Bab 35

Other Completed 3853

Semenjak Alya Maisara koma, hidupnya benar-benar kosong. Jika dahulu, walaupun Alya Maisara jarang benar pulang ke rumah namun sempat juga anaknya itu bertanyakan khabar dirinya. Kini, apabila anaknya terlantar sakit, dia merasakan sudah tidak kuat untuk meneruskan hidup ini. Puan Salbiah teringat akan doanya suatu ketika dahulu, Ya Allah, Kau lindungilah anakku setiap masa walau di mana dia berada. Seandainya dia melampaui batas, Kau kembalikanlah dia ke jalan yang sebenar. Seandainya dia alpa untuk bersujud kepadaMu, Kau bukakanlah pintu hatinya. Sesungguhnya kepada Engkau tempat aku memohon, Ya Rabbi. Adakah semua ini petunjuk dari Allah SWT atas doanya terdahulu? Dia inginkan anaknya mengecap kebahagiaan dunia dan akhirat. Tidak pernah sekalipun dia mendoakan kemusnahan untuk anak perempuannya itu. Namun, seperti kata suaminya, mereka perlu redha atas semua kejadian yang menimpa Alya Maisara. Puan Salbiah pilu mengenangkan nasib dan penderitaan anaknya. Andainya diizinkan, dia mahu menggalas setiap derita yang dibebani oleh Alya Maisara. Biar dirinya yang menjadi galang ganti. Biar nyawanya yang diambil oleh Allah SWT. Dia tidak betah melihat Alya Maisara terlantar pucat, lemah dan lesu. Tidak makan dan minum. Begitu utuhnya kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu!

Puan Salbiah tersenyum mengingatkan telatah Alya Maisara sewaktu kecil. Anaknya itu seorang yang lincah dan periang, tidak sedikit pun ada rasa takut. Dia seorang anak kecil yang kuat dan berani walaupun sewaktu itu dia masih dalam usia dua tahun. Dia petah berkata-kata dan pandai mengajuk setiap kata-kata orang.

“Makkkkkkkk…!!” laung Alya Maisara di ruang tamu sambil menonton kartun kegemarannya. Puan Salbiah bergegas keluar dari dapur lalu mendapatkan anak kecil itu. “Ya, sayang”. Anak kecil itu menunjuk ke arah televisyan yang sedang terpasang sambil tersenyum. Rupanya, kartun kegemarannya, Mickey Mouse. Puan Salbiah tersenyum sendiri sambil mengusap lembut rambut anaknya.

“Mickey mouse, sayang. Sara suka Mickey?”.

“Ikiii…ikiii…” ajuk anak kecil itu sambil cuba untuk melompat. Lantas, Puan Salbiah memeluk erat anak sulungnya itu. Baginya, anak perempuannya itulah satu-satunya permata hati. Dia tekad untuk mendidik Alya Maisara sebaik mungkin dan berjaya di dunia mahu pun di akhirat. Masa berlalu begitu pantas dan Alya Maisara telah pun menjadi dewasa. Alya Maisara sentiasa menjadi pelajar terbaik sama ada di sekolah rendah mahu pun menengah. Anak gadisnya itu terlalu sibuk menyartai pelbagai aktiviti persekolahan. Dia benar-benar sayangkan anak gadisnya itu. Lebih membanggakannya, Alya Masara telah diterima melanjutkan pelajaran di universiti. Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaannnya ketika itu. Anaknya itu sedikit pun tidak pernah mengabaikan pelajaran. Namun, langit tidak selalunya cerah. Alya Maisara mula menunjukkan sedikit perubahan yang merisaukan hatinya dan suaminya. Bukan tidak pernah dia dan suami menasihati Alya Maisara tentang hal-hal agama namun ada sahaja alasan yang diberi oleh anak gadisnya terutamanya apabila ditegur tentang solat. Puan Salbiah akui, dia terlampau berlembut dengan anaknya sehinggakan anaknya mengingkari perintah Allah SWT malah hampir lupa diri dek kesibukan mengejar duniawi. Anaknya lalai dari melakukan perkara wajib sehinggakan kehidupan sosialnya sudah mula tidak terurus. Kini, hanya tinggal sekujur tubuh lemah yang terbaring kaku. Air mata Puan Salbiah mula bergenang setiap kali mengingatkan anaknya itu.

“Mak, kak Sara camna sekarang?” tegur Aiman, anak bongsunya mengejutkan lamunannya ketika itu. Cepat-cepat dia mengesat air matanya.

“Alhamdulillah, kakak buka mata hari ni” senyumnya sambil memandang Aiman.

“Aiman harap kak Sara cepat sembuh. Aiman janji tak nak main game kerap sangat. Aiman menyasal tak dengar cakap kakak” Aiman tunduk. Puan Salbiah mengusap belakang Aiman.

“Kita doa supaya kakak sembuh” itu sahaja yang mampu terucap dari bibir Puan Salbiah. Dia cuba untuk senyum. Seandainya dia meneruskan kata-kata sudah pasti air matanya berderai laju. Sebagai ibu, dia harus kuat dan tabah.  

“Sudah solat Isya’?”.

“Sudah, mak. Berjemaah dengan ayah tadi” ujar Aiman. Satu-satu anak lelaki mereka yang merupakan adik bongsu Alya Maisara.

“Syukurlah. Lepas ni Aiman tolong mak ya hidang nasi dan lauk di meja. Kita makan sama. Panggil ayah sekali” Puan Salbiah mengarahkan Aiman. Kalau hendak diikutkan hati, dia tidak ingin makan. Selera makannya mati. Mana mungkin dia punya selera makan sedangkan fikirannya masih mengingati anak gadisnya yang terbaring lemah.

Selepas makan malam, Puan Salbiah masuk ke bilik Alya Maisara. Sebenarnya, sejak anaknya itu sudah jarang tinggal bersama mereka, Puan Salbiah akan duduk di bilik Alya Maisara untuk menghilangkan rasa rindu. Tilam dan cadarnya sentiasa di kemas. Segala perkakas di meja solek disusun rapi. Tiap-tiap hari dia menyapu dan membersihkan bilik anak gadisnya. Hanya cara itu dapat mengubat rindu di hati. Encik Hadi perasan akan perubahan sikap isterinya, namun dia hanya membiarkan sahaja. Dia faham benar isi hati isterinya, kasih seorang ibu tidak mungkin dapat ditandingi di dunia ini.

“Sal…berehatlah. Dah jauh malam ni. Abang tengok Sal penat sangat tu” tutur suaminya, Encik Hadi yang berdiri di muka pintu bilik Alya Maisara.

“Sal tak penat. Tak rasa mengantuk lagi” ujar Puan Salbiah sambil mengemaskan lipatan kain baju Alya Maisara di birai katil.

Encik Hadi mendekati Puan Salbiah lalu duduk di sebelahnya. “Abang pun sedih sangat bila perkara sebegini menimpa keluarga kita”. Puan Salbiah hanya mendiamkan diri.

“Abang harap hari esok akan lebih cerah untuk kita sekeluarga” mendalam benar maksud Encik Hadi. Harapannya cuma satu untuk melihat anaknya, Alya Maisara kembali pulih seperti sediakala. Setiap masa dia berdoa, berzikir dan bertawakal kepada Allah Yang Maha Esa. Dia tidak lupa untuk meminta keampunan untuk anaknya.

“Abang rasa kita masih ada harapan?” Puan Salbiah bersuara sayu.

“InsyaAllah, Sal. Yang penting solat dan doa kita untuk Sara tidak pernah putus. Abang yakin, suatu masa nanti Sara akan pulih cuma kita perlu bersabar untuk sedikit masa lagi” pujuk Encik Hadi. Kalau boleh, dia semahunya tidak ingin melihat isterinya berduka. Dia sendiri tidak kuat untuk menghadapi semua ini namun dia tetap perlukan sokongan isterinya.

“Allah hukum kita ke, bang? Kita cuai mendidik Sara sehingga dia mengalami nasib sedemikian rupa” rintih Puan Salbiah lagi.

“Jangan cakap begitu, Sal. Apa yang berlaku semua atas kehendakNya. Semua ni ada hikmah. Kita kena yakin pada Allah SWT” Encik Hadi meyakinkan isterinya. Malam itu sukar untuk Puan Salbiah dan Encik Hadi melelapkan mata. Setiap masa memikirkan Alya Maisara. Kuatkah anaknya itu melalui semua ini? Jauh di sudut hati mereka berharap agar Alya Maisara memberi perubahan positif untuk hari-hari mendatang. Begitu lamanya menanti masa berlalu. Kalau boleh, setiap saat dan waktu mereka ingin berada di sisi Alya Maisara. ‘Ya Allah ya Tuhanku, kau sembuhkanlah anakku, Alya Maisara. Ringanlah beban sakitnya. Ampunkanlah setiap dosa dan kesilapannya. Sesungguhnya, aku telah lama memaafkan setiap kesalahan anakku terhadapku’ Puan Salbiah mengakhiri doanya dalam solat hajat malam itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience