“ADIK rehat dulu ya. Kalau adik lapar, beritahulah. Abang boleh masakkan untuk adik,” kata Suhaibul Umar setelah dia dan adiknya tiba di rumah.
Sejujurnya, memang Qistur Ruwaidah berasa amat lapar kerana dia masih belum menjamah apa-apa makanan, gara-gara dia dikurung oleh suaminya selama beberapa jam tadi. Akan tetapi, dia tidak mahu menjamah nasi. Dia mahukan burger. “Abang, adik nak Burger Bob. Boleh tak?”
“Burger Bob? Tapi adik… Sekarang, baru pukul 2.45 petang. Burger Bob buka pukul 6.00 petang nanti,” terang Suhaibul Umar.
“Adik nak burger sekarang juga! Adik lapar sangat… Adik tak nak burger McD atau burger KFC! Nak burger tepi jalan! Tak nak nasi!” rengek Qistur Ruwaidah ibarat anak kecil. Intonasinya seperti mahu menangis.
“Okey, okey. Kalau macam tu, abang pergi belikan bahan buat burger sekarang juga ya. Janganlah menangis. Abang susah hati ni,” pujuk Suhaibul Umar.
Tatkala itu, mata Qistur Ruwaidah bersinar-sinar tatkala abangnya sudi memenuhi permintaannya. Tidak mengapalah jika dia tidak dapat menikmati burger hasil air tangan tuan kedai tersebut, janji seleranya untuk menikmati burger dapat dipenuhi dengan segera. “Nanti, abang tolong belikan kepingan keju sekali. Adik tak nak sayur. Abang tolong buatkan dua biji burger tahu.”
Suhaibul Umar tersengih menyaksikan gelagat adiknya itu. Alangkah dia merindui gelagat adiknya penuh manja itu. “Amboi, belum apa-apa dah minta kat abang dua biji burger ya! Tapi tak apalah… Abang bersyukur sangat adik ada rasa nak makan juga. Kalau tak, abang risau kalau adik hilang selera makan. Lagi-lagi, adik tengah sedih ni.”
Qistur Ruwaidah tersengih lebar. “Mestilah! Lepas ni, abang tak payah tanya adik nak berapa biji burger. Adik dah cakap siap-siap. Adik tak nak sedih-sedih lagi. Tu yang buat adik rasa nak makan. Memang makanan buat adik gembira sangat!”
“Alhamdulillah. Senang hati abang dengar. Abang tahu adik abang ni jenis kuat semangat dari dulu. Apa-apa pun, abang tetap setia berada kat sisi adik sampai waktu yang ditetapkan oleh Allah. Emm… Nanti adik cerita apa dah jadi ya.”
“Okey. Abang, jangan risau. Adik akan cerita daripada A sampai Z. Cuma, adik takut abang akan menghukum adik.”
“Adik ni… Ke situ pula. Siapalah abang nak menghukum adik. Apa je cerita yang adik pernah beritahu abang, pernah ke abang tak percaya atau menghukum adik?”
“Adik tahu abang percayakan adik. Sebab tu, sampai bila-bila adik sayangkan abang sepenuh hati adik.”
Suhaibul Umar tersenyum. “Kita sambung nanti. Selain burger, adik nak apa-apa lagi tak? Kalau tak ada, abang nak gerak sekarang.”
Qistur Ruwaidah berfikir sejenak. “Ha! Adik nak jus mangga. Kalau tak ada, abang tolong beli buah mangga dan buatkan untuk adik, boleh?”
“Amboi, makin berlemaklah badan adik! Tapi… Boleh je. Semua boleh untuk adik. Siapa je nak layan permintaan adik kalau bukan abang, kan?”
“Ha, tahu pun. Dahlah adik ni seorang je keluarga abang yang masih ada tahu. Pasal burger dan jus mangga tu, lemak pun lemaklah. Janji adik dapat. Adik dah mengidam lama sangat ni.”
Perkataan ‘mengidam’ membuatkan Suhaibul Umar terkedu seketika. Takkan adik kesayangannya itu sedang…
Mengandung?
Akan tetapi, mustahil kerana adiknya sendiri pernah memaklumkan kepada dirinya bahawa dia dan Mohamad Salahuddin masih belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata. Namun, permintaan adiknya yang mahukan burger tepi jalan juga dan tidak mahu burger di restoran makanan segera… Ah, apa-apalah!
“Abang pergi dulu ya. Abang akan cuba balik seawal yang boleh. Nanti adik makin kebulur pula. Abang juga yang makin susah hati,” ujar Suhaibul Umar.
“Tak apa, abang. Insya-Allah adik boleh tahan lagi buat masa sekarang,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar segera meninggalkan rumah. Misinya sekarang, iaitu dia perlu membeli bahan untuk membuat burger dan jus mangga demi adik tercinta. Mujur dia pandai menyediakan kedua-dua hidangan itu. Apa jua permintaan adiknya, dia akan memenuhi tanpa rungutan mahupun keluhan kerana itu sahajalah ahli keluarganya yang masih hidup. Adiknya tiada pengganti. Dia tidak mahu mensia-siakan satu-satunya adik yang masih hidup demi ibu bapanya yang telah tiada.
QISTUR RUWAIDAH ralit memerhatikan setiap gubahan hantaran hasil seni tangan abangnya yang masih dalam proses. Jujur, dia amat mengagumi seni ketelitian dan kreativiti Suhaibul Umar. Memang patutlah ramai klien mencari abangnya itu. Lagi-lagi, hantaran dia dan suaminya pernah mendapat perhatian daripada ramai orang.
Dia masih ingat lagi sewaktu abangnya masih seorang siswa, banyak replika projek abangnya yang berdiri megah di atas meja makan tetamu dan di dalam bilik tidur. Sejak dari dulu, dia sudah biasa melihat abangnya dan replika projek tidak dapat dipisahkan. Dia juga masih ingat lagi, sudah menjadi kelaziman bagi abangnya untuk tidak tidur pada waktu malam seperti burung hantu. Tambahan pula, bila tibanya minggu penyerahan projek abangnya kepada pensyarah.
Namun, dia tidak pernah mendengar abangnya mengeluh atau mengeluarkan perkataan ‘stres’ mahupun sumpah seranah jika projek abangnya ditolak oleh pensyarah. Paling tidak pun, dia hanya akan diam membisu dan berehat seperti mengulang hafazan, berzikir atau tidur bagi mengurangkan rasa tekanan.
Menyaksikan hasil usaha abangnya yang tidak pernah kenal erti putus asa atau lelah, dia amat mengagumi akan semangat abangnya itu. Benarlah, tiada siapa yang boleh menggantikan abangnya walaupun dia telah berkahwin. Abangnya terlalu berharga buat dirinya.
‘Ya Allah… Apabila aku teringat semula perjuangan abang aku untuk meraih bidang yang diidam-idamkan, kini dia telah menjadi graduan dan seorang usahawan dalam bisnes gubah hantaran. Aku amat terinspirasi dengan kesabaran dan ketenangannya. Moga aku juga mampu menjadi seperti Abang Suhaib. Amin!’ doa sang adik itu.
Ah, tiba-tiba Qistur Ruwaidah teringat akan hantaran-hantaran milik dia dan suaminya sewaktu majlis akad nikahnya dahulu. Ingatannya terhadap Mohamad Salahuddin semakin kuat! Segera, dia beristighfar di dalam hati. Dia perlu cekal!
Kemudian, dia menuju pula ke suatu sudut lain, di mana terletaknya bingkai-bingkai gambar yang tersergam megah di atas meja khas. Lalu, dia mengambil bingkai gambar ahli keluarganya bersama sengihan. Teringat pula akan zaman kanak-kanaknya yang penuh riang sebelum pemergian lima orang ahli keluarga itu. Hatinya mula menyedekahkan Surah Al-Fatihah kepada insan-insan itu.
‘Dik Qist rindu semua. Harap kita dapat berjumpa kat Syurga. Sayang semua!’ bisik hatinya. Namun, batinnya semakin terseksa.
Tiba-tiba mata Qistur Ruwaidah tertangkap ke arah bingkai di sebelah bingkai ahli keluarganya. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia ternampak foto aksi spontan di antara dia, abangnya dan Mohamad Salahuddin. Dia tidak menyangka bahawa abangnya akan mencuci gambar tersebut.
Foto itu merupakan situasi ketika Mohamad Salahuddin mencubit pipi Qistur Ruwaidah ketika tangannya sedang menunjukkan simbol ‘peace’ sambil menahan tawa dan sakit pipinya dicubit oleh suaminya manakala Suhaibul Umar tersenyum menyaksikan telatah pasangan suami isteri itu. Aksi spontan itu telah berjaya diabadikan oleh pekerja Sushi Oishi sewaktu Qistur Ruwaidah pernah meluahkan keinginannya untuk menikmati sushi kepada suaminya.
Tatkala itu, semakin hibalah hati Qistur Ruwaidah! Sungguh, keadaannya yang kini gantung tidak bertali, amatlah menyeksakan jiwanya!
‘Habibi, Mohamad Salahuddin… Kembalilah! Sayang terseksa dibiarkan begini!’ ronta hatinya.
SUHAIBUL UMAR pulang ke rumah bersama perasaan penuh bahagia setelah dia berjaya membeli bahan-bahan untuk membuat burger dan jus mangga buat adiknya. Jika tiada bahan-bahan tersebut, dia akan usaha mencari juga demi adik tercinta sehingga ke lubang cacing.
Kelihatan adiknya sedang tertidur di atas sofa. Dia menggelengkan kepalanya. Dia tahu tubuh adiknya terlalu sakit dan banyak lebam. Namun, dia membiarkan adiknya tidur dengan lena sementara dia menyiapkan dua hidangan tersebut.
‘Bismillah…” ucapnya sambil memulakan projek bagi mengenyangkan perut adiknya.
Usai kesemuanya, dia menghidangkan dua biji burger, jus mangga serta tempat basuh tangan di atas meja tetamu. Meja tersebut terletak di hadapan sofa yang sedang dibaring oleh adiknya. Kemudian, dia mengejutkan adiknya. “Adik, bangun. Dah siap.”
Qistur Ruwaidah tersedar tatkala abangnya mengejutkan dirinya dari lena. Kelihatan abangnya sedang tersenyum ke arahnya. Perlahan-lahan dia membangunkan dirinya sambil memegang perutnya dan dibantu oleh abangnya. Memang perutnya sudah berkeroncong lapar. Tangannya sudah hampir hendak menyentuh burger yang pertama. Lapar punya pasal. Dia tidak perasan tempat basuh tangan yang disediakan oleh abangnya.
“Adik, cuci tangan dulu kalau ya pun adik lapar,” tegur Suhaibul Umar. Dia hampir tergelak dengan perlakuan adiknya itu.
Qistur Ruwaidah tersengih malu. Dia mula mencuci tangan kanannya. Kemudian, dia membaca doa makan.
Ngap! Sebiji burger sudah menjadi mangsa perutnya. Alangkah nikmatnya dia dapat menikmati burger hasil air tangan abangnya itu. “Abang nak?” soalnya seraya menyuakan burger kedua kepada abangnya.
“Bolehlah. Segigit,” kata Suhaibul Umar. Lalu, dia menggigit burger itu. Sedap juga air tangannya.
Akhirnya, dua biji burger berjaya dihabiskan oleh Qistur Ruwaidah. Jus mangga pun sudah tinggal hampir suku cawan. “Alhamdulillah! Kenyang! Terima kasih abang. Sedap sangat! Tercapai hasrat adik nak makan burger!”
Suhaibul Umar tercengang seketika. Serasanya, adiknya menikmati dua biji burger dan jus mangga kurang dari 10 minit sahaja. Betul-betul kebuluran ini! “Adik ni piranha ke apa?”
“Piranha? Sampai hati abang cakap macam tu! Piranha pun piranhalah. Adik lapar sangatlah tadi. Ha, sekarang ni adik dah senyap macam ular sawa bila ia dah kenyang. Tak adalah abang susah hati lagi tengok adik lapar macam tadi,” ujar Qistur Ruwaidah bersama ketawa kecil.
Suhaibul Umar menggelengkan kepalanya. Ada sahaja jawapan adiknya itu. “Adik… Adik… Pandai je menjawab, kan.”
Qistur Ruwaidah tersengih. Namun, bukanlah sengihan ceria. Hanya sengihan biasa sahaja. “Abang dah makan ke tadi?”
“Alhamdulillah. Dah. Emm adik… Adik dah sedia nak cerita apa dah jadi? Sampai sekarang, abang masih terkejut tengok keadaan adik. Abang rasa Din kejam sangat. Dia dah tahu kita ni pernah jadi mangsa dera dulu dan ada sakit mental. Dia buat juga. Dia cari nahas ke apa?”
“Insya-Allah adik dah sedia. Cuma, adik tak tahu nak mula macam mana tapi rumah tangga adik mula bergolak sama ada awal atau pertengahan bulan Februari dulu,” Qistur Ruwaidah mula menyusun bicara berkenaan kisah rumah tangganya.
“Sejak bulan Februari? Sekarang, dah bulan April. Kenapa adik tak beritahu abang dari awal?” luah Suhaibul Umar dengan nada kecewa.
“Adik minta maaf. Bukan adik tak nak beritahu abang tapi adik tak nak abang susah hati. Adik tahu adik tak patut rahsiakan daripada abang tapi kisah adik ni agak pelik dan adik sendiri pun tak boleh nak hadam sampai sekarang sebab adik rasa macam ilusi dan tak logik.”
“Tak apa. Adik cerita je. Abang akan cuba fahamkan situasi rumah tangga adik dan kenapa Din buat macam ni kat adik.”
Lalu, Qistur Ruwaidah menceritakan kembali detik-detik pergolakan fasa pertama yang telah berlaku, termasuklah dia dan Mohamad Salahuddin mendapatkan rawatan di pusat rawatan Islam. Kemudian, dia menceritakan pula pergolakan fasa kedua gara-gara peristiwa diari tersebut. Tanpa berselindung juga, dia menceritakan setiap perbuatan yang telah dilakukan oleh Mohamad Salahuddin terhadap dirinya sehinggalah detik suaminya meninggalkan dirinya secara gantung tidak bertali bermula pada waktu tadi.
Alangkah perasaan Suhaibul Umar bercampur baur setelah dia mengetahui kisah pergolakan rumah tangga adiknya. Sejujurnya, dia sendiri berasa aneh dengan apa yang telah menimpa buat pasangan tersebut.
Hendak marah dan mengamuk kepada Mohamad Salahuddin, adiknya telah mengatakan bahawa pasangan suami isteri di pusat rawatan Islam itu sudah mengesahkan bahawa rumah tangga mereka berdua telah diganggu oleh makhluk halus. Namun, peristiwa diari itu pula, cara Mohamad Salahuddin bagaikan bukan diganggu oleh makhluk halus dek kerana rasa cemburu lelaki itu yang amat mendalam.
“Abang tak tahu nak respons macam mana bila abang tahu pasal ni. Jujur, abang marah sangat bila abang tahu sampai tahap Din belasah adik. Satu badan adik dah lebam teruk. Apa yang dia buat tu, sama macam Mak Long dulu. Kau orang baru kahwin bulan September tahun lepas. Sekarang, baru bulan April. Tak sampai setahun lagi. Dah jadi macam ni…”
“Tapi… Kalau ikutkan apa yang Din dah buat kat adik, sangat melampau dan dayus! Ikutkan abang, abang nak patahkan setiap tulang badan dia! Adik tahu abang tak boleh kalau adik disakiti lagi macam dulu. Dia belasah adik, beranilah sebab adik perempuan!” luah Suhaibul Umar dengan emosi penuh marah.
Qistur Ruwaidah masih mendiamkan diri. Dia membiarkan abangnya menghamburkan kemarahannya.
Suhaibul Umar menyambung bicaranya dengan penuh geram. “Abang sendiri pun tak tahu nak percaya sebab dia kena sihir atau dia sendiri memang dah berubah hati. Cuma, sepatutnya Din kena sedar, dia sebagai budak AIKOL, perbuatan dia kat adik boleh dibawa ke mahkamah. Kesan-kesan lebam kat badan adik ni dah boleh jadi bukti. Tinggal adik nak buat laporan kesihatan dan lapor kat pihak polis. Biarlah Din kena tangkap, meringkuk kat penjara sana. Biar padan muka dia! Kali ni, abang tak boleh nak berdiam diri lagi. Kita pergi ke klinik sekarang, adik. Keadaan adik dah teruk sangat ni.”
“A… Adik tak nak. Adik tak sampai hati nak bertindak macam tu. Macam mana kalau betul Din kena ganggu balik dengan makhluk halus tu? Naluri adik kuat rasa macam tu. Satu lagi, adik malas nak panjangkan kes ni sampai ke mahkamah. Bukannya kita ada banyak duit, abang,” luah Qistur Ruwaidah.
“Adik… Soal duit, tu bukan masalahnya! Abang betul-betul tak setuju kalau adik nak biarkan Din terlepas macam tu je. Macam mana kalau perbuatan dia tu memang sengaja dan bukan disebabkan makhluk halus? Adik masih nak bela suami dayus macam Din tu? Dia dah belasah adik sampai adik macam ni. Adik asyik pegang perut adik sebab perbuatan dia yang tak ada hati perut macam Mak Long! Suka hati dia je pergi sepak terajang kat situ! Dia ingat adik bola sepak ke! Kalau adik ditakdirkan mati sebab tu, macam mana? Adik ingat abang akan berdiam diri? Abang takkan bagi muka lagi kat siapa-siapa yang berani sakiti adik.”
“Abang… Adik tetap tak nak teruskan nak bawa sampai ke mahkamah sebab adik betul-betul malas. Abang pun tahu prosedurnya macam mana, kan? Macam-macam yang adik nak kena tempuh nanti. Akan banyak lagi ceritanya. Adik dah letih. Satu lagi, adik kesian kat mak ayah Din dan Keena. Din tu anak harapan dia orang.”
Suhaibul Umar mengucap panjang. “Astaghfirullah… Adik! Adik sedar tak apa yang adik cakap ni! Mana boleh adik berserah macam ni je! Badan adik dah terlalu teruk! Mana sifat ketegasan Qistur Ruwaidah yang abang kenal! Mana sifat berani dan pelindung adik macam yang adik buat kat abang masa kita ziarah Mak Long kat wad dulu!”
“Adik tak nak teruskan sebab adik masih cintakan Din! Abang… Adik mohon pengertian daripada abang. Adik betul-betul terkesan sekarang. Separuh mati, adik terseksa tanpa Din kat sisi adik. Adik dapat rasakan apa yang dia buat kat adik bukan atas kehendak dan kerelaan dia. Adik masih yakin sebab makhluk halus tu. Sebab tu, adik biarkan je Din belasah adik.”
Suhaibul Umar menggelengkan kepalanya. Adakah adiknya sudah hilang waras? Sanggup membiarkan sahaja Mohamad Salahuddin membelasah dirinya? Gila! Cinta adiknya kepada sang suami itu ternyata amat gila dan buta! Tidak kena pada tempatnya! Memandangkan dia tidak mahu bertikam lidah lagi, dia perlu beralah demi kemahuan adiknya itu.
“Adik… Abang mengalah. Abang dah tak nak gaduh pasal ni. Ikutlah mana yang adik rasa terbaik untuk diri adik. Abang sokong je. Cuma, abang harap adik fikir masak-masak. Adik dah besar,” luahnya.
Qistur Ruwaidah tahu abangnya mahukan yang terbaik buat dirinya. Namun, dia masih menunggu keputusan Mohamad Salahuddin berkenaan status perkahwinan mereka berdua. Oleh sebab itu, dia tidak mahu bertindak apa-apa buat masa sekarang. Sejujurnya, dia sendiri perlu bertenang dan fikir secara rasional kembali. Tiba-tiba abangnya menyerahkan sesuatu kepadanya.
“Mungkin sebab ni kut, buat adik tak boleh nak bercerai dengan Din, kan?” ujar Suhaibul Umar seraya menyerahkan ujian kit kehamilan yang telah dibeli olehnya di farmasi tadi kepada adiknya.
“A… Abang, k… kenapa tiba-tiba abang bagi benda ni kat adik?” soal Qistur Ruwaidah, kehairanan.
“Sebab adik cakap, adik mengidam tadi.”
Kata-kata Suhaibul Umar itu membuatkan Qistur Ruwaidah tersentak. Dia sendiri tidak sedar bahawa dia mengungkapkan perkataan ‘mengidam’ itu tadi. “Adik ada cakap perkataan ‘mengidam’ ke tadi?”
Suhaibul Umar mengangguk. “Haah… Sebab tu, abang belikan benda ni kat adik. Memang abang bukan perempuan dan belum berkahwin lagi tapi abang tahu, kalau mama masih ada, mama akan buat perkara yang sama untuk adik. Abang kenal adik. Bila adik ada masalah, patutnya adik tak lalu nak makan…”
Sambungnya lagi… “Macam masa adik lawan debat dulu, mana adik makan sangat. Bila adik dah kalah kat mana-mana peringkat, baru selera makan adik ada balik. Maksud abang, abang nak cakap mungkin adik lapar sangat sebab pembawakan anak dalam kandungan. Bukan adik betul-betul lapar. Lagi pula, adik nak juga burger tepi jalan. Padahal, boleh je abang belikan burger McD atau KFC. Tu pun salah satu petanda paling kuat.”
“Abang…” luah Qistur Ruwaidah. Sejujurnya, dia tidak perasan berkenaan hal tersebut. Ternyata abangnya lebih mengenali dirinya.
“Adik buat tahu. Abang tak tahu bila waktu sesuai yang adik patut buat. Adik lagi tahu. Janji dengan abang, adik buat ujian tahu.”
Qistur Ruwaidah memandang wajah abangnya. Sejujurnya, memang sejak kebelakangan ini, dia berasa amat penat daripada kebiasaan dan selalu pening. Tambahan pula, haidnya tidak datang langsung selepas dia pulang dari berbulan madu bersama suaminya buat kali pertama pada bulan Januari dahulu, yakni sebelum pergolakan rumah tangganya.
Bukan dia tidak mahu periksa pada bulan-bulan berikutnya, namun dia sudah terlalu kecewa dengan ujian kehamilan yang pernah dilakukan oleh dirinya dalam beberapa kali. Semenjak dari itu, dia tidak mahu mengambil endah lagi kerana dia tidak mahu berharap dan menganggap haidnya memang benar-benar tidak teratur.
Kali ini, mungkin ada benar kata abangnya kerana tiba-tiba sahaja dia mahu burger dan jus mangga yang mustahil dijual pada waktu petang, yakni waktu orang belum pulang dari kerja. Hampir separuh mati dia mahukan burger sampai dia hampir menangis kepada abangnya tadi. Benarlah juga kata abangnya, sepatutnya dia tiada selera makan jika dia dilanda apa jua masalah.
“Esok pagi, adik buat ujian. Terima kasih abang. Adik tak tahu nak cakap macam mana. Abang sangat peka orangnya,” ucap Qistur Ruwaidah dengan penuh terharu.
Suhaibul Umar mengangguk. “Sama-sama adik. Sebab adik, adik abang, nyawa abang…. Disebabkan adik juga, abang kena banyak belajar pasal hal perempuan yang mana… mama baba sepatutnya ajar abang dan adik masa kita sebelum akil baligh dulu tapi abang bersyukur, cikgu-cikgu kat SMIB banyak mengajar kita.”
Qistur Ruwaidah bersetuju dengan kata-kata abangnya itu. Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi (SMIB)… Banyak kenangan yang terpahat di sana. Sekolah itu juga banyak membentuk dirinya dan abangnya menjadi insan yang lebih baik. “Abang, adik minta maaf pasal tadi. Bukan adik tak nak dengar cakap abang tapi sebenarnya, adik masih tunggu keputusan Din. Dia minta bagi masa,” ucapnya.
“Tak apa. Lagipun, kalau Din nak ceraikan adik waktu sekarang, mahkamah takkan izinkan kalau adik tengah mengandung tapi abang rasa, mahkamah akan bagi izin juga sebab Din dah kira buat keganasan kat adik. Kita tengoklah macam mana nanti… Sejauh mana dia nak bagi masa kat adik. Apa yang lagi penting, kita tunggu keputusan ujian adik esok,” balas Suhaibul Umar.
PADA keesokan harinya, bangun sahaja dari tidur, Qistur Ruwaidah terus melakukan ujian kehamilan tersebut. Sejujurnya, entah mengapa kali ini dia betul-betul berdebar… Mungkin dia mengharapkan apa yang abangnya cakap pada hari semalam, merupakan satu kenyataan.
‘Ya Allah… Kalau betullah apa yang Abang Suhaib cakap semalam tu betul, aku mohon Kau kuatkan aku jika aku disahkan mengandung tanpa suami di sisi. Bismillah…’ bisik hati Qistur Ruwaidah dengan penuh debar.
Setelah keluarnya keputusan ujian kit kehamilan itu…
POSITIF… 3-4 months…
Menitis air mata si bakal ibu itu! Dia menutup mulutnya tanda terlalu terharu. ‘Y… Ya Allah… S…Subhanallah! Agungnya kuasa-Mu! Habibi… Kita bakal jadi ‘ummi-abi’! Allah dah perkenankan doa kita, habibi!’ bisik hatinya.
Dia termenung seketika, memikirkan lagi kekuasaan Ilahi. Betapa kuatnya zuriat yang sedang menghuni rahimnya itu selama dirinya dibelasah dan diterajang oleh suaminya kerana suaminya sudah menyepak kandungannya secara tidak langsung dalam beberapa kali sehingga perutnya menjadi lebam. Sepatutnya, dia boleh keguguran! Alangkah kuatnya janinnya itu! Masih setia bersama dirinya sehingga kini.
Ingatannya terhadap Mohamad Salahuddin semakin kuat! Jiwanya kian sensitif. Jauh di sudut hati, betapa dia ingin berkongsi akan berita gembira itu kepada suaminya bersama harapan agar hubungan mereka berdua akan pulih kembali dengan hadirnya zuriat sebagai pengikat kasih dan lambang cinta yang begitu utuh. Sepatutnya, suaminya perlu berada di sisinya sekarang dan turut sama-sama gembira seperti dirinya. Dia tahu Mohamad Salahuddin akan menjadi insan paling gembira!
Akan tetapi, dia terpaksa membatalkan niatnya untuk berkongsi tentang berita gembira tersebut tatkala dia teringat semula akan pesan suaminya.
“Ingat, jangan cari atau hubungi aku!”
Sekali lagi, menitis air mata Qistur Ruwaidah itu. ‘Habibi… Sayang betul-betul perlukan habibi kat sisi sayang sekarang. Ya Allah… Lembutkanlah hati suamiku, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus! Aku tak boleh hidup tanpanya. Aku mahu dia tahu… Dia bakal jadi seorang ‘abi’. Sampaikanlah salam kerinduanku ini buat dia. Aku amat mencintai dia!’ rintih hatinya.
Secara automatik, naluri keibuan seorang Qistur Ruwaidah itu terus mengusap kandungannya. Dia tahu dia tidak patut sedih kerana anak dalam kandungan juga dapat merasai kesedihannya. Dia perlu kekal tenang, positif dan gembira. ‘Qist… Kau tak boleh terus macam ni! Kau kena kuat demi zuriat yang sedang kau kandungkan. Kau kena kuat dalam semua aspek! Allah ada untuk kau. Dia akan melindungi kau dan kandungan kau. Kau kena bersedia dengan apa jua yang mendatang. Ya Rab… Lindungilah kandunganku ini. Jauhkanlah dia dari segala bahaya.’
Tidak mahu dibuai rasa sedih lagi, Qistur Ruwaidah terus mengambil wuduk bagi menunaikan solat subuh. Tidak dilupakan juga, sujud syukur sebagai lambang kesyukurannya kepada Ilahi di atas kurniaan yang tidak disangka-sangka ini, iaitu zuriat! Segala puji bagi Allah!
Selepas ini, dia akan terus memberitahu khabar gembira itu kepada abangnya. Dia pasti, abangnya juga akan gembira! Betapa hebat naluri abangnya terhadap dirinya sehinggakan abangnya sendiri mengambil inisiatif dengan membeli ujian kit kehamilan buat dirinya pada hari semalam. Jika bukan kerana abangnya, mungkin sehingga ke saat ini dia tidak tahu bahawa dia sedang hamil.
“YA ALLAH! Alhamdulillah! Adik dah nak jadi ‘ummi’! Tahniah! Abang gembira sangat!” ujar Suhaibul Umar dengan nada yang amat gembira dan teruja bukan kepalang setelah adiknya menunjukkan keputusan kepada dirinya. Tidak lama lagi, dia akan bergelar ‘Pak Long’!
“Adik pun gembira sangat bila dapat tahu pasal ni tadi. Naluri abang hebat betul! Kalau bukan sebab abang, adik takkan tahu adik mengandung,” luah Qistur Ruwaidah seraya tersengih.
“Din dah tahu pasal ni?”
Qistur Ruwaidah terdiam seketika. Kemudian, dia menggelengkan kepalanya.
“Nasihat abang, baik adik jangan beritahu Din buat masa sekarang. Abang faham… Adik nak beritahu Din dengan harapan, hubungan kau orang pulih macam biasa tapi abang takut kalau Din dapat tahu, Din akan cuba nak cederakan adik lagi. Ikutkan, dia dah hampir nak bunuh kandungan adik dengan sepak terajang banyak kali kat perut adik. Emm… Sepatutnya, dia jadi orang pertama yang tahu pasal kandungan adik. Bukan abang,” luah Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Kali ni, adik ikut nasihat abang. Ada betulnya abang cakap. Adik kena rahsiakan kandungan adik buat sementara waktu. Kalau betul dia ambil keputusan nak ceraikan adik, baru adik beritahu pasal kandungan ni.”
“Adik sendiri pun tak nak berpisah dengan Din, kan? Adik masih cintakan Din. Lagi-lagi adik tengah mengandungkan anak dia. Mestilah adik harap keluarga sempurna. Abang tahu adik tak nak anak adik jadi macam kita, hilang kasih sayang mama baba sejak kecil.”
“Abang memang boleh baca fikiran adik.”
“Bukan abang boleh baca tapi abang boleh rasa sebab abang sendiri pun, kalau abang kahwin nanti, ada anak… Abang pun tak nak anak abang jadi macam kita tapi yalah, siapa kita nak menidakkan kuasa Allah? Kita hanya merancang dan memasang impian tapi Allah juga yang menentukan setiap hamba-Nya. Percaturan Allah lebih hebat.”
“Betullah cakap abang. Emm abang… Boleh tak kalau adik tangguhkan dulu pasal pemeriksaan kandungan adik kat klinik sampai lebam-lebam ni dah reda sikit? Malas nak jawab soalan doktor. Sah doktor akan tahu adik ni mangsa keganasan rumah tangga.”
“Boleh tapi ada tiga syarat…”
Qistur Ruwaidah terkebil-kebil. “Apa tiga syarat tu, abang?”
Suhaibul Umar tersenyum. “Pertama, jaga kandungan adik betul-betul. Jangan buat kerja berat. Masak pun jangan. Bab masak, serah kat abang. Kedua, adik dah tak dibenarkan tidur kat bilik adik sampai adik habis pantang sebab adik nak kena gagah naik tangga. Abang takut kalau apa-apa jadi kat adik bila adik naik tangga, lagi-lagi kalau abang tak ada kat rumah. Barang-barang adik kat bilik ni, nanti abang bawa turun kat bilik bawah. Ketiga, jangan tinggalkan baca Al-Quran dan hafazan supaya kandungan adik sentiasa terpelihara. Okey?”
Barulah Qistur Ruwaidah tersenyum mendengar syarat-syarat abangnya itu. “Okey, abang. Insya-Allah adik boleh ikut tiga syarat abang tu,” ucapnya sambil membuat gaya ikrar. Meskipun suaminya tiada di sisinya kini, abangnya tetap ada untuk dirinya. Benarlah… Abangnya itu segala-gala buat dirinya!
SETELAH hampir tiga minggu berlalu, kesan lebam-lebam di tubuh Qistur Ruwaidah sudah surut, hasil kesabarannya menuam dengan pek ais. Adakalanya juga, dia menuam dengan pek haba panas. Pelbagai cara yang dilakukan oleh dirinya, semata-mata dia tidak mahu doktor mengesyaki ada kesan lebam di bahagian perut dan mukanya semasa dia mahu melakukan pemeriksaan kandungan kelak.
Namun, dia terperasan sudah banyak pakaian yang tidak boleh dipakai oleh dirinya lagi dan perutnya semakin ke hadapan. Nampak gayanya, dia sudah perlu membeli pakaian ibu mengandung atau pakaian yang lebih besar.
Sepanjang tempoh tiga minggu itu, dia masih menggagahkan diri untuk menghadiri ke kuliah demi kuliah, malah dia semakin kuat daripada apa yang disangkakan oleh dirinya. Syukur sepanjang dia hamil, tiada sebarang alahan atau loya. Betapa janinnya itu sangat memudahkan urusan sehariannya.
Seringkali dia mengucapkan terima kasih kepada janin dalam kandungannya itu sambil mengusap perutnya yang kian memboyot. “Terima kasih anak ummi. Sebab anak ummi nilah, ummi makin kuat ke kelas tahu. Nanti kita jumpa doktor. Ummi tak sabar nak tengok anak ummi. Sabar sikit je lagi. Lebam kat perut ummi ni makin nak hilang dah.”
Dalam tempoh itu juga, tiada siapa yang perasan akan perubahan fizikalnya kecuali Tihaani. Memandangkan ibunya, Datin Hasyimah mempunyai spa muka dan spa untuk ibu mengandung, dia sudah arif tentang fizikal seorang ibu mengandung dan banyak memerhati setiap klien yang datang ke spa ibunya.
“Qist, kau mengandung ya?” soal Tihaani.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah tatkala dia mendengar pertanyaan sahabat baiknya itu pada mulanya. Kemudian, dia tersenyum kecil seraya menghadiahkan anggukan kecil.
“Weh, seriuslah!” Tihaani menjerit kecil.
Qistur Ruwaidah tergelak kecil. “Laa… Kau tanya aku. Lepas tu, kau tak percaya pula. Ya, alhamdulillah. Betullah, aku mengandung. Insya-Allah kau akan jadi ‘kholah’ (mak cik) nanti tapi… macam mana kau tahu?”
Seketika, Tihaani mendakap sahabat baiknya itu. Syukur… Akhirnya, penantian Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin itu telah dimakbulkan oleh Allah. Kemudian, dia meleraikan dakapan itu. “Memang perut kau masih tak nampak sebab kau tinggi tapi bentuk muka kau makin tembam. Cara jalan pun lain. Nampak kau jalan termengah-mengah sambil pegang perut. Dari situlah, aku boleh tahu. Kan mummy ada spa. Aku tahu serba sikitlah pasal fizikal mak mengandung tapi Qist… Alhamdulillah sangat! Allah dah makbulkan doa kau dan Din. Mesti Din gembira bila dapat tahu, kan?”
Qistur Ruwaidah tersentak. Dirinya penuh syahdu. ‘Tihaani… Kau orang kedua yang tahu lepas Abang Suhaib. Bukan Din,’ bisik hatinya. Alangkah sakitnya dia perlu menanggung perpisahan sebegini tanpa mendengar khabar daripada Mohamad Salahuddin. Tidak pernah dia berjauhan dengan suaminya dalam tempoh yang cukup lama seperti ini. Apatah lagi, suaminya tidak menghubunginya langsung. Seolah-olah suaminya telah melupai dirinya.
Namun, dia tetap memberikan reaksi ceria berkenaan ayat terakhir Tihaani itu dengan terpaksa membohongi sahabat baiknya yang tidak mengetahui pergolakan rumah tangganya dan dia telah menjadi mangsa keganasan suaminya selama beberapa bulan ini. Jika Tihaani tahu, memang habislah. “Haah… Din gembira sangat. Almaklumlah, dialah orang paling nak ada anak dalam tempoh kita orang belajar ni.”
“Alhamdulillah… Aku pasti Din akan jaga kau baik-baik. Lagilah bila kau tengah mengandung ni. Makin sayanglah dia kat kau. Ha, lepas ni kau dah boleh zip mulut si Nahwah tak ada insurans tu,” ujar Tihaani. Lalu, dia ketawa kecil. Teringat salah seorang rakan sekelas mereka berdua yang bernama Nahwah itu. Dia pernah mempertikaikan tentang rezeki anak yang masih belum dimiliki oleh Qistur Ruwaidah dan membandingkan pula dengan kakaknya.
Qistur Ruwaidah juga turut tertawa. Alahai… Tihaani masih ingat berkenaan itu. “Tak apalah, Tihaani. Biar jelah kat dia. Aku pun tak nak orang tahu selagi aku tak selamat bersalin lagi. Risau juga dengan mata-mata manusia. Mesti ada yang dengki.”
“Betul juga cakap kau. Eh, aku lupa nak tanya. Kandungan kau dah berapa minggu?”
“Aku tak pergi periksa lagi sebab aku pun baru tahu dalam dua hari lepas. Insya-Allah aku pergi periksa kat klinik sekejap lagi tapi ujian kit tu nyatakan kandungan aku dah berusia tiga hingga empat bulan. Ikutkan, aku terlambat tahu ni. Aku boleh tergerak hati nak periksa sebab tiba-tiba aku mengidam,” bohong Qistur Ruwaidah buat kali kedua. Namun, ayat terakhirnya itu benar. Kalaulah Tihaani tahu semua ini…
Tihaani semakin teruja mendengar kisah kehamilan Qistur Ruwaidah itu. “Kau mengidam apa?”
“Burger tepi jalan weh. Aku sampai hampir menangis nak burger tepi jalan dalam waktu petang orang tak balik kerja lagi. Kan peniaga kedai burger tepi jalan biasanya buka pukul 6.00 petang ke atas. Aku siap cakap kat Din, aku tak nak burger McD atau KFC. Nak burger tepi jalan juga,” bohong Qistur Ruwaidah buat kali ketiga pada ayat terakhirnya. Bukan suaminya tetapi abangnya!
Seketika, Tihaani tertawa kecil. Alahai… Sahabat baiknya bakal bergelar seorang ibu. Alangkah cepatnya masa berlalu! “Mesti Din pening kepala nak layan kau punya mengidam tu.”
“Itulah pasal. Nasib baiklah dia pandai nak buat burger. Pergi beli bahan, selesai masalah walaupun aku tak dapat burger tepi jalan punya,” balas Qistur Ruwaidah bersama sengihan kecil. Teringat dia akan susah payah abangnya yang sudi memenuhi permintaannya gara-gara mengidam punya pasal.
“Alahai… Nasib baiklah permintaan kau berjaya dipenuhi. Kiranya, kau study leave semester depan, kan? Kau cakap kandungan kau dah masuk tiga hingga ke empat bulan, sama ada kau bersalin bulan September atau Oktober.”
“Aku tak teringat pula pasal study leave tu tapi betullah juga cakap kau. Mujur aku ambil banyak subjek sampai 21.5 credit hour. Kiranya, aku tengah mengandung ni, tak menjejaskan pun bila aku tangguh pengajian aku untuk semester depan. Insya-Allah, aku sempat berkonvokesyen dengan kau sekali.”
“Insya-Allah. Aku percaya kau boleh buat, Qist. Sejak kau dah kahwin, aku perasan… Kau makin mantap dalam pengajian. Aku kagum betul. Berkat sokongan daripada suami kau juga, ada teman belajar sama-sama.”
Qistur Ruwaidah tersenyum hambar. Memang benar kata Tihaani… Sejak dia berkahwin dengan Mohamad Salahuddin sebelum bergolaknya hubungan mereka berdua, hasil Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dia terus mencanak naik. “Alhamdulillah Tihaani. Bukan sebab suami aku je, Allah pun ada untuk aku. Abang Suhaib pun,” ujarnya.
Namun, semester ini, entahlah… Benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mentalnya! Lagi-lagi keadaan dirinya yang sedang berbadan dua ini, semakin menambahkan tekanan dan cabarannya dalam mengharungi ujian kahwin sewaktu masih belajar ini.
Dia memujuk hati… Adanya janin yang sedang menghuni dalam rahimnya, akan membuatkan dirinya semakin cekal untuk menjadi seorang bakal ibu dan dia mahu memberikan yang terbaik buat janinnya itu. Zuriatnya itu sahajalah merupakan peninggalan Mohamad Salahuddin buat dirinya yang sedang menghilang entah ke mana bagi dia melunas rindu kepada suaminya.
“Nanti… Bila kau dah bersalin, aku pasti mummy akan jaga kau dalam pantang. Bagi kau makan makanan pantang yang sedap. Satu lagi, dijamin percuma, khas untuk anak angkat kesayangan dia ni. Daddy pula, sah-sah akan belanja macam-macam untuk anak kau. Siap sedialah, Qist,” kata Tihaani bersama nada penuh ceria.
“Aku tak tahu nak balas macam mana untuk keluarga kau, Tihaani. Dah banyak sangat kaluarga kau tolong aku. Aku bersyukur sangat dapat kenal mummy dan daddy yang dah anggap aku dan Abang Suhaib macam anak dia orang sendiri,” luah Qistur Ruwaidah dengan sebak.
“Alaa… Tak ada apalah, Qist. Harta mummy daddy, tak luak pun untuk dia orang berkongsi kegembiraan dengan kau dan Abang Suhaib.”
Qistur Ruwaidah segera mendakap sahabat baiknya itu! Jujur, dia benar-benar terharu dengan kebaikan keluarga Tihaani. Secara tidak langsung, dia juga turut mendapat semangat dan kekuatan untuk terus mengharungi kehidupan bersama janinnya!
PADA hari Qistur Ruwaidah mahu melakukan pemeriksaan kehamilannya di klinik bersama abangnya, dia meluahkan kepada abangnya berkenaan banyak pakaian yang tidak muat untuk dipakai lagi. “Abang, banyak pakaian adik dah tak muatlah. Adik nak kena beli pakaian baharu yang lagi besar nampaknya.”
“Boleh… Lepas adik dah buat pemeriksaan nanti, kita pergi membeli-belah, okey? Abang belanja,” beritahu Suhaibul Umar. Dia melayankan sahaja apa jua permintaan adiknya sebagai seorang bakal ibu yang memerlukan perhatian, kasih sayang dan sokongan moral.
Sesampai dua beradik itu di klinik yang tidak jauh dari rumah, Suhaibul Umar menyambut adiknya di bahagian tempat duduk penumpang dengan memimpin adiknya secara berhati-hati sehingga mereka berdua selamat tiba di dalam klinik. Klinik Pakar Wanita Az-Zikra… Klinik yang bakal menemani perjalanan kehamilan Qistur Ruwaidah.
Usai Suhaibul Umar membantu bagi pendaftaran adiknya, dia melabuhkan punggung di sebelah adiknya. “Adik rasa macam mana hari ni?”
“Alhamdulillah. Makin okey. Makin kuat. Sebab abang ada,” luah Qistur Ruwaidah seraya memegang tangan abangnya.
“Insya-Allah. Kita harungi semua ni sama-sama macam dulu. Selagi abang hidup, abang takkan tinggalkan adik. Abang janji,” ikrar Suhaibul Umar meninggalkan janji buat adik tersayang.
Tiba-tiba angka giliran Qistur Ruwaidah terpampang di skrin televisyen.
Qistur Ruwaidah memandang abangnya. “Adik takut. Abang temankan adik, ya,” luahnya.
Suhaibul Umar mengangguk. Lalu, dia memimpin adiknya sehingga mereka berdua melangkah masuk ke dalam bilik rawatan.
“Puan Qis… Qistur Ruwaidah ya?” tegur Dr. Zukrina seraya menghadiahkan senyuman kepada bakal ibu itu.
“Ya saya,” balas Qistur Ruwaidah seraya membalas senyuman doktor itu. Namun, wajahnya terselit rasa risau. Inilah pengalaman pertamanya untuk melakukan pemeriksaan kandungan. Ah, tiba-tiba dia teringat akan almarhumah ibunya, Puan Mahfuzah! Pasti ibunya juga merasakan yang sama seperti dirinya pada 23 tahun yang lalu selepas kelahiran kakaknya selaku anak kedua, iaitu Qinawiyur Ruhiyah.
“Puan datang nak buat pemeriksaan kandungan ya?”
“Ya doktor.”
“Bila puan dapat tahu puan positif?”
“Semalam,” bohong Qistur Ruwaidah. Abangnya juga sudah maklum akan pembohongan adiknya itu. Walhal, mereka berdua sudah tahu sejak tiga minggu yang lepas.
Suhaibul Umar hanya diam membisu. Dia memasang telinga sahaja mendengar perbualan di antara kedua-dua orang wanita itu.
“Puan ingat tarikh terakhir puan datang bulan?” soal Dr. Zukrina.
“4 Januari. Kalau ikut ujian yang saya buat semalam, ujian tu nyatakan saya dah mengandung tiga hingga empat bulan. Saya tergerak hati nak periksa sebab saya tiba-tiba mengidam. Saya tak rasa mual atau ada alahan,” terang Qistur Ruwaidah.
“Dah lama juga tu, puan. Sepatutnya, puan kena periksa lebih awal,” tegur Dr. Zukrina.
“Saya dah periksa banyak kali, doktor tapi hasil keputusannya tetap negatif sepanjang saya tak sedar saya mengandung ni.”
Kelihatan Dr. Zukrina mengurut dagunya. “Tak apa, puan. Puan boleh baring kat atas katil tu untuk kita periksa dengan lebih mendalam dengan menggunakan ultrabunyi untuk kandungan puan dan tarikh jangkaan puan akan bersalin.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Lalu, dia bangkit dari kerusi dengan bantuan abangnya.
“Suami puan, ya?” kata Dr. Zukrina bersama senyuman tatkala beliau menyaksikan Suhaibul Umar begitu prihatin memimpin tangan Qistur Ruwaidah.
“Abang saya. Suami saya tengah kerja kat negeri lain,” bohong Qistur Ruwaidah berkenaan keberadaan terkini Mohamad Salahuddin. Dia sendiri pun tidak tahu ke mana suaminya menghilang.
Suhaibul Umar hampir tergelak mendengar penerangan adiknya. Adiknya ada sahaja idea! Qistur Ruwaidah menghadiahkan sengihan nakal. Lalu, dia membaringkan dirinya di atas katil untuk pemeriksaan kandungan dengan menggunakan ultrabunyi.
“Abang tunggu kat luar ya. Perut adik tu aurat untuk abang tengok. Jangan risau. Insya-Allah semuanya akan baik-baik je,” terang Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Terima kasih, abang. Doakan kandungan adik tak ada apa-apa,” ucapnya.
“Sama-sama, adik. Insya-Allah.”
Kemudian, Suhaibul Umar meninggalkan bilik rawatan itu.
“Puan dah sedia?” soal Dr. Zukrina.
“Insya-Allah doktor,” ucap Qistur Ruwaidah. Dia perlu kuat dan tabah mengharungi pemeriksaan ini secara seorang diri tanpa suaminya di sisi.
Bermulalah pemeriksaan kandungan Qistur Ruwaidah. Dr. Zukrina mula melakukan imbasan bagi mengesan kehadiran janin yang menghuni dalam rahim sang bakal ibu itu. Juga, tahap perkembangan janin yang terpancar di skrin monitor.
Akhirnya, muncullah kehadiran janin itu. Lalu, Dr. Zukrina menunjukkan posisi janin itu dengan menggunakan jari telunjuknya sebagai isyarat. “Alhamdulillah. Kat sini janinnya, puan,” katanya.
Qistur Ruwaidah memandang ke arah skrin monitor itu. Alangkah terharunya dia tatkala dia dapat menyaksikan janinnya itu buat kali pertama! Alangkah seronoknya jika Mohamad Salahuddin dapat menyaksikan sekali detik indah ini bersama dirinya… ‘Habibi… Sayang dah nampak janin! Anak kita, habibi! Anak kita!’ bisik hatinya.
Dia pasti. Apabila Mohamad Salahuddin turut sama-sama menyaksikan detik penuh bahagia ini, sang suami itu akan menggenggam erat tangannya bersama tangisan seperti dirinya juga.
Dr. Zukrina masih melakukan imbasan. Akan tetapi, wajahnya kelihatan sangat berkerut dan penuh serius.
“Doktor, semua okey ke? Ada apa-apa masalah?” soal Qistur Ruwaidah tatkala dia ternampak perubahan wajah yang terpancar dari raut wajah doktor wanita itu.
“Subhanallah…” ucap Dr. Zukrina secara tiba-tiba. “Puan…”
“Ya saya,” balas Qistur Ruwaidah dengan penuh rasa debar tatkala doktor itu memanggil dirinya.
“Saya nampak janin kedua. Puan mengandung kembar dua!” umum Dr. Zukrina dengan penuh rasa teruja.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah! Kembar dua? Maha Suci Allah! Agungnya kuasa-Nya! Dia telah mengambil adik kembarnya, Harrazul Umair dan Harzanul Uzair kembali ke pangkuan-Nya dan Dia menggantikan pula adik kembarnya dengan anak kembar yang sedang menghuni dalam rahimnya itu!
Nikmat apakah lagi yang Qistur Ruwaidah mahu dustakan? Allah melindungi kandungannya daripada keguguran sepanjang dia dibelasah teruk oleh suaminya di bahagian perut selama beberapa bulan ini.
Tambahan pula, tercapailah hasrat dia dan Mohamad Salahuddin mahu menimang cahaya mata kembar. Akan tetapi, apakah makna buat dirinya sebagai seorang isteri dan bakal ibu apabila suaminya selaku bakal ayah tiada di sisinya? Dia sendiri juga ditinggalkan secara gantung tidak bertali buat sementara waktu selagi suaminya masih belum mencapai kata putus sama ada hendak melepaskan dirinya setelah dia melahirkan anak-anak ini atau kekal untuk hidup bersamanya.
Setelah selesai kesemuanya, doktor tersebut menjangkakan bahawa Qistur Ruwaidah bakal bersalin pada awal bulan Oktober atau mungkin lebih awal kerana kebiasaan bagi seorang ibu yang hamil anak kembar akan bersalin lebih awal dari tarikh jangkaan. Juga, Dr. Zukrina meninggalkan beberapa pesanan yang boleh diamalkan oleh Qistur Ruwaidah.
Menurut Dr. Zukrina juga, kandungan Qistur Ruwaidah kini berusia 16 minggu.
“Macam mana adik?” soal Suhaibul Umar setelah dia ternampak adiknya melangkah keluar dari bilik rawatan dengan wajah penuh gembira. Dia sudah tidak sabar untuk mengetahui perkembangan terkini kandungan adiknya itu.
“Alhamdulillah. Doktor cakap kandungan adik baik je. Dah 16 minggu. Insya-Allah adik akan bersalin sama ada awal Oktober atau akhir September. Cuma, doktor cakap adik terlalu stres dan kena banyakkan berehat atau pergi jalan-jalan kat tempat yang tenang,” beritahu Qistur Ruwaidah. Dia masih sengaja mahu merahsiakan kehamilan kembarnya itu. Nanti dia akan maklumkan kepada abangnya di dalam kereta.
“Alhamdulillah. Lepas ni, adik larat nak jalan-jalan pergi beli pakaian baharu tak?”
“Insya-Allah larat je. Kalau adik tak larat pun, adik kena gagahkan juga. Dah terdesak sangat ni.”
Usai kesemuanya, dua beradik itu melangkah keluar dari klinik tersebut.
“Abang, sebelum abang nak memandu, adik ada kejutan untuk abang,” kata Qistur Ruwaidah. Lalu, dia mengeluarkan gambar ultrabunyi dari tas tangannya yang diberikan oleh Dr. Zukrina setelah beliau selesai melakukan imbasan terhadap janin-janinnya itu dan menyerahkan gambar tersebut kepada abangnya.
Suhaibul Umar memandang gambar tersebut dengan termangu-mangu. “Kenapa dengan gambar ni? Apa kejutannya? Manalah abang reti baca gambar ni.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Ya, adik tahu tapi adik nak tunjuk sesuatu kat gambar ni,” katanya seraya menunjukkan kedudukan janin kembarnya itu. “Kat sini, seorang. Kat sini, lagi seorang,” terangnya.
“Eh, sekejap! Adik mengandung kembar ke!” soal Suhaibul Umar dengan nada terkejut.
“Ya, abang. Alhamdulillah. Abang akan jadi bakal ‘Pak Long’ untuk dua orang anak saudara abang,” ujar Qistur Ruwaidah dengan nada ceria.
Menitis air mata Suhaibul Umar tatkala mengetahui bilangan sebenar janin yang menghuni dalam rahim Qistur Ruwaidah itu. “Ya Allah! Adik! Abang gembira sangat ni! Terkejut pun sama! Teringat kat Dik Harraz dan Dik Harzan!”
“Ya, abang. Adik pun teringat kat dia orang bila doktor sahkan adik mengandung kembar dua,” luah Qistur Ruwaidah penuh rasa sayu.
Suhaibul Umar mengesatkan air matanya. Dia sudah membayangkan rumah arwah ibu bapa mereka berdua akan disinari dengan kehadiran si kembar pula setelah sekian lama dia dan adiknya tinggal berdua sahaja sebelum adiknya berkahwin dengan Mohamad Salahuddin. “Hikmah Allah ambil adik-adik kita. Dia ganti dengan bakal anak kembar adik pula. Adik dah tahu ke jantina dia orang? Ya Allah… Abang rasa nak pergi beli barang kelengkapi bayi untuk dia orang sekarang juga.”
“Doktor cuba imbas tadi tapi anak-anak adik tengah malu-malu lagi nak tunjuk. Doktor suruh datang lagi dua minggu,” kata Qistur Ruwaidah seraya mengusap perutnya itu. “Anak-anak ummi… Pak Long Suhaib dah tahu anak-anak ummi berdua kat dalam ni,” bicaranya buat janin-janinnya itu. Terserlah naluri keibuannya.
Suhaibul Umar tersenyum menyaksikan gelagat adiknya itu. Ah, adiknya sudah dewasa! Bakal menjadi seorang ibu. Dia pun bakal menjadi ayah saudara. “Bukan Pak Long Suhaiblah tapi Baba Suhaib. Abang tak naklah anak-anak adik panggil ‘Pak Long’ kat abang. Buat abang teringat kat Mak Long. Trauma tahu! Panggil ‘baba’ tahu. Biar anak-anak adik kaya dengan kasih sayang sebab ada dua orang ayah.”
“Eh, betul juga! Sedap juga dia orang panggil ‘baba’ kat abang. Tu panggilan idaman abang kalau abang ada anak ya?”
“Haah… Sekurang-kurangnya, terubat rindu abang kat baba. Sekarang pun, abang rasa teruja bila guna gelaran ‘baba’ kat anak-anak adik. Tak sabarnya nak tunggu anak-anak adik lahir bulan September atau Oktober nanti.”
Qistur Ruwaidah tersenyum mendengar kata-kata abangnya itu. “Abang doakan semuanya selamat ya.”
“Insya-Allah. Semestinya. Pasal Din tu… Macam nilah. Kita pun tak tahu berapa lama lagi dia nak biarkan adik macam ni. Adik pula tengah mengandung. Kalau dia bertekad juga nak ceraikan adik sekali pun dia dah tahu adik mengandung, adik ingat kata-kata abang ni. Abang tetap akan jaga adik sampai bila-bila. Abang akan jaga dan sayangkan bakal anak-anak saudara abang. Abang takkan biarkan adik dan anak-anak adik terkapai-kapai kalau Din lepas tanggungjawab dia. Ni janji abang tapi adik pun kena kuat dan jangan tertekan. Doktor pun dah cakap adik stres dan kena banyak berehat,” luah Suhaibul Umar.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tersenyum. Meskipun dia bakal menjadi seorang ibu, abang tetap sama. Tidak berubah sebagai seorang abang yang tetap mengambil berat terhadap dirinya. “Insya-Allah abang. Adik janji.”
“Adik kena kuat bukan untuk abang tapi untuk diri adik dan anak-anak adik. Tu paling penting. Sekarang, adik jangan sedih. Lupakan dulu pasal Din. Jom pergi beli-belah.”
Sepanjang dalam perjalanan ke pusat beli-belah, Qistur Ruwaidah tidak jemu mengusap perutnya itu. Indah sungguh perjalanan dirinya sebagai seorang bakal ibu. Tiba-tiba…
Dia merasakan janinnya sedang bergerak-gerak buat kali pertama. Alangkah terujanya dia! “Abang! Adik dapat rasa anak-anak adik tengah bergerak! Pertama kali ni!”
“Wah, alhamdulillah! Tak sabarnya nak tahu jantina dia orang lagi dua minggu!” luah Suhaibul Umar.
Dua beradik itu tersenyum penuh gembira. Benarlah… Inilah hikmah Allah yang Maha Agung!
“NAH, hari ni abang masak sup ikan jenahak dan nasi beras Jepun. Sayur pun ada dalam sup tu. Istimewa untuk adik abang. Mahal juga ikan jenahak dan beras Jepun ni rupanya tapi tak apalah. Demi ibu mengandung, abang layankan je,” terang Suhaibul Umar seraya menghidangkan hidangan tengah hari buat adiknya.
Sepanjang Qistur Ruwaidah mengandung, Suhaibul Umar sangat mengambil berat terhadap adiknya, termasuklah menguruskan hal rumah dengan baik seperti memasak dan membasuh baju serta beberapa aspek lain. Dia tidak membenarkan adiknya membuat sebarang kerja rumah langsung. Biar adiknya tidak penat dan sentiasa selesa.
“Ya Allah… Terima kasih, abang. Sabarnya abang masakkan hari-hari untuk adik. Besar pahala abang,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Alaa… Tak ada apalah, adik. Untuk kesihatan adik juga. Secara tak langsung, abang pun boleh ikut amalkan pemakanan yang sihat. Abang nak anak-anak adik dapat zat yang cukup. Abang tak nak anak-anak adik macam kita. Pernah alami zat yang tak cukup. Abang akan pastikan kandungan adik membesar dengan baik. Adik ada teringin apa-apa lagi tak?”
“Tak ada. Ni pun dah cukup. Abang ni terbaik betullah. Beruntung adik ada abang macam abang. Serba boleh. Beruntung mana-mana perempuan yang jadi isteri abang nanti tahu. Adik akan bagi testimoni paling baik kat bakal kakak ipar kalau abang dah calon.”
Suhaibul Umar tertawa seraya menyendukkan nasi beras Jepun. Lalu, dia menyerahkan kepada adiknya. “Adik ni… Ada-ada je. Dah, jangan nak merepek. Makan cepat. Kesian kat kandungan adik. Mesti dia orang dah lapar tu.”
Qistur Ruwaidah tersengih seraya menyendukkan sup ikan jenahak ke dalam pinggannya.
“Sedapnya!” komen Qistur Ruwaidah tatkala dia merasai sup ikan jenahak itu.
“Ikan mahal tu, adik. Memang sedaplah. Bolehlah sekali-sekala,” beritahu Suhaibul Umar.
“Mana abang tahu pasal ikan jenahak?”
“Ada seorang mak cik beritahu abang masa abang tengah buntu nak pilih ikan apa. Mak cik tu nampak abang pun tak pasti nak beli ikan apa. Dia bagilah cadangan suruh ambil ikan jenahak. Dia cakap sedap kalau buat sup. Abang pun ambillah tapi terbeliak mata jugalah tengok harga.”
“Wah, bagus betul mak cik tu! Alaa… Tak apa abang. Masa mengandung ni je, adik nak layan abang. Ha, abang. Adik nak kena jumpa doktor balik untuk tahu jantina esok. Abang boleh temankan adik ke?”
“Boleh, boleh. Esok tak ada klien yang nak datang.”
Lalu, dua beradik itu menikmati hidangan tengah hari dengan penuh khusyuk.
“PUAN… Jantina mereka berdua, lelaki,” maklum Dr. Zukrina seraya menunjukkan kedudukan plasenta kepada Qistur Ruwaidah, namun wajah beliau terselit rasa risau berkenaan kandungan bakal ibu itu.
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar berasa amat teruja! Bolehlah Suhaibul Umar bersedia untuk membeli alat kelengkapan bayi, khas untuk jantina lelaki. Warna biru!
“Tapi puan… Kandungan puan dalam keadaan tak berapa baik buat masa sekarang sebab tak berkembang dan tu tak normal untuk mak yang hamil kembar. Kalau saya tengok keadaan puan, puan masih tertekan. Kelas kat UIA masih berlangsung ya?” tegur Dr. Zukrina.
“Baru je habis minggu lepas. Sekarang, tengah study week. Minggu depan, peperiksaan mula. Insya-Allah lepas tu, saya study leave untuk semester depan,” terang Qistur Ruwaidah. Ah, kasihan janin-janinnya itu! Gara-gara dia, janin-janinnya dapat merasai gelora emosinya secara hakikatnya dan janin-janinnya turut terkena tempias tekanannya. ‘Anak-anak ummi, maafkan ummi!’ bisik hatinya.
Hati Suhaibul Umar menjadi hancur tatkala mengetahui perkembangan kandungan adiknya. Dia tahu adiknya terseksa merindui Mohamad Salahuddin yang masih menghilangkan diri. Mahu sahaja dia mencari lelaki itu dan memberitahu keadaan adiknya! Namun, dia perlu menghormati permintaan adiknya agar tidak mencari lelaki itu.
“ANAK-ANAK ummi tengah buat apalah agaknya kat rahim ummi sekarang? Ummi bosanlah. Penatlah ummi nak ulangkaji untuk peperiksaan esok,” bicara Qistur Ruwaidah kepada kandungannya. Mujurlah janin-janinnya memudahkan perjalanan dia yang sedang bergelut dengan peperiksaan akhir semester dan juga, sepanjang semester ini. Semester penuh cabaran!
Dia mengambil keputusan untuk berehat seketika dari mengulangkaji subjek ‘Bahasa Melayu Kerjaya (Sains Sosial) (BM Kerjaya)’ yang bakal diadakan pada esok hari. Subjek itu juga merupakan peperiksaan terakhir buat dirinya bagi semester ini.
Kemudian, dia akan menangguhkan pengajiannya untuk semester hadapan, yakni semester satu sesi 2017/2018 dan akan menyambung pengajiannya semula pada semester dua sesi 2017/2018.
Tiba-tiba janin-janin Qistur Ruwaidah memberikan reaksi dengan bergerak-gerak.
“Anak-anak ummi main kung fu ya? Ke tengah menari macam abi?” bicara Qistur Ruwaidah bersama senyuman.
Menari? Ah, alangkah dia merindukan momen romantis menari bersama suaminya dahulu! Betapa dia terlalu rindu dengan gerak tarian Mohamad Salahuddin yang begitu lincah menari dan sentuhan hangat yang diberikan oleh suaminya tatkala suaminya itu sabar mengajarkan tarian kepada dirinya. Cepat-cepat dia menggelengkan kepalanya. Dia tidak mahu menangis dan seterusnya, memberikan tekanan lagi buat janin-janinnya itu.
“Nah, adik. Buah jambu, pisang dan biskut,” kata Suhaibul Umar seraya menghidangkan semangkuk buah berserta biskut kepada adiknya untuk snek petang.
“Wah, sedapnya! Kebetulan, adik pun teringin nak kunyah sesuatu. Dah tepu baca nota ‘BM Kerjaya’,” kata Qistur Ruwaidah seraya mengambil buah pisang terlebih dahulu.
Suhaibul Umar tersenyum. “Tak apa, adik. Sikit je lagi. Tinggal esok je,” pujuknya.
“Itulah… Bolehlah adik nak fokus untuk kandungan adik dan beli barang untuk dia orang. Abang pun mesti dah tak sabar, kan?”
“Ya. Abang dah semangat nak hias kat bilik Dik Harraz dan Dik Harzan. Bilik dia orang tu pun, kita masuk sekali-sekala je. Nanti abang baca ayat-ayat pelindung kat bilik tu. Baby coat dia orang pun elok lagi. Cuma, berhabuk dan warna dah pudar. Nanti abang cat baru dan hias sikit baby coat tu bagi nampak ceria. Tak payah beli baru. Jimat duit.”
“Wah, abang nak cat bilik sekali ke!”
“Mestilah. Nanti kita pergi kedai cat. Adik nak dinding warna apa? Tahulah abang nak kombinasikan warna nanti.”
“Warna pic lembut. Adik suka pula warna tu.”
“Boleh, boleh. Abang dah dapat bayangkan. Masa nilah abang nak guna semula ilmu yang abang belajar kat UIA dulu.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia menukar topik perbualan. “Abang… Puasa dah nak dekat, kan?”
“Haah… Dalam seminggu lebih je lagi. Kenapa adik?” ujar Suhaibul Umar.
“Sepatutnya, ni tahun pertama adik berpuasa dengan Din. Emm… Adik rindu kat Din. Lagi-lagi bila adik tengah mengandung, buat adik makin teringat kat dia tapi adik tahu adik tak patut nak ingat dia buat sementara waktu sebab dia pun tak ingat kat adik. Tak hubungi atau whatsapp adik. Adik rasa adik gagal jadi isteri yang baik untuk Din. Adik dah cuba tapi adik tak tahu kat mana silap adik.”
Suhaibul Umar diam membisu. Dia membiarkan sahaja Qistur Ruwaidah meluahkan apa yang terbuku di hati. Ah, kasihan adiknya itu! Terseksa kerana Mohamad Salahuddin. Sejujurnya, dia tidak mahu adiknya meneruskan perkahwinan bersama lelaki itu lagi tetapi apakan daya… Cinta adiknya tetap utuh untuk lelaki dayus itu!
Qistur Ruwaidah menyambung bicaranya. “Tapi… Bila dah macam ni, lama-lama adik sedar… Kasih sayang abang terlalu mahal buat adik. Adik takkan jumpa lelaki sebaik abang. Suami hanyalah pinjaman Allah dan juga, persinggahan sementara kebahagiaan adik. Kalau Din dah tak ada rasa cinta kat adik, adik reda untuk diceraikan nanti. Adik tahu adik kena kuat demi anak-anak tanpa Din. Bila adik dah bersalin nanti, adik harap muka anak-anak kita orang seiras Din sebab… kalau adik rindu Din, anak-anak adik boleh jadi pengubat rindu adik kat Din. Anak-anak dalam kandungan nilah harta peninggalan Din untuk adik, bukti yang Din pernah cintakan adik,” luahnya seraya mengusap kandungannya yang semakin membesar bersama senyuman.
“Adik… Abang cuma boleh cakap, adik kena kuat. Adik tak boleh terus sedih macam ni. Anak-anak adik boleh rasa apa yang adik rasa. Abang risau. Bahaya untuk adik dan kandungan adik. Dahlah esok adik ada peperiksaan,” pesan Suhaibul Umar dengan kerisauan.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. “Adik tahu, abang. Adik minta maaf tapi adik akan lebih terbeban kalau adik tak luah apa yang adik rasa,” beritahu Qistur Ruwaidah, namun hatinya sudah reda seandainya Mohamad Salahuddin mahu menceraikan dirinya. ‘Din… Lepaskan kalau andai kau sudah tiada hati untukku. Kembalikan semula aku kat Abang Suhaib. Aku nak jaga abang aku dan bakal zuriat kita sehingga hujung nyawaku. Tak ada guna lagi untuk kita terus hidup begini, tanpa lagi cinta dan keharmonian. Aku dah cukup terseksa dengan apa yang kau buat kat aku, Din.’
“Kenapa tiba-tiba adik rebah macam ni? Sebelum ni, adik okey je lepas doktor dah nasihatkan adik jangan stres. Adik gembira layan kandungan adik dan adik tak teringat kat Din. Ada apa-apa yang mengganggu adik ke?”
Qistur Ruwaidah mendiamkan diri seketika. “Adik tengah fikir apa nasib adik lepas adik dah bersalin? Adik nak buat apa? Adik ingat, adik nak tambah study leave lagi satu semester. Adik nak kena kerja. Cari rezeki untuk anak-anak adik. Lagi-lagi, barang keperluan dia orang macam susu, lampin… Emm… Adik dah tak nak susahkan abang. Sampai bila adik nak terus bergantung kat abang?” luahnya.
“Adik… Tak pernah terlintas dalam fikiran abang, adik bebanan abang selama ni. Apa yang abang tahu, adik amanah abang sebelum adik kahwin dengan Din. Adik ingat abang akan tinggalkan adik? Macam mana abang jaga adik sebelum adik kahwin, macam tulah juga bila adik bakal jadi ‘ummi’. Abang takkan biarkan adik tanggung semua ni seorang diri sebab adik tetap ibarat adik yang masih kecil kat mata abang. Setakat abang nak tanggung adik dan anak-anak adik sepanjang adik masih belajar, abang masih mampu,” balas Suhaibul Umar agar adiknya tidak terlalu gusar memikirkan tentang hal tersebut.
Sepertimana dia sanggup berkorban untuk adiknya sebelum adiknya berkahwin dengan Mohamad Salahuddin, begitulah juga dia sanggup berkorban untuk adiknya yang bakal menjadi seorang ibu. Kasihnya terhadap Qistur Ruwaidah tidak akan pernah berubah seperti ombak yang menghempas pantai. Biar cuaca berubah sekali pun, ombak tetap sama dan tidak berubah.
“A… Abang…” Qistur Ruwaidah kehilangan kata.
“Abang minta adik kena terus kuat. Kalau adik rebah, ingat… Abang ada untuk adik. Adik boleh bercerita apa je yang adik rasa, macam sebelum adik kahwin. Sekarang, abang rasa adik kena rehat dulu. Malam nanti, adik sambung ulangkaji balik. Abang akan teman adik. Lepas adik tamat peperiksaan esok, kita pergi jalan-jalan cari barang untuk anak-anak adik. Bagi penghargaan kat diri adik yang dah lelah sepanjang semester ni. Soal duit, jangan risau. Okey?”
Qistur Ruwaidah segera mendakap abangnya itu bersama linangan air mata. Mana mungkin kasihnya pernah terpadam buat abang tercinta! Suhaibul Umar tetap Suhaibul Umar.
SETELAH usainya peperiksaan akhir semester bagi Qistur Ruwaidah dan secara tidak langsung, berakhir sudah semester dua sesi 2016/2017 buat dirinya. Dia pasrah jika ada subjek yang membuatkan dia terpaksa mengulang pada dua semester akan datang kelak. Sekarang, dia sudah boleh berehat serta memanjakan diri dan kandungannya.
Seperti yang dijanjikan oleh Suhaibul Umar, dia membawa adiknya berjalan-jalan di pusat beli-belah bagi mencari barang kelengkapan ibu dan bayi sedikit demi sedikit, memandangkan kandungan adiknya sudah memasuki bulan keempat dan eloknya, mereka berdua melakukan persediaan awal. Lagipun, bulan Ramadan juga sudah hampir menjelang tiba. Kebanyakan kedai sudah melakukan promosi sempena Hari Raya Aidilfitri juga.
“Abang, comelnya baju ni! Ada hoodie bentuk kepala beruang,” ujar Qistur Ruwaidah dengan girang tatkala dia memegang sehelai pakaian bayi gabungan rona coklat gelap dan kuning lembut yang tergantung di penyangkut baju.
Suhaibul Umar memandang pakaian yang dipegang oleh adiknya itu. “Comel! Lagi pula bila dia orang pakai seragam. Abang dah boleh bayangkan kecomelan anak-anak adik. Okey, cepat masuk dalam troli,” katanya seraya tersenyum ceria.
Qistur Ruwaidah tersenyum seraya mengambil dua pasang pakaian bayi tersebut. Lalu, dia memasukkan ke dalam troli.
“Abang rasa kita beli 20 pasang dulu. Seorang 10 helai. Nanti kita tambah lagi lepas Syawal. Paling penting, adik kena ada baby stroller, baby carrier dan baby car seat. Lepas tu, alatan mandian dan sabun basuh baju untuk bayi. Kita dah tak payah fikir nak beli yang tu nanti. Sekarang, semua barang tengah ada promosi,” kata Suhaibul Umar. Dia tidak lokek berbelanja buat adik kesayangan dan bakal anak-anak saudaranya itu.
Sang abang itu sudah sedia menyayangi bakal anak-anak adiknya itu sepertimana dia menyayangi adiknya. Selain itu, dia juga mahu menggembirakan hati adiknya.
“Cukup ke duit abang?” soal Qistur Ruwaidah dengan serba salah.
“Adik… Jangan fikir pasal duit abang. Okey? Abang dah sayang anak-anak adik macam nyawa abang sendiri sejak abang tahu adik mengandung walaupun dia orang tak lahir lagi,” ujar Suhaibul Umar.
Sejujurnya, Qistur Ruwaidah menjadi sebak. Dia terharu. Kemudian, mereka berdua menuju ke bahagian kereta sorong bayi, penggendong bayi dan kerusi kereta bayi.
Kelihatan seorang jurujual perempuan menghadiahkan senyuman kepada dua beradik itu. “Cari baby stroller, baby carrier atau baby car seat?”
“Kami mencari ketiga-tiganya. Boleh boleh saya tahu mana yang terbaik untuk anak kembar? Insya-Allah adik saya ni akan bersalin kembar,” terang Suhaibul Umar.
Jurujual itu tersenyum. Ah, sangkaannya lelaki itu merupakan suami kepada wanita di sebelahnya! Dia terperasan bentuk tubuh Qistur Ruwaidah itu, namun kandungan wanita itu tidak nampak seperti orang mengandung kerana jubah yang dipakai oleh Qistur Ruwaidah itu bersaiz besar dan longgar.
Sebolehnya, Qistur Ruwaidah akan cuba menyembunyikan tonjolan perutnya (baby bump) itu kerana ianya salah satu bentuk aurat yang harus dijaga dengan sebaiknya demi maruah diri dan suaminya. Dia masih ingat betapa suaminya sangat peka akan auratnya setiap kali sebelum dia dan suaminya meninggalkan rumah untuk pergi ke mana-mana, hatta ke rumah ibu bapa mentuanya.
Selagi dia masih sah menjadi isteri kepada Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus, selagi itulah dia akan memelihara maruah dirinya. Seteruk mana pun perkahwinan yang telah dilalui oleh dirinya bersama lelaki itu, dia tetap akan menjaga maruah dan nama baik suaminya.
“Okey, kita mulakan dengan baby stroller. Kembar dua atau kembar tiga? Sebab ada rekaan, khas untuk dua jenis kembar tu,” ujar jurujual tersebut.
“Kembar dua,” balas Qistur Ruwaidah.
“Okey. Ni antara baby stroller yang laris sebab ramai mak ayah bagi maklum balas baby stroller ni sangat praktikal dan ringan. Senang nak lipat dan bawa ke mana-mana. Anak-anak mereka pun selesa tidur sebab bahagian tempat duduk ni ada sokongan tulang belakang sekali,” terang jurujual itu seraya menunjukkan demo penggunaan kereta sorong bayi tersebut. “Encik boleh cuba,” katanya seraya membetulkan semula kereta sorong bayi itu ke bentuk asal.
Suhaibul Umar cuba menggunakan kereta sorong bayi itu. Memang benar kata jurujual itu. Mudah dilipat dan ringan. Hebatnya teknologi zaman kini untuk kereta sorong bayi. Qistur Ruwaidah juga kagum dengan kecanggihannya.
“Adik okey dengan baby stroller ni? Ke nak tengok-tengok yang lain dulu?” soal Suhaibul Umar.
“Boleh juga. Kalau tak ada pilihan yang lebih baik daripada baby stroller ni, kita pilih yang ni. Adik suka,” balas Qistur Ruwaidah.
Setelah dua beradik itu meneliti dan membuat perbandingan demi perbandingan berkenaan semua kereta sorong bayi kembar yang dijual di kedai barangan bayi itu, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memilih pilihan pertama. Selalunya, pilihan pertama itulah yang terbaik.
Kemudian, jurujual itu membawa dua beradik ke bahagian penggendong bayi dan kerusi kereta bayi pula. Sama juga. Mereka berdua meminta pandangan daripada jurujual tersebut mana yang terbaik. Maklumlah, ini merupakan kali pertama mereka berdua bakal menerima ahli baharu. Semestinya mereka berdua mahukan paling terbaik buat si kembar yang bakal menjengah ke dunia dalam beberapa bulan lagi.
Usai semuanya, Suhaibul Umar melakukan pembayaran untuk kesemua barang yang telah dipilih oleh mereka berdua.
“Terima kasih abang. Adik tak tahu macam mana nak balas jasa abang. Abang dah habiskan RM5000 untuk kita orang bertiga. Besar jumlahnya tu,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama adik. Apalah sangat harga tu berbanding pengorbanan adik yang tengah gigih usung zuriat adik. Ni cuma sedikit sumbangan je daripada abang. Anggaplah, ni hadiah daripada abang sebagai tanda, adik masih setia hidup bersama abang sampai ke hari ni. Adik pun dah banyak berkorban untuk abang dari dulu. Adik sabar layan sakit PTSD abang dan masa emosi abang tak stabil. Kalau abang nak senaraikan semua, takkan cukup,” ucap Suhaibul Umar.
“Abang… Janganlah nak buat adik banjir pula kat pusat beli-belah ni.”
Suhaibul Umar tertawa. “Abang minta maaf. Biasalah. Kan kita ni suka berdrama. Ha, adik teringin nak makan Ais Krim Yogurt Nyaw Nyaw tak?”
Qistur Ruwaidah memegang tangan abangnya. “Weh, abang macam tahu-tahu je adik nak ais krim tu! Mestilah nak! Jom abang. Lepas tu, kita pergi kedai cat pula. Adik tengah semangat ni!”
Suhaibul Umar tersenyum. Demi Qistur Ruwaidah, dia akan membahagiakan adiknya sehingga ke akhirnya! Juga, bakal anak-anak saudaranya!
“SEKEJAP, hari ni berapa haribulan?” soal Qistur Ruwaidah sendirian tatkala hatinya menjadi gundah-gulana berkenaan hari ini. Entah mengapa… Lalu, dia menuju ke arah kalendar yang tergantung di dinding ruang tamu.
24 Mei 2017.
‘Ya Allah… Hari ni dah genap setahun aku terima lamaran habibi sebelum keluarga dia datang merisik dan kita orang bertunang. Patutlah aku rasa sesuatu je,’ bisik hatinya seraya mengusap kandungannya. “Anak-anak ummi… Hari ni genap setahun ummi terima lamaran abi. Ummi ingat lagi… Abi gembira masa tu. Tak sangka… Cepat betul masa berlalu. Tahu-tahu ummi pun tengah mengandungkan anak-anak ummi ni,” bicara dia kepada kandungannya seraya menuju semula ke bilik tidur.
Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Pergerakannya semakin terbatas dan tidak selincah dahulu. Hendak melabuhkan punggung di atas kerusi pun memakan masa dan membuatkan dirinya lelah. Akan tetapi, dia bersyukur dan itulah kenangan indah. Tambahan pula, kandungannya makin membesar dengan sihatnya. Doktor pun mengesahkan bahawa kandungannya berada dalam keadaan normal dan dia pun tidak mengalami tekanan lagi.
Tiba-tiba minda Qistur Ruwaidah terimbau kembali kenangan di antara dirinya dengan Mohamad Salahuddin ketika mereka berdua baru sahaja berkahwin selama dua bulan.
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sedang menonton ceramah salah seorang pendakwah terkenal di televisyen.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah memegang erat tangan suaminya. “Idola habibi siapa?”
Mohamad Salahuddin menghadiahkan kuntuman senyuman. “Sebelum ayah dan almarhum baba, mestilah Rasulullah yang menjadi idola habibi dalam semua aspek. Akhlak Baginda sangat sempurna. Walaupun habibi tak mampu jadi macam Baginda tapi yang mana habibi boleh ikut, habibi ikut, terutama dalam aspek rumah tangga,” balasnya seraya mencuit hidung sang bidadari.
Qistur Ruwaidah tersenyum malu-malu. “Wah, mengagumkan! Sayang pun nak cuba ikut akhlak Baginda yang mana-mana sayang boleh ikut. Jom kita buat yang terbaik supaya kita dapat jumpa Baginda kat sana.”
“Insya-Allah. Jom kita sama-sama jadi hamba Allah terbaik dan muslim sejati,” balas Mohamad Salahuddin seraya mengucup dahi isterinya.
PAK!
Lamunan Qistur Ruwaidah termati tatkala botol plastik yang sudah kehabisan air, terjatuh dari meja belajarnya. Lalu, dia mengambil botol tersebut secara perlahan-lahan kerana dia tidak boleh membongkokkan tubuhnya lagi. Janin-janinnya telah memenuhi ruang perutnya. “Kau ni, botol. Buat kacau momen aku teringat kat habibi je tahu,” ujarnya bersama senyuman hambar.
Seketika, dia memegang buah rantai emas kuning yang tergantung di lehernya sambil membelek-belek buah rantai berhuruf ‘QS’ dan mempunyai corak abstrak bunga dikeliling huruf tersebut sebagai tanda berbunganya cinta dia terhadap suaminya dan tidak akan pudar sehingga dia tiada kelak.
‘QS’, iaitu gabungan namanya dan Mohamad Salahuddin. Dia masih ingat lagi betapa suaminya amat menyukai buah rantai ini. Ah, seksanya dia! Sudah hampir dua bulan dia tidak mendengar khabar berita daripada cinta hatinya itu.
Tiba-tiba dia merasakan janin kembarnya menghadiahkan tendangan manja sebagai isyarat bahawa mereka berdua sentiasa bersama ibunda tercinta. Dia mengelus perutnya yang kian membesar itu sambil berbicara dengan janin-janin tersebut. “Anak-anak ummi pun rindu kat abi ya? Abi tengah sibuklah sekarang. Nanti kita cuba jumpa abi ya, sayang-sayang ummi,” bicaranya dengan penuh kelembutan.
Dia tertawa kecil tatkala janin-janin itu berterusan menendang perutnya dengan manja. “Aduh, anak-anak ummi ni! Aktifnya… Senang hati ummi. Kalau abi ada ni, mesti abi pun gembira sangat dapat rasa tendangan anak-anak ummi ni tahu.”
Tiba-tiba janin-janin yang berada dalam keadaan yang sangat aktif, terus menjadi pasif tatkala mendengar ayat terakhir Qistur Ruwaidah. Dia bagaikan terlupa bahawa janin-janin dalam rahimnya turut merasai kesedihannya. “Aik? Dah senyap pula anak-anak ummi ni. Tadi, bukan main aktif lagi. Rindu abi ya?” katanya seraya tersenyum. Dia tahu bahawa dua benih cinta itu amat merindui sang ayah.
Hati Qistur Ruwaidah mula berbicara. ‘Habibi… Sayang rindu habibi. Anak-anak kita pun rindu sangat kat habibi. Sayang tak tahu nak ekspresikan macam mana lagi tapi kerinduan sayang kat habibi cukup mendalam. Habibi pergi mana? Habibi tak rindu kat sayang ke? Sayang nak sangat beritahu habibi yang sayang tengah mengandungkan zuriat habibi. Zuriat yang habibi dambakan sangat sejak dari awal kita kahwin. Anak-anak kita dah mula main tendang-tendang manja, habibi. Kandungan sayang dah nak masuk lima bulan. Alhamdulillah…’
‘Habibi… Macam mana sayang nak teruskan misi kita nak contohi Rasulullah, jadi ummi terbaik dan tamatkan ijazah tanpa habibi? Sayang rindukan habibi sepenuh hati sayang. Bagai terputus jasad dan nyawa sayang bila habibi tak ada kat sisi sayang. Sayang sakit! Sayang rebah…’
‘Tapi habibi… Kalau hati habibi dah tak ada perasaan cinta untuk sayang lagi, sayang pasrah untuk dilepaskan dari kehidupan habibi. Sayang akan tabah menjalani hidup bersama zuriat kita tanpa habibi. Sayang akan jaga mereka baik-baik. Cuma, habibi perlu tahu… Sayang cintakan habibi! I love you! Behebbak awi! Anak-anak kita pun rindu sangat kat habibi. Nanti kita jumpa ya, habibi. Mesti habibi gembira tengok perut sayang ni makin besar sebab sayang tengah mengandungkan benih cinta kita.’
Demikianlah luahan kalbu Qistur Ruwaidah yang menanggung rindu tidak berpenghujung buat suami tercinta, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus. Lalu, dia mengambil keputusan untuk melelapkan mata buat seketika. Tubuhnya berasa amat letih.
Dalam lenanya itu, dia sedang bermimpi sesuatu…
“Mana pergi segala cinta habibi kat sayang macam dulu! Jawab habibi! Jawab! Selama ni, habibi lupa ke cinta kita utuh!” bentak Qistur Ruwaidah sambil mencengkam kemeja rona putih milik suaminya. Betapa dia benar-benar terluka dengan tindakan suaminya!
Wajah Mohamad Salahuddin menjadi bengis. Lalu, dia membentak isterinya pula. “Diamlah! Kau serabutkan aku, Qistur Ruwaidah! Aku benci kau! Aku tak nak tengok muka kau. Berambus! Jangan sampai aku hilang sabar dengan kau!”
PAP! Sebuah tamparan hinggap di pipi Qistur Ruwaidah.
“Hoi Din! Berani kau tampar adik aku! Kau ni suami jenis apa! Dasar jantan tak guna! Dayus!” bentak Suhaibul Umar. Lalu, dia membelasah adik iparnya itu dengan menggunakan ilmu silat yang dimiliki oleh dirinya.
Mata Qistur Ruwaidah terus terbuka setelah dia melalui mimpi buruk itu. Tubuhnya berpeluh-peluh. “Astaghfirullah. Teruknya mimpi aku,” ucapnya seraya mengusap kandungannya. Dia memerlukan kekuatan. “Anak-anak ummi, ummi takut…” luahnya.
Sekali lagi, janin-janinnya menendang perutnya itu. Dia tersenyum. Syukur adanya mereka di dalam rahimnya!
27 MEI 2017
Bermulalah puasa di bulan Ramadan yang amat dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam. Tidak terkecuali buat Qistur Ruwaidah. Pada hari semalam, dia cuba menunaikan solat sunat tarawih di masjid. Namun, dia rasa tidak larat dan mampu mengerjakan sebanyak empat rakaat sahaja. Selebihnya, dia berehat sementara menunggu abangnya tamat menunaikan solat sunat tersebut.
“Adik solat kat rumah jelah. Lagi selamat. Abang risau tengok adik,” kata Suhaibul Umar setelah adiknya meluahkan keadaannya yang tidak larat untuk menunaikan solat sunat tarawih.
Pada hari pertama Qistur Ruwaidah berpuasa, dia hanya larat sehingga tengah hari sahaja. Kemudian, dia berbuka. Lagipun, ini merupakan pengalaman pertamanya berpuasa dalam keadaan berbadan dua dan setelah dia menjadi isteri kepada Mohamad Salahuddin. Pengalaman yang cukup mengujakan dirinya!
Sepatutnya… Ini merupakan tahun pertama dia menyambut bulan puasa bersama-sama dengan suaminya itu. Bagaimanalah agaknya keadaan Mohamad Salahuddin sekarang? Sihatkah suaminya? Bagaimanalah dengan makan minumnya?
Itulah Qistur Ruwaidah… Seorang isteri yang masih memikirkan keadaan suaminya. Perasaan cintanya tidak pernah pudar buat Mohamad Salahuddin itu meskipun suaminya pernah menyakiti tubuhnya berkali-kali! Dalam hatinya, masih ada sekelumit rasa untuk mencari dan kembali kepada suaminya.
Namun, dia mengenangkan zuriatnya. Dia lebih mengutamakan kandungannya dan tidak mahu janin-janinnya disakiti lagi seperti dahulu. ‘Aku masih cintakan kau, Mohamad Salahuddin tapi… aku trauma! Aku takut kau akan lukakan anak-anak kita lagi. Keutamaan aku sekarang, anak-anak kita. Kalau kau dah ada keputusan dan kau pilih nak lepaskan aku, aku takkan rugi atau terkilan sebab aku ada anak-anak yang bakal menemani aku. Memang aku sedih kalau hubungan kita berakhir sampai kat sini je tapi aku tahu aku kena kuat demi anak-anak aku,’ bisik hatinya.
Sekarang, dia lebih kuat daripada apa yang dia sangkakan. Semuanya demi bakal zuriatnya! Bukan lagi untuk suaminya.
Share this novel