SEMESTER 2 SESI 2016/2017
ISNIN, 30 JANUARI 2017
Setelah berakhirnya cuti semester bagi semester satu, kini Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin melalui perjuangan sebagai siswi dan siswa untuk semester dua pula.
Qistur Ruwaidah merupakan siswi tahun kedua semester dua di bawah Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan (KIRKHS) dalam cabang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) (Kepujian) manakala Mohamad Salahuddin merupakan siswa tahun ketiga semester satu di bawah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) dalam cabang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian).
Dua hari kemudiannya pula, yakni 1 Februari 2017 genaplah usia lima bulan perkahwinan pasangan itu. Namun, Mohamad Salahuddin tidak melakukan sebarang kejutan buat isterinya pada kali ini. Qistur Ruwaidah pula tidak kisah dan apa yang dia tahu, suaminya mencintai dirinya tanpa syarat.
Setelah lima bulan menggenggam janji dan amanah yang dipikul oleh Mohamad Salahuddin bagi menjaga dan mencintai Qistur Ruwaidah serta mengambil alih tugas Suhaibul Umar, hari-hari yang dilewati oleh pasangan itu dilalui dengan penuh rasa cinta dan berbunga mekar. Bahkan, selepas pulang dari berbulan madu, cinta mereka berdua semakin utuh.
Isu anak juga tidak lagi disuarakan oleh Qistur Ruwaidah mahupun Mohamad Salahuddin. Masing-masing hanya menyerahkan pada masa dan lebih menghargai diri pasangan dengan seadanya. Pada saat itu, mereka belajar untuk tidak berharap lagi dengan kehadiran zuriat yang mungkin tidak akan menjadi milik mereka berdua.
Setelah memasuki minggu yang ketiga bagi semester dua sesi 2016/2017 ini…
“Habibi, jom. Sayang dah siap,” kata Qistur Ruwaidah seraya menggalas beg galasnya itu.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah ditahan oleh Mohamad Salahuddin di dinding.
Pandangan mata Mohamad Salahuddin benar-benar menggugat kalbu isterinya itu. “Nak pergi mana ni?” soalnya dengan penuh menggoda.
Kalbu Qistur Ruwaidah berdegup laju seraya menampar lembut dada suaminya itu. “Eiii… Habibi ni! Mengada! Kan kita nak pergi UIA. Sayang ada discussion. Habibi pun ada discussion.”
Semakin lama, Mohamad Salahuddin mendekatkan wajahnya ke arah wajah isterinya. “Tapi sayang nampak cantiklah malam ni. Habibi cemburu pula kalau ada mana-mana brothers nak mengurat sayang.”
“Eh, habibi ni! Buang tabiat! Patutnya sayang yang cakap macam tu tahu. Bukannya sayang tak tahu habibi ada ramai peminat kat AIKOL.”
“Mana ada! Sayang ni pandai-pandai je.”
Qistur Ruwaidah mencebikkan wajahnya. “Eleh! Tak nak mengaku pula. Sayang tahulah. Habibi macam lupa pula sayang ni pernah jadi budak LAWS sekejap kat CFS dulu. Dah, jom! Jangan nak buang tabiat!”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Sejujurnya, dia juga mengetahui akan hakikat itu. Namun, dia sengaja buat-buat tidak tahu demi menjaga hati isteri tercinta dan dia hanya mencintai isterinya. Bukan wanita lain!
Bukannya Mohamad Salahuddin tidak tahu juga berapa ramai siswi AIKOL yang kecewa dan menangis tatkala mereka mengetahui bahawa dia sudah berkahwin. Dia tahu dirinya diminati ramai siswi sejak dari zaman asasi lagi. Namun, dia tidak pernah mengambil endah kerana hatinya terkunci rapat untuk Qistur Ruwaidah tanpa terbuka sedikit pun hatinya untuk siswi lain.
‘Qist sayang… Aku mencintaimu!’ bisik hatinya seraya mengambil kunci kereta.
TAMAN LEMBAH KERAMAT
Suhaibul Umar sedang mengulang hafazannya setelah dia penat menguruskan tempahan-tempahan hantaran yang kian meningkat. Baginya, menghafaz Al-Quran merupakan terapi tetapi berat untuk dirinya sebagai seorang penghafaz Al-Quran bagi memastikan Al-Quran tetap dijaga dan diulang dengan sebaiknya.
“Sadaqallahulazim…” ucap Suhaibul Umar seraya menutup mashafnya dan diletakkan di atas meja belajarnya. Dia mencapai pula telefon pintarnya.
Seketika, dia tersenyum melihat hiasan latar belakang telefon pintarnya, iaitu gambar di antara dirinya dan adik tersayang, Qistur Ruwaidah. Kalbunya dicuit rasa kerinduan yang amat mendalam setelah adiknya mendirikan rumah tangga. Namun, tidak pernah sekali pun dia meluahkan rasa kesunyian itu kepada adiknya.
Apatah lagi, Suhaibul Umar tidak mahu Mohamad Salahuddin rasa serba salah kerana seolah-olah dia tidak reda pula adik iparnya mengahwini adiknya itu. Bukan begitu…
Cuma, dia masih cuba menyesuaikan diri untuk hidup begini biarpun adiknya sudah lima bulan jarang pulang ke rumah ini. Walaupun adik dan adik iparnya mengunjunginya setiap minggu atau adakalanya dia mengunjungi ke rumah pasangan itu, kesunyian tetap menjalar dalam jiwanya.
Hendak berkahwin? Dia masih belum bersedia ke arah itu. Apatah lagi, dia khuatir tentang kecacatan tubuh badannya itu. Mana mungkin ada perempuan yang mahu menerima kekurangan dirinya itu. Apa yang dia mampu lakukan, iaitu berpuasa, menundukkan pandangan dan menahan nafsu jika keinginannya untuk berumah tangga membuak-buak secara tiba-tiba.
Gambar Qistur Ruwaidah ditatap dengan penuh rasa rindu. Hatinya membisik penuh kerinduan. ‘Rindunya kat adik. Apa khabar adik agaknya lepas adik dah kahwin dengan Din? Adik okey? Din jaga adik elok-elok tak? Abang tak nak kacau adik sebab abang faham… Sekarang, adik dah jadi isteri. Ada suami yang jadi keutamaan adik, bukan lagi abang tapi adik jangan risau kat abang. Abang pun okey je kat sini. Bisnes abang pun makin masyuk. Alhamdullillah… Cuma, tulah… Abang rasa sunyi lepas adik dah kahwin…’
Tiba-tiba air matanya menitik di atas skrin telefon pintarnya itu. ‘Adik… Kalau adik lapang, hubungilah abang. Abang menanti sebab abang rindu sangat kat adik! Abang harap adik tak lupakan abang. Abang dah tak ada siapa-siapa lagi kecuali adik. Abang rindu sangat kat adik!’
Bagaikan dapat mengetahui naluri Suhaibul Umar, tiba-tiba Qistur Ruwaidah menghubunginya. Alangkah terkejutnya dia, namun dia berasa amat gembira bukan kepalang seraya dia menyeka air matanya! Segera, dia menjawab panggilan adiknya itu. “Assalamualaikum adik,” ucapnya dengan penuh ceria.
“Waalaikummussalam abang. Abang sihat?” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh ceria juga. Mana mungkin dia tidak merindui satu-satunya ahli keluarga yang masih hidup itu!
“Alhamdulillah sihat. Adik dan Din?”
Qistur Ruwaidah memandang suaminya yang turut mendengar perbualan itu. “Alhamdulillah. Sihat,” jawab mereka berdua secara serentak.
“Eh, Din pun ada! Alhamdulillah kau orang sihat. Macam mana kelas? Okey ke?” balas Suhaibul Umar.
“Okey je, abang,” balas Qistur Ruwaidah.
Perbualan itu berterusan selama hampir dua jam manakala bagi Mohamad Salahuddin, setelah dia berbual bersama abang iparnya itu, dia meninggalkan Qistur Ruwaidah berbual-bual dengan Suhaibul Umar.
Kali ini, entah mengapa kalbu Mohamad Salahuddin mula terbit rasa cemburu dan tidak selesa terhadap keakraban Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar itu. Walhal, dia tidak sepatutnya rasa sedemikian. Dia sedar bahawa dia baru sahaja lima bulan memasuki dalam keluarga itu.
Akan tetapi, gelak tawa Qistur Ruwaidah yang memenuhi ruangan bilik belajar itu semakin membuatkan rasa cemburu Mohamad Salahuddin kian bergelora hebat. Baginya, terlalu mesralah pula isterinya berborak dengan abang iparnya itu! Ibarat pasangan kekasih pula! Lalu, dia mengambil keputusan untuk berbaring di atas katil sementara menunggu isterinya selesai berbual-bual dengan abang iparnya itu.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah dengan penuh manja seraya mendakap suaminya dari belakang yang sedang berbaring itu.
“Emm…” balas Mohamad Salahuddin acuh tak acuh. Ingin sahaja dia meleraikan pelukan itu.
“Tadi, Abang Suhaib kan…” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh ceria bagi menceritakan perbualan di antara dirinya dan abangnya kepada suaminya.
Belum sempat Qistur Ruwaidah hendak menyambung bicaranya, Mohamad Salahuddin menoleh ke belakang seraya mencantas perbualan itu. Betapa dia begitu benci mendengar nama itu hingga mendidih kepalanya! “Abang Suhaib lagi! Tak habis-habis Abang Suhaib! Bosanlah aku macam ni!” bentaknya.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah tatkala menerima herdikan daripada suaminya itu. Juga, suaminya telah mengubah gelaran ‘habibi’ kepada ‘aku’. “Habibi… Kenapa tiba-tiba marah ni?” soalnya dengan suara perlahan.
Buat kali pertama, Mohamad Salahuddin menampar pipi isterinya secara tiba-tiba. Qistur Ruwaidah tersentak. Betapa dia amat terkejut menerima tamparan yang cukup pedih itu. “Habibi! Kenapa tiba-tiba tampar sayang ni! Apa salah sayang!” giliran Qistur Ruwaidah pula membentak suaminya sambil bercucuran air matanya.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin menempeleng muka isterinya. “Kau ni membosankan akulah, perempuan! Apa yang hebat sangat Abang Suhaib tu sampai kau tak hormatkan aku sebagai suami kau! Telefon nak dekat tiga jam macam kekasih. Kau bercinta dengan abang sendiri ke, ha! Menjijikkan!”
“A… Apa habibi cakap ni! Selama lima bulan kita kahwin, habibi sendiri tak pernah lupa ingatkan sayang supaya telefon Abang Suhaib! Cakap lama-lama pun tak apa. Sekarang, kenapa pula habibi macam ni!” luah Qistur Ruwaidah dalam tangisan.
“Sebab makin lama aku makin cemburu! Aku tak boleh tengok kau bermesra dengan jantan tu! Kau ni milik aku seorang je. Bukan lagi milik jantan tu! Kau dah kahwin dengan aku, bermakna kau milik aku! Kau kena taat dengan aku! Faham!” bentak Mohamad Salahuddin seraya bangun dari katil. Lalu, dia mencengkam lengan isterinya.
“Habibi! Apa ni! Sakitlah!” Qistur Ruwaidah mengadu kesakitan seraya berusaha melepaskan cengkaman suaminya itu. Dia merasakan kesakitannya kian berganda!
Mohamad Salahuddin mencampak tubuh isterinya di dinding tanpa mempedulikan lagi isterinya itu. Kini, dirinya benar-benar dibaluti amarah yang cukup dahsyat!
“Argh!” Qistur Ruwaidah meraung kesakitan seraya memegang lengannya yang dirasakan sudah lebam akibat kesan cengkaman yang diberikan oleh suaminya itu cukup kuat.
Kelihatan Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya dengan wajah bengis. Lalu, dia mencangkung sambil memandang wajah Qistur Ruwaidah yang sudah mula ketakutan. Dia merentap rambut isterinya.
“Habibi! S… Sakit! Jangan buat sayang macam ni!” raung Qistur Ruwaidah dengan penuh menderita. Tiba-tiba dia teringat kembali perbuatan yang sama Mak Long Rauzah pernah lakukan terhadap dirinya itu.
“Sekali lagi… Kalau aku dapat tahu kau telefon jantan Suhaib tu, nahas aku kerjakan kau! Faham!” bentak Mohamad Salahuddin seraya melepaskan rentapan rambut isterinya.
“F… Faham,” balas Qistur Ruwaidah dengan perlahan. Namun, air matanya setia menemani dirinya.
Kelihatan Mohamad Salahuddin meninggalkan Qistur Ruwaidah tanpa mempedulikan luka yang menumbuhi semula dalam jiwa isterinya itu.
Qistur Ruwaidah mengesatkan air matanya seraya membangunkan dirinya perlahan-lahan. Tiba-tiba dia terdengar sesuatu yang pecah dari bilik belajar. Dia segera menuju ke bilik tersebut.
Alangkah terkejutnya dia apabila dia menyaksikan beberapa bingkai gambar di antara dirinya dan Suhaibul Umar dihempas oleh Mohamad Salahuddin di atas lantai.
“Habibi!” jerit Qistur Ruwaidah seraya menuju ke arah beberapa bingkai gambar yang telah dipecahkan oleh suaminya itu. Gambar-gambar di antara dirinya dan Suhaibul Umar segera diselamatkan dan digenggam erat.
“Heh! Jantan tak guna tu juga yang kau pilih ya! Dasar betina!” bentak Mohamad Salahuddin.
“Habibi… Kenapa habibi tiba-tiba macam ni?” luah Qistur Ruwaidah bersama tangisan lagi.
Mohamad Salahuddin mengambil serpihan kaca yang pecah, lalu dia menghampiri Qistur Ruwaidah seraya mencekik leher isterinya. Serpihan kaca itu diacukan ke leher isterinya.
Pada saat itu, Qistur Ruwaidah mula berasa sesak nafas. Gambar-gambar tersebut terlepas daripada tangannya. Dia cuba melepaskan cekikan suaminya. “Ha…bi…bi…” ungkapnya bersama lafaz tersekat-sekat. Kerongkongnya mula dirasakan sempit.
“Kau nak hidup lagi, kan?” soal Mohamad Salahuddin seraya mendekatkan lagi serpihan kaca ke leher isterinya.
Nafas Qistur Ruwaidah tersekat-sekat. Dirinya sudah menjadi terlalu takut dengan serpihan kaca itu. “N…ak. Le…pas…kan sa…yang.”
“Boleh tapi dengan syarat… Aku nak kau putuskan hubungan kau dengan Abang Suhaib. Aku tak nak dengar lagi apa-apa pasal dia ada kat rumah ni. Aku rasa mual. Kalau kau masih cintakan aku, aku harap kau faham maksud aku.”
Qistur Ruwaidah segera mengangguk laju. Dia sudah tidak mampu bersuara apa-apa.
Akhirnya, Mohamad Salahuddin meleraikan cekikan tersebut. Kelihatan Qistur Ruwaidah terbatuk-batuk sambil memegang lehernya.
Gambar-gambar di atas lantai itu segera diambil oleh Mohamad Salahuddin. Lalu, dia mengoyakkan di hadapan Qistur Ruwaidah sehingga ke cebisan yang paling kecil.
Kali ini, Qistur Ruwaidah tidak bersuara apa-apa. Dia pasrah apabila gambar-gambar itu sudah berkecai di hadapan matanya. Demi Allah, dia benar-benar tergamam dengan apa yang telah dilalui oleh dirinya pada hari ini.
Setelah itu, Mohamad Salahuddin meninggalkan Qistur Ruwaidah yang kian runtun hati.
Perlahan-lahan Qistur Ruwaidah mengumpulkan cebisan-cebisan kertas gambar itu seraya mendakap erat ke dadanya. ‘Abang Suhaib… Adik rindu abang. Adik rindulah main kumpul daun dengan abang masa kecil-kecil dulu,’ bisik hatinya.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah terbatuk-batuk akibat kesan cekikan tadi. Sekuat kudratnya, dia membangunkan dirinya bagi menyimpan cebisan-cebisan gambar itu di dalam laci belajarnya.
Akhirnya, dia berjaya menuju ke arah meja belajarnya. Cebisan-cebisan gambar itu dimasukkan ke dalam laci kecil. ‘Abang duduk dalam laci elok-elok tahu. Jangan lari pula. Nanti, adik baiki gambar kita kat kedai gambar,’ bisik hati Qistur Ruwaidah seraya tersengih kecil dalam hiba.
Laci kecil itu ditutup dengan cermat.
“Eh, aku nak siapkan bahan untuk sarapan esok pagi sebelum pergi ke UIA! Ya Allah… Terlupa pula!” bicara Qistur Ruwaidah sendirian seraya menggelengkan kepalanya.
Namun begitu, peristiwa tadi… Benar-benar mengingatkan dirinya terhadap kekejaman Mak Long Rauzah. Dirinya mula menjadi sesak nafas. Dia segera menuju ke bilik tidur bagi mencapai ubat jenis drug anksiolitik di dalam laci meja lampu bersebelahan katilnya. Gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) sedang mengawal dirinya secara perlahan-lahan.
Tangannya terketar-ketar tatkala hendak mengeluarkan beberapa biji ubat untuk diletakkan di atas telapak tangannya, namun dia berusaha juga bagi melawan gangguan itu.
Akhirnya, ubat tersebut telah selamat ditelan oleh Qistur Ruwaidah. Kepalanya mula terasa berat akibat kesan sampingan ubat itu. Cepat-cepat dia merebahkan diri di atas katil bertemankan bantal peluk sebagai penguat semangat.
Pandangan Qistur Ruwaidah kian kabur, namun dia sempat melihat bayangan Puan Mahfuzah dan Encik Isyraf Imrani sedang tersenyum ke arahnya. Secara tidak langsung, dia juga membalas senyuman kedua-dua orang ibu bapanya itu sebelum matanya terpejam dengan sendiri.
“Ma… ma, ba…ba… Qist rindu,” ujarnya perlahan.
Akhirnya, dengkuran halus menemani Qistur Ruwaidah tanpa pelukan hangat Mohamad Salahuddin yang selama ini setia mendakap dirinya pada setiap malam. Itulah kali pertama dia mula terasa sedemikian setelah lima bulan dia melayari bahtera bersama suaminya.
“SELAMAT pagi, habibi. Sayang ada buat nasi goreng sardin kegemaran habibi ni. Mesti habibi suka. Sayang siap goreng ikan kembung tahu. Panas-panas lagi,” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh ceria sambil menatang nasi goreng sardin di atas meja. Wajahnya tetap dimaniskan bagi menyambut cinta hatinya itu yang telah bersusah payah mencari rezeki buat dirinya.
Apa yang telah terjadi pada hari semalam, Qistur Ruwaidah tidak mahu ingat semula atau memanjangkan cerita. Dirinya mahu meminta maaf kepada suaminya. Setelah bermuhasabah diri ketika dia menunaikan ibadah qiamullail pada jam 3.00 pagi tadi, dia menyedari kekhilafannya sebagai seorang isteri. Dia tidak patut terlalu mesra dan rapat dengan abangnya seperti dahulu. Seharusnya, dia perlu menjaga hati suaminya.
Mohamad Salahuddin melabuhkan punggungnya di atas kerusi makan. Bau nasi goreng sardin dan ikan goreng itu benar-benar membuka seleranya. Tanpa sepatah bicara, dia menyenduk nasi goreng sardin itu dan dimasukkan sekali seekor ikan kembung goreng ke dalam pinggannya.
“Sedap tak, habibi?” soal Qistur Ruwaidah tatkala Mohamad Salahuddin mula menjamah sarapan pagi itu.
Mohamad Salahuddin tidak menjawab pertanyaan isterinya. Dia meneruskan hidangan nasi goreng sardin itu. Peristiwa semalam benar-benar membuatkan dirinya cukup marah dan dia tidak mahu berbual-bual dengan isterinya buat sementara waktu.
Wajah Qistur Ruwaidah mula berubah sedih. Suaminya masih memarahinya. Namun, cepat-cepat dia menguntum senyuman sambil menyenduk nasi goreng sardin itu. Seekor ikan kembung goreng diambil dan dimasukkan ke dalam pinggannya. Lalu, dia menjamah sarapan pagi itu.
Sepi… Itulah yang dirasai oleh Qistur Ruwaidah buat kali pertama tanpa menerima perbualan mesra atau kata-kata manis daripada suaminya.
Usai pasangan itu menjamu selera, tiba-tiba Mohamad Salahuddin mencengkam lengan isterinya dengan kuat.
“Aduh, habibi! S…Sakit! Jangan buat sayang macam ni!” Qistur Ruwaidah meronta kesakitan. Air matanya mula mengalir.
Mohamad Salahuddin segera membawa isterinya ke bilik tidur. Lalu, dia menghempas tubuh isterinya di atas katil. Pintu bilik ditutup. Seutas tali pinggang dicapai dari penyangkut pintu dan dia menuju ke arah isterinya dengan wajah penuh bengis.
“Habibi… Ja… Jangan… Ta… Tali pinggang tu… Habibi tahu sayang trauma, kan,” rayu Qistur Ruwaidah teresak-esak dengan nada penuh ketakutan.
Kelihatan Mohamad Salahuddin memegang wajah isterinya dengan kasar. “Aku masih marah dengan apa yang jadi semalam. Kau ingat marah aku dah reda ke! Bila aku tengok muka kau, aku makin benci!” bentaknya seraya melepaskan wajah isterinya sehingga Qistur Ruwaidah terbaring.
Air mata Qistur Ruwaidah mengalir deras tatkala diperlakukan sedemikian. “Habibi… Sayang minta ampun apa yang dah jadi semalam. Sayang tahu sayang salah! Sayang janji sayang takkan hubungi Abang Suhaib lagi kecuali habibi izinkan sayang!” ujarnya tersedu-sedan.
“Takkan hubungi Abang Suhaib lagi? Macam ni?” soal Mohamad Salahuddin seraya merampas telefon pintar Qistur Ruwaidah yang terletak di atas laci lampu. Telefon pintar itu telah dihadiahi oleh dirinya sendiri bagi hantaran akad nikah buat isterinya dahulu. Lalu, dia membaling telefon pintar isterinya ke dinding sehingga berkecai telefon pintar tersebut.
Kemudian, Mohamad Salahuddin menghempas pula bingkai gambar majlis kesyukuran mereka berdua. Tindakannya seperti sudah dirasuk!
Qistur Ruwaidah tergamam! Dia bagaikan tidak mengenali suaminya lagi. Alangkah kalbunya semakin berkecai seperti berkecainya telefon pintarnya dan bingkai gambar majlis kesyukuran itu! “S… Sampai hati habibi! Suami sayang bukan macam ni! Ni bukan Mohamad Salahuddin yang sayang kenal!”
Kedengaran Mohamad Salahuddin ketawa dengan penuh kejam seraya merentap tudung isterinya. “HAHAHA! Laa… Baru kau kenal perangai sebenar aku, Qist. Tak sangka kau masuk juga dalam perangkap aku. Kau ingat aku ni baik ya? Kesian betul kau tertipu dengan perangai aku selama ni.”
Wajah Qistur Ruwaidah semakin ketakutan. “T… Tak! Sayang tahu habibi baik! Habibi bukan macam ni! Habibi bukan macam ni!”
Mohamad Salahuddin mencebikkan wajahnya. “Heh! Aku baik? HAHAHA! Qistur Ruwaidah… Qistur Ruwaidah… Aku akan pastikan hidup kau menderita sepanjang kau jadi isteri aku,” ujarnya dengan nada sinis seraya menghampiri isterinya. Kemejanya mula ditanggalkan.
“Habibi… J… Jangaaannn!” jerit Qistur Ruwaidah dengan penuh ketakutan seraya dia berusaha untuk melarikan diri daripada suaminya. Namun, kudratnya lemah dan pergerakan suaminya lebih pantas mendapatkannya dengan merentap bahagian belakang tudung isterinya sekali lagi hingga rambutnya semakin kelihatan dan kusut-masai.
“Kau nak pergi mana, ha!” jerkah Mohamad Salahuddin seraya menarik tubuh isterinya.
Sekali lagi, kepala Qistur Ruwaidah semakin pening tatkala tubuhnya dihempas oleh suaminya di atas tilam. Pada saat itu, tubuhnya kaku. Dia mula menjadi pasrah.
‘Ya Allah… Aku berlindung kepada-Mu,’ bisik hati Qistur Ruwaidah bersama linangan air mata.
Tubuhnya mula diratah semahunya oleh suaminya bersama nafsu serakah tanpa kerelaan dan keizinannya sebagai seorang isteri. Sungguh apa yang dilalui oleh dirinya ketika ini, tiada sentuhan penuh ketenangan.
Tidak cukup dengan seksanya penderaan batin seorang Qistur Ruwaidah, dia menerima pula penderaan fizikal daripada suaminya dengan menggunakan tali pinggang.
“Argh! Habibi! Cukup! Sayang sakit! Ampunkan sayang!” raung Qistur Ruwaidah dengan penuh hiba. Pukulan tali pinggang yang dirasai oleh dirinya itu benar-benar membuatkan dirinya terseksa.
Mohamad Salahuddin berterusan memukul Qistur Ruwaidah tanpa belas kasihan sehingga isterinya terkulai layu dan tiada suara kedengaran. Setelah dia berpuas hati, dia menyarung pakaiannya kembali.
“Aku pergi UIA dulu. Jaga rumah elok-elok. Kau rehatlah hari ni. Tak payah pergi kelas,” kata Mohamad Salahuddin seraya mengucup dahi isterinya.
Pandangan Qistur Ruwaidah mulai kabur. Kesakitan tubuhnya sukar digambarkan melalui kata-kata. Penderaan batin dan fizikal benar-benar membunuh jiwanya sebagai seorang isteri. Sudah hilang rasa manisnya rumah tangga yang dibina.
‘Sampai hati habibi…’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Suami yang diharapkan bagi menjadi pelindung buat Qistur Ruwaidah, musnah sekelip mata! Mohamad Salahuddin telah menghancurkan kebahagiaan sang isteri itu! Juga, lelaki itu telah menghancurkan amanah yang telah diberikan oleh Suhaibul Umar bagi menjaga Qistur Ruwaidah dengan sebaiknya!
SEJAK dari peristiwa itu, Qistur Ruwaidah berubah menjadi pendiam dan wajahnya tidak seceria dahulu. Dia juga banyak mengelamun dan tidak mampu fokus dengan kuliah-kuliahnya pada semester tersebut.
Kepenatan dan kesakitan tubuh Qistur Ruwaidah tidak hilang dan bersilih ganti sehinggakan banyak kali gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) menyerang dirinya seperti zaman kanak-kanaknya dahulu setiap kali Mohamad Salahuddin mencederakan tubuhnya.
Bagi Mohamad Salahuddin pula, setiap kali dia melihat isterinya, jiwanya meronta kebencian yang cukup mendalam hari demi hari. Pelbagai kata-kata berbentuk maki hamun, cercaan serta nista sudah dilemparkan buat isterinya itu dan sudah menjadi kebiasaan sehingga Qistur Ruwaidah takut untuk bersuara apa-apa dan kian membisu.
Sehinggalah pada suatu hari…
“Hoi Qist!” panggil Mohamad Salahuddin dengan kasar di ruang dapur itu.
Terkocoh-kocoh Qistur Ruwaidah yang sedang berbaring kepenatan itu, terus meluru ke dapur tatkala mendengar panggilan suaminya. “Ya habibi?” balasnya dengan santun.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menampar pipi isterinya. “Mana makan malam aku! Dahlah aku lapar! Takkan kau tak faham lagi jadual aku setiap malam, aku kena mengajar pula kat rumah orang lepas habis kelas kat UIA sebab nak sara kau yang pemalas ni! Patutnya, makanan dah kena hidang atas meja waktu macam ni!” bentaknya seraya menunjal kepala Qistur Ruwaidah berkali-kali.
Anak mata Qistur Ruwaidah hanya memandang ke lantai. Dia takut untuk memandang wajah suaminya. “Sa… Sayang minta maaf, habibi. Sayang memang nak masak tapi sayang tak larat nak masak hari ni,” balasnya perlahan.
“Apa kau cakap! Tak larat? Maknanya, kau tak masak ke, perempuan!” marah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah hanya diam seribu bahasa. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Dia tahu dia bakal dipukul lagi oleh suaminya dengan menggunakan tali pinggang jika dia tidak masak atau dia terlambat menghidangkan makanan. Sepak terajang juga sudah menjadi hidangan hariannya selain tali pinggang. Tubuhnya sudah lali.
Almarhumah Mak Long Rauzah juga pernah melakukan perbuatan yang sama seperti Mohamad Salahuddin jika Qistur Ruwaidah terlambat menyiapkan kerja rumah yang disuruh atau dia tidak sengaja merosakkan barang-barang milik ibu saudaranya itu.
“Jawablah betina!” bentak Mohamad Salahuddin. Sekali lagi, dia menampar pipi Qistur Ruwaidah sehingga tamparan yang berikan oleh dirinya membuatkan isterinya rebah di atas lantai. Kemudian, dia menyeret tubuh isterinya ke bilik tidur dan dia membiarkan Qistur Ruwaidah terbaring di atas lantai.
“Kau tak nak jawab, kan? Ni ubatnya supaya kau bercakap!” kata Mohamad Salahuddin seraya meletakkan tapak kakinya di atas dada Qistur Ruwaidah dan dia memijak dengan sekuat hatinya.
Dada Qistur Ruwaidah berasa amat sakit. “S…SAKIT!” luahnya.
“Ha, ada pun suara! Ingatkan dah bisu,” perli Mohamad Salahuddin seraya mengubah tapak kakinya ke arah perut Qistur Ruwaidah pula dan dia memijak sekuat hatinya.
“ARGH! HABIBI! TOLONG!” rintih Qistur Ruwaidah dengan penuh menderita. Isi dalam perutnya bagaikan hendak terburai. Dia memegang kaki Mohamad Salahuddin dengan erat dan dia merayu berkali-kali agar dilepaskan.
Mohamad Salahuddin tertawa dan terus tertawa menyaksikan penderitaan isterinya itu. “Ha, tak masak lagi, kan? Ni hadiahnya. Sedap tak?” ujarnya seraya mengiringkan tubuh Qistur Ruwaidah. Dia menghadiahkan pula sepakan di perut dan rahim isterinya seperti bola.
Qistur Ruwaidah terbatuk-batuk. Dia cuba melindungi rahimnya daripada terus disakiti oleh suaminya. Dia risau andai ada zuriat yang telah menghuni rahimnya itu. ‘Allah… Allah… Allah,’ bisik hatinya akan kalimah agung itu.
Akhirnya, dia tidak mampu melindungi lagi rahimnya itu akibat tendangan suaminya yang teramat sakit. Dia pasrah.
“Sayang terima habibi buat macam ni kat sayang. Sayang tetap cintakan habibi. Sayang terlalu sayangkan perkahwinan kita,” kata Qistur Ruwaidah sambil menahan kesakitan yang amat mendalam. Dia mengetap bibir. Hanya pada Allah, dia menyandarkan segala harapan.
Kata-kata Qistur Ruwaidah itu membuatkan Mohamad Salahuddin menghentikan perbuatannya itu. Dia duduk mencangkung sambil membelai-belai rambut isterinya. “Laa… Kau cintakan aku? Aku pun cintakan kau tapi setiap kali aku ingat balik kau bermesra dengan jantan Suhaib tu, kebencian aku menerpa tanpa henti. Gelora kebencian aku kat kau makin meluap-luap! Faham tak!”
Mohamad Salahuddin terus meninggalkan Qistur Ruwaidah yang terkulai layu itu. Lalu, dia meninggalkan rumah yang asalnya ibarat syurga, kini menjadi neraka. Dia tidak betah lagi untuk isterinya itu.
‘Ya Allah… Walaupun suami aku telah banyak kali menyakitiku, Kau ampunilah suamiku, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus,’ doa Qistur Ruwaidah bersama linangan air mata meskipun tubuhnya sudah teruk dikerjakan oleh sang suami itu.
Akan tetapi, Qistur Ruwaidah masih cuba bertahan untuk rumah tangganya demi Mohamad Salahuddin yang amat dicintainya itu. Perkahwinan mereka berdua baru sahaja menginjak lima bulan lebih. Belum lagi pun memasuki bulan keenam. Baru sahaja mereka berdua rasa romantisnya cinta yang kian mendalam setelah pulang dari berbulan madu tempoh hari dengan harapan agar ada zuriat mula membenih dalam rahimnya, hasil ikatan cinta mereka berdua yang begitu utuh.
Qistur Ruwaidah juga cukup mengenali Mohamad Salahuddin sebagai seorang suami dan lelaki yang bukan seorang panas baran dan tidak pernah sekali pun naik tangan. Apatah lagi, menyakiti tubuhnya. Walaupun dia pernah tertinggi suara terhadap Mohamad Salahuddin tetapi suaminya tidak pernah memarahi dirinya walau sekali pun. Dia cukup mengenali kesabaran suaminya itu.
Biasanya, Mohamad Salahuddin akan memberikan masa kepada Qistur Ruwaidah agar isterinya bertenang terlebih dahulu. Kemudian, barulah sang suami itu akan memujuk isterinya.
Akan tetapi, apa yang dirasai oleh Qistur Ruwaidah kali ini sangat lain setelah sebulan lebih bergolaknya rumah tangga dia dengan Mohamad Salahuddin, hanya kerana dia terlalu rapat dan mesra dengan abangnya, Suhaibul Umar.
Semenjak telefon pintar Qistur Ruwaidah dirosakkan oleh Mohamad Salahuddin, mujur dia masih memiliki iPad yang dihadiahi oleh suaminya untuk hantaran akad nikahnya dahulu. Namun, dia menyorok iPad itu agar suaminya tidak perasan dan itulah satu-satunya wadah bagi dia berhubung dengan abangnya. Juga, mendapatkan apa-apa maklumat tentang kuliah-kuliah dan tugasan berkumpulan menerusi aplikasi WhatsApp.
Suhaibul Umar mahupun Tihaani tidak mengetahui apa yang dialami oleh Qistur Ruwaidah.
Buat Suhaibul Umar, Qistur Ruwaidah tidak mahu abangnya susah hati dengan apa yang menimpa dirinya. Sebolehnya, dia cuba menyelesaikan pergolakan ini walaupun dia masih tidak nampak jalannya.
Buat Tihaani pula, meskipun Qistur Ruwaidah bersahabat baik dengan gadis itu tetapi dia tidak akan sesekali membuka aib perkahwinannya.
Selagi Qistur Ruwaidah masih boleh bertahan, dia akan terus bertahan demi Mohamad Salahuddin. Jujur, dia tidak terlintas untuk meminta cerai daripada suaminya kerana dia yakin, Mohamad Salahuddin bukan seorang kaki pukul! Dia lelaki penuh sabar dan tulus mencintai dirinya tanpa syarat!
Nota tuan penulis: Alangkah bodohnya tindakan Qistur Ruwaidah ni! Kalau dah suami kau pukul kau sampai tahap dera, kau nak mempertahankan apa lagi? Nak tunggu kau jadi mayat dulu ke macam masa kau kanak-kanak dulu? Geram betul! Ni bukan suami penuh cinta tapi ni dah tahap suami penuh dayus!
MOHAMAD SALAHUDDIN sedang sibuk menyiapkan tugasannya. Tiba-tiba kelihatan isterinya sedang menatang jus oren kegemarannya di atas meja belajarnya.
“Minum, habibi,” kata Qistur Ruwaidah bersama kuntuman senyuman. Dia cuba memikat hati suaminya semula. Sudah lama dia rasa hubungannya dengan suaminya cukup hambar sejak awal bulan Februari lepas sehinggalah akhir bulan Mac ini.
“Kenapa kau tiba-tiba bagi jus oren ni? Kau ada letak racun ke?” soal Mohamad Salahuddin dengan sinis.
Cepat-cepat Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Demi Allah! Dia tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian.
“Minum dulu,” arah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah segera menghirup sedikit jus oren itu bagi menyakinkan suaminya. Kemudian, dia meletakkan cawan itu semula di atas meja.
“Okey, kau boleh berambus. Bosan tengok muka kau kat sini. Kau ada kat dalam rumah ni buat mata aku makin semak je,” kata Mohamad Salahuddin.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah bersama kekuatan yang cukup mendalam.
“Kau nak apa lagi! Aku suruh kau berambus, kan? Tak faham bahasa lagi ke!” herdik Mohamad Salahuddin.
Air mata Qistur Ruwaidah mula menitis. “Sayang tak tahu kenapa habibi tiba-tiba berubah sampai macam ni sekali. Kalau sayang ada buat salah, beritahulah. Takkan habibi masih marah pasal sayang dengan Abang Suhaib dulu? Sayang dah tak berhubung dengan Abang Suhaib,” luahnya. Dia terpaksa menipu perihal Suhaibul Umar itu demi menjaga hubungannya dengan suaminya.
“Kau ni, sikit-sikit menangis! Bosanlah!” bentak Mohamad Salahuddin seraya menyimbah jus oren itu ke tubuh Qistur Ruwaidah.
Semakin deraslah tangisan Qistur Ruwaidah itu. Lalu, dia memegang tangan suaminya. “Habibi! Sayang cintakan habibi! Jomlah kita pergi jumpa pakar rawatan Islam! Perkahwinan kita dah terlalu dingin! Habibi berubah sangat ni! Sayang dah macam tak kenal habibi! Sayang terlalu rindu dengan kelembutan habibi. Ke habibi dah ada perempuan lain?” luahnya.
“Apa benda kau merepek ni, perempuan!” kata Mohamad Salahuddin seraya menampar pipi isterinya.
Sudahlah Qistur Ruwaidah disimbah dengan jus oren, pipinya pula ditampar. Semakin sakit dan sakit dirasakan.
“Kau dengar sini, Qistur Ruwaidah! Kau sebut lagi pasal rawatan Islam dan tuduh aku ada perempuan lain, kau siap ya! Hei! Dahlah! Aku nak basuh tangan! Habis melekit sebab kau! Bersihkan lantai tu sekali. Nanti bersemut pula. Tengok muka kau, buat aku makin sakit jiwa!”
Qistur Ruwaidah terduduk lemah. Air matanya mengalir tanpa henti. Betapa Mohamad Salahuddin amat membenci dirinya. Sungguh dia tidak mengerti akan perubahan drastik suaminya selama sebulan lebih ini. Dia memeluk tubuhnya.
‘Habibi… Sayang rindu renungan dan sentuhan habibi. Sayang rindu kehangatan cinta dan kasih sayang habibi. Kita dah janji nak sehidup semati tapi… Kenapa habibi tiba-tiba berubah? Kenapa sayang seolah-olah macam tak kenal habibi lagi? Habibi… Kembalilah! Sayang rindu Mohamad Salahuddin yang dulu. Sayang sakit rindukan habibi hari demi hari!’ bicara hati Qistur Ruwaidah. Sungguh, sukmanya sudah terlalu menderita!
Sejak dari itu, Qistur Ruwaidah tidak menyebut lagi tentang rawatan Islam dan wujudnya orang ketiga di hadapan Mohamad Salahuddin. Kali ini, dia berazam untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri dengan lebih baik dan tidak mengeluh dengan apa yang telah menimpanya, meskipun dia sering disakiti oleh suaminya.
Mohamad Salahuddin pula? Dia terus menyeksa jiwa, fizikal serta batin Qistur Ruwaidah tanpa henti tanpa memberikan penjelasan lanjut di atas tindakannya yang telah menyeksa kehidupan isterinya secara bertubi-tubi.
Dia bagaikan sudah terlupa akan amanat yang telah diberikan oleh Suhaibul Umar agar menjaga adiknya dengan baik serta tidak menyakiti adiknya langsung. Rentetan peristiwa isterinya berhubung dengan abang iparnya yang membuatkan sukmanya terperangkap cemburu yang maha dahsyat, dia tidak lagi menghubungi Suhaibul Umar. Apatah lagi, mengambil berat tentang abang iparnya itu. Dia lebih mengharapkan agar abang iparnya mati supaya dia tidak perlu sakit kepala lagi dengan wali Qistur Ruwaidah itu. Baginya, Suhaibul Umar benar-benar menyusahkan dirinya!
Lalu, di manakah janji Mohamad Salahuddin yang akan menjaga dua beradik itu dengan sepenuh hati dan kudratnya? Wayangkah tindakan dia selama ini?
“QIST, kau tak sihat ke?” soal Tihaani tatkala dia ternampak Qistur Ruwaidah sedang memakai pelitup muka setelah mereka berdua tiba di kelas sekitar Bangunan Sains Kemanusiaan bagi subjek Introduction to Psychology.
“Haah… Aku tak sihat sikit,” kata Qistur Ruwaidah seraya terbatuk-batuk. Sebenarnya, dia hanya berlakon bagi melindungi wajahnya penuh lebam akibat kesan tumbukan dan tamparan yang diberikan oleh Mohamad Salahuddin sebelum mereka berdua bergerak ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tadi gara-gara Qistur Ruwaidah terlambat menyediakan sarapan pagi kerana dia terlajak tidur.
“Laa… Kenapa kau datang kelas juga ni? Ambillah MC (medical certificate),” ujar Tihaani dengan penuh kerisauan.
“Tak apa, Tihaani. Aku boleh tahan lagi ni,” balas Qistur Ruwaidah.
“Qist… Aku nak cakap sesuatu dengan kau… Emm.. Aku nampak kau tak ceria beberapa minggu ni. Cuma, aku tak nak tanya. Aku nampak kau selalu mengelamun. Tak fokus. Kau ada masalah dengan Din ke?”
Qistur Ruwaidah tersentak. Mujur dia memakai pelitup muka. Kalau tidak, sah-sah Tihaani nampak perubahan wajahnya. “Tak adalah. Aku okey je. Cuma, aku letih sikit beberapa minggu ni sebab sibuk dengan subjek-subjek lain tapi kau jangan risau kat aku, Tihaani. Insya-Allah. Aku okey je.”
“Betul ni kau tak ada masalah dengan Din? Kalau ada, beritahu aku siap-siap. Tangan aku ni ringan je nak belasah dia kalau dia ada apa-apakan kau.”
Qistur Ruwaidah tertawa hambar. Dia tidak akan sesekali membuka cerita tentang rumah tangganya yang sedang bergolak itu. Jika Tihaani tahu bahawa dia sudah pun dicederakan oleh Mohamad Salahuddin, alamat tulang suaminya akan patah riuk kerana Tihaani mempelajari ilmu silat sejak zaman sekolah rendah serta sekolah menengah dan dimantapkan dengan memilih subjek skil ku-kurikulum UIAM, iaitu Silat Cekak (Niche Area). “Isy, kau ni! Tak adalah. Alhamdulillah. Kita orang okey je,” bohongnya.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah menarik nafas lega setelah tibanya pensyarah di kelas. Dia tidak perlu melayan soalan-soalan Tihaani lagi. Bimbang Tihaani akan cuba mengorek lagi masalahnya sehingga ke lubang cacing. Bukan dia tidak menghargai kewujudan Tihaani setelah sahabat baiknya itu mengetahui kesengsaraannya sebagai bekas mangsa penderaan kanak-kanak dahulu tetapi dia tidak mahu menyulitkan lagi masalah yang melanda di antara dirinya dan Mohamad Salahuddin.
Dia sudah berjanji kepada dirinya. Apa-apa masalah di antara dia dan suaminya, dia tidak akan sesekali bercerita kepada orang lain. Apatah lagi, abangnya dan Tihaani.
MOHAMAD SALAHUDDIN mendengus kasar tatkala kemenangan tidak berpihak kepada kumpulannya bagi mahkamah olok-olok (moot court) setelah hujah didengari dan diadili oleh pensyarah undang-undangnya itu. Tambahan pula, waktu petang ini pula membuatkan dirinya semakin lelah dan letih setelah melalui lima subjek.
‘Sial betullah bini aku! Tak pasal-pasal kumpulan aku kalah hari ni!’ Mohamad Salahuddin membentak kecewa di dalam hati. Marahnya terhadap Qistur Ruwaidah berkenaan peristiwa pagi tadi masih tidak surut. Mujur dia berpuas hati dengan menumbuk dan menampar wajah isterinya itu.
“Din… Marah semacam bila kita kalah moot court. Kau gaduh dengan bini kau ke? Alaa… Relakslah. Bukannya kita tak pernah kalah sebelum ni,” kata salah seorang ahli kumpulan Mohamad Salahuddin, iaitu Huzaifah.
Mohamad Salahuddin malas untuk melayan kata-kata Huzaifah itu. Sengaja betul kawannya itu mencurahkan minyak lagi di atas kepalanya. Kalau ikutkan hati dia, mahu sahaja dia menumbuk muka Huzaifah pula selepas isterinya.
Lalu, dia meninggalkan mesej WhatsApp kepada isterinya itu dengan perasaan marah yang meluap-luap terhadap isterinya itu.
WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Hoi betina! Pukul 5.00 tepat, kau dah kena ada kat tangga besar ya. Kalau kau lambat seminit, siap aku kerjakan kau kat rumah.
Tatkala Qistur Ruwaidah menerima mesej daripada suaminya yang cukup mengguriskan hatinya sebagai seorang isteri, dia menitiskan air matanya di sebalik pelitup muka yang dipakai olehnya. Ketika itu, dia sedang melepak bersama Tihaani di HS Dry Area.
“Tihaani, aku nak kena gerak sekarang. Suami aku dalam perjalanan dari AIKOL,” kata Qistur Ruwaidah seraya berpura-pura mencari sesuatu dalam beg galasnya dan dia bingkas bangun dari tempat duduknya. Dia tidak mahu Tihaani terperasan bahawa matanya berubah merah.
“Eh, kau laju-laju nak pergi mana ni! Bukannya Din kau nak ke mana pun,” kata Tihaani. Sejujurnya, dia terkejut dengan tindakan tidak keruan sahabat baiknya itu.
“Ah, aku tahu tapi kau faham-fahamlah… Suami aku rindu aku. Bukannya dia boleh kalau aku lambat. Kau pun tahu, kan? Maaf Tihaani! Aku kena gerak sekarang,” seloroh Qistur Ruwaidah dengan penipuan yang cukup mendalam itu. Namun, dia perlu meninggalkan Tihaani dengan segera kerana dia tidak mahu dibelasah lagi oleh suaminya jika dia terlewat. Sekarang, jam sudah menunjukkan 4.55 petang. Ah, habislah dia!
Sesampai Qistur Ruwaidah dari HS Dry Area ke Rectory Building atau lebih dikenali sebagai tangga besar di situ, kelihatan kereta Mohamad Salahuddin sudah tiba. Qistur Ruwaidah melirik ke arah jam tangannya. Sudah jam 5.03 petang. Sah, dia akan dibelasah oleh suaminya di rumah sekejap lagi.
Perlahan-lahan Qistur Ruwaidah membuka pintu kereta. Kelihatan wajah Mohamad Salahuddin masam mencuka dan wajahnya merah menahan marah. Namun, dia menunggu dulu sehingga Qistur Ruwaidah masuk ke dalam kereta dan menutup pintu kereta tersebut.
Qistur Ruwaidah hanya menundukkan wajahnya. Dia takut untuk bertentang mata dengan suaminya.
“Aku beritahu kau kat whatsapp tadi, pukul berapa aku akan sampai kat tangga besar?” soal Mohamad Salahuddin dengan serius.
“5… 5 petang,” jawab Qistur Ruwaidah dengan takut-takut.
“Sekarang pukul berapa?”
Mata Qistur Ruwaidah melirik seketika ke arah jam kereta itu. “Emm… 5… 5.06 petang.”
“Kau lambat enam minit. Kau buat apa? Aku dah beritahu kau, kalau kau lambat seminit, kau tahu apa akibatnya, kan?”
“T… Tahu.”
“Habis tu, kalau kau dah tahu, kenapa kau lambat juga!” bentak Mohamad Salahuddin seraya menunjal kepala isterinya.
“S… Sayang minta maaf,” ucap Qistur Ruwaidah dengan perlahan.
Mohamad Salahuddin menunjal lagi kepala Qistur Ruwaidah. “Disebabkan kau lambat bangun dan lembab siapkan sarapan pagi, marah aku kat kau tak habis lagi tahu! Dahlah aku kalah untuk moot court tadi! Aku takkan maafkan kau selagi aku tak kerjakan kau kat rumah. Tunggulah nasib kau! Nasib baik aku dan kau tengah ada kat UIA lagi ni. Kalau kita dah ada kat rumah sekarang, memang tak selamatlah kau!”
Qistur Ruwaidah memeluk erat beg galasnya itu. Dia sudah pasrah untuk disakiti lagi setelah wajahnya ditumbuk dan ditampar oleh suaminya pada pagi tadi. Demi Allah, dia benar-benar memerlukan abangnya di sisinya pada saat ini! Namun, dipendamkan semahunya agar dia terus kuat melawan ujian ini biarpun penyakit mentalnya kembali menguasai dirinya tanpa henti.
Sesampai pasangan itu di rumah, Qistur Ruwaidah terus ditempeleng oleh Mohamad Salahuddin dengan sekuat hati sehingga isterinya hampir terjatuh.
“Kau memang mencabar kesabaran aku, Qist! Tak boleh ke kalau satu hari kau tak cari pasal!” bentak Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah memegang pipinya bagi mengurangkan rasa sakit yang amat mendalam tanpa sepatah bicara. ‘Abang Suhaib…’ bisik hatinya.
“Pergi masuk bilik sekarang! Tahulah apa aku nak buat dengan kau.”
Perlahan-lahan Qistur Ruwaidah menuju ke kamar beradu bagi menantikan hukuman daripada suaminya.
‘Mama, baba… Qist okey je. Nanti… Qist ziarah kubur mama baba dengan kubur Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan tahu. Ada banyak cerita Qist nak kongsi tapi tulah… Sekarang, Qist sibuk lepas Qist dah kahwin dengan Din. Tak sempat nak jenguk kubur,’ bisik hatinya seraya memeluk beg galasnya dengan erat. Dia beranggapan beg itu merupakan pelukan kasih yang diberikan oleh Puan Mahfuzah dan Encik Isyraf Imrani serta mendapatkan secebis kekuatan.
Tiba-tiba beg Qistur Ruwaidah direntap kasar oleh Mohamad Salahuddin.
“Dah habis drama?” perli Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah membisukan dirinya.
“Kau peluk beg kau ni, bukannya mama baba kau hidup lagi! Dia orang dah mampus lama, kan? Sekali dengan tiga orang adik-beradik kau. Buat apa kau nak kenangkan orang yang dah tak ada? Kau ni bodoh betul! Aduhailah Qist oii! Bawa-bawa sedarlah lima orang ahli keluarga kau dah lama tak ada. Bukannya berangan dengan peluk beg ni,” ujar Mohamad Salahuddin dengan nada mengejek sambil menunjukkan beg galas yang dirampas olehnya itu. Kemudian, dia menghamburkan tawanya.
Tergamak Mohamad Salahuddin tidak memahami diri Qistur Ruwaidah yang sudah lama dahagakan kasih sayang yang bernama ibu dan ayah serta tiga orang adik-beradiknya yang telah pergi itu! Malah, suaminya mengejek pula dirinya! Alangkah dia makin terguris dengan suaminya! Suami apakah yang dia sedang berkahwin sekarang? Mana pergi sifat empati Mohamad Salahuddin selama ini! Mana pergi segala cinta lelaki itu!
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah teringat kata-kata nista yang pernah dituturkan oleh Mak Long Rauzah berkenaan ahli keluarganya yang telah pergi.
“Tak habis-habislah kau ni menangis, Qist! Eiii! Naik meluatlah aku! Macamlah mak bapak kau dengan tiga orang adik-beradik kau je dalam kubur. Laki aku pun dah ada dalam kubur disebabkan kau! Dasar budak pembawa bala!” keji Mak Long Rauzah tatkala dia terdengar tangisan Qistur Ruwaidah yang begitu merindui ahli keluarga yang telah tiada di hadapan Suhaibul Umar.
Tiba-tiba seluruh tubuh Qistur Ruwaidah menggigil. “M…Mak Long,” ucapnya perlahan.
“Kau merepek apa? Mak Long? Bukan Mak Long kau dah mati ke?” soal Mohamad Salahuddin dengan sinis.
BUK! Tiba-tiba Qistur Ruwaidah rebah di atas lantai.
Pada saat itu, Mohamad Salahuddin tergamam! Baru mindanya tersedar sesuatu. Itu wanita yang amat dicintainya! Cepat-cepat dia mendukung isterinya dan dibaringkan di atas katil. Lalu, dia menanggalkan tudung isterinya dan menyelimuti isterinya.
“Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin dengan panggilan yang amat dirindui oleh Qistur Ruwaidah seraya dia mengusap dahi isterinya. Dia dapat merasakan bahawa dahi isterinya sangat panas. Demam!
Tubuh Qistur Ruwaidah kaku. Tidak memberikan sebarang respons.
Mohamad Salahuddin mengamati wajah isterinya yang penuh lebam dan terdapat kesan tumbukan di bibir Qistur Ruwaidah. Sudah lama dia tidak menatap wajah bidadarinya secara mendalam. Kemudian, dia meninggalkan baju isterinya pula. Dia semakin tergamam dengan apa yang disaksikan oleh dirinya! Terdapat banyak kesan lebam!
“Ya Allah! Aku ke yang buat semua ni!” ujar Mohamad Salahuddin dengan nada terkejut!
Sungguh, apa yang terjadi sebenarnya? Dia tidak mengerti! Segera, dia menyediakan air suam untuk dilap pada tubuh isterinya, pelekat Koolfever dan minyak gamat bagi menyapu di bahagian tubuh isterinya yang penuh lebam itu. Hidangan bubur juga tidak dilupakan.
Kini, apa yang diharapkan oleh Mohamad Salahuddin agar isterinya sedar! Hanya isterinya sahaja dapat menerangkan apa yang terjadi.
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
Azan isyak mula berkumandang di kawasan Sungai Pusu itu. Qistur Ruwaidah membuka matanya. Namun, dia merasakan sesuatu yang aneh terhadap tubuhnya itu seraya dia mengalihkan selimut yang membaluti tubuhnya.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah apabila dia tidak berbaju dan badannya penuh dengan kain balutan.
“Sayang dah sedar?” soal Mohamad Salahuddin seraya menatang sedulang bubur dan sejag air suam.
Pada saat itu, Qistur Ruwaidah mula menjauhkan diri daripada suaminya. Sejujurnya, dia trauma dengan keadaannya yang tidak berbaju kini. Dia masih ingat lagi nafkah batin yang diberikan oleh suaminya begitu menyeksakan dan menyakitkan tubuhnya.
“S… Sayang,” panggil Mohamad Salahuddin dengan penuh kelembutan seraya dia cuba menghampiri isterinya.
“J… Jangan dekat!” jerit Qistur Ruwaidah seraya dia cuba mencapai sesuatu barang yang boleh menyelamatkan dirinya daripada dia terus diapa-apakan oleh suaminya itu.
Kali ini, Qistur Ruwaidah tidak boleh kalah dan lemah. Sebilah gunting berjaya dicapai di atas meja solek. Lalu, dia mengacukan ke arah Mohamad Salahuddin.
“Kalau habibi dekat dengan sayang, habibi mati! Tak pun sayang yang mati!” bentak Qistur Ruwaidah. Akalnya sudah tidak waras.
“Sayang! Bawa mengucap! Ni habibi! Suami sayang!” pujuk Mohamad Salahuddin dalam kekalutan.
“Suami sayang? Bawa mengucap? Habibi merepek apa? Habibi sedar tak sayang jadi macam ni disebabkan habibi! Habibi sedar tak satu badan sayang lebam macam ni disebabkan habibi juga!” bentak Qistur Ruwaidah seraya mengacukan lagi gunting tersebut ke arah Mohamad Salahuddin sebagai pelindung buat dirinya.
Mohamad Salahuddin tergamam. Bermakna, memang dialah punca segala-galanya!
Qistur Ruwaidah menunjukkan wajahnya. “Muka sayang ni… Habibi tak ingat ke apa yang habibi buat kat sayang pagi tadi! Habibi tumbuk sayang! Habibi belasah sayang! Sampai sayang kena pakai pelitup muka kat kelas supaya orang lain ingat sayang demam!”
“S… Sayang, habibi…” Mohamad Salahuddin kehilangan kata. Dia terduduk lemah. Dia juga tidak mengerti apa yang terjadi. Tahu-tahu sahaja dia baru sedar bahawa seluruh tubuh isterinya lebam akibat perbuatannya.
Sangkaan Mohamad Salahuddin selama bergolaknya rumah tangga dia dengan Qistur Ruwaidah, dia melayani isterinya seperti biasa seperti memberikan kucupan mesra, memanjakan isterinya, mendengar apa jua kisah isterinya dan memberikan apa jua layanan romantis buat isterinya. Dia merasakan seperti biasa tetapi sebenarnya…
Itu hanyalah ilusi Mohamad Salahuddin. Demi Allah, dia tidak mengerti! Sebelum ini, kenapa pandangan dia terhadap isterinya dirasakan indah? Walhal, pandangan indahnya itu telah dikaburi dengan dia mencederakan isterinya. Dia juga mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada isterinya.
Pasangan itu membisukan diri. Qistur Ruwaidah masih setia mengacukan gunting, menantikan tindakan lanjut suaminya itu manakala Mohamad Salahuddin menundukkan wajahnya ke lantai.
Akhirnya, Mohamad Salahuddin bersuara. “Sayang… Habibi minta maaf,” ucapnya.
Qistur Ruwaidah hanya menunggu kata-kata seterusnya daripada Mohamad Salahuddin.
“Sebenarnya, habibi pun tak faham apa yang dah jadi. Habibi tak sedar apa yang habibi dah buat kat sayang selama ni. Habibi ingatkan kita bahagia macam biasa, habibi layan sayang elok-elok tapi bila sayang pengsan tadi, habibi rasa macam baru lepas kena pukau. Tahu-tahu satu badan sayang dah lebam. Demi Allah, sayang! Habibi tak sedar apa yang habibi buat! Tolong beritahu habibi… Selama ni, apa dah jadi dengan kita? Bila kita mula jadi macam ni? Sebab habibi betul-betul kabur!” luah Mohamad Salahuddin bersama tangisan.
Kalbu Qistur Ruwaidah mula menjadi runtun setelah mendengar kata-kata suaminya itu dan dia mula meletakkan semula gunting di atas meja solek. Lalu, dia menghampiri Mohamad Salahuddin dan memberikan pelukan hangat buat suaminya itu.
“Shhh… Sayang ada ni, habibi. Sayang takkan tinggalkan habibi,” pujuk Qisur Ruwaidah seraya mengusap rambut suaminya.
“Isk… Isk… Isk…” esakan Mohamad Salahuddin semakin deras. Dia mendakap isterinya dengan erat. Betapa dia merindui isterinya.
“Kita rehat kat atas katil ya, habibi. Lantai ni sejuk,” pujuk Qistur Ruwaidah dengan lembut.
Perlahan-lahan Qistur Ruwaidah menuntuni suaminya sehingga ke katil. Lalu, mereka berdua berehat di atas katil. Kelihatan tangisan Mohamad Salahuddin kian reda.
“Habibi suapkan bubur kat sayang ya. Sayang demam ni,” kata Mohamad Salahuddin seraya menyeka air matanya. Kemudian, dia mengambil mangkuk bubur di atas dulang itu. Bubur ayam itu sudah suam.
“Aaa… Nganga sayang,” seloroh Mohamad Salahuddin sambil menyuakan sudu itu ke arah isterinya.
Qistur Ruwaidah tertawa seketika. Tangki emosi kegembirannya kian meningkat kembali. Lalu, dia menyambut suapan Mohamad Salahuddin. Sudah lama dia tidak menerima suapan daripada suaminya itu. Ah, dia rindu sifat penuh kelembutan dan romantiknya Mohamad Salahuddin itu!
Sejujurnya, dia masih rasa terkesan dengan apa yang telah dilakukan oleh suaminya sepanjang sebulan lebih ini tetapi nampak gayanya, suaminya juga tidak sedar. Sah, memang mereka berdua perlu berjumpa dengan pakar rawatan Islam bagi menyelesaikan kemelut ini. Mustahil bagi Mohamad Salahuddin hendak berubah perangai secara tiba-tiba. Qistur Ruwaidah cukup mengenali suaminya itu!
“Sedap?” soal Mohamad Salahuddin seraya tersenyum.
Qistur Ruwaidah mengangguk laju. “Sedap… Kena pula dengan minyak bijan, memang terangkat. Rasa bubur ayam habibi tak pernah berubah. Sentiasa sedap. Nak lagi.”
“Boleh. Aaa…” balas Mohamad Salahuddin seraya menyuapi isterinya lagi.
Semangkuk bubur ayam itu sudah licin sepenuhnya oleh Qistur Ruwaidah. Seleranya sudah ada semula setelah Mohamad Salahuddin menyuapi dirinya.
Atas permintaan Mohamad Salahuddin, dia menyuruh isterinya berbaring di atas pahanya. Lalu, dia membelai rambut isterinya dengan penuh kasih sayang. “Mulut sayang sakit lagi?”
“Sakit tapi dah sapu gamat tadi, kurang sikit sakitnya,” balas Qistur Ruwaidah.
“Gigi sayang tak patah, kan? Habibi rasa berdosa sangat. Habibi betul-betul tak sedar. Serius, habibi ingatkan kita macam biasa, habibi layan sayang baik-baik tapi rupa-rupanya, lain dengan apa yang habibi rasa. Habibi tak sedar apa yang habibi buat sebab habibi ingatkan, selama ni habibi tengah tinggal kat mahallah. Habibi rasa macam habibi tengah bujang lagi. Sedar-sedar habibi kat rumah dan badan sayang dah lebam,” luah Mohamad Salahuddin.
“Alhamdulillah. Gigi sayang tak patah. Okey je. Cuma, gusi sayang berdarah. Itulah… Sayang pun rasa macam tak kena dengan habibi. Cara habibi cederakan sayang macam habibi tak sedar tu habibi. Kita pergi dapatkan rawatan Islam ya. Cara habibi cerita dah lain macam. Macam ada benda lain tengah kawal habibi. Kita ponteng kelas esok ya, habibi.”
“Okey, sayang. Boleh. Habibi pun nak rumah tangga kita macam dulu balik. Emm… Sayang ceritalah macam mana habibi boleh jadi macam ni. Habibi betul-betul rasa berdosa sebab habibi dah musnahkan kepercayaan sayang dan Abang Suhaib. Kalau Abang Suhaib tahu ni, habislah habibi. Mesti Abang Suhaib dah tak percayakan habibi.”
“Habibi jangan risau. Sayang tak pernah buka cerita pasal masalah kita ni kat Abang Suhaib. Sayang masih boleh bertahan untuk habibi. Emm… Ceritanya macam ni…”
Lalu, Qistur Ruwaidah membuka satu-persatu apa yang telah terjadi dan apa yang telah suaminya lakukan terhadap dirinya.
Tatkala Mohamad Salahuddin mengetahui kisah tersebut daripada awal hingga akhir, dia menangis semahunya. Sungguh, dia tidak dapat membayangkan bahawa dia telah melakukan keganasan terhadap insan yang amat dicintainya itu.
Mujur Qistur Ruwaidah tidak melaporkan kepada pihak polis atau membuat laporan kesihatan sebagai bukti bagi menuntut fasakh perkahwinan. Dia tidak boleh menerima hakikat bahawa dia telah menyepak di bahagian rahim serta memijak dada dan perut isterinya. Juga, memberikan nafkah batin terhadap isterinya dalam bentuk kekasaran sehingga semua perbuatannya itu, isterinya mengalami PTSD yang teruk disebabkan oleh dirinya. Sungguh dia tidak boleh menerima akan semua itu!
“Ampunkan habibi, sayang! Ampunkan habibi!” luah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah bangkit dari perbaringan paha suaminya. Lalu, dia mendakap suaminya dengan erat. “Shhh… Habibi tak salah. Sayang tahu ada benda yang tak kena dengan habibi. Ada benda lain kawal habibi ni tapi kita tak tahu apa dia dan siapa yang hantar kat habibi. Habibi kena dapatkan rawatan Islam, sayang pun akan dapatkan rawatan sekali. Sayang takkan tinggalkan habibi.”
“Sayang, habibi tak pernah menduakan sayang. Percayalah! Habibi jadi macam tu bukan sebab orang ketiga tapi mungkin betullah macam sayang cakap, habibi kena dapatkan rawatan Islam. Kali ni, habibi akan ikut cakap sayang. Habibi sanggup. Asalkan, hubungan kita pulih macam dulu. Habibi nak gembira dengan sayang macam dulu!”
“Sayang pun, habibi! Sayang pun nak macam dulu. Momen macam kita berbulan madu dulu.”
“Insya-Allah. Nanti kita berbulan madu lagi ya. Emm sayang… Habibi risau kalau apa-apa jadi kat bahagian rahim dan perut sayang. Kita pergi jumpa doktor ya. Habibi betul-betul minta ampun. Kalau apa-apa jadi kat rahim sayang, habibi takkan boleh maafkan diri habibi.”
Wajah Qistur Ruwaidah mula berubah. “Bukan sayang tak nak jumpa doktor tapi… Sayang takut habibi kena tangkap dan disabit kesalahan sebab kesan-kesan lebam kat badan sayang ni dah dikira keganasan dan jenayah dalam rumah tangga. Memang betul habibi tak sedar apa yang habibi buat tapi tulah… Habibi sebagai budak undang-undang, habibi faham, kan? Insya-Allah sayang masih boleh bertahan dan makan ubat tahan sakit. Bila lebam-lebam ni dah reda, sayang pergi jumpa doktor untuk pemeriksaan. Sayang janji.”
Mohamad Salahuddin segera mendakap isterinya. Sejauh itu isterinya memikirkan tentang dirinya dan berfikiran wajar? “Habibi reda untuk sayang. Andai sayang pergi dulu, syurgalah tempat sayang dengan keredaan habibi. Sekali lagi, habibi minta ampun di atas segala kesakitan yang habibi dah buat kat sayang. Habibi nak minta ampun juga kat Abang Suhaib sebab dah musnahkan amanat dia.”
“Habibi tak buat apa-apa salah dengan sayang. Sayang percaya sebab sayang kenal habibi. Pasal Abang Suhaib, kita rahsiakan daripada dia ya sebab sayang tak nak PTSD dia datang balik bila dia dapat tahu apa yang sayang dah kena. Apa yang sayang kena, semua tu dia dah rasa.”
“Macam mana sayang tanggung PTSD selama kita bergolak dulu?”
“Ada teknik-teknik tertentu dari segi kawal pernafasan, pegang barang, jalan atas rumput dan beberapa lagi teknik lain tapi paling sayang mampu bila sayang seorang diri, makan ubat. Nak buat pergerakan lain, memang kena ada orang teman.”
Mohamad Salahuddin memandang wajah isterinya. “Kalau habibi hantar sayang kat rumah sayang nanti, sayang okey? Sementara nak tunggu keadaan kita betul-betul pulih. Bukan niat habibi nak halau sayang. Cuma… Abang Suhaib lagi faham penyakit sayang. Habibi tak ada pengalaman macam ni.”
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah seraya memeluk pinggang suaminya. “Apa-apa jadi antara kita, sayang takkan tinggalkan habibi. Kita lalui semua ni… bersama.”
PADA keesokan harinya, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bertemu dengan Ustaz Fuad, salah seorang staf di Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar, hasil penemuan Mohamad Salahuddin berkenaan tempat rawatan itu di laman carian Google.
Demi cinta dan kedamaian rumah tangga yang dibina, pastinya Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mahukan kembali hubungan yang penuh harmoni seperti dahulu. Sungguh, keadaan penuh misteri ini benar-benar membuatkan pasangan itu begitu terseksa jiwa dan raga.
“Pelik ni,” kata Ustaz Fuad setelah dia mendengar kisah pasangan itu dan melakukan pemeriksaan terhadap Mohamad Salahuddin.
“Kenapa ustaz?” soal Mohamad Salahuddin.
“Saya dah imbas encik tapi saya tak nampak apa-apa yang pelik kat dalam badan encik. Nampak encik normal je,” luah Ustaz Fuad.
“Tapi… Isteri saya sendiri rasa memang bukan saya. Rasa macam ada ‘benda’ lain yang tengah kawal saya. Saya sendiri pun tak sedar yang saya dah cederakan isteri saya.”
Ustaz Fuad memandang Qistur Ruwaidah. “Puan ada rasa apa-apa yang aneh kat rumah puan? Contoh, puan macam nampak kelibat orang lain selain suami puan, dengar macam orang berjalan atas bumbung, main syiling atau guli ke?”
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Tak ada, ustaz. Saya rasa normal je.”
“Encik pegang tangan isteri encik. Saya nak cuba imbas isteri encik pula.”
Lalu, Mohamad Salahuddin memegang tangan Qistur Ruwaidah. Kemudian, Ustaz Fuad meletakkan tangannya di atas tangan Mohamad Salahuddin agar beliau tidak bersentuhan dengan kulit Qistur Ruwaidah. Mulutnya terkumat-kamit membacakan ayat Al-Quran, doa dan zikir.
“Kat Puan Qist pun saya tak rasa apa-apa tapi ikutkan sebenarnya, kisah encik dan puan memang ada petanda kena gangguan makhluk halus. Macam nilah, encik, puan…”
Ustaz Fuad memberikan sebuah buku yang mengandungi surah, doa dan zikir yang boleh diamalkan oleh pasangan tersebut.
“Ikutkan kes encik dan puan tak selesai lagi tapi kalau tiba-tiba terjadi lagi, segera hubungi saya. Kalau tak dapat hubungi saya, boleh hubungi Ustaz Lubaid atau isteri saya, Ustazah Afra. Mereka lebih pakar daripada saya tapi kes encik dan puan ni memang misteri. Tak pernah lagi saya ada uruskan kes macam ni, bila saya periksa pesakit, saya tak jumpa apa-apa tapi ikutkan, tanda-tanda tu dah ada. Saya harap Encik Din dan Puan Qist bersabar ya,” terang Ustaz Fuad.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum hambar. Tatkala mereka berdua baru sahaja hendak meninggalkan bilik rawatan itu…
“Puan, nanti…” panggil seseorang di belakang pasangan itu.
Pasangan itu menoleh ke belakang. Kelihatan Ustazah Afra, isteri Ustaz Fuad memanggil Qistur Ruwaidah.
“Boleh saya tengok tangan puan?” pinta Ustazah Afra.
Qistur Ruwaidah mengangguk seraya menyerahkan kedua-dua belah tangannya kepada staf itu.
Ustazah Afra mula menyelak kedua-dua belah lengan baju Qistur Ruwaidah. Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin apabila melihat tiada satu kesan lebam pun di kedua-dua belah tangan Qistur Ruwaidah, sedangkan kesan-kesan lebam itu sepatutnya masih ada dan kelihatan segar pada hari semalam.
“Tadi, puan ada cerita kat Ustaz Fuad, puan dah banyak kali kena belasah dengan suami puan, kan?” kata Ustazah Afra.
“Ya ustazah tapi saya rasa pelik sangat. Kesan lebam tu tiba-tiba tak ada dan saya rasa tak sakit langsung,” balas Qistur Ruwaidah.
Ustazah Afra menarik semula kedua-dua belah lengan baju Qistur Ruwaidah. “Saya faham apa yang puan tengah rasa sekarang. Puan, saya rasa… Maaf untuk saya katakan ni… ‘Makhluk’ tu dah hilangkan kesan lebam kat badan puan lepas ‘dia’ keluar dari badan suami puan. Dia bawa sekali kesan-kesan tu supaya puan dan encik rasa macam tak ada apa-apa berlaku. Kami pun tak boleh kesan keberadaan ‘dia’…”
Sambung bicara Ustazah Afra. “Makhluk tu semestinya bertuan. Menurut cerita puan dan encik yang saya dengar tadi, saya dapat buat kesimpulan yang tuan makhluk tu sendiri yang hantar. Bermakna, tuan makhluk tu bukan calang-calang bomoh…”
“Puan Qist, Encik Din… Saya harap puan dan encik bersedia dengan pertempuran yang lebih besar daripada ini sebab makhluk tu akan muncul lagi untuk ganggu hidup puan dan encik. Bomoh tu takkan biarkan puan dan encik hidup dengan aman selagi dia tak dapat apa yang dia nak.”
Qistur Ruwaidah segera mendakap Mohamad Salahuddin dengan erat. Dia benar-benar takut. Bermakna, betullah mereka berdua telah diganggu tetapi…
Siapakah punya angkara akan semua ini? Apakah motifnya?
SEPANJANG perjalanan dari Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin membisukan diri. Masing-masing tidak bersuara. Hanya alunan ayat Al-Quran sahaja kedengaran menerusi corong radio kereta itu.
“Kita kena kuat, sayang,” kata Mohamad Salahuddin, memecahkan kesunyian.
“Macam mana sayang nak kuat bila sayang terbayangkan kita akan diganggu lagi? Sah-sah habibi kena kawal lagi dengan makhluk halus siapa-siapa punya entah,” luah Qistur Ruwaidah dengan penuh emosi.
“Habibi tahu tapi sayang… Kita ada Allah. Kita kena lebih gandakan usaha amal ibadat kita. Anggaplah semua ni ujian Dia,” balas Mohamad Salahuddin dengan tenang.
Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya. “Kenapa habibi nampak tenang? Habibi tak takut ke? Habibi pun tahu apa yang Ustazah Afra cakap tadi.”
Ujar Mohamad Salahuddin. “Emm… Habibi reda bila kita kena uji macam ni. Jujur, habibi takut tapi habibi pernah tengok sendiri kawan baik habibi masa sekolah menengah meninggal dunia sebab sihir. Ada orang hantar sebab dengki punya pasal bisnes makin naik. Mak ayah almarhum cakap, patutnya orang tu nak hantar kat dia orang tapi anak dia orang yang terkena…”
“Habibi ingat lagi… Betapa seksanya kawan baik habibi tu. Makhluk tu kacau dia tak kira waktu. Pagi, petang, malam tapi habibi kagum dengan semangat dia. Tak mudah mengalah walaupun banyak kali dia menangis sebab terseksa, sakit… Nak jadi cerita, takdir Allah… Dia meninggal dunia masa tengah lawan dengan makhluk tu kat kelas, meracau-racau sampai darah banyak keluar dari mulut dia. Dia meninggal masa tu juga kat atas paha habibi.”
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menghentikan keretanya di tepi jalan. Dia meletakkan tangannya di atas stereng kereta. Lalu, dia meletakkan dahinya di atas tangannya itu. Air matanya mula mengalir. Mengenangkan peristiwa itu, dia teringat akan sahabat baiknya, Almarhum Usamah yang telah terkorban dalam sihir itu.
“Ha… Habibi…” pujuk Qistur Ruwaidah sambil mengusap tubuh belakang suaminya.
Isk… Isk… Isk! Hanya tangisan Mohamad Salahuddin kedengaran.
Qistur Ruwaidah menjadi sebak. “Kalau habibi lemah, macam mana sayang nak kuat?” pujuknya.
Mohamad Salahuddin mengangkat wajahnya. “Habibi tahu, sayang… Habibi tahu,” luahnya seraya mendakap isterinya. “Kalau habibi jadi lagi macam tu, habibi rayu sayang tinggalkan rumah. Lari dan minta bantuan Abang Suhaib. Minta bantuan dari pusat rawatan Islam tu juga. Jangan biarkan makhluk tu apa-apakan sayang melalui habibi. Boleh ya? Habibi tak nak sayang sakit lagi disebabkan makhluk tu,” pesan sang suami itu.
“Insya-Allah habibi. Sayang akan buat apa yang habibi suruh. Buat masa sekarang, kita banyakkan berdoa Allah dan terus fokus untuk kuatkan hubungan kita. Kita tahu cinta kita saling utuh,” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan itu seraya menyeka air matanya. “Insya-Allah sayang. Kita akan buat lebih baik daripada sebelumnya. Siapa-siapa pun yang hantar kat habibi, hanya Allah Maha Membalas. Jujur, habibi tak reda tapi habibi tahu habibi kena sabar.”
“Habibi… Buat masa sekarang, kita lupakan pasal tu ya. Sekarang, habibi senyum,” pujuk Qistur Ruwaidah seraya menunjukkan senyuman kepada suaminya.
Mohamad Salahuddin turut tersenyum tatkala menyaksikan senyuman isterinya itu.
“Ha, macam nilah suami sayang, Mohamad Salahuddin yang cukup manis bila tersenyum. Kacaknya suami sayang ni,” puji Qistur Ruwaidah seraya membetulkan kolar baju suaminya.
Mohamad Salahuddin tersengih kecil. “Sayang ni… Emm… Sayang… Kita pergi cari telefon baharu untuk sayang ya. Habibi sedih pula bila habibi sendiri yang rosakkan telefon hantaran sayang tu. Mujur sayang ada iPad nak hidup.”
“Tak apa, habibi. Sayang boleh bertahan lagi nak guna iPad sementara nak kumpul duit beli telefon baharu.”
“Sayang…. Habibi yang rosakkan telefon sayang. Bermakna, habibilah kena gantikan telefon sayang tu. Tak apa. Habibi belanja.”
“Terima kasih, habibi. Moga Allah murahkan rezeki habibi dan melindungi habibi tak kira kat mana habibi ada. Amin!”
SUDAH hampir dua minggu peristiwa itu berlalu, rumah tangga Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin kembali aman damai dan tiada tanda-tanda aneh. Mereka berdua beranggapan bahawa itu semua hanyalah ilusi dan mimpi.
Selain itu, hasil pemeriksaan pada perut dan rahim Qistur Ruwaidah setelah dia melakukan pemeriksaan di klinik dan ditemani oleh suaminya, doktor mengesahkan bahawa kedua-dua anggota itu berada dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa Qistur Ruwaidah hamil.
“Selama ni, kita bermimpi je ke, habibi?” soal Qistur Ruwaidah setelah mereka berdua pulang ke rumah.
“Habibi tak tahu. Habibi pun tak boleh nak hadam semua ni,” balas Mohamad Salahuddin dalam kebuntuan. Nadanya kedengaran sebak.
Dalam keadaan sekarang, kelihatan diri Mohamad Salahuddin lebih lemah berbanding Qistur Ruwaidah.
Lantas, Qistur Ruwaidah mendakap suaminya. “Habibi… I love you. Sayang ada ni. Sayang tahu habibi kuat dan sayang tahu… Habibilah suami sayang yang cukup baik dan penuh romantik.”
Mohamad Salahuddin terkesima. “Habibi dah sakiti sayang pun, sayang masih boleh cakap macam tu? Habibi bukan suami yang baik, sayang.”
Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan tersebut. Kemudian, dia meletakkan jari telunjuknya di bibir suaminya. “Shhh… Dah. Jangan cakap pasal tu lagi. Bukan salah habibi. Sayang rasa habibi kena tidur ni. Nampak habibi tak stabil.”
“Emm… Boleh sayang temankan habibi sampai habibi tertidur? Habibi takut… Takut kehilangan sayang,” luah Mohamad Salahuddin dalam ketakutan ibarat anak kecil.
“Boleh. Habibi baring ya,” kata Qistur Ruwaidah seraya perlahan-lahan membaringkan suaminya. Lalu, dia menyelimuti tubuh Mohamad Salahuddin dan menepuk manja lengan sang suami itu ibarat seorang ibu mendodoikan anaknya. Sepertimana Mohamad Salahuddin pernah lakukan untuk dirinya, kali ini giliran dia pula.
“Tolong peluk habibi. Habibi takut. Habibi tak kuat,” pinta Mohamad Salahuddin. Nadanya seperti hampir menangis.
Tanpa sepatah bicara, Qistur Ruwaidah mengubah posisi perbaringannya. Dia mendekatkan kepala Mohamad Salahuddin ke dadanya. “Shhh… Sayang ada ni. Sayang takkan pergi mana-mana. Kalau habibi nak menangis, menangis je okey.”
Ketika itu, Qistur Ruwaidah dapat merasakan bahagian dada bajunya mulai basah dengan air mata Mohamad Salahuddin. Sang isteri itu mengeratkan lagi dakapan tersebut agar suaminya makin tenang.
“T…Takut,” luah Mohamad Salahuddin.
“Shhh… Tidur ya, habibi sayang,” pujuk Qistur Ruwaidah dengan penuh sabar sambil mengelus rambut suaminya.
Akhirnya, Mohamad Salahuddin terlena dalam dakapan sang isteri. Itu sudah menjadi kelegaan buat Qistur Ruwaidah.
‘Ya Allah… Kau kuatkanlah suamiku dalam menempuh ujian-Mu,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Sejujurnya, Qistur Ruwaidah benar-benar bingung. Selama ini, benarkah dia telah disakiti oleh suaminya atau hanya mimpi ngeri? Andailah Suhaibul Umar mengetahui akan semua ini, bagaimanakah penerimaan abangnya? Paling utama, bagaimanakah dia hendak menceritakan peristiwa tidak masuk akal ini?
“Sayang!”
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah tatkala Mohamad Salahuddin memanggil dirinya dengan nada mengejut. Dia turut menyaksikan tubuh suaminya sudah dibasahi peluh dan tercungap-cungap.
“Habibi! Kenapa tercungap-cungap ni!” ujar Qistur Ruwaidah dengan panik seraya dia menepuk lembut lengan suaminya itu.
“Habibi tak boleh tidur. Habibi termimpikan apa yang habibi dah buat kat sayang,” luah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah cuba menenangkan suaminya. “Patutnya habibi tak ingat apa-apa, kan? Sebab habibi cakap habibi tak sedar apa yang habibi dah buat.”
“Emm… T…Tapi… Masa habibi tidur tadi, bayangan tu tiba-tiba muncul. Habibi takut, sayang.”
Luahan Mohamad Salahuddin membuatkan Qistur Ruwaidah menjadi resah. Namun, dia perlu kuat. Andai kedua-dua orang itu lemah, habislah! “Habibi nampak apa?”
Kelihatan Mohamad Salahuddin sedang mengawal pernafasannya. Keadaan dirinya benar-benar tampak keletihan. “Habibi nampak diri habibi tengah buat keganasan kat sayang. Habibi cuba nak tepis tapi bayangan tu macam video. Tiba-tiba habibi dengar ada suara perempuan tua tengah gelakkan habibi. Habibi nampak dia pakai serba hitam. Dia cakap “Buat lagi! Seksa lagi bini kau sampai mampus!”. Habibi t…takut nak tidur, sayang. Tolong habibi!”
“Kita pergi jumpa Ustaz Fuad ya, habibi,” pujuk Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menengking isterinya. “Tak nak! Ustaz Fuad tu penipu!”
Qistur Ruwaidah tersentak seketika tatkala menerima tengkingan daripada suaminya itu. Namun, dia perlu rasional dan tidak terasa hati. Dia mengerti emosi Mohamad Salahuddin tidak stabil dan tertekan. “Habibi… Ustaz dan isteri dia sendiri sahkan kita dah kena gangguan. Cuma, makhluk tu lari keluar dari badan habibi. Takkan dia orang nak tipu kita?”
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menolak tubuh isterinya. “Qistur Ruwaidah… Ini kali terakhir habibi cintakan sayang. Pergi!”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tersentak. “A… Apa maksud habibi? Jangan buat sayang macam ni. Jangan buat sayang takut. Jangan tinggalkan sayang! Sayang masih perlukan habibi!”
“Sayang takkan faham. Habibi nak sayang selamat. Apa yang habibi tahu sekarang, habibi tak boleh nak tengok muka sayang. Pergi kat Abang Suhaib! Lari!”
Kata-kata Mohamad Salahuddin yang penuh berbelit dan tidak difahami itu membuatkan Qistur Ruwaidah bingung. Apakah semua ini! Rumah tangga mereka berdua semakin aneh dirasakan!
“Ha… Habibi… Cepat beritahu sayang! Apa dah jadi masa habibi mimpi tadi! Apa lagi yang sayang tak tahu!”
Kelihatan anak mata Mohamad Salahuddin kian kuyu. “Maafkan habibi, sayang. Dah tiba masanya…” ucapnya seraya merebahkan dirinya di atas perbaringan.
Perlahan-lahan kelopak mata Mohamad Salahuddin terpejam dengan sendiri.
Perasaan takut Qistur Ruwaidah mula menjalar tatkala mendengar ayat terakhir daripada Mohamad Salahuddin itu.
“Dah tiba masanya…”
Apakah makna ayat terakhir itu! Pada saat itu, Qistur Ruwaidah hampir menggila! ‘Akan hilangkah aku seorang suami bernama Mohamad Salahuddin? Tak! Takkan! Aku amat mencintai dia!’
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah teringat akan sebuah peristiwa di mana dia terpaksa berpisah dengan Mohamad Salahuddin selama tiga hari kerana Mohamad Salahuddin terpaksa bermalam di mahallah (asrama) yang didiami oleh Wan Abdullah bagi menyempurnakan tugasan yang sangat kritikal. Sementara itu, dia pula tinggal bersama abangnya kerana suaminya risau dia ditinggalkan keseorangan di rumah sewa.
Setelah Mohamad Salahuddin selesai dengan tugasan, dia terus pulang ke rumah isterinya. Dia benar-benar merindui bidadarinya itu.
Wajah Qistur Ruwaidah seperti hampir menangis. Dia juga benar-benar merindui suaminya. Lantas, dia mendakap suaminya. Masing-masing menahan gelora rindu yang amat mendalam.
“Habibi! Sayang rindu habibi!” luah Qistur Ruwaidah. Nadanya berubah sebak.
“Alaa… Manja habibi ni. Habibi pun rindukan sayang. Habibi dah balik ni. Habibi dah ada kat sini, sayang,” luah Mohamad Salahuddin seraya mengusap rambut isterinya.
“Tiga hari sayang menanggung rindu kat habibi. Sayang cuma nak habibi ada kat samping sayang. Sayang rasa takut bila habibi tak ada dan perpisahan tiga hari ni buat sayang resah. Sayang rasa serba tak kena.”
Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan itu seraya tersenyum ke arah isterinya. Lalu, dia memegang kedua-dua belah lengan isterinya. “Sayang… Insya-Allah habibi tak pergi mana-mana selagi habibi bernafas. Sayang jangan menangis ya. I love you. Habibi minta maaf sebab kita terpaksa berpisah sekejap. Tugasan kali ni sangat mencabar untuk habibi.”
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “I love you too. Tak apa, habibi. Sayang faham. Jom makan. Sayang dah masak buttermilk chicken sempena habibi balik,” ujarnya dengan penuh ceria.
“Alhamdulillah. Terima kasih sayang sebab mudahkan urusan habibi. Memang habibi rasa lapar sangat. Habibi pun dah rindu air tangan sayang. Masakan sayang takkan sama macam masakan kat mahallah. Sayang punya terbaik!”
“Aww… Sama-sama. Ni buat sayang nak masak setiap hari kat habibi. Jom habibi! Sayang tak sabar nak suap habibi!”
Berlalulah pasangan itu ke dapur bagi menikmati hidangan istimewa yang dimasak oleh Qistur Ruwaidah.
Terkenangkan peristiwa penuh cinta yang cukup mendalam itu, Qistur Ruwaidah menggenggam erat tangan Mohamad Salahuddin yang sedang lena dibuai mimpi. ‘Habibi… Tolong kuat demi cinta kita! Sayang takut kehilangan habibi!’
Air mata sang isteri kian berguguran bagaikan tiada penghujungnya. Rumah tangganya benar-benar diuji dengan sedemikian rupa!
UHUK… UHUK… UHUK… Kedengaran Mohamad Salahuddin sedang terbatuk-batuk kesakitan. Qistur Ruwaidah yang terlena di sebelah suaminya, segera terbangun bagi menyediakan apa-apa yang sepatutnya buat suaminya.
“Habibi, sayang tuangkan air suam sekejap ya,” kata Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia menuangkan air suam yang sudah tersedia di atas meja lampu.
Perlahan-lahan Mohamad Salahuddin membangunkan dirinya sambil dibantu oleh Qistur Ruwaidah untuk bersandar di penghadang katil. Lalu, Qistur Ruwaidah menyerahkan segelas air suam buat suami tercinta. “Minum ya, habibi.”
Mohamad Salahuddin menyambut gelas itu dan dicecapnya sedikit demi sedikit. “Terima kasih, sayang,” ucapnya.
“Sama-sama habibi,” ucap Qistur Ruwaidah seraya menyambut gelas tersebut. Sejujurnya, dia masih rasa sangsi dengan kata-kata suaminya sebelum suaminya terlena tadi.
“Qistur Ruwaidah… Ini kali terakhir habibi cintakan sayang. Pergi!”
Namun, Qistur Ruwaidah tidak mahu bersuara apa-apa. Asalkan suaminya berada dalam keadaan baik, itu sudah cukup membahagiakan dirinya. Dia tidak mahu memikirkan lagi peristiwa-peristiwa lalu yang tidak masuk akal itu.
“Habibi dah okey?” soal Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah. Habibi rasa makin okey. Terima kasih sayang,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama habibi. Emm… Habibi…” ujar Qistur Ruwaidah sambil anak matanya memandang ke arah tangan suaminya.
“Ya sayang?”
“Terima kasih sebab masih setia pakai cincin akad nikah habibi tu. Sekurang-kurangnya sayang tahu sayang masih diperlukan dan habibi masih cintakan sayang.”
Mohamad Salahuddin memandang ke arah jari-jemarinya. Cincin perak bertatahkan batu zamrud itu… Ah, mana mungkin dia mahu menanggalkan cincin tersebut kecuali dia mengubah kedudukan cincin dari jari manis kanan ke arah jari manis kiri mengikut anginnya atau ketika dia menulis sahaja. “Sama-sama sayang. Sekurang-kurangnya, cincin ni mengingatkan habibi, habibi dah kahwin dan habibi ada tanggungan, iaitu sayang. Juga, tanggungjawab habibi untuk sayang.”
Qistur Ruwaidah tersenyum seraya memegang tangan suaminya. “Sayang perlukan habibi. Sayang rindu kelembutan sentuhan habibi,” ujarnya sambil tapak tangan kanannya diletakkan di pipi suaminya.
Kelembutan tangan Qistur Ruwaidah itu… Ah, benar-benar membuatkan minda Mohamad Salahuddin terlupa akan kemelut rumah tangganya. Matanya memandang isterinya bersama anggukan. Hasrat dan keinginan isterinya wajib dipenuhi. “Terima kasih sebab masih bagi peluang kat habibi,” ucapnya.
“Sama-sama sebab habibi, suami sayang. Peluang sentiasa ada. Bukan macam zaman kita bertunang dulu. Mungkin kalau masa tu terjadi, tak mungkin sayang bagi peluang. Putus tunang lebih baik. Lagipun, macam habibi pernah cakap, kita masih dalam proses taaruf. Kita pun baru kahwin enam bulan. Tak sampai setahun lagi.”
“Emm… Habibi dah pernah sakiti sayang. Sayang takkan tinggalkan habibi, kan?”
“Jangan cakap macam tu. Insya-Allah sayang takkan tinggalkan habibi. Kita dah janji nak sehidup semati, kan? Emm… Jom kita berbulan madu lagi, habibi. Mungkin dengan cara tu dapat tingkatkan balik rasa cinta kita. Tak pergi jauh pun tak apa.”
“Kita pergi esok, nak? Bulan madu kat hotel tengah-tengah KL. Habibi nak jadi lagi terbaik dari sebelum ni. Besarnya silap habibi kat sayang.”
“Okey, boleh je. Aip habibi! Jangan cakap macam tu lagi! Bukan salah habibi tahu,” ujarnya seraya mencubit manja lengan suaminya itu.
Mohamad Salahuddin tersengih kecil. Lalu, dia memegang dagu Qistur Ruwaidah. Sebuah pandangan cinta dihulurkan buat sang bidadarinya itu. “I love you, sayang,” ungkapnya.
Qistur Ruwaidah turut menghadiahkan pandangan cinta penuh bermakna itu. “I love you too, habibi.”
Maafkan di atas kekejaman tuan penulis xD
Share this novel