DEGUPAN CINTA QISTUR RUWAIDAH DAN MOHAMAD SALAHUDDIN
KHAMIS, 1 SEPTEMBER 2016
6.00 PAGI
Qistur Ruwaidah termenung di skrin telefon pintarnya. Hatinya sudah berdegup laju. Lebih kurang empat jam sahaja lagi dia bakal disatukan dengan pilihan hatinya, iaitu Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus. Dia menjadi amat takut seandainya dia tidak mampu menjadi seorang isteri yang baik untuk bakal suaminya itu. Harapan buat dirinya agar Mohamad Salahuddin dapat menerima kekurangannya dan melengkapkan apa yang kurang terhadap dirinya.
WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Assalamualaikum Qist. Kita jumpa nanti. Doakan Din supaya dikurniakan ketenangan dan diberikan kelancaran untuk lafaz ijab kabul sekejap lagi.
Begitulah mesej yang ditinggalkan oleh Mohamad Salahuddin buat Qistur Ruwaidah. Lalu, gadis itu membalas mesej tunangnya itu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Waalaikummussalam Din. Insya-Allah kita jumpa sekejap lagi. Semoga berjaya. Qist tahu Din boleh buat. Qist percaya.
Walaupun reaksi Qistur Ruwaidah biasa sahaja, namun hatinya sarat dengan bunga-bunga cinta tatkala dia menerima mesej daripada tunangnya itu. Akan tetapi, hatinya berbisik sesuatu bersama sebuah kerisauan seketika.
‘Mohamad Salahuddin… Aku tak tahu apa yang bakal menanti kita berdua tapi pintaku, moga kau dapat menerima diri aku seadanya. Aku akan cuba jadi isteri terbaik untuk kau agar kita sama-sama dapat bertemu di Syurga Ilahi kelak. Ya Allah… Permudahkanlah urusan akad nikah kami berdua sebentar lagi,’ doanya dalam hati.
Kedengaran satu suara sedang memberikan salam di luar biliknya.
“Waalaikummussalam abang! Sekejap ya,” respons Qistur Ruwaidah. Dia meninggikan suaranya sedikit agar abangnya dapat mendengar suaranya.
“Abang Suhaib nak masuk bilik ke, Qist?” soal Tihaani.
Qistur Ruwaidah ketawa kecil. “Eh, tak adalah! Kau ni pun, Tihaani. Abang Suhaib fahamlah. Aku jumpa Abang Suhaib kat luar biliklah. Jangan risau,” balasnya.
Tihaani tersengih-sengih ibarat kerang busuk. Betullah juga. Takkanlah Suhaibul Umar mahu memasuki bilik yang dipenuhi dengan ramai gadis pula… Kawan-kawan Qistur Ruwaidah tertawa kecil mendengar perbualan dua orang itu.
Dia memusingkan tombol bilik itu dan menutup pintu biliknya semula, lalu dia menghampiri abangnya. Kelihatan Suhaibul Umar bersandar di dinding bersebelahan dengan pintu biliknya.
“Ya abang. Kenapa panggil adik?” soal Qistur Ruwaidah.
“Saja abang nak tanya keadaan adik. Adik okey?” respons Suhaibul Umar. Dia sangat mengambil berat akan adiknya itu. Tambahan pula, dia akan berpisah dengan Qistur Ruwaidah yang bakal memulakan hidup baru sebentar sahaja lagi. Sebolehnya, dia mahu memberikan yang terbaik buat adiknya sebelum adiknya itu bakal bergelar ‘puan’.
“Emm… Entahlah abang. Sekejap adik rasa adik dah sedia, sekejap adik rasa macam tak sedia tapi nak tak nak, adik kena sedialah, kan? Dah adik pilih nak kahwin,” balas Qistur Ruwaidah.
“Janganlah macam tu, adik. Adik tak yakin dengan Din ke?”
“Eh, bukan adik tak yakin dengan Din! Adik yakin je dengan dia. Kalau adik tak yakin dengan Din, dah lama adik tolak lamaran dia. Cuma, adik yang tak yakin dengan diri adik ni.”
“Insya-Allah, abang yakin dengan adik. Abang tahu adik boleh hadap fasa kahwin ni dengan sabar dan tenang. Apa-apa pun, abang sentiasa sokong apa je keputusan yang adik pilih. Lagi satu, abang juga yang setuju nak lepaskan adik kat orang yang adik cinta.”
Qistur Ruwaidah mendakap abangnya itu. “Terima kasih abang. Adik tahu abang sentiasa sokong apa je yang adik buat.”
Suhaibul Umar tersenyum, lalu dia mengusap kepala Qistur Ruwaidah seketika. Apabila dia melakukan perbuatan tersebut, dia terasa sebak. Biasanya, itulah yang dia akan lakukan untuk adiknya. Tiba-tiba dia teringat akan zaman pahit kanak-kanak mereka berdua dahulu. Sedar tidak sedar, adiknya sudah besar dan bakal menjadi seorang isteri pun.
Pelukan itu dileraikan.
“Sama-sama adik. Kalau adik nak abang tolong apa-apa, beritahu tahu. Abang ada je kat ruang tamu. Nak bagi sentuhan terakhir kat hantaran-hantaran adik buat kali terakhir. Adik tenangkan diri tahu. Abang yakin Din pilihan terbaik untuk adik. Ingat tahu pesanan abang masa bachelorette party dulu.”
Qistur Ruwaidah tersenyum kecil. “Okey. Abang jangan risau. Adik ingat je pesanan abang. Insya-Allah adik okey je.”
Suhaibul Umar tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu. “Semoga adik jumpa kebahagian bersama Din. Abang pergi dulu ya.”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Kemudian, Suhaibul Umar meninggalkan adiknya itu.
Setelah abangnya hilang dari pandangannya, dia memasuki biliknya semula. Lalu, dia melabuhkan punggung di atas kerusi belajarnya.
Kelihatan Siti Hanim Az-Zahra’ sedang berbaring di atas katil sambil mengakses aplikasi Fac dengan menggunakan telefon pintarnya sementara menunggu Tihaani usai mandi manakala kawan-kawan sekolahnya, iaitu Puteri Mardhiyah, Durrah dan Asywaq Humaira’ rancak bersembang sesama mereka.
“Dah habis sembang dengan Abang Suhaib?” tegur Durrah. Dia turut mengenali Suhaibul Umar sebagai senior di Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi (SMIB) dulu.
“Dah. Abang Suhaib saja tanya khabar aku,” balas Qistur Ruwaidah. Lalu, dia tertawa kecil.
“Alahai Qist... Kau untung ada abang penyayang macam Abang Suhaib. Dulu, aku ingat lagi. Setiap kali kalau waktu outing SMIB, mesti Abang Suhaib tak pernah ketinggalan nak jumpa kau. Abang Suhaib sayang sungguh kat kau. Aku cemburu tengok kau orang tahu. Macam kekasih sangat. Kau nak akad nikah sekejap lagi pun, Abang Suhaib masih ada masa nak tanya keadaan kau,” seloroh Puteri Mardhiyah yang turut mengenali senior sekolahnya itu.
Rata-rata para guru dan kenalan Qistur Ruwaidah di SMIB dahulu sememangnya mengetahui hubungan akrab di antara Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar. Ke mana sahaja dua beradik itu pergi, ibarat belangkas. Namun begitu, warga SMIB juga umumnya mengetahui dan memahami bahawa dua beradik itu sudah tiada ibu bapa.
Qistur Ruwaidah ketawa kecil. “Kau ingat pasal kita orang ya, Madhi,” katanya.
“Mestilah. Kan kau pengawas, sertai pertandingan debat pula dulu. Abang Suhaib pula ketua pustakawan. Lepas tu, kau orang rapat. Memang kau orang terkenal ya kat SMIB dulu.”
“Yalah Qist. Aku kagum betul tengok Abang Suhaib masa kat SMIB dulu. Kalau kau sakit, dia terus bawa kau pergi kat sick bay,” Asywaq Humaira’ juga tidak ketinggalan untuk mencelah sama perbualan itu.
Qistur Ruwaidah tersengih akan respons tiga sahabatnya itu. Dia tidak menafikan kata-kata tiga sahabat itu. Mereka bertiga jugalah antara yang mengetahui kisah silamnya sebagai mangsa dera dulu.
Dia merenung jari-jemarinya yang sudah berinai hasil kerja Siti Hanim pada malam semalam. Betapa dia bersyukur di atas bantuan kawannya itu berkenaan inai tersebut. Lagi-lagi dia sudah tiada ibu dan kakak, sukar bagi dirinya untuk melakukan seorang diri. Ikutkan, abangnya boleh sahaja membantunya tetapi dia tidak mahu menyusahkan abangnya. Dia tahu abangnya perlu fikir bahagian lain untuk majlisnya.
Memandangkan majlis akad nikahnya bermula jam 10.30 pagi nanti, dia mahu meluangkan saat-saat terakhir bersama abangnya itu di ruang tamu seketika biarpun abangnya sudah menemuinya tadi.
“Hanim, kita nak pergi jumpa balik abang kita kat ruang tamu sekejap kalau Tihaani tanya pasal kita,” kata Qistur Ruwaidah.
“Okey Qist,” balas Siti Hanim.
Qistur Ruwaidah menuruni anak tangga. Kelihatan Suhaibul Umar sedang ralit melakukan sentuhan terakhir bagi hantaran-hantarannya itu. Abangnya menghasilkan hantaran bertemakan campuran Arab dan Turki di atas permintaannya sendiri untuk hantaran Mohamad Salahuddin itu. Sungguh cantik dan unik.
Tidak hairanlah Suhaibul Umar tidak menang tangan apabila dia menerima tempahan hantaran yang cukup memberangsangkan daripada para pelanggan sewaktu dia masih belajar lagi kerana tangannya mempunyai sentuhan midas.
Betapa Qistur Ruwaidah kagum kerana abangnya mampu menggubah hantaran seorang diri tanpa mengupah mana-mana pekerja.
“Amboi, abang! Ralitnya! Sampai adik datang pun, abang tak sedar. Okey ke hantaran-hantaran adik tu?” tegur Qistur Ruwaidah.
Tangan Suhaibul Umar terhenti seketika. Sungguh dia tidak menyedari akan kehadiran adiknya itu. “Eh, adik! Alhamdulillah… Okey je hantaran-hantaran adik ni. Cuma, adalah sikit bahagian yang tak berapa kena. Macam tak nampak kemas. Untuk adik abang, mestilah abang nak buat paling terbaik,” balas Suhaibul Umar seraya menunjukkan hantaran minyak wangi.
Kelihatan tangan Suhaibul Umar lincah menyambung gubahan hantaran jam tangan pula.
“Bagusnya abang pandai gubah. Adik tak reti langsung. Adik ni nama je perempuan tapi buat malu je tak pandai gubah. Biasanya, perempuan yang buat kerja gubah. Ni terbalik pula jadinya,” kata Qistur Ruwaidah. Lalu, dia tersengih.
“Tak apa. Tak salah pun kalau perempuan tak pandai gubah hantaran. Bukannya wajib mana-mana perempuan kena pandai gubah. Kalau adik teringin nak belajar, abang boleh je nak ajar. Paling utama, gubah hantaran ni kena ada minat dan kreatif tapi paling penting, kena ada kesabaran yang cukup tinggi,” balas Suhaibul Umar. Tangannya lincah membelit dawai agar replika kubah itu kukuh dan tidak roboh.
“Okey abang. Kalau adik minat nanti, adik beritahu abang. Emm abang… Boleh tak adik tanya sesuatu? Maaflah tiba-tiba je adik nak tanya soalan. Sepatutnya, boleh je adik tanya kat waktu lain.”
“Boleh, adik. Tanya jelah. Abang okey. Bukannya adik kacau pun.”
“Erm… Abang dah ada seseorang? Maksud adik… Emm… Teman istimewa?”
Suhaibul Umar memandang adiknya seraya tersenyum. “Kenapa? Adik teringin nak ada kakak ipar ke?”
Qistur Ruwaidah tersenyum kembali tatkala dia mendengar soalan abangnya itu. “Memang adik dah lama teringin nak ada kakak ipar. Boleh adik nak manja dengan kakak ipar pula. Kak Qina pun dah lama tak ada. Adik sedih pula abang akan seorang-seorang nanti kat rumah ni. Adik pun nak kahwin dah. Satu lagi, adik risau kalau PTSD serang abang lagi tapi adik tak ada dengan abang.”
Suhaibul Umar tersenyum lagi. “Adik… Memang abang tak ada siapa-siapa lagi. Bukan abang memilih. Cuma, abang tak sedia lagi nak kahwin buat masa sekarang. Adik pun tahu, kan? Parut-parut yang ada kat badan abang ni membataskan keinginan abang nak kahwin. Lagipun, memang abang nak adik kahwin dulu sebab abang percaya lelaki yang adik pilih, boleh jaga adik dengan baik. Lagi baik daripada abang sendiri. Apa-apa pun, adik jangan risau pasal sakit PTSD abang. Insya-Allah abang boleh hadap,” terangnya.
“Abang… Janganlah cakap pasal parut tu. Adik sebak sangat bila adik ingat balik semua pengorbanan abang. Bukannya abang minta badan abang jadi macam tu. Tu semua sebab Mak Long dulu. Adik lagi kenal abang berbanding orang lain. Jauh di sudut hati adik… Sekali pun adik akan masuk fasa baru ni, tak ada siapa-siapa pun boleh ganti abang dalam hati adik. Abang je satu-satunya keluarga adik yang masih hidup,” ucap Qistur Ruwaidah dengan perlahan. Sebak. Dia teringat semula akan zaman kanak-kanak bersama abangnya yang cukup menyakitkan itu.
“Adik… Setiap orang ada hak untuk bahagia. Adik pun dah jumpa seseorang yang cintakan adik setulus hati. Pukul 10.30 pagi nanti, abang akan lepaskan amanah abang kat Din. Dia pula akan sambung amanah abang ni untuk dia cinta, sayang dan jaga adik. Abang sentiasa doakan kebahagiaan adik dan Din.”
Tatkala itu, hati Qistur Ruwaidah bertambah sebak mendengar setiap butir bicara abangnya. Sungguh, berat hatinya untuk berpisah dengan abangnya yang telah menjaganya selama ini. Kasihnya terhadap Suhaibul Umar akan berpindah milik kepada Mohamad Salahuddin pula, namun dia berjanji akan sentiasa berhubung dengan abangnya sekali pun dia sudah bergelar isteri. “Insya-Allah abang. Terima kasih.”
“Sama-sama. Nampaknya, hantaran-hantaran adik dah siap. Macam yang adik minta, hantaran bertemakan Arab dan Turki. Adik nak warna hijau lembut dan hijau zamrud sempena warna kegemaran Din. Abang tambahkan sikit percikan elemen warna hitam, emas dan putih supaya hantaran adik naik seri. Memang cantik tapi agak mencabar juga bagi abang dari segi main warna,” terang Suhaibul Umar.
“Adik tengok abang buat pun memang nampak mencabar tapi abang berjaya juga buat. Alhamdulillah. Adik gembira tengok hasilnya. Gubahan yang abang buat ni cantik sangat. Sesuailah untuk abang sebagai graduan KAED. Adik tak sabar nak tunggu abang berkonvokesyen bulan 11 ni. Bolehlah adik dan Din dapat gambaran dan semangat nak tamat belajar tahun 2019 nanti. Insya-Allah.”
“Alhamdulillah. Allah mudahkan urusan abang. Abang pun tak sabar nak berkonvokesyen bulan 11 nanti. Bolehlah adik dan Din raikan abang kat dewan CAC tu nanti. Untuk adik dan Din pula, insya-Allah kau orang boleh buat. Sama-sama pandai.”
“Insya-Allah abang!”
“Ha, adik. Baru abang teringat nak tanya pasal hantaran adik. Hantaran adik ada sembilan tapi… Abang tengok kawan-kawan adik yang datang ada lima orang je. Dia orang cukup tangan tak tu?”
“Oh, pasal tu… Abang jangan risau. Ada empat orang lagi kawan UIA adik tunggu kat Masjid SHAS terus. Kalau kita orang dah nak dekat sampai nanti, dia orang tunggu kat tangga besar.”
Kelihatan Suhaibul Umar memotong dawai sebagai tanda, hantaran terakhir yang dilakukan olehnya sudah siap dengan sempurna dan kemas. “Alhamdulillah. Siap pun! Lepas ni, abang nak pergi buat sentuhan terakhir kat bilik pengantin sebelum abang pergi UIA. Takut ada yang tak kena lagi. Adik pun pergilah bersiap. Lambat pula nanti.”
Memang Suhaibul Umar merupakan seorang yang sangat teliti dalam apa jua yang dilakukan olehnya. Sesuailah dengan kulliyyah (fakulti) arkitek yang telah dilalui oleh dirinya itu, iaitu di bawah cabang seni gunaan dan seni reka. Dia bukanlah mengambil bidang tentang pembinaan bangunan tetapi bidangnya memfokuskan ke arah reka bentuk (design), pereka hias dalaman (interior designer) dan selain yang berkaitan.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Akhirnya, dia menuju semula ke biliknya untuk bersiap.
Kedengaran Tihaani mula membebel. “Dah sampai bakal pengantin kita ni. Sis, kau tak nak siap lagi ke? Nak dekat pukul 7.00 pagi dah. Aku nak mekapkan kau lagi.”
Qistur Ruwaidah tersengih. Dia faham sangat bebelan Tihaani sejak zaman asasi dahulu, menandakan bahawa kawannya itu amat risau terhadap dirinya jika dia terlambat ke kelas atau masih belum menyiapkan tugasan lagi. “Okeylah Tihaaniku… Aku nak siaplah ni. Garang betul. Macam mak tiri.”
Tihaani tersenyum. “Mestilah aku kena garang. Aku risau kat kau tahu. Lepas ni, mana kau nak lepak dengan aku dah. Kau lepak dengan cik abe je.”
‘Abe’ merupakan loghat Kelantan yang bermaksud ‘abang’. Sengaja Tihaani menggunakan perkataan tersebut kerana Mohamad Salahuddin merupakan orang Kelantan.
Selain itu, jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab didominasi oleh rakan-rakan Qistur Ruwaidah dan Tihaani dari pantai Timur, khususnya Kelantan. Secara tidak langsung, mereka berdua banyak mempelajari loghat tersebut daripada kawan-kawan dari negeri tersebut.
“Janganlah cakap macam tu, Tihaani oii! Boleh jelah aku nak lepak dengan kau macam biasa walaupun aku dah kahwin. Insya-Allah Din pun okey je.”
“Qist… Akad nikah pukul 10.30 pagi, kan?” sampuk Siti Hanim sambil memandang Qistur Ruwaidah.
“Haah. Kalau macam tu, aku pergi tukar pakaian sekarang,” balas Qistur Ruwaidah.
Tangannya mencapai busana akad nikah. Kemudian, dia menuju ke bilik air. Sebenarnya, degupan jantungnya sudah berombak kencang. Sebentar sahaja lagi, dia akan menamatkan zaman bujangnya itu. Sebelum dia menyarung busana akad nikahnya itu, dia mengambil wuduk terlebih dahulu bagi menunaikan solat sunat nikah nanti di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Masjid SHAS UIAM), Gombak.
Lima minit kemudian, Qistur Ruwaidah melangkah keluar dari bilik air. Masing-masing terpegun! “Subhanallah! Cantiknya pengantin kita ni!” puji kawan-kawannya itu walaupun dia masih belum bersiap sepenuhnya.
Qistur Ruwaidah tersipu malu apabila mendapat pujian sedemikian daripada kawan-kawannya itu. “Alhamdulillah, terima kasih semua.”
Busana akad nikah Qistur Ruwaidah, iaitu baju kebarung berona lilac yang dihiasi dengan les (lace) bunga 3D berona lilac gelap dari paras pinggang sehinggalah ke paras lutut dan dihiasi pula dengan batu-batu manik di sekitar les bunga 3D tersebut. Di bahagian kedua-dua belah tangan baju kebarung pula, dihiasi percikan les bunga 3D juga dari lepas siku sekitar lima inci hingga ke bahagian pergelangan tangan. Kain kebarungnya pula jenis lipat batik depan yang tidak dihiasi dengan apa-apa hiasan kerana bahagian baju kebarung sudah sarat dengan les bunga 3D dan batu-batu manik. Tampak ringkas tetapi tetap menaikkan seri baju pengantin itu.
“Okey, masa untuk mekap pula,” kata Tihaani dengan ceria.
“Emm Tihaani… Memang aku kena mekap ke? Boleh tak kalau aku tak mekap? Tiba-tiba aku rasa macam tak nak mekap pula. Rasa macam tabur tepung kat muka sendiri. Manalah aku pernah mekap seumur hidup aku kecuali masa tunang dulu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Isy! Mana boleh tak mekap, Qist. Hari ni hari bahagia kaulah. Satu lagi, muka kau pun nampak pucat. Memang kena mekap. Kau nak ambil gambar lagi nanti. Kalau kau tak mekap, muka kau jadi tak cantik dalam gambar. Kau jangan risau. Aku mekap guna teknik ‘natural make up’ je. Insya-Allah tetap nampak muka kau. Aku takkan mekapkan kau jadi macam opera Cina.”
Masing-masing ketawa mendengar perkataan ‘opera Cina’ itu.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah akur akan kata-kata kawannya itu. Ada benarnya juga. Semestinya dia mahu kelihatan cantik pada hari bahagianya itu. “Okeylah. Kau lagi tahu apa yang baik untuk aku. Lagi satu, kau pun ‘make up artist’,” balasnya.
Tihaani mengeluarkan barangan solekan dari beg mekapnya. Agak besar juga saiz beg itu. Lalu, dia mentatarias wajah sahabatnya itu. Memang dia sentiasa membawa beg mekapnya ke mana-mana majlis sama ada dia menjadi jurumekap atau tidak sebagai persediaan. Tidak lama kemudian, dia berjaya menyempurnakan tatarias wajah Qistur Ruwaidah pada jam 9.00 pagi. Bermakna, dia mengambil masa dalam dua jam.
Usai sahaja Tihaani mentatarias wajah sahabatnya itu, dia memberikan sentuhan terakhir dengan menyembur ‘setting spray’ supaya mekap Qistur Ruwaidah tahan lama dan nampak segar biarpun berjam-jam lamanya. “Okey, siap! Cantiknya kawan aku ni!” pujinya.
Masing-masing memuji seni tatarias wajah yang dimiliki oleh Tihaani. Demi Qistur Ruwaidah, sahabat yang telah banyak membantunya dalam subjek-subjek Bahasa Arab sejak peringkat asasi sehinggalah peringkat ijazah ini, membuatkan dia tidak mengenakan sebarang bayaran. Ini merupakan salah satu hadiah kahwinnya kepada sahabatnya itu.
Qistur Ruwaidah membelek wajahnya di cermin. Tidak sangka. Mekap telah membuatkan wajahnya menjadi lebih cantik. “Wah, terima kasih Tihaani! Aku suka sangat mekap macam ni. Masih nampak macam muka aku. Tak sia-sia kau beria suruh aku mekap juga.”
“Sama-sama Qist. Kan aku dah cakap. Satu lagi, kau tak pernah mekap. Bila kau mekap, naik seri sangat tahu. Okey, aku nak pakaikan tudung bawal pula. Sarung anak tudung dulu,” balas Tihaani.
Untuk tudung pula, Qistur Ruwaidah akan memakai tudung jenis bawal bidang 60 serona dengan busana pengantinnya yang ditampal batu-batu manik pada permukaannya. Dia mula menyarungkan anak tudungnya itu.
Kemudian, Tihaani mengambil tudung bidang 60 dan dijadikan bentuk segi tiga, lalu diletakkan di atas kepala Qistur Ruwaidah. Dia meminta kawannya bangun dari tempat duduknya untuk melihat keseimbangan paras kanan dan kiri di bahagian bawah tudung bawal tersebut. Setelah Tihaani berpuas hati, dia mengenakan pin di bawah dagu Qistur Ruwaidah. “Kau rasa selesa tak?”
“Selesa,” balas Qistur Ruwaidah.
Dalam masa 10 minit, Tihaani berjaya menyiapkan Qistur Ruwaidah untuk bahagian tudung. “Qist, kau cantik sangat. Pandai cik abe Mohamad Salahuddin pilih bakal isteri,” usiknya.
Wajah Qistur Ruwaidah merona merah apabila kawannya itu menyebut nama bakal suaminya itu. “Alhamdulillah. Terima kasih sangat, Tihaani. Cantik sangat kau mekap dan gayakan tudung untuk aku. Kalau kau tak ada, entahlah macam mana hari bahagia aku ni.”
“Sama-sama. Alaa… Tak perlu berterima kasih pun, Qist. Dah ni tugas aku sebagai ‘make up artist’ kau. Mestilah aku kena bagi yang terbaik untuk kau. Takkan aku nak buat cincai pula. Kenalah bersungguh. Lagi-lagi, kau dah banyak tolong aku pasal subjek Bahasa Arab kat CFS sampailah kita dah sambung ijazah ni. Kau anggap jelah mekap ni antara hadiah kahwin aku untuk kau. Akan ada lagi hadiah kahwin yang lain lepas ni.”
Tersentak Qistur Ruwaidah apabila mendengar kata-kata Tihaani itu. Betapa dia terharu! ‘Moga Allah mengganjari kau dengan seluruh kebaikan yang kau ada, Tihaani,’ bisik hatinya.
“Alaa… Tak payahlah buat aku terharu, Tihaani oii! Nanti aku menangis,” seloroh Qistur Ruwaidah.
“Weh Qist, kau jangan nak menangis sekarang pula. Rosak mekap nanti! Kau menangis lepas akad tak apa,” kata Tihaani. Lalu, dia meledakkan tawanya.
Rakan-rakan yang lain turut ketawa. Tihaani bijak menceriakan suasana.
“Okey, sentuhan terakhir… Aku akan pakaikan vel dan tiara pula,” kata Tihaani. Kemudian, dia memberikan sentuhan terakhir itu.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah sudah sempurna berbusana akad nikah bersama vel paras lutut dan tiara pengantin yang diserikan oleh Tihaani. Stoking lengan rona ungu gelap, stoking kaki rona coklat serta jambangan bunga juga tidak dilupakan. “Okey. Dah siap! Bila Din tengok kau sekejap lagi ni, mesti dia cair punya. Aku yang uruskan kau ni pun dah terpikat, inikan pula dia,” usik Tihaani.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tersipu malu. “Kau ni, Tihaani. Ada-ada je.”
Dia turut menerima pujian daripada empat orang kawannya yang lain juga. “Subhanallah! Cantiknya dia!” ucap mereka apabila kelihatan penampilan Qistur Ruwaidah sangat cantik pada hari tersebut. Sangat berbeza berbanding hari-hari lain.
Masing-masing berebut untuk bergambar dengan bakal pengantin itu sebelum status ‘Cik’ Qistur Ruwaidah bertukar menjadi ‘Puan’ Qistur Ruwaidah. Tidak ketinggalan juga, masing-masing berkongsi gambar sebagai kenangan bersama sang pengantin perempuan itu di media sosial.
“Kau orang… Dah pukul 9.50 pagi ni. Takut terlambat pula. Lagi empat orang kawan-kawan Qist tengah tunggu kita,” Siti Hanim Az-Zahra’ mengingatkan waktu. Akad nikah bakal berlangsung pada pukul 10.30 pagi. Mereka tidak mahu terlewat kerana bimbang jurunikah sudah pun tiba.
“Kalau macam tu, jom kita gerak sekarang,” balas Qistur Ruwaidah. Debaran kian terasa.
Masing-masing mula menuruni anak tangga dan membawa sembilan buah dulang hantaran yang diletakkan oleh Suhaibul Umar di ruang tamu itu. Qistur Ruwaidah tersenyum menyaksikan hantaran-hantaran itu dibawa masuk ke dalam tiga buah kereta kawan-kawannya itu. Kelihatan kereta abangnya juga sudah tiada.
‘Ya Allah, detik ini semakin menghampiriku. Mohamad Salahuddin… Adakah kau juga merasakan debaran ini sama seperti aku merasainya kini?’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
8.45 PAGI, INAP DESA (HOMESTAY) SRI GOMBAK
“Ayah, okey tak rupa Along?” soal Mohamad Salahuddin, meminta pandangan daripada ayahnya.
Encik Mohd Firdaus memandang penampilan Mohamad Salahuddin. Anak sulungnya itu kelihatan segak sungguh berpakaian baju Melayu cekak musang rona lilac, bersampin rona ungu gelap agar senada dengan rona baju Melayunya itu, bersongkok dan berstoking rona hitam. “Subhanallah! Kacak sungguhlah anak ayah ni. Dah okey sangat ni,” pujinya.
Anak sulungnya sudah berusia 21 tahun. Begitu pantas masa berlalu… Tiba-tiba Encik Mohd Firdaus terimbau kembali akan momen hari akad nikahnya bersama Puan Zaidah pada 22 tahun yang lalu. Jika diizinkan Ilahi, dia dan isterinya boleh merasa untuk menimang cucu pula.
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar kata-kata ayahnya itu. “Alhamdulillah. Terima kasih ayah.”
“Sama-sama Along. Along dah sedia nak masuk alam baru dengan Qist?”
“Insya-Allah. Along dah lama sedia, ayah. Ayah doakan Along dan Qist supaya keluarga kami dapat jadi keluarga sakinah (ketenangan) dan mawaddah (kasih sayang) macam ayah dan mak juga.”
“Insya-Allah. Ayah sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak ayah. Kalau Along dah sedia, jom kita gerak sekarang.”
“Okey ayah.”
Kelihatan Mohamad Salahuddin menarik beg tariknya sebagai tanda dia bakal meninggalkan inap desa itu kerana usai sahaja majlis akad nikah nanti, dia akan berada di rumah Qistur Ruwaidah sehingga tibanya majlis resepsi yang bakal diadakan pada hari Sabtu minggu hadapan.
Dua beranak itu meninggalkan bilik yang didiami oleh Mohamad Salahuddin, lalu mereka berdua menuju ke ruang tamu.
Kelihatan para sahabatnya setia menunggu di inap desa tersebut sejak pukul 7.30 pagi tadi.
Wan Abdullah, Huzaifah, Ahmad Taqiuddin, Muhammad Raeed, Imdad, Nik Hidawi dan Khuzairi Nuwair akan menjadi pembawa hantaran-hantaran Mohamad Salahuddin atau dipanggil sebagai ‘The Dulang Boys’. Masing-masing segak berpakaian baju Melayu teluk belanga rona biru tua, bersampin rona emas gelap dan bersongkok.
Ketika itu, Mohamad Salahuddin menghampiri ke arah tujuh orang kawan-kawan sejurusannya dari Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) itu.
“Nampaknya, pengantin lelaki dah segak bersiap. Tak sabar nak jumpa Qistlah tu,” sakat Wan Abdullah.
Mohamad Salahuddin tersengih mendengar kata-kata sahabatnya itu. “Kau ni, Wan Dolah. Tak sah kalau tak usik aku.”
“Muka Din dah merah tu woi! Baik kita jangan kacau Din buat masa ni. Lepas dia dan Qist dah selamat nanti, baru kita kacau dia orang,” usik Imdad.
Cadangan Imdad dipersetujui oleh kawan-kawan yang lain. Inap desa itu menjadi riuh seketika.
Encik Mohd Firdaus, Puan Zaidah dan Sakeenah tersengih menyaksikan para siswa itu mengusik Mohamad Salahuddin.
Tiba-tiba lidah Mohamad Salahuddin menjadi kelu tatkala dia diusik oleh kawan-kawannya itu. Sejujurnya, hatinya sudah berdebar-debar menantikan saat untuk menjadi seorang suami kepada Qistur Ruwaidah, sang perempuan yang amat dia cintai dengan sepenuh hatinya. Seorang gadis yang ditunggu oleh dirinya sejak sekian lama.
Pada hari ini, Mohamad Salahuddin mengharapkan yang baik sahaja, iaitu hari bersejarah buat dirinya dan Qistur Ruwaidah yang bakal disatukan sebentar sahaja lagi. Sebuah penantian sebagai kawan serta tunang dan bakal diakhiri dengan permulaan kisah cinta dan tanggungjawab sebagai suami isteri.
“Din, kenapa tiba-tiba diam ni? Kau gementar sangat ke?” usik Huzaifah. Dia tersengih menyaksikan tindak-tanduk Mohamad Salahuddin yang tidak keruan itu.
“Aku gementar? Isy, kau ni! Mana adalah. Pandai-pandai je. Aku biasa jelah,” respons Mohamad Salahuddin, kedengaran natural. Walhal, jantungnya sudah berdegup laju. Dia tidak mahu orang lain mengetahui dirinya berperasaan gementar sekarang.
“Ia-ia je tak gementar, Din,” usik Nik Hidawi.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin disakat oleh kawan-kawannya itu. Terpaksalah dia menahan sahaja aktiviti sakat-menyakat itu.
“Kau orang dah sedia ke? Kalau dah, kita boleh gerak sekarang. Dah pukul 9.10 pagi” tegur Encik Mohd Firdaus.
“Kita orang sedia je, pak cik. Cuma, Din ni la. Takut dia je tak sedia nak gerak,” selamba sahaja balasan salah seorang kawan Mohamad Salahuddin, iaitu Ahmad Taqiuddin.
“Memandai jelah kau ni, Taqi! Aku okey jelah. Ayah, kita boleh gerak sekarang,” kata Mohamad Salahuddin. Nasib baiklah dia jenis melayan sahaja usikan-usikan nakal itu.
Masing-masing tersenyum menyaksikan gelagat Mohamad Salahuddin itu. Sebenarnya, memang dia kelihatan sangat gementar. Namun, jejaka itu masih tetap tersenyum tenang. Mereka semua mendoakan yang terbaik untuk dirinya bersama si mawar hati, Qistur Ruwaidah.
‘The Dulang Boys’ mula mengangkat hantaran yang sudah diletakkan di ruang tamu itu untuk dimasukkan ke dalam kereta. Tujuh buah hantaran daripada Mohamad Salahuddin untuk Qistur Ruwaidah bertemakan puteri fantasi kartun Disney telah berjaya diolah oleh Suhaibul Umar dengan penuh kekemasan, ceria, unik dan penuh magis serta misteri bagi meraikan minat Qistur Ruwaidah yang begitu mendalam terhadap kisah-kisah puteri kartun Disney.
Kelihatan Mohamad Salahuddin juga sudah memasukkan beg tariknya di bahagian bonet keretanya.
Sebanyak lima buah kereta bakal berkonvoi ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Masjid SHAS UIAM), Gombak.
“Siapa akan pandu kereta Along?” tanya Puan Zaidah.
“Kawan Along yang ni akan pandu kereta Along,” balas Mohamad Salahuddin sambil menunjukkan Muhammad Raeed.
Kemudian, Mohamad Salahuddin memandang pula Sakeenah. “Keena…” panggilnya.
“Ya Abang Long,” sahut Sakeenah. Dia berdiam diri sejak dari tadi lagi. Bukan apa… Dia segan dengan kawan-kawan abangnya itu.
“Keena nak cakap apa-apa tak dengan Abang Long sebelum Abang Long jadi suami Kak Long Qist sekejap lagi?”
Sakeenah tersenyum. “Satu je Keena nak cakap. Tolong jaga Kak Long Qist baik-baik macam mana Abang Long jaga Keena selama ni. Keena tahu Abang Long sayang sangat kat Kak Long dari dulu.”
Serta-merta Mohamad Salahuddin mendakap adiknya itu. Penenang buat dirinya sejak dahulu lagi. Air matanya mengalir seketika di sebalik pelukan tersebut. Sejujurnya, hatinya mudah tersentuh di sebalik sifat kuat sakatnya. “Insya-Allah Keena. Tolong doakan Abang Long dan Kak Long bahagia sampai ke Syurga tahu.”
“Insya-Allah. Semestinya Abang Long… Keena tak pernah lupa doakan untuk Abang Long sejak Abang Long beritahu perasaan Abang Long kat Keena dulu,” balas Sakeenah. Sebak.
Dua beradik itu meleraikan dakapan tersebut. Sakeenah menyeka air mata abangnya itu. Kemudian, sang adik menuturkan sesuatu buat Mohamad Salahuddin. “Abang Long… Keena percaya Kak Long Qist akan jadi perempuan paling untung bersuamikan Abang Long.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Amin! Abang Long gerak dulu tahu. Sebelum tu, Abang Long minta maaf kalau Abang Long tak terlayan Keena sekejap lagi. Keena ingat pesanan Abang Long ni tahu. Sekali pun Abang Long dah kahwin, Abang Long tetap abang Keena. Keena tetap boleh cerita apa-apa masalah Keena kat Abang Long macam biasa,” katanya seraya menghulurkan jari kelengkengnya.
“Abang Long jangan risau. Keena faham je,” balas Sakeenah seraya menyambut jari kelengkeng abangnya dengan menggunakan jari kelengkengnya.
Hanya mereka berdua sahaja yang mengerti maknanya melalui isyarat jari tersebut. Simboliknya, sebuah janji.
Puan Zaidah dan Encik Mohd Firdaus tersenyum melihat keakraban si sulung dan si bongsu itu. Betapa mereka berdua mengerti bahawa dua beradik itu sukar berenggang.
Akhirnya, enam buah kereta mula meninggalkan pekarangan Inap Desa Sri Gombak itu.
‘Ya Allah, aku memohon kekuatan dari-Mu untuk majlis akad nikah sebentar lagi di antara aku dan Qistur Ruwaidah. Kau suburkanlah rasa cinta dan kasih sayang kami di saat terpaterinya kalimah ‘sah’ sehingga maut sahaja yang memisahkan kami dengan izin-Mu. Ya Rab… Kau permudahkanlah aku agar aku mampu melafazkan akad nikah tanpa rasa gugup nanti,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
MASJID SULTAN HAJI AHMAD SHAH, UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (MASJID SHAS UIAM), GOMBAK
8.20 PAGI
Kelihatan Suhaibul Umar merupakan orang pertama tiba di Masjid SHAS bagi bertemu dengan pihak Masjid SHAS untuk melakukan seting dari segi pembesar suara dan menyediakan dua buah kusyen pengantin berbentuk bulat. Atas kerjasama daripada pihak Masjid SHAS juga, akhirnya semua berjaya disempurnakan sebelum tibanya para tetamu.
Pihak Masjid SHAS juga amat mengingati Suhaibul Umar sebagai salah seorang mahasiswa yang pernah terlibat secara aktif bagi program-program di bawah anjuran Masjid SHAS. Tambahan pula, Suhaibul Umar merupakan seorang kaki masjid.
Tidak lama kemudian, para tetamu yang terdiri daripada keluarga sebelah almarhumah ibunya dan saudara-mara Mohamad Salahuddin telah pun tiba. Dia menyambut dan meraikan para tetamu yang hadir.
Syarikat fotografi dan videografi LurveMahabbah selaku jurukamera dan juruvideo rasmi bagi majlis akad nikah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin juga sudah tiba dengan membawa kelengkapan alat tersendiri.
Kemudian, rombongan daripada pihak Mohamad Salahuddin tiba pula. Suhaibul Umar segera menyambut rombongan tersebut. “Selamat datang. Jemput masuk semua,” pelawa Suhaibul Umar kepada rombongan pihak lelaki.
Kelihatan ‘The Dulang Boys’ meletakkan dengan cermat hantaran-hantaran tersebut tidak jauh dari kusyen duduk pengantin perempuan.
Bahang sudah mula terasa dalam jiwa Mohamad Salahuddin tatkala dia melangkah masuk ke dalam bangunan masjid tersebut. Ketika ini, Surah al-Insyiraah menjadi penawar resahnya. Bukannya dia tidak biasa menunaikan solat fardu di masjid kebanggaan warga UIAM ini. Bahkan, sudah menjadi satu kewajipan bagi dirinya menunaikan solat secara berjemaah di masjid tersebut.
Namun, kali ini Mohamad Salahuddin hadir sebagai seorang pengantin yang bakal disaksikan oleh orang ramai pada hari ini. Dia cuak! Hanya Allah Maha Mengetahui gelora jiwa sang pengantin lelaki itu buat masa ini.
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak… Sebuah tempat suci yang bakal menjadi penyatuan saksi dua cinta di antara Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah. Juga, sebuah tempat simbolik bagi mereka berdua bertemu jodoh di pusat pengajian tersebut.
Permaidani berbaldu merah bercorak kubah yang berada dalam Masjid SHAS itu jugalah pernah menjadi saksi pengakuan Mohamad Salahuddin pada Maha Esa akan resah hatinya sebelum dia meluahkan hasrat untuk menjadikan Qistur Ruwaidah sebagai suri hatinya.
Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar saling berjabat tangan sebelum mereka berdua bakal menjadi ipar-duai.
Suhaibul Umar mula mengusik bakal adik iparnya itu. “Din… Janganlah cuak sangat. Macamlah Din tak biasa solat kat masjid ni.”
Wajah Mohamad Salahuddin sudah merona merah. “Allah… Abang ni, kan! Sengaja je usik Din. Dahlah Din kena kacau dengan kawan-kawan kat homestay tadi,” balasnya.
“Alaa… Apa salahnya abang kenakan Din pula. Eh, muka Din dah merahlah! Malulah tu. Tak apa. Selawat banyak-banyak tahu. Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar hari ni,” kata Suhaibul Umar seraya mengenakan Mohamad Salahuddin lagi.
Mohamad Salahuddin menggelengkan wajahnya selepas disakat oleh bakal abang iparnya. Sungguh dia kehilangan kata buat masa ini.
Sebentar lagi, Suhaibul Umar bakal menjadi wali kepada Qistur Ruwaidah. Kelihatan wajahnya sudah bersedia untuk melepaskan amanahnya sebagai seorang abang serta wali untuk diserahkan kepada Mohamad Salahuddin pula, bakal adik iparnya itu.
Tiada riak sedih yang ditunjukkan oleh Suhaibul Umar, malah dia berbangga kerana dia percaya Mohamad Salahuddin mampu menjaga adiknya dengan baik serta dia gembira kerana dia bakal menerima seorang adik lagi dalam keluarganya bagi menggantikan adik-adiknya yang telah pergi itu.
“Abang Suhaib, Qist tak sampai lagi ke?” soal Mohamad Salahuddin.
“Belum lagi tapi Qist ada hubungi abang tadi. Dia cakap dia masih dalam perjalanan dengan kawan-kawan dia. Sabar ya, Din. Tak ke mana pun pengantin perempuannya,” usik Suhaibul Umar. Ada sahaja ideanya untuk mengusik jejaka itu.
“Alamak! Abang, jangan salah faham. Din tanya pun sebab Din tak nampak lagi kelibat Qist dan kawan-kawan dia,” dalih Mohamad Salahuddin. Sejujurnya, memang dia tidak sabar untuk bertemu dengan bakal isterinya itu. Cumanya, dia perlu nampak relaks.
Suhaibul Umar tersengih nakal. “Ia-ia je bagi alasan tak nampak kelibat Qist. Macam nilah, Din… Jangan malu-malu. Cakap jelah Din tak sabar nak jumpa adik abang.”
Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya lagi. Betapa bakal abang iparnya itu seronok mengusik dirinya.
Para staf jurugambar dan juruvideo LurveMahabbah juga kelihatan sibuk mengabadikan hari terindah itu melalui pakej fotografi dan videografi yang dipilih oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
Sementara para tetamu menunggu ketibaan rombongan pengantin perempuan, mereka bertegur sapa dengan Mohamad Salahuddin dulu.
Tidak lama kemudian, kelihatan pengantin perempuan tiba bersama sembilan orang pembawa dulang hantaran atau ‘The Dulang Girls’ yang anggun berbaju kurung riau rona nilakandi (royal blue) serta bertudung jenis selendang dan ada juga yang memakai tudung jenis bawal senada dengan rona baju kurung.
‘The Dulang Girls’ meletakkan hantaran-hantaran tersebut bersebelahan dengan hantaran pihak lelaki.
Sembilan buah hantaran daripada Qistur Ruwaidah untuk Mohamad Salahuddin, iaitu sebentuk cincin perak bertatahkan berlian batu zamrud jenama Widuri, sebotol minyak wangi jenama Boss, gabungan sehelai baju kemeja, sehelai blazer, seutas tali pinggang serta sebuah dompet jenama Levi’s, sepasang kasut kulit rona hitam jenama Clarks, seutas jam tangan jenama Seiko, beberapa jenis coklat berjenama seperti Kinder Bueno, Cadbury, Ferrero Rocher dan KitKat, sebakul buah-buahan yang berisi buah oren, anggur, epal merah dan kiwi, sebiji kek perisa raspberry ripple dan akhir sekali, sebuah PS4.
Hantaran-hantaran daripada Qistur Ruwaidah mendapat pujian daripada para tetamu akan seni gubahan hantaran yang sungguh unik dan jelas menampakkan ciri-ciri Arab dan Turki. Begitu juga hantaran-hantaran daripada Mohamad Salahuddin turut mendapat pujian daripada para tetamu yang jelas menampakkan tema puteri-puteri fantasi itu.
Betapa pasangan tersebut berterima kasih kepada Suhaibul Umar akan kebolehan kreativitinya yang penuh luar biasa sebagai seorang pereka hantaran-hantaran mereka berdua itu.
Mohamad Salahuddin memandang hantaran-hantaran itu dari kejauhan. Dia tersenyum dalam diam apabila sebuah PS4 itu dijadikan sebagai hantaran. Salah satu barang idamannya. Qistur Ruwaidah seperti mengetahui sahaja kemahuannya itu. ‘Uniknya Qist pilih PS4 sebagai salah satu hantaran untuk aku. Pandai dia raikan aku. Macam tahu-tahu je aku nak PS4,’ bisik hatinya.
Anak mata Mohamad Salahuddin sempat mencuri pandang ke arah Qistur Ruwaidah seketika dari kejauhan. Jantungnya semakin berdegup kencang. ‘Qist…’ panggil batinnya itu. Tika itu, dia tidak mampu menzahirkan nama perempuan itu di bibirnya.
Kelihatan bakal isterinya itu sungguh anggun berbusana kebarung, namun dia tidak berani untuk memandang si gadis idaman itu lama-lama. Dirinya masih belum sah terhadap perempuan tersebut. Hanya menunggu masa lafaz sah ijab kabul untuk menghalalkan hubungan di antara dirinya dan Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah juga memandang dari kejauhan hantaran-hantaran daripada bakal suaminya itu. Tujuh buah hantaran daripada Mohamad Salahuddin untuk Qistur Ruwaidah, iaitu mas kahwin berbentuk wang tunai yang diletakkan di dalam bingkai gambar, sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian jenama Widuri dan seutas gelang emas kuning, juga jenama Widuri yang turut dijadikan sebagai mas kahwin, gabungan sepasang telekung jenama Siti Qamarinaa dan sehelai sejadah jenama Ijlaaly, sepasang kasut sandal jenama MediFeet, sebotol minyak wangi jenama Victoria’s Secret, sebuah tas tangan jenama Carlo Rino dan akhir sekali, gabungan sebuah iPad dan telefon pintar jenama Vivo.
‘Din… Sungguh aku kelu bila aku tengok hantaran-hantaran daripada kau walaupun ada beberapa barang aku tak nampak dengan jelas tapi aku tahu, mesti semuanya mahal, kan? Emm… Tiada apa yang aku pinta melainkan semoga kau dapat terima kekuranganku ini,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Sementara menunggu ketibaan jurunikah, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bersembang dengan para tetamu yang hadir. Masing-masing mahu melupakan seketika keresahan yang bertandang dalam kalbu.
Tidak lama kemudian, kelibat jurunikah dan dua orang saksi tiba di Masjid SHAS. Pasangan pengantin dan para tetamu mula mengambil tempat. Para jurugambar dan juruvideo sudah bersedia untuk merakamkan detik bersejarah ini.
Kelihatan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mula menjadi tumpuan para tetamu apabila mereka berdua melabuhkan punggung di atas kusyen pengantin tersebut. Qistur Ruwaidah ditemani pengapitnya, iaitu Tihaani manakala Mohamad Salahuddin ditemani oleh pengapitnya, iaitu Wan Abdullah, ayahnya, iaitu Encik Mohd Firdaus, Suhaibul Umar, jurunikah dan dua orang saksi.
Mohamad Salahuddin tidak lupa untuk melemparkan senyuman kepada bakal abang iparnya itu bersama jurunikah dan dua orang saksi bagi mengurangkan rasa resah di hati. Wan Abdullah setia di sisi sahabatnya itu.
Suhaibul Umar menghulurkan mikrofon kepada Encik Mohd Firdaus. “Pak cik tolong pegangkan mikrofon ni untuk Din,” katanya sambil menyerahkan mikrofon jenis handheld wireless itu.
“Okey Suhaib,” kata Encik Mohd Firdaus seraya menyambut mikrofon itu.
“Kawan Din, tolong pegangkan mikrofon ni untuk saya,” kata Suhaibul Umar seraya menyerahkan sebuah lagi mikrofon kepada Wan Abdullah selaku pengapit kepada Mohamad Salahuddin.
“Okey,” balas Wan Abdullah seraya dia menyambut mikrofon itu.
Kemudian, Suhaibul Umar menyerahkan sebuah lagi mikrofon kepada jurunikah. “Ustaz boleh mulakan kalau ustaz dah sedia,” beritahunya.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang, tepat jam 10.30 pagi, majlis akad nikah dimulakan dengan khutbah nikah dan beberapa pesanan ringkas buat kedua mempelai yang disampaikan oleh jurunikah. Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mendengar dengan penuh tekun.
Setelah selesai khutbah nikah, pemeriksaan ketulenan barang mas kahwin, latihan lafaz ijab kabul, maka bermulalah sesi lafaz ijab kabul yang sebenar di antara Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin. Mereka berdua saling berjabat tangan. Para jurugambar dan juruvideo sudah bersedia dengan momen klimaks ini.
Suhaibul Umar tersenyum. Dia dapat merasakan kesejukan tangan Mohamad Salahuddin itu. Semestinya bakal adik iparnya itu sangat berdebar sekarang.
Mohamad Salahuddin membaca Surah al-Insyiraah berserta selawat dalam hati bagi mengurangkan rasa debarnya itu.
Wan Abdullah menghalakan mikrofon tersebut ke arah Suhaibul Umar.
“Bismillahirrahmannirrahim. Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus…” ucap Suhaibul Umar.
Encik Mohd Firdaus menghalakan mikrofon ke arah Mohamad Salahuddin.
“Ya saya,” sahut Mohamad Salahuddin dengan penuh debaran bagi menyambut lafaz sakinah itu. Sebuah degupan cinta lahir dari sanubarinya itu.
Suhaibul Umar menghadiahkan sebuah senyuman. Lalu, dia meneruskan bicara akad tersebut. “Aku nikahkan dan aku kahwinkan dikau dengan adikku, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani dengan mas kahwinnya RM3000 berserta sebentuk cincin emas putih dan seutas gelang tangan emas kuning tunai.”
Tipulah hati sang abang itu tidak menjadi sebak tatkala dia mengungkapkan bicara lafaz ijab kabul itu. Kasihnya sebagai seorang abang dan juga wali, bakal dipindahkan kepada insan yang dicintai oleh adiknya itu.
Sepenuh keyakinan, Mohamad Salahuddin menyambut akad tersebut sebagai tanda dia sudah bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab sang wali itu. “Aku terima nikah, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani dengan mas kahwinnya RM3000 berserta sebentuk cincin emas putih dan seutas gelang tangan emas kuning tunai.”
RM3000? Seutas gelang tangan emas kuning? Sungguh Qistur Ruwaidah terkejut dan menggeletar apabila dia mendengar mas kahwin yang dia terima daripada lelaki itu.
Setahu Qistur Ruwaidah, apa yang dimaklumkan oleh tunangnya itu dahulu, tunangnya akan memberikan mas kahwin berbentuk wang tunai sebanyak RM500 dan sebentuk cincin sahaja. Sekarang, kenapa mas kahwin tersebut lain pula? Siap ada gelang tangan emas pula! Bila masa lelaki itu melakukan perubahan senarai mas kahwin di pejabat agama? Mengejutkan! ‘Mohamad Salahuddin, a…aku kelu,’ bisik hatinya.
“Sah?” soal Suhaibul Umar sambil memandang kedua-dua orang saksi tersebut.
“Sah,” jawab kedua-dua orang saksi itu.
Dengan sekali lafaz ijab kabul itu, lafaz syukur diucapkan dalam hati Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah ke hadrat Ilahi. Berakhir sudah hubungan pertunangan. Kini, mereka berdua telah ditakdirkan sebagai suami isteri yang ditetapkan oleh Maha Pencipta.
Kemudian, jurunikah mendoakan untuk kedua-dua mempelai tersebut dan diaminkan oleh para tetamu yang hadir.
Usai mengaminkan doa, air mata Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin menitis serentak. Mereka berdua segera menyeka sambil tersenyum.
“Alhamdulillah. Tahniah Din. Selamat datang ke keluarga abang,” ucap Suhaibul Umar.
Lalu, Mohamad Salahuddin segera mendakap Suhaibul Umar yang kini sudah menjadi abang iparnya itu. “Alhamdulillah. Terima kasih Abang Suhaib. Terima kasih juga sebab percayakan Din,” ucapnya dengan penuh sebak.
“Sama-sama Din. Moga Din dapat laksanakan amanah Din sebagai suami untuk jaga adik abang. Tolong jaga Qist elok-elok macam mana abang jaga dia selama ni. Hanya dia je satu-satunya ahli keluarga abang yang masih ada,” bisik Suhaibul Umar dengan sebak juga di tepi telinga adik iparnya itu.
“Insya-Allah abang. Din janji akan jaga amanah abang elok-elok. Abang boleh percayakan Din. Jangan risau,” ucap Mohamad Salahuddin. Sebak lagi.
Mohamad Salahuddin juga turut melafazkan lafaz taklik sebagai perjanjian.
“Adalah saya MOHAMAD SALAHUDDIN BIN MOHD FIRDAUS dengan ini bertaklik bahawa jika:
1.Saya tidak bermua’syarah yang makruf dengan isteri saya, QISTUR RUWAIDAH BINTI ISYRAF IMRANI sama ada saya meninggalkan dia dengan sengaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan kamariah berturut-turut atau lebih;
2.Saya atau wakil saya tidak memberikan nafkah kepadanya selama empat bulan kamariah berturut-berturut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah; atau
3.Saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau darar syarii terhadapnya.
4.Dan apabila dia membuat aduan kepada Makhamah Syariah dan jika sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah dan dia memberikan kepada Makhamah Syariah yang menerima bagi pihak saya sebanyak RM10 atau senilai dengannya, maka ketika itu bertalaklah dia QISTUR RUWAIDAH BINTI ISYRAF IMRANI dengan talak khul.”
Qistur Ruwaidah berasa selamat apabila suaminya membacakan lafaz taklik itu. Ketenangan dapat dirasai dalam kalbunya itu.
Kemudian, si suami, si isteri, dua orang saksi dan wali menandatangani dokumen nikah tersebut serta pesanan berkenaan pengambilan kad nikah di pejabat agama juga turut diselitkan. Mohamad Salahuddin juga turut memberikan upah nikah kepada pihak-pihak tersebut.
Usai semuanya, Mohamad Salahuddin bersalaman dengan jurunikah dan kedua-dua orang saksi tersebut. Buah tangan berbentuk bungkusan makanan juga tidak dilupakan untuk diberikan kepada mereka. Kemudian, pihak pejabat agama meninggalkan Masjid SHAS itu.
Seterusnya, Mohamad Salahuddin bersalaman dan mendakap ayahnya dengan erat. “Ayah… Terima kasih sebab restu perkahwinan Along dan Kak Long.”
“Sama-sama Along. Along jangan risau. Ayah sentiasa reda dan restu dalam apa jua yang Along buat. Jaga anak orang elok-elok. Sekarang, Along dah jadi suami. Tanggungjawab Along makin bertambah. Ingat pesan ayah ni. Kehidupan kahwin dah tak sama macam hidup bujang dulu. Along dah ada isteri. Lepas ni, Kak Long akan jadi keutamaan Along. Kalau Along ada masalah dengan Kak Long, bincang dengan tenang. Rendahkan ego Along sebagai lelaki dan juga suami. Apa-apa pun, ayah doakan Along dan Kak Long Qist bahagia sampai Syurga.”
Bertambah sebaklah Mohamad Salahuddin dibuatnya. Kemudian, dia bersalaman dan berpelukan dengan sahabat baiknya pula.
“Tahniah bro. Dah selamat jadi suami. Moga kau bahagia dengan Qist,” ucap Wan Abdullah.
“Alhamdulillah. Terima kasih bro. Insya-Allah,” balas Mohamad Salahuddin.
Secara tidak langsung, Qistur Ruwaidah juga turut mengalirkan air matanya dari kejauhan tatkala dia menyaksikan situasi di antara suaminya, abangnya dan ayah mentuanya. Kini, dia sudah sah menjadi isteri kepada Mohamad Salahuddin, insan yang amat dia cintai dengan sepenuh hati serta dia menjadi sebak kerana abangnya telah melepaskan dirinya bagi dia memulakan hidup baharu bersama Mohamad Salahuddin. Dia menyeka air matanya itu dengan menggunakan tisu.
“Alhamdulillah… Tahniah Puan Qistur Ruwaidah. Kau dah jadi isteri,” ucap Tihaani, sebak.
Qistur Ruwaidah tersenyum, lalu dia mendakap erat sahabatnya itu. “Alhamdulillah. Terima kasih Tihaani. Kau doakan aku supaya aku dapat jadi isteri yang baik untuk suami aku.”
“Sama-sama Qist. Insya-Allah. Mestilah aku akan sentiasa doakan kau. Lagipun, kau dah lalui macam-macam dugaan masa kau kecil dulu. Moga dengan hadirnya Din dalam hidup kau sebagai suami kau sekarang, Din akan berikan pelangi dan kegembiraan buat kau. Aku yakin sebab dia jatuh cinta kat kau dari dulu.”
“Insya-Allah Tihaani.”
Pelukan itu dileraikan.
“Weh, mekap aku okey lagi tak? Maaflah aku termenangis pula tadi,” seloroh Qistur Ruwaidah.
Tihaani tersengih seraya mengamati wajah sahabatnya itu seketika. “Insya-Allah okey je lagi setakat ni. Kalau kau nak touch up nanti, jangan risau. Aku bawa je beg mekap aku ni,” katanya seraya menunjukkan beg mekap bersaiz kecil.
“Kau memang terbaik,” kata Qistur Ruwaidah seraya menunjukkan isyarat bagus.
Tiba-tiba Suhaibul Umar menghampiri adiknya dengan berkata sesuatu. “Adik, Din panggil adik untuk solat sunat nikah.”
“Ah, okey abang,” balas Qistur Ruwaidah.
Kemudian, Qistur Ruwaidah meminta izin kepada para tetamu untuk mengundur diri seketika bagi menunaikan solat sunat nikah bersama suaminya memandangkan dia sudah berwuduk di rumah tadi. Semakin dia menghampiri Mohamad Salahuddin, semakin berdebar hatinya itu. “Din…” panggilnya. Hendak menggunakan panggilan ‘abang’, dia masih terasa janggal untuk berbuat demikian.
Kelihatan Mohamad Salahuddin menoleh ke belakang. Dia tersenyum. Sudah sampai pun bidadarinya itu, namun anak matanya menghala ke arah lain. Masih terasa malu untuk menatap wajah isterinya itu. “Boleh Din mulakan?” soalnya.
Sama seperti Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin juga terasa janggal untuk membahasakan dirinya sebagai ‘abang’. Jauh di sudut hatinya, dia tidak mahu isterinya menggunakan panggilan ‘abang’ kerana dia mempunyai panggilan idaman tersendiri sejak dia jatuh hati terhadap Qistur Ruwaidah dulu.
“Boleh,” balas Qistur Ruwaidah.
Pasangan mempelai itu berdiri tegak. Lalu, mereka berdua melafazkan niat solat sunat nikah. ‘Usolli sunnata ba’dan nikahi raka’taini imaaman/ma’muman lillahi Taa’la.’
Ertinya, ‘Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat menjadi imam/makmum kerana Allah Ta’ala.’
Mohamad Salahuddin mula mengangkat takbir dan diikuti oleh Qistur Ruwaidah di belakangnya.
Usai sahaja mereka berdua menunaikan solat sunat nikah, pasangan itu menunaikan sujud syukur pula sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana doa mereka berdua untuk hidup bersama telah pun dimakbulkan oleh Maha Pencipta.
Kemudian, Mohamad Salahuddin membacakan doa apabila usainya sujud syukur dan mengharapkan sepenuhnya kepada Allah agar perkahwinan ini berlandaskan syariat-Nya.
Setelah pasangan itu mengaminkan doa, Mohamad Salahuddin mengubah posisi untuk memandang Qistur Ruwaidah yang berada di belakangnya. Dia menguatkan hati untuk menatap wajah isterinya itu. ‘Qist, pandanglah aku. Aku nak tengok muka kau puas-puas. Dah lama aku tunggu momen ni,’ bisik hatinya.
Kelihatan Qistur Ruwaidah menundukkan wajahnya. Dia menjadi malu. Dia tahu suaminya sedang memerhatikan dirinya. ‘Macam manalah aku nak pandang Din? Malu!’
“Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin dengan penuh kelembutan. Kalbunya sendiri penuh berbunga tatkala dia menggunakan panggilan tersebut kepada Qistur Ruwaidah. Dia mula merasakan bahawa dia sudah mempunyai kekasih hati tetapi versi halal. Pada saat ini, dia sedang belajar untuk bercinta dan menjadi seorang suami yang romantik.
Serta-merta, Qistur Ruwaidah mengangkat wajahnya itu. Dia terkedu akan panggilan yang dituturkan oleh suaminya itu. “A… Apa Din p…pang…gil tadi?” soalnya, gugup.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Dia terhibur menyaksikan gelagat tidak keruan isterinya itu. “Sayang. Din nak panggil Qist ‘sayang’. Bolehkan?” pintanya.
Qistur Ruwaidah menundukkan wajahnya semula. “Err… S…Sa…sayang? Emm… Q…Qist ke…kok t…tapi Q… Qist cuba. Emm… Din pula nak Qist panggil apa kat Din?”
Mohamad Salahuddin menggerakkan tubuhnya dengan menghampiri sedikit ke arah isterinya tetapi tidaklah terlalu rapat. Dia memberikan masa kepada Qistur Ruwaidah untuk rasa selesa berdampingan dengan dirinya.
Selama ini, dia memahami bahawa isterinya menjaga batas dan jarak di antara bukan mahram. Semestinya sifat malu itu masih menebal dalam diri isterinya. Sejujurnya, dia juga masih terasa malu dan kekok dengan isterinya itu, namun dia cuba mengikis dengan perlahan-lahan.
Kelihatan Qistur Ruwaidah mengangkat wajahnya sedikit tetapi tidak sepenuhnya. Dia masih mencari kekuatan untuk memandang wajah suaminya itu. Dia masih malu lagi!
Anak mata Mohamad Salahuddin memandang wajah isterinya dengan penuh rasa cinta. Sang suami itu mendekatkan wajahnya perlahan-lahan di bahagian tepi telinga Qistur Ruwaidah. Lalu, dia berbisik sesuatu. “Din nak Qist panggil Din ‘habibi’ (kekasihku). Bolehkan sayang?”
Berderau darah Qistur Ruwaidah akan tindakan Mohamad Salahuddin itu, hanya semata-mata untuk berbisik ke telinganya. Tambahan pula, permintaan panggilan ‘sayang’ dan ‘habibi’ oleh suaminya itu semakin membuatkan dirinya menjadi tidak keruan. Dia menjarakkan sedikit daripada suaminya itu. “D… Din… Biar betul nak Qist panggil ‘habibi’ kat Din? D… Din panggil Qist ‘sayang’? Ma… Macam pelik je,” responsnya dengan terketar-ketar.
“Laa… Betullah. Ingat habibi gurau ke, sayang?” ujar Mohamad Salahuddin. Lalu, dia tersenyum. Dia sudah menggunakan panggilan tersebut secara rasmi dan rasa selesa.
Barulah Qistur Ruwaidah berani menatap wajah suaminya itu. Dia sudah mendapat kekuatan. “O…Okeylah kalau tu yang D… Di… Eh, silap! Ha… Habibi minta, s… sa… sayang ikut jelah.”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersenyum mendengarnya. Kedengaran isterinya masih kekok untuk menggunakan panggilan tersebut, namun dia percaya isterinya akan terbiasa juga nanti. “Jom kita pergi sana balik. Semua tengah tunggu kita.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Kemudian, pasangan itu mula menuju semula ke tempat tadi.
Mohamad Salahuddin berjalan di hadapan manakala Qistur Ruwaidah membuntuti suaminya. Masih terasa malu untuk jalan bersebelahan.
“Ha, pengantin baru dah sampai pun. Amboi, lama betul solat tu ya!” usik salah seorang saudara-mara Mohamad Salahuddin.
Pasangan mempelai itu hanya tersengih kecil. “Maaflah Mok Teh. Bagilah peluang kat Din dan Qist sekejap. Kita orang baru je jadi suami isteri, kan?” seloroh Mohamad Salahuddin.
Para tetamu tertawa mendengar kata-kata pengantin lelaki itu.
Kemudian, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah diminta untuk melabuhkan punggung di atas kusyen pengantin bagi upacara pembatalan air wuduk pula. Simboliknya bagi masyarakat Melayu, iaitu suami isteri sudah halal bersentuhan. Sentuhan itu sebagai perlambangan dengan saling bersalaman di antara pasangan.
Dua buah kusyen pengantin lelaki dan pengantin perempuan itu didekatkan. Pasangan itu duduk bersimpuh dengan posisi menghadap di antara satu sama lain, namun masih terdapat jarak di antara mereka berdua. Mohamad Salahuddin waima Qistur Ruwaidah masih terasa kekok untuk duduk rapat-rapat.
“Laa… Pengantin! Kenapa duduk jauh-jauh tu? Kan dah sah. Rapatlah sikit,” usik salah seorang tetamu.
Para tetamu seronok mengusik pasangan tersebut. Semakin malulah pasangan mempelai itu dibuatnya. Namun begitu, Mohamad Salahuddin bertindak untuk menghampiri isterinya itu dengan lebih dekat. Betapa dia amat menantikan detik ini untuk berada di samping Qistur Ruwaidah dan merasakan sentuhan isterinya. Ya, dia sudah berhak ke atas gadis itu!
Jantung Qistur Ruwaidah semakin berdegup kencang kerana jarak di antara dirinya dan suaminya terlalu dekat. Jika sebelum ini dia pernah bertanyakan dirinya sendiri, bagaimanalah nanti Mohamad Salahuddin menghampiri dan mendekati dirinya… Nampaknya, dia sudah merasainya pada hari ini. Perasaan aneh dan malu yang sukar digambarkan. Dia masih cuba menghadam bahawa lelaki itu sudah menjadi suaminya. Bukan lagi kawan atau tunang!
Anak mata Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah saling bertentang seketika, namun kelihatan Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu akan pandangan suaminya itu. Sudahlah tadi suaminya mendekatkan wajah di tepi telinganya untuk berbisik dengan dirinya.
Kelihatan Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman buat isterinya itu. Qistur Ruwaidah membalas kembali senyuman suaminya itu. Masing-masing tidak mengeluarkan sepatah bicara. Kelu.
Kemudian, dua orang sahabat Mohamad Salahuddin, iaitu Wan Abdullah dan Khuzairi Nuwair membawakan tiga jenis mas kahwin dan diletakkan dalam dua buah hantaran yang berbeza. Satu hantaran untuk wang tunai dan satu hantaran lagi diletakkan cincin dan gelang emas.
Mohamad Salahuddin mengambil dulang hantaran mas kahwin berbentuk wang tunai yang diletakkan dalam bingkai gambar, lalu diserahkan kepada isterinya itu. Para jurugambar dan juruvideo sudah bersedia dengan tugas mereka mengabadikan momen tersebut.
“Ni mas kahwin pertama,” terang Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah menyambut dulang hantaran tersebut seraya mengucapkan terima kasih. Lalu, dia menyerahkan hantaran itu kepada Siti Hanim Az-Zahra’ untuk menjaganya.
Seterusnya, Mohamad Salahuddin mengambil mas kahwin kedua pula, iaitu sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian dari kotak cincin Widuri yang tersergam indah itu.
Perlahan-lahan Qistur Ruwaidah menghulurkan tangan kanannya. Betapa dia terasa bahang untuk merasakan sentuhan sang suami itu. Selama dia hidup 21 tahun ini, manalah ada lelaki bukan mahram yang pernah memegang tangannya kecuali abangnya, almarhum ayahnya dan arwah adik kembar lelakinya sahaja.
Sewaktu Mohamad Salahuddin baru menyentuh sedikit di bahagian hujung jari hantu kanan isterinya itu, secara tidak sengaja, bagaikan terkena renjatan elektrik, Qistur Ruwaidah menarik semula tangannya. Tindakannya itu telah membuatkan para tetamu tertawa bahagia. Suaminya turut tertawa kecil menyaksikan tindakannya itu.
“Qist, jangan takut! Din tak makan Qist tu,” sakat para tetamu.
Mohamad Salahuddin tersengih-sengih manakala wajah Qistur Ruwaidah seperti hendak menangis, namun ditahan semampunya. Gadis itu masih cuba menyedarkan dirinya bahawa dia sudah memiliki seorang suami yang sudah berhak ke atas dirinya dan sudah halal bersentuhan tanpa rasa takut mahupun dosa.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah menghulurkan tangan kanannya itu kepada suaminya. Apabila Mohamad Salahuddin cuba memegang semula tangan isterinya, Qistur Ruwaidah menarik semula tetapi Mohamad Salahuddin tetap sabar dan memahami.
‘Subhanallah! Ya Allah… Terima kasih kerana Kau mengurniakan aku seorang isteri yang menjaga diri dan maruahnya. Cukuplah dengan tindakan Qistur Ruwaidah di hadapanku ini, ianya sebagai saksi. Ya Rahman… Betapa untungnya diriku!’ ungkap hati Mohamad Salahuddin dengan penuh rasa gembira dalam jiwanya.
Walaupun sudah masuk kali keempat Mohamad Salahuddin cuba memegang tangan isterinya bagi menyarung cincin di jari manis kanan isterinya itu, Qistur Ruwaidah masih tidak mampu membiarkan suaminya memegang tangannya.
Mohamad Salahuddin mendekatkan dirinya sedikit bagi berbicara perlahan dengan isterinya itu agar tidak didengari oleh orang lain. “Sayang… Sayang relaks je. Tak apa. Habibi faham sayang masih perlukan masa. Sayang tarik nafas… Selawat banyak kali.”
Qistur Ruwaidah tersenyum kelat. Lalu, dia berbisik dalam hati. ‘Ya Allah… Sudah empat kali aku menarik tanganku daripada suamiku. Aku malu. Kekok… Kau Maha Mengetahui bahawa aku tidak pernah bersentuhan dengan mana-mana lelaki kecuali Abang Suhaib, baba, Dik Harraz dan Dik Harzan je. Ya Rahman… Kau kuatkanlah aku untuk aku merasakan sentuhan suamiku. Aku tahu Din sudah sah terhadap diriku tetapi aku masih tidak mampu untuk menyerahkan tanganku ini agar dia boleh menyentuhku.’
Akhirnya, Qistur Ruwaidah menghulurkan semula tangan kanannya itu bersama selawat yang menemani kalbunya seperti yang disarankan oleh suaminya. Kali ini, dia sudah mendapat secebis kekuatan. ‘Ya Allah… Aku kena berani. Mohamad Salahuddin sudah berhak ke atas diriku. Dia layak menyentuh aku.’
Mohamad Salahuddin cuba menyentuh kembali tangan isterinya itu dengan perlahan-lahan. Kelihatan isterinya itu tidak lagi menarik tangannya daripadanya. Terlerailah upacara pembatalan air wuduk itu.
“Alhamdulillah. Akhirnya…” ucap para tetamu.
Itulah kali pertama Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah saling bersentuhan. Kesejukan dapat dirasakan pada tangan masing-masing. Sebuah ketenangan mula menemani pasangan mempelai itu biarpun masih terasa malu, namun tetap ada keindahannya.
“Sayang okey?” tanya Mohamad Salahuddin. ‘Alahai… Lembutnya tangan kau, Qist. Sejuk hati aku,’ bisik hatinya.
Qistur Ruwaidah mengangguk seraya tersenyum. Sentuhan tangan itu tidak lagi dilepaskan. ‘Laa… Macam ni rupanya bila Din pegang tangan aku. Kenapalah aku takut sangat tadi?’ bisik hatinya.
Bagi Qistur Ruwaidah, tatkala dia merasakan sentuhan suaminya itu, dia merasakan bahawa dia sudah mempunyai seseorang yang boleh melindungi dan mencintai dirinya. Bagi Mohamad Salahuddin pula, tatkala dia merasakan sentuhan isterinya, dia merasakan bahawa itulah amanah terbesar buat dirinya bagi dia menjaga, menyayangi, melindungi dan mencintai isterinya dengan sepenuh hati.
“Boleh habibi sarungkan cincin?” soal Mohamad Salahuddin.
“Boleh habibi,” balas Qistur Ruwaidah. Dia sudah selesa menggunakan panggilan itu.
Bersama lafaz ‘Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang’, perlahan-lahan Mohamad Salahuddin menyarungkan cincin di jari manis kanan isterinya. Akhirnya, sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian menghiasi jari Qistur Ruwaidah. Tercapai hasratnya untuk menyarungkan cincin di jari isteri tercinta.
“Okey Din, Qist… Jangan lepaskan tangan tu lagi. Tunggu sekejap,” arah salah seorang staf LurveMahabbah. Kelihatan para jurugambar dan juruvideo yang lain begitu berdedikasi dengan tugas mereka.
“Memang kena macam ni ke, abang?” soal Mohamad Salahuddin kepada salah seorang staf LurveMahabbah. Sebenarnya, dia sangat segan. Isterinya juga merasakan yang sama.
“Eh, mestilah Din! Kalau tak, bukan kahwinlah namanya,” usik staf tersebut.
Masing-masing ketawa mendengar akan kata-kata staf tersebut.
Seterusnya, giliran Qistur Ruwaidah pula menyarungkan cincin perak bertatahkan batu zamrud di jari manis kanan suaminya. Kelihatan tangannya menggigil. Dia teringat akan kata-kata abangnya pada hari semalam.
“Cincin risik dan tunang yang Din pilih dan bagi adik, tu pun salah satu cinta dia kat adik. Tambah satu cincin lagi esok. Cincin nikah pula. Bezanya, cincin risik dan tunang tu, mak Din yang sarung tapi cincin akad, Din sendiri akan sarungkan kat adik esok. Tu pun membuktikan lagi cinta Din kat adik…”
Benar… Qistur Ruwaidah merasakan betapa Mohamad Salahuddin mencintai dirinya tatkala suaminya menyarungkan cincin akad nikah tersebut tadi. Walaupun suaminya masih belum mengungkap perasaan cinta kepada dirinya, namun tindak-tanduk suaminya telah membuktikan cinta itu. Dia ingin mendengar lafaz kalimah cinta Mohamad Salahuddin nanti dan dia juga ingin mengungkapkan yang sama untuk suaminya itu.
Mohamad Salahuddin pula tersenyum menyaksikan gelagat isterinya itu. Akhirnya, cincin tersebut sudah pun berjaya disarungkan oleh Qistur Ruwaidah di jari manis suaminya.
Sama juga seperti tadi, kedua-dua mempelai itu perlu akur dengan arahan para staf LurveMahabbah itu.
Kemudian, Mohamad Salahuddin mengambil mas kahwin ketiga pula, iaitu seutas gelang emas kuning. Qistur Ruwaidah menghulurkan tangan kirinya sebagai isyarat bahawa dia mahu dipakaikan di sebelah kiri. Akhirnya, terhiaslah dua mas kahwin tersebut di kedua-dua belah tangannya itu.
Setelah selesai upacara pemberian mas kahwin, Mohamad Salahuddin meletakkan telapak tangannya di atas ubun-ubun Qistur Ruwaidah bersama lafaz ‘Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani’. Kemudian, dia mendoakan buat sang isteri tercinta dalam bahasa Arab yang bermaksud:
“Ya Allah, aku memohon pada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung pada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah, berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir.”
Usai Mohamad Salahuddin mendoakan untuk isterinya, dia melepaskan telapak tangannya itu. Qistur Ruwaidah pula menghulurkan tangan dengan perlahan-lahan untuk bersalaman dengan suaminya. Lalu, salamnya disambut oleh Mohamad Salahuddin. Sang isteri itu mengucapkan dua kalimah syahadah dalam hati.
Staf LurveMahabbah memberikan isyarat kepada kedua-dua mempelai itu agar jangan mengubah posisi lagi. Para tetamu juga berebut-rebut hendak merakamkan detik indah itu.
Mohamad Salahuddin menundukkan wajahnya sedikit sambil tersenyum memandang isterinya sehingga wajahnya merona merah lantaran terlalu malu manakala Qistur Ruwaidah pula tersenyum di sebalik salam itu bersama sebuah debaran untuk mengangkat kepalanya kembali bagi menghadap suaminya semula. Namun, masing-masing merasakan damai dan tenang dengan situasi tersebut.
Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah pun mengangkat kepalanya dan aktiviti bersalaman itu dileraikan.
Tiba-tiba, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah bertentangan wajah seketika. Tidak dapat ditafsirkan perasaan yang sedang bergelora dalam hati. Cepat-cepat suami isteri itu mengalihkan pandangan. Masih terasa malu.
Seterusnya, pasangan itu bersalaman dengan Suhaibul Umar dan keluarga Mohamad Salahuddin.
Ketika Qistur Ruwaidah mendakap Suhaibul Umar dengan erat, air matanya gugur. Kini, amanah abangnya untuk menjaga dirinya sudah berakhir. Mohamad Salahuddin akan mengambil alih amanah abangnya pula.
“Abang Suhaib, terima kasih atas segala-galanya,” ucap Qistur Ruwaidah dengan penuh sebak.
“Sama-sama adik. Terima kasih juga sebab jadi peneman abang selama 23 tahun abang hidup. Apa-apa pun, alhamdulillah untuk hari ni. Tahniah sebab dah jadi isteri buat lelaki yang adik cinta. Abang lepaskan tanggungjawab abang ni kat Din. Din pula akan gantikan abang. Moga adik jadi isteri solehah yang dapat menyejukkan hati suami. Abang doakan yang baik-baik untuk adik. Emm adik… Abang minta maaf kalau abang tak didik adik dengan baik selama ni,” bisik Suhaibul Umar di telinga adiknya.
Apabila Qistur Ruwaidah mendengar bicara Suhaibul Umar melalui bisikan telinga itu, hatinya sebak. Dia sudah menjadi terlalu sebak tatkala dia mengingati segala jasa dan pengorbanan abangnya itu. Mana mungkin dia lupa akan kenangan pahit sebagai mangsa dera bersama abangnya dulu. Dari situlah, dia belajar menyayangi abangnya dengan sepenuh hati.
Secara tidak langsung, Mohamad Salahuddin turut tersentuh hati menyaksikan situasi syahdu itu. Dia tahu isterinya amat menyayangi abangnya dan juga, dia tahu bahawa Suhaibul Umar merupakan segala-galanya untuk isterinya itu. Saat itu, dia berjanji untuk tidak memisahkan kasih sayang dua beradik itu sepertimana kasihnya dia terhadap Sakeenah.
Para tetamu juga memandang situasi itu dengan penuh rasa terharu.
“Din…” panggil Suhaibul Umar.
“Ya Abang Suhaib,” respons Mohamad Salahuddin.
“Terima kasih sebab sudi terima adik abang dalam kehidupan Din. Moga silaturahim kita sebagai ipar makin erat.”
“Sama-sama abang. Insya-Allah moga macam tulah kehendaknya.”
Kini, giliran Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah bersalaman dengan Puan Zaidah, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah pula.
Bermula dengan Mohamad Salahuddin terlebih dahulu. Dia bersalaman dan berpelukan dengan ibunya untuk memohon restu dan reda dalam apa jua yang dilakukan olehnya. “Mak… Terima kasih sebab restu pilihan Along. Mak tolong doakan kami ya.”
“Sama-sama Along. Insya-Allah, mak selalu doa supaya perkahwinan Along dan Kak Long kekal sehingga ke Syurga,” ucap Puan Zaidah.
Giliran Qistur Ruwaidah pula berhadapan dengan ibu mentuanya. Kelihatan Puan Zaidah memegang erat tangan menantunya itu. “Tahniah dan selamat datang Kak Long Qist ke keluarga kami,” ucapnya.
Qistur Ruwaidah tersenyum akan penerimaan ibu mentuanya itu terhadap dirinya. Terubat sedikit rasa rindunya kepada almarhumah ibunya. “Terima kasih mak sebab sudi terima Kak Long.”
Puan Zaidah memeluk menantunya itu seketika. Qistur Ruwaidah dapat merasakan betapa ibu mentuanya itu amat sayangkan dirinya. Sebuah pesanan daripada mentua kepada menantu juga dititipkan untuk dirinya. “Sama-sama Kak Long. Moga Kak Long bahagia dengan Along. Mak doakan yang baik-baik untuk anak-anak mak. Pesanan mak… Hormati Along sebagai suami Kak Long dan ikut setiap perintahnya selari dengan syarak.”
“Insya-Allah mak. Kak Long akan ingat pesanan mak tu,” ucap Qistur Ruwaidah.
Sebuah ciuman pipi dihadiahkan oleh Puan Zaidah terhadap menantunya itu.
Seterusnya, giliran Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah bersama Encik Mohd Firdaus. Mohamad Salahuddin bersalaman dulu dengan ayahnya dan diikuti pula Qistur Ruwaidah.
Inilah kali kedua bagi Qistur Ruwaidah bersalaman dengan lelaki bukan mahram pada asalnya selepas suaminya, iaitu ayah mentuanya pula, insan yang haram dikahwini buat selama-lamanya. Dia berjanji untuk menyayangi ayah suaminya itu sama seperti dia menyayangi almarhum ayahnya.
Encik Mohd Firdaus memulakan bicaranya. “Untuk Along, ayah dah cakap lepas akad tadi. Ayah fokuskan kat Kak Long Qist pula ya. Macam mak juga, ayah pun nak ucapkan selamat datang buat Kak Long dalam keluarga kami. Moga dengan kehadiran kami sebagai ayah dan mak Kak Long, dapat kurangkan rasa rindu Kak Long kat arwah mama baba Kak Long. Walaupun kami tahu takkan sama tapi sekurang-kurangnya Kak Long tetap ada peluang nak rasa kasih sayang daripada kami. Satu lagi, moga Kak Long gembira dengan kehadiran Along serta dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Ayah percaya, Along sangat sayangkan Kak Long.”
Serta-merta Mohamad Salahuddin menjadi sebak.
Qistur Ruwaidah juga semakin sebak sejak dia bersalaman dengan abangnya sehinggalah ke ayah mentuanya. Dia terlalu terharu. “Alhamdulillah. Terima kasih ayah sebab terima Kak Long sebagai menantu ayah. Kak Long sayangkan ayah dan juga, mak. ”
“Sama-sama Kak Long,” balas Encik Mohd Firdaus. Lalu, dia menghadiahkan senyuman kepada menantunya itu.
Akhir sekali, giliran Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah bersama si bongsu, Sakeenah. “Habibi dah cakap dengan Keena masa kat homestay tadi. Habibi bagi peluang kat sayang pula,” beritahu Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Kemudian, dia memulakan bicaranya. “Keena…”
Kelihatan wajah Sakeenah begitu ceria tatkala Qistur Ruwaidah memanggil dirinya seraya dia memegang erat tangan kakak iparnya. “Tahniah Kak Long Qist! Selamat datang ke keluarga kita orang. Keena gembira sangat tahu,” ucapnya dengan penuh kegembiraan.
Lantas, Qistur Ruwaidah mendakap adik iparnya itu. “Terima kasih Keena sebab sudi terima Kak Long dari awal-awal kita kenal dulu. Kak Long hargai sangat,” ucapnya. Bertambah sebak dibuatnya.
“Sama-sama Kak Long. Kalau Kak Long nak tahu, Keenalah orang paling gembira sebab setiap hari, Keena doa kat Allah supaya Allah satukan Abang Long dan Kak Long. Doa Keena dah terjawab hari ni.”
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu. Benar. Doa adiknya juga turut mengiringi perjalanan cintanya itu.
Pelukan yang dihulurkan oleh Qistur Ruwaidah itu semakin erat. “Ya Allah… Keena... Kak Long terharu. Tolong doakan Kak Long dan Abang Long bahagia selalu tahu.”
Sakeenah tersenyum di sebalik pelukan itu. “Insya-Allah. Sentiasa demi Kak Long dan Abang Long yang Keena sayang.”
Mohamad Salahuddin juga turut mendakap kedua-dua insan yang amat bermakna dalam hidupnya itu selepas ibu bapanya. ‘Ya Allah, terima kasih atas kegembiran terbesar ini. Pada hari ini, tanpa-Mu ya Rab, aku tidak akan bersama dengan Qistur Ruwaidah,’ bisik hatinya. Terasa damai saat dia mendakap isterinya itu biarpun ada Sakeenah sekali.
Qistur Ruwaidah tersentak seketika akan pelukan yang dihulurkan oleh suaminya itu tetapi dia cuba bersifat natural. Mujur suaminya memeluk Sakeenah sekali. Jika tidak… Ah, entahlah! Boleh jatuh pengsan agaknya.
Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan tersebut. Namun begitu, isteri dan adiknya masih saling berpelukan. Dia mula mencari pasal dengan Sakeenah. Dalam erti kata lain, dia mengacau adik kesayangannya itu. “Amboi, Keena! Melebih-lebih pula peluk Kak Long. Mengalahkan Abang Long nampak.”
Sakeenah meleraikan dakapan tersebut. Lalu, dia menjelirkan lidah kepada abangnya itu. “Buweeek! Abang Long cemburulah tu. Kan Kak Long?”
Qistur Ruwaidah mula menggelengkan kepalanya. Dia sudah faham sangat sejak pertemuan pertamanya bersama dua beradik itu dulu. “Ha, habibi dan Keena mulalah nak gaduh tu! Kak Long ‘babap’ nanti!”
Mohamad Salahuddin dan Sakeenah tersengih ibarat kerang busuk.
Qistur Ruwaidah tersenyum melihat setiap insan dalam keluarga suaminya itu yang baru sahaja memasuki kehidupannya itu. Hatinya berbisik sesuatu… ‘Ya Rahman, terima kasih untuk hari ini. Semestinya hari ini paling menggembirakan aku. Dikurniakan suami, mak ayah mentua dan ipar yang baik. Moga mulanya perjalanan aku ini sebagai isteri, menantu dan ipar akan dipermudahkan oleh-Mu. Amin!’
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menghampirinya dengan berdiri di sebelahnya. “Sayang dah sedia?” soalnya.
Qistur Ruwaidah terkebil-kebil. Pada masa yang sama, berderau darahnya apabila suaminya berdiri betul-betul di sebelahnya. Sejujurnya, dia masih rasa malu untuk berada di samping suaminya itu, namun dia cuba bertenang. “Eh? Sedia apa pula ni, habibi?”
“Sedia nak jumpa dengan tetamu. Dia orang tengah tunggu nak ambil gambar dengan kita,” balas Mohamad Salahuddin. Lalu, dia menghulurkan tangannya kepada insan yang amat dia cintai itu.
Qistur Ruwaidah ketawa kecil. “Laa habibi ni… Sayang ingatkan apalah. Emm… Insya-Allah sayang sedia je,” katanya. Lalu, dia menyambut huluran tangan suaminya itu. Ketika ini, dia masih tidak dapat menggambarkan perasaannya tatkala dia merasakan sentuhan suaminya lagi.
Namun, apa yang Qistur Ruwaidah tahu… Cintanya terhadap Mohamad Salahuddin semakin meresap dalam atmanya.
Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala hulurannya bersambut. Lembut sungguh telapak tangan isterinya itu. Usah ditanya berkenaan perasaan cintanya itu kerana dia sudah terlalu lama mencintai Qistur Ruwaidah sejak hari pertama mereka berdua ditakdirkan menjadi rakan sekelas sewaktu di pusat asasi dahulu.
Pasangan itu saling berpegangan tangan dengan erat. Bagai tidak mahu berpisah lagi.
Berakhir juga penantian Mohamad Salahuddin terhadap Qistur Ruwaidah sejak umur dia dari 18 tahun dulu dan tercapai masa umur 21 tahun <3 <3 <3 Pembaca ada yang dah kena diabetes ke tu? Ke ada yang dah kena strok? Baru sikit je romantika Din tu. xD Banyak bab lagi yang menanti tentang kisah percintaan Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah :P Nantikan... Terima kasih kerana sudi membaca :)
Share this novel
OMGGGGGGGGG serius mengalir jugak sikit air mata aku part Din akad nikah.. terasa mcm member aku sendiri yg kahwin omgggg... haih untung la din dpt Qist, qist lak dpt din. Aku mampu berangan jela skrg hahahhaha
OMGGGGGGGGG serius mengalir jugak sikit air mata aku part Din akad nikah.. terasa mcm member aku sendiri yg kahwin omgggg... haih untung la din dpt Qist, qist lak dpt din. Aku mampu berangan jela skrg hahahhaha
OMGGGGGGGGG serius mengalir jugak sikit air mata aku part Din akad nikah.. terasa mcm member aku sendiri yg kahwin omgggg... haih untung la din dpt Qist, qist lak dpt din. Aku mampu berangan jela skrg hahahhaha