Bab 1

Other Completed 3855

“Kak Sara…! Tolong ambilkan bola Mimi yang jatuh kat parit tu” laung satu suara kecil dari arah hujung taman permainan itu.

“Okey, Mimi tunggu tau. Nanti akak tolong ambil” balasku sambil berlari-lari anak menuju ke arah yang ditunjukkan oleh suara kecil itu.

“Terima kasih Kak Sara” kuhulur bola itu kepada Mimi lantas dia dan teman-teman kecil yang lain mengucapkan terima kasih kepadaku lalu mereka menyambung kembali permainan yang terhenti sebentar tadi.

“Hati-hati, Mimi. Jangan sampai masuk parit lagi” laungku sambil tersenyum. Tidak sampai sepuluh minit kemudian, datang seorang budak lelaki ke arahku dengan tersipu-sipu malu. Seperti biasa dia duduk di sebelahku tanpa bersuara. Aku menoleh ke arahnya dan dia tersenyum simpul. Boleh dikatakan hampir kerap kali dia duduk di sebelahku apabila ke taman permainan itu.

“Amir tak main sekali dengan mereka?” soalku kepada Amir.

“Tak nak, lah. Mereka tu perempuan. Amir kan lelaki. Lelaki mana boleh bermain dengan perempuan” selamba sahaja Amir membalas pertanyaanku. Mahu tergelak ada juga. Bijak benar dia berkata-kata walaupun usianya baru menjangkau tujuh tahun.

“Jadi, yang Amir duduk di sebelah akak ni boleh pula ye” aku cuba menyakat Amir, ingin melihat reaksi seterusnya.

“Alaa…Amir penat. Sebab tu Amir tumpang duduk sebelah Kak Sara”. Wah, pandainya dia membalas, bisikku di dalam hati.

“Kak Sara buat apa kat sini?”. Sedikit terkejut, aku menjawab pertanyaannya. “Ohh, akak tunggu kawan”.

“Mesti kawan lelaki, kan kak?” Amir mengangkat keningnya dan hampir sahaja aku kehilangan kata-kata. Sekali lagi aku tewas bermain ayat dengan anak kecil itu.

“Amir selalu nampak Kak Sara jumpa kawan tiap-tiap petang. Kak Sara kan cantik. Baik pula tu. Mesti banyak orang yang nak kawan dengan Kak Sara, kan? Amboi-amboi budak Amir ni. Makin aku diam, makin petah pula dia berbicara. Sampaikan boleh tahu lagi apa aku buat di taman permainan ni setiap petang. Entah-entah dia skodeng aku tak ni.

“Akak biasa sajalah, Amir. Akak garang tau” ujarku tersenyum kepadanya. Rasa ceria dan tenang hatiku apabila ada teman kecil yang sudi berbicara denganku sambil menantikan ketibaan seseorang.

“Alaa…akak garang tapi cantik. Banyak kawan Amir cakap akak yang paling cantik”. “Takdelah, Amir. Akak biasa je”, aku hanya mampu tersenyum mendengar kanak-kanak itu memujiku.

“Kalau Amir dah besar, Amir nak jadi boipren akak sebab akak paling cantik”.

Hampir sahaja aku mahu berguling di rumput menahan ketawa gara-gara si Amir ingin menjadi ‘boipren’ku.

“Boyfriend la, Amir. Bukan boipren” aku memperbetulkan sebutannya sambil ketawa. Serta merta tawaku terhenti apabila Amir hanya mendiamkan diri seolah-olah lawakku tidak menjadi. Lantas aku cuba untuk memujuk hatinya kembali. Biarpun Amir masih kecil, dia tetap mempunyai hati dan perasaan. Dia tetap mempunyai rasa suka dan duka. Mungkin dia sedikit terasa apabila aku memperbetulkannya kata-katanya sebentar tadi. Sambil mengusap lembut belakangnya, aku berkata “Amir…Amir kan masih kecil. Amir perlu ke sekolah dan jadi orang yang berguna. Nanti bila dah besar, Amir boleh dapat kerja yang baik dan kawan yang ramai”.

“Tapi masa tu Kak Sara dah tua. Dah tak cantik lagi. Amir tak nak jadi boipren Kak Sara” Amir mencebik bibirnya. Nampaknya, Amir cuba untuk mengenakan aku kembali. Sekali lagi aku cuba untuk menahan tawa. “Takpe, lah. Masa tu Amir dah ada kawan perempuan yang lagi cantik dari Kak Sara”. Kulihat Amir menganggukkan kepala tanda setuju, barangkali puas hati yang dia sudah ‘menang’. Budak-budak kecil sekarang pun sudah pandai menyebut boipren biarpun belum secara jelas mengetahui apa maksudnya, bisikku di dalam hati.

“Kak Sara, Amir pulang dulu la. Nanti ada masa Amir jumpa Kak Sara lagi” Amir memohon diri untuk pulang ke rumah. Lagipun jam di tanganku sudah menunjukkan 5.45 petang. Kini senja kian menjelang, semakin kurang kanak-kanak yang bermain di taman permainan itu.

Apabila kuimbas kembali perbualanku bersama Amir, maka setiap kali aku tersenyum sendiri. Anak kecil yang berusia tujuh tahun itu sudah mula mengenal istilah cantik, baik dan boipren. Mana tidaknya, entah beberapa kali Amir mahupun Mimi sering menjadi posmen atau orang tengah untuk menyampaikan surat cinta mahu pun salam kepadaku. Masih kuingat lagi suatu waktu dahulu ketika aku menunggu bas pulang dari sekolah. Terdapat beberapa pelajar lelaki yang gemar menyakatku dan berkirim salam. Malah ada juga yang sanggup mengikutku menaiki bas semata-mata ingin berbual denganku. Ya, ia seakan-akan kerja gila namun hati dan perasaan, siapa yang boleh meneka. Seringkali juga aku menerima pemberian daripada secret admirer yang berupa kad-kad ucapan, key chain, gelang dan diari. Hanya pemberian kecil yang mampu diberi, maklumlah zaman persekolahan dan itu pun sudah cukup mewah dan bererti bagiku. Kesemua pemberian itu masih kusimpan rapi sebagai koleksi peribadi.

Tidak cukup dengan itu, di sekolahku terdapat seorang guru matematik yang amat baik dan selalu mengambil berat terhadap para pelajarnya termasuklah diriku.  Maklumlah, aku merupakan salah seorang pelajar harapan maka tidak hairanlah jika semua guru amat berharap kepadaku. Cikgu Rayyan Firdaus, tetapi aku dan teman-teman lebih gemar memanggilnya cikgu mentomen. Cikgu Rayyan amat popular di kalangan pelajar perempuan di sekolahku. Mana tidaknya beliau merupakan kacukan cina dan agak kacak, tinggi malahan masih bujang. Usianya juga dalam lingkungan 25 tahun, berkelulusan dari Universiti Perguruan Sultan Idris. Mungkin disebabkan usianya yang muda dan berbekalkan sedikit rupa, maka tidak hairanlah dia dapat menyelami hati para pelajarnya. Kami juga tidak berasa janggal apabila berbual dengannya kerana cikgu Rayyan lebih gemar menjadi pendengar yang setia. Terdapat teman-teman rapatku yang menaruh hati kepadanya malah sanggup berimpikan menjadi kekasih namun tidak bagiku. Aku akui wajahnya memang menarik dan bijak namun entahlah, jauh sekali untuk menaruh hati atau mengimpikan seorang guru yang menjadi kekasih atau teman istimewaku. Lagipun, bukan taste aku untuk memilih guru sebagai teman hidup. Hidup bergelumang dengan buku, dari siang ke malam pun buku. Ke sana ke mari pun buku. Di sekolah buku di rumah pun buku. Pendek kata macam ulat buku! Aku benci buku! Kerana bukulah aku terpaksa berhempas pulas dan bersengkang mata mentelaah 24 jam.

Sebenarnya, bab gelaran mentomen itu diambil dari Ultraman. Sikapnya yang ingin membela nasib pelajar dan ingin melihat semua pelajarnya berjaya tidak ubah seperti Ultraman yang juga ingin membela nasib manusia apabila diserang raksasa. Dia seorang guru muda yang baru bertugas di sekolah itu. Walaupun muda namun kebijaksaannya dalam menyelami hati setiap pelajar amat kukagumi. Dia tidak seperti guru-guru lain yang sentiasa serius 24 jam! Walaupun kami menggelarnya cikgu mentomen tetapi wajahnya tidaklah seperti Ultraman.

Hari terakhir persekolahan dan sebelum menjelangnya peperiksaan SPM, cikgu mentomen ingin berjumpa denganku. Bukan sahaja aku malah ada juga beberapa orang pelajar dari kelas lain yang ingin cikgu mentomen jumpa. Sebelum pulang, aku terus ke unit kaunseling kerana beliau ingin berjumpa kami di situ. Selain mengajar subjek matematik, cikgu mentomen juga turut merupakan guru kaunseling di sekolahku. Kuketuk pintu bilik unit kaunseling dan kedengaran suara cikgu mentomen menjemputku masuk. Saat itu wajah kami bertentangan, hatiku berdetak kencang. Mungkin di kala itu aku sedikit gemuruh, manakan tidak hanya bersemuka berdua sahaja dengan cikgu mentomen. Lagipun aku sendiri kurang pasti mengapa cikgu mentomen ingin berjumpa denganku. Entah-entah aku dikomplain oleh guru lain atau pun prestasiku merosot barangkali. Ah! Biarkan sahaja, lagipun hari ini merupakan hari terakhir persekolahan, lepas ini tak perlulah menghadap mana-mana muka guruku lagi, omelku sendiri.

“Alya Maisara. Terima kasih kerana datang berjumpa cikgu” Cikgu Rayyan memulakan perbualan dan aku sedikit terkejut saat dia menyebut penuh namaku. Selama ini ramai yang memanggilku Sara, baik teman-teman mahupun guru. Hanya cikgu mentomen ini yang selalu menyebut nama penuhku. Tidak pernah sekali pun cikgu mentomen memanggilku Sara. Katanya, nama kita adalah pemberian terbaik daripada ibu bapa maka adalah lebih manis disebut dengan nama penuh. “Sama-sama cikgu mmen…opps” mujur aku tidak tersasul menyebut mentomen di hadapannya. Kalau tidak memang nahas aku nanti.

“Apa kamu sebut tadi?” Cikgu Rayyan seakan-akan kurang faham dan kurang jelas tentang apa yang terpacul dari mulutku sebentar tadi.

“Tiada apa-apa, cikgu” aku berpura-pura yang seolah-olah langsung tidak menyebut apa-apa.

“Ada apa cikgu ingin berjumpa saya?” aku segera bertanya tujuannya untuk bertemu denganku.

“Begini, selepas ini kamu akan menghadapi peperiksaan penting dalam menentukan masa depan kamu. Cikgu harap kamu mampu buat yang terbaik sebab kamu merupakan salah seorang top scorer di sekolah kita ini” tutur Cikgu Rayyan. Aku hanya mengangguk dan berlagak serius, alah…setakat SPM je, cara cikgu nasihatkan aku pun macamlah aku akan berjuang ke medan perang, gerutuku sendirian. Sambungnya lagi, “Walau apa pun yang kamu buat dan di mana pun kamu berada, saya tetap mendoakan yang  terbaik untuk kamu. Ingat, jangan sesekali lupa diri dan apa yang ada pada kita ni hanyalah pinjaman dari Dia Yang Maha Esa”. Saat Cikgu Rayyan menyebut tentang Tuhan, aku segera tunduk. Agak sedikit tersentuh hatiku dengan kata-kata Cikgu Rayyan itu. Ustazahku sendiri pun tidak pernah menasihatiku sedemikian rupa, kini Cikgu Rayyan pula yang memberi ingatan. Jika dilihat dari segi luaran, wajah Cikgu Rayyan sedikit tidak ubah seperti kasanova dan pujaan malaya. Mana mungkin sanggup menasihati sebegitu. Betul juga kata orang, don’t judge a book by it’s cover!

"InsyaAllah, jika umur panjang kita akan bertemu lagi suatu hari nanti” Cikgu Rayyan mengakhiri perbualan kami. Sebelum melangkah keluar dari bilik kaunseling, aku bersalam dengan Cikgu Rayyan, bak kata orang ingin mengambil berkat.

“Cikgu, terima kasih kerana selalu mengambil berat tentang saya. Tolong halalkan segala ilmu yang cikgu curahkan kepada saya” hanya itu yang mampu kulafaz. Fikirku, cikgu mentomen ingin menegur prestasiku yang mungkin merosot kebelakangan ini namun sangkaanku salah. Sudah menjadi tanggungjawabnya mendidik dan memberi semangat kepada semua pelajar.

Jerit pekik kanak-kanak yang berkejaran di taman permainan itu mematikan ingatanku terhadap cikgu mentomen. Dialah satu-satunya guru yang banyak menasihatiku bukan sahaja dalam pelajaran malah dalam hidup walaupun aku belum kenal erti hidup sepenuhnya. Ada juga beberapa pelajar perempuan lain yang kelihatan sedikit cemburu melihatkan hubungan baik antara aku dan cikgu mentomen. Eleh, apa yang perlu dicemburukan, hanya sekadar hubungan guru dan pelajar, tidak  lebih daripada itu. Lagipun taste aku bukan seperti cikgu mentomen itu.

Kuhayati namaku, Alya Maisara Hadi, sebuah nama yang indah pemberian daripada ayah dan ibu. Bukan sahaja sekadar namaku namun ke mana sahaja aku pergi dan di mana aku berada, aku sering menjadi tumpuan setiap mata yang memerhati. Lebih daripada itu, aku juga turut menjadi bualan setiap orang, bualan kerana kecantikan dan juga keperibadian. Bak kata mereka, wajahku seindah namaku. Terselit sedikit perasaan bangga di hatiku. Berbekalkan seraut wajah bujur sirih, berkulit putih kemerahan dan sepasang mata coklat sudah mampu membuat mereka tertumpu kepadaku. Ketinggianku yang mencecah 5’4 dan rambutku yang ikal keperangan paras pinggang turut membuatkan aku tampak langsing. Ditambah dengan tahi lalat di bawah bibir mulusku sudah cukup dijadikan sebagai pemanis wajah. Ada yang kata aku berdarah kacukan. Wajahku lebih mirip kepada bapaku yang berbangsa Cocos. Sebuah kepulauan kecil yang terletak di Australia.

‘Awak memang menawanlah….Fuhh! cunnya dia tu….Tengok tu, terserlah kelembutannya….Awak sangat sopan….Dia sungguh cantik….Awak umpama pesona bintang….’ Ah! Seringkali kuterima pujian sebegitu rupa dari pelbagai jenis manusia. Ada juga yang turut memujaku seolah-olah hanya aku sahaja gadis yang wujud di muka bumi ini. Ke mana sahaja aku pergi, pasti ada mata yang memerhati. Tidak kurang juga ada yang berbisik, barangkali iri hati melihat kecantikan asli yang aku miliki. Aku amat menitikberatkan penampilan dan tata rias wajah biarpun dalam usia muda. Betapa beruntungnya diriku menjadi setiap tumpuan mata yang memerhati. Umpama ‘public figure’ yang tak pernah lekang dari setiap penglihatan umum. Biarku usiaku kini mececah 18 tahun namun perawakanku dan susuk tubuhku menampakkan yang aku seperti wanita dewasa dan matang. Kelembutan dalam bertutur kata yang aku warisi daripada ibuku mempersonakan lagi setiap mata yang memandang. Ibuku berasal dari Pattani maka tidak hairanlah segala aset yang ada padaku ini membuatkan orang teruja untuk mendekatiku. Teman-temanku pernah mencadangkan agar aku menyertai pertandingan pencarian model ala-ala Dewi Remaja namun kutolak mentah-mentah. Ada juga yang mengesyorkan aku menjadi pelakon. Ah! bukan minatku. Hari ini sahaja popular, esok lusa siapa tahu. Tak jadi artis pun aku boleh popular sendiri.

Adakalanya, aku juga hairan mengapa mereka seakan-akan teruja untuk mendekatiku seolah-olah ada sesuatu dalam diriku yang aku sendiri tidak ketahui. Setahu aku, mataku juga dua seperti mereka. Hidungku juga satu. Aku tidak punya apa-apa yang istimewa malah jauh sekali untuk mengamalkan susuk atau sebarang benda yang mampu membuat orang tertarik padaku. Walau bagaimanapun aku tetap berbangga dengan apa yang aku miliki kerana dengan kecantikan inilah membuatkan hampir semua urusanku sempurna. Mana tidaknya, mereka yang berwajah menarik dan rupawan sahaja sudah tentunya mendapat layanan yang pantas dalam segala hal. Ingatanku menjelma ketika aku ingin membayar bil di pejabat pos suatu masa dahulu. Seingat aku, waktu itu orang begitu ramai sekali dan seperti biasa kami perlu beratur untuk membuat urusan masing-masing. Entah bagaimana tiba-tiba ada seorang kerani lelaki yang melambai tangan dan memanggilku ke kaunternya. Setahu aku kaunter itu ditutup dan tiada satu orang pun berbaris di situ. Mulanya aku agak kecut juga kerana dipanggil begitu namun apabila pasti yang lambaiannya ditujukan untukku lantas aku segera menghampiri kaunter tersebut, dia bertanya tentang urusanku lalu aku menyerahkan bil kepadanya untuk dibayar. Setelah aku selesai membayar bil lantas kuterus beredar dari situ. Sempat juga aku menoleh kalau-kalau kerani lelaki itu memanggil pelanggan lain namun tiada seorang pun yang menghampiri kaunter tersebut. Bukan sahaja kejadian di pejabat pos malah sewaktu aku ke kedai untuk membeli donut kegemaranku, aku diberi harga diskaun oleh salah seorang pekerjanya di situ. Lebih dari itu, aku turut diberi minuman percuma kerana salah seorang pekerja lelaki di kedai tersebut seakan-akan berminat denganku. Aku tidak ubah seperti selebriti yang menjadi tumpuan paparazzi dan kegilaan orang. Untungnya! Agaknya kalau aku ke pasar ikan sekalipun, sudah tentu aku tidak perlu susah-susah untuk membeli ikan, semuanya diberikan percuma sahaja. Walaupun pada zahirnya kecantikan dan keayuanku amat sempurna, namun dalam memilih pasangan hidup atau dalam erti kata lain, mempunyai kekasih hati, aku tetap berhati-hati untuk memilih cinta yang benar-benar tulus dan sejati. Tidak pernah ada gantinya. Bagiku, cinta sejati harus disemai dengan kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan. Sebenarnya, aku juga tidak pernah menjadikan paras rupa sebagai ukuran untuk memiliki sebuah cinta. Aku yakin, dengan hati yang suci, cinta sejati akan datang juga akhirnya.

“Termenung jauh cik adik manis ni” kedengaran satu suara berbisik di telingaku.

“Eh...Zarif, terkejut Sara tau. Dah lama ke sampai?” aku berpaling ke arah suara itu lalu tersenyum manis. Pemuda yang berbisik sebentar tadi duduk di sebelahku lantas aku merangkul lengannya, manja. Mesti Zarif perasan yang aku jauh mengelamun hingga aku tidak sedar kehadirannya di situ. Dialah Izzarif, cinta hatiku semenjak kami di tingkatan empat lagi. Kini, usia perhubungan kami hampir menjangkau dua tahun. Dalam tempoh itulah aku mula mengenal cinta, kasih dan sayang. Izzarif merupakan jejaka pertama yang menghuni hatiku dan kuharap biarlah dia menghuni hatiku untuk selamanya.

Demi Izzarif, aku sanggup membuat apa sahaja yang penting cinta hatiku itu bahagia. Izzarif hanyalah seorang anak kampung dan tidak menyerlah dari segi rupa. Beberapa teman rapatku hairan mengapa aku memilih jejaka berambut kerinting dan berkulit sawo matang itu sebagai teman. Kata mereka, kami kelihatan amat tidak sepadan namun kerana sayangkan Izzarif, kuketepikan semua. Bagiku, tiada beza tinggi atau rendah, kurus atau gemuk, bulat atau bujur …yang penting bila hati dah sayang, semuanya indah sahaja. Di sebalik itu, aku juga mahu Izzarif bangga kerana memiliki teman wanita yang menarik dan cantik yang menghuni hatinya.

“Taklah lama tapi dari tadi Zarif tengok Sara termenung jauh ni mesti ada yang tidak kena kan? Kalau ada masalah, Sara bagitaulah. Ada sesiapa ganggu Sara lagi? Maklumlah, orang cantik mesti ramai yang memburu” ujar Izzarif.

“Ish...tiada sesiapa yang buru. Sara berangan saja tadi”.

“Aik…petang-petang macam ni pun sempat berangan lagi? Bagitau la Zarif apa yang Sara angankan tu”. Aku tersenyum lalu memegang erat jemarinya.

“Zarif…Sara teringin sangat nak kawin dengan Zarif. Lepas kita kawin, kita ada baby tapi Sara suka baby girl. Sara nak dia cantik macam Sara” aku mula memasang angan-angan. “Kalau baby boy? Mesti ikut muka Zarif, kan?” kata-kata Izzarif membuatkan aku semakin senyum lebar.

“Sara tak kisahlah. Zarif pinang la Sara cepat-cepat. Tak sabar tau nak hidup sama” balasku sambil mengenyitkan mata kepadanya.

“Zarif faham keinginan Sara, tapi…” Izzarif terhenti bersuara.

“Tapi apa, Zariff?” aku memandang wajah Izzarif yang tiba-tiba kelat.

“Memang Zarif sedang usaha kumpul duit tapi Sara tentu fahamkan yang Zarif ni hanya mekanik yang tidak bertauliah. Nak kumpul banyak tu susah juga. Semua tu perlukan masa” ujar Izzarif sambil melontarkan pandangannya ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang berkejaran di taman permainan itu.

“Zarif jangan la sedih. Nanti bila Sara habis belajar dan mula bekerja, Sara tetap bantu Zarif kumpul duit. Lagipun untuk masa depan kita bersama juga” aku menenangkan perasaan Izzarif.

“Apa maksud Sara habis belajar? Sara nak sambung belajar? Bila? Di mana?” Izzarif menolehku dengan pertanyaan yang bertubi-tubi.

“Sebenarnya, Sara ajak Zarif jumpa ni sebab nak bagitau yang Sara dah apply untuk sambung belajar di universiti. So, keputusan kemasukan ke universiti dalam beberapa bulan lagi. Harap Sara dapat universiti yang dekat-dekatla supaya kita boleh jumpa macam selalu” panjang lebar peneranganku kepada Izzarif.

“Zarif ikut sahaja keputusan Sara. Zarif faham yang Sara masih nak sambung belajar dan Zarif sokong Sara. Tapi Zarif ni biasa sahaja, kuli pula tu. Mana sama dengan bakal mahasiswi macam Sara ni” ujar Izzarif, perlahan.

“Zarif, apa pun berlaku, Zarif tetap di hati Sara” balasku lalu bersandar di bahunya.

Akhirnya aku mendapat sokongan penuh Izzarif untuk menyambung pelajaranku. Memang cita-citaku melanjutkan pelajaran di menara gading, tidak kisah la di mana. Hatiku melonjak keriangan lantas kumengucup tangannya. Setelah itu, kami mula beredar lalu berpimpin tangan berjalan seiringan untuk pulang. Seperti biasa, Izzarif akan menghantarku pulang ke rumah. Tidak sabar rasanya untuk mula belajar dan mengumpul duit untuk hidup bersama. ‘Baru dua tahun couple dah fikir nak kawin. Aku memang nak kawin tapi belum ready. Dia ni excited sangat nak kawin sampai ke bab anak-anak dah. Parah aku dibuatnya. Aku pun belum puas enjoy’ Izzarif mengeluh di dalam hati setelah menghantar Alya Maisara pulang ke rumah. Izzarif membayangkan keadaannya setelah berkahwin nanti. Dengan anak-anak yang berderet ditambah lagi dengan kerjanya yang tidak menentu, tentu haru biru kehidupannya nanti. Memang benar dia sayangkan Alya Maisara tetapi belum sampai masanya untuk dia berfikir tentang alam rumahtangga. Dia juga akui yang Alya Maisara bukan sahaja menarik dan cantik tetapi gadis itu mempunyai personaliti menarik. Alya Maisara senang didekati, peramah, bijak dan tidak memilih. Namun dia sendiri pun tidak pasti mengapa Alya Maisara memilih dirinya untuk menjadi teman, mulanya dia hanya suka-suka berkirim salam namun lama kelamaan hatinya terpaut kepada kecantikan dan kelembutan gadis itu.

Setibanya di rumah, aku masih lagi tersenyum  sendiri sambil membayangkan kebahagiaan yang bakal dilalui bersama Izzarif. Sebenarnya, niatku hanya untuk membantu Izzarif mengumpul wang agar kami dapat bersatu kelak. Aku tidak mahu melihat Izzarif rasa tersisih dan terpinggir hanya kerana aku lebih berjaya dalam pelajaran berbanding dirinya. Seandainya Izzarif dalam kesusahan, biarlah aku menjadi insan pertama yang menghulur bantuan. Jika Izzarif dilanda kedukaan, biarlah aku yang membawa keceriaan. Segala-galanya biarlah untuk Izzarif, yang penting Izzarif kekal setia di sampingku, bisik hati kecilku.

Mengimbau kembali alam persekolahan lalu, masih jelas tergambar di fikiranku bagaimana aku sanggup mengumpul duit belanja sekolah seharianku semata-mata untuk keluar bersama Izzarif. Aku tidak kisah duit belanja sekolahku dikumpul untuk Izzarif kerana aku sedar keadaan keluarganya tidak seperti keluargaku. Izzarif merupakan anak bongsu daripada lima beradik. Ibunya juga suri rumah seperti ibuku. Ayahnya hanya bekerja sebagai kontraktor binaan. Kehidupan mereka tidaklah semewah mana. Selepas tamat SPM, Izzarif terus bekerja sebagai mekanik. Katanya ingin mencari duit membantu keluarga malah dia sudah tawar hati untuk menyambung pelajarannya ke peringkat tinggi. Biarpun aku dan Izzarif dari latar keluarga yang berbeza namun itu tidak menghalangku untuk terus berkawan dan bersama Izzarif. Mungkin aku seorang yang mudah simpati melihatkan nasib mereka yang jauh berbeza daripadaku. Maka kerana itulah aku sanggup berhabis-habisan demi Izzarif. Lebih dari itu, aku juga seringkali memberikannya hadiah atau membelikan sesuatu yang dia gemari sekiranya dia merajuk. Izzarif seorang yang manja dan suka diberi perhatian. Terasa lucu memikirkan apabila seseorang lelaki itu jenis yang sensitif dan mudah merajuk. Izzarif pernah berjauh hati denganku gara-gara aku tidak ingin berjumpanya. Waktu itu aku sedang sibuk dengan aktiviti sekolah dan hampir dua minggu Izzarif langsung tidak ingin bertemuku. Akhirnya untuk memujuk rajuk di hatinya itu, kuhadiahkannya sehelai jersi Arsenal yang kubeli secara online. Riak wajah Izzarif yang mulanya masam mencuka serta merta berubah semanis gula apabila mendapat jersi itu. Pernah juga suatu ketika dahulu Izzarif terperangkap dalam hujan lebat selepas bermain bola di sekolah. Kerana terlalu sayangkan Izzarif, aku sanggup berjalan meredah hujan semata-mata untuk memberi payung kepadanya. Waktu itu Izzarif tidak membawa payung lantas dia menghubungiku agar membantunya. Dek kerana kasihan dan teramat risau aku membantunya. Aku tidak kisah akan semua itu yang penting orang yang aku cintai bahagia dan gembira. Benar kata orang, cinta memerlukan pengorbanan dan itulah pengorbanan yang kulakukan demi Izzarif. Keesokan harinya, aku bangun agak lewat sedikit. Mana tidaknya, jika sebelum ini aku perlu bangun awal pagi untuk ke sekolah dan segala macam aktiviti namun selepas tamat SPM, aku berpeluang untuk berehat dan bangun lewat sambil menunggu keputusan kemasukan ke universiti. Harap-harap cerahlah peluangku untuk ke menara gading. Sedang aku membantu ibu mengemas di dapur, tiba-tiba kedengaran bunyi hon di luar. Aku bergegas ke muka pintu dan kelihatan seorang posmen memanggilku. Aku segera mendapatkannya dan mengambil sepucuk surat. Kutatap surat yang tertera namaku. Kelihatan sepucuk surat rasmi. Sambil melangkah masuk ke dalam rumah, aku membuka surat itu dengan penuh debar.

“Mak…! Mak…! Sara dapat masuk universitiii!!” jeritku keriangan sambil berlarian di sekeliling ruang tamu setelah mengetahui keputusan kemasukan universiti melalui surat yang dikirim sebentar tadi. Ibuku yang terkejut segera keluar dari dapur sejurus mendengar teriakanku.

“Ish…akak ni. Kalau ye pun janganlah jerit gitu. Macam kena sampuk jin la. Terkejut Aiman tau. Ingat apa benda la tadi” gerutu adik bongsuku, Aiman yang sedang bermain permainan komputer di ruang tamu.

“Akak dapat masuk universiti la. Jangan jelessss” jawabku bersahaja menambah lagi geram di hatinya. Surat tawaran itu kulayangkan di wajahnya. Aku segera mendapatkan ibu untuk memberitahu khabar gembira itu.

“Mak...tengok ni. Baca surat ni mak. Sara dapat sambung belajar dalam jurusan pengajian perniagaan di UiTM Kota Kinabalu. Nasib dekat kan mak. Akhirnya, Sara dapat apa yang Sara nak” aku terus memeluk ibuku, Puan Salmah. Sambil membaca surat tawaran tersebut, kulihat air mata ibuku bergenang. Aku segera melepaskan pelukan kerana bimbang melihatkan ibu menangis tiba-tiba.

Aku kehairanan lalu bertanya. “Kenapa mak menangis? Mak tak suka Sara masuk universiti ke? Kalau mak tak suka, Sara takkan pergi”.

“Bukan begitu, nak. Mak gembira, Sara. Mak bersyukur akhirnya doa mak makbul. Mak bangga dengan kamu. Biarpun kamu sibuk dan aktif dengan aktiviti di sekolah tapi akhirnya berbaloi juga. Mulanya, mak risau yang kemungkinan kamu takkan mendapat keputusan cemerlang apatah lagi tawaran dari mana-mana universiti sebab mak tengok dari pagi ke malam kamu sentiasa sibuk. Balik rumah pun dah penat. Bila penat mulalah mengantuk dan pelajaran pun entah ke mana. Ayah kamu pun selalu bertanya. Dia pun risau juga dengan keadaan kamu tu” ibu mula memberi syarahan percuma kepadaku.

“Alaa…ini semuakan hasil usaha Sara. Kalau buat betul-betul, memang kita dapat apa yang kita mahu. Sara percaya pada usaha gigih dan hari ini terbukti yang Sara dah berjaya” ujarku pada ibu dengan penuh rasa bangga. Aku bukan sahaja menarik dan cantik, malah bijak dalam pelajaran. Bukan semua orang mampu memiliki ‘pakej lengkap’ seperti yang ada pada diriku. Izzarif juga turut mengakui yang dia bangga memiliki kekasih hati yang bijak seperti aku. Mungkin, hanya ada satu dalam seribu yang bernasib baik seperti aku.

“Tak baik cakap begitu, Sara. Kita tak boleh begitu angkuh. Walau apa pun kita buat, kena tetap bersyukur kepada Allah SWT. Kamu tu rajin-rajinlah solat. Ini tidak, selalu sangat bangun lewat” tegur ibu.

“Ya la, mak. Tapi, tengok sekarang, ternyata Sara dah berjaya dalam pelajaran. Selepas ini sudah tentu Sara akan mendapat pekerjaan yang Sara inginkan” aku tersenyum simpul. Ibu hanya menggelengkan kepala sambil berlalu ke dapur untuk meneruskan kerja. Hmm…sebenarnya memang aku jarang benar untuk solat apatah lagi untuk berdoa tetapi sampai ke hari ini aku tetap dapat apa yang aku inginkan dan kini aku berjaya. Berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Tetapi ada benarnya juga kata-kata ibu apabila ibu begitu risau melihat aku sibuk seharian suntuk. Barangkali ibu dan ayah gusar jika aku tidak berjaya dalam SPM dan tidak mendapat tawaran dari mana-mana universiti. Tentu mereka malu. Mana tidaknya, hampir kebanyakan sepupuku berjaya masuk ke universiti malah ada yang menetap di luar negara. Semestinya ibu dan ayah juga mahu aku menjadi seperti mereka. Kuakui yang aku begitu aktif dengan persatuan sekolah. Memegang jawatan sebagai Presiden Kelab Usahawan, setiausaha Kadet Remaja dan ahli kelab bola jaring membuat masaku begitu terhad untuk fokus pada pelajaran. Pada setiap hujung minggu pula, aku akan ke kelas menari. Jadi, memang sukar untuk aku membahagi masa mengulangkaji pelajaran. Memiliki paras rupa yang menarik dan lemah lembut, adakalanya sukar untuk orang percaya yang aku gemar berpersatuan dan suka beraktiviti. Bagi mereka, kemungkinan aku umpama sang puteri, setiap masa perlu dibelai dan takut akan cabaran atau aktiviti lasak. Tetapi itulah aku, lembut di luar, kebal di dalam! Biarlah ibu bersyarah selama mana yang dia mahu, yang penting niatku untuk menyambung pengajian tercapai. Semestinya untuk Izzarif, cinta hatiku. Aku tersenyum sendirian apabila terkenangkan Izzarif. Selepas menunjukkan ibu surat tawaran yang kuterima sebentar tadi, aku segera mencapai telefon bimbit lalu mencari cinta hatiku. Aku harus memberitahu Izzarif berita gembira ini. Ya, kegembiraan harus dikongsi bersama.

Aku mendail nombor Izzarif dan seakan tidak sabar menunggu panggilanku dijawab. Kalau Izzarif berada di depanku sekarang sudah tentu aku akan memeluknya. “Hello, sayangku Alya Maisara..kenapa tak tidur lagi ni? Kan dah lewat malam ni” kedengaran suara Izzarif di talian.

“Sorry ganggu Zarif malam-malam gini. Sara ada berita gembira nak bagitau Zarif ni” aku begitu teruja untuk memberitahunya yang minggu depan aku bakal melapor diri di UiTM Sabah.

“Okey, apa berita yang menggembirakan sayang Zarif ni?” soal Izzarif pula.

“Sara dapat offer letter dari UiTM so next week Sara dah kena lapor diri di UiTM sini. Nasib baiklah tak dapat yang jauh-jauh so lepas ni if Sara dah start belajar, kita still dapat jumpa macam biasa, kan Zarif?” aku mula mengukir senyuman.

“Maksud Sara, UiTM sini? Tahniah, sayang. Akhirnya tercapai juga hasrat Sara nak sambung belajar kan? Baguslah tu. Sekurang-kurangnya berubah sikit masa depan kita nanti. Bolehlah Sara tolong-tolong Zarif kumpul duit untuk kita kahwin” Izzarif berseloroh lalu kami ketawa. Ketawa dalam bahagia. Menanti bahagia yang akan menjelma di mana cinta kami bakal bersatu. Malam itu, aku lena dibuai mimpi. Meniti hidup bersama cinta hatiku, Izzarif. Memiliki anak-anak yang menghiasi hari-hari bahagia kami.

Keesokan harinya, aku bangun sedikit awal dari biasa kerana kami akan keluar berbelanja untuk membeli barang-barang keperluanku semasa di hostel nanti. Biarpun jarak di antara rumahku dan UiTM dekat namun aku lebih selesa untuk tinggal di hostel. Bagiku mudah untuk mengulangkaji pelajaran dan berbincang bersama teman-teman. Aku ingin mula berdikari dan akan pulang ke rumah pada cuti hujung minggu.

“Ada apa-apa lagi yang kamu nak beli, Sara?” soal Encik Hadi, ayahku. Biarpun aku jarang bercerita dengan ayahku namun ayah tetap mengambil berat akan hal kami sekeluarga. Ayah seorang yang tegas dan berdisiplin. Aku lebih selesa menceritakan hal peribadiku kepada ibu sahaja. Apa sahaja yang berlaku, kuberitahu kepada ibu. Mungkin kerana kami sama-sama perempuan, maka tidak hairanlah jika kepada ibu sahaja tempat aku mencurah segalanya.

“Rasanya semua dah cukup. Baldi, bantal, cadar dan segala jenis stok makanan pun kita dah beli tadi. Cukuplah tu untuk hari ni. Nanti kalau ada keperluan yang tak cukup, Sara bagitau ayah. Boleh juga ayah hantar ke hostel nanti” jawabku lagi. Aku tidak ingin menyusahkan keluargaku. Memadailah dengan apa yang ada. Walaupun aku bangga akan kelebihan yang ada namun kesederhanaan masih lagi kuterapkan dalam diriku. Sebelum aku mendaftar di UiTM, aku sempat berpesan kepada adikku, Aiman agar menolong ibu dan menjaga rumah.

“Aiman, nanti bila akak dah masuk hostel, Aiman tolonglah mak buat kerja rumah. Kesian mak terpaksa buat kerja sorang. Kurang-kuranglah main computer game tu” aku menasihati adikku. Kulihat Aiman hanya menganggukkan kepala tanpa kata. Begitulah Aiman apabila sudah mula leka dengan gamenya itu. Yang dia tahu hanya angguk-angguk dan geleng-geleng sahaja. Sebenarnya, jauh di lubuk hati aku risau akan kesihatan ibu sejak akhir-akhir ini. Selalu sangat ibu mengeluh penat dan sakit belakang. Ibuku sangat rajin membuat kerja-kerja rumah. Baginya, kebersihan harus dijaga. Maka, tidak hairanlah jika dia selalu kepeningan dan keletihan selepas membuat kerja rumah. Semua kerja ibu mahu selesaikan dalam satu hari sahaja seolah-olah hari esok tiada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience