasanya itu. Kerana terlampau dimanja suatu ketika dahulu kini membuatkan aku tidak mampu mengawal diri.

“Eh…apa termenung jauh sangat tu?” suara Dania mengejutkanku. Aku mendongak ke arahnya lalu senyum. Kulihat di tangan Dania ada sekuntum ros merah. Untung Dania, ada yang sanggup memberikan bunga.

“Nah…Karl bagi” tiba-tiba Dania menghulurkan bunga ros tersebut kepadaku. Aik..? Aku ingat ia milik Dania.

“Untuk aku?” soalku untuk memastikan ia benar-benar untukku.

“Ye, untukmu cik Sara. Encik Karl awak yang minta tolong saya serah kepada awak” Dania berbasa-basi denganku.

“Biar betul kau ni. Kalau betul untuk aku, kenapa dia tak bagi sendiri? Selama ni dia tiada masalah pun datang ke bahagian kita ni”.

“Dia memang nak bagi kau tapi dia takut orang nampak. Kebetulan, aku baru sahaja keluar dari kereta, dia terus meluru ke arah aku dan suruh bagi dekat kau. Ambil sajalah, Sara”. Tanpa bertanya selanjutnya, aku terus sahaja mengambil ros merah itu. Masih segar dan harum sekali. Barangkali, Karl baru sahaja membeli bunga itu. Sedang aku membelek ros merah itu, terselit kad ucapan kecil yang bertulis ‘salam perkenalan untuk Sara…semoga perkenalan ini memberi makna untuk kita…Karl. Aku tesenyum sendiri membaca kad kecil itu. Adakah mungkin aku tidak bertepuk sebelah tangan? Hari itu aku pulang ke rumah dengan senang hati. Ibu memandangku kehairanan.

“Kenapa ceria sangat hari ni? Selalunya mak tengok kamu ni letih memanjang setiap kali pulang kerja. Kamu naik pangkat ke, Sara?” ibu mula menyoal setelah aku mula duduk di sofa.

“Taklah mak. Sara kan baru saja kerja. Tak mungkin naik pangkat begitu cepat” jawabku sambil tersenyum-senyum membelek ros merah itu.

“Siapa yang bagi bunga tu Sara?” akhirnya ibu dapat mengagak mengapa aku tersenyum-senyum dan ceria setibanya di rumah.

“Kawan Sara yang bagi” ringkas sahaja jawapanku.

“Mesti kawan lelaki tu, kan?” soal ibu lagi.

“Takkanlah kawan perempuan, mak. Kami satu pejabat lagipun kami cuma kawan biasa sahaja, mak” jelasku kepada ibu sambil mataku masih lagi leka menatap ros merah pemberian Karl itu.

“Mak tak kisah kalau kamu nak berkawan dengan sesiapa pun tapi satu sahaja pesan mak. Hati-hati berkawan dan jaga diri elok-elok. Kamu tu perempuan. Tak manis ke sana ke mari dengan mana-mana lelaki” terang ibu. Seperti dahulu, ibu sering menasihatiku apabila berkawan, tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan.

“Ye, mak. Sara faham dan sentiasa ingat pesan mak. Lagipun Sara bukan budak kecil lagi” aku menjawab malas lalu menuju ke bilik untuk membersihkan diri.

“Mak risau, Sara” tutur ibu namun aku langsung tidak mengendahkan kata-kata ibu. Kadangkala aku berasa hampir bosan setiap kali ibu menasihati itu ini. Belum lagi ayah, ada sahaja 'ceramah agama' percuma yang aku terpaksa dengar demi menjaga hati. Sara dah besar, mak. Sara tau apa yang Sara buat. Tak perlu terlampau risaukan Sara. Sara tahu dengan siapa Sara berkawan, bisik hati kecilku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience