ZIKIR ‘Lailahaillallah’ dialunkan oleh Hafiz Hamidun menerusi aplikasi ‘Spotify’ dalam telefon pintar Suhaibul Umar sewaktu dia sedang berbaring di atas katil. Memang dia amat menyukai penasyid itu kerana suaranya yang begitu merdu dan rentak pun amat menenangkan kalbu. Zikir ‘Lailahaillallah’ merupakan salah satu zikir yang terdapat dalam album ‘Zikir Terapi Diri’.
Selain album ‘Zikir Terapi Diri’, penasyid itu juga telah melahirkan dua buah album lagi, kesinambungan daripada album Zikir Terapi Diri, iaitu ‘Zikir Terapi Diri 2’ dan ‘Zikir Terapi Diri 3’.
Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi.
Din Firdaus
Suhaibul Umar tersenyum. Memang dia menunggu panggilan daripada Mohamad Salahuddin sejak lamaran lelaki itu diterima oleh adiknya pada tiga hari lepas. Sengaja dia tidak menghubungi lelaki itu kerana dia ingin menguji sejauh mana keberanian lelaki itu terhadap dirinya selaku wali Qistur Ruwaidah.
“Assalamualaikum Din,” ucap Suhaibul Umar setelah dia menjawab panggilan tersebut.
“Waalaikummussalam Abang Suhaib. Sihat?” ujar Mohamad Salahuddin berbasa-basi. Dalam hatinya, dia agak berdebar juga. Namun, dia perlu memberanikan diri dan meraikan lelaki yang cukup bermakna dalam hidup gadis yang amat dicintainya itu.
“Alhamdulillah sihat. Din sihat tak? Kenapa hubungi abang ni?”
“Alhamdulillah sihat juga. Din hubungi abang sebab nak bincang pasal hari merisik kalau abang lapang sekarang.”
“Oh, pasal tu. Okey, abang lapang je. Nak abang panggilkan Qist tak?”
“Tak apa abang. Din bincang dengan abang je. Nanti abang beritahulah Qist. Macam ni… Keluarga Din ingat nak datang risik Qist hari Sabtu minggu depan. 4 Jun. Pasal majlis tunang, majlis akad dan majlis kesyukuran, kita bincang masa hari merisik nanti. Boleh ke?”
“Wah, pantasnya! Bagus betul keluarga Din ni. Lagipun, yalah. Memang perkara baik elok dipercepatkan. Kalau macam tu, abang tanyakan Qist dulu. Takut dia terkejut pula. Kalau dia okey, abang akan maklumkan kat Din balik.”
Usai Suhaibul Umar berhubung dengan jejaka itu, dia menuruni anak tangga untuk menuju ke ruang tamu. Biasanya adiknya akan melepak di ruang tamu pada waktu tersebut.
Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang menonton rancangan televisyen.
“Adik…” panggil Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah menoleh ke arah abangnya. “Ah abang… Duduklah. Abang tak kacau adik pun. Cerita kat televisyen ni bosan betul,” ujarnya sambil mematikan rancangan televisyen tersebut dengan menggunakan alat kawalan jauh.
Suhaibul Umar tersenyum seraya melabuhkan punggungnya di atas sofa. “Din hubungi abang tadi,” katanya. Dia terus membuka topik berkenaan perbualan bersama dengan Mohamad Salahuddin tadi.
“Oh, Din hubungi abang. Kenapa?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Keluarga dia nak datang risik adik hari Sabtu minggu depan. 4 Jun. Adik okey tak?”
“Sabtu minggu depan? Uish, cepatnya! Tapi… Bukan adik tak okey tahu. Adik okey je. Cuma, adik dah rasa cuak nak jumpa mak ayah Din. Bukan dengan mak ayah Din je, Din pun adik rasa cuak.”
Suhaibul Umar tersengih. Alahai… Begini rupanya keadaan adiknya setelah adiknya menerima lamaran Mohamad Salahuddin itu. Logiklah juga kerana mereka berdua bakal bertukar status.
“Betul ni adik okey? Kalau adik tak sedia lagi, abang boleh minta keluarga Din tangguh minggu satu lagi,” ujar Suhaibul Umar.
“Insya-Allah adik sedia je. Abang jangan risau. Cumanya, adik fikir nak sediakan hidangan apa kat keluarga Din nanti. Tu jelah,” balas Qistur Ruwaidah.
“Pasal hidangan tu, adik jangan risau. Kita boleh fikir kemudian. Kan lagi seminggu. Bukannya keluarga Din nak datang hari Sabtu esok.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Eh, betul juga! Apalah adik ni… Emm… Din ada cakap apa-apa lagi tak dengan abang?”
“Ada. Dia minta saiz jari manis kiri dan saiz jari manis kanan adik. Dia nak buat persediaan beli cincin risik dan cincin tunang terus. Nanti dia tunjuk beberapa reka bentuk cincin kat adik tapi kalau adik rasa tak berkenan, dia nak bawa adik kat kedai emas terus.”
‘Kedai emas? Biar betul si Din ni!’ getus hati Qistur Ruwaidah.
Selepas pemergian arwah ibu bapa Qistur Ruwaidah, tiada lagi sebarang barang perhiasan yang membaluti tubuh gadis itu. Rantai dan gelang emasnya telah tertanggal sewaktu dia terlibat dalam kemalangan dulu. Mungkin telah dicuri atau terjatuh di kawasan kemalangan tersebut.
“Emm… Boleh tak adik minta izin abang nak bincang dengan Din secara privasi pasal cincin tu?” soal Qistur Ruwaidah.
“Okey boleh. Abang pun rasa abang tak patut masuk campur pasal tu. Alang-alang tu, adik beritahu teruslah pasal yang dia nak datang rumah kita hari Sabtu minggu depan. Abang okey je,” balas Suhaibul Umar.
Setelah dua beradik itu selesai berbicang, Qistur Ruwaidah segera menghubungi lelaki tersebut.
Sementara dari sisi Mohamad Salahuddin pula…
Selesai dia berhubung dengan Suhaibul Umar berkenaan hari merisik tersebut, dia tersenyum sendirian sambil memandang hiasan latar belakang telefon pintarnya, iaitu gambarnya bersama Qistur Ruwaidah berpakaian sedondon rona biru tua di Taman Saujana, Pusat Beli-Belah Adenium pada satu ketika dahulu.
Seketika, dia teringat penerimaan lamaran Qistur Ruwaidah di Kafe The Grill pada tiga hari lepas. 24 Mei 2016… Itulah kenangan paling indah buat dirinya. Walaupun dia bersembang secara privasi dengan perempuan itu seketika sahaja tetapi itu tetap membuatkan dirinya gembira. Dia benar-benar bertekad untuk menjaga perempuan itu sepenuh jiwa raganya kelak.
Tiba-tiba lamunan Mohamad Salahuddin menjadi mati tatkala dia menerima panggilan daripada Qistur Ruwaidah. Wajahnya bertukar ceria. Betapa dia merindui insan itu! Sudah tiga hari dia tidak menghubungi gadis itu. Ibarat tiga tahun rasanya.
“Assalamualaikum Din,” ucap Qistur Ruwaidah setelah lelaki itu menjawab panggilannya. Suaranya ketar. Sungguh dia menjadi malu dengan jejaka itu biarpun hujung talian menjadi pemisahnya.
“Waalaikummussalam Qist. Qist sihat?” ujar Mohamad Salahuddin dengan nada yang cukup tenang, namun dia dapat merasakan getaran suara gadis itu.
“Alhamdulillah sihat je. Din?”
“Alhamdulillah sihat je. Kenapa Qist hubungi Din? Qist ada masalah ke?”
“Emm… Din ada hubungi Abang Suhaib tadi, kan?”
“Haah… Din bincang dengan Abang Suhaib pasal keluarga Din nak datang merisik Qist hari Sabtu minggu depan dan minta Abang Suhaib tanyakan saiz jari Qist. Din ingat nak pergi beli cincin risik dan cincin tunang dengan mak Din dan Keena esok sebab hari Isnin sampai Jumaat, Din sibuk ajar mengaji dan tuisyen. Takut tak sempat nak cari.”
“Ha, tulah… Abang Suhaib ada cakap tadi. Pasal hari merisik tu, Qist dan Abang Suhaib okey je. Kita orang tak ada masalah. Cumanya, Qist nak bincang pasal cincin. Betul ke Din nak bagi cincin kat Qist?”
“Eh, betullah! Kan cincin tu salah satu simbolik nak beritahu perempuan tu dah berpunya. Qist ada masalah dengan cincin ke?”
“Bu… Bukan. Cuma… Qist rasa tak layak nak terima cincin daripada Din.”
“Laa… Apa kaitan pula Qist rasa tak layak dengan cincin? Setiap perempuan layaklah pakai cincin. Ada apa-apa yang mengganggu Qist ke sampai Qist rasa macam tu?”
“Emm… Lepas mama baba dah tak ada, Qist dah tak pernah rasa pakai barang kemas. Dulu, Qist pernah ada rantai dan gelang emas tapi dah hilang masa Qist kemalangan dulu. Bila Din nak bagi cincin risik dan tunang kat Qist, Qist rasa macam tak layak pula sebab Qist tahu cincin risik dan tunang mesti mahal. Qist rasa macam bebankan Din pula.”
Kedengaran Mohamad Salahuddin menghela nafasnya. “Kenapa Qist fikir macam tu? Mana ada Qist bebankan Din. Din tak pernah fikir macam tu tahu. Nilah masanya Din nak hadiahkan cincin kat Qist sebagai hadiah pertama lepas Qist terima lamaran Din. Qist layak terima apa je barang yang Din bagi kat Qist. Jangan hukum masa lalu Qist. Qist layak bahagia.”
Qistur Ruwaidah membisukan dirinya seketika. Sebak. Dia tidak mahu Mohamad Salahuddin mendengar tangisannya. Dia perlu memendekkan masa perbualan bersama lelaki itu. “Terima kasih Din. Qist terharu,” ucapnya.
“Sama-sama Qist. Ah, ya… Berapa saiz jari manis kanan dan kiri Qist?”
“Dua-dua jari saiz 15. Kalau Din tanya pasal reka bentuk cincin, Qist tak kisah tahu. Surprise me.”
Ayat Qistur Ruwaidah itu membuatkan Mohamad Salahuddin tersenyum lebar. Bagusnya gadis itu! Alangkah beruntungnya dia… Dari situ, dia mula memahami bahawa Qistur Ruwaidah merupakan seorang yang sangat ringkas dan sukakan kejutan.
HARI MERISIK, RUMAH QISTUR RUWAIDAH
SABTU, 4 JUN 2016
10 PAGI
Tibalah hari pertemuan di antara Qistur Ruwaidah dengan keluarga Mohamad Salahuddin. Meskipun ahli keluarga lelaki itu seramai empat orang sahaja dan mereka masih belum tiba, Qistur Ruwaidah berdebar secara jujurnya. Lagi-lagi, itulah kali pertama gadis tersebut bakal bertemu dengan Puan Zaidah dan Encik Mohd Firdaus. Dia juga merindui Sakeenah!
Beberapa aneka hidangan telah disediakan oleh Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar di atas meja makan, iaitu nasi lemak berlaukkan ayam goreng berempah, roti canai, lasagna, jus oren serta air kosong.
Usai sahaja dua beradik itu menunaikan solat subuh, mereka berdua segera bertungkus-lumus menyiapkan hidangan-hidangan tersebut.
“Apa lagi yang tak cukup, adik?” soal Suhaibul Umar.
“Adik rasa lebih dari cukup dah ni. Kalau makanan-makanan ni tak habis, keluarga Din boleh bungkus bawa balik,” balas Qistur Ruwaidah seraya tangannya ligat meletakkan pinggan, mangkuk, cawan, sudu dan garfu di atas meja makan tersebut.
“Kalau mama ada lagi, mesti mama bangga dengan adik pasal bab masak ni. Adik handal masak tahu.”
“Eiii… Mana ada. Abang lagi handal masak daripada adik. Sebenarnya… Setiap kali adik masak sendiri atau adik masak dengan abang, mesti adik rasa mama macam ada dengan adik.”
Suhaibul Umar tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu. Betapa hatinya sebak tatkala mengenangkan ahli keluarga mereka berdua yang telah pergi. Alangkah seronoknya jika Puan Mahfuzah, Encik Isyraf Imrani, Qinawiyur Ruhiyah, Harrazul Umair dan Harzanul Umair turut ada bersama mereka pada hari ini, iaitu hari bersejarah bagi Qistur Ruwaidah.
Walaupun dia dan adiknya sebentar sahaja bersama lima insan yang disayangi itu, namun memori manis tetap ada dan sukar untuk dilepaskan pergi.
Kedengaran bunyi enjin kereta di pekarangan rumah dua beradik itu. Suhaibul Umar menjengah melalui tingkap. Memandangkan dia sudah membuka pagar rumahnya, kelihatan kereta ayah Mohamad Salahuddin memarkirkan kereta di belakang keretanya.
“Keluarga Din dah sampai ke?” soal Qistur Ruwaidah.
“Haah… Abang pergi jemput dia orang. Adik pergilah pakai tudung,” balas Suhaibul Umar.
Tanpa melengahkan masa, Qistur Ruwaidah segera meninggalkan ruang tamu untuk memakai tudung di biliknya manakala Suhaibul Umar membuka mangga gril ruang tamu tersebut.
Usai sahaja enjin kereta dimatikan, kelihatan keluarga Mohamad Salahuddin keluar dari perut kereta bersama senyuman.
Suhaibul Umar turut membalas senyuman keluarga itu tatkala keluarga lelaki itu menghampirinya. “Jemput masuk semua,” ucapnya berbasa-basi. Dia menyalam tangan Encik Mohd Firdaus dan Mohamad Salahuddin. Dia sendiri berdebar apabila tetamu penting itu menziarahi teratak dia dan adiknya. Entahlah bagaimana dengan adiknya itu. Harapnya semua baik sahaja.
Lalu, Suhaibul Umar menjemput keluarga Mohamad Salahuddin untuk duduk di atas sofa. Dia juga turut melabuhkan punggung di atas sofa tersebut untuk beramah mesra dengan keluarga lelaki itu. Sepatutnya, inilah yang dirasai oleh almarhum ayahnya atau datuknya jika mereka masih hidup. Hakikatnya, betapa besar tanggungjawab dia untuk adiknya bagi menggantikan tugas wali teratasnya.
“Qist mana?” tanya Puan Zaidah.
“Dia tengah pakai tudung sekejap,” balas Suhaibul Umar.
“Suhaib belajar lagi ke?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Alhamdulillah baru je habis belajar. Tengah tunggu keputusan. Sekarang, saya fokus bisnes gubah hantaran,” balas Suhaibul Umar.
“Wah, bisnes gubah hantaran! Kali pertama mak cik dengar bisnes macam tu,” ujar Puan Zaidah dengan penuh teruja.
Suhaibul Umar tersenyum. Ya, itulah bisnes yang diusahakan oleh dirinya sejak dia berada di tahun kedua ijazah dulu. Dia hanya memfokuskan untuk perkhidmatan gubah hantaran sahaja.
Itu pun tidak menang tangan dibuatnya ketika dia menjadikan bisnes tersebut secara separuh masa sahaja dahulu sehingga dia terpaksa berehat dalam tempoh tertentu daripada bisnesnya itu kerana dia menggubah seorang diri tanpa bantuan orang lain.
Dia sendiri pun tidak tahu mengapa dia memilih bisnes tersebut di atas tunjuk ajar daripada sahabat baiknya, iaitu Afkar Irsyad. Namun, sahabat baiknya itu telah mendorong dirinya kerana lelaki itu nampak potensi melalui idea uniknya.
Atas bantuan Afkar Irsyad jugalah dari segi pemasaran di media sosial seperti Fac dan Instagram, dirinya semakin dikenali kerana bakat dan bisnes uniknya itu sehinggalah bisnesnya tersebar di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar atau Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED). Kini, dia telah menumpukan sepenuh masa bagi bisnesnya itu, semakin ramailah pelanggan mencari dirinya itu.
“Ada je orang yang buat bisnes macam saya. Cuma, tak ramai lagi. Saya mulakan bisnes tu pun dalam dua tahun lepas,” terang Suhaibul Umar.
“Senanglah Qist. Abang dia boleh buat hantaran. Kalau macam mak cik nak upah kat Suhaib untuk hantaran Din nanti, bolehlah ya?” ujar Puan Zaidah dengan ceria.
“Insya-Allah. Boleh je mak cik. Tak ada masalah. Mak cik bawa je barang hantaran tu dan beritahu konsepnya nanti,” balas Suhaibul Umar seraya tersenyum.
Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah menuruni anak tangga dari tingkat atas untuk menuju ke ruang tamu bagi bertemu dengan keluarga Mohamad Salahuddin. “Assalamualaikum semua,” ucapnya seraya tersenyum manis. Sebuah degupan jiwa menemani dirinya.
Kelihatan keluarga Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar menoleh ke arah gadis itu seraya menjawab salam.
Mata Mohamad Salahuddin memandang seketika ke arah Qistur Ruwaidah. Pada hari tersebut, penampilan gadis itu sungguh lain. Bukan seperti yang biasa dilihatnya sebelum-sebelum ini. Biasanya, Qistur Ruwaidah suka mengenakan jubah atau blaus bersama seluar. Dia tidak pernah melihat gadis itu memakai baju kurung atau baju kebarung.
Kelihatan Qistur Ruwaidah anggun berpakaian baju kebarung rona merah jambu lembut dan dipadankan dengan tudung bawal bidang 60 rona merah jambu gelap, senada dengan baju kebarungnya. Lalu, dia bersalaman dengan Puan Zaidah. Hatinya berdebar tatkala dia menghulurkan tangan kepada ibu Mohamad Salahuddin itu buat kali pertamanya. “Mak cik sihat?”
“Alhamdulillah. Mak cik sihat. Akhirnya, kita jumpa juga ya,” balas Puan Zaidah bersama sebuah senyuman. Tangan gadis itu disambut olehnya dengan penuh kelembutan. ‘Cantik juga pilihan Along ni,’ bisik hati sang ibu itu.
Lalu, Puan Zaidah mendakap gadis itu dengan erat sebagai tanda bahawa dia merestui pilihan hati Mohamad Salahuddin. “Terima kasih sebab terima Din,” bisiknya ke telinga Qistur Ruwaidah.
Kata-kata sang ibu itu membuatkan Qistur Ruwaidah berasa amat terharu. “Sama-sama mak cik. Terima kasih juga sebab keluarga mak cik terima dan restu saya untuk bersama Din,” ucapnya.
Kelihatan Puan Zaidah mencium kedua-dua belah pipi Qistur Ruwaidah itu.
Mohamad Salahuddin memandang situasi itu dengan penuh rasa syukur. Hatinya menjadi lega akan penerimaan Puan Zaidah terhadap gadis itu. Jika sebelum ini ibunya kurang berkenan sedikit dengan Qistur Ruwaidah, namun pada hari ini, dia nampak betapa ibunya amat menyukai insan pilihannya itu.
“Maknya pun, sudah-sudahlah buat drama. Tahulah Ida suka sangat dengan Qist,” usik Encik Mohd Firdaus. Lalu, dia tersengih ke arah isterinya.
“Eh, abang ni! Disakatnya Ida pula. Abang tu pun samalah suka sangat kat budak Qist ni. Cuma, tak nak cakap je. Kan?” Puan Zaidah memulangkan paku buah keras kepada suami tercintanya itu.
Semua orang ketawa tatkala menyaksikan gurauan Puan Zaidah dan Encik Mohd Firdaus itu.
Sewaktu Qistur Ruwaidah bersalaman dengan Sakeenah, remaja perempuan itu terus memeluk gadis itu. Memang dia suka akan Qistur Ruwaidah sejak dia mengetahui abangnya telah jatuh hati terhadap perempuan tersebut. “Kak Qist… Keena rindu sangat kat Kak Qist,” luahnya dengan nada manja.
“Kak Qist pun rindu sangat kat Keena,” balas Qistur Ruwaidah. Dia terharu dengan adik lelaki itu sejak pertemuan kali pertama dahulu.
Lalu, pelukan itu dileraikan. Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman manis kepada Sakeenah.
“Eh, Keena dah pernah jumpa Qist?” tanya Puan Zaidah.
“Dah mak. Abang Long pernah bawakan Keena jumpa dengan Kak Qist dulu sebab Keena nak sangat jumpa Kak Qist lepas Keena baca novel Kak Qist. Ha, mak ayah… Kak Qist ni penulis novel tahu. Novel Kak Qist seronok tahu!” terang Sakeenah dengan penuh ceria.
Kelihatan Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu. Sakeenah… Sakeenah… Ada-ada sahaja.
“Wah, Qist tulis novel ya! Bagusnya. Bukan semua orang ada bakat menulis,” tegur Puan Zaidah.
“Ya. Sejak dari sekolah menengah dulu. Alhamdulillah mak cik,” balas Qistur Ruwaidah. Hatinya menjadi lega dengan wanita tua itu. Dia memasang tekad untuk menjadi menantu yang baik nanti dan banyakkan bertanya tentang alam rumah tangga kepada si ibu itu.
Setelah itu, Qistur Ruwaidah melabuhkan punggung di atas sofa yang diduduki oleh Suhaibul Umar tadi. Kemudian, dia menegur pula Encik Mohd Firdaus. Kepalanya dianggukkan sedikit sebagai tanda hormat kepada ayah yang telah mendidik insan yang dicintainya itu. “Pak cik sihat?”
“Alhamdullillah sihat. Nilah gerangan pilihan hati Din ya. Berjumpa juga kita. Sebelum ni, Din ada je cerita pasal Qist kat pak cik dan mak cik,” balas Encik Mohd Firdaus dengan penuh mesra.
Qistur Ruwaidah tersenyum, namun anak matanya menghala seketika ke arah Mohamad Salahuddin yang berpakaian kemeja rona hijau tua itu sambil memberikan isyarat wajah… ‘Apa yang Din cerita pasal Qist kat mak ayah Din?’
Mohamad Salahuddin hanya menghadiahkan sengihan nakal. Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Dia tahu sangat lelaki itu jenis kuat mengusik. Itu juga merupakan salah satu sebab dia terpaut kepada Mohamad Salahuddin kerana dia percaya setelah dia hidup bersama lelaki itu kelak, lelaki itu akan menyinari hidupnya dengan gurau senda.
Dalam hati Qistur Ruwaidah, dia berasa amat bersyukur dan gembira akan penerimaan ibu bapa Mohamad Salahuddin terhadap dirinya. Dia merasakan bahawa ini merupakan salah satu petanda baik yang Allah tunjukkan kepada dirinya berkenaan jodoh.
Selain dia merasakan bahawa dia dikurniakan seorang lelaki yang cukup baik serta sekufu dengan dirinya dan bakal menjadi tunang serta isteri kepada Mohamad Salahuddin kelak, dia rasa cukup bersyukur juga kerana dikurniakan bakal mentua dan ipar yang dapat menerima dirinya.
Rezeki… Itulah yang dirasakan oleh gadis tersebut berkenaan keluarga Mohamad Salahuddin itu.
Suhaibul Umar hanya menjadi pemerhati di antara adiknya dan keluarga Mohamad Salahuddin itu. Dia tidak menyampuk apa-apa. Sejak dari tadi, dia mengabadikan kenangan hari merisik adiknya dengan menggunakan kamera DSLR miliknya.
Kamera itulah telah banyak berjasa buat dirinya semenjak tahun pertama dia menjadi mahasiswa ijazah sarjana muda untuk tugasannya sehinggalah dia menamatkan pengajiannya dan dia boleh meneruskan untuk menggunakan kamera tersebut bagi bisnes gubah hantaran pula.
Sedikit sebanyak, hatinya menjadi lega akan penerimaan ibu bapa Mohamad Salahuddin terhadap adiknya. Sebenarnya, terselit juga sedikit rasa risau dalam kalbu sang abang itu jika ibu bapa lelaki tersebut tidak boleh menerima adiknya dengan seadanya.
“Mak cik, pak cik… Dah sembang ke dengan abang saya?” soal Qistur Ruwaidah. Lalu, dia memandang abangnya itu.
Suhaibul Umar tersenyum, namun dia meneruskan sesi fotografi tersebut.
“Ada sembang tadi. Suhaib cakap dia buat bisnes gubah hantaran. Mak cik kagum betul,” balas Puan Zaidah.
Setelah Suhaibul Umar puas mengabadikan kenangan tersebut, dia melabuhkan punggung kembali bersebelahan dengan adiknya bagi menyantuni keluarga Mohamad Salahuddin semula. Pelbagai topik yang dibualkan sehinggalah Encik Mohd Firdaus menyatakan tujuan kehadiran mereka sekeluarga.
“Suhaib… Tujuan pihak kami datang ni, Suhaib pun dah tahu. Anak kami, Mohamad Salahuddin nak petik bunga di taman kalau tuan empunya sudi. Anggaplah hari merisik ni sebagai hari tunang juga walaupun tak rasmi,” ujar Encik Mohd Firdaus.
Tatkala itu, pipi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menjadi merah lantaran menahan malu. Walaupun Mohamad Salahuddin telah melamar gadis itu di sekitar kawasan bank dalam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dulu, namun dia tetap rasa lain kerana ibu bapanya terlibat sekali pada kali ini.
Pada masa yang sama, Mohamad Salahuddin mencuri pandang ke arah gadis yang dicintainya itu. Ya, Qistur Ruwaidah! Seorang siswi yang cukup lemah lembut, namun tegas pendirian. Hatinya membulat tekad. Tiada sebarang keraguan lagi. Gadis itu akan menjadi isteri dan ibu kepada bakal zuriatnya jika diizinkan Ilahi nanti.
Suhaibul Umar memandang adiknya. Jujur, dia kekok kerana dia tiada pengalaman sebegini. Satu pengalaman baru buat dirinya. “Macam mana? Adik sudi ke tak terima Din sebagai tunang adik hari ni?”
Qistur Ruwaidah mula berbisik sesuatu ke telinga abangnya. Dia menyerahkan urusan tersebut kepada Suhaibul Umar selaku jurucakapnya. “Insya-Allah. Adik terima.”
Lalu, Suhaibul Umar tersenyum setelah dia mendengar sendiri jawapan daripada adiknya itu. Persetujuan daripada Qistur Ruwaidah disampaikan dengan segera. “Saya selaku wakil untuk adik saya, tuan empunya sudi dipetik.”
“Alhamdulillah,” ucap keluarga Mohamad Salahuddin.
Kalbu Mohamad Salahuddin mengucap syukur ke hadrat Ilahi. Qistur Ruwaidah telah menerima dirinya tanpa ragu-ragu sejak lamarannya telah diterima pada minggu lepas.
“Kalau macam tu, pihak kami ada bawakan cincin belah rotan sebagai tanda si bunga sudi untuk dipetik,” ujar Encik Mohd Firdaus.
Kelihatan Puan Zaidah bangun dari tempat duduknya untuk menghampiri Qistur Ruwaidah. Suhaibul Umar juga bangun dari sofa bagi memberikan ruang kepada wanita itu untuk menyarung cincin. Tugasnya sebagai jurufoto disambung kembali untuk merakamkan detik bersejarah itu.
Setelah Puan Zaidah melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Qistur Ruwaidah, jantung gadis itu menjadi debar tatkala dia menghulurkan jari manis kirinya kepada wanita itu.
Perlahan-lahan cincin belah rotan itu disarungkan oleh Puan Zaidah ke jari manis kiri Qistur Ruwaidah. Kelihatan cincin itu terletak elok berdasarkan ketepatan saiz jari yang telah dimaklumkan oleh gadis itu kepada Mohamad Salahuddin. Kini, dia telah menjadi tunangan lelaki itu secara rasmi.
Pada hari tersebut, terserlah riak wajah kegembiraan buat seorang Qistur Ruwaidah. Dia merasakan bahawa urusan jodohnya bersama Mohamad Salahuddin amat mudah dan pantas.
Mohamad Salahuddin terperasan bahawa wajah gadis itu amat ceria dan berseri-seri setelah cincin yang telah dipilih olehnya sendiri, sudah selamat disarungkan ke jari Qistur Ruwaidah. Akhirnya… Segala puji bagi Allah, gadis itu telah rasmi menjadi tunangnya.
‘Aku takkan sakiti kau, Qist. Aku takkan biarkan kau sedih lagi macam zaman kanak-kanak kau dulu. Aku akan hapuskan air mata derita kau yang lalu. Aku akan berikan segala cinta dan kegembiraan untuk kau. Insya-Allah. Aku janji,” bisik hati Mohamad Salahuddin dengan penuh tekad.
Qistur Ruwaidah terpandang seketika ke arah Mohamad Salahuddin. Sebuah senyuman kecil dihadiahkan buat jejaka itu. Mohamad Salahuddin jua tersenyum ke arah gadis itu.
Lalu, Encik Mohd Firdaus menuturkan sesuatu kepada Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah. “Suhaib, Qist… Kalau ikutkan hari ni, sebenarnya pihak kami nak harung sekali untuk hari merisik dan hari tunang tapi biasalah… Keluarga besar pihak kami nak tengok gerangannya. Kalau Suhaib dan Qist tak kisah, pihak kami nak adakan majlis tunang dalam dua minggu lagi. Boleh ke?”
Suhaibul Umar memandang adiknya. “Adik okey ke?”
“Adik okey je kalau abang okey. Mana baik untuk abang, baik jugalah untuk adik. Lagipun, okey juga kalau kita berkenalan dengan keluarga besar Din masa tu,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar mengangguk faham. Lalu, dia menghadiahkan senyuman kepada keluarga Mohamad Salahuddin. “Di pihak kami, kami setuju.”
“Alhamdulillah. Kalau macam tu, jangan risau pasal majlis. Pihak kami akan bantu juga dari segi kewangan. Kami faham Qist dan Suhaib pun dah tak ada mak ayah. Jadi, kami tak nak bebankan pihak Qist dan Suhaib,” balas Encik Mohd Firdaus.
“Kalau macam tu, pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pak cik. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” jawab Suhaibul Umar.
“Pasal majlis tunang dah selesai. Alhamdulillah. Kita teruskan untuk majlis akad nikah dan majlis kesyukuran pula. Ni cadangan daripada pihak kami lepas dah bincang dengan Din. Din cadang untuk majlis akad nikah dan majlis kesyukuran tak diadakan pada hari yang sama sebab tak nak tergesa-gesa,” ujar Encik Mohd Firdaus.
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar mendengar dengan penuh tekun.
Encik Mohd Firdaus menyambung bicaranya. “Cadang Din lagi, majlis akad nikah nak diadakan awal bulan September sebelum Din dan Qist sambung semester baru dan majlis kesyukuran diadakan seminggu selepasnya. Kami selaku ayah dan mak Din, kami okey je. Tak elok juga tunang lama-lama ni. Walaupun bunyi macam agak suntuk dari segi nak mohon daftar nikah, ujian HIV, cari tempat untuk majlis kesyukuran dan banyak lagi tapi insya-Allah kami rasa sempat kalau Qist dan Din terus bertindak hari Isnin ni. Qist dan Suhaib okey ke?”
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar saling berpandangan seketika. Lalu, Suhaibul Umar bertanya sesuatu. “Din, bila tarikh semester baru?”
“5 September 2016,” balas Mohamad Salahuddin. Memang dia sudah peka berkenaan tarikh kemasukan bagi semester baharu menerusi kalendar akademik UIAM.
Suhaibul Umar berbincang seketika dengan adiknya. “Adik sedia tak nak kahwin sebelum masuk semester baru? Sekarang, dah 4 Jun. Tinggal dua bulan je adik nak buat persediaan tak termasuk September,” ujarnya.
“Abang rasa macam mana?” soal Qistur Ruwaidah.
“Abang okey je. Lagipun, abang dah habis belajar. Adik dan Din pun tengah cuti semester. Kita ada banyak masa. Kalau dah masuk semester baru, abang takut adik dan Din terganggu pula nak buat persediaan. Betul juga cakap pak cik. Tak elok bertunang lama-lama. Abang pun tak nak adik bertunang lama-lama dengan Din.”
“Kalau abang cakap macam tu, adik okey jelah. Adik pun takut nak bertunang lama-lama. Orang cakap dugaan banyak masa bertunang ni.”
Suhaibul Umar memandang semula ke arah Encik Mohd Firdaus. “Pak cik, kami setuju,” balasnya.
Setelah menemui kata sepakat berkenaan tarikh majlis pertunangan, majlis akad nikah dan majlis kesyukuran, majlis pertunangan akan diadakan pada 18 Jun 2016, yakni hari Sabtu dan berbaki dua minggu sahaja lagi.
Dengan izin Ilahi, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin akan disatukan pada 1 September 2016, iaitu pada hari Khamis sempena mengambil keberkatakan hari Khamis bagi majlis akad nikah sebelum masuknya semester baru pada bulan September sesi 2016/2017 pada 5 September 2016.
Akad nikah pada hari Khamis? Jarang atau tidak pernah dibuat orang. Bukan apa. Jika majlis akad nikah diadakan pada pagi hari Jumaat, kaum lelaki yang akan tergesa-gesa untuk menunaikan solat Jumaat. Jika majlis diadakan pada waktu malam, waktunya pula menjadi singkat. Itulah yang difikirkan oleh Encik Mohd Firdaus. Hendak memikirkan mulut orang? Biarkan! Janji hubungan anak dan bakal menantunya dihalalkan dengan segera.
Pada minggu seterusnya selepas majlis akad nikah, majlis kesyukuran pula bakal diadakan pada 10 September 2016, iaitu hari Sabtu.
Bagi menjimatkan masa dan kewangan serta memudahkan kedua-dua belah pihak, Mohamad Salahuddin mencadangkan agar majlis kesyukuran digabungkan kerana Taman Lembah Keramat dan Bangi tidaklah begitu jauh bagi para tetamu untuk hadir.
Cadangan itu disambut baik oleh semua orang. Mereka mencapai kata sepakat untuk mengadakan majlis akad nikah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Masjid SHAS UIAM), Gombak manakala majlis resepsi diadakan di UIAM juga, iaitu Dewan Bankuet, Cultural Activity Center (CAC).
Tujuan utama Mohamad Salahuddin mencadangkan agar majlis akad nikah diadakan di Masjid SHAS UIAM kerana tempat itulah merupakan simbolik bagi dirinya dan Qistur Ruwaidah bertemu jodoh di pusat pengajian tersebut.
Bagi majlis kesyukuran pula, tujuan diadakan di CAC agar memudahkan rakan-rakan mereka berdua untuk hadir kerana majlis tersebut akan berlangsung ketika minggu pertama semester satu sesi 2016/2017 kelak. Kawan-kawan mereka yang tinggal di mahallah (kolej kediaman) juga mudah untuk hadir ke majlis tersebut.
“Along, Qist… Pasal kedua-dua majlis nanti, ayah akan taja sepenuhnya. Along dan Qist tak perlu fikir kewangan untuk majlis. Kau orang boleh simpan duit untuk hidup lepas kahwin nanti. Ayah faham je kau orang masih belajar walaupun kau orang ada buat kerja sambilan. Niat ayah nak ringankan beban kau orang. Untuk Suhaib pula, memang pak cik tak nak Suhaib keluarkan duit bagi pihak Qist. Simpanlah duit tu untuk kegunaan Suhaib. Suhaib lagi memerlukan,” terang Encik Mohd Firdaus.
Alangkah tersentuhnya hati Mohamad Salahuddin, Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar. Subhanallah! Rezeki!
“Ayah… Janganlah macam tu. Along ada je peruntukan duit untuk majlis. Selama ni, Along dah banyak susahkan ayah. Kali ni, Along tak nak susahkan ayah lagi,” terang Mohamad Salahuddin.
“Along… Tak apa. Anak ayah pun dua orang je. Duit ayah tak luak pun kalau setakat nak taja dua majlis. Along fikir mas kahwin je. Hantaran pula bergantung kat kau orang,” balas Encik Mohd Firdaus.
“Kalau macam tu, okey ayah. Pasal mas kahwin dan hantaran, Along dan Qist akan bincang berdua.”
“Suhaib, Qist… Okey ke?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Sebenarnya, saya dan Qist tak tahu nak cakap macam mana tapi saya wakilkan untuk adik saya sekali. Pak cik… Kami nak ucap jutaan terima kasih. Moga Allah murahkan rezeki pak cik sekeluarga. Cumanya, kalau pak cik tak kisah, saya pun nak tolong taja juga sikit daripada pihak kami,” terang Suhaibul Umar.
“Kalau Suhaib cakap macam tu, pak cik tak boleh nak halang tapi Suhaib bagi sekadar yang termampu je tahu. Jangan bebankan diri Suhaib dan Qist pula. Pak cik betul-betul nak mudahkan urusan kau orang.”
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah mengangguk. Betapa mereka berdua cukup terharu akan keikhlasan Encik Mohd Firdaus. Tiba-tiba mereka teringatkan Encik Isyraf Imrani. Alangkah jika ayah mereka berdua ada pada hari ini…
“Ha, Ida… Ada apa-apa nak cakap? Bantahan, cadangan atau tambahan?” ujar Encik Mohd Firdaus.
“Ida okey je. Cumanya, untuk Along dan Qist… Kalau boleh, mak nak kau orang adakan hantaran kalau kau orang tak terfikir nak adakan hantaran. Tak mahal pun tak apa. Janji ada. Nak berbalas berapa, mak tak kisah pasal tu. Kau orang bincang sendiri nanti. Mak ayah takkan masuk campur,” respons Puan Zaidah.
“Kita orang akan bincang pasal hantaran tu. Mak jangan risau ya,” balas Mohamad Salahuddin bersama senyuman.
“Suhaib ada nak cakap apa-apa lagi?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Apa yang kita dah bincang tadi, saya okey je dengan semua. Saya dah catat semua isi penting dalam telefon. Nampak perancangan masih kasar dari segi tentatif tapi insya-Allah semuanya akan berjalan lancar,” balas Suhaibul Umar dengan positif.
“Nampak gaya, Suhaib boleh jadi perancang perkahwinan Din dan Qist. Bakat gubah hantaran pun dah ada,” kata Puan Zaidah.
Suhaibul Umar tersenyum apabila mendengar kata-kata wanita itu. Jujur dari kalbunya, memang dia ada rasa cenderung terhadap bidang tersebut selain jurusan yang dipelajari olehnya.
“Betul cakap mak. Abang Suhaib paling sesuai jadi perancang perkahwinan kita orang. Din rasa okey sangat kalau abang sudi terima tanggungjawab tu. Senang juga untuk Din dan Qist. Kan Qist?” ujar Mohamad Salahuddin. Sengaja dia mahu berinteraksi dengan tunangnya juga.
“Haah… Qist pun rasa macam tu. Abang Suhaib ada bakat,” balas Qistur Ruwaidah sambil memandang abangnya itu.
“Kalau semua rasa macam tu, okeylah. Saya sudi galas tanggungjawab sebagai perancang perkahwinan Qist dan Din. Insya-Allah,” balas Suhaibul Umar dengan penuh keyakinan.
Usai perbincangan berkenaan ketiga-tiga majlis tersebut, sesi fotografi diadakan bagi merakamkan detik hari merisik itu.
“Keena, adik, mak cik, pak cik dan Din dah okey kat situ. Sedia ya,” kata Suhaibul Umar.
Kelihatan masing-masing telah bersedia.
“Okey semua. Sedia… Satu, dua, tiga…” Suhaibul Umar memberikan isyarat.
Pelbagai posisi yang digayakan oleh Qistur Ruwaidah dan keluarga Mohamad Salahuddin. Seketika, Sakeenah menggantikan Suhaibul Umar bagi lelaki itu berada dalam gambar pula.
“Along, Qist… Tak nak ambil gambar berdua?” ujar Puan Zaidah.
“Err mak… Tak apalah. Bukannya Along dan Qist kahwin lagi pun. Baru tunang je, kan,” kata Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah juga bersetuju dengan kata-kata tunangnya itu. Sebolehnya, dia mahu menjaga batas syariat dengan lelaki itu.
“Alaa Abang Long… Tak sporting betul! Satu dua gambar pun jadilah. Kenangan hari ni. Takkan Abang Long tak nak?” pujuk Sakeenah.
Mohamad Salahuddin memandang tunangnya seketika. Ikutkan, memang hatinya mahu bergambar dengan tunang tercintanya itu. “Qist tak apa ke?”
“Emm… Tak apalah Din. Kita raikan jelah mak cik dan Keena,” kata Qistur Ruwaidah. Tipulah kalau dia tidak gembira dapat bergambar dengan tunang kesayangannya itu.
Setelah mendapat persetujuan daripada Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin menyatakan persetujuannya. “Okeylah tapi dua tiga gambar je.”
Suhaibul Umar hanya sekadar tersenyum. Dia memahami bahawa pasangan tunang itu sedang cuba menjaga batas. Namun, apabila melibatkan orang lain agak susah juga. Lagi-lagi daripada keluarga. Mahu tidak mahu, terpaksalah mereka berdua bersetuju.
Tiada posisi mesra di antara Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin melainkan mereka berdua berdiri bersama kuntuman senyuman sahaja. Untuk berada dalam jarak yang terlalu dekat, memang tidaklah untuk kedua-dua orang itu selagi belum akad. Asalkan ada kenangan untuk ditunjuk kepada anak cucu nanti sudah cukup.
Sejujurnya bagi Mohamad Salahuddin, dia menjadi sebak pada hari tersebut kerana dia masih tidak menyangka bahawa lamarannya telah pun diterima oleh Qistur Ruwaidah dan gadis itu telah pun menjadi tunangnya. Dia masih ingat lagi dulu sewaktu awal perkenalan dengan tunangnya itu, dia merasakan bahawa dia tiada harapan untuk memiliki hati gadis itu.
Kini, tunangnya sudah menerima dirinya dan bakal menjadi insan terpenting dalam kehidupannya dalam dua bulan sahaja lagi.
“Jom semua. Jemput makan,” pelawa Suhaibul Umar sambil menunjukkan meja makan yang telah tersedia hidangannya.
Setibanya keluarga Mohamad Salahuddin di meja makan tersebut, mereka dapat menyaksikan aneka hidangan yang cukup menyelerakan.
“Wah, semua ni nampak sedap! Masak sendiri atau beli?” ujar Puan Zaidah dengan penuh teruja seraya melabuhkan punggungnya.
“Saya dan Abang Suhaib masak semua ni lepas subuh tadi,” terang Qistur Ruwaidah seraya mencedok nasi lemak yang kelihatan masih panas dan berasap itu manakala Suhaibul Umar pula menghidangkan minuman untuk keluarga itu.
“Nampaknya pilihan Din tak salah. Dahlah bakal isteri dia cantik, pandai masak pula. Tu salah satu kriteria yang Din nak, Qist.”
Tersedak Mohamad Salahuddin tatkala dia sedang menikmati jus oren itu! Dia terbatuk-batuk. ‘Isy, bahaya betul mak ni! Tak boleh simpan rahsia langsung,’ omelnya dalam hati.
Qistur Ruwaidah tersengih malu tatkala dia mengetahui akan kriteria yang diinginkan oleh tunangnya itu. Mujur ibu lelaki itu memaklumkan berkenaan hal tersebut. Bolehlah dia bersedia dari sekarang bagi memantapkan lagi kemahiran memasaknya itu.
Usai sahaja hari merisik serta perbincangan bagi majlis pertunangan, majlis akad nikah dan majlis kesyukuran, keluarga Mohamad Salahuddin mula mengundur diri untuk pulang.
Sewaktu Encik Mohd Firdaus, Puan Zaidah dan Sakeenah berada dalam kereta, Mohamad Salahuddin meminta izin untuk bercakap secara peribadi dengan Suhaibul Umar seketika. Sebelum itu, dia mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya, lalu diserahkan kepada Suhaibul Umar. “Nah, Abang Suhaib,” katanya seraya diletakkan barang tersebut di atas telapak tangan Suhaibul Umar.
“Eh! Apa ni, Din?” soal Suhaibul Umar.
“Duit untuk majlis tunang nanti. Daripada Din sendiri. Abang gunalah duit ni. Mak ayah Din tak tahu pun pasal ni tapi macam ayah Din cakap tadi, memang ayah Din akan bagi tapi Din dahulukan dulu duit ni untuk abang dan Qist mulakan langkah nak buat persediaan.”
“Ya Allah… Terima kasih sangat, Din tapi ikutkan, pihak kita orang sendiri pun akan guna duit kita orang juga tapi dah Din dan ayah Din nak tolong, kita orang tak boleh nak cakap apalah.”
“Sama-sama abang. Eh, tak payahlah abang! Jangan susahkan diri. Din faham mama baba abang dan Qist dah tak ada. Memang niat Din nak ringankan beban abang.”
Suhaibul Umar segera mendakap lelaki itu. “Sekali lagi, terima kasih Din. Cuma, satu je abang minta daripada Din…”
“Sama-sama abang. Okey, apa permintaan abang? Din cuba tolong,” balas Mohamad Salahuddin. Tatkala itu, hatinya menjadi sebak akan huluran dakapan itu. Dia benar-benar merasakan kasih seorang Suhaibul Umar sebagai seorang abang dan lelaki yang berbeza umur tua dua tahun daripadanya.
Lalu, Suhaibul Umar meleraikan dakapan tersebut. “Tolong jaga Qist baik-baik macam mana abang jaga dia selama ni. Sekarang, dia dah jadi tunang Din. Din pun tahu Qist je satu-satunya keluarga yang abang ada lepas lima orang keluarga abang dah tak ada. Abang sayangkan Qist sepenuh nyawa abang. Boleh tak Din janji dengan abang… Jangan sakiti Qist lepas Din kahwin dengan dia nanti? Dia dah terlalu menderita selama ni.”
Mohamad Salahuddin tersenyum, lalu dia berjabat tangan dengan Suhaibul Umar. “Insya-Allah abang. Abang jangan risau. Din janji akan jaga Qist elok-elok macam abang dan memang tu janji Din sejak Qist terima lamaran Din. Abang boleh percayakan Din,” ucapnya tanpa ragu-ragu.
Sebuah janji akan dipateri bagi seorang Mohamad Salahuddin itu selepas dia berkahwin dengan Qistur Ruwaidah kelak.
Kelihatan Qistur Ruwaidah membuang pandangan menerusi tingkap di ruang tamu itu bagi memandang abangnya bersama tunangnya itu. Hatinya menjadi lega kerana semuanya dipermudahkan pada hari ini.
MAJLIS PERTUNANGAN, RUMAH QISTUR RUWAIDAH
SABTU, 18 JUN 2016
Tibalah majlis pertunangan yang dinanti-nantikan oleh Qistur Ruwaidah dan juga, Mohamad Salahuddin. Debaran kian terasa. Walaupun mereka berdua sudah bertunang sejak dua minggu lepas, namun kali ini, majlis pertunangan diadakan secara rasmi bagi memaklumkan kepada keluarga besar Mohamad Salahuddin.
Persiapan majlis pertunangan mengambil masa dalam dua minggu sahaja oleh Qistur Ruwaidah dan abangnya serta dibantu oleh keluarga Mohamad Salahuddin, namun semuanya berjalan lancar meskipun ada jua tekanannya.
Kelihatan para tetamu yang hadir daripada keluarga besar Mohamad Salahuddin seramai 40 orang.
Namun begitu, tiada sebarang khemah terpacak megah melainkan lima buah meja makan sahaja tersedia di pekarangan rumah dua beradik itu dan makanan dihidangkan dalam bentuk bufet secara layan diri.
Pada hari tersebut, Qistur Ruwaidah tampil anggun berjubah rona ungu lembayung (violet) dan dihiasi percikan manik-manik di bahagian hadapan dan lengan jubahnya, berselendang labuh serona dengan jubahnya serta stoking lengan dan stoking kaki rona hitam.
Akan tetapi, dia tidak mengambil jurumekap walaupun dia teringat akan sahabat baiknya yang merupakan satu jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab dengan dirinya, iaitu Tihaani sebagai seorang jurumekap bertauliah. Sejujurnya, dia masih belum memaklumkan berkenaan hubungannya dengan Mohamad Salahuddin kepada Tihaani. Memang dia akan maklumkan kepada kawan baiknya itu selepas selesai majlis pertunangan ini nanti. Pasti Tihaani terkejut!
Qistur Ruwaidah hanya menepek bedak padat dan bibirnya dicalit dengan gincu rona merah lembut. Selagi dia boleh berjimat untuk majlis tunangnya, itulah sebaiknya.
Mohamad Salahuddin pula segak berpakaian kemeja lengan panjang rona ungu gelap setelah dia bertanya kepada Qistur Ruwaidah berkenaan warna pakaian yang akan dipakai oleh tunangnya pada majlis pertunangan tersebut. Juga, dia berseluar slack rona hitam dan berstoking kaki rona hitam.
Namun, dia menunggu dalam kereta sahaja dan tidak berada dalam majlis tersebut sehinggalah majlis selesai.
Lalu, majlis pertunangan tersebut diadakan dengan penuh sederhana. Tidak dilupakan juga, Mohamad Salahuddin telah mengupah dua orang jurukamera bagi merakamkan kenangan majlis pertunangan tersebut.
Tiga hantaran daripada pihak Mohamad Salahuddin, iaitu cincin tunang, kek coklat dan buah-buahan serta berbalas tiga hantaran juga daripada pihak Qistur Ruwaidah, iaitu kain pelekat, pulut kuning dan dua jenis pencuci mulut, iaitu brownies digabungkan dengan cinnamon roll. Semua hantaran tersebut telah digubah oleh Suhaibul Umar dengan jayanya.
Setelah menghebahkan berkenaan tarikh majlis akad nikah dan majlis kesyukuran serta jumlah hantaran seperti yang telah dibincangkan oleh Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar dan keluarga Mohamad Salahuddin pada hari merisik dahulu, kini tibalah acara kemuncak, iaitu upacara menyarung cincin.
Qistur Ruwaidah ditemani oleh adik Mohamad Salahuddin, iaitu Sakeenah di bilik tidurnya sehinggalah dia dipanggil keluar untuk menyarung cincin setelah Sakeenah memaklumkan bahawa perbincangan tersebut telah selesai menerusi WhatsApp.
Jantung Qistur Ruwaidah berdegup laju tatkala dia menyaksikan tetamu yang agak ramai memenuhi ruang tamu tersebut. Lalu, dia menuju ke pelamin mini yang ditempah khas oleh Suhaibul Umar.
Pada asalnya, dia tidak mahu sebarang pelamin bagi majlis pertunangan tersebut. Namun, abangnya menyatakan cadangannya agar mewujudkan satu tempat khas untuk bergambar. Demi tidak menghampakan abangnya, Qistur Ruwaidah bersetuju.
Puan Zaidah menghampiri Qistur Ruwaidah dan ditemani Sakeenah yang sedang membawa hantaran cincin pertunangan. Lalu, Puan Zaidah mengambil cincin emas bertatahkan berlian itu dan disarungkan ke jari manis kanan Qistur Ruwaidah.
Akhirnya, kedua-dua belah jari manis kanan dan kiri Qistur Ruwaidah telah diserikan dengan cincin risik dan cincin tunang.
Kini, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani telah menjadi tunangan Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus secara rasmi.
Suhaibul Umar tersenyum menyaksikan keceriaan yang terpancar pada wajah adiknya itu. Jauh di sudut hati, dia menjadi sebak kerana adiknya bakal menjadi isteri kepada Mohamad Salahuddin tidak lama lagi. Dia berjanji kepada dirinya untuk banyak meluangkan masa dengan adiknya selagi adiknya itu masih belum menjadi isteri.
‘Mama, baba… Abang akan serahkan Adik Qist kat Din nanti. Hari akad nikah Adik Qist dan Din tak lama dah. Tinggal kurang dari dua bulan je. Tak lama lagi, mama baba akan dapat menantu,’ bisik hati sang abang dengan penuh kesayuan.
Bukan dia tidak gembira untuk adiknya itu, namun tipulah dia tidak berasa sebak dan sedih. Selama ini, dia setia ditemani oleh Qistur Ruwaidah sejak ahli keluarganya meninggal dunia. Apabila adiknya berkahwin dengan Mohamad Salahuddin nanti, dia akan ditinggalkan keseorangan di rumah ini. Namun, dia memujuk hatinya. Jika apa-apa berlaku terhadap dirinya, adiknya tidak akan ditinggalkan sendirian. Mohamad Salahuddin akan ada untuk adiknya itu.
Demi kasih seorang wali dan abang, itulah yang perlu dikorbankan oleh Suhaibul Umar buat adik tercintanya.
Usai upacara menyarung cincin tunang, tibalah sesi fotografi di antara Qistur Ruwaidah dan keluarga besar Mohamad Salahuddin. Masing-masing memuji betapa manisnya dia pada hari tersebut.
Kelihatan Mohamad Salahuddin telah tiba di rumah Qistur Ruwaidah setelah dia mendapat kebenaran daripada ibunya untuk hadir. Anak matanya mencuri pandang seketika ke arah Qistur Ruwaidah. Tatkala itu, dia menjadi kelu menyaksikan betapa cantik tunangnya itu. Segera dia beristighfar. ‘Astaghfirullah! Eh, Din! Apa ni! Qist belum jadi isteri kau lagilah!’
Tiba-tiba…
“Ha, Din! Dah sampai pun. Cepatlah bergambar dengan Qist. Takkan tak nak bergambar dengan tunang sendiri,” usik salah seorang saudaranya itu.
Wajah Mohamad Salahuddin mula merona merah. Begitu juga Qistur Ruwaidah. Masing-masing menjadi malu.
“Emm… Tak apalah. Kita orang baru je tunang,” jawab Mohamad Salahuddin dengan malu-malu tetapi dia mahu sebenarnya.
“Alaa… Abang Long ni. Dari hari merisik hari tu, Abang Long tak nak. Cepatlah pergi kat Kak Qist,” kata Sakeenah sambil menarik tangan abangnya itu.
Ah, sudah! Mohamad Salahuddin terpinga-pinga dengan tindakan adiknya itu tetapi langkahnya menghampiri jua ke arah tunangnya itu. Kelihatan Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman kepada tunangnya itu tanpa sepatah bicara. Senyuman penuh malu.
Lalu, jurukamera mengabadikan gambar mereka berdua.
Kelihatan pasangan tunang itu menjadi kian malu terhadap usikan demi usikan daripada keluarga besar Mohamad Salahuddin. Sebolehnya, mereka berdua cuba relaks meskipun mereka berdua menjadi tidak selesa. Apatah lagi, bergambar secara berdua-duaan. Semakin tidak selesa dirasakan.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menarik nafas lega setelah Suhaibul Umar menjemput para tetamu untuk menikmati hidangan yang tersedia.
“Terima kasih abang sebab selamatkan adik. Adik rasa tak selesa sebenarnya tadi,” kata Qistur Ruwaidah dengan perlahan.
Suhaibul Umar tersenyum. “Sama-sama adik. Abang tahu sangat. Nampak adik tak selesa. Sebab tulah, abang ajak dia orang makan. Kalau adik nak makan dulu, makanlah. Abang nak raikan keluarga Din.”
“Eh, tak apalah, abang! Adik temankan abang sekalilah layan keluarga Din. Kita makan sama-sama lepas selesai majlis. Abang pun adik tak lalu nak makan kalau ada acara macam ni atau program.”
Mohamad Salahuddin turut menikmati juadah yang tersedia tanpa menemani Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar. Dia masih belum bersedia untuk berbicara dengan gadis itu. Apatah lagi, sesi fotografi tadi benar-benar membuatkan dirinya debar bersama tunangnya itu dan dia pun tahu, tunangnya berasa tidak selesa untuk berdua-duaan dengannya.
Akan tetapi, Mohamad tersenyum dalam diam tatkala dia teringat akan sifat malu dan senyuman malu-malu kucing tunangnya itu. Selama dia mengenali siswi itu, Qistur Ruwaidah jenis selamba orangnya. Mungkin kerana perubahan status sebagai kawan dan bertukar menjadi tunang. Tidak lama lagi, suami dan isteri pula.
Usai sahaja upacara menjamu selera, keluarga besar Mohamad Salahuddin mula beransur pulang. Ada yang pulang ke Kelantan, Terengganu dan Pahang serta ada yang pulang ke Kuala Lumpur dan Selangor juga. Encik Mohd Firdaus, Puan Zaidah dan Sakeenah juga sudah pulang ke Bangi.
Mohamad Salahuddin datang berasingan dengan ahli keluarganya kerana dia telah memiliki kereta sendiri. Kereta yang dibeli olehnya merupakan kereta terpakai jenama Axia. Walaupun ayahnya mahu mendahulukan wang pendahuluan untuk membeli kereta baharu, namun dia menolak dengan baik. Dia tidak mahu mengharapkan sepenuhnya kepada ayahnya itu.
“Din nak cakap dengan Qist ke?” soal Suhaibul Umar.
“Kalau abang tak kisah,” balas Mohamad Salahuddin.
“Tak apa. Kalau Din nak cakap dengan Qist, pergilah. Abang pun rasa dia ada nak cakap sesuatu dengan Din tapi dia malu. Apa-apa pun, abang ada je kat sini.”
“Okey abang. Sekejap lagi Din tolong kemas apa-apa yang patut.”
Qistur Ruwaidah sedang melipat kain alas meja. Lalu, Mohamad Salahuddin berdeham di belakangnya.
Gadis itu menoleh ke belakang.
“Boleh kita sembang sekejap?” soal Mohamad Salahuddin.
“Boleh je, Din. Sekejap ya. Qist tinggal nak lipat alas meja ni lagi sehelai je,” balas Qistur Ruwaidah.
Setelah Qistur Ruwaidah menyelesaikan tugasnya itu, dia melabuhkan punggung di atas kerusi plastik. Jarak kerusinya dan tunangnya sedikit jauh. Sekarang, memang dia menjadi malu sangat dengan Mohamad Salahuddin. Bagaimanalah hari bahagia mereka berdua nanti? Dia tidak dapat membayangkan lelaki itu merapati dirinya nanti.
“Din nak cakap apa dengan Qist?” soal Qistur Ruwaidah.
“Terima kasih, Qist,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Eh! Terima kasih untuk apa pula, Din?”
“Terima kasih sebab sudi terima dan percaya kat Din sebagai bakal suami Qist nanti walaupun Din rasa masih macam mimpi. Din hargai sangat. Jujur, Din tak sabar nak tunggu 1 September nanti. Hari bersejarah untuk kita berdua. Insya-Allah.”
“Sama-sama Din tapi Qist yang patut cakap terima kasih kat Din sebab Din sudi pilih Qist sebagai bakal isteri Din. Sebenarnya, Qist rasa pelik dan terkejut dengan lamaran Din masa mula-mula dulu tapi tulah… Nak cakapnya, Allah Maha Berkuasa membolak-balikkan hati manusia. Emm Din… Qist pun tak sabar nak tunggu tarikh tu walaupun kita ada masa kurang dari dua bulan nak siapkan apa-apa yang patut tapi harapnya semua berjalan dengan lancar. Insya-Allah.”
“Sama-sama Qist. Tulah, kan? Allah Maha Berkuasa. Pasal persediaan majlis kita, kita boleh buat Qist. Insya-Allah. Kita dah pergi kursus prakahwin. Ujian HIV pun dah lulus. Borang permohonan nikah kita nak kahwin kat Masjid UIA pun dah hampir nak lulus. Mas kahwin Qist pun dah selesai. Sepanjang dua minggu sebelum majlis tunang kita, kita dah buat macam-macam. Abang Suhaib pun dah selamat tempahkan Dewan Bankuet UIA. Tinggal beberapa je lagi yang tak selesai macam pakaian untuk majlis akad dan pakaian untuk majlis kesyukuran, barang hantaran dan beberapa lagi je.”
“Tulah. Lega juga banyak yang dah siap dalam tempoh dua minggu ni. Alhamdulillah. Oh ya, Din. Sebenarnya, Qist terharu dengan saudara-mara Din yang datang dari pantai Timur. Jauh tu.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Macam tulah keluarga besar Din. Emm ikutkan… Kita orang tak naklah beritahu lagi atau buat majlis tunang tapi tulah… Kita orang serba salah kalau tak maklumkan kat keluarga besar. Lagilah kalau tak buat majlis tunang. Ada jelah nanti yang terasa. Nak tak nak, kenalah juga buat.”
“Oh, macam tu. Faham… Tak apalah, Din. Qist gembira je dapat kenal dengan keluarga besar Din. Meriah sungguh. Macam hari raya,” balas Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba kelihatan seorang wanita dalam lingkungan 30-an berada di pagar rumah Qistur Ruwaidah sambil membawa sesuatu.
“Sekejap ya, Din,” balas Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin mengangguk, namun dia tersenyum tatkala dia melihat wanita itu.
“Assalamualaikum. Ni Cik Qis…Qistur Ruwaidah ke?” ujar wanita itu.
“Waalaikummussalam. Ya betul. Saya Qistur Ruwaidah.”
“Ni ada penghantaran kejutan untuk cik.”
“Ha? Penghantaran kejutan? Daripada siapa ya?”
“Daripada tunang cik, Mohamad Salahuddin.”
Qistur Ruwaidah menoleh ke arah Mohamad Salahuddin seketika. Kelihatan tunang dan abangnya sudah tersengih-sengih. Sah! Dua jejaka itu telah berpakat.
Dia menggelengkan kepalanya. Lalu, dia menyambut bubble balloon bouquet berserta sekotak brownies bersama ucapan terima kasih untuk wanita itu.
Setelah wanita itu berlalu pergi, dia memerhatikan seketika ayat yang ditampal pada belon tersebut dengan menggunakan pelekat huruf dan angka.
-16/06/1995- Sweet 21. Happy belated birthday to my fiancée, Qistur Ruwaidah.
From, Mohamad Salahuddin.
Baru Qistur Ruwaidah teringat. Hari dia dilahirkan pada 21 tahun yang lalu! Hari lahirnya sudah berlalu pada dua hari lepas.
“Suka tak?” soal Mohamad Salahuddin di belakangnya bersama Suhaibul Umar.
“Mestilah Qist suka tapi… Mana Din tahu hari lahir Qist? Qist rasa Qist tak pernah beritahu Din. Abang Suhaib ada beritahu ke?” ujar Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersengih kecil. “Tak juga adik. Din tahu daripada IC adik. Kan ada dalam borang permohonan nikah kau orang.”
Ah, betul juga cakap abangnya itu!
“Dah lama kan kita tak sambut hari jadi. Kan, abang?” soal Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar memegang bahu adiknya. “Jangan macam ni, adik. Anggaplah hari jadi adik tahun ni paling bermakna dengan adanya, Din. ‘Hadiah’ yang Allah bagi kat adik.”
Mohamad Salahuddin tersenyum, namun hatinya tertanya berkenaan kenyataan tunangnya itu. “Kenapa dah lama tak sambut?” soalnya.
Qistur Ruwaidah tersenyum hambar. Wajahnya tidak seceria tadi. “Pasal tu, nanti Din tanyalah kat Abang Suhaib ya. Qist tak mampu nak jawab.”
“Din minta maaf kalau Qist tak gembira dengan kejutan tu tapi Din betul-betul nak raikan hari jadi Qist. Nak bagi Qist gembira.”
“Qist tahu, Din. Din pun dah lama ceriakan Qist. Cuma, kalau pasal hari jadi, Qist tak nak ingat sebenarnya tapi terima kasih untuk kejutan ni. Qist gembira sangat.”
Lalu, air mata Qistur Ruwaidah gugur di hadapan kedua-dua orang jejaka itu. Suhaibul Umar segera mententeramkan adiknya itu. Mohamad Salahuddin pula menjadi sebak dengan situasi tersebut. Walaupun dia tidak tahu apa yang telah terjadi di sebalik makna hari lahir tunangnya itu, namun mesti ianya berkait dengan masa lalu gadis itu.
Tidak mengapa… Mohamad Salahuddin akan bertanya akan hal tersebut kepada Suhaibul Umar kelak. Masih banyak perkara lagi yang dia perlu teroka berkenaan Qistur Ruwaidah, tunang tercintanya itu.
“QIST, mimpi apa kau hubungi aku ni? Nak ajak keluar ke?” ujar Tihaani di hujung panggilan tatkala Qistur Ruwaidah menghubungi dirinya pada jam 8.00 malam.
“Emm… Aku ada perkara penting nak beritahu dan tunjuk sesuatu kat kau tapi tak seronok kalau aku nak sembang kat telefon. Kalau kau tak kisah, boleh tak kau datang sini sekarang? Sekejap je. Aku takkan ambil masa kau,” balas Qistur Ruwaidah.
“Bunyi macam penting sangat je ni. Okeylah kalau macam tu. Kau nak aku bermalam kat rumah kau tak?”
“Elok juga. Bawalah pakaian kau sekali. Alang-alang tu, kita boleh lepak sekali.”
Rumah Qistur Ruwaidah dan Tihaani tidak jauh pun. Qistur Ruwaidah tinggal di Taman Lembah Keramat manakala Tihaani pula tinggal di Taman Melawati. Jaraknya dalam lima hingga tujuh minit sahaja.
Tidak lama kemudian, kereta Tihaani tiba di hadapan rumah Qistur Ruwaidah setelah dia mendapat kebenaran daripada ibu bapanya untuk bermalam di rumah sahabat baiknya itu. Apabila Tihaani menyebut sahaja nama Qistur Ruwaidah, ibu bapanya terus memberikan lampu hijau buat anak tunggal itu.
Kelihatan Qistur Ruwaidah sudah menunggu di luar rumah. Lalu, dia menjemput sahabat baiknya untuk berada di rumahnya.
Anak mata Tihaani tertangkap pada beberapa buah meja lipat dan kerusi-kerusi plastik yang terpacak megah di pekarangan rumah tersebut. “Eh, kenapa ada meja dan kerusi banyak-banyak kat luar rumah kau ni? Ada majlis apa?” soalnya.
“Ni yang aku nak cerita kat kau tapi jomlah kita masuk rumah dulu,” balas Qistur Ruwaidah.
Dua orang sahabat itu melangkah masuk ke dalam rumah. Lalu, Qistur Ruwaidah mengunci pintu ruang tamu tersebut. “Jom pergi bilik aku,” katanya.
Setelah mereka berdua sampai di bilik Qistur Ruwaidah, Tihaani terus bersuara. Dia sudah berdebar untuk mengetahui perkara penting yang ingin disampaikan oleh sahabat baiknya itu.
“Qist, cepatlah cakap! Kau ni buat aku cuaklah,” kata Tihaani.
Qistur Ruwaidah ketawa. “Okey Tihaani. Aku nak cakaplah ni tapi aku tak tahu nak mula macam mana sebenarnya,” katanya dengan intonasi serba salah.
“Laa… Pula? Okey, kau mulakan pasal meja dan kerusi banyak-banyak kat luar rumah kau tu.”
“Emm… Macam nilah… Sebenarnya…” kata Qistur Ruwaidah seraya menunjukkan kedua-dua belah jarinya yang tersarung cincin risik dan cincin tunang.
Tihaani terkesima seketika tatkala dia menyaksikan kedua-dua cincin yang menghiasi jari manis kanan dan kiri Qistur Ruwaidah itu. “Ya Allah! Qist! Kau dah bertunang ke!” soalnya. Nadanya terjerit sedikit sebagai tanda terkejut.
Qistur Ruwaidah tersenyum seketika. “Ya Tihaani. Aku dah bertunang. Meja dan kerusi banyak-banyak yang kau tengok kat luar tadi tu sempena majlis tunang aku pagi tadi. Dua minggu lepas, aku dah dirisik. Ni yang ada sampai dua cincin.”
“Sekejap Qist… Aku tak percaya lagi ni. Kenapa kau baru beritahu sekarang? Kau tak pernah cakap apa-apa pasal perhubungan tahu. Tahu-tahu je, kau dah selamat bertunang. Siapa lelaki tu? Macam mana kau kenal? Budak UIA juga ke? Jurusan apa? Sebaya kita ke?”
Qistur Ruwaidah tersenyum lagi mendengar pertanyaan bertalu-talu daripada sahabat baiknya itu. Ya, dia tahu Tihaani terkejut. Lalu, dia membuka cerita berkenaan Mohamad Salahuddin dan latar belakang lelaki itu.
“Pasal kenapa aku baru beritahu kau sekarang, aku sibuk sangat uruskan untuk persediaan majlis tunang, majlis akad nikah dan majlis kesyukuran dalam dua minggu ni. Bukan aku tak nak beritahu kau tapi aku tak tahu nak cakap macam mana sebab aku rasa cepat sangat urusan aku nak kahwin ni. Bukannya aku tak ingat kau ni MUA (make up artist). Aku tahu kau boleh mekapkan aku tapi… Aku minta maaf sebab aku rahsiakan daripada kau pasal hal ni dan aku baru beritahu pasal Din hari ni,” ujar Qistur Ruwaidah dengan nada serba salah.
Lantas, Tihaani mendakap erat sahabatnya itu. “Tak apa, Qist. Aku tak kecil hati pun. Tu hak kau tapi Qist… Aku gembira sangat untuk kau! Sesuai sangatlah aku nak sambut ‘bachelorette party’ untuk kau esok. Nanti kau makin sibuk nak uruskan pasal majlis kau. Takut tak ada masa. Kita lepak kat mana-mana kafe. Aku belanja tapi sebelum tu, aku nak beli selempang ‘bride to be’ kat kau. Aku teruja sangat ni!”
“Alaa Tihaani… Kau ni susah-susah je tahu tapi terima kasih sangat. Sebenarnya, kalau kau tak kisah, aku nak kau ada untuk aku sepanjang aku buat persediaan kahwin ni. Satu lagi, kau wajib jadi pengapit dan tukang mekap aku untuk majlis akad dan majlis kesyukuran nanti. Wajib! Kau beritahulah harga mekap nanti.”
“Sama-sama Qist. Pasal kau nak minta tolong aku, mestilah aku nak tolong kau. Sekarang, kita tengah cuti semester. Tak ada hallah. Rumah kita pun bukannya jauh sangat. Pasal mekap tu, aku dah berniat nak taja. Kau tak payah bayarlah. Anggaplah mekap tu hadiah kahwin daripada aku.”
Tihaani merupakan seorang jurumekap atau dipanggil sebagai ‘make up artist’ (MUA) dan sering dipanggil oleh para artis, para pengacara televisyen dan instafamous.
Lalu, Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Mana boleh macam tu! Aku nak sokong bisnes kau,” katanya.
“Alaa Qist… Setakat aku nak taja mekap kau untuk dua majlis nanti, aku tak rugi apa-apa pun. Kau dah terlalu terbeban dengan masa lalu kau. Apa salahnya aku nak gembirakan hati kau dengan cara macam ni?” ujar Tihaani.
“Aku dah tak nak susahkan kau, Tihaani. Dulu, mummy daddy kau dah pernah taja aku untuk jumpa pakar kulit. Aku tak tahu berapa jumlah yang mummy daddy kau taja tapi aku tahu mahal. Aku rasa aku dah tak boleh nak terima pasal taja mekap pula.”
“Pernah ke aku cakap kau susahkan aku, Qist? Tak ada, kan? Dah. Tak payah nak buat drama. Aku tetap nak taja kau. Rezeki jangan ditolak ya, sis. Noktah.”
Qistur Ruwaidah tersengih. Jika itu yang dimahukan oleh Tihaani, dia tidak boleh menghalang. “Okeylah. Aku kalah.”
Tihaani tersengih. “Nak tengok balik cincin-cincin kau. Aku tak percaya lagi ni,” pintanya.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia menunjukkan kedua-dua tangannya itu. Tihaani memegang jari-jemari sahabatnya itu.
“Cincin-cincin ni cantik sangat. Dahlah dua-dua ni cincin emas. Kau beruntung tahu sebab dapat lelaki macam Din. Dahlah Din tu cinta sangat kat kau. Setia untuk kau sejak tiga tahun lepas. Aku kagum sangat. Din tu lelaki kiriman Allah kat kau, Qist. Insya-Allah dia akan jaga kau baik-baik macam Abang Suhaib. Aku percaya.”
“Insya-Allah. Amin ya Rabb. Kau doakan kita orang tahu.”
“Sentiasa untuk kau, Qist.”
KEDAI MAMAK MAJU KE DEPAN
SELEPAS BERLAKUNYA MAJLIS PERTUNANGAN
9.00 MALAM
“Sekejap! Kau merepek apa ni, Din! Kau dah bertunang pagi tadi? Kau nak kahwin bulan September ni? Dengan siapa? Berita panas ni! Kau tahu tak kau akan pecahkan rekod brothers AIKOL yang pertama kahwin dalam kelompok kita?” ujar Wan Abdullah dengan nada yang amat terkejut setelah Mohamad Salahuddin memaklumkan bahawa dirinya sudah menjadi tunangan orang.
Mohamad Salahuddin tersengih. “Ya, aku tahu.”
“Sekarang, kau jawab soalan-soalan yang aku tanya tadi. Paling penting, kau jawab dulu siapa tunang kau.”
“Qist. Qistur Ruwaidah.”
Mulut Wan Abdullah terlopong tatkala sahabat baiknya menyebut nama siswi itu. Qistur Ruwaidah? Si bekas pendebat bahasa Arab (BA) itu? Biar betul Mohamad Salahuddin ini! “Sekejap… Kau maksudkan Qist budak debat BA kat CFS dulu ke?”
Lalu, Mohamad Salahuddin tersenyum pula. “Haah… Dialah tunang aku.”
“Jadi, betullah apa yang aku tanya kau kat LY dulu, Qistlah sister yang kau suka? Apa cerita pula pasal kau pernah cerita dia suka kat brother lain dulu? Kau ni memang buat aku makin terkejutlah!”
“Ya, dialah orang aku suka selama ni. Emm… Ni yang aku nak buka cerita pasal tu. Kau ingat tak Azim? Brother yang kita jumpa kat klinik masa aku terseliuh dulu?”
“Ya, aku ingat dia. Bukan brother tu kawan kelas kau masa kat CFS dulu ke?”
Akhirnya, Mohamad Salahuddin mula membuka bercerita berkenaan sejarah lalu tunangnya bersama Abdul Azim sehinggalah detik tunangnya menerima lamarannya itu.
Setelah lelaki itu usai bercerita, Wan Abdullah tersenyum. “Ya Allah… Aku tak sangka sungguh! Din yang aku kenal ni, setia sangat rupanya! Macam manalah kau boleh pendam perasaan kat Qist sampai tiga tahun? Dahlah aku dengar cara kau nak dapatkan dia pun macam susah. Berliku-liku pula tu. Bersaing dengan Azim lagi.”
Mohamad Salahuddin turut tersenyum jua. “Aku pun tak tahulah Wan Dolah. Mesti kau rasa aku macam gila, kan? Cuma, aku boleh cakap… Allah Maha Mengetahui pasal hati aku. Aku sayang sangat kat Qist.”
“Gila tak gila, Qist pun dah jadi tunang kau. Aku harap kau jagalah Qist elok-elok. Jangan sia-siakan dia. Apa-apa pun, aku gembiralah untuk kau. Nak kahwin dah bulan September ni… Bagi aku, cepat juga urusan kau orang nak kahwin. Mudah je. Aku tabik sangat kat ayah kau dan abang Qist. Tak payah bertunang lama-lama.”
“Insya-Allah aku akan jaga Qist elok-elok. Doakan kita orang tahu. Memang aku pun tak nak bertunang lama-lama dengan dia. Biarlah aku belajar bercinta dengan dia lepas kahwin nanti.”
“Fuh! Ni ke Din yang aku kenal? Bukan main hebat lagi ayat kau sekarang.”
Mohamad Salahuddin tertawa. “Betullah apa aku cakap. Ha, Wan Dolah. Kau wajib jadi pengapit dan tukang bawa dulang hantaran aku nanti tahu.”
“Untuk kau, mestilah boleh, bro. Kau pilih siapa lagi tukang bawa dulang hantaran nanti selain aku?” ujar Wan Abdullah.
“Setakat ni, aku ingat kat Imdad dan Hidawi je dulu sebab hantaran Qist yang dah pasti, baru tiga barang. Pelannya, aku nak beritahu dia orang esok. Aku cadang nak bagi tujuh hantaran kat Qist. Kita orang pun tak bincang betul-betul lagi. Kita orang baru tengok-tengok barang je dulu.”
“Okeylah kalau macam tu. Din, boleh aku tanya sesuatu kat kau?”
“Tanyalah.”
“Apa yang buat kau terfikir dan yakin nak kahwin umur 21 tahun ni? Bukan apa. Kita muda lagi. Kalau aku, aku masih tak puas hidup bujang. Buat masa sekarang, aku tak nak ada komitmen ke arah tu. Senior AIKOL kita yang sambung bidang Syariah pun tak terfikir nak kahwin. Apatah lagi, nak kahwin masa belajar sebab masing-masing dah tengok sendiri kes cerai-berai kat mahkamah syariah.”
Mohamad Salahuddin terdiam seketika. Lalu, dia bersuara. “Emm… Faktor utama, sebab aku dah jatuh cinta. Orang cakap cinta itu buta. Aku tak nafikan tapi cinta tu boleh jadi tak buta kalau ada visi dan misi. Aku sedar je… Lepas kahwin nanti, kena guna banyak duit. Sebab tu, aku berusaha cari duit dari dulu. Aku percaya rezeki lepas kahwin kalau aku lagi berusaha nak bahagiakan orang yang aku cinta lepas mak ayah dan adik aku. Jawapan klise, aku tak nak hati aku bergelumang dengan maksiat sebab aku asyik teringatkan tunang aku…”
Sambungnya lagi… “Faktor lain, sebab mak ayah aku pun kahwin masa belajar juga dulu. Kalau ayah aku boleh buat, kenapa aku tak boleh, kan? Macam tulah. Pasal cerai pula… Lagi-lagi sebab curang, kan? Aku tahu ada faktor lain tapi apa yang aku tahu, kes curanglah paling popular. Aku banyak baca pasal kisah curang ni. Orang akan tengok kebanyakannya salah lelaki berbanding perempuan. Perkara tu boleh dicegah bila suami dapat terima si isteri seadanya, lagi-lagi kekurangan isteri sebab si suami pun kena sedar, suami pun ada kekurangan. Bukannya cari alasan nak pasang lain. Senang cerita, semua manusia tak sempurna.”
Kelihatan Wan Abdullah mengangguk faham. Dia dapat melihat matangnya pemikiran yang terdapat pada Mohamad Salahuddin itu. “Din… Andai katalah, lepas kau dah kahwin dengan Qist, kau orang diuji tak ada anak. Macam mana? Kau ada terfikir nak poligami tak?”
Mohamad Salahuddin tersenyum seketika. “Pasal tak ada anak tu, aku sedia je kalau tu yang Allah takdirkan untuk aku dan Qist. Pasal poligami pula, aku tak pernah terfikir pun seumur hidup aku nak menduakan orang yang aku cinta. Kau pun tahu, susahnya aku nak dapatkan Qist. Takkanlah sewenang-wenangnya aku nak tambah isteri. Aku kenal diri aku. Aku tak boleh nak berlaku adil…”
“Satu lagi, aku tak selesa orang buat gurau macam ni… ‘Alaa… Kan ada lagi tiga kuota? Kalau bini pertama merajuk, pergilah lari kat bini kedua’. Bagi aku, tak kelakar. Hati perempuan ni sensitif sangat. Moga aku tak macam tulah lepas kahwin nanti. Setiap hari aku doa sejak tiga tahun lepas supaya Allah tetapkan hati aku untuk Qist seorang je kalau dia terima lamaran aku.”
Kelihatan Wan Abdullah mengangguk lagi. Alangkah beruntungnya Qistur Ruwaidah menerima sahabat baiknya itu. Dia percaya bahawa Mohamad Salahuddin takkan sia-siakan gadis itu. “Din… Lepas aku dah dengar hujah kau, kalaulah semua lelaki fikir macam kau, mesti semua perempuan akan bahagia dan rumah tangga pun aman.”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Aku fikir apa yang terbaik je. Satu lagi, pasal umur aku nak kahwin sekarang ni, hanyalah sekadar angka. Janji aku tahu apa yang aku buat. Fikir rasional dan matang.”
“Moga bahagialah rumah tangga kau dan Qist nanti. Aku percaya… Qist akan beruntung kahwin dengan kau. “
“Insya-Allah. Aku pun harap macam tu. Aku nak jadi suami terbaik untuk dia. Doakan kita orang tahu.”
ISNIN, 20 JUN 2016
Setelah majlis pertunangan berlalu pada dua hari lepas, Mohamad Salahuddin datang ke rumah Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar bagi membincangkan tentang majlis akad nikah dan majlis kesyukuran kelak. Mereka membincangkan berkenaan majlis akad nikah terlebih dahulu dari segi tentatif, tema, reka bentuk dan warna pakaian serta beberapa aspek lain. Kemudian, bab hantaran pula.
“Kalau Qist nak bagi hantaran macam pakaian dan kasut, Din okey je. Din akan bagi saiz,” kata Mohamad Salahuddin.
“Memang dua barang tu antara yang Qist nak bagi kat Din. Din nak hantaran apa lagi?” ujar Qistur Ruwaidah.
Kelihatan Mohamad Salahuddin tersenyum. “Macam Qist pernah cakap kat Din dulu, surprise me. Ikutlah kemampuan Qist nak bagi berapa hantaran kat Din. Din akan bagi tujuh hantaran. Salah satunya, hantaran kasut macam Qist juga. Nanti Qist beritahu saiz.”
“Okey, boleh. Din pun boleh buat kejutan hantaran kat Qist kalau barang tu tak melibatkan saiz. Surprise me too.”
“Amboi, kau orang ni! Main kejutan pula. Abang pula akan pening kepala nak sorokkan barang hantaran kau orang,” seloroh Suhaibul Umar.
“Alaa… Abang ni. Macamlah tak boleh sorok barang kat bilik bawah ni dengan bilik abang,” balas Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersengih mendengar perbualan dua beradik itu.
Selain itu, Mohamad Salahuddin juga memberikan kepercayaan penuh kepada Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar untuk konsep dewan, busana kahwin, cincin kahwin, kad kahwin, buah tangan (door gift) untuk para tetamu dan beberapa aspek lain bagi majlis kesyukuran.
Dia bersetuju dengan apa jua pilihan dua beradik itu kerana baginya, pilihan mereka berdua lebih baik. Tambahan pula, Suhaibul Umar lebih arif dan kreatif berkenaan seni dan konsep. Tidak salah dia dan tunangnya memilih Suhaibul Umar sebagai perancang perkahwinan mereka berdua.
Tugas Mohamad Salahuddin, dia meraikan apa jua pilihan tunangnya dan membayar menerusi dalam talian segala tempahan yang telah dibincangkan oleh mereka berdua. Biarpun ada barang mahal sedikit, dia tidak pernah lokek atau berkira untuk tunangnya itu.
Bagi Mohamad Salahuddin, biarlah Qistur Ruwaidah melakar bahagia dengan mencurahkan segala impiannya untuk kedua-dua buah majlis tersebut setelah gadis itu melalui segala zaman kepahitan dahulu. Betapa sayangnya Mohamad Salahuddin untuk tunang tercintanya itu.
Bahkan, ibu bapa Mohamad Salahuddin juga menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada dia dan tunangnya. Puan Zaidah dan Encik Mohd Firdaus menguruskan dari segi katering dan jemputan daripada pihak mereka manakala Suhaibul Umar menguruskan jemputan bagi pihaknya.
“Apa pun pilihan yang Qist rasa baik untuk Qist, baik jugalah untuk Din,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia menghadiahkan senyuman.
“Emm… Betul ke Din tak kisah dengan pilihan Qist? Qist risau kalau Qist tak memenuhi cita rasa Din,” kata Qistur Ruwaidah dengan ragu-ragu.
“Tak perlu risaulah, Qist. Din serius ni. Din betul-betul tak kisah sebab bagi Din, Qist lagi tahu. Kan kerja Din tolong bayarkan je lepas kita dah setuju,” balas Mohamad Salahuddin bersama sengihan.
Qistur Ruwaidah tersenyum kecil.
Suhaibul Umar tersenyum menyaksikan persefahaman di antara adiknya dan lelaki itu. Dia bersyukur kerana adiknya dikurniakan lelaki yang baik dan tidak berkira kerana dia sendiri menjadi saksi Mohamad Salahuddin terus melakukan pembayaran setelah mendapatkan kata putus bagi sesuatu barang tersebut. Senang cerita, Mohamad Salahuddin tidak banyak songeh orangnya.
“Mungkin Abang Suhaib ada pilihan lagi baik kut pasal tema kahwin bagi majlis kesyukuran. Pasal majlis akad nikah dah selesai,” kata Qistur Ruwaidah. Dia mahu meraikan abangnya dan tidak membelakangkan walinya itu.
“Aik? Abang pula?” ujar Suhaibul Umar.
“Betul juga cakap Qist. Mana tahu abang ada pilihan lagi bagus daripada kita orang,” respons Mohamad Salahuddin.
Tiba-tiba Suhaibul Umar teringat sesuatu berkenaan keinginan adiknya sewaktu zaman kanak-kanaknya dulu. “Adik ingat tak dulu… Masa kita tinggal dengan Mak Long, adik berangan nak jadi puteri.”
“Jadi puteri? Seingat adik, adik cakap dulu tu untuk bilik adik kalau kita dah bebas daripada Mak Long tapi lepas kita dah dapat rumah ni balik dan dah hias bilik tidur adik, jadi lain pula,” balas Qistur Ruwaidah seraya tersengih kecil.
“Kalau macam tu, adik tak nak realisasikan untuk majlis kesyukuran adik nanti? Bolehlah adik jadi puteri. Pakai gaun kembang. Abang rasa okey je.”
“Puteri macam kartun puteri-puteri dalam cerita Disney ke?” sampuk Mohamad Salahuddin. Bukannya dia tidak mengetahui bahawa adik tunggalnya juga amat meminati kartun para puteri Disney seperti kisah Cinderella, Snow White, Sleeping Beauty dan Beauty and The Beast sehingga kini walaupun Sakeenah sudah berumur 15 tahun.
“Haah… Dulu, Qist selalu berangan nak jadi puteri. Entah apa-apa Qist rasa dulu,” balas Qistur Ruwaidah seraya tersenyum malu-malu.
“Majlis akad nikah kita dah berkonsepkan kemelayuan. Din akan pakai baju Melayu. Qist pula akan pakai baju kebarung. Okeylah tu. Satu dah ke arah ketimuran. Satu lagi, ke arah kebaratan. Din tak ada masalah Qist berangan nak jadi puteri masa hari kesyukuran kita. Kalau Qist nak, teruskan je. Din sokong. Memang kita akan jadi putera dan puteri masa hari kejadian. Din pun teringin juga nak pakai sut putera macam ‘Prince Charming’ dalam cerita Cinderella. Din tahu pun sebab Keena suka kartun puteri Disney.”
Betapa Qistur Ruwaidah tersentuh akan kata-kata tunangnya itu. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu sudi meraikan dirinya. Siap tahu pula gelaran nama putera dalam cerita tersebut. Saat itu, Qistur Ruwaidah semakin jatuh hati terhadap tunangnya.
Sepanjang mereka berdua bertunang, Mohamad Salahuddin meraikan apa sahaja yang diingini oleh Qistur Ruwaidah meskipun dia bukanlah jenis meminta. Gadis itu rasa amat bersyukur kerana tiada salah faham atau bergaduh dengan tunangnya setakat ini.
“Okeylah. Nampaknya Din dah setuju. Kita teruskan jelah dengan tema putera dan puteri. Lagipun, masa dah agak suntuk kalau nak fikir dua atau tiga tema lain. Hmm… Qist dah terbayang pakaian kahwin kita. Sekarang juga Qist cari butik mana yang ada sewa pakaian macam tu. Kalau Din okey dengan butik yang Qist jumpa, kita pergi terus dengan Abang Suhaib sekali esok,” kata Qistur Ruwaidah dengan nada ceria.
“Boleh, adik. Abang lapang je esok,” kata Suhaibul Umar. Dia melayan sahaja apa jua permintaan adiknya itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala dia mendengar kata-kata tunangnya itu. Dalam hati, dia tidak sabar untuk memulakan hidup bersama Qistur Ruwaidah dalam tempoh kurang dari dua bulan sahaja lagi sebelum tibanya 1 September 2016.
ISNIN, 1 OGOS 2016
5.00 PETANG
Pada hari tersebut, Mohamad Salahuddin ditemani oleh Sakeenah untuk berjumpa dengan Qistur Ruwaidah kerana Suhaibul Umar dan rakan tunangnya tidak lapang untuk menemani tunangnya itu.
“Kak Qist!” Sakeenah menjerit gembira tatkala dia bertemu dengan ‘kakak’ kesayangannya itu. Dia mendakap Qistur Ruwaidah dengan erat sekali.
Qistur Ruwaidah tersenyum di sebalik pelukan yang dihulurkan oleh Sakeenah. Dia memahami betapa Sakeenah merupakan seorang yang amat manja dan remaja itu pula tiada kakak.
Mohamad Salahuddin pula tersenyum melihat keakraban kedua-dua orang gadis itu.
“Keena baru balik sekolah?” tanya Qistur Ruwaidah. Dia memerhatikan pakaian sekolah Sakeenah itu.
“Haah… Lepas Keena tamat sekolah je tadi, kita orang terus gerak dari Bangi. Keena dan Abang Long singgah solat kat RNR sebelum datang sini,” terang Sakeenah.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Lalu, dia memandang tunangnya. “Apa khabar, Din?”
“Alhamdulillah. Sihat je. Dah dua minggu kita tak berjumpa, kan?” ujar Mohamad Salahuddin. Hatinya dipagut penuh rasa rindu terhadap gadis itu. Kerinduan itu tidak dapat dizahirkan. Ibarat bertahun-tahun lamanya, dia tidak bertemu dengan cinta hatinya itu.
Namun, ungkapan rindu itu dipendamkan oleh Mohamad Salahuddin agar dia dapat menzahirkan setelah mereka berdua disatukan nanti. Status mereka berdua baru tunang. Takkan mahu melebih-lebih seperti pasangan suami isteri pula. Bagi dirinya, ungkapan rindu dan cinta lebih bermakna untuk diluahkan setelah mereka mengikat tali perhubungan yang sah kelak.
“Itulah. Dah dua minggu tak jumpa. Lagipun, kita dah sepakat nak jumpa kali terakhir, hari ni, kan? Tak manis pula nak jumpa bila nak dekat-dekat kahwin nanti,” balas Qistur Ruwaidah. Sama seperti tunangnya, dia juga merindui lelaki itu, namun dipendamkan semahunya. Dia tidak akan meluahkan selagi lafaz sah belum terungkap.
“Haah… Betullah tu. Kita jumpa hari ni pun sebab nak hebahkan undangan majlis kahwin kita kat WhatsApp dan cari cincin akad kat Kedai Widuri. Lain-lain, semua dah selesai.”
Tarikh akad nikah mereka berdua kian terasa bahangnya, iaitu berbaki 30 hari lagi bersamaan sebulan sahaja lagi sebelum masing-masing bakal menamatkan zaman bujang.
“Boleh tak kita makan dulu kat Restoran Nasi Ayam Penyet Riang situ? Qist tak makan apa-apa lagi sebenarnya. Alang-alang tu, kita boleh terus buat hebahan kat WhatsApp sambil makan-makan,” Qistur Ruwaidah memberikan cadangannya.
“Okey,” jawab Mohamad Salahuddin dan Sakeenah serentak.
Lalu, mereka bertiga menuju ke arah kedai makan tersebut.
“Din belanja,” kata Mohamad Salahuddin tatkala mereka bertiga sedang memilih menu.
Qistur Ruwaidah memandang seketika ke arah Mohamad Salahuddin. Sebuah senyuman dihadiahkan buat tunangnya itu. “Okey Din. Terima kasih.”
Mohamad Salahuddin membalas senyuman tunangnya itu. “Sama-sama Qist.”
Syukurlah Sakeenah ada bersama Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah kerana mereka berdua menyedari akan terbukanya pintu-pintu kemaksiatan tanpa ditemani oleh mahram. Jika tidak, mungkin mereka berdua akan menyimpang jauh.
“Keena nak makan apa?” tanya Qistur Ruwaidah. Dia berinteraksi pula dengan gadis kecil molek itu agar Sakeenah tidak rasa dipinggirkan. Lagipun, Sakeenah berada di sebelahnya.
“Ayam penyet. Keena suka lauk tu je. Keena tak suka pece lele,” balas Sakeenah.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia menjadi nyaman melihat wajah Sakeenah. Comel dan tenang. Sesuailah dengan maksud namanya, iaitu ketenangan.
“Mengada betul ya dapat jumpa Kak Qist,” usik Mohamad Salahuddin. Sudah mula nampaknya aktiviti mengusik itu.
Sakeenah segera mendakap Qistur Ruwaidah. “Biarlah! Abang Long ni suka dengki dengan Keena. Kak Qist! Tengoklah Abang Long! Tak habis-habis nak kacau Keena tahu!”
“Din… Din… Kenapa kacau Keena ni? Kesian Keena,” kata Qistur Ruwaidah dengan lembut seraya mengusap kepala remaja itu. Kepalanya juga digelengkan setelah menyaksikan gelagat nakal tunangnya itu.
Sakeenah menjelirkan lidah kepada abangnya itu sebagai tanda kemenangan kerana tunang abangnya berpihak kepadanya. Mohamad Salahuddin tertawa. Sebenarnya, memang dia sengaja mengusik adik kesayangannya itu kerana dia mahu melihat kelembutan tunangnya memujuk adiknya itu.
Tipulah kalau hatinya tidak terusik dengan pujukan penuh kelembutan Qistur Ruwaidah itu terhadap adiknya.
Tidak lama kemudian, kelihatan pelayan datang menatang menu yang dipesan oleh pelanggan-pelanggan tersebut. Lalu, mereka bertiga menjamu dengan penuh khusyuk.
Usai mereka bertiga menjamu selera, Qistur Ruwaidah membuka topik berkaitan hebahan perkahwinan mereka berdua. “Kita nak hebahkan kat kumpulan WhatsApp mana dulu?” tanyanya.
“Din rasa kat ‘320 Awesome’ sebab dia orang kawan kelas kita,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Okey. Kalau macam tu, boleh tak Qist serahkan kat Din untuk hebahan kat grup ‘320 Awesome’?
“Okey, boleh. Tak ada masalah. Qist boleh fokus hebahkan kat grup lain.”
Lalu, Mohamad Salahuddin menghebahkan majlis perkahwinan mereka berdua di dalam grup WhatsApp ‘320 Awesome’ dengan memberikan kad kahwin stail vintaj berbentuk digital dan berlatarbelakangkan muzik ‘Back At One’ nyanyian Brian McKnight tetapi versi piano yang dimainkan oleh Welder Dias Piano. Cadangan lagu tersebut diberikan oleh Tihaani.
Tatkala Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mendengar lagu tersebut, mereka berdua amat menyukainya kerana lirik lagu tersebut amat menyentuh jiwa dan penuh romantis.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Bismillahirrahmannirrahim
Menjunjung adat, bersendikan Sunnah Nabi, mengharapkan keredaan dan keizinan Allah ke atas hamba-Nya yang merancang. Kami,
Mohd Firdaus bin Hasbullah dan Zaidah binti Ishak
serta
Suhaibul Umar bin Isyraf Imrani (anak kepada Allahyarham Isyraf Imrani bin Mahmud dan Allahyarhamah Mahfuzah binti Daud)
Sirih bertepuk, pinang menari, dua hati memaut janji, salam bersahut kata bersambut, hasrat terpaut
Dengan izin Ilahi,
Sukacita kami ingin mempersilakan
Datuk/Dato’/Datin/Prof./Prof Dr./Dr./Tuan/Puan/Encik/Cik/Saudara-Mara/Sahabat Handai
ke majlis kesyukuran bagi menyerikan tambatan janji, izin berwali, ijab bersaksi di antara dua hati mempelai dikasihi
Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus
Dengan
Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani
Memadukan pertemuan dua hati mendirikan istana kasih
Pada hari SABTU, 10 SEPTEMBER 2016 bersamaan 8 ZULHIJJAH 1437H
Di DEWAN BANKUET, UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM), GOMBAK, KUALA LUMPUR
Bunga mawar kami taburi, air mawar direnjis wangi, berkembang kasih menabur budi, undangan kami setulus hati, harap sudi datang merai. Semoga kehadiran kalian yang dihormati pada tarikh termaktub dan terhukum ini akan terucaplah salam, tercium wangian pertemuan diiringi doa restu bakal menyerikan dan memeriahkan lagi majlis ini serta diberkati Allah. Terima kasih.
Semua ahli Grup 320 amat terkejut setelah membaca undangan perkahwinan tersebut. Biar betul! Sungguhlah Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah akan berkahwin? Sejak bila mereka berdua bercinta? Bila masanya bertunang? Pelbagai lagi persoalan yang menerjah dalam minda rakan-rakan Grup 320 terhadap pasangan tersebut.
‘Din, Qist! Seriuslah! Kau orang tak main-main, kan? Tak ada angin, tak ada ribut ni!’
‘Din, Qist… Bila masanya kau orang bercinta! Kau orang pandai ya sorok daripada kita orang.’
‘Fuh, pasangan 320 yang pertama bergabung, meletup! Yeah!’
‘Mantaplah kau orang kahwin sekarang. 21 tahun weh! Aku pun tak jumpa hala tuju lagi ni. Hebatnya! Din, bagi petua sikit. Aku nak masuk minang ‘girlfriend’ aku.’
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah tersengih-sengih membaca respons ahli grup tersebut.
“Nak jawab macam mana ni kat dia orang? Din kena bertanggungjawablah kut jawab soalan dia orang sebab Din yang lamar Qist,” seloroh Qistur Ruwaidah.
“Alamak, Din pun tak tahu nak jawab macam mana! Din tak bersalah. Hati Din yang bersalah,” seloroh Mohamad Salahuddin pula.
“Suka-suka je salahkan hati. Hmm… Kita jawab nanti jelah. Qist pun tak sempat nak jawab kat grup WhatsApp lain sekarang. Nak cari cincin pula ni. Takut tak sempat.”
Mohamad Salahuddin menghadiahkan sengihan kecil. “Ha, betul. Jom.”
Sakeenah hanya tersenyum menyaksikan pasangan tunang itu. Dia tahu betapa abangnya amat mencintai Qistur Ruwaidah. Namun, sentuhan itu menjadi halangan kerana sebuah batas syariat.
KELIHATAN Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin dan Sakeenah tiba di hadapan Kedai Emas Widuri. Seorang jurujual wanita Melayu dalam lingkungan 30-an tersenyum ke arah mereka bertiga. Tanggapan wanita itu, semestinya pasangan tunang yang datang bersama adik atau kakak untuk mencari cincin perkahwinan.
“Assalamualaikum. Selamat datang ke Widuri,” sapa wanita itu dengan mesra.
“Waalaikummussalam. Terima kasih cik. Saya dan tunang tengah cari cincin perak dan emas putih,” terang Mohamad Salahuddin. Dia dan tunangnya sudah bersepakat untuk memilih cincin jenis tersebut kerana cincin risik dan cincin tunang Qistur Ruwaidah merupakan cincin emas kuning. Satu lagi, mereka berdua mahukan persamaan. Tambahan pula, lelaki diharamkan untuk memakai sebarang emas.
“Sama-sama encik. Encik dan tunang encik beruntung datang hari ini sebab kami ada promosi, iaitu upah percuma kalau encik dan cik nak tempah cincin ikut cita rasa sendiri tapi kalau nak yang sedia ada pun, boleh juga. Banyak pilihan. Jom ikut saya,” jawab wanita itu.
“Rezeki kita,” kata Mohamad Salahuddin kepada Qistur Ruwaidah.
“Tulah. Alhamdulillah,” balas Qistur Ruwaidah.
Lalu, wanita tersebut menunjukkan satu sudut yang mempamerkan cincin perak dan emas putih.
“Cantiknya. Tak tahu nak pilih yang mana satu. Rambang mata pula,” kata Qistur Ruwaidah.
“Tulah. Semua cantik,” kata Mohamad Salahuddin.
Lalu, anak matanya tertangkap pada cincin perak bertatahkan batu zamrud. Hijau! Warna kegemarannya. “Cik, boleh saya tengok cincin batu hijau tu?” pintanya.
Jurujual tersebut memegang cincin yang dimaksudkan oleh Mohamad Salahuddin. “Ni ke?” tanyanya.
“Haah… Betul.”
Kemudian, jurujual itu mempamerkan cincin perak berbatu zamrud yang tersergam megah dalam kotak cincin tersebut. Mohamad Salahuddin cuba menyarung cincin tersebut di jari manis kanannya. Terletak elok pula.
“Cantiklah Abang Long. Sesuai sangat. Warna hijau pula tu. Dahlah warna kegemaran Abang Long,” puji Sakeenah.
Mohamad Salahuddin tersenyum.
“Haah… Nampak cantik sangat. Din macam berminat nak ambil terus je tu,” ujar Qistur Ruwaidah bersama sebuah senyuman.
“Rasanya macam tulah. Saiz cincin pun elok je dengan jari Din ni,” balas Mohamad Salahuddin bersama sengihan.
Jurujual tersebut tersenyum menyaksikan pasangan tunang itu. Nampak mereka berdua malu-malu meskipun diapit oleh sang adik di tengahnya. “Encik berminat ke dengan cincin tu?” soalnya.
“Ya. Saya pilih yang ni jelah. Tak nak fikir panjang dah,” kata Mohamad Salahuddin.
Nilai sebuah cincin bertatahkan batu zamrud itu? RM1000. Dia tidak akan berkira kerana cincin itulah akan disarung oleh Qistur Ruwaidah bagi upacara pembatalan air wuduk nanti. Sungguh, dia tidak sabar. Namun, dia memujuk hati. Tinggal sebulan ini sahaja.
Qistur Ruwaidah pula masih tercari-cari cincin yang sesuai dan memenuhi cita rasanya. Sakeenah juga turut membantu perempuan itu.
“Kak Qist, okey tak cincin tu?” tanya Sakeenah sambil jari telunjuknya ditunjukkan ke arah sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian itu.
“Cincin yang ada berlian jernih tu ke?” soal Qistur Ruwaidah kembali. Dia inginkan kepastian.
“Haah… Jom kita tengok yang tu dulu. Kalau Kak Qist tak berkenan, tak apa. Banyak lagi bentuk lain.”
“Yang ni ke maksud adik?” soal jurujual tersebut sambil memegang cincin yang dimaksudkan oleh Sakeenah itu.
Sakeenah mengangguk sambil tersenyum girang. Lalu, jurujual itu mengeluarkan cincin tersebut bersama kotaknya sekali.
“Cantik juga,” kata Qistur Ruwaidah. Namun, tatkala dia melihat harga cincin emas tersebut…
Nilainya lebih mahal daripada cincin Mohamad Salahuddin, iaitu RM2500. ‘Mahalnya! Aku tak naklah bebankan Din. Kesian dia,’ bisik hatinya.
“Din suka cincin tu,” puji Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tersenyum kelat. Lalu, dia berbisik sesuatu ke telinga Sakeenah. “Cakap kat Din… Kak Qist suka je cincin yang Keena pilih tu tapi cincin tu mahallah. Lagi mahal daripada cincin Din. Kak Qist tak nak susahkan Din.”
Lalu, Sakeenah berbisik ke arah Mohamad Salahuddin. Lelaki itu hanya tersenyum. Bisikan telinga itu dibalas. “Cakap kat Qist, kalau dia tak nak, Abang Long tetap bertegas ambilkan cincin yang dia suka tu. Suruhlah dia sarung cincin tu. Kalau kena dengan jari dia, Abang Long akan bayar terus.”
Tatkala Qistur Ruwaidah mendapat pesanan menerusi Sakeenah, dia terkedu. Dia memandang seketika ke arah lelaki itu. Kelihatan tunangnya tersenyum dengan memberikan isyarat “Din okey.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah akur dengan respons tunangnya itu. Dia mengambil cincin tersebut. Lalu, dia menanggalkan cincin tunangnya seketika dan digantikan dengan cincin emas tersebut. Sama seperti Mohamad Salahuddin, cincin tersebut terletak elok.
“Cantik, cik. Nampak sesuai sangat dengan cik. Jari cik sendiri pun dah cantik,” puji jurujual itu.
“Yalah Kak Qist. Cantiklah!” sokong Sakeenah.
Atas kurniaan Allah buat Qistur Ruwaidah, dia memiliki jari jenis runcing dan panjang. Bentuk kukunya pula jenis panjang dan menegak. Rata-rata yang mengenalinya amat menyukai struktur jari dan kuku tangannya itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala cincin itu tersergam elok di jari manis tunangnya itu. Memang cantik! Sesuai sangat! Pandai Sakeenah pilih cincin tersebut. “Cantik, Qist. Sesuai,” pujinya.
Wajah Qistur Ruwaidah merona merah tatkala dia menerima pujian tersebut. Dia malu dengan Mohamad Salahuddin! Sejujurnya, dia amat menyukai cincin yang dicadangkan oleh Sakeenah itu. Lalu, dia menyarung keluar cincin itu dan memakai semula cincin tunangnya.
“Cik… Sebelum tunang saya tukar fikiran, eloklah cik masukkan terus dalam resit,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia tersengih. Dia tahu Qistur Ruwaidah amat menyukai cincin tersebut, namun tunangnya risau terhadap harga cincin tersebut. Demi gadis itu, dia tidak akan berkira. Memang dia sudah peruntukkan sejumlah wang bagi Qistur Ruwaidah sempena hari bahagia mereka berdua kelak.
Bagi Mohamad Salahuddin, tidak salah dia berbelanja lebih untuk Qistur Ruwaidah kerana dia juga yang akan menyaksikan kecantikan perempuan itu kelak.
Jurujual itu tersenyum dan dia segera melihat saiz kedua-dua cincin tersebut. Lalu, dia memasukkan harga dan saiz cincin tersebut ke dalam sistem bagi mencetak resit pembelian.
Dua bentuk cincin tersebut akan menjadi rujukan untuk dia mencari dalam bilik khas kerana cincin-cincin yang berada di kotak kaca tersebut, hanya sekadar untuk diperagakan sahaja. Dia menghilangkan dirinya seketika ke bilik khas bagi mengambil cincin-cincin tersebut.
“Terima kasih, Din. Qist tak tahu nak cakap macam mana pasal cincin tu,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama. Tak payah cakap apa-apa. Dah berapa kali Din cakap, Din tak kisah apa je yang Qist pilih. Din takkan pernah berkira untuk Qist,” balas Mohamad Salahuddin. Nadanya berubah menjadi sedikit tegas.
“Abang Long… Janganlah marah Kak Qist,” sampuk Sakeenah.
“Eh, bila masa Abang Long marah Qist pula! Keena ni…” balas Mohamad Salahuddin seraya tersengih. Pipi adiknya itu dicubit.
“Abang Long, sakitlah... Jangan buat pasal kat sini. Nanti Kak Qist marahkan Abang Long, Keena tak bertanggungjawab tahu.”
Qistur Ruwaidah tersengih kecil. Mohamad Salahuddin… Mohamad Salahuddin… Dia yakin. Pasti lelaki itu akan mengusik dirinya juga nanti. Detik indah itu sentiasa dinanti-nantikan oleh dirinya untuk hidup bersama dengan jejaka yang amat dicintainya itu.
Tidak lama kemudian, kelihatan jurujual tersebut datang ke arah mereka bertiga semula bersama beg kertas. Kotak-kotak cincin tersebut dikeluarkan, lalu ditunjukkan kepada pasangan itu. “Ni cincin-cincinnya. Boleh tengok dulu. Saya cetak resit sekejap,” katanya.
Setelah resit itu dicetak, dia menyerahkan resit tersebut untuk rujukan Mohamad Salahuddin. Jumlah keseluruhan, iaitu RM3500. Lalu, lelaki itu mengeluarkan dompet dari kocek seluarnya dan mengambil salah satu kad debitnya yang diperuntukkan khas untuk duit kahwin sahaja.
Qistur Ruwaidah memandang jumlah harga cincin itu. Dia meneguk air liurnya. Jika dia memilih cincin yang sama harga atau harganya kurang sedikit daripada harga cincin Mohamad Salahuddin, jumlah cincin tersebut tidaklah melebihi RM2000. Ah, betapa dia tersentuh akan pengorbanan lelaki itu buat dirinya! Mohamad Salahuddin benar-benar seperti abangnya!
“Nah Qist. Nanti bagi cincin Qist kat Abang Suhaib untuk dia letak kat hantaran cincin Din,” ujar Mohamad Salahuddin seraya menunjukkan beg kertas tersebut. Dia tidak mahu menyerahkan secara tangan ke tangan kerana dia risau jika mereka berdua tersentuh dengan tidak sengaja.
“Okey Din,” balas Qistur Ruwaidah dengan mengambil beg kertas tersebut.
“Ada apa-apa lagi Qist nak cakap dengan Din sebelum kita berpisah dan tak jumpa sampai hari akad nikah kita nanti?”
“Satu je... Din tolong jaga diri.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Dia tahu tunangnya itu risau dengan dirinya. “Insya-Allah. Qist pun jaga diri. Hati-hati memandu tu. Din dan Keena gerak dulu ya. Terima kasih untuk hari ni,” ucapnya.
“Sama-sama Din. Insya-Allah.”
Tipulah jika hati Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling tidak risau di antara satu sama lain. Namun, mereka berdua menyerahkan sepenuhnya pada Ilahi agar masing-masing terpelihara dari sebarang musibah.
Istimewanya 'Bab 23' ini mempunyai tiga ilustrasi serta kad kahwin digital Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah yang akan dikongsikan di 'IG feed' tuan penulis kelak, iaitu @bintuqist Teruskan mengikuti perkembangan novel ini di IG tuan penulis. Terima kasih atas sokongan para pembaca. Sudah 23 bab diterbitkan. Alhamdulillah ^_^
Share this novel
Huwaaa comelnya nak nangis rasa baca sbb happy sgt