Bab 25

Other Completed 3853

“Syoklah malam tadi, macam aku nak pergi tiap-tiap malam tau” Dania cuba mengimbas kembali detik indahnya di kelab mewah itu malam tadi.

“Sediakan ongkosnya maka kamu bisa ke sana selalu untuk berlibur bersama pria tampan” balas Noreen dalam loghat Indonnya itu. Aku tersenyum melihat telatah mereka.

“Kamu bagaimana ya Sara? Apa tidak ada pria yang menjadi mangsamu malam tadi?” Noreen mula memandangku seraya mengenyitkan matanya. Gayanya umpama bibik Indon sahaja.

“Sudah tentu ada, bik Noreen. Aku bisa mendapatkan ‘kuda putih’, ya. Jauh lebih hebat dan ngetop” aku turut membalas dalam loghat yang sama. Serentak kemudian, keluar hilai tawa Noreen dan Dania.

“Wah…kau ni Sara, ada bakat jadi artis, lah. Kalau kau jadi artis, sudah tentu ramai yang gilakan kau ni” ucap Dania sambil menganggukkan kepala ke arah Noreen.

“Serius ke kau dapat kuda putih?” Noreen seolah-olah tidak percaya.

“Kan aku dah cakap, aku kan vampire high class. Bukan sahaja kuda hitam malah kuda putih pun sudah kutawan” jawabku ketawa sambil mengingat kembali peristiwa yang berlaku di antara aku dan lelaki asing itu.

“Nampaknya kau makin hebat, Sara. Salute” Noreen memberi isyarat thumbs up kepadaku. Sedang kami asyik bercerita tentang peristiwa di kelab semalam, tiba-tiba aku menerima pesanan ringkas dari Karl. Aik??? Tiba-tiba pula mesej, aku tak kisahlah Karl sama ada kau wujud lagi atau tidak. Bagiku sekali kau pergi maka kau akan terus jauh daripadaku.

‘Busy?’.

‘No’.

‘You pergi mana malam tadi?’.

‘Why?’.

‘Where u went last night?’.

‘At home. Sleeping’.

‘Don’t lie, dear’.

Aku diam dan langsung tidak kupedulikan mesejnya itu. Menyadari aku tidak membalas mesejnya itu, Karl menghantar sebuah imej bergambar. Hampir sahaja terlepas telefon daripada genggamanku saat melihat imej bergambar itu. Bagaimana Karl boleh mendapatkan gambar saat aku berpelukan dengan lelaki mat salleh itu? Siapa yang memberinya?

‘Where you get that?’

‘Not your business. I nak jumpa you malam ni tempat biasa’.

Suka hati kau sahaja Karl nak arah aku untuk berjumpa denganmu. Suka hati aku jugalah aku ingin keluar dengan siapa, bermesra dengan siapa atau tidur dengan siapa. Kau langsung tidak berhak ke atas diriku. Dunia kita sudah berbeza, Karl. Kau ada isterimu yang sentiasa di sisi dan tidak mungkin sesekali kau akan lepaskannya tetapi aku? Aku masih terumbang ambing mencari yang sudi mengisi ruang hati. Tolong jangan siksa perasaanku lagi, Karl. Aku ingin bebas darimu.

“Sara, kau okey?” Dania menyoalku saat aku mula berdiam diri ketika membaca mesej-mesej Karl.

“Aku okey. Tiada apa-apa” jawabku cuba senyum. Fikiranku masih teringatkan gambar yang dikirim sebentar tadi.

“Kalau ada apa-apa, kau beritahulah kami. Kita kan kawan. Manalah tahu kami boleh tolong” Noreen mula menawarkan pertolongan.

“Sure la aku okey”.

“Kalau macam tu, baguslah. Takut pula kami bila tengok kau tiba-tiba diam. Tadi bukan main gempak lagi” jawab Dania.

“Err…aku balik pejabat dulu. Nak siapkan apa yang patut” aku bergegas mengambil tas tangan untuk segera beredar. Sakit kepalaku datang. Sakit kepala gara-gara Karl!

“Tapi, makanan kau ni belum habis. Nak kami tapaukan?” aku tidak menghiraukan kata-kata Dania. Yang penting aku perlu beredar dari kafeteria tu dan kembali semula ke pejabat.

Sekembalinya ke pejabat, kulihat tiada sesiapa pun di bahagian kami. Barangkali mereka semua pergi makan tengah hari. Lagipun jam di tanganku menunjukkan angka satu. Masih terlalu awal untuk mereka pulang ke pejabat melainkan aku yang tidak habis-habis dengan masalah. Aku cuba hubungi Karl namun tiada jawapan. Kucuba menghantar beberapa mesej agar dia menjawab panggilanku namun tetap tiada jawapan. Hatiku berbelah bagi sama ada ingin berjumpa Karl mala mini atau pun tidak. Kalau hendak diikutkan, tawar sudah hatiku untuk bersemuka dengannya. Untuk apa lagi kami bertemu dan bersama andainya dia sukar membuat pilihan? Perasaanku begitu berkecamuk. Hari itu aku pulang awal dengan alasan kurang sihat. Lagipun kesan minuman keras malam tadi masih lagi terasa. Aku memaklumkan kepada kak Sherry untuk pulang awal. Kuberitahu juga Dania dan Noreen agar mereka tidak mengesyaki apa-apa. Dalam perjalanan pulang, aku memperlahankan pemanduan. Kupicit dahiku yang menyangat tiba-tiba. Fikiranku entah di mana. Mataku juga tidak fokus dengan pemanduan. Sekejap ke tengah dan sekejap ke tepi. Tiba-tiba bunyi hon sebuah lori tangki mengejutkan aku. Dengan pantas aku mula membetulkan sterengku. Nasib aku tidak apa-apa. Aku ingin segera sampai ke rumah dan berehat kerana malam ini ada perkara penting yang perlu aku selesaikan.

Setibanya di garaj, ibu terkejut melihat aku. Aku tidak pernah pulang sebegini awal. Kalau ada apa-apa ibu tahu yang aku akan memaklumkan kepadanya terlebih dahulu. Tetapi hari ini tidak. Kepulanganku yang lebih awal dari biasa mengundang rasa tidak senang di hati ibu.

“Awal kamu pulang hari ni, Sara”.

“Hmm”.

“Kamu sakit?” ibu cuba memegang dahiku lalu aku menepisnya. Ibu terkejut dengan perlakuanku yang sedikit kasar.

“Sara nak naik atas. Nak rehat. Jangan kacau Sara” aku memberi amaran kepada ibu. Terkebil-kebil ibu memandangku tanpa berkata apa-apa.

‘Ya Allah, mengapa anakku bertindak sebegitu? Apa salahku kepadanya sehingga dia berkasar denganku? Masalah apa yang anakku tanggung sehingga dia dibebani sedemikian rupa?’ rintih ibu di dalam hati sambil cepat-cepat menyaka air matanya.

Di dalam bilik, aku terus merebahkan diri ke katil. Telefonku keluarkan dari tas tangan. Kuamati sekali lagi gambar itu. Ya, memang aku di dalam gambar itu tetapi angkara siapa yang mengambilnya dan memberi kepada Karl? Puas aku berfikir namun tidak kutemu jawapannya. Takkanlah Noreen atau Dania? Mereka langsung tidak mengetahui apa-apa yang berlaku antara aku dan Karl. Setahu aku juga, di kelab mewah itu tidak pula aku terserempak dengan mana-mana rakan sekerja. Tiba-tiba kedengaran ketukan di pintu bilikku.

“Sara, mari minum, sayang. Mak ada buat teh panas” suara ibu di luar pintu bilikku.

“Tak nak, lah. Sara nak tidur” jawabku sedikit meninggi.

“Sara tak sihat, nak? Mari minum sikit, nanti masuk angin badan tu” sekali lagi ibu cuba memujukku dan untuk kali ini kesabaranku sedikit tercabar.

“Aku cakap tak nak, lah! Tak faham-faham lagi! kalau aku nak, pandailah aku cari!” jerkahku dari dalam bilik. Jerkahanku membuat ibu diam tidak berkata apa-apa di luar. Peduli la! Aku sudah cakap tak nak pun tak faham-faham lagi. Serabut betul! Dalam kebingungan dan berkecamuk, aku menekup mukaku ke bantal lalu menangis.

Di luar pintu, ibu masih tercegat berdiri. Kaget dengan sikapku yang berubah mendadak. Tidak pernah sesekali anakku meninggikan suara apatah lagi mengherdikku. Dalam hiba, ibu berlalu pergi dan sekali lagi air mata ibu menitis gara-gara kekasaranku. Azan Isyak berkumandang. Kuseka mata dan kulihat jam di telefonku. Agak lama juga aku tertidur setelah penat berperang dengan perasaan sendiri. Agaknya ibu sudah tidak berani mengejutkan aku kerana kekasaranku petang tadi. Setelah membersihkan diri, perutku berbunyi dan terasa lapar. Aku segera ke dapur untuk mencari makanan. Selalunya ibu akan memasak makan malam pada waktu petang. Kulihat ibu di dapur sedang menyusun barang di dalam peti. Ingin kutegur ibu namun perasaan bersalah mula bersarang di hati. Kalau aku berdiam diri nampak sangat aku terlalu beremosi. Kuintai di ruang tamu ternampak kelibat ayah dan Aiman sedang menonton televisyan bersama. Takkanlah tiba-tiba aku hendak duduk menonton televisyan? Lagi bahaya kalau ayah tanya itu ini. Hampir-hampir aku terlanggar ibu ketika aku ingin masuk semula ke dapur. Kulihat wajah ibu tetap tenang dan tersenyum, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Lauk untuk kamu mak simpan di bawah saji tu. Pergilah makan. Kami semua dah makan tadi” tutur ibu lembut sambil meneruskan kerja dapurnya.

“Emm…” itu sahaja yang mampu kubalas. Malu pun ada juga. Aku berkasar dengan ibu tetapi ibu tetap memaniskan wajah.

Di dapur itu hanya aku dan ibu. Sunyi dan sepi. Selalunya aku yang banyak mulut apabila bersama ibu tetapi dek kerana kejadian petang tadi, aku terasa seperti orang asing yang baru muncul di rumah itu.

“Mak tak nak makan lagi? Kalau nak, marilah makan dngan Sara” aku cuba berbual dengan ibu.

“Makanlah, Sara. Mak dah kenyang. Banyak juga mak makan dengan ayah dan adik kamu tadi” jawab ibu yang masih lagi tersenyum. Senyuman ibu membuatkan aku makin serba salah.

“Mak, Sara minta maaf pasal petang tadi. Sara migrain” aku meluahkan apa yang terbuku di kalbu.

“Mak faham. Kamu perlu banyak rehat. Tekanan kerja yang membuatkan kamu rasa penat tu”.

“Sara tak sengaja berkasar dengan mak”.

“Mak dah lupakan semua tu, Sara. Makanlah cepat. Kejap lagi mak nak cuci pinggan”.

Aku menyambung makan tanpa ada selera walaupun perutku minta diisi. Aku tahu ibu terasa dan berjauh hati namun sikap ibu yang memendam rasa membuatkan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kalau ibu mengadu kepada ayah, sudah tentunya ayah memanggilku dan menghukumku dengan ceramah agama namun kulihat ayah seperti biasa keadaannya. Adikku Aiman juga seperti tidak tahu apa-apa yang berlaku. Barangkali ibu tidak memberitahu kepada ayah mahupun adikku. Selama 27 tahun aku hidup, sedikit pun aku belum pernah berkasar mahupun meninggikan suara terhadap orang tuaku. Kejadian petang tadi benar-benar merubah aku sepenuhnya. Aku bukanlah lagi seorang yang penyabar seperti dahulu. Jika dahulu, aku lebih suka memaafkan namun kini aku lebih gemar orang meminta maaf dariku. Waktu yang berlalu membuatkan aku jauh dari duniaku yang sebenar. Malah aku bukan lagi lemah lembut atau penyantun seperti yang pernah mereka katakan sebelum ini. Kelakuanku kasar dan liar. Satu demi satu masalah yang membelenggu diriku ditambah lagi pergaulan bersama Noreen dan Dania membuatkan aku lupa tentang diri, keluarga dan Dia Yang Maha Esa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience