BAB 31

Drama Completed 13621

KHAMIS, 1 DISEMBER 2016
Kini, usia perkahwinan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah memasuki bulan yang ketiga dan cinta mereka berdua kian mekar dan penuh harmoni.
Namun, setiap perkahwinan pasti ada ujiannya, terutama beberapa orang kenalan Qistur Ruwaidah mula bertanyakan soalan yang cukup sensitif buat dirinya sebagai isteri, iaitu kehamilan yang cukup didambakan oleh dirinya. Bukan dia dan Mohamad Salahuddin tidak mahu kurniaan Allah itu, namun mereka berdua masih belum dikurniakan rezeki ke arah itu.
Setiap kali kitaran haid Qistur Ruwaidah datang lewat daripada kebiasaannya, dia akan melakukan ujian dengan menggunakan alat ujian kehamilan dan pasti keputusannya negatif. Setiap kali keluarnya keputusan negatif, dia kecewa dan menangis sendirian tanpa berkongsi tentang hal tersebut kepada Mohamad Salahuddin. Dia berusaha untuk belajar erti reda dan tidak mahu memikirkan tentang zuriat.
Sehinggalah pada suatu hari…
Qistur Ruwaidah mengemaskan barang-barangnya ke dalam beg setelah dia dan rakan-rakan sekumpulannya tamat membincangkan tugasan bagi subjek ‘History of Arabic Literature’.
“Qist, nak tanya sikit,” sapa salah seorang kawan Qistur Ruwaidah, iaitu Nahwah setelah Qistur Ruwaidah menggalas begnya.
“Ya Nahwah?” respons Qistur Ruwaidah dengan penuh santun bersama senyuman.
“Dah ada ‘isi’ ke?” soal Nahwah tanpa memikirkan bahawa soalan tersebut akan menyinggung mana-mana isteri yang sedang berjuang untuk dua garisan itu.
Riak wajah Qistur Ruwaidah menjadi keruh. Sungguh, hatinya mula dihiris-hiris. Namun, dia menjawab dengan penuh santun. “Belum lagi, Nahwah. Tak ada rezeki lagi,” balasnya.
Nahwah mencebikkan wajahnya. “Aik? Kau dah kahwin tiga bulan, kan? Takkan belum ada ‘isi’ lagi? Kakak aku pun kahwin sebaya kita dulu. Sebulan lepas kakak aku kahwin, dia terus mengandung,” ujarnya tanpa mempedulikan perasaan kawannya itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum hambar. Namun, kata-kata Nahwah sangat menusuk jantungnya. “Oh, tahniah untuk kakak kau. Alhamdulillah rezeki dia mengandung cepat.”
“Kau ni, Nahwah. Apalah tanya soalan macam tu… Qist baru kahwin tiga bulan. Awal lagi. Kalut-kalut nak pergi mana? Lagipun, Allah belum izinkan Qist nak mengandung. Nak buat macam mana, kan?” sampuk Tihaani bagi membela kawan baiknya itu.
Nahwah terdiam. Dirinya rasa tertampar dengan kata-kata Tihaani itu. “Betul juga, kan. Tak apalah. Aku balik mahallah dulu,” ucapnya seraya meninggalkan bilik diskusi yang tersedia di Perpustakaan Dar Al-Hikmah itu.
“Melampau betul mulut Nahwah. Mulut tak ada insurans langsung. Aku rasa nak cili-cilikan je mulut dia. Kakak dia mengandung cepat ke apa, lantak kakak dialah. Menyibuk pula nak bandingkan kau dengan kakak dia. Yang dia tu… Kahwin pun belum. Jadi mak cik bawang pula. Dia tu cakap tak tengok cermin tahu. Kenapa tak kahwin umur 21 tahun macam kakak dia juga? Eiii… Geram pula aku,” bebel Tihaani kegeraman.
Qistur Ruwaidah ketawa kecil. “Tak apalah, Tihaani. Dia tak sengaja tu. Aku okey je,” ujarnya. Walhal, dia menipu dirinya sendiri. Dia benar-benar terkesan dengan kata-kata Nahwah itu!
“Tak sengaja apanya. Tu cari pasal namanya. Aku yang tak kahwin lagi ni pun rasa menyirap dapat soalan macam tu.”
“Sabar, sabar. Biarlah kat dia tu. Eh, aku nak kena gerak sekarang! Din dah whatsapp aku tadi. Dia tengah tunggu aku kat parkir library.”
“Okey Qist. Jumpa Isnin depan pula. Hati-hati.”
Dua sahabat itu bersalaman dan berpelukan sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
Dalam perjalanan hendak menuju ke arah kereta Mohamad Salahuddin, fikiran Qistur Ruwaidah masih terngiang-ngiang akan kata-kata Nahwah tadi bagaikan pita rakaman. Sebolehnya, dia cuba menepis dari terus memikirkan berkenaan itu. Kini, suaminya lebih penting untuk dia melayan dengan setulus hati dan dia perlu kekal tersenyum agar suaminya tidak mengesyaki apa-apa.
Sesampai Qistur Ruwaidah ke arah kereta suaminya, Mohamad Salahuddin membuka pintu keretanya.
“Assalamualaikum habibi,” ucap Qistur Ruwaidah dengan nada kurang ceria setelah dia berada dalam perut kereta. Dia menyalam tangan suaminya.
“Wa… Waalaikummussalam,” balas Mohamad Salahuddin dengan gugup tatkala dia mendengar suara isterinya seperti isterinya sedang bersedih. Namun, dia berlagak biasa. Lalu, dia memulakan pemanduannya.
Kali ini, Mohamad Salahuddin rasa agak aneh dengan isterinya kerana kebiasaannya, Qistur Ruwaidah akan memegang tangannya sewaktu dia sedang memandu. Akan tetapi, isterinya tidak berbuat demikian pada kali ini. Perlahan-lahan dia menyentuh tangan kanan isterinya.
“Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin.
“Emm… Ya habibi,” balas Qistur Ruwaidah.
“Sayang okey tak ni? Senyap je dari tadi.”
“Okey je. Cuma, sayang penat sikit. Letih dengan discussion tadi.”
Jauh di sudut hati Mohamad Salahuddin, dia tahu bahawa isterinya sedang menyembunyikan sesuatu daripada dirinya. Dia cukup mengenali Qistur Ruwaidah yang tidak pandai menyembunyikan masalahnya. ‘Sayang… Jangan tipu habibi. Habibi tahu sayang ada masalah,’ bisik hatinya.

Sesampai Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin di dalam rumah, kelihatan Qistur Ruwaidah sedang melabuhkan punggungnya di atas sofa. “Fuh… Letih juga discussion tadi,” katanya sendirian.
Namun, kata-kata Nahwah tadi kembali menghantui Qistur Ruwaidah. Sungguh dia terasa bahawa Nahwah sedang mengejek-ejek lagi dirinya seolah-olah dia merupakan perempuan mandul yang tidak mampu memberikan zuriat buat suaminya. Tanpa sedar, air matanya mula menitis. Sebolehnya, dia tidak mahu suaminya mengetahui gelora hatinya kini. Dia segera menyeka air matanya. Namun, dia gagal untuk menghentikan air matanya itu.
Tiba-tiba tubuh Qistur Ruwaidah didakap oleh Mohamad Salahuddin dari belakang. “Sayang, kenapa menangis ni?”
“T… Tak ada apa-apa,” balas Qistur Ruwaidah seraya menyeka air matanya.
Kelihatan Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan tersebut. Lalu, dia melabuhkan punggungnya di sebelah isterinya. “Sayang… Jangan tipu habibi. Manusia takkan menangis tanpa sebab. Habibi kenal sayang. Habibi tahu sayang tak boleh simpan masalah. Cuba cerita dengan habibi. Kenapa ni?”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah menampar dada suaminya. “Sampai bila kita ni berdua je! Bila sayang nak mengandung! Bila kita nak ada anak!” luahnya bersama tangisan dan penuh emosi. Dia menampar lagi dada suaminya.
Mohamad Salahuddin terkejut dengan tindakan agresif Qistur Ruwaidah. Namun, dia cuba menenangkan isterinya itu dengan mendakap isterinya tanpa sebarang bicara bagi menyalurkan ketenangan dan kekuatan. Sebagai seorang suami, dia perlu rasional dan bukan mengikut emosi sekali serta menangani konflik sebegini dengan tenang.
“Isk… Isk… Isk… Habibi… S… Sayang nak anak. Sayang sedih bila orang tanya sayang dah mengandung ke belum. Sayang tertekan bila setiap kali haid sayang datang lewat, sayang ingatkan sayang mengandung tapi bila sayang periksa, negatif. Sayang sakit habibi!” luah Qistur Ruwaidah dalam dakapan suaminya itu.
Barulah Mohamad Salahuddin mengerti apa yang terbuku di hati isterinya. Qistur Ruwaidah sedang tertekan dengan mulut orang berkaitan anak. Sejujurnya di pihaknya sendiri, dia tidak memikirkan sangat berkenaan hal itu kerana tempoh perkahwinan mereka berdua masih awal.
“Shhh… Sayang… Habibi minta maaf sebab habibi tak peka pasal hal ni. Kenapa sayang tak beritahu habibi? Sayang tahu habibi akan dengar setiap masalah sayang, kan? Sayang tahu habibi sentiasa ada untuk sayang, kan? Sayang tak patut pendam macam ni,” ujar Mohamad Salahuddin dengan penuh lemah lembut.
“S… Sayang tak nak susahkan habibi. Habibi ada banyak perkara lain nak kena fikir berbanding fikir pasal anak ni,” balas Qistur Ruwaidah. Gelora emosi sedihnya semakin reda.
Mohamad Salahuddin mengusap tubuh belakang isterinya. “Siapa cakap? Bukan habibi tak fikir. Habibi pun fikir. Cuma, habibi tak nak terlalu fikir pasal anak. Habibi pun nak anak tapi sayang… Itu semua kerja Allah. Siapa kita nak menidakkan apa yang Dia tentukan kat kita? Sayang, tiga bulan perkahwinan kita masih terlalu awal. Pernah ke habibi desak sayang pasal anak? Sayang kena ingat… Itu bukan kuasa sayang, bukan juga kuasa habibi. Itu semua kuasa Allah. Cuma, habibi nak tahu… Kenapa sayang tiba-tiba jadi macam ni? Ada orang bangkitkan pasal anak kat sayang ya?”
Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan tersebut bagi bertentang mata dengan suaminya. Kemudian, dia menanggalkan tudungnya yang setia dipakainya sejak tadi. “Sayang, minta maaf. Sayang silap. Sayang tak patut pukul habibi tadi. Sebenarnya, tadi…”
Lalu, Qistur Ruwaidah membuka cerita apa yang telah terjadi selepas perbincangan di Perpustakaan Dar Al-Hikmah itu. Mohamad Salahuddin mendengar dengan penuh tekun.
“Sayang bukan apa, habibi. Sayang pun tak kisah kalau rezeki anak bukan sekarang tapi bila kawan sayang tu bangkitkan pasal tu, sayang rasa tercabar dengan kakak dia. Sayang rasa macam sayang ni mandul pula sebab masih tak dapat bagi anak kat habibi,” terang Qistur Ruwaidah.
“Ya Allah, sayang… Kenapa cakap macam tu? Sayang bukannya mandul. Sayang datang haid setiap bulan. Itu bermakna kita tetap ada harapan untuk ada anak. Cuma, cepat atau lambat je. Lantaklah pasal kawan kakak sayang tu. Itu rezeki dia. Rezeki kita kat bahagian lain. ”
“Macam mana kalau Allah uji memang kita tak ada anak? Habibi masih setia untuk sayang macam mana habibi tunggu sayang sampai tiga tahun dulu? Ke habibi pilih untuk berpoligami?”
Mohamad Salahuddin memegang kedua-dua belah lengan isterinya. “Demi Allah, tak sayang! Poligami bukan jalan yang habibi akan pilih. Habibi takkan menduakan sayang. Habibi tak pernah terlintas nak menduakan sayang sebab habibi tahu, susahnya habibi nak dapatkan sayang dulu. Habibi takkan sia-siakan peluang yang Allah dah bagi kat habibi untuk hidup dengan sayang. Setiap hari, habibi berdoa supaya Allah tetapkan hati habibi hanya untuk sayang seorang je. Habibi tak nak ada orang ketiga dalam perhubungan kita dan ya, habibi pilih untuk setia dengan sayang sampai habibi mati. Sayang… Kita lupakan dulu pasal anak ya. Ingat Allah. Allah Maha Berkuasa untuk para hamba-Nya.”
Qistur Ruwaidah menjadi sebak tatkala mendengar kata-kata suaminya itu. Dia meraih tangan suaminya dan mengucup tangan yang telah banyak berkorban buat dirinya. “Habibi… Sayang minta ampun. Sayang rasa sayang teruk sangat. Berkali-kali sayang rasa sayang ni bebanan habibi.”
“Astaghfirullah… Sayang… Kenapa fikir macam tu?”
“S… Sa… Sayang nampak habibi letih sebab sayang. Sayang tahu habibi usaha nak bahagiakan sayang tapi kadang-kadang sayang rasa sayang dah bebankan habibi. Sayang minta maaf. Sayang minta ampun.”
“Sayang… Sayang fikir macam-macam sangat hari ni sampai sayang fikir terlalu negatif. Habibi tak cakap apa-apa tahu. Sayang ingat ni… Sayang ni amanah habibi. Sikit pun habibi tak rasa terbeban jaga sayang. Sayanglah segala-galanya buat habibi. Mana ada istilah beban untuk habibi sebagai suami sayang.”
“H… Habibi… S… Sayang…”
Mohamad Salahuddin meletakkan jari telunjuknya ke bibir isterinya. “Shhh… Sayang… Cukup. Jangan fikir yang bukan-bukan lagi. I love you,” ucapnya seraya melepaskan jari telunjuknya. Sebuah kucupan pipi dihadiahkan buat isteri tercinta.
Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman kecil buat suaminya. “I… I love you too. Emm habibi… Terima kasih.”
“Terima kasih untuk?”
“Tak berputus asa dengan sayang sejak dulu.”
Kelihatan Mohamad Salahuddin turut menghadiahkan senyuman buat isterinya. “Sama-sama sayang. Hei sayang…”
“Y… Ya habibi?”
“Again, I love you. Sayang cinta mati habibi sampai bila-bila. Takkan ada wanita lain boleh menggantikan sayang dalam hidup habibi.”

“I love you too… So much! Habibi pun cinta mati sayang. Sayang nak jadi isteri yang setia untuk habibi sampai bila-bila.”

Kelihatan Qistur Ruwaidah membaringkan kepalanya di atas paha suaminya. Dia benar-benar tenang dengan kehadiran suaminya di sisinya. Tanpa Mohamad Salahuddin, dia akan rebah seperti tadi.

Mohamad Salahuddin mengusap ubun-ubun isterinya sambil mengungkap sesuatu di dalam hati. ‘Inilah kebahagiaanku, keluarga kecilku. Ya Allah… Moga Kau mengurniai kami insan bernama anak. Andai tiada, aku tetap setia untuk Qistur Ruwaidah sehingga ke hujung nyawaku sepertimana aku terpandangkan dia buat kali pertama dan setia untuk dirinya sehingga tiga tahun lamanya. Dialah isteri, bidadari dan cinta matiku sampai bila-bila. Amin ya Rab…’

Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah terlelap di ribaan suaminya. Dia benar-benar letih dan mengantuk akibat terlalu banyak menangis dan memikirkan peristiwa di perpustakaan tadi.

Mohamad Salahuddin segera menggendong isterinya untuk dibawa masuk ke kamar beradu. Lalu, dia membaringkan isterinya di atas katil dan menyelimuti tubuh sang isteri. Penyaman udara turut dihidupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh. Seketika, dia melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan dengan tempat isterinya sedang dibuai mimpi. Kelihatan wajah Qistur Ruwaidah amat penat tetapi tetap cantik pada pandangan sang suami itu.
Hati lelaki itu berbisik. ‘Qistur Ruwaidah… Kaulah pinjaman Allah untukku agar aku boleh membahagiakan kau sehingga maut sahaja yang memisahkan kita berdua. Ya Allah, terima kasih di atas kurniaan-Mu yang cukup agung ini. Sayang, seandainya boleh diukirkan sebesar mana cintaku kepadamu, aku menyedari cinta Allah dan Rasul-Nya lebih utama agar aku dan kau meraih visi dan misi sebenar sebagai khalifah. Sayang… Pernikahan ini juga merupakan jambatan bagi aku dan kau untuk meraih ladang pahala…’

‘Aku juga berpegang erat pada paksi cintaku, tidak lain tidak bukan hanyalah buat kau, sayang. Kaulah kekasih cintaku yang aku pertahankan sejak pandangan pertama. Aku takkan jemu untuk kau, sayang. Takkan!’
Lalu, Mohamad Salahuddin mengucupi dahi isterinya dan meninggalkan isterinya di kamar beradu itu. Dia bercadang untuk menyempurnakan tugasan yang tertangguh di bilik sebelah, iaitu bilik belajar. Dia tidak boleh menangguhkan tugasan berkumpulan dan dia tidak mahu ahli kumpulannya menganggap bahawa dia tidak reti membahagikan masa di antara kahwin, kerja dan belajar. Setakat ini, dia menjalankan ketiga-tiga tanggungjawabnya dengan adil.

“Okey… Bismillahirrahmannirrahim…” ucapnya sebelum dia memulakan apa jua pekerjaannya. Tugasan berkumpulan itu dibaca satu demi satu.

“Uish… Susah juga ni. Aku nak kena tanya Wan Dolah,” katanya sendirian.

Segera, Mohamad Salahuddin mencari nombor sahabat baiknya, iaitu Wan Abdullah bagi bertanyakan tugasan yang tidak difahami itu.

“Waalaikummussalam Wan Dolah…” ucapnya setelah Wan Abdullah menjawab panggilannya.

TAMAN BOTANI PUTRAJAYA

Memandangkan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah terlalu tertekan dengan pembentangan dan tugasan yang semakin bertimbun setelah semester satu bagi sesi 2016/2017 memasuki minggu ke-12 dan ke atas, pasangan itu mengambil keputusan untuk bersenam serta bersiar-siar di taman tersebut.
“Ah, letihnya!” luah Qistur Ruwaidah seraya meneguk air kosong setelah dia dan suaminya berehat seketika di atas bangku bagi melepaskan lelah setelah mereka berdua penat berlari bagi mengeluarkan peluh.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Alaa… Penat ya? Kesiannya sayang habibi ni.”
Qistur Ruwaidah memuncungkan bibirnya. “Haah… Penatlah habibi. Dah lama tak jogging tapi seronok juga. Badan rasa ringan dan segar.”

Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersenyum. “Alhamdulillah. Sebab tu, kita kena bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Lagi-lagi kita tengah tertekan dengan tugasan sekarang. Pembentangan lagi…”
Qistur Ruwaidah suka menyaksikan senyuman suaminya itu. “Habibi… Sayang suka tengok habibi senyum. Semoga senyuman habibi takkan hilang selagi mana sayang hidup. Walaupun habibi penat macam mana pun, habibi tak pernah jemu senyum kat sayang.”
Mohamad Salahuddin meletakkan tangan kirinya di bahu kiri isterinya. “Jangan risau, sayang. Mana boleh habibi tak senyum,” ujarnya. Lalu, dia meraih tangan kanan isterinya dan mengucup dengan penuh rasa cinta. Kelembutan tangan isterinya benar-benar mendamaikan dirinya. Tangan isterinya itu telah menyarungkan cincin di jari manisnya sewaktu majlis akad nikah dahulu dan tangan itu jugalah telah banyak memudahkan urusan sehariannya.
Sungguh, Mohamad Salahuddin tidak akan melupakan pengorbanan Qistur Ruwaidah yang telah sudi untuk hidup bersama-sama dengan dirinya dan isterinya juga telah berkorban untuk meninggalkan satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup, iaitu Suhaibul Umar.

Mohamad Salahuddin menyambung bicaranya. “Senyum kat sayang ibarat terapi untuk habibi. Hilang penat habibi bila senyum dan tengok sayang. Memang taklah habibi nak senyum kat perempuan lain. Kan?” sakatnya pada ayat terakhir itu. Sengaja dia ingin mengetahui reaksi isterinya.

Wajah Qistur Ruwaidah segera berubah. “Eh, habibi! Jangan pandai-pandai nak senyum kat perempuan lain ya! Sayang cemburu! Eii… Habibi ni, kan! Kalau sayang dapat tahu, habibi tidur kat luar rumah tahu. Lepas tu, sayang nak mogok masak dan gantung kuali selama setahun.”

Mohamad Salahuddin segera meledakkan tawanya. “Isy! Tak ada maknanya. Tak kuasalah habibi. Alaa sayang… Janganlah… Sayang cinta mati habibi kut! Janganlah mogok tak masak sampai setahun. Kesian habibi kena makan kat luar. Tak dapat nak rasa air tangan sayang yang sedap hingga menjilat jari tahu.”

“Ha, tahu pun! Kan dah kena dengan sayang. Tulah… Buat nakal lagi,” kata Qistur Ruwaidah. Lalu dia menjelirkan lidahnya.
Pasangan itu tertawa bahagia. Rumah tangga yang dibina semakin mekar biarpun ada ketika badai melanda. Namun, masing-masing berpegang erat agar tidak mengalah dengan cinta yang telah tersemai sejak 1 September 2016 dahulu.
“Habibi… Boleh sayang tanya soalan?” pinta Qistur Ruwaidah.

“Tanyalah. Apa-apa je untuk sayang,” balas Mohamad Salahuddin.

“Emm… Kenapa habibi boleh bersabar sangat dengan sayang? Sayang selalu rasa kecewa. Lepas tu, menangis untuk perkara remeh atau sayang teringat kat keluarga sayang. Contoh, macam peristiwa sayang pukul habibi dulu.”

Mohamad Salahuddin mengusap pipi isterinya. “Sebab… Sayang takkan pernah buat habibi jemu untuk layan kerenah sayang. Pasal peristiwa tu, biasalah… Habibi faham je bila perempuan tengah beremosi, lain macam. Habibi anggap hormon sayang tak stabil masa tu. Sama juga macam Keena. Dia pun ada angin dia. Sayang… Habibi pun dah sedia maklum dengan perangai sayang. Jadi, sayang mengajar habibi sebagai ketua keluarga untuk terus bersabar…”

Sambung bicara sang suami itu… “Apa yang dah jadi masa tu, memang bagi tamparan juga untuk habibi sebab habibi rasa habibi masih belum faham sayang sepenuhnya tapi habibi pujuk diri habibi… Itu ujian dalam perhubungan kita. Lagipun, kita baru tiga bulan kahwin. Memang banyak lagi perangai yang kita belum kenal sesama kita. Kita masih dalam proses bertaaruf sampai sekarang. Kalau sayang perlukan habibi untuk bercerita atau luah apa yang sayang rasa, sayang beritahu je habibi sebab habibi tak boleh baca fikiran sayang. Jujur je, okey? Jangan berahsia macam hari tu. Lagi-lagi pasal sayang buat ujian kehamilan seorang diri. Tak adil untuk sayang tanggung rasa sedih tu seorang diri, sedangkan habibi tak tahu. Boleh sayang?”
“Insya-Allah habibi. Emm… Pasal tu, sayang betul-betul minta maaf. Sayang tak patut sembunyikan apa-apa daripada habibi. Cuma, masa tu sayang rasa sayang dah terlalu bebankan habibi. Habibi… Walaupun sayang ni tak setenang habibi, habibi masih boleh bersabar ke untuk sayang?”

“Macam habibi pernah cakap, sayang bukan bebanan habibi. Kalau habibi fikir macam tu, baik habibi tak payah kahwin kalau habibi tak sedia nak layan kerenah isteri. Sayang… Pernah ke habibi marah atau naik tangan kat sayang bila emosi sayang tak stabil atau sayang marah habibi? Tak pernah, kan? Tu tandanya habibi boleh bersabar dengan sayang.”
“Emm… Haah… Tak pernah. Sayang minta maaf. Sayang minta ampun. Sayang fikir yang bukan-bukan pula pasal habibi.”
“Tak apa, sayang. Habibi faham je. Habibi takkan putus asa untuk sayang.”

Lalu, Qistur Ruwaidah melentokkan kepalanya di bahu kiri suaminya. “Habibi… Andai diberi pilihan sama ada sayang atau kucing, habibi akan pilih yang mana satu?”
Mohamad Salahuddin tergelak mendengar soalan isterinya yang boleh dikatakan kritis dan memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi untuk dia menjawab. Namun, dia tetap meraikan dan bangga kerana mempunyai isteri yang berfikiran cerdas dan suka bertanya. Teringat sewaktu kelas ‘Law and Society’ di Centre For Foundation Studies, International Islamic University Malaysia, Petaling Jaya (CFS IIUM PJ) dahulu, dia suka menyaksikan sifat aktif isterinya yang suka mengajukan soalan kepada pensyarah mahupun kawan-kawan yang melakukan pembentangan, termasuklah dirinya. “Kucing? Sayang dah kenapa pula bandingkan diri sayang dengan kucing? Mestilah habibi pilih sayang.”
“Tak adalah… Kucingkan manja, menghiburkan… Kalau kucing gemuk pun, orang suka. Kalau sayang dah gemuk, habibi nak lagi ke kat sayang?” luah Qistur Ruwaidah.

Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. Dia mengerti sangat dengan sifat mudah tersentuh isterinya itu. “Ah, sudah! Sayang ni, kan… Ingat apa yang habibi pesan… Jangan fikir yang bukan-bukan. Sayang kurus ke, gemuk ke… Habibi mana pandang semua tu! Habibi ikhlas cintakan sayang. Sifat manja sayang pun sangat mahal. Kebanyakan kucing akan tunjuk sifat manjanya kat orang ramai tapi sifat manja sayang, hanya habibi seorang je yang boleh tengok. Habibi takkan benarkan mana-mana lelaki tengok sifat manja sayang. Terlalu mahal dan habibi cemburu. Okey? Puas hati dengan jawapan habibi?” ujarnya seraya mengusap ubun-ubun isterinya.
Qistur Ruwaidah tersenyum malu-malu. “Okey habibi. Sayang puas hati. Habibi… Memandangkan sekarang dah minggu ke-12, sayang ada terfikir sesuatu. Agaknyalah, kan… Kita boleh buat macam orang lain tak? Maksud sayang, habis belajar dan berkonvokesyen macam orang lain.”
“Insya-Allah. Kita boleh punya. Habibi sokong sayang, sayang sokong habibi. Kita sama-sama memberi dan menerima tapi kan sayang… Untung juga habibi ada isteri yang ambil bidang Bahasa Arab. Kalau habibi tak faham makna untuk subjek LLBs (syariah), habibi boleh tanya sayang.”
Qistur Ruwaidah mengangkat wajahnya. Lalu, dia memandang suaminya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat kekasih hatinya itu. “Boleh je, habibi. Tak ada masalah tapi tulah… Akan ada juga perkataan yang sayang tak faham. Maafkan kekurangan sayang ya, habibi.”
“Tak apa. Kalau sayang pun tak faham, kita sama-sama guna Kamus Al-Maany jelah. Habis cerita,” kata Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia ketawa kecil.
Kamus Al-Maany merupakan kamus bahasa Arab secara dalam talian yang mempunyai pelbagai fungsi. Salah satunya, berfungsi untuk menterjemah dari bahasa Arab ke bahasa lain serta mempunyai fungsi sinonim dan antonim. Boleh dilayari menerusi atau muat turun menerusi telefon pintar.
“Wah, habibi guna kamus tu! Sayang pun guna kamus tu!” balas Qistur Ruwaidah dengan penuh teruja.
“Kena guna, sayang. Wajib. Kalau tak, habislah habibi. Habibi faham lain pula nanti kalau baca sesuatu teks bahasa Arab tu. Oh ya, sebut pasal kamus, kan… Habibi teringat masa sayang kongsikan PRPM kat habibi dan Keena dulu, serius… Sangat membantu habibi sampai sekarang.”
PRPM atau Pusat Rujukan Persuratan Melayu, sebuah kamus dalam talian yang pernah dikongsikan oleh Qistur Ruwaidah kepada suami dan adik iparnya sewaktu pertemuan pertama di antara dirinya dan adik iparnya di Taman Saujana, Pusat Beli-Belah Adenium dahulu.

“Wah, baguslah macam tu! Sayang gembira bila tahu habibi guna PRPM. Bila habibi sebut pasal PRPM, teringat pula perjumpaan kita, sekali dengan Keena. Dalam diam, habibi tengah mengurat sayang ya masa tu. Pandai betul. Sayang je terlambat sedar,” kata Qistur Ruwaidah seraya mencubit manja lengan suaminya itu.

Mohamad Salahuddin tersengih kecil. “Sayang tak rasa pelik ke dengan perjumpaan masa tu?”

“Sayang rasa normal je sebab sayang fikir… ‘Alaa… Dah lama tak jumpa dan lepak dengan Din. Alang-alang tu, bolehlah jumpa’. Sayang minta maaf sangat tapi sayang tak rasa apa-apa kat habibi masa tu melainkan sayang rasa habibi ni kawan je tapi kan… Bila sayang teringat balik pasal habibi, habibi kacak masa tu sebab sayang suka tengok habibi singsing kemeja atau baju lengan. Ha, macam habibi tengah singsing lengan baju ni. Tak tahulah kenapa…”

Mohamad Salahuddin mengurut dagunya. “Tak tahu kenapa? Mari habibi teka. Sayang tergugat ya tengok habibi singsing lengan baju?”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan sambil tersenyum penuh malu-malu. “Rasanya betullah cakap habibi tu. Sayang tergugat. Tak keruan rasa.”

“Kalau macam tu, sayang nak habibi sentiasa singsing lengan baju kalau kita keluar dating macam ni?”
“Haah… Biar sayang sentiasa jatuh cinta dengan penampilan habibi.”
“Okey, sayang. Boleh. Apa-apa je untuk sayang. Habibi pun suka tengok sayang pandai berfesyen dengan macam-macam stail tudung tapi masih tutup dada. Sayang ada nak beli baju jalan-jalan, baju tidur atau tudung lagi tak? Ke sayang nak barang lain?”
“Tak ada habibi. Setakat ni dah cukup.”
“Kalau sayang tak nak apa-apa, habibi nak belanja sayang,” ujar Mohamad Salahuddin dengan senyuman penuh bermotif.
“Wah, belanja sayang! Tapi… Sempena apa, habibi?”
“Saja… Sebab sayang sudi hidup dengan habibi sampai ke hari ni.”
“Alaa… Janganlah sampai macam tu, habibi. Habibi nak kat sayang dari dulu pun, sayang dah rasa bersyukur sangat.”
Mohamad Salahuddin menggenggam erat tangan isterinya. “Lepas kita dah puas pusing satu Taman Botani ni, habibi nak bawa sayang pergi kedai emas. Habibi nak belanja rantai.”
Qistur Ruwaidah tersentak. “Habibi! Janganlah! Baik habibi simpan duit habibi untuk kegunaan lain. Sayang dah tak boleh nak terima apa-apa barang kemas daripada habibi.”
“Sayang… Jangan risau. Memang habibi dah ada peruntukan duit khas untuk sayang je. Satu lagi, semua barang kemas yang habibi dah bagi kat sayang, untuk kecantikan sayang juga depan habibi. Cincin risik, tunang dan akad nikah dah ada, gelang tangan pun dah ada. Tinggal rantai je sayang belum ada lagi. Bagi habibi, tak sempurna untuk sayang sebagai isteri habibi. Sayang berhak dapat semua.”
Qistur Ruwaidah terkedu. Cintanya Mohamad Salahuddin buat dirinya tanpa keluhan atau rungutan. Sebuah doa dititipkan oleh sang bidadari buat suaminya itu. ‘Ya Rab, permudahkanlah urusan suamiku, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus dalam mencari rezeki halal demi keluarganya. Setiap kali dia pulang dari kuliah atau mencari rezeki untuk keluarga ini, aku tahu dia letih. Ya Allah, aku bersyukur kerana aku mempunyai suami yang bertanggungjawab biarpun dia perlu menggalas dua amanah sebagai suami dan siswa Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) bagi bidang LLB (sivil) dan LLBs (syariah). Kau kurniakanlah kejayaan buat dirinya. Ya Rahman, tiada apa yang aku minta melainkan aku mahu menjadi isteri terbaik yang setia di sisinya kerana dia sudah banyak membahagiakan diriku ini. Kau mudahkanlah urusan suamiku dan murahkanlah rezekinya. Amin ya Rab…’
“Terima kasih habibi. Kalau macam tu, sayang tak boleh cakap apa. Jom habibi. Kita sambung jalan-jalan lagi. Sayang tak puas lagi tengok pemandangan kat Taman Botani ni,” ujar Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia bangun dari bangku tersebut.
“Sama-sama sayang. Okey jom tapi sayang kena tarik habibi sampai habibi bangun,” kata Mohamad Salahuddin bersama sengihan nakal.
Qistur Ruwaidah segera meraih kedua-dua tangan suaminya. Lalu, dia menarik Mohamad Salahuddin sehingga suaminya bangkit dari bangku tersebut.
“Fuyyoo! Kuatnya sayang,” puji Mohamad Salahuddin.
“Alaa habibi… Senang je nak tarik habibi. Tinggi kita bukannya jauh beza sangat. Sayang 165 cm, habibi 170 cm. Berat kita pun tak jauh beza,” kata Qistur Ruwaidah bersama sengihan.
Mohamad Salahuddin turut tersengih. Lalu, dia memegang tangan kanan isterinya sambil memandang isterinya. “Jom.”
“Jom!” kata Qistur Ruwaidah dengan ceria. Pandangan suaminya itu membuatkan jantungnya berdegup laju. Dia tersenyum. Namun, dia terdetik sesuatu. ‘Saban hari, aku bertanyakan diri aku. Akan lagikah aku berpeluang menyaksikan senyuman habibi? Akan lagikah aku boleh menatap wajah habibi sedalam-dalamnya? Akan lagikah aku mampu mencurahkan segala cinta aku buat habibi? Ya Rab… Berapa lama Kau mahu berikan peluang untuk aku hidup bersama suamiku? Aku mengharapkan agar aku mempunyai banyak masa lagi untuk bercinta dengan suamiku sehingga ke hari tua dan dikurniakan zuriat. Amin…’
Setelah pasangan itu puas bersenam dan bersiar-siar di Taman Botani, Mohamad Salahuddin membawa Qistur Ruwaidah ke Kedai Emas Widuri, iaitu tempat yang sama mereka membeli cincin untuk akad nikah dan juga, Mohamad Salahuddin membelikan gelang emas buat isterinya secara diam-diam untuk dimasukkan ke dalam mas kahwin sekali.
“Ah, Encik Din! Assalamualaikum. Selamat datang sekali lagi,” kata seorang jurujual lelaki yang bernama Daniel yang sudah mengecam Mohamad Salahuddin sebagai salah seorang pelanggan tetap.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Waalaikummussalam Daniel. Saya nak carikan rantai emas pula untuk isteri saya ni,” katanya seraya memandang wajah isterinya.
“Wah, saya ingat lagi! Dulu, encik dan isteri encik cari cincin akad nikah tapi kawan saya yang uruskan. Lepas tu, gelang tangan pula. Sekarang, rantai emas pula. Seronoklah isteri encik ya. Kalau macam tu, jom ikut saya,” kata Daniel dengan penuh teruja seraya membawa pasangan itu ke bahagian rantai.
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah tersengih seraya membuntuti jurujual itu.
“Puan, ini antara koleksi rantai emas yang Widuri ada. Loket pula, boleh pilih bentuk huruf macam yang ada kat sini atau puan boleh juga pilih corak macam abstrak, bunga, hati… Banyak lagi. Kalau nak tempah loket bentuk nama, kena tunggu dalam dua minggu.”
Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya. “Bajet habibi berapa?”
“RM3500,” balas Mohamad Salahuddin tanpa ragu-ragu.
Qistur Ruwaidah meneguk air liurnya. Dia tersentak dengan bajet yang mahu diberikan oleh suaminya itu. Namun, dia meneruskan niat suaminya yang mahu membelanjai dirinya. “Boleh saya tahu rantai yang bajetnya dalam RM3500?”
Jurujual Daniel itu begitu teruja mendengar bajet harga tersebut. Dia mengeluarkan beberapa buah rantai dan loket yang bersesuaian dengan bajet pelanggan itu. “Ini dia, puan.”
Qistur Ruwaidah mengamati segala rantai dan loket itu. Dia sudah menjumpai rantai yang diminati oleh dirinya, namun dia masih tidak berjumpa dengan loket idamannya. Sebenarnya, dia sudah tahu loket yang diingini oleh dirinya tetapi dia perlu menempah kerana ianya melibatkan gabungan huruf dan corak.
“Saya nak rantai ni tapi loket saya nak tempah. Saya nak huruf ‘QS’. Lepas tu, tambah sikit macam corak hati atau bunga. Boleh ke dapat bajet dengan harga RM3500 sekali dengan rantai?” terang Qistur Ruwaidah.
“Macam ni ke?” tanya Jurujual Daniel seraya melakarkan lukisan loket idaman Qistur Ruwaidah.
“Ah ya! Sama seperti yang saya nak.”
“Kalau macam ni, insya-Allah boleh dengan bajet RM3500.”
Qistur Ruwaidah memandang suaminya. “Habibi… Boleh ke? Habibi suka tak?”
Mohamad Salahuddin tersenyum berkenaan loket isterinya itu. “Boleh sayang. Habibi suka. Tak ada bantahan.”
Setelah Mohamad Salahuddin melakukan pembayaran secara penuh dan meninggalkan kedai emas tersebut, dia ternampak wajah Qistur Ruwaidah begitu gembira.
“Terima kasih, habibi. Sayang gembira. Tak sabar nak tunggu loket tu siap,” kata Qistur Ruwaidah dengan senyuman penuh lebar sampai ke telinga.
“Sama-sama sayang. Bukan main gembira ya tapi tadi… Kata tak nak,” sakat Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Dah habibi nak belanja. Sayang terima jelah.”
Mohamad Salahuddin memegang tangan isterinya. “Sebenarnya, habibi gembira pasal loket sayang tu.”
“Sebab ada huruf ‘S’, kan?” duga Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin mengangguk.
“Sebab sayang nak habibi tahu… Habibi sentiasa ada dalam hati sayang bila sayang pakai rantai tu kat mana-mana je. Lagi-lagi bila habibi perlukan sayang. Selain huruf QS mewakili nama sayang dan habibi, sayang nak elemen bunga ada kat loket sayang sebab tu tandanya berbunganya cinta sayang kat habibi dan takkan pudar sampai sayang mati,” sambung bicara Qistur Ruwaidah dengan senyuman penuh cinta.

“Penuh simbolik. Habibi suka falsafah loket sayang. Insya-Allah, nanti habibi akan ambilkan loket tu bila dah siap,” kata Mohamad Salahuddin.

HUMAN SCIENCE CAFE (HS CAFE)
PUKUL 1.10 PETANG
Pada waktu ini, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah baru sahaja hendak merarau sebelum masing-masing menunaikan solat zuhur dan menuju ke kelas pada jam 2.00 petang pula.
“Sayang… Habibi rindu sangat kat sayang!” luah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Meskipun baru beberapa jam sahaja dia dan suaminya berpisah, kerinduan sudah berombak gelora dalam jiwa masing-masing. “Alaa… Janganlah macam ni, habibi. Nak rindu apanya. Kita baru berpisah sekejap sebab ada kelas tadi, kan. Ni kita dah jumpa balik.”
Mohamad Salahuddin memuncungkan bibirnya. “Hmm… Sayang tak rindu habibi ke? Sampai hati… Habibi rindu kat sayang separuh mati tahu! Sekejap lagi, kita nak berpisah balik sebab ada kelas lagi. Seksalah habibi macam ni.”
Qistur Ruwaidah memegang dahinya. “Ya Allah… Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus! Boleh tak jangan nak mengada sangat? Kita tak makan tengahari lagi ni. Sekejap lagi, nak solat pula. Jangan nak buat drama pula kat sini.”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin memuncungkan bibirnya. “Habibi nak mengada juga. I love you, Qistur Ruwaidah, sayang habibi.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Ah, suaminya itu manja betul rupanya! Lagi manja berbanding dirinya. Mana mungkin dia juga tidak merindui cinta hatinya itu. Sama seperti Mohamad Salahuddin, dia juga merindui suaminya separuh mati.
Sewaktu pasangan itu sedang menjamu selera, tiba-tiba muncul dua ekor biawak tidak jauh dari tempat mereka berdua.
“H… Ha… Habibi… Bi… Biawak…” kata Qistur Ruwaidah dalam ketakutan.
Mohamad Salahuddin segera menoleh ke belakang. Kelihatan dua ekor biawak itu sedang menghampiri mereka berdua. Para siswa dan siswi juga sudah cuak dengan situasi tersebut. “Jom, cepat!” katanya seraya mengangkat pinggan dan cawan untuk berpindah tempat duduk.

Qistur Ruwaidah juga turut mengangkat pinggan dan cawannya itu. Lalu, dia dan suaminya segera berpindah ke Student Mall, iaitu sebuah tempat yang berada di tingkat atas HS Cafe.

Mujur dua ekor biawak itu tidak sempat mendapatkan pasangan suami isteri itu.

Kelihatan Qistur Ruwaidah berwajah pucat-lesi. Mohamad Salahuddin menenangkan isterinya. “Shhh… Kita dah selamat, sayang. Kita dah jauh dengan biawak-biawak tu. Makan ya,” pujuknya.
“Sayang hilang selera,” luah Qistur Ruwaidah.
“Habibi suapkan sayang ya,” pujuk Mohamad Salahuddin lagi seraya mengambil pinggan isterinya. Lalu, dia mencubit ayam goreng dan digaulkan bersama nasi. Kemudian, dia menyuakan kepada isterinya. “Nah. Sayang kena makan. Kalau sayang tak makan, sayang sakit perut nanti. Tak kesian kat habibi?”
“Emm… Okey, habibi,” balas Qistur Ruwaidah seraya menyambut suapan suaminya itu. Dia berusaha juga untuk mengunyah makanan itu biarpun berat untuk dirinya. Namun, terkenangkan suaminya, dia cuba juga menelan nasi dan ayam tersebut.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Dia menyuapi isterinya lagi buat beberapa kali. Kelihatan Qistur Ruwaidah sudah berselera kembali. “Sedap ya habibi suap sayang?”
“Emm… Sedap juga. Tiba-tiba sayang ada selera balik. Tak apa habibi. Habibi makanlah. Sayang tahu habibi tak kenyang lagi. Kesian habibi. Maaflah sayang mengada-ada pula.”
“Tak apa, sayang. Habibi okey je. Janji sayang ada selera nak makan balik tapi kan sayang… Biawak-biawak tu pun tak nak kalah dengan kita. Siap berpasangan macam kita. Untunglah.”
“Untung? Itu bukan untung namanya, habibi! Itu menempah maut namanya! Eiii… Taubat dah nak makan kat situ! Sayang fobia!”
“Okey, okey… Dah. Jom habiskan makanan kita ni. Sekarang, dah pukul 1.40 petang. Zuhur pun dah masuk. Nak solat lagi.”
Segera, pasangan itu makanan dengan kadar segera. Kemudian, mereka berdua berpisah di sekitar Business Compound.
“Jumpa pukul 5.00 nanti, sayang. Macam biasa, kat tangga besar,” kata Mohamad Salahuddin.
“Okey, habibi. Jumpa nanti,” balas Qistur Ruwaidah seraya menyalam tangan suaminya itu.
Kelihatan Mohamad Salahuddin hilang pada pandangan Qistur Ruwaidah. Qistur Ruwaidah tersenyum tatkala mengingati semula peristiwa tadi. Biawak oh biawak! Mujurlah suaminya bijak memujuk dirinya.
‘Ya Allah… Aku tahu suamiku, Mohamad Salahuddin itu milik-Mu. Bila-bila masa sahaja Kau boleh mengambil dia. Akan tetapi, izinkan aku diberikan masa untuk aku terus mencintai dia selagi mana aku menjadi isterinya. Aku mahu melakukan apa yang mama pernah buat untuk baba sepanjang mereka berdua hidup dulu. Aku tahu aku banyak kekurangan dan aku akan tetap mahu jadi isteri terbaik buat suamiku,’ bisik hatinya.
Lalu, Qistur Ruwaidah terus menyahut seruan Ilahi sebelum kelas bermula jam 2.00 petang.

JUMAAT, 16 DISEMBER 2016
Hari tersebut merupakan hari terakhir bagi semua para siswa dan siswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) setelah 14 minggu dilalui dengan penuh berliku-liku bagi menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan. Peperiksaan akhir semester bagi semester satu sesi 2016/2017 bakal bermula pada 21 Disember 2016 dan bakal berakhir pada 12 Januari 2017. Jadi, para siswa dan siswi UIAM mempunyai beberapa hari untuk mengulang kaji pelajaran sebelum peperiksaan bermula.
Sementara bagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, mereka mengulang kaji di tingkat empat Perpustakaan Dar Al-Hikmah. Walaupun masing-masing melalui bidang yang berbeza, namun itu tidak menjadi halangan bagi pasangan itu saling membantu di antara satu sama lain dari segi memberikan idea dan menterjemahkan ayat bahasa Arab.
“Sayang, boleh tolong terjemahkan ayat ni tak? Habibi tak faham sangat,” ujar Mohamad Salahuddin seraya menyerahkan nota kepada isterinya.
Qistur Ruwaidah menyambutnya. Lalu, dia membaca dengan penuh teliti. Kemudian, dia menerangkan kepada suaminya maksud ayat tersebut.
“Oh, macam tu rupanya maksud dia. Terima kasih sayang,” kata Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama habibi,” kata Qistur Ruwaidah seraya menyerahkan kembali nota tersebut kepada suaminya.
Mohamad Salahuddin terperasan wajah isterinya kelihatan seperti tidak bermaya. Suara isterinya juga kedengaran lemah sewaktu isterinya menerangkan ayat Bahasa Arab tadi. Lantas, dia memegang wajah isterinya. “Sayang demam ke? Pipi sayang panas sangat ni.”
Qistur Ruwaidah tersentak. “Ma… Macam mana habibi tahu?”
“Muka sayang… Nampak tak bermaya. Suara sayang pun lemah semacam je. Bila demam ni? Kenapa tak beritahu habibi?” ujar Mohamad Salahuddin seraya menyentuh dahi isterinya pula. Sah, isterinya sedang demam!
“Emm… Pagi tadi tapi sayang rasa kuat lagi masa tu. Sayang tak nak layankan sangat rasa demam ni. Lagipun, kita dah janji semalam nak ulang kaji kat library, kan,” beritahu Qistur Ruwaidah dengan lemah.
“Sayang… Kalau sayang beritahu kat rumah tadi, boleh je kita tak jadi keluar. Lain kali, jangan paksa diri. Sejuk tak ni?”
“Haah… S… Sejuk. Jom balik, habibi. Sayang rasa sayang dah tak tahan sangat ni,” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin segera mengemaskan barang-barang mereka berdua. Lalu, dia memasukkan ke dalam beg. Kemudian, dia menggalas kedua-dua beg itu. “Dah, jom,” katanya.
Qistur Ruwaidah membangunkan dirinya dari kerusi secara perlahan-lahan sambil dibantu oleh suaminya.
Betapa sabarnya Mohamad Salahuddin berjalan mengikut rentak isterinya yang begitu perlahan dan lemah. Namun, dia tidak mengeluh sedikit pun. Ikutkan, dia mahu menggendong isterinya agar lebih pantas untuk ke tempat parkir. Akan tetapi, dia perlu menghormati tempat yang dia sedang berada sekarang, iaitu di kawasan universiti. Lagi-lagi, pandangan orang yang tidak mengetahui status mereka berdua sebagai suami isteri.
Sesampai sahaja pasangan itu parkir Kulliyyah of Economics and Management Sciences (KENMS), Mohamad Salahuddin membuka pintu dan menurunkan kerusi penumpang agar isterinya boleh berbaring dengan selesa. Qistur Ruwaidah melangkah masuk ke dalam kereta dan terus membaringkan dirinya. Dia semakin lemah dan suhu badannya kian dirasakan semakin meningkat.
Mujur Mohamad Salahuddin ada meninggalkan jaket dalam kereta dan dia segera menyelimuti badan isterinya. Pintu kereta penumpang hadapan ditutup. Kemudian, dia meletakkan beg mereka berdua di tempat duduk penumpang bahagian belakang.
“S… Sejuk,” luah Qistur Ruwaidah dengan menggigil-gigil tatkala Mohamad Salahuddin menghidupkan enjin keretanya dengan suhu penyaman udara kereta paling rendah.
“Sabar ya, sayang,” pujuk Mohamad Salahuddin dengan penuh kelembutan seraya mengusap ubun-ubun isterinya. Kemudian, dia memulakan pemanduannya.
Apabila mereka berdua tiba di rumah kediaman, Mohamad Salahuddin segera menggendong Qistur Ruwaidah sehingga ke bilik tidur. Dia menghidupkan suis kipas dan membaringkan isterinya. Kemudian, dia menanggalkan tudung, stoking lengan dan stoking kaki isterinya. Lalu, dia menyelimuti isterinya.
“Sayang… Habibi nak pergi ambil beg dalam kereta sekejap ya,” kata Mohamad Salahuddin.
Tidak lama kemudian, kelihatan Mohamad Salahuddin muncul semula setelah dia mengambil beg-beg tersebut dan menutup pintu kamar bilik itu. “Sayang…” panggilnya seraya membaringkan dirinya di sebelah isterinya dalam posisi mengiring. Dia merasa dahi isterinya. Masih panas lagi.
“Emm…” balas Qistur Ruwaidah seraya mengubah posisi mengiring. Matanya nampak berair. Hidungnya kemerahan.
“Sekejap lagi, habibi buatkan bubur ya. Lepas tu, sayang makan ubat.”
“Okey. Habibi buat lepas solat Jumaat pun tak apa. Sayang tak lapar lagi.”
Mohamad Salahuddin menepuk lembut lengan kiri isterinya, ibarat seorang ibu mendodoikan anaknya. “Tidur ya, sayang. Habibi ada je ni.”

“Habibi… Bila habibi tepuk-tepuk sayang macam ni, sayang teringat kat mama dan Abang Suhaib,” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Habibi pun teringat kat mak bila habibi buat macam ni kat sayang. Sayang nak Abang Suhaib datang sini?”
“Tak apa, habibi. Sayang tak nak Abang Suhaib risau. Ikutkan, sayang pun tak nak risaukan habibi tapi tulah… Memang sayang tak boleh sembunyi apa-apa daripada habibi.”

“Sayang… Kenapa sayang takut nak beritahu habibi? Bukannya habibi nak makan sayang pun.”

“Bukan takut tapi lebih kepada tak nak susahkan habibi. Kan habibi belajar dan mengajar. Banyak benda habibi nak kena fikir.”
Mohamad Salahuddin mengusap pipi isterinya. “Janganlah cakap macam tu, sayang. Sesibuk macam mana pun habibi, keutamaan habibi tetap kat sayang. Betul… Belajar dan mengajar pun menjadi keutamaan tapi habibi sendiri kena bijak susun masa dengan betul.”
Kedengaran Qistur Ruwaidah terbatuk-batuk. Mohamad Salahuddin segera pergi ke dapur bagi menyediakan sejag air suam panas buat isterinya dan juga, pelekat Koolfever untuk ditepekkan di atas dahi isterinya.
“Minum ya, sayang. Lepas ni, habibi nak masakkan bubur untuk sayang pula,” kata Mohamad Salahuddin seraya membuka pelekat Koolfever. Lalu, ditepek di atas dahi isterinya.
Qistur Ruwaidah menghirup air suam panas itu. Tekaknya berasa amat lega. “Terima kasih habibi,” ucapnya seraya menyerahkan cawan kepada suaminya.
“Sama-sama sayang. Nak air lagi?” ujar Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Perlahan-lahan dia membaringkan dirinya sambil dibantu oleh suaminya. Tiba-tiba dia mengerang kesakitan di bahagian perutnya. “Arghhh… P… Perut sayang sakit, habibi. Sayang senggugut,” luahnya.
“Sekejap. Habibi panaskan ‘bantal’,” kata Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia mengeluarkan bantal tungku elektrik dari laci kecil bersebelahan katil yang juga turut dipakai oleh Puan Zaidah dan Sakeenah jika mereka berdua mengalami senggugut. Jadi bagi Mohamad Salahuddin, alat itu juga wajib disediakan buat isterinya.
Jangan dikata tentang senggugut tiga orang perempuan itu sahaja, jenis tuala wanita mereka bertiga pun Mohamad Salahuddin cukup mahir. Itu semua berkat didikan Encik Mohd Firdaus agar dia menjadi lelaki yang prihatin dengan hal wanita. Dia dan ayahnya juga gigih mempelajari tentang haid wanita daripada para ustaz dan ustazah.
Setelah bantal tungku elektrik itu sudah panas mengikut waktu yang ditetapkan, Mohamad Salahuddin mematikan suis. Lalu, dia meletakkan bantal tungku elektrik tersebut di atas perut isterinya. “Sayang okey?”
“Okey…. Habibi… Sayang minta maaf. Sayang masih lagi tak dapat nak bagi zuriat kat habibi,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sayang ni… Ke situ pula dia fikir. Peperiksaan dah nak makin dekat. Tu lagi penting buat masa ni,” nasihat Mohamad Salahuddin seraya menepuk lembut lengan isterinya agar isterinya tertidur. Dia tidak mahu isterinya berfikir apa-apa lagi buat masa sekarang.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah melelapkan matanya setelah didodoi oleh suaminya dengan alunan selawat dan zikir.
Mohamad Salahuddin menghela nafas kelegaan. Dia tahu isterinya menjadi terlebih manja pada hari ini, namun dia tidak kisah. Baginya, bila lagi dia boleh menyaksikan sifat terlebih manja isterinya itu lagi seperti tadi, bukan? Dia tidak mahu mensia-siakan apa yang Allah telah kurniakan buat dirinya dengan kehadiran isterinya dalam kehidupannya.

1 JANUARI 2017
Sudah empat bulan usia perkahwinan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Masing-masing sedang bergelut dengan peperiksaan akhir semester yang bermula sejak bulan Disember tahun lepas. Namun, mereka berdua tetap rasa bahagia dengan kesibukan sebagai pasangan suami isteri serta siswa dan siswi dalam masa yang sama.
Qistur Ruwaidah selesai menduduki peperiksaan akhir semesternya pada 4 Januari 2017 manakala Mohamad Salahuddin pula selesai menduduki peperiksaan akhir semesternya pada 9 Januari 2017.
Akhirnya, pasangan itu boleh menarik nafas lega dan meneruskan misi mereka berdua yang tertangguh, iaitu berbulan madu di Port Dickson (PD) dan Genting Highlands. Mereka akan menginap di Hotel Grand Lexis PD selama lima hari empat malam manakala mereka akan menginap di Resorts World Genting-First World Hotel selama tiga hari dua malam.
Sehari sebelum kepergian mereka berdua untuk berbulan madu, Qistur Ruwaidah meminta bantuan Siti Hanim Az-Zahra’ bagi memakaikan inai sempena bulan madu dia dan suaminya. Bukan atas perintah Mohamad Salahuddin, namun dia sendiri yang mengambil inisiatif untuk berinai bagi menyuburkan kembali rasa cinta ibarat hari pertama mereka berdua berkahwin empat bulan yang lalu. Lagipun, suaminya suka dia berinai. Cuma, dia tiada masa. Jadi, sempena bulan madu ini, ianya merupakan acara yang sesuai untuk dia memakai inai semula.
Tatkala Mohamad Salahuddin ternampak Qistur Ruwaidah sedang dipakaikan inai oleh Siti Hanim itu, betapa dia rasa amat gembira. Sungguh dia merindui isterinya memakai inai pada hari akad nikah dan hari kesyukuran mereka berdua. Benar-benar menggamit kenangan.

Pada keesokan harinya…
“Sayang! Ada lagi tak barang yang sayang nak bawa untuk bulan madu kita?” laung Mohamad Salahuddin dari ruang tamu setelah dia meletakkan barang-barang ke dalam kereta Axia miliknya.
“Dah tak ada, habibi,” kata Qistur Ruwaidah seraya muncul di ruang tamu. Dia sedang menyarung stoking lengannya.
“Habibi nak periksa rumah sekali lagi sebelum kita gerak,” kata Mohamad Salahuddin seraya memeriksa setiap suis di rumah tersebut dan juga, kepala gas di dapur juga sudah ditanggalkan.
Qistur Ruwaidah turut membantu suaminya itu. Dia juga memeriksa di bahagian bilik tidur jika dia ada tertinggal apa-apa barang lagi.
Setelah pasangan itu berpuas hati, Mohamad Salahuddin menghidupkan enjin kereta dan Qistur Ruwaidah menunggu di bahagian pagar bagi mengunci pagar rumah.
Setelah mengunci pagar rumah, Qistur Ruwaidah melangkah masuk ke dalam perut kereta. “Habibi…” panggilnya dengan nada penuh manja.
“Ya sayang… Kenapa ni?” respons Mohamad Salahuddin bersama senyuman penuh kebahagiaan tatkala mendengar suara manja isterinya itu.
“Saja panggil habibi. Rindu… Habibi tak rindu sayang ke?” balas Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia memonyokkan wajahnya.

Mohamad Salahuddin menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Sayang… Kenapa habibi nak kena rindu kalau sayang ada depan mata habibi sekarang? Kan kita nak pergi bulan madu ni. Jangan nak buat drama pula ya.”
Qistur Ruwaidah memaut lengan suaminya. “Sebab sayang tak boleh berhenti cintakan habibi. Tak nak berpisah dengan habibi,” luahnya dengan penuh manja.
Mohamad Salahuddin memegang pipi isterinya. “Sayang… Ingat pesanan habibi ni. Kita milik Allah. Bila-bila je Dia boleh nak ambil nyawa kita. Cinta sesama kita sementara je kat dunia ni.”
“Sayang tahu, habibi tapi tak salah untuk sayang hargai habibi sementara sayang masih bernyawa, kan?”
“Tak salah tapi… Jangan berlebihan sampai lupa Yang Maha Esa. Peringatan juga untuk diri habibi. Adakalanya kita kena ingat mati ni makin dekat dengan kita. Okey, tiba-tiba ada tazkirah pula sebelum nak gerak ke PD,” kata Mohamad Salahuddin bersama sengihan kecil.
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. “Tak apa, habibi. Ada betul juga cakap habibi.”
Sepanjang dalam perjalanan dari Gombak ke PD yang memakan masa dalam dua jam lebih, mereka berdua ralit bersembang tentang aktiviti yang ingin dilakukan setelah sampai di Hotel Grand Lexis PD nanti dan juga, aktiviti di Genting Highlands kelak.
“Seronoknya. Tak sabar nak sampai kat Hotel Grand Lexis tu nanti. Sayang nak berenang puas-puas kat dalam bilik kita tu,” luah Qistur Ruwaidah.
“Boleh sayang. Habibi pun tak sabar nak tengok pemandangan laut dengan sayang. Ah, macam mimpi pula! Sampai sekarang, habibi rasa macam tak percaya sayang dah jadi isteri habibi. Habibi boleh bercinta dengan sayang puas-puas. Paling seronok sempena bulan madu kita ni, habibi nak menari macam-macam tarian lagi dengan sayang. Sayang rindu tak hari pertama kita menari dulu?”
“Ya Allah… Mestilah! Walaupun sayang tengah malu-malu dengan habibi masa tu tapi seronok. Manis sangat momen tu. Sayang takkan lupakan. Betullah orang cakap… Hari pertama kahwin merupakan hari paling terindah tapi bagi sayang, hari-hari yang sayang dah lalui dengan habibi tetap hari-hari terindah.”
“Betul. Jadi, kita suburkan balik rasa cinta kita macam hari pertama kita kahwin dulu lepas kita dah terlalu sibuk dengan kelas. Kita ada lapan hari nak tenangkan fikiran dan lupakan sekejap pasal semester baru.”
Akhirnya, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah selamat tiba di Hotel Grand Lexis PD yang kelihatan sungguh mewah. Atas bantuan penyambut tetamu hotel yang ditugaskan untuk menyambut dan mengambil beg tetamu, beg-beg pasangan itu diletakkan di atas troli bagasi. Qistur Ruwaidah menunggu di kawasan dalam lobi manakala Mohamad Salahuddin memarkirkan keretanya.
Anak mata Qistur Ruwaidah ralit memerhatikan kawasan lobi yang cukup mewah itu. ‘Subhanallah. Cantiknya! Ni baru lobi. Belum lagi sampai kat bilik. Lepas mama baba dah tak ada, aku dah tak pernah pergi hotel. Syukur ada habibi yang sudi memenuhi keinginan aku. Moga Allah murahkan rezeki habibi. Amin!’
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin tiba di lobi dan berurusan dengan staf hotel untuk urusan pendaftaran bilik yang telah ditempah melalui ‘Agoda’ dan mengambil kunci bilik.
“Okey. Kita dah dapat kunci,” kata Mohamad Salahuddin dengan penuh ceria seraya menunjukkan kunci kepada isterinya.
Wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi sangat ceria! “Ya Allah! Tak sabarnya nak tengok bilik kita, habibi!”
Mohamad Salahuddin memaklumkan nombor bilik kepada penyambut tetamu hotel tersebut. Penyambut tetamu hotel itu membawa troli mereka sambil menunjukkan arah. Pasangan itu membuntuti pekerja tersebut sambil berpegangan tangan.
“Ini biliknya ya, encik, puan,” kata penyambut tetamu hotel tersebut.
Mohamad Salahuddin menggunakan kunci berbentuk kad itu bagi membuka pintu bilik hotel tersebut.
Setelah pintu bilik tersebut dibuka, Qistur Ruwaidah berasa amat teruja! Namun, dia menahan rasa teruja itu. Betapa cantiknya bilik yang ditempah oleh Mohamad Salahuddin, iaitu jenis Deluxe Pool Villa yang sesuai didiami untuk dua orang. Menariknya, bilik ini terletak di atas laut.
Mohamad Salahuddin dan penyambut tetamu hotel tersebut membawa masuk beg-beg pasangan itu ke dalam bilik.
“Terima kasih,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama encik, puan. Selamat pengantin baru,” ucap penyambut tetamu hotel tersebut bersama senyuman. Lalu, dia menutup daun pintu tersebut dan meninggalkan pasangan itu.
“Habibi… Cantiknya!” kata Qistur Ruwaidah dengan nada penuh teruja.
“Ya sayang. Memang cantik. Habibi pun teruja juga ni. Jom kita tengok kat dalam bilik ni ada apa,” kata Mohamad Salahuddin seraya mengeluarkan telefon pintarnya.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin melewati setiap sudut bilik tersebut. Terdapat sebuah katil bersaiz king, sebuah televisyen, percuma Wi-fi, panel kaca di atas lantai yang membolehkan pelanggan hotel menyaksikan kehidupan marin di bawahnya seperti ikan dan beberapa lagi sudut lain tetapi paling menarik, mestilah kolam peribadi seperti yang diingini oleh Qistur Ruwaidah!
“Habibi! Kolam renang!” kata Qistur Ruwaidah dengan teruja!
Mohamad Salahuddin tersengih menyaksikan gelagat isterinya yang begitu suka akan kolam renang. Pada masa yang sama, dia turut merakam isterinya. “Pergilah terjun, sayang. Habibi tengah rakam ni,” katanya.
“Alaa… Tak nak. Nak terjun sama-sama dengan habibi. Baru seronok!” kata Qistur Ruwaidah dengan nada manja seraya memonyokkan wajahnya.
“Alololo… Okey, okey… Sekejap lagi, kita terjun sama-sama. Habibi nak rakam kat bahagian lain sekejap,” kata Mohamad Salahuddin seraya merakam lagi bahagian sudut lain.
Qistur Ruwaidah pula sedang ralit memerhatikan panel kaca tersebut dengan melabuhkan punggungnya di atas lantai bagi menyaksikan air laut yang begitu mendamaikan. Dalam diam, suaminya sedang merakam gelagat dirinya itu.
Setelah Mohamad Salahuddin berpuas hati, dia mematikan rakaman telefon pintarnya. Lalu, dia menuju ke arah isterinya dan melabuhkan punggungnya bersebelahan isterinya. “Ralitnya sayang habibi ni,” tegurnya.
Qistur Ruwaidah sedikit terkejut dengan kehadiran suaminya. “Eh, habibi! Terkejut sayang. Dah habis rakam?” balasnya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Dah. Sayang suka bilik kita ni?”
“Mestilah! Sayang tak tahu nak cakap macam mana. Terlalu cantik! Dahlah sayang lama tak pergi hotel lepas mama baba dah tak ada. Terima kasih habibi sebab sempurnakan impian sayang. Serius… Sayang terharu!” luah Qistur Ruwaidah dengan nada penuh sebak.
“Habibi tahu, sayang. Abang Suhaib pun ada cakap yang sama. Kau orang dah lama tak pergi hotel. Nanti… Kalau habibi ada rezeki lebih, kita bawa Abang Suhaib kat sini tapi jenis bilik lain. Bilik ni sesuai untuk pasangan je. Habibi pun nak Abang Suhaib rasa peluang macam sayang ni.”
“Wah, baiknya habibi! Insya-Allah. Moga Allah perkenankan hajat habibi nak bawa Abang Suhaib kat sini.”
“Amin ya Rab… Okey, hari ni kita rehat je dulu kat bilik. Esok, kita pusing-pusing kat luar hotel dan sekitar PD.”
“Boleh. Habibi… Jom kita kemas barang-barang kita dulu.”
“Okey jom.”
Lalu, pasangan itu mengemaskan barang-barang mereka bersama perbualan dan selingan gelak ketawa sebagai penambah rencah kebahagiaan.
“Habibi ni… Janganlah ingatkan sayang pasal kek vanila hangus yang sayang buat dulu tu. Jahatlah habibi ni!” kata Qistur Ruwaidah bersama sengihan malu-malu kucing.
“Laa… Habibi cakap je,” kata Mohamad Salahuddin tanpa serba salah.
Qistur Ruwaidah mencubit manja lengan suaminya. “Pandailah habibi ni!”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia merangkul pinggang isterinya. “Sayang… Malam nanti… Emm…”
“Okey. Sayang faham je,” kata Qistur Ruwaidah. Dia mengerti kiasan suaminya itu.
Mohamad Salahuddin menyentuh perut isterinya. “Jujur, impian habibi nak tengok sayang mengandung dan ada anak meluap-luap macam pasangan lain tapi tulah… Habibi pujuk diri habibi, rezeki anak ni bukan kerja kita. Moga dengan percutian bulan madu kita kali ni, Allah mengizinkan kita berdua untuk rasa macam pasangan lain yang ada anak tapi kalau tak ada juga, tak apa. Belum lagi rezeki kita. Kita terus bercinta tanpa jemu macam sekarang tapi sayang… Sayang jangan salahkan diri sayang pula. Mungkin silap utamanya daripada habibi dan habibi tak malu nak mengaku.”
Qistur Ruwaidah terdiam seketika. Dia menjadi sedih dengan luahan hati suaminya itu. “Sabar ya, habibi. Insya-Allah kita boleh lalui ni dengan tenang. Mana tahu… Disebabkan kesabaran kita dan kita bersangka baik dengan Allah, Allah nak kurniakan kita anak kembar terus macam arwah adik-adik sayang. Impian habibi juga nak rasa ada anak kembar, kan?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Betul juga. Manalah tahu, kan… Amin! Okey, kita jangan sedih-sedih. Semua barang dah kemas, kan? Jom terjun kolam!” ujarnya. Lalu, dia meninggalkan katil seraya menarik tangan isterinya.
Qistur Ruwaidah tersengih tatkala suaminya menarik dirinya untuk meninggalkan katil. Ah, suaminya itu serupa kanak-kanak pula!
Pasangan itu berlari-lari anak sehinggalah mereka berdua tiba di kolam renang peribadi itu. “Okey, sedia. Satu, dua, tiga!” kata Mohamad Salahuddin.
Lalu, mereka berdua pun terjun ke dalam kolam bersama pakaian jalan-jalan itu tanpa menukar ke pakaian yang dikhaskan untuk bermandi-manda. Tidak menyempat sungguh!
“Wooo! Puas hati dapat terjun!” kata Mohamad Salahuddin sambil menggosok wajahnya.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Namun, dia tahu suaminya masih rasa terkesan berkenaan zuriat tadi. “Jom terjun lagi.”
“Tak nak. Habibi nak peluk sayang,” ujarnya seraya merangkul pinggang isterinya. Wajah Qistur Ruwaidah itu ditatap sedalam-dalamnya. Dia benar-benar memerlukan kekuatan daripada pasangannya itu.
“Sayang tahu habibi tak okey. Habibi… Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita usaha lagi ya,” bicara Qistur Ruwaidah dengan perlahan.
Mohamad Salahuddin tersenyum hambar. “Maaf sayang. Habibi dah musnahkan mood bulan madu kita pula.”
Qistur Ruwaidah menyentuh pipi suaminya. “Tak apa. Kalau dulu sayang rebah pasal anak, habibi ada untuk sayang. Pujuk sayang… Sekarang, giliran sayang pula nak buat benda yang sama kat habibi. Habibi… Sejujurnya, sayang bahagia kita masih berdua macam ni. Kalau kita dah ada anak nanti, keutamaan kita kat anak pula. Kita kena curi masa pula untuk berdua. Jadi, selagi kita masih berdua ini, kita bercinta sampai puas. Lepas tu, bila kita ada anak, bukan kita nak fikir pasal belajar je. Kita nak kena fikir untuk didik anak pula. Habibi lagilah… Nak kena cari nafkah bukan untuk sayang je tapi untuk anak sekali. Anak nak membesar, susu anak, anak nak sekolah, tabung pendidikan anak, simpanan haji… Banyak lagi kita nak kena fikir. Kalau kita dapat anak kembar, lagi berganda tanggungjawab kita. Lepas ni, takkan sama macam apa yang kita lalui sekarang.”
“Sayang… Apa yang sayang cakap, habibi tak nafikan. Betul sangat… Terima kasih sebab ingatkan habibi pasal perubahan tanggungjawab daripada suami kepada ayah pula. Habibi terleka pasal tu.”
Lama mereka berdua saling berdakapan berada dalam kolam renang itu bagi meleraikan kekecewaan dan kesedihan yang membelenggu diri masing-masing.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin memecahkan keheningan. “Sayang… Maafkan habibi. Habibi rasa habibi bukan suami terbaik di mata sayang. Habibi pun manusia biasa, banyak sangat kekurangan tapi habibi akan cuba jadi suami terbaik dan terus belajar mencintai sayang. Habibi tahu perjalanan rumah tangga kita masih jauh. Apatah lagi, kita berdua ambil keputusan untuk kahwin masa belajar. Habibi tahu tak mudah. Bila kawan-kawan sebaya kita yang lain masih tak fikir lagi pasal kahwin, kita korbankan zaman bujang. Bukan kita nak tunjuk hebat kat dia orang tapi kita sedar, tanggungjawab kita makin bertambah. Kita boleh buat, kan? Kita boleh lalui semua ni dengan tenang, kan?”
Qistur Ruwaidah mengusap tubuh belakang suaminya. “Habibi… Insya-Allah, kita boleh. Kahwin sambil belajar bukan halangan untuk kita mencapai cita-cita. Kita dah berjanji nak berkonvokesyen sama-sama, kan? Sayang dengan Bahasa Arab. Habibi pula dengan LLB dan LLBs. Apa yang penting, kita kena saling menyokong dan bertoleransi antara satu sama lain. Sayang pun bukan isteri terbaik tapi sayang akan cuba jadi yang terbaik kat sisi habibi. Walau apa pun terjadi dengan masa depan yang kita sendiri tak tahu, sayang harap kita berdiri teguh dan tangan kita saling menggenggam erat ibarat tali yang telah tersimpul kemas. Kita dah berjanji nak sehidup semati biar apa jua rintangan yang menanti, kan? Kita jangan mengalah ya? I love you!”
Mohamad Salahuddin mengeratkan lagi dakapan itu. “Insya-Allah sayang. I love you too! Sayang jangan tinggalkan habibi ya. Habibi tengah tak kuat. Habibi betul-betul perlukan sayang untuk habibi kuat semangat balik. Jom sayang… Kita keluar dari kolam ni. Habibi nak tukar baju dan rehat. Malam nanti, kita cuba apa yang terbaik untuk diri kita ya.”
“Habibi jangan risau. Sayang takkan tinggalkan habibi. Insya-Allah. Sayang patuh dan sayang taat dengan keinginan habibi.”

3.00 PAGI
HOTEL GRAND LEXIS PORT DICKSON
Qistur Ruwaidah sedang leka menghayati bunyi ombak di beranda dan ditemani oleh cahaya lampu beranda manakala Mohamad Salahuddin sedang lena dibuai mimpi sehingga dia tidak sedar dengan ketiadaan isterinya di atas katil itu.
Malam yang telah dilewati oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin penuh kehangatan cinta dan masing-masing merasakan kembali rasa cinta yang penuh mendalam seperti hari pertama mereka berdua disatukan. Benar-benar rasa seperti pengantin baru kembali.
‘Subhanallah… Agungnya kuasa-Mu, ya Allah. Maha Pencipta sekalian alam. Terima kasih kerana Kau masih memberi aku ruang untuk terus mencintai suamiku dengan seadanya,’ bisik hati Qistur Ruwaidah seraya merenung jari-jemarinya yang berinai itu bersama tiga bentuk cincin yang tersemat kukuh. Seketika, dia memandang suaminya yang tertidur kepenatan.
‘Mohamad Salahuddin… Dialah peneman seumur hidupku. Namun, aku sedar… Aku dan dia tak kekal. Kami akan kembali kepada-Nya. Pernikahan mengingatkan diriku untuk sentiasa bersedia di atas segala kemungkinan dan ujian. Ya Allah… Seandainya satu hari nanti Kau mahu mengambil nyawa suamiku terlebih dahulu sebelum aku, aku akan reda sepertimana Kau telah mengambil lima orang ahli keluargaku. Kau ampunilah dosa-dosaku dan suamiku. Pertemukanlah kami di sana dengan izin-Mu. Amin…’ bisik hatinya.
Deruan ombak pada waktu dinihari itu benar-benar memberikan ketenangan buat Qistur Ruwaidah. Jika orang lain takut untuk menghayati laut pada waktu sebegini tetapi tidak bagi Qistur Ruwaidah. Dia lebih menghargai waktu sebegini untuk bertafakur dengan menghayati ciptaan Ilahi yang tiada tolok bandingannya.
Mohamad Salahuddin tersedar dari lena tatkala hembusan bayu menyapa lembut ke wajahnya. Dia menoleh ke kiri. Kelihatan isterinya tiada. Namun, dia melihat pintu beranda terbuka. Kemudian, dia meninggalkan tempat perbaringan tersebut.
Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang menghayati pemandangan laut. Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya. “Sayang…” panggilnya dengan penuh romantis bersama rangkulan penuh kehangatan.
Panggilan Mohamad Salahuddin itu mematikan lamunan Qistur Ruwaidah. “Eh, habibi! Sayang minta maaf. Sayang terbangunkan habibi ke?”
“Taklah. Habibi tersedar sebab angin masuk dalam bilik. Tengok-tengok sayang tak ada. Tu yang habibi datang sini. Sayang buat apa kat sini?”
“Sayang tengah tengok ombak. Rasa tenang je.”
“Sayang tak takut ombak? Tengok ombak waktu macam ni pula.”
“Taklah. Sayang okey je. Sayang lagi suka tengok waktu macam ni. Bagi sayang, ombak ni simboliknya kekuatan tapi tenang. Sayang nak jadi sekuat dan setenang ombak. Walau apa pun masalah yang melanda sayang, sayang akan cuba tenang dan tabah dengan ujian Maha Pencipta.”
Mohamad Salahuddin menopangkan dagunya di atas bahu kanan isterinya. “Sayang… Dah lama sayang jadi sekuat dan setenang ombak. Sebab tu, habibi jatuh cinta dengan sayang. Habibi harap… Andai kita ada zuriat, habibi nak zuriat kita sepersis sayang.”
Qistur Ruwaidah memegang pipi kanan suaminya. “Sayang pula nak zuriat kita setulus dan sebaik habibi. Moga Allah perkenankan. Amin… Emm habibi… Ilusi ke cinta sayang ni?”
“Kalau ilusi, habibi takkan ada kat sisi sayang sekarang. Sayang pandang habibi…” kata Mohamad Salahuddin seraya meleraikan rangkulan tersebut.
Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang. Wajah suaminya ditatap dengan penuh cinta seraya mencubit pipi suaminya. “Oh yalah… Bukan ilusi,” katanya seraya tersenyum.
“Aduh, sakitlah sayang! Macam tu pula,” kata Mohamad Salahuddin seraya mengusap pipinya.
Qistur Ruwaidah tertawa. Jiwanya mengaku benar… Dia telah pun berada di samping Mohamad Salahuddin yang tulus mencintainya tanpa syarat dan sentiasa mendahului dirinya. Tiba-tiba dia mendakap suaminya. “Terima kasih habibi untuk malam tadi. Sayang rasa makin dihargai. Habibi betul-betul mengingatkan sayang balik macam mana kita mengharungi malam cinta kita masa hari pertama kita kahwin dulu.”

Mohamad Salahuddin mengusap rambut isterinya. “Sama-sama sayang. Habibi cuba buat apa yang habibi terdaya supaya sayang rasa tenang dan bukan rasa terpaksa. I love you, sayang. I love you so much. Habibi tak boleh hidup tanpa sayang.”
“I love you too… so much, habibi! Sayang pun tak boleh hidup tanpa habibi. Kalau habibi tak ada, sayang tak tahu macam mana. Sayang boleh rebah.”
Lama pasangan itu berpelukan sambil ditemani deruan ombak dan bayu angin yang penuh kesejukan tetapi tenang.
Hati Mohamad Salahuddin berbisik. ‘Cinta ilusi? Heh! Aku takkan biarkan kau rasa sedemikian, sayang. Namun, aku memahami waktu lalu kau terlalu sakit. Jadi, inilah tanggungjawab aku bagi memastikan kau selamat dalam jagaanku. Juga, bersabar dengan soalan kau yang adakalanya agak kritis. Aku… Takkan pernah jemu untuk kau, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani. Kaulah amanah dan cintaku sampai mati. Menjadikan kau sebagai isteriku, satu kesyukuran untuk aku sebagai suami. Aku mempunyai banyak kekurangan tapi aku takkan biarkan kau rasa sepi, sedih dan terseksa macam dulu. Aku janji, sayang… Urat nadiku tersimpul kemas hanya untuk kau. Bukan untuk wanita lain. Takkan direntap oleh yang kedua, ketiga atau keempat. Hanya kau yang bertakhta dalam sanubariku.’
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah.
“Ya sayang?” respons Mohamad Salahuddin seraya meleraikan dakapan tersebut.
“Jom kita qiamullail. Kita banyakkan berdoa kat Allah supaya Dia kurniakan kesejahteraan buat rumah tangga kita dan rumah tangga kita sentiasa mekar.”
“Jom,” kata Mohamad Salahuddin seraya meraih tangan isterinya.
Lalu, pasangan itu meninggalkan beranda bagi mengutamakan cinta Ilahi.
Usai Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berqiamullail, Qistur Ruwaidah menyalam tangan suaminya. “Sayang minta ampun kalau sayang ada terguriskan hati habibi tanpa sayang sedar,” ucapnya.
Mohamad Salahuddin mengucup dahi isterinya. “Sayang… Selama habibi jadi suami sayang, habibi pun nak minta ampun juga. Kita cuba jadi lebih baik ya.”
“Insya-Allah. Habibi… Jom kita imbau balik kenangan sebelum kita kahwin. Apa yang habibi teringat pasal sayang?
“Pasal sayang? Mestilah habibi teringat pandangan pertama habibi kat sayang masa kelas Bahasa Inggeris kat CFS dulu. Teringat juga sayang perkenalkan diri. Tu cerita masa umur kita 18 tahun. Sejujurnya, habibi rasa macam baru lagi tahu. Sekarang, tahu-tahu sayang dah ada kat sisi habibi masa umur kita 21 tahun. Sayang pula? Apa yang sayang ingat pasal habibi?”

“Itulah… Sayang pun rasa macam baru lagi. Tahu-tahu peristiwa tu dah tiga tahun berlalu. Kalau sayang pula, sayang teringat masa kita mula-mula jumpa kat UIA Gombak balik. Mimpi apa entah sayang tegur habibi kat luar library dulu.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sayang… Bukan mimpi tapi takdir. Kita dah ditakdirkan oleh Maha Pencipta sejak di lohmahfuz.”
Qistur Ruwaidah juga tersenyum. “Sampai sekarang sayang tertanya-tanya. Sakti apalah yang habibi guna kat sayang? Sebab sayang tak boleh berhenti cintakan habibi. Macam kena sihir.”
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin tergelak dengan kata-kata isterinya itu. “Sayang… Ingat habibi ni tukang bomoh ke? Mana ada habibi sihir sayang. Mudah je habibi buat sayang jatuh cinta. Habibi cuma bagi ayat bergula dan jadi romantik. Apa yang lelaki lain tak buat, habibi buat supaya sayang sentiasa cintakan habibi.”
“Habibi… Bahayalah! Sebab habibi boleh buat kat perempuan lain juga.”
“Astaghfirullah… Ke situ pula dia ni! Mata dan jiwa habibi untuk sayang seorang je tahu.”
Qistur Ruwaidah mencebikkan wajahnya. “Itu dah macam ayat buaya darat pula.”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tergelak. Qistur Ruwaidah oh Qistur Ruwaidah! Mana mungkin dia menjadi buaya darat. Dia belajar untuk setia sejak dari hari pertama dia jatuh hati terhadap isterinya itu!

RESORTS WORLD GENTING-FIRST WORLD HOTEL, GENTING HIGHLANDS
Setelah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin puas memadu asmara di Port Dickson selama lima hari empat malam, mereka berdua meneruskan destinasi percutian bulan madu di Resorts World Genting-First World Hotel selama tiga hari dua malam. Kali ini, mereka memfokuskan untuk menaiki kereta kabel, bermain di taman tema dan lebih menghargai kenangan berdua ini.
Pada hari pertama, mereka berdua berehat di Resorts World Genting-First World Hotel dan berjalan-jalan di sekitar Sky Avenue bagi mencuci mata.
“Sayang nak apa-apa tak kat sini?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Nak makan je,” kata Qistur Ruwaidah seraya tersengih.
“Samalah. Habibi pun nak makan je. Kat Genting ni, harga barang-barang mahal. Setakat nak makan, jalan-jalan, main kat taman tema… Bolehlah.”
“Tulah… Sayang pun ada terbaca yang barang-barang kat Genting ni mahal. Sebab tu, sayang tak nak apa-apa. Baik lagi kita membeli-belah kat kawasan rumah kita.”
Mohamad Salahuddin tertawa kecil. “Tapi… Kalau sayang ada terjumpa apa-apa yang saya teringin kat sini, beritahu jelah. Habibi okey.”
“Nak makan,” kata Qistur Ruwaidah seraya membuat wajah comel dan matanya bersinar-sinar.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tertawa dengan riak wajah isterinya. “Okey, okey. Jom makan. Pantang betul kalau pasal makan ya.”
“Mestilah. Nampak je muka habibi, sayang terus rasa lapar.”
“Aik? Habibi pula yang kena! Nak kena sayang ni!”
Qistur Ruwaidah menghadiahkan sengihan nakal. Mohamad Salahuddin pula berasa kian damai bersama cinta hatinya itu.
Pada hari kedua pula, pasangan itu menikmati bulan madu di Genting Highlands Outdoor Theme Park. Kesejukan terasa. Namun, masing-masing sudah bersedia dengan jaket bagi menghangatkan tubuh.
“Sayang nak main semua!” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh keterujaan.
“Ya sayang. Memang harga tiket yang habibi bayar untuk kita main semua. Jom! Kita main sampai lebam.”
Bermainlah pasangan itu dengan penuh kegembiraan sampai tidak ingat dunia.
“Fuh, penatnya! Nak tercabut kaki sayang. Luas sungguh taman tema ni,” luah Qistur Ruwaidah sambil mengurut betisnya.
Mohamad Salahuddin tersengih. “Banyak lagi kita tak main, sayang. Baru sembilan tempat kita main.”
Tercengang wajah Qistur Ruwaidah. “Mak aih! Ada berapa banyak tempat lagi?”
“Entah. Habibi pun tak ingat. Kalau sayang dah tak larat, tak apa je. Lain kali, kita boleh datang lagi. Kita pergi balik hari.”
“Larat je lagi. Sayang tak puas lagi ni! Harga tiket mahal kut. Rugi kalau kita tak main kat semua tempat. Jom, jom!”
“Uish! Semangat betul sayang habibi ni!”
Namun begitu, Mohamad Salahuddin tetap berasa amat gembira kerana dia telah menggembirakan hati isterinya dan juga membeli jiwa Qistur Ruwaidah itu.
Pada hari ketiga, yakni hari terakhir bagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berbulan madu, mereka berdua menuju ke Genting Premium Outlet (GPO) dengan menaiki kereta kabel sebelum pulang ke rumah kembali.
Sebelum mereka berdua hendak meninggalkan bilik hotel…
Qistur Ruwaidah sedang menyiapkan dirinya dengan membelitkan selendang manakala Mohamad Salahuddin sedang menyarung baju-T lengan pendek terlebih dahulu. Kemudian, dia menyarung kemeja lengan panjang pula di bahagian luar, namun dia tidak membutangkan kemejanya itu.
Pasangan itu bersepakat untuk memakai sedondon rona hijau.
“Habibi… Sayang dah siap,” kata Qistur Ruwaidah.
Mata Mohamad Salahuddin memandang isterinya. Betapa cantik isterinya itu! Tiba-tiba dia mendekati isterinya bersama renungan penuh menggoda. “Hei isteri habibi yang cantik manis ni… Nak pergi mana pakai cantik-cantik macam ni?”
Wajah Qistur Ruwaidah merona merah. Ah, suaminya itu! “Err… Habibi ni, kan… Janganlah pandang sayang macam tu. Sayang sembur minyak wangi kat habibi ya,” ujarnya.
“Okey sayang,” kata Mohamad Salahuddin seraya menyinsingkan lengan bajunya sehingga ke siku seperti yang disukai oleh isterinya itu.
Semasa Qistur Ruwaidah hendak mengambil botol minyak wangi suaminya yang dihadiahi oleh dirinya untuk hantaran kahwin dulu, hatinya berbicara. ‘Ke… Kenapa jantung aku berdebar-debar bila habibi tengok macam tu? Aii… Habibi dan romantiknya, memang tak dapat dipisahkan. Habibi… Aku tak nafikan… Kau memang… Kacak!’
Tatkala Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang…
“Opocot mak kau! Ha… Habibi!” ujar Qistur Ruwaidah dengan nada terkejut.
Kelihatan Mohamad Salahuddin tersenyum bersama renungan penuh asmara. “Kenapa? Takut?”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah menampar lengan suaminya. “Eiii… Bukanlah! Sayang terkejut! Bagilah salam dulu.”
Mohamad Salahuddin tertawa. Lalu, dia menyentuh dagu isterinya. “Okey, okey. Maaf sayang. Assalamualaikum bidadari habibi,” ucapnya bersama kucupan penuh romantis.
Qistur Ruwaidah tersipu-sipu. Namun, sebuah senyuman dihadiahkan buat suami tercinta. “Waalaikummussalam habibi, my prince charming. Emm… Habibi nampak kacak sangat. Sayang terpesonalah. Lagi-lagi habibi singsing lengan baju macam ni.”
“Sayang suka, kan? Habibi buatlah tapi kalau habibi sejuk, habibi turunkan ya.”
“Boleh je, habibi. Nanti mati kesejukan pula.”
Mereka berdua tertawa bahagia.
Lalu, Qistur Ruwaidah menyembur minyak wangi ke tubuh suaminya seraya menghidu bau minyak wangi itu. “Okey, siap. Emm… Wanginya habibi sayang ni! Bau habibi sangat. Bau nilah yang buat sayang rindu kalau kita pergi ke kelas tahu.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Ah, isterinya itu seperti mahu menggodanya pula! Sifat manja dan penuh goda isterinya itu… Mana mungkin dia mengizinkan mana-mana lelaki untuk menyaksikan itu! Hanya dia sahaja yang layak. “Sayang ni… Nak goda habibi ke apa?”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Mana ada! Tapi kan habibi… Sayang takutlah.”
“Aik? Kenapa ni? Sayang takut apa? Cuba cerita kat habibi.”
“Sa… Sayang takut kalau habibi tinggalkan sayang sebab perempuan lain.”
Serta-merta Mohamad Salahuddin mendakap isterinya. “Sayang… Kenapa cakap macam tu? Habibi nak dapatkan sayang dulu pun susah. Sayang banyak tonton drama Melayu ni,” ujarnya. Kemudian, dia meleraikan dakapan tersebut bersama cubitan manja di pipi isterinya.
“Habibi ni… Boleh pula gurau macam tu.”
Mohamad Salahuddin tersenyum sambil meletakkan tapak tangan isteri ke dadanya. “Sayang… Rasa degupan jantung habibi ni. Memang hati habibi tak boleh dilihat tapi Allah Maha Mengetahui… Hanya sayang seorang je yang bertakhta dalam hati habibi. Insya-Allah selama-lamanya selagi habibi masih bernafas. Habibi takkan pernah jemu dengan sayang.”
Qistur Ruwaidah memejamkan matanya bagi merasai degupan jantung suaminya. Dia dapat merasakan jantung suaminya berdegup laju. “Habibi berdebar ke tengok sayang?” soalnya seraya membuka matanya.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersenyum. “Kadang-kadang jantung habibi berdebar sebab habibi terpesona sangat tengok sayang. Sayang ada pakai apa-apa penyeri wajah ya?” selorohnya.
“Habibi… Kandaku… Mahu bercanda ya waktu-waktu begini?” ujar Qistur Ruwaidah seraya mencubit manja lengan suaminya itu.
Mohamad Salahuddin tersengih seketika. Kemudian, dia memuncungkan wajahnya. “Alaa… Adindaku… Adakah habibi tidak mampu bercanda bersamamu lagi? Nasib baik habibi faham maksud bercanda. Berkat PRPM tahu! Bolehlah nak bermain madah klasik dengan sayang.”
Qistur Ruwaidah tertawa. “Bagus habibi! Untuk habibi bercanda dengan sayang, semuanya boleh tapi tulah… Bercanda kepada menyakat. Itu jelah kerja habibi, kan!” katanya. Lalu, dia menjelirkan lidahnya.
Mohamad Salahuddin tertawa. Bijak isterinya melayani dirinya. “Adindaku sayang… Dengan siapa lagi habibi mahu bercanda kalau bukan dengan sayang seorang sahaja?”
“Eiii… Ayat buaya darat betul!” kata Qistur Ruwaidah seraya menepuk manja lengan suaminya.
“Cakap jelah sayang cair dengan habibi. Kan, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani?”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia melekapkan kedua-dua tapak tangannya ke dada suaminya sambil membetulkan kolar kemeja suaminya itu. “Mestilah… Habibi terlalu romantik. Emm… Hari ni, kita dah nak balik lepas kita naik cable car dan pergi GPO. Bilalah lagi sayang berpeluang nak rasa bulan madu macam ni? Sayang akan rindu sebab nilah kali pertama kita berbulan madu betul-betul.”
Mohamad Salahuddin turut tersenyum. Dia teringat akan perbuatan isterinya itu sewaktu sesi bergambar majlis akad nikah dan majlis kesyukuran dahulu. “Insya-Allah… Bila-bila kita boleh pergi bulan madu lagi. Balik dari Genting nanti, kita boleh jalan tempat-tempat kat KL dan Selangor pula. Banyak juga tempat-tempat menarik kat dua negeri tu. Tak ke macam tu?”
“Betul juga. Jom habibi. Sayang tak sabar nak naik cable car.”
Lalu, pasangan itu meninggalkan bilik dan menuju ke bahagian kereta kabel untuk turun dari Genting Highlands ke GPO. Kelihatan ramai juga orang sedang beratur bagi menunggu giliran menaiki kereta kabel walaupun hari bekerja.
Akhirnya, giliran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah tiba bagi menaiki kereta kabel. Cepat-cepat mereka berdua melangkah masuk ke dalam kereta kabel kerana ianya bergerak dan tidak berhenti. Lalu, pasangan itu melabuhkan punggung di atas kerusi. Kelihatan pintu kereta kabel mula ditutup secara automatik.
Bagi Qistur Ruwaidah, dia begitu teruja menaiki kereta kabel buat kali pertama dalam sejarah hidupnya dan dapat menikmati keindahan panorama Genting Highlands. “Habibi… Seronoknya!” luahnya.
Mohamad Salahuddin gembira menyaksikan keceriaan yang terpancar pada wajah bidadarinya itu. “Alhamdulillah. Habibi pun seronok bila sayang seronok. Sayang bayangkan Genting ni macam mana?”
“Sebelum ni, memang sayang tak boleh nak bayangkan. Sayang cuma tahu Genting ni ada taman tema je.”
“Sayang dah tengok keindahan Genting ni. Jangan lupa ucap apa bila tengok sesuatu yang cantik?”
“Alhamdulillah!” balas Qistur Ruwaidah dengan nada penuh ceria.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Ternyata didikan abang iparnya mencerminkan isterinya itu. Jauh di sudut hatinya, moga ada berita gembira bagi mereka berdua setelah pulang dari berbulan madu ini.
“Habibi… Nak peluk. Sayang sejuk,” luah Qistur Ruwaidah dengan manja. Dia merangkul pinggang suaminya.
“Boleh sayang…” kata Mohamad Salahuddin seraya meletakkan tangan kanannya di atas bahu kanan isterinya dan dia mendekati isterinya serat-eratnya sehingga isterinya berasa hangat dalam pelukannya itu.
“Habibi… I love you,” luah Qistur Ruwaidah.
“I love you too, sayang,” balas Mohamad Salahuddin seraya mengucup dahi isterinya.
Setelah kereta kabel tiba di GPO, pasangan itu segera keluar dari perut kereta kabel itu seraya berpegangan tangan. Bagai tidak mahu melepaskan.
“Habibi… Sekejap lagi, kita naik balik cable car, kan?” soal Qistur Ruwaidah.
“Ya sayang. Kan kereta kita ada kat atas sana. Macam mana kita nak balik nanti?” seloroh Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. “Betul juga. Soalan sayang pun…”
Mereka berdua berjalan-jalan di sekitar GPO. Tiada apa yang ingin dibeli di tempat tersebut melainkan makan dan mencuci mata sahaja.
Setelah puas berjalan-jalan, mereka berdua melabuhkan punggung di atas bangku dan menikmati kentang manis, jagung, wafel dan air kosong.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin memecahkan keheningan tatkala mereka berdua menikmati makanan yang dibeli. “Sayang, jom kita taaruf balik.”
Qistur Ruwaidah mengangkat keningnya. “Habibi buang tabiat ke apa?”
Mohamad Salahuddin tersengih. Sengaja dia mahu bergurau dengan isterinya itu. “Haah… Okey, habibi mulakan dulu. Saya Mohamad Salahuddin. Boleh panggil Din. AIKOL.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah meledakkan tawanya. Terasa kekok pula untuk memperkenalkan diri seperti dahulu. Memang suaminya sudah buang tabiat. Nampak gayanya, dia kena melayani suaminya itu. “Habibi… Habibi… Okeylah. Saya Qistur Ruwaidah. Boleh panggil Qist. KIRKHS atau lebih spesifik, BAR,” ujarnya. Kemudian, dia tertawa lagi.
Mohamad Salahuddin turut tertawa. Ah, dia teringat akan pandangan pertamanya terhadap isteri tercinta pada tahun 2013 dulu!
Setelah Qistur Ruwaidah menghentikan tawanya, dia memegang tangan suaminya. “Habibi… Habibi rasa sejauh mana habibi boleh bertahan dengan sayang?”
Mohamad Salahuddin mengerutkan dahinya. “Sejauh mana? Sayang masih ragu-ragu dengan habibi lepas apa yang dah jadi dulu?”
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Bukan. Sayang tak pernah ragu dengan habibi. Cuma, biasalah. Saja nak dengar lagi jawapan habibi. Sayang suka.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Insya-Allah sampai bila-bila pun habibi akan tetap bertahan untuk sayang. Kan habibi dah janji dengan sayang dan Abang Suhaib. Paling penting, habibi dah berjanji depan Allah.”
“Kalau apa-apa jadi lagi kat kita macam salah faham, apa tindakan habibi?”
“Macam biasa. Habibi akan bincang baik-baik dengan sayang. Itu mengajar habibi untuk terus bertahan demi sayang.”
“Lepas apa yang dah jadi dulu, sayang harap… Moga kita bersedia lagi dengan apa jua dugaan yang kita tak jangka.”
“Insya-Allah. Moga Allah melindungi kita. Habibi pun akan melindungi sayang ikut apa yang habibi terdaya demi keluarga kecil kita. Juga, moga Allah memperkenankan doa dan impian kita untuk ada anak,” ujar Mohamad Salahuddin seraya memegang perut isterinya bersama usapan.
Qistur Ruwaidah tersenyum seraya menikmati wafel. “Insya-Allah habibi. Moga impian kita berdua untuk jadi ‘ummi-abi’ akan jadi kenyataan supaya kita pun berpeluang rasa ada kehadiran anak dalam rahim sayang ni. Amin ya Rab…”
Hati sang isteri itu berbisik. ‘Kalbuku, pandanganku dan sentuhanku… Mungkin tidak sehebat suamiku, Mohamad Salahuddin. Namun, aku tetap mahu jadi yang terbaik di sisinya agar dia bangga dengan diriku sebagai isterinya. Juga, sebagai bakal ibu andai diizinkan Allah. Amin ya Allah…’
Mohamad Salahuddin memandang isterinya yang sedang leka menjamah makanan itu. Khusyuk benar! Namun, dia bahagia dengan isterinya yang sudah banyak menggembirakan dirinya sebagai suami. ‘Aku takkan tinggalkan kau, sayang. Andai boleh ditoreh dadaku ini, kau akan nampak bukti dan kau menjadi saksi aku mencintaimu setulus hatiku. Andai setiap titisan darahku yang tertulis namamu boleh dilihat dengan mata kasar, nescaya namamu kutadah erat pada setiap titisnya…’
Hati sang suami itu berbisik lagi. ‘Sayang… Kaulah cinta matiku dan nyawaku. Aku tak boleh hidup tanpa kau, Qistur Ruwaidah. Aku sentiasa perlukan kau di sisiku.’
Setelah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin puas berjalan-jalan di sekitar GPO, kini sudah tiba masanya bagi mereka berdua menaiki kereta kabel sekali lagi bagi menuju semula ke Genting Highlands bagi urusan daftar keluar hotel dan meninggalkan destinasi percutian bulan madu mereka berdua itu.
“Habibi… Nanti kita datang Genting lagi ya? Sayang dah jatuh hati,” kata Qistur Ruwaidah setelah dia dan suaminya berada dalam kereta.
“Boleh sayang. Insya-Allah,” kata Mohamad Salahuddin.

JUMAAT, 27 JANUARI 2017
Qistur Ruwaidah sedang membawa kek coklat hasil air tangannya untuk dia melakukan kejutan hari lahir suaminya itu. Kelihatan suaminya sedang sibuk merangka soalan untuk anak-anak muridnya di bilik belajar bagi kelas tuisyen yang akan diadakan pada sebelah malam nanti.
“Masuk!” laung Mohamad Salahuddin tatkala dia terdengar ketukan pintu.
Qistur Ruwaidah memusing tombol pintu. Lalu, dia menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ buat suaminya itu. “Selamat hari jadi yang ke-22, habibi!” ucapnya setelah dia tamat menyanyikan lagu tersebut.
Wajah Mohamad Salahuddin sedikit terkejut. Dia tidak menyangka bahawa isterinya telah bersusah payah untuk dirinya. Lilin tersebut ditiup. “Alhamdulillah. Terima kasih, sayang. Sayang buat ke kek coklat ni?”
“Sama-sama, habibi. Haah… Kek coklat yang sama sayang pernah buat kat habibi masa lagi beberapa hari sebelum kita nak kahwin. Habibi cakap habibi suka sebab tak pernah makan kek coklat sesedap ni, kan?” kata Qistur Ruwaidah seraya melentokkan kepala di atas bahu suaminya. Dia mahu rasa selamat berada di sisi Mohamad Salahuddin.
Mohamad Salahuddin tersenyum dengan tindakan manja isterinya seraya meletakkan tangan di atas bahu isterinya. “Sayang… Habibi terharu. Sayanglah hadiah terbesar habibi selama 22 tahun habibi hidup. Kurniaan Allah Maha Agung. Habibi tak perlukan apa-apa lagi melainkan sayang sentiasa ada di sisi habibi. I love you, sayang. Terima kasih sebab hadir dalam kehidupan habibi dan buat habibi gembira.
Qistur Ruwaidah berasa sebak. Betapa dia rasa dihargai. Mohamad Salahuddin pula? Kepada Allah, dia memanjatkan kesyukuran di atas kurniaan terindah ini kerana masih dipanjangkan umur dan memiliki isteri tercinta di sampingnya.
“Sama-sama habibi. Sayang pun terharu juga ni. I love you too. Emm… Jom kita selfie kat ruang tamu. Alang-alang sayang dah pakai tudung siap-siap ni.”
“Sekejap. Habibi pergi ambilkan tripod. Rugi kalau kita selfie je,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia mendapat tripod telefon pintar yang terletak di dalam laci.
Lalu, Mohamad Salahuddin mendirikan tripod dan meletakkan telefon pintar di atasnya dalam posisi menghadap sofa di ruang tamu. Dia melakukan percubaan terlebih dahulu bagi melihat kesesuaian posisi gambar tersebut. Setelah dia berpuas hati, dia menghampiri isterinya yang telah sedia berada di sofa.
“Okey… Satu, dua, tiga…” kata Mohamad Salahuddin seraya menekan butang alat kawalan jauh yang menghubungkan ia dan telefon pintar dengan menggunakan sistem bluetooth. Bermakna, tidak perlu menggunakan cara ‘self-timer’ lagi.
Setelah puas bergambar, pasangan itu menikmati kek di dapur.
“Ya Allah… Sedapnya! Rasa sama macam dulu,” puji Mohamad Salahuddin.
“Alhamdulillah. Lega sayang. Memang sayang ikut sama macam resepi yang mama tulis,” kata Qistur Ruwaidah.
“Sayang hebatlah. Serba boleh. Macam mama. Sayang mesti reti buat kuih raya juga, kan?”
“Boleh je. Insya-Allah. Apa kemahiran yang mama ada, sayang pun nak ikut. Ah, kalaulah kita ada anak nanti… Sayang dah berangan nak buat kuih raya sama-sama, sekali dengan habibi lepas solat subuh macam mama pernah buat kat kita orang adik-beradik dan baba sekali dulu.”
“Insya-Allah. Moga Allah perkenankan impian sayang. Sayang… Patutnya sayang dah datang haid, kan?”
“Eh, haah… Dah terlewat seminggu dari kita berbulan madu hari tu.”
“Nak cuba buat ujian?”
“Kan hari ni hari jadi habibi. Kalau sayang periksa sekarang dan keputusannya negatif, macam mana? Sayang tak nak habibi sedih.”
“Tak apa. Habibi sedia je. Selama ni, sayang tanggung sakit buat ujian seorang diri. Giliran habibi pula akan rasa kalau betul rezeki anak masih belum berpihak kat kita.”
Lalu, Qistur Ruwaidah mula melakukan ujian kehamilan dengan mengambil kit ujian kehamilan di laci bilik tidur. “Bismillah…” ucapnya dengan lafaz tawakal.
Mohamad Salahuddin turut menemani isterinya. Dia juga akan bersedia jika rezeki anak masih belum berpihak buat mereka berdua.
Setelah keluarnya keputusan…

NEGATIF

Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum pahit. Meskipun sakit, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
“Tak apa, sayang. Belum lagi rezeki kita,” pujuk Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Memang dia sudah menjangkakan berkenaan hal itu. “Habibi kecewa?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Tipulah kalau habibi tak kecewa, kan? Tapi… Ini bukan urusan kita. Allah masih belum izinkan kita, sayang. Masanya belum sesuai lagi. Ha, sayang… Jomlah kita lepak kat rumah Abang Suhaib. Kita sambut hari jadi habibi dengan Abang Suhaib pula. Lagipun, kita tak jumpa Abang Suhaib lagi bulan ni.”
Wajah Qistur Ruwaidah segera berubah ceria. “Yalah! Ya Allah… Rindunya kat Abang Suhaib. Sekarang juga sayang pergi hubungi dia!”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Kemudian, matanya ralit memegang ujian kit kehamilan itu. Dia masih mengharapkan keajaiban daripada satu garisan bertukar menjadi dua garisan. Namun, tiada perubahan juga.
Akhirnya, Mohamad Salahuddin reda dengan ketentuan Ilahi. Rezeki anak masih belum menjadi milik dia dan Qistur Ruwaidah.

Share this novel

Good Helper
2023-02-22 02:14:09 

Memandangkan wajah kita berbeza, masalah kita berbeza, saya tidak tahu apa kesusahan yang anda alami, tetapi saya ingin anda tahu sama ada anda benar-benar ingin keluar dari pahit itu. Ada penyelesaian untuk anda. Saya ingin memperkenalkan seorang lelaki bernama Dr Okpa kepada umum, dia seorang tukang sihir dan dia membantu saya menyelamatkan perkahwinan saya setahun yang lalu. isteri saya keluar rumah mengatakan dia tidak berminat lagi dengan kesatuan kami, saya terkejut kerana saya tidak ingat kami bergaduh, kemudian saya mendapat tahu dia bersama lelaki lain, saya merayu dia untuk pulang. untuk bersama saya dan anak-anak, tetapi dia tidak lagi bertindak sendiri, saya mendapati kemudian bahawa lelaki yang bersamanya telah merasukinya dengan pesona. Saya menghubungi Dr Okpa dan jampi itu dibatalkan selepas 3 hari jampi isteri saya pulang ke rumah. Saya ingin anda tahu bahawa Dr Okpa mampu melakukan apa-apa jenis jampi. Hubungi beliau di Call/WhatsApp: + atau melalui e-mel: Nama: Ahkam Negara: Singapura

Good Helper
2023-02-22 02:11:08 

Memandangkan wajah kita berbeza, masalah kita berbeza, saya tidak tahu apa kesusahan yang anda alami, tetapi saya ingin anda tahu sama ada anda benar-benar ingin keluar dari pahit itu. Ada penyelesaian untuk anda. Saya ingin memperkenalkan seorang lelaki bernama Dr Jazaza kepada umum, dia seorang tukang sihir dan dia membantu saya menyelamatkan perkahwinan saya setahun yang lalu. isteri saya keluar rumah mengatakan dia tidak berminat lagi dengan kesatuan kami, saya terkejut kerana saya tidak ingat kami bergaduh, kemudian saya mendapat tahu dia bersama lelaki lain, saya merayu dia untuk pulang. untuk bersama saya dan anak-anak, tetapi dia tidak lagi bertindak sendiri, saya mendapati kemudian bahawa lelaki yang bersamanya telah merasukinya dengan azimat. Saya menghubungi Dr Jazaza dan jampi itu dibatalkan selepas 3 hari jampi isteri saya pulang ke rumah. Saya ingin anda tahu bahawa Dr Okpa mampu melakukan apa-apa jenis jampi. Hubungi beliau di Call/WhatsApp: + atau melalui e-mel: Nama: Ahkam Negara: Singapura


NovelPlus Premium

The best ads free experience